Cadangan atasi kematian kanak-kanak dalam kereta, kementerian membisu

hannahSUBANG JAYA, 29 OGOS – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu bertindak segera bagi mencegah kematian kanak-kanak di dalam kereta, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, ibu bapa harus segera diberi kesedaran bahawa kereta bukan tempat yang selamat untuk meninggalkan mereka walaupun untuk beberapa minit.

“Saya bersama Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen menghantar surat cadangan langkah pencegahan bagi kes ini pada 22 Julai lalu kepada pejabat kementerian tetapi hingga kini tiada tindakan diambil.

“Ini supaya kementerian memastikan tiada kecuaian tidak berlaku lagi hingga menyebabkan nyawa kanak-kanak itu melayang,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada kes kematian yang menggemparkan Malaysia apabila Nawal Iris Samsudin berusia tiga tahun ditemui mati selepas ditinggalkan di dalam kereta hampir lima jam di USJ4, Subang Jaya, Julai lalu.

Selain itu, kejadian sama berlaku di Ipoh baru-baru ini apabila seorang kanak-kanak lelaki diselamatkan sepasukan bomba selepas terperangkap hampir 30 minit dalam kereta.

Hannah berkata, gesaan itu perlu supaya kementerian dapat mengemukakan statistik keseluruhan di seluruh Malaysia bagi kes kecuaian yang mengakibatkan kematian ini.

“Mereka perlu keluarkan data rasmi kes ini. Saya percaya banyak lagi kes kecuaian tinggal anak dalam kereta ini berlaku tetapi tidak direkodkan,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tarif elektrik naik, harga barangan akan naik

 

tnb- wong chen

SHAH ALAM 20 OGOS : Rakyat akan terus dibebani dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan jika Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan meneruskan hasrat untuk pelarasan kadar tarif elektrik yang baru.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, berkata walaupun Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd, berkata pengguna domestik dengan penggunaan bulanan bawah 200 kilowat sejam (kwh) tidak akan terjejas daripada pelarasan tarif itu.

Namun ia akan memberikan kesan apabila pihak industri dan pengusaha perkilangan mengalami kenaikan kos pengeluaran yang terpaksa meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan yang mereka keluarkan.

“Pihak pengguna selepas ini akan membayar pada harga yang lebih tinggi apabila berlakunya kenaikan tarif elektrik walaupun kata TNB tidak akan membebankan bil pengguna di bawah 200 kwh iaitu di bawah RM70,” kata Wong Chen ketika dihubungi TVSelangor.

Kata beliau lagi, kenaikan tarif elektrik secara berterusan ini merupakan satu lagi kegagalan penswastaan TNB yang sewajarnya apabila berlaku penambahbaikan dalam pengurusan TNB akan memberikan keuntungan kepada rakyat untuk menikmati kadar tarif elektrik yang munasabah.

Jelas beliau, kenaikan itu juga berpunca apabila berlakunya perjanjian berat sebelah dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang akhirnya membebankan pengguna apabila terpaksa membayar kenaikan tariff elektrik.

Beliau turut mendesak agar pihak kerajaan mengambil pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan tarif elektrik di negara ini.

Untuk rekod, kerajaan membayar subsidi hampir RM19 bilion setahun kepada IPP yang akan menjualnya kepada TNB bagi menampung keperluan tenaga seluruh negara.

 

– MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Swastakan MAS atau ulangi serah pada kroni

MAS-Wong Chen

SHAH ALAM, 19 OGOS : PKR bimbang dengan usaha kerajaan cuba menswastakan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang akhirnya akan diserahkan kepada kroni pemimpin-pemimpin Umno/BN untuk membina kekayaan segera.

Akhirnya, apabila syarikat penerbangan tersebut mengalami kerugian, wang rakyat akan digunakan untuk ‘bail out’ bagi menyelamatkan para kroni tersebut.

Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR, Wong Chen berkata langkah penswastaan itu tidak perlu dilakukan sekiranya kajian mendapati MAS masih boleh diselamatkan dengan mengambil langkah-langkah tertentu yang dicadangkan juruaudit dan penasihat perniagaan profesional yang dilantik.

