Categories
NASIONAL SELANGOR

Jasad Keluar Negara, Nama Didaftarkan Sebagai Pengundi

SHAH ALAM, 3 APRIL : Kepincangan sistem pilihanraya Malaysia terbukti sekali lagi apabila seorang pembantu akauntan mendakwa beliau didaftar sebagai pengundi tanpa pengetahuannya.

Lebih memeranjatkan lagi, Jeisha Nukasy, 36, didaftar sebagai pengundi pada Feb 17 semasa beliau berada di luar negara atas urusan kerja.

Menurut ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei, Jeisha bukan kes pertama yang beliau pernah temui.

Jeisha mendakwa beliau didaftarkan sebagai pengundi oleh pihak tidak bertanggungjawab semasa beliau berada di Thailand.

Jeisha menyedari perkara tersebut semasa beliau pergi ke pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Kompleks PKNS Shah Alam untuk mendaftar sebagai pengundi pada 31 Mac.

?Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa nama saya telah didaftarkan pada 17 Februari lalu sedangkan 16 Feb hingga 19 Feb saya berada di Thailand,? Jeisha berkata apabila ditemui di Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Jeisha tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat bagaimana beliau boleh didaftarkan tanpa kehadiran dan kad pengenalan.

Hadir bersama Jeisha adalah suaminya Steven Sivatian dan ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei.

Jeisha berkata mengikut rekod SPR, beliau didaftarkan sebagai pengundi di Jalan Kebun yang berada di dalam kawasan DUN Seri Muda.

Sementara itu Shuhaimi berkata beliau dalam proses menghubungi seorang lagi pengundi yang mengalami perkara yang sama.

Sebelum ini, media melaporkan yang kawasan mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diubah tanpa pengetahuannya daripada Petaling Jaya Selatan ke Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

“SPR diminta untuk membersihkan senarai nama pengundi sebelum pilihanraya dan bertindak secara adil dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik seperti UMNO-BN untuk memenangi pilihanraya akan datang,” jelas Shuhaimi.

Categories
SELANGOR

Dr Halimah Kesal Dengan SMS Palsu Bantuan Banjir

KLANG, 3 APRIL : Pejabat ADUN Selat Klang kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang mengatakan Pejabat itu menyediakan RM300 untuk mangsa-mangsa banjir.

Pegawai Khas Pejabat ADUN Selat Klang, Abdul Razak Abdul Rashid berkata SMS tersebut diterima penduduk ketika kejadian banjir kilat Jumaat lalu dan melahirkan perasaan kesal terhadap perkara itu ketika ditemui hari ini.

“SMS tersebut disebarkan kepada penduduk dan mereka datang untuk menuntut wang di Pejabat DUN Selat Klang dan kami terkejut kerana mereka menyatakan pihak DUN menyediakan bantuan RM300 kepada mereka.” jelas Abdul Razak lagi.

ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata tindakan tersebut mungkin dilakukan oleh musuh politik mereka.

Dr Halimah ditemui di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Delek ketika meninjau program bancian mangsa banjir yang dilakukan pusat khidmat itu di sini semalam.

Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Klang berpunca daripada kegagalan kunci air berfungsi dan menyebabkan hampir 1,000 penduduk di sekitar Kampung Delek mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Sementara itu, Dr Halimah berkata Pusat DUN Selat Klang menerima sebuah van untuk tugasan kemasyarakatan hasil sumbangan syarikat Capyield Sdn. Bhd.

Van tersebut digunakan untuk mengagihkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Kampung Delek dan beberapa kawasan berhampiran.

Selain itu, Pejabat DUN Selat Klang dan Pusat JKKK Kampung Delek telah mengadakan Tabung Kebajikan DUN Selat Klang untuk menerima sumbangan daripada orang ramai bagi menolong mangsa banjir.

Sumbangan boleh dimasukkan ke no akaun Tabung Kebajikan Dun Selat Kelang 120 100 100 804 20 Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Categories
SELANGOR

Mangsa Banjir Klang Terima Bantuan Dalam Masa Terdekat

KLANG, 2 APRIL : Hampir 1,000 mangsa banjir di kawasan Kampung Delek di sini, bakal menerima bantuan daripada Kerajaan Selangor dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Delek, Samsul Bahari Ehsan berkata pihaknya telah rekodkan 99 peratus daripada penduduk yang mengalami kerugian daripada banjir yang berlaku pada hari Jumaat lepas.

“Selepas bancian selesai, pihak kami akan menghantar laporan ke Pejabat Daerah untuk tindakan susulan serta meminta bantuan dari Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”

Tambah Samsul Bahari, agensi-agensi tersebut akan mengambil masa lebih kurang seminggu untuk memproses permohonan-permohonan tersebut.

Bantuan yang bakal diagihkan termasuk RM300 pada setiap keluarga yang diumumkan oleh Menteri Besar Sabtu lepas.

?Kita akan mengambil lebih kurang satu lagi minggu untuk mengagihkan bantuan tersebut,? beliau berkata ketika ditemui di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Delek di sini hari ini.

Hujan lebat awal pagi Jumaat lalu mengakibatkan beberapa kawasan di Klang mengalami banjir kilat yang disifatkan terburuk di dalam sejarah tempat itu.

Banjir itu dipercayai berpunca daripada kunci air pada sistem saliran gagal berfungsi pada hari tersebut.

Antara kawasan yang teruk dilanda banjir adalah Kampung Delek Kiri, Kampung Delek Kanan, Kampung Delek Baru, Jalan Masjid, Sungai Sireh dan Kampung Keretapi.

Sementara itu ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali berkata, pihaknya memberikan bantuan kecemasan sebanyak RM50,000 khusus untuk banjir itu.

Wang itu digunakan untuk membantu mengemas rumah dan membeli barang-barang keperluan asas seperti beras bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan ibu tunggal.

“Kita mengambil berat akan golongan-golongan yang kurang bernasib baik dan bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban yang mereka tanggung,” jelas Halimah.

Beliau ditemui ketika menyampaikan bantuan beras kepada mangsa banjir Rodiah Saad, 55, di Kampung Delek.

Halimah yang juga Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, mendakwa sehingga kini, Kerajaan Pusat tidak memberi apa-apa sumbangan kepada mangsa banjir.

Categories
SELANGOR

MB: Peruntukan RM67.5 Juta Untuk Pembangunan Belia

SHAH ALAM, 31 MAC : Golongan belia di Selangor disaran agar memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang selaras dengan tuntutan keperluan masa kini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Bajet 2012 menyediakan peruntukan yang besar bagi manfaat golongan belia di negeri ini.

Katanya berdasarkan perangkaan tahun 2011 sebanyak 41.2 peratus atau lebih 2.2 juta daripada 5.4 juta penduduk Selangor terdiri daripada golongan belia.

“Kerajaan negeri menyedari kepentingan belia dalam impak ekonomi dan pembangunan masyarakat di Selangor dan merangka pelbagai program kepada belia untuk bersama-sama membangunkan negeri supaya terus maju dan hasilnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.” jelas beliau

Katanya, menerusi Geran Selangorku, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM67.5 juta untuk pembangunan belia yang merangkumi program latihan belia (RM3.5 juta), keusahawanan muda (RM30 juta), pembangunan sukan (RM4 juta), penyediaan infrastruktur sukan (RM30 juta).

Menurut Abdul Khalid Kerajaan negeri mengiktiraf pemegang Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) setaraf dengan kelulusan akademik dan layak memohon berkhidmat di sektor awam, sementara bagi bagi sektor swasta, mereka layak menerima gaji setaraf dengan pemegang sijil dan diploma.

Selain itu katanya, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) yang sebelum ini dijadikan pilihan terakhir pelajar diiktiraf kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, bukan sahaja cemerlang daripada segi teknikal tetapi mempunyai jati diri yang lengkap.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan memperuntukan sebanyak RM33.5 juta untuk pelaksanaan program khas kepada belia untuk menceburi bidang perniagaan menerusi program Usahawan Muda dan melalui latihan yang disediakan secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri sedia maklum dengan keperluan belia dalam permulaan melangkah dan mengembangkan karier selepas lulus di peringkat sijil, diploma mahupun ijazah.

“Oleh itu, Program Usahawan Muda ini berinisiatif sebagai platform kepada belia-belia yang ingin memulakan perniagaan mahupun yang ingin melebarkan perniagaan keluarga yang sedia ada,” tambah Abdul Khalid yang juga MP Bandar Tun Razak.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen INPENS International College Kali ke 16 yang diadakan di Dewan Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Seramai 432 graduan pelbagai bidang kemahiran menerima sijil dan anugerah kecemerlangan akademik dan kokurikulum termasuk 14 graduan Diploma Eksekutif Automotif yang pertama kali diadakan di kolej ini.

Categories
SELANGOR

Mohd Hanis, Zulaikha Menang Anugerah Khas MB

SHAH ALAM, 31 MAC : Seramai 432 orang pelajar pelbagai jurusan menerima sijil dan diploma kemahiran masing-masing di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Majlis Konvokesyen INPENS International College kali ke 16 ini berlangsung dengan jayanya dan beberapa anugerah diberikan kepada para pelajar berkat hasil usaha gigih yang mereka lakukan selama ini.

Anugerah Khas Menteri Besar Selangor berupa trofi, piala pusingan, sijil dan wang tunai diberikan kepada Mohammad Hanis Abdul Malek, 24 dan Siti Zulaikha Mohamad Kamal, 20, yang menunjukkan prestasi membanggakan dalam bidang akademik dan kokurikum masing-masing.

Hanis, yang berasal dari Johor Bahru ini menunjukkan ciri-ciri ketokohan kerana menjadi Ketua Platun kawalan Kehormat Pertahanan Awam ketika di INPENS dan kini bekerja sebagai Service Advisor di Suzuki Motor Sdn Bhd.

Pemegang Diploma Eksekutif Automobil ini turut mencipta mini skuter yang kreatif ketika melaksanakan projek tahun akhirnya dan menyimpan cita-cita ingin membangunkan industri permotoran di negara ini.

Sementara itu, Siti Zulaikha, beliau aktif dalam menyertai pelbagai program seperti perkhidmatan gunting rambut secara percuma serta beberapa kursus dandanan rambut merasa terharu dengan anugerah yang diberikan kepadanya.

Selain itu, pemegang sijil pendandan rambut ini turut menyimpan cita-cita ingin menjadi seorang pakar rujuk dalam bidang dandanan suatu hari nanti dan kini telah bekerja sebagai tenaga pengajar muda di pusat kecantikan di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam.

Anugerah-anugerah yang disediakan mendapat tajaan dari beberapa syarikat korporat seperti PNSB Insurance Broker Sdn Bhd, Lembaga Zakat Selangor, Proton Holding Berhad, PERODUA group of Companies, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, PKNS dan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN).

Majlis ini dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Presiden INPENS, Datuk Dr. Mohd Mydin Mohd Sherif, Pengerusi Lembaga Pengarah INPENS, Datuk Dr. Rosti Saruwono dan Exco-exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Kampus INPENS di Kuala Selangor ini berjaya melahirkan ramai graduan dalam bidang kemahiran dan sering berusaha meningkatkan kualiti graduannya supaya mendapat tempat di dalam bidang pekerjaan di Malaysia.

Categories
SELANGOR

PKNS Rai Anggota Di Malam Anugerah Perkasa

SHAH ALAM, 30 MAC : Ishak Hashim baru menerima berita tentang kematian ayahnya.

Tetapi beliau menahan perasaan sedih supaya dapat melakukan tugasnya untuk mengiring Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke sebuah tapak projek Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Akan tetapi Ishak tidak mengabaikan tanggungjawbnya kepada keluarganya dan sejurus selepas melakukan tugasnya kepada PKNS, beliau bergegas kembali pulang ke kampungnya.

?Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PKNS dan saya merasakan semua yang berada di sini adalah pemenangnya kerana kerana kita bekerja kuat untuk memajukan PKNS ,? ujar beliau yang memenangi Anugerah Khas Perkasa PKNS malam tadi.

Anugerah tersebut merupakan yang tertinggi yang diberikan PKNS bagi menghargai peranan dan sumbangan anggota-anggotanya yang benar-benar menyerlah dan berwibawa dalam menaikkan imej PKNS.

?Waktu menerima panggilan kematian ayah, perasaan terlalu sedih tetapi saya terpaksa merahsiakannya dari pengetahuan orang lain kerana komitmen tugas saya selaku pengurus perhubungan awam dan tidak mahu membebankan orang lain,” tambah beliau lagi ketika di temuramah selepas majlis itu.

Selain itu, Ishak yang turut memenangi Anugerah Pengurus Perkasa Kumpulan A juga merupakan seorang yang prihatin terhadap anggota dan pelanggan PKNS serta mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi terhadap kerja.

Malam Anugerah Perkasa PKNS 2011 berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) malam semalam.

Seramai 76 anggota dari empat kategori jawatan iaitu pengurus kumpulan A, eksekutif kumpulan B dan anggota kumpulan C dan D tercalon bagi merebut anugerah yang menyediakan trofi, sijil dan wang saguhati.

Selain kakitangan, PKNS turut memberi pengiktirafan kepada bahagian, pasukan, vendor, kontraktor, juruperunding, dan sub kontraktor yang telah memberi perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada perbadanan itu.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengurus Besar PKNS, Othman Omar serta beberapa ADUN Selangor.

Categories
SELANGOR

Kilang Radioaktif Tidak Boleh Di Selangor

SHAH ALAM, 27 MAC : Dewan Negeri Selangor hari ini meluluskan usul bagi menolak sebarang permohonan pembinaan kilang-kilang pemprosesan bahan radioaktif di Selangor.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata industri bahan radioaktif adalah amat berisiko dan memerlukan kos dan kepakaran yang tinggi.

“Industri yang melibatkan penggunaan radioaktif adalah sangat berisiko tinggi untuk dilaksanakan kerana memerlukan beberapa aspek yang perlu di ambil kira sebelum kita melaksanakannya,” ujar Weng San yang membentangkan usul tersebut.

Rakyat juga telah menolak pembinaan loji-loji yang serupa dan ini ditunjukkan di dalam himpunan 110,000 rakyat memprotes loji Lynas di Kuantan, Pahang baru baru ini.

Weng San menambah gempa bumi 8.9 richer yang mencetuskan tsunami dan pemusnahan stesen jana nuklear pada 2011 harus menjadi contoh terbaik buat rakyat menilai keselamatan bahan radioaktif.

Menyokong usul tersebut, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari turut berkata rakyat tidak seharusnya tergesa-gesa untuk mengejar pembangunan tanpa memikirkan kesannya yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

“Manusia tergesa-gesa mengejar pembangunan yang mengatasi kekangan dan halangan akan memudaratkan generasi akan datang.?

Usul tersebut disokong oleh ADUN Pakatan Rakyat dengan sebulat suara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng: Bukti JATI ada hubungan dengan UMNO-BN

SHAH ALAM, 27 MAC : Pesanan Blackberry yang dikirim oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Teng Chang Khim kepada semua Exco Selangor termasuk Bekas Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr. Hassan Ali telah disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Adun-Adun Umno-BN.

Selain itu, Hasan Ali juga menggesa mereka meninggalkan dewan pagi ini kerana memprotes tindakan yang dibuat oleh Chang Khim.

SMS yang dihantar Teng kepada Exco yang kemudiannya dimajukan Hasan kepada Adun Bn adalah seperti berikut “This is possibly the last winding up sessions for exco, opportunity should be fully used to talk about our success in the past four years like what Yaakob is doing now.(Teng tersilap hantar sms ini pada saya, persoalannya tidakkah ini bertentangan dengan amalan speaker TIDAK sepatutnya bias. Elok tak kita jadikan isu pagi ini dan KELUAR TINGGALKAN DEWAN. Hari ini sidang tamat,”.)

Teng turut mengakui tersalah mengantar pesanan SMS tersebut kepada Bekas Exco, Hasan Ali dan menganggap pesanan sms tersebut bukan merupakan isu besar atau menyalahi etika Dun.

“Ini juga menunjukkan bahawa Umno-BN mempunyai hubungan yang baik dengan JATI,” ujar Chang Khim ketika ditanya bagaimana pesanan ini boleh diketahui oleh Adun Umno-BN.

Tujuh orang ADUN Umno-BN bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Teng tersebut.

SMS tersebut mengandungi pesanan dari Chang Khim yang menyarankan semua Exco supaya membuat penggulungan usul dengan sebaik-baiknya seperti apa yang dilakukan oleh Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Categories
SELANGOR

Tiada Lagi Kecurian Kayu Bakau Di Rekodkan

SHAH ALAM, 27 MAC : Jabatan Perhutanan Selangor (JPS) mengambil beberapa langkah yang proaktif bagi menangani masalah kecurian kayu bakau setelah lesen pengusahasilan kayu bakau ini ditamatkan pada 1 Julai 2010.

JPS merekodkan sehingga 29 Februari 2012 tiada sebarang kecurian kayu bakau dalam kawasan Hutan Simpan Pulau Ketam dengan tertangkapnya seorang warganegara Malaysia yang menjadi ketua sindiket di Pulau Ketam pada tahun 5 Mei 2010.

Sehubungan itu, JPS melaksanakan operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin PDRM Selangor, dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menambah kekerapan rondaan di 25 hutan simpan paya laut persisir pantai dan kawasan pulau.

Selain itu, JPS juga melakukan rondaan enam kali melalui udara setahun dan turut menempatkan kakitangan JPS di jeti-jeti bagi memeriksa kayu bakau yang di import dari Indonesia dan negeri-negeri lain.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata demikian  ketika menjawab soalan dari ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkaitan pengurusan Hutan Paya Laut di Selangor.

Elizabeth turut berkata, selain pemasangan papan tanda di sepanjang hutan simpan, JPS juga melaksanakan kempen kesedaran tanaman bakau dengan kerjasama korporat, NGO dan orang awam.

“Tindakan pemasangan tanda ini adalah sebagai salah satu kaedah untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang kewujudan hutan simpan,” ujar beliau.

 

Categories
SELANGOR

Selangor Catat 70,000 Peluang Pekerjaan Sepanjang 2009-2011

SHAH ALAM, 27 MAC : Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya meningkatkan peluang pekerjaan sepanjang 3 tahun dari 2009 – 2011 sebanyak 70,000 ribu pekerja di Selangor.

Sementara itu, Selangor State Investment Centre (SSIC) yang terlibat dalam sektor perindustrian di Selangor yang mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak 8.74 billion pada tahun 2011 juga turut  merekodkan pertambahan jumlah pekerja yang diperlukan setiap tahun.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ketika membahaskan usul di DNS hari ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat tentang masalah berkaitan pekerjaan seperti gaji yang rendah dan lambakan pekerja asing yang bekerja di kilang-kilang.

Selain itu, Kerajaan Negeri menghadapi masalah berkaitan dengan kekurangan pekerja tempatan untuk menerima tawaran bekerja berikutan gaji rendah dan lambakan pekerja asing yang bekerja di Selangor.

Sehubungan itu katanya, universiti-universiti tempatan disaran memainkan peranan dalam menyediakan pekerja-pekerja yang berkualiti supaya hasil pengeluaran di negeri ini meningkat setiap tahun.

“Universiti-universiti tempatan digesa untuk menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar supaya menjadikan mereka pekerja yang berkemahiran yang dapat berkhidmat di pelbagai sektor di Selangor,” ujar Abdul Khalid ketika menjawab soalan dari ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali tentang peranan universiti tempatan terhadap peluang pekerjaan di Selangor.

Abdul Khalid turut memberitahu, kerajaan negeri juga dalam usaha menyediakan pekerja-pekerja yang berkemahiran sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam melaksanakan penyelarasan gaji minima RM1500.

“Mereka seharusnya diberi latihan kemahiran supaya dapat meningkatkan produktiviti dan layak diberi gaji minima,” ujar beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kutipan Royalti Pasir Kini Lebih Baik Dari Era Umno-BN

SHAH ALAM, 26 MAC : Gagal diurus dengan baik sewaktu era Umno-BN, kini hampir semua berjaya ditangani dengan baik oleh Syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) sehingga keuntungan perlombongan pasir meningkat sejak di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat(Pakatan).

Bukti ketelusan itu,  royalti yang diterima kerajaan negeri meningkat kepada RM32.5 juta untuk tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011 berbanding hanya RM12.51 juta dari tahun 2005 – 2007 dibawah Umno-BN.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap Dewan Plenary, Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini bagi majlis menandatangani kontrak di antara KSSB dan kontraktor-kontraktor yang terpilih bagi melombong pasir di Selangor.

“Dulu pengurusan pasir tidak diurus dengan baik kerana pegawai kerajaan tidak mempunyai kepakaran dalam melombong pasir.

“Semasa Umno-BN memerintah, ramai yang melombong pasir tetapi tidak ikut peraturan, ada lesen atau tidak ada lesen tiada beza kerana mereka sesuka hati melombong pasir tanpa had,” ujar Menteri Besar .

Tambahnya, Pejabat Daerah tiada pemantauan yang rapi tentang pengeluaran pasir yang dilakukan sebelum ini.

Peningkatan hasil pasir secara mendadak ini adalah disebabkan oleh urus tadbir perlombongan pasir dilakukan dengan adil dan berhemah serta sentiasa mendapat pemantauan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, KSSB dengan usahasama Transparency International (TI-Malaysia) sedang melaksanakan Sistem Integrity Pact (IP) ataupun dikenali sebagai Pakatan Integriti (IP) yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2012.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Wan Halim Wan Ismail berkata, kontraktor-kontraktor yang  dilantik mestilah mematuhi segala syarat – syarat yang ditetapkan oleh KSSB seperti tidak boleh meminta dan menerima rasuah, menyalahguna jawatan atau kedudukan dan lain-lain lagi.

Majlis ini turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Selangor, Datuk Jaafar Maahad.

Categories
NASIONAL

Penyelewengan UMNO terbongkar

SHAH ALAM,22 MAC : ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei hari ini mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan negeri Umno-BN dulu dalam pemberian tanah yang melibatkan beberapa bahagian Umno Selangor.

Shuaimi berkata pendedahan tersebut merupakan reaksi daripada desakan ADUN Umno-BN di dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada 20 MAc agar beliau membuktikan dakwaan tentang penyelewangan Umno-BN.

Shuhaimi mendedahkan tiga kes, iaitu pemberian tanah Kerajaan kepada Umno Kota Raja pada tahun 2007 dan cubaan Ketua Umno Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan Bumiputera.

Satim juga didakwa telah menggunakan pengaruhnya di dalam pentadbiran Umno-BN yang lama bagi menjual tanah anak syarikat Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat swasta di mana beliau mempunyai kepentingan.

“Sewaktu sesi perbahasan berkaitan isu tanah dan pasir semalam, ADUN-ADUN Barisan Nasional mendesak saya supaya mengeluarkan bukti dan fakta berkaitan penyelewengan yang dilakukan sewaktu pemerintahan BN dahulu.?

Dalam kes pertama, sebidang tanah seluas 2.86 hektar di Sek 25, Jalan Bukit Kemuning, Klang yang dimohon oleh 11 syarikat swasta dan satu permohonan dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Akhirnya, jawatankuasa exco pentadbiran