Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

UKM sumbang RM13,000 buat Rohingya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUL: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyalurkan sumbangan lebih RM13,000 kepada Tabung Bantuan Rohingya.

Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM, Prof Datuk Dr Rokiah Omar berkata, bantuan disalurkan melalui Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) itu dijalankan sejak September tahun lalu.

“UKM menggerakkan tabung itu melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di ketiga-tiga kampus UKM, dalam tempoh dua minggu, kita berjaya mengumpul RM13,639.95.

“Sumbangan itu adalah untuk jangka panjang dengan memfokuskan kepada klinik ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak di sana,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bantuan Rohingya di Pejabat Mercy Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ir Amran Mahzan berkata, Mercy Malaysia membina hospital di Bangladesh bagi memudahkan bantuan perubatan disalurkan.

“Kita sentiasa menghantar doktor untuk memberikan perkhidmatan perubatan kepada pelarian di sana.

“Walaupun mereka yang pergi adalah secara sukarela, tetapi masih terdapat kos tempat tinggal, makanan dan keselamatan yang perlu diambil berat,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UKM lonjak 46 anak tangga universiti teratas dunia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JUN: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melonjak 46 anak tangga apabila kini berada pada kedudukan ke-184 universiti teratas dunia berbanding 230 pada tahun lalu.

Statistik itu berdasarkan laporan daripada Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings bagi 2018.

Berdasarkan kajian, antara enam aspek dinilai QS meliputi reputasi akademik, reputasi majikan, penyelidikan dan sitasi, skala pensyarah dan pelajar, ahli akademik antarabangsa serta pelajar antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah ia juga dapat menarik pelabur asing ke arah ekonomi negara yang lebih baik.

Katanya, perkara itu turut meyakinkan pelajar luar negara memilih UKM sebagai institusi pengajian mereka.

“Selaku universiti tersenarai 200 teratas dunia, kami membuka peluang pelajar untuk mencapai kerjaya lebih baik kerana majikan percaya dengan kualiti pencapaian dan akademik yang kami sediakan.

“Dengan kedudukan terbaharu ini, ia akan menarik lebih ramai pelabur asing yang kebanyakannya berlatarbelakangkan pengetahuan dan penyelidikan,” katanya pada sidang media di Bangunan Canselori, di sini, semalam.

Menariknya, Noor Azlan berkata, UKM tidak hanya memfokuskan prestasi akademik semata-mata, tetapi juga memberi keutamaan dalam bidang penyelidikan seperti inovasi kanser payudara, mencipta ginjal tiruan dan penemuan Antena Nano Satelit terkecil di dunia.

Sehingga kini, katanya, UKM mencatatkan keahlian alumni seramai 190,170 dengan sebahagian mereka memegang jawatan penting dalam negara.

Katanya, antara mereka adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa UM gesa pentadbiran universiti umum tarikh pilihan raya kampus

Pilihanraya kampus

SHAH ALAM, 30 OKT : Mahasiswa Universiti Malaya (UM) masih menanti tarikh Pilihan Raya Kampus 2013-2014 (PRK 2013-2014) disaat hampir semua universiti awam di negara itu membentuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masing-masing.

Pengerusi Pro M UM, Abdul Muqit Muhammad berkata, setakat ini mereka hanya berkempen tanpa mengetahui bila tarikh penamaan calon dan pembuangan undi serta sistem pengundian PRK yang bakal digunakan.

Katanya, tarikh PRK bakal dilangsungkan hanya bergantung kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) Datuk Rohana Yusuf dan penangguhan ini menunjukkan rasa tidak yakin pihak pentadbiran.

Mengikut tarikh yang diberikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PRK UM sepatutnya diadakan pada 23 Oktober lalu, sama tarikh dengan hari pengundian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Keyakinan kami untuk menang cerah selepas berlaku tsunami di beberapa kampus seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kita yakin di UM juga kita mampu untuk tawan balik kampus.

“Dari sudut kampen penerimaan pelajar UM memang rata-rata menyokong kuat Pro-M,” katanya kepada TV Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang menggesa agar pihak pentadbiran Universiti Malaya mengumumkan segera tarikh pilihan raya kampus dengan segera.

“Hal Ehwal Pelajar kena umumkan segera, umumkan segera kerana para pelajar akan bercuti untuk pertengahan semester,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Pada PRK 2012-2013, Pro-M tewas kepada Pro-Aspirasi pada kerusi penentuan Majlis Tertinggi apabila calon tunggal kerusi Bebas mengambil keputusan menyokong Pro-Aspirasi sekaligus menjadikan kedudukan 22-21.

Sebelum ini, Pro-M UM mendedahkan mendedahkan wujud campur tangan Hal Ehwal Pelajar UM dan Umno dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UM.

-EZY

Categories
NASIONAL

Kemenangan Pro-M UKM, isyarat mahasiswa mahu perubahan

grafik-gmukm-1

SHAH ALAM 30 OKT – Kemenangan Pro-Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (Pro-M UKM) mengekalkan tampuk kepimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dalam Pilihan Raya Kampus 2013-2014 tiga kali berturut-turut adalah isyarat mahasiswa mahu kepada penerusan agenda perubahan.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Muhamad Azan Safar berkata, kemenangan ini memberikan petanda jelas bahawa mahasiswa dapat menilai prestasi pentadbiran sebelum ini selain keadaan isu semasa yang mendorong mereka mengekalkan pimpinan Pro-M sekali lagi.

Kemenangan besar dengan majoriti 22 kerusi mengukuhkan cengkaman Pro-M sejak sesi 2010-1011 menewaskan Aspirasi Mahasiswa (Pro-Aspirasi) yang memenangi hanya empat kerusi sementara satu lagi kerusi disandang calon bebas.

“Apa yang menarik PRK dikala Pro-Aspirasi membawa idea transformasi dan juga penjenamaan semula nama serta pembawakan mereka tetapi mahasiswa kenal siapa yang sebelum ini membantu mahasiswa dalam kepimpinan UKM. Yang lebih penting bagaimana mahasiswa menolak Pro-Aspirasi yang disebut sebagai Pro-Kerajaan.

“Sebenarnya mungkin kemarahan mahasiswa di luar sana dengan kenaikan harga minyak dan sebagainya, mereka lepaskan perkara itu di dalam kampus. Nak tunggu pilihan raya lambat lagi,” katanya kepada TV Selangor.

Pada sesi PRK 2012-2013, Pro-M berjaya mengatasi Pro-Aspirasi dengan kemenangan 19 kerusi berbalas 9.

Jelas Muhamad Azan, pembuangan undi yang berlangsung pada 23 Oktober lalu berjalan lancar dan proses penamaan calon dibuat pada 18 Oktober..

Ujarnya lagi, proses berkempen kali ini menunjukkan kematangan apabila kedua-dua kumpulan mahasiswa bertanding bersetuju untuk mengadakan debat terbuka di antara calon bagi menjelaskan matlamat dan pembawakan kepimpinan selepas mendapat mandat mentadbir.

“Antara yang baik di UKM pendidikan politik dalam kalangan organisasi mahasiswa sebab sejak PRK berlangsung, hampir semua fakulti UKM mengadakan debat bagi calon dan fakulti masing-masing.

“Dan ia disambut oleh kedua-dua pihak melainkan debat Presiden yang tidak dihadiri oleh calon Presiden mereka (Pro-Aspirasi) sebaliknya dihadiri bekas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mereka.

“Itu memberikan tamparan hebat dan membuka mata mahasiswa seolah-olah mereka tidak mempunyai calon yang berkreadibiliti untuk diangkat sebagai calon presiden,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR: Tindakan segera selamatkan universiti awam

universitiSHAH ALAM 11 SEPTEMBER : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan penurunan kedudukan universiti-unversiti awam negara dalam senarai kedudukan universiti dunia, Quacquarelli Symonds World University Ranking 2013.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata Kerajaan Pusat dan rakyat Malaysia umumnya perlu menghadapi kenyataan institusi pengajian awam negara perlu diselamatkan.

“Hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

“Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya universiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Senarai ini adalah salah satu daripada tiga senarai kedudukan universiti antarabangsa yang berpengaruh dan diikuti ramai, disamping Times Higher Education World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities.

Laporan itu menunjukkan enam daripada tujuh universiti awam Malaysia corot.

Laporan dibuat berdasarkan kepada enam ciri penting iaitu pencapaian akademik, kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan, nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti, rujukan penyelidikan, keantarabangsaan pelajar dan tenaga pengajar fakulti.

Enam universiti tempatan yang mengalami kemerosotan adalah Universiti Malaya (UM) daripada kedudukan 156 pada tahun 2012 ke kedudukan 167 pada tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada kedudukan 261 ke 269, Universiti Sains Malaysia (USM) daripada kedudukan 326 ke 355 pada tahun ini.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula merosot daripada 360 ke kedudukan 411-420, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) daripada kedudukan 401-450 ke kedudukan 501-550 dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada kedudukan 601 ke 701 pada tahun 2013.

Manakala hanya satu sahaja institusi pendidikan tinggi awam negara iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meningkat daripada 358 pada tahun 2012 ke kedudukan 355 pada tahun ini.

“Masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya graduan Melayu Bumiputera banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang setiap tahun disahkan oleh kedudukan ranking universiti awam negara,” jelas Rafizi.

Beliau menyarankan enam langkah untuk memulihkan integriti dan mutu universiti awam negara dalam masa 10 tahun akan datang, yang beliau tegaskan perlu digerakkan mulai sekarang.

Langkah-langkah tersebut adalah: mengembalikan kebebasan akademik dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campurtangan Kerajaan; pemilihan kepimpinan universiti mengikut merit bersandarkan kepada kredibiliti, pengalaman dan integriti; menghentikan sebarang aktiviti atau program yang berunsur propaganda politik atau yang mengongkong pemikiran kritikal siswazah; sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada pelajar terbaik di universiti-universiti terbaik di Malaysia; dan pemerkasaan kredibiliti akademik fakulti dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia.

“Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran UM berada di tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dibantu Adun PR, penuntut IPTA optimis

100_3240BATU CAVES 2 SEPT : Bantuan pendidikan RM1,000 dari Adun Batu Caves, Amiruddin Shari menghadirkan ceria dalam hidup anak gadis, Faezatul Haslina Hashim, 20, untuk meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Biarpun kehilangan bapa tersayang seminggu lalu namun bantuan melalui peruntukan kepada Adun itu menguatkan semangatnya untuk menimba ilmu dalam bidang Falsafah Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya amat terharu apabila permohonan mendapatkan bantuan pendidikan ini mendapat perhatian Amiruddin dalam tempoh kurang sebulan,” katanya.

Faezatul menerima bantuan pendidikan itu daripada Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Caves, Shaharuddin Abu Bakar pada Jumaat lalu.

Beliau menambah bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin bagi menampung pengajiannya di UKM

“Saya melanjutkan pelajaran ke UKM atas nasihat arwah bapa yang berpesan agar tidak menyambung pengajian di Mesir memandangkan keadaan di negara itu yang tidak stabil selain terpaksa menjaga ibu dan dua adik yang masih bersekolah,” katanya.

Menurut Faezatul, beliau dinasihatkan oleh pejabat DUN Batu Caves supaya memohon bantuan Skim Hadiah Anak Masuk Universiti yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk anak-anak Selangor.

“Saya juga dimaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan bantuan sama bagi pelajar yang berjaya ke institusi pengajian tinggi yang ternyata benar-benar membantu rakyat Selangor,” kata Faezatul.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sasar Jadikan Selangor Venue Sukan Tempatan, Antarabangsa

Selangor Venue Sukan Tempatan

BANGI, 10 JUN: Prasarana sukan di Selangor akan dipertingkatkan bagi menarik minat penganjur sukan memilih negeri ini sebagai venue(tempat) pertandingan yang mereka anjurkan.

Selain mampu meningkatkan hasil industri pelancongan, langkah tersebut juga dapat memperkenalkan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan dan sukan di peringkat antarabangsa.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan Majlis Penutup Sukan Mahkamah Syariah di Stadium Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada masa ini pelbagai pertandingan sukan antarabangsa dianjurkan di Selangor.

Antaranya termasuk Pertandingan Karate-do yang disertai 15 negara yang diadakan setiap tahun di Shah Alam.

“Bersama saya Exco Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi untuk tingkatkan lagi tarikan sukan di Selangor untuk jadikan Selangor sebagai destinasi untuk penganjuran acara sukan.

“Sukan bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi untuk menarik minat kontinjen luar jadikan Selangor sebagai venue,” kata Abdul Khalid.

Sebelum itu, Sukan Mahkamah Syariah kali ke-2 dilangsungkan selama tiga hari di Stadium Pusat Sukan UKM disertai hampir 1,000 kontinjen yang mewakili negeri-negeri seluruh negara.

Sukan tahunan tersebut melibatkan 10 acara seperti memanah, futsal, bola keranjang, ping pong, golf, menembak dan lain-lain.

Dalam kejohanan kali ke-2 itu, Perlis muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti Perak kedua dan Negeri Sembilan ketiga.

Turut hadir dalam majlis penutup tersebut Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Categories
SELANGOR

Tahap Pendidikan Rendah Penyumbang Kepada Kemiskinan

SUBANG JAYA, 3 JUL : Tahap pendidikan rendah di beberapa lapisan masyarakat merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kemiskinan di kawasan bandar dan luar bandar di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, kemiskinan berlaku kerana kekangan wang seperti pendapatan keluarga kurang daripada RM1,500 sebulan dan saiz keluarga yang besar.

Beliau berkata, peluang pendidikan yang ditawarkan kerajaan pusat juga hanya tertumpu kepada golongan cerdik pandai dan yang berada, manakala golongan kurang berkemampuan seolah-olah diabaikan.

“Situasi yang dapat kita lihat sekarang ialah kalau seseorang pelajar itu mendapat keputusan cemerlang, secara automatiknya dia akan menerima pendidikan di peringkat yang lebih tinggi, secara percuma (kemasukan ke asrama penuh dan IPTA).

?Manakala anak-anak yang tidak mendapat keputusan cemerlang dipinggirkan.

?Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memulakan usaha untuk membantu pelajar lemah ini supaya mereka juga dapat menerima pendidikan yang setaraf dengan pelajar-pelajar lain.

?Bagaimanapun ia hanya dapat dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Dr Xavier berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja “Kemiskinan Isi Rumah Bandar dan Luar Bandar Negeri Selangor” sempena Dialog Bajet Selangor 2013 di Hotel Grand Dorsett di sini pagi tadi.

Dialog yang berlangsung selama dua hari ini bertujuan mendapatkan pandangan awam bagi menetapkan hala tuju Bajet Selangor 2013.

Thema Bajet Selangor 2013 adalah ke arah melestarikan Selangor sebagai negeri maju yang terus menerajui ekonomi Malaysia.

Sementara itu, pensyarah Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Ghani Md Nor menambah, insiden kemiskinan turut dipengaruhi faktor seperti pekerjaan makan gaji berproduktiviti rendah, ketua isi rumah atau ibu tunggal yang tidak berupaya bekerja.

“Kebanyakan mereka bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh pihak luar, namun hanya sebilangan kecil yang menerima bantuan.

?Ekoran daripada ini, mereka akan menghadapi tekanan kewangan dan menjejaskan hubungan kekeluargaan dalam jangka masa pendek,” ujarnya.