Kerajaan perlu menjalankan kajian dan analisis mendalam samada syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System Bhd (MAS) masih mampu diselamatkan sebelum mengambil keputusan menjual syarikat itu kepada pihak ketiga.

Katanya, analisis yang dijalankan penasihat profesional dan para juru audit itu diperlukan bagi mengelakkan pegangan saham MAS jatuh ke tangan orang yang salah sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

“Secara prinsipnya penswastaan itu baik tetapi kalau jual pada orang yang salah dan para kroni seperti (bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli, habislah, kita akan kena ‘bailout’ sekali lagi nanti.

“Kalau perlu dijual, kena masukkan urus tadbir yang betul, pastikan syarikat ini boleh berdiri sendiri tanpa sokongan daripada kerajaan”, kata beliau ketika di hubungi.

“Penswastaan itu harus dilakukan secara tender terbuka, jangan bagi kepada Syed Mokhtar dan prosesnya perlu dikawal ketat dan sebelum penswastaan dilakukan mesti benarkan juru audit dan penasihat profesional masuk, dedahkan mengapa MAS ini tidak boleh berjaya,” kata Wong Chen yang juga Ahli Parlimen Kelana Jaya.

Tambah Wong Chen lagi, kerajaan juga harus memantau agar kadar tambang penerbangan berada di tahap yang munasabah dan liputan penerbangan ke kawasan pendalaman seperti di Sabah dan Sarawak diteruskan sekiranya mereka menswastakan MAS.

Sebelum ini dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataannya mencadangkan supaya kerajaan keluar dari industri penerbangan dengan cara menjual MAS.

Bagaimanapun menurut Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Kakitangan Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Alias Aziz cadangan menjual MAS kepada pihak ketiga tidak akan menyelesaikan masalah syarikat itu secara menyeluruh, sebaliknya kerajaan sewajarnya memberi kuasa autonomi kepada pengurusan MAS bagi menyelamatkan syarikat itu dari terus dibelenggu masalah kewangan.

Untuk rekod, pada 2001, ketika Tajuddin menjawat CEO MAS, kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat penerbangan kebangaan negara itu dengan membeli semula sahamnya pada harga RM8 sesaham dengan kos keseluruhan RM8 bilion pada ketika harga pasaran sebenar RM3.68 sesaham.

Tindakan itu akhirnya mengundang kemarahan rakyat apabila mendapati pada masa yang sama kerajaan bertindak mengurangkan subsidi terhadap barangan keperluan harian dan petrol.

– MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Caj bulanan jangka digital TNB tinggi, PKR lancar web ‘Check Your TNB Meter’ – KEMAS KINI

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA 16 OGOS: Ketepatan jangka elektrik digital yang baru diperkenal Tenaga Nasional Berhad (TNB) diragui berikutan caj bulanan terhadap pengguna, tinggi, kata Datuk Chua Jui Meng.

Pada sidang media di ibu pejabat, petang ini, Naib Presiden PKR itu berkata, ia berikutan aduan orang ramai terhadap jangka elektrik baru berbanding sebelumnya.

Justeru, katanya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan laman web ‘Check Your TNB Meter’ bagi memberi tekanan kepada TNB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk mewujudkan badan bebas memeriksa jangka elektrik digital itu.

Beliau mempelawa orang ramai melawati laman web www.checkyourtnbmeter.com dan menandatangani petisyen secara atas talian bagi menyuarakan bantahan.

“Sasaran kami ialah mencapai 10,000 tandatangan dan menyerahkan petisyen kepada TNB dan ST bagi mewujudkan sebuah badan bebas itu.

“Kami mahu kebenaran didedah, adakah jangka digital baru rosak atau tepat? Jika rosak, pengguna boleh menuntut bayaran balik daripada TNB.

“Jika tepat, pengguna boleh belajar untuk menguruskan penggunaan tenaga mereka dengan lebih cekap,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Khas bagi menangani isu itu.

Bercakap kepada TV Selangor, Wong Chen berkata, lebih 1,000 aduan diterima penduduk Kelana Jaya berkaitan masalah itu.

“Secara purata, peningkatan caj bulanan ialah 15 peratus. Ada yang sebelum ini tidak dicaj tetapi bila tukar jangka baru, meningkat kepada RM90,” katanya.

TNB menukar jangka elektromekanikal kepada jangka digital sejak 2011 bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard Tenaga yang menetapkan supaya jangka elektromekanikal ditukar setiap 15 tahun dan jangka digital setiap 10 tahun.

Sehingga kini, TNB gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi aduan berkenaan.

-FZL

Categories
NASIONAL

TPPA : Larangan Cukai Eksport Bahan Mentah Lumpuh Ekonomi Malaysia

Wong-Chen

PETALING JAYA, 30 JUL : Larangan cukai ekspot ke atas bahan mentah yang bakal disyaratkan di dalam perjanjian perdagangan bebas TPPA antara Malaysia dengan negara lain boleh melumpuhkan ekonomi negara ini.

Ini kerana cukai ekspot yang dikenakan ke atas bahan mentah seperti bahan api dan minyak sawit, menjana pembangunan industri hiliran bagi memproses bahan itu.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, sekiranya Malaysia bersetuju dengan larangan itu di dalam TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik), ekonomi Malaysia akan merudum sehingga ia hanya tertumpu kepada perladangan asas dan pengeksportan komoditi.

Wong Chen berkata larangan itu akan menimbulkan kesan dahsyat kepada sektor pengilangan hiliran seperti petrokimia, produk kayu, getah dan minyak sawit.

Industri-industri tersebut menyumbang sebanyak RM 2.4 bilion tahun lalu kepada ekonomi negara dan menyediakan beribu peluang pekerjaan.

“Seperti negara-negara membangun yang lain, cukai eksport digunakan Malaysia untuk mengelakkan eksport bahan-bahan mentah yang tidak diproses.

“Tujuannya adalah untuk mengalakkan pembangunan industri hiliran tempatan yang menghasilkan penambahan nilai ekonomi dan menjana pekerjaan untuk warganegara Malaysia.

“Cukai ini sangat penting untuk memupuk perindustrian tempatan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi.

Isu TPPA mendapat perhatian serius Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang mendakwa perjanjian itu akan memberi hak yang lebih kepada pelabur asing dan boleh memudaratkan kepentingan rakyat.

Tambah Wong Chen, empat industri yang bakal terjejas mempunyai pendapatan bergabung yang dianggarkan berjumlah RM 225 bilion dengan hasil petroleum sebanyak RM 109 bilion, minyak sawit RM 80 bilion manakala getah dan kayu masing-masing RM18 bilion.

Wong Chen juga berkata walaupun teks perjanjian itu masih dirahsiakan Kerajaan Persekutuan, berdasarkan Perkara 2.11 FTA Peru-US ada menyebut bahawa perjanjian ini tidak membenarkan mana-mana pihak mengamalkan atau mengekalkan barang duti atau cukai ke atas barangan yang dieskport.

Katanya lagi, PKR akan mengadakan rundingan dengan sektor produk kayu, getah dan minyak sawit selain mendesak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menjelaskan bagaimana mereka hendak melindungi perniagaan Malaysia yang akan terjejas dengan TPPA.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Caj Elektrik Tinggi Bila Guna Meter Elektronik, PKR Minta Kerajaan Siasat

tarif eletrik 01 wong chan

PETALING JAYA 23 JULAI : PKR menggesa Kerajaan Pusat melantik satu badan bebas bagi menyiasat dan mengkaji kadar tarif elektrik masakini ditetapkan Tenaga Nasinal Berhad (TNB) yang dikatakan tinggi dan membebankan pengguna.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, siasatan itu perlu kerana majoriti pengguna sekarang menerima kesannya yang berpunca daripada pemasangan meter elektrik elektronik yang baru menggantikan meter analog lama.

“TNB tidak boleh memberikan alasan dan mesti membenarkan badan bebas dilantik untuk memeriksa dan menguji meter digital ini.

“Kerajaan boleh melantik badan bebas ini, begitu juga Suruhanjaya Tenaga. Ini kerana meter kepunyaan TNB maka kebenaran dari TNB diperlukan bagi membuka meter dan menyiasat.

“Kita juga mahu pihak berkepentingan terlibat termasuk Pakatan Rakyat (PR) dan BN kerana ini adalah isu rakyat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, PR menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai perkara itu yang menyatakan rasa tidak puashati mereka.

wong chan - tarif eletrik 02

Katanya, alasan diberi TNB bahawa bil elektrik tinggi dari meter baru berpunca daripada bacaan meter lama yang tidak tepat adalah tidak munasabah sama sekali.

Berikutan itu, Wong memberitahu, PR menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dan mengetengahkan isu itu yang dianggotai Naib Presidennya, Datuk Chua Jui Meng; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan beliau sendiri.

“Jawatankuasa ini akan melancarkan satu kempen awam untuk menegaskan kepentingan ketelusan berhubung dengan bil elektrik tinggi.

“Kita juga akan melancarkan laman sesawang minggu depan bagi penglibatan awam dan satu petisyen akan dihantar ke TNB untuk tujuan ini,” katanya yang mendakwa orang ramai menyatakan kesanggupan membayar RM20 bagi kos pemeriksaan untuk mendapatkan bacaan meter yang tepat.

Manakala Chua berkata, tarif elektrik ditanggung rakyat ketika ini begitu tinggi dan satu tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasinya.

“Satu masalah membebankan rakyat, pihak peniaga dan yang lain. Hampir setiap isi rumah mengalaminya dengan kenaikan sampai 100 peratus, 200 peratus atau lebih.

“Jawatankuasa ini akan membantu rakyat bagi penggurangan kadar tarif elektrik kepada satu kadar yang lebih rendah atau hampir dengan bacaan meter lama,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Pusat Khidmat DUN dan Parlimen Di Bawah Satu Bumbung Eratkan Kerjasama wakil rakyat

wong chen nurul izzah hannah 01

 

SUBANG JAYA 29 JUN : Dengan menempatkan pusat khidmat DUN dan Parlimen di bawah satu bumbung, Wong Chen ia akan memberi kemudahan kepada rakyat untuk berhubung secara terus dengan wakil-wakil rakyat mereka.

Ahli Parlimen Kelana Jaya itu juga optimis pendekatan sedemikian dapat memudahkan segala urusan di samping memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dalam menyelesaikan isu-isu setempat.

“Sekarang kami (bersama Hannah Yeoh-Adun Subang Jaya) akan bekerja dengan lebih erat lagi dan kami pastinya akan menganjurkan program DUN dan Parlimen secara bersama di kawasan ini, begitu juga dengan kawasan Adun Seri Setia, Nik Nazmi.

“Kerjasama-kerjasama yang dijalinkan sejak kempen PRU13 (Pilihan Raya Umum ke 13) lalu dilihat sangat baik dan berjalan lancar dan diharap dapat membawa kebaikan lebih besar kepada rakyat,” jelas Wong Chen yang juga Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR.

Wong Chen ditemui pagi tadi sewaktu Majlis Perasmian Pusat Khidmatnya yang disempurnakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar selain dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Selain membuka pejabatnya di atas pejabat Hannah yang terletak di Jalan SS14/1 di sini, beliau juga mempunyai sebuah lagi pejabat iaitu di Pusat Khidmat DUN Seri Setia yang akan mula beroperasi secara rasmi pada Isnin ini.

Kedua-duanya akan beroperasi pada setiap hari bekerja bermula jam 10 pagi hingga jam 5 petang selain turut dibuka kepada umum pada malam Selasa, jam 8 hingga 10 malam (Subang Jaya) dan malam Rabu, jam 9 hingga 11 malam (Seri Setia).

Sementara itu, mengulas persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini, Wong chen menjelaskan beliau akan membawa isu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang didakwa berat sebelah dan dikhuatiri akan menggugat kepentingan awam.

“Selain daripada isu TPPA yang ditugaskan parti PKR, saya juga jika berpeluang ingin membawa isu kadar jenayah serta masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing,” tambah Wong Chen.

Beliau bakal membentangkan perbahasannya selama 15 minit di Dewan Rakyat pada hari Selasa atau Rabu minggu hadapan.

Categories
NASIONAL

PAS Gesa Tubuh Suruhajaya Bebas Postmortem PRU13 – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 07062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. PAS menggesa pihak kerajaan mewujudkan satu Jawatan Kuasa Bebas atau satu Suruhan Jaya Bebas Postmortem PRU13 yang boleh menyiasat secara terbuka dan telus berkenaan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13.

2. Keluarga C.Sugumar, yang didakwa mati di dalam kawalan polis lima bulan dahulu, akan bertindak untuk mengambil balik mayat anak mereka yang masih disimpan oleh di Hospital Serdang jika Kerajaan Persekutuan tidak melakukan bedah siasat kedua dalam tempoh 48 jam.

3. Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dan Adun Subang Jaya Hannah Yeoh mahu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memberi respon terhadap cadangan yang dikemukakannya bagi menangani krisis air di Subang Jaya.

4. Sebuah pusat snuker dan kafe siber yang dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen di sekitar Jalan Meru, Klang diserbu serta disita Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu operasi yang diadakan petang semalam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hannah Yeoh : Syabas Perlu Tangani Gangguan Air Subang Jaya

hannah yeoh wong chen isu syabas 01

SUBANG JAYA 7 JUN : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh mahu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memberi respon terhadap cadangan yang dikemukakannya bagi menangani krisis air di Subang Jaya.

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat bersama wakil Syabas pada 20 Mei lalu.

Antara cadangan itu adalah meminta Syabas menaiktaraf perkhidmatan pelanggan terutama di laman web dan pusat panggilan.

Selain itu, Syabas perlu mewujudkan sistem amaran awal sekiranya tahap bekalan air di empangan di Subang berada di paras separa kritikal.

“Sebelum ini, jika berlaku ketiadaan air, penduduk akan menghubungi Syabas malangnya pihak Syabas tidak mengangkat panggilan.

“Amaran awal penting supaya penduduk dapat bersedia untuk menyimpan air bagi kegunaan mereka jika berlaku ketiadaan air,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Hannah menambah pihak Syabas juga perlu menghantar tangki air dua kali sehari di antara jam 6 hingga 8 pagi dan 8 hingga 10 malam.

“Sebelum ini, penduduk membuat aduan bahawa pihak Syabas tidak menghantar tangki. Mereka hanya menghantar sekiranya penduduk membuat panggilan dan mendesak Syabas,” katanya.

Selain itu, Wong Chen berkata pihaknya terpaksa membuat sidang media berkenaan isu ini kerana melihat pihak Syabas tidak mempedulikan cadangan yang dihantar.

“Dalam mesyuarat itu, mereka memberikan respon yang positif tetapi selepas lebih dua minggu, pihak Syabas diam.

“Kami ada menghantar email susulan dari cadangan itu untuk mengetahui perkembangannya, namun pihak Syabas juga tidak memberi respons,” katanya.

Difahamkan cadangan itu dihantar selepas penduduk Subang Jaya khususnya di SS19, mengalami krisis air selama dua hari.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Calon PKR Selangor Terbaik Dalam Sejarah

nik nazmi 2

PETALING JAYA, 16 APRIL : Calon PKR yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) merupakan calon yang berpontensi menang khususnya di Selangor.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata calon yang dipertandingkan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang berpengalaman.

Manakala, PKR turut berjaya menyenaraikan 30 peratus calon wanita di DUN Selangor.

“Contohnya di DUN Kuang dan Sementa. Manakala muka baru di Batang Kali dan Kapar.

“Malah, kita juga tampilkan calon berkebolehan seperti Dr Aziz Bari, Khalid Jaafar, Wong Chen dan Rafizi Ramli,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Nik Nazmi turut menyifatkan percalonan itu merupakan yang terbaik dalam sejarah PKR.

“Ini akan memberikan tentangan yang hebat kepada Umno-BN. Saya yakin PAS dan DAP juga mempunyai calon seperti itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Selangor akan menjadi negeri paling sengit dalam PRU13 depan.

Ia kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya sendiri sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri.

” Ia bertujuan untuk mereka mengekalkan kuasa di Putrajaya sekaligus mendapatkan Selangor dalam apa jua keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, PKR percaya kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuatkan Najib hilang idea untuk menggugat kestabilan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Bayar RM29 Juta Untuk Peralatan ATM RM6 Juta – Buletin 13


 

Sinopsis

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1.Bantu kami banteras rasuah, begitu mesej Parti Keadilan Rakyat dalam cadangan parti itu memperkenalkan dividen banteras rasuah sekiranya diberi mandat pada PRU-13.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen, berkata strategi ini perlu bagi mengalakkan penyertaan penjawat awam dari segenap peringkat untuk membanteras penyelewengan di dalam kerajaan.

2. Golongan berpendapatan kecil tidak perlu bimbang kerana hasrat untuk menghapuskan cukai eksais yang dinyatakan dalam Manifesto Rakyat turut melibatkan harga motorsikal.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli berkata ramai yang tidak tahu Umno-Barisan Nasional mengenakan cukai eksais setinggi 20% bagi motorsikal bawah 150cc.

3. Isu pembelian dua kapal selam scorpene berjumlah 4.5 bilion ringgit dengan ketirisan lebih RM500 juta kepada syarikat kroni Perdana Menteri terdedah lagi.

Kali ini membabitkan pembelian peralatan ketenteraan tentera darat pula yang bernilai RM6 juta tetapi dibeli dengan harga RM29.4 juta.

Categories
NASIONAL

Kakitangan Awam Kongsi Dividen Banteras Rasuah

Wong-Chen

PETALING JAYA, 1 APRIL: Kakitangan awam bakal menerima Dividen Banteras Rasuah yang akan diperkenalkan Pakatan Rakyat (PR) apabila menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Semua ini terhasil daripada usaha membanteras gejala pembaziran dan rasuah dari perbelanjaan mengurus sebanyak RM34 bilion setahun oleh Kerajaan PR.

Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri PKR, Wong Chen berkata, sebagai insentif, apa-apa penjimatan berhasil dari usaha membanteras rasuah ini sebahagiannya akan diperuntukkan sebagai dividen kepada kakitangan awam yang akan dibayar dalam bentuk bonus tambahan.

“PKR percaya dan yakin dengan keikhlasan kakitangan awam untuk bersama-sama membina Malaysia baru yang bebas dari rasuah.

“Pendekatan dividen banteras rasuah ini diyakini akan dapat mempercepatkan sasaran PR menghentikan ketirisan untuk membiayai program-program Manifesto Rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi.

Tambahnya, PR juga akan melaksanakan sebarang pengumuman kenaikan gaji yang dibuat berkuatkuasa pada 1 Julai 2013 dan penyelarasan gaji bagi pihak polis dan askar pada 1 Januari 2014.

Selain itu, PR akan melaksanakan pelarasan gaji kepada kakitangan awam sesuai dengan pelaksanaan gaji minima RM1,100 bagi kakitangan awam dan swasta di seluruh negara.

Katanya, semakan pelarasan gaji turut dicadangkan diadakan setiap tiga tahun secara automatik, bukannya mengikut amalan yang tidak menentu sekarang berdasarkan kehendak pimpinan politik sahaja.

“Cara Umno-BN menangani masalah tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat adalah dengan menaikkan gaji dan elaun kakitangan awam bermula pada 1 Julai 2013, iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

“Cadangan itu merupakan penyelesaian separuh masak dan tidak menyeluruh. Ia bersifat jangka pendek tanpa menyelesaikan masalah pokok yang dihadapi kakitangan awam dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya berhubung kenaikan harga barang yang mendadak,” katanya lagi.