Categories
NASIONAL

Beli Saham FGVH: KWSP dan KWAP Didakwa Alami Kerugian RM75 Juta

Wong Chen

PETALING JAYA, 11 JAN : Dua dana pencen negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) didakwa mengalami kerugian atas kertas dengan anggaran nilai RM75 juta akibat membeli saham Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Ini kerana dakwa Pengerusi Biro Pelaburan dan Perladangan PKR, Wong Chen, kedua-dua dana itu didapati terus membeli saham FGVH dari pasaran, walaupun penganalisis mendapati harga saham itu jatuh mendadak seawal 9 Ogos 2012.

Beliau berkata, tingkah laku pembelian saham oleh KWSP dan KWAP adalah amat bertentangan, malah tidak sepatutnya diamalkan oleh sesebuah dana pencen.

“Pada keseluruhannya, pembelian mereka dalam pasaran terbuka dari 29 Jun 2012 hingga 4 Januari 2013 telah menelan anggaran belanja sebanyak RM455 juta (KWSP) dan RM305 juta (KWAP).

“PKR percaya bahawa penyumbang KWSP dan penjawat awam mempunyai hak untuk mengetahui sama ada pembelian saham FGVH (yang sebahagian besar bertentangan dengan pandangan penganalisis dan pasaran) bermotifkan politik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Menurutnya, harga purata saham penganalisis bagi FGVH adalah RM4.19 dan jika ia jatuh ke tahap itu, maka KWSP dan KWAP masing-masing terus mengamali kerugian kertas bernilai RM146 juta dan RM129 juta.

“Dalam kes senario paling teruk, jika harga turun kepada sasaran Alliance Reserach iaitu pada harga RM3.53 (kedua terendah antara 12 analisis terkini mengenai saham FGVH), KWSP dan KWAP akan menimpa anggaran kerugian kertas RM327 juta dan RM295 juta,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Penjimatan RM3.5B IPP Jika PR Tadbir Putrajaya

SHAH ALAM 7 DIS : Pakatan Rakyat (PR) hari ini muncul dengan pelan penjimatan wang Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM3.5 bilion setahun seandainya berjaya ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) nanti.

Pengerusi Biro Pelaburan & Perdagangan PKR, Wong Chen berkata, penjimatan wang yang dibayar kepada Pembekal Kuasa Bebas (IPP) dapat dicapai sekiranya pengurangan rizab margin kuasa elektrik dan rundingan semula kontrak sedia ada di antara IPP dan TNB dilaksanakan.

“Masalah kewangan TNB berasal dari terma-terma berat sebelah perjanjian ‘Power Purchasing Agreement'(PPA) dengan syarikat-syarikat IPP.

“Kos pembinaan IPP juga sering dibesarkan untuk menyembunyikan pulangan atas pelaburan IPP yang tersangat tinggi.

“Di samping itu, dasar polisi BN untuk mengekalkan margin rizab kuasa yang sangat tinggi membuka peluang untuk lebih IPP kroni dibina,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan PR komited untuk berunding semula dengan IPP bagi menurunkan purata Pulangan Atas Pelaburan (ROI) daripada 19 peratus kepada kadar sepuluh peratus.

“Dengan mengambil kira sektor penjanaan kuasa yang melibatkan kontrak jangka panjang dan risiko operasi yang kecil, kita percaya kadar ROI untuk IPP yang adil dan munasabah adalah 10 peratus sahaja.

“Kadar tersebut juga masih mampu memberi keuntungan yang baik untuk IPP,” ujar beliau sambil menambah langkah tersebut membolehkan TNB melakukan penjimatan sehingga RM 2.6 bilion setahun.

Tambahnya lagi, PR juga akan menurunkan rizab margin pada kadar optimal 20 peratus, yang kini diuruskan Kerajaan Pusat pada kadar terlalu tinggi iaitu 38 peratus.

Penurunan kadar rizab margin itu, menurut Wong, membolehkan TNB beroleh penjimatan sebanyak RM870 juta setahun.

Dengan itu, TNB akan melonjakkan keuntungan tahunan sehingga RM5.6 bilion setahun jika dibandingkan keuntungan tahunan yang mampu diraih TNB iaitu sebanyak RM2.14 bilion sahaja setahun.

PR juga memberi jaminan bahawa pengurusan TNB akan bebas daripada campurtangan politik yang tidak wajar dengan urusan yang lebih telus.

“Apabila sasaran operasi dan kewangan dipenuhi, kita akan menimbangkan penjualan 10 peratus saham TNB yang kini dipegang oleh Khazanah, kepada kesemua 30,000 pekerja dan pengurusan TNB.

“Ini adalah sebahagian daripada dasar ekonomi ‘management buy-out’ untuk mewujudkan kelas menengah pengurus – pemilik selain bertujuan mengurangkan penglibatan kerajaan di sektor swasta,” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR : Umumkan Pemegang AP Minyak Sawit

KUALA LUMPUR, 15 OKT : PKR menuntut supaya senarai pemegang permit kelulusan (AP) minyak sawit didedahkan kepada umum, kata Ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan parti itu, Wong Chen.

Sambil menyambut baik keputusan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk memansuhkan sistem AP tersebut, Wong berkata, masih terdapat 2.5 tan metrik (MT) minyak sawit mentah (CPO) yang tidak dijual oleh pemegang AP.

Jumlah ini diumumkan oleh Menteri Tan Sri Bernard Dompok dalam laporan OSK bertarikh 4 Okt 2012.

“Sebab utama mengapa 2.5 juta MT AP tidak terjual adalah kerana pemegang AP tersebut tidak mempunyai keupayaan untuk menjual CPO.

“Dalam erti kata lain, pemegang tersebut adalah syarikat yang tidak mempunyai kaitan dengan industri sawit sekalipun tiada halangan huluan dan tidak ada loji penapisan di luar negara.

“Oleh itu, kesimpulannya adalah pemegang-pemegang AP yang tidak terjual ini adalah kesemuanya kroni-kroni,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Jelas Wong Chen, menurut sumber industri, kroni menjual AP pada kadar RM 25 bagi setiap MT.

Berdasarkan baki MT AP yang masih belum dijual, ini bermakna kroni masih berpeluang untuk mengaut keuntungan RM 62.5 juta.

Selain itu, PKR turut menuntut kementerian memberikan jawapan mengapa struktur duti baru yang dicadangkan tidak dilaksanakan segera.

Struktur duti baru tersebut hanya akan dikuatkuasakan dari 1 Januari 2013.

“Tarikh tersebut dalah dua bulan setengah dari sekarang. Kenapakah implementasi struktur baru ini dilewatkan?

“Adakah tujuan sebenar melewatkan ini untuk membenarkan lebih masa untuk-untuk kroni-kroni menjual habis AP mereka dan mengaut keuntungan RM 62.5 juta? ” soal beliau lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Wan Azizah: Belanjawan PR Untuk wanita 10 Kali Lebih Banyak Dari BN

PETALING JAYA, 2 OKT : Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat (PR) untuk membela dan memartabatkan Wanita berbeza sepuluh kali berbanding belanjawan yang di bentangkan oleh kerajaan Umno-BN.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam sidang media di sini hari ini berkata, peruntukan RM 4.5 bilion menerusi Agenda Wanita Malaysia (AWM) berbanding RM450 Juta oleh BN membuktikan ketidakperihatinan kerajaan terhadap sumbangan kaum wanita di negara ini.

Menurutnya, dari segi perbandingaan peratusan hanya 0.2 peratus daripada belanjawan Umno-BN diperuntukan kepada wanita.

Belanjawan 2013 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan dengan jumlah RM251.6 bilion biarpun tinggi tetapi mengalami pengurangan enam peratus atau RM115 juta untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Penurunan bersifat konsisten bermula 2010 sebanyak RM2.4 bilion, 2011 (RM2 bilion), 2012 (RM1.9 bilion) serta 2013 (RM1.8 bilion).

Beliau Wan Azizah, AWM dirangka PR jelas membela nasib dan masa depan wanita khususnya suri rumah yang walaupun tidak bekerja tetapi memperuntukan masa mereka membela dan mendidik anak-anak ke arah masa depan lebih baik.

Katanya, Caruman Wanita Nasional dan Elaun Penjagaan Anak menerusi AWM adalah perbandingan nyata di mana PR begitu menitikberatkan pembelaaan terhadap golongan wanita.

“Caruman Wanita Nasional adalah satu skim keselamatan sosial bagi wanita suri rumah yang mana sekiranya suami meninggal dunia, menjadi kurang upaya atau menceraikan isteri, suri rumah akan mempunyai simpanan wang untuk menangani sebarang kemungkinan yang boleh terjadi.

“Kerajaan PR bercadang memberikan caruman sebanyak RM600 setahun kepasa setiap suri rumah dan akan menggalakkan suami menyumbang sejumlah wang sebanyak RM120 ke RM1,200 setahun kepadaa caruman itu. Sasaran skim ini bagi memastikan seorang suri rumah mempunyai sekurang-kurangnya simpanan RM30,000 ketika berusia 50 tahun,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, skim ini dijangkakan akan memberi faedah kepada lima juta suri rumah dan melibatkan peruntukan RM3 bilion setahun.

Menurutnya, skim Elaun Penjagaan Anak pula melibatkan perbelanjaan kira-kira RM940 juta bagi membantu wanita miskin yang bekerja di mana pendapatan isi rumah kurang dari RM1,000 sebulan.

“Bagi setiap kanak-kanak di bawah 12 tahun, kita akan menyediakan dana jagaan kanak-kanak sokongan sebanyak RM1,000 sebulan iaitu berhasrat membantu ibu yang bekerja bagi membayar yuran pengasuh ketika ibu bekerja.

“Kini terdapat lebih kurang 470,000 isu rumah miskin yang layak bagi skim ini pada kadar purata dua orang kanak-kanak di bawah 12 tahun,” ujarnya.

Beliau menambah, kedua-dua projek memberdayakan wanita akan menelan belanja RM3.94 bilion setahun di mana pada keseluruhan PR berhasrat untuk membelanjakan sehingga RM4.5 bilion dalam tempoh setahun untuk semua program melibatkan wanita.

Jelas beliau tujuh teras komprehensif di garis untuk meningkatkan dan memberdayakan wanita, dasar pendidikan lebih baik, kelangsungan kesihatan dan kualiti hidup, penglibatan dan peluang ekonomi, kesejahteraan sosial, pendemokrasian politik, penguatkuasaan undang-undang daripada diskriminasi serta memupuk agenda wanita muda.

Turut hadir, Exco Kerajaan Selangor, Rodziah Ismail serta Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen.

Categories
NASIONAL

Kuota Eksport Bebas Cukai Minyak Sawit Jejas Pendapatan Negara


PETALING JAYA, 14 SEPT : PKR mendakwa negara hilang RM 4 bilion hasil cukai kerana kuota eksport bebas cukai minyak sawit mentah (CPO) yang diberikan kepada segelintir pengusaha di Malaysia.

Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata, penerima kuota eksport itu tidak perlu membayar cukai duti sebanyak 23 peratus.

Wong menambah penerima kuota eksport itu adalah kroni politik Barisan Nasional (BN).

PKR mencabar Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komiditi untuk menerbitkan senarai nama penerima kuota eksport bebas tersebut yang dianggap sebagai rahsia rasmi.

Wong berkata, kewujudan kroni-kroni tersebut didedahkan di forum antarabangsa minyak sawit di Kuala Lumpur baru baru ini.

“Pendedahan ini menyokong kepercayaan di antara kalangan pakar-pakar industri bahawa sebilangan besar pemegang kuota bukanlah pengusaha Minyak Sawit, tetapi saudagar kroni yang meragut keuntungan besar,” katanya di satu sidang media di pejabat PKR.

Tambah Wong lagi, dengan peningkatan kouta ini, kerajaan telah membenarkan lebih CPO Malaysia dibawa keluar untuk diproses di luar negara.

Ianya sekaligus menjejaskan manfaat pengganda ekonomi aktiviti hiliran di Malaysia.

Beliau berkata, dengan pendapatan sebanyak RM80 bilion setahun, industri minyak sawit merupakan sumber pendapatan eksport negara yang kedua besar selepas minyak dan gas.

“Ia adalah sektor ekonomi yang tersangat penting dan oleh itu perlu disokong dan dilindungi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peruntukan Pembangunan Belia Dikurang Akibat Penyenaraian Felda

PETALING JAYA,12 JUN : Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia menyebabkan peruntukan kepada pembangunan belia, generasi kedua dan ketiga di Felda akan mengalami pengurangan sebanyak 27 peratus.

Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam sidang media di ibu pejabat PKR berkata, pendapatan Felda akan mengalami kejatuhan sebanyak 64 peratus dengan keseluruhan peneroka kehilangan RM100 juta untuk bantuan kebajikan pada tahun ini.

Jelas beliau, menurut analisis yang dijalankan menunjukkan sebelum adanya FGVH setiap tahun Felda membelanjakan antara RM400 hingga RM500 juta setahun untuk kebajikan peneroka.

“Pada tahun 2011, Felda membelanjakan RM424 juta untuk peneroka.

Walaubagaimanapun, bagi tahun 2012, Felda bercadang untuk memotong belanjawan peneroka kepada RM326 juta,” katanya.

Jelas Wong, perbelanjaan ini termasuk dana bagi infrastruktur jalan, masjid, padang bola, perumahan, pendidikan, insentif Hari Raya dan insurans.

Apabila Felda memajak gadai tanah 350,000 hektar kepada FGVH, bermakna Felda  menyerahkan semua pokok dan hasil sawit kepada FGVH.

Ia menyebabkan pendapatan Felda jatuh mendadak.

“Pada tahun 2011, pendapatan Felda mencecah RM2.5 bilion tetapi selepas tanah dipajak, pendapatan 2012 dijangka turun ke RM900 juta sahaja,” katanya.

Tambah Wong, butiran yang didedahkan itu adalah daripada bajet rasmi Felda 2012.

Menurut butiran itu yang mengalami pengurangan peruntukan adalah pembangunan infrastruktur yang dikurangkan sebanyak 57  peratus daripada RM115 juta kepada RM50 juta.

Manakala insentif produktiviti untuk peneroka dikurangkan sebanyak 22 peratus daripada RM103 juta kepada RM80 juta.

Turut mengalami kesan adalah bonus Hari Raya yang dikurangkan sebanyak 25 peratus daripada RM40 juta kepada RM 30 juta.

Sementara  itu, pelan insurans bagi peneroka dikurangkan sebanyak 25 peratus daripada RM20 juta kepada RM15 juta.

“Jangan buli peneroka,ini bukannya caranya untuk membantu peneroka Felda,” katanya.

Categories
NASIONAL

Peneroka Hanya Pemilik 2.5% Dalam Saham FGVH

SHAH ALAM, 28 MEI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menarik semula peruntukan Tawaran Permulaan Awam (IPO) saham Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGVH) yang diberikan kepada pelabur Bumiputera kerana didakwa melebihi keuntungan peneroka.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan, Wong Chen berkata, berdasarkan analisa 2.2 bilion saham FGVH yang akan dijual, 420 juta saham (11.5% daripada FGVH) diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, manakala peneroka Felda hanya menerima 91 juta saham, iaitu 2.5% daripada penyenaraian FGVH.

Sementara, dua peratus (73 juta saham) daripadanya akan diperuntukkan kepada awam, 41 peratus (1.5 bilion saham) diagihkan kepada pelabur institusi seperti KWSP, PNB, Tabung Haji dan Louis Dreyfus dan 109 juta saham (3% daripada FGVH) kepada pekerja Felda.

“Matlamat Felda ditubuhkan adalah untuk membantu Bumiputera miskin yang tiada tanah. Najib mengumumkan bahawa IPO FGVH ini adalah satu tindakan bijak yang akan memberi manfaat besar kepada peneroka. Tetapi cara saham diperuntukkan jelas menunjukkan bahawa Najib lebih berminat membantu golongan kaya.

“Kami menuntut MITI mengeluarkan senarai lengkap pelabur Bumiputera kaya yang akan menerima saham FGVH ini. Kami menuntut senarai ini kerana peneroka mempunyai hak untuk tahu mengapa golongan Bumiputera yang kaya ini berhak berlipat kali ganda lebih saham daripada mereka.,” ujarnya.

Katanya, peruntukan saham itu juga menimbulkan persoalan mengapa 112,635 peneroka mendapat saham kurang daripada 3,835 pekerja Felda.

Jelasnya, setiap peneroka hanya akan mendapat 810 saham seorang manakala kakitangan Felda akan mendapat 28,368 saham seorang. Secara purata, seorang pekerja Felda ditawarkan 35 kali ganda saham daripada seorang peneroka.

“Oleh kerana IPO ini adalah isu kepentingan nasional, kami percaya bahawa orang ramai juga berhak nak tahu sama ada mana-mana pelabur Bumiputera yang kaya ini ada atau tidak kaitan dengan Umno-BN,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

PKR : Asas FGVH Lemah, IPO Didorong Politik Bukan Ekonomi

PETALING JAYA,16 MEI : PKR menggesa Felda dan Kerajaan Pusat untuk mendedahkan secara terperinci mengenai yuran-yuran yang bakal diterima oleh pihak bank dan penasihat, hasil daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia.

Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam sidang media di ibupejabat parti itu berkata, ‘Initial Public Offering’ (IPO) FGVH ini didorong oleh politik dan bukannya berdasarkan kekukuhan kewangan FGVH.

“Kami merujuk kepada laporan dari Wall Street Journal mengenai IPO FGVH, di mana kebimbangan dibangkitkan mengenai keuntungan FGVH kerana profil pokok kelapa sawit yang tersangat teruk,” kata Wong.

Wong menjelaskan sesebuah syarikat akan mencuba IPO di bursa apabila ia berada dalam kedudukan yang kukuh dan mempunyai prospek yang sangat cemerlang.

Menurut beliau, bisnes FGVH bukanlah berada didalam kedudukan yang kukuh dan masa hadapan untuk pertumbuhan yang tinggi adalah sangat terhad malahan Prospektus IPO mendedahkan bahawa kedudukan sebenar FGVH di dalam pengurusan perladangan adalah lemah.

“Pada asasnya, profil umur pokok sawit FGVH mendedahkan bahawa lembaga pengarah Felda tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada pengurusan penanaman pokok.

“Sangat mengejutkan adalah 53 peratus daripada pokok-pokok sudah tua, 31 peratus muda dan tidak matang dan hanya 16 peratus pokok sawit pada tahap matang perdana.

“Bayangkan sebuah syarikat yang berprestasi hanya pada tahap 16 peratus daripada potensi sebenarnya membuat percubaan IPO,” jelas beliau.

Tambah Wong, sebagai perbandingan am, sebuah ladang yang sihat diurus dengan baik akan mempunyai profil pokok berusia tujuh peratus pokok tua, dan 15 peratus muda dan belum matang dan 78 peratus matang perdana.

FGVH perlu menanam balik dan menunggu selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum majoriti pokok pokok sawitnya menjadi matang perdana.

“Jadi jika anda membeli saham FGVH pada hari ini, kemungkinan besar anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum FGVH pulih ke tahap pengurusan perladangan yang baik,” ujar beliau.

Justeru, Felda dan kerajaan perlu menjawab persoalan apakah tujuan utama mereka membuat penyenaraian itu yang mungkin mempunyai kepentingan politik.

“Adakah dorongan utama bertujuan untuk memperkayakan bank, dan penasihat, pengarah-pengarah Felda dan juga untuk menyediakan pembayaran durian runtuh kepada peneroka untuk membeli sokongan politik di dalam pilihanraya yang akan datang.

“IPO FGVH adalah satu IPO yang sebesar RM10.2 bilion, ianya yang kedua di dunia tahun ini dan pihak bank dan penasihat kepada IPO ini akan untung yuran berpuluh-puluh juta ringgit,” katanya.

Categories
NASIONAL

Peneroka Patut Terima Tawaran Adil 50-50 Dari Felda

SHAH ALAM 12 MEI : PKR menyifatkan pemberian RM15,000 kepada peneroka oleh Felda melalui penyenaraian Felda Global Venture Holding(FGVH) di bursa saham sebagai tidak adil.

Pemberian durian runtuh ini hanya berjumlah 9 peratus daripada 25 peratus keuntungan keseluruhan Felda menafikan objektif utama Felda untuk memastikan peneroka menikmati taraf hidup ekonomi yang lebih baik, kata Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam satu kenyataan media.

“Jumlah RM15,000 yang dikatakan ìdurian runtuhî hanyalah sembilan peratus daripada jumlah keuntungan penuh Felda melalui penyenaraian berjumlah RM18.7 bilion daripada hasil IPO FGVH,”katanya.

Menurutnya, keuntungan Felda terdiri daripada tiga perkara yang meliputi wang tunai hasil penjualan saham sebanyak 1.2 bilion FGVH bernilai RM5.6 bilion,Ekuiti 40 peratus FGVH bernilai RM6.8 bilion dan dan kutipan sewa RM500 juta setahun untuk 99 tahun tempoh cagaran.

“Berdasarkan analisa kami, jumlah RM15,000 itu hanyalah 9 peratus daripada keuntungan sebenar, dan baki 15 peratus yang bakal diterima peneroka adalah dari saham Syarikat Felda Aset Holding (FAHC)”

“Pemberian itu menunjukkan kerajaan tidak ikhlas untuk membantu peneroka,” kata beliau.

Soalnya, kenapa Felda membolot keuntungan 75 peratus dan peneroka hanya diberikan sebahagian daripada keuntungan yang sepatutnya menjadi milik mereka? Kenapa peneroka selalu diberikan tawaran yang buruk?î soalnya lagi, dan menambah peneroka seharusnya diberikan keadilan.

“Kita memang menentang penyenaraian, tapi memandangkan kerajaan dah bertekad untuk meneruskan penyenaraian, kita juga perlu pastikan peneroka mendapat imbuhan yang setimpal,” tegasnya.

Justeru, Wong mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memberikan keadilan kepada peneroka dan berhenti daripada memihak kepada Felda yang kini dipolitikkan .

“Felda kini sudah terlalu dipolitikkan dan peneroka perlu dilayan secara adil”

“Saya tidak faham kenapa kerajaan sendiri cuba mengambil kesempatan terhadap peneroka yang majoritinya orang Melayu”

“Kalau betul kerajaan sayangkan peneroka, beri hak mereka 50 peratus keuntungan Felda supaya hidup mereka lebih bartambah baik,” katanya lagi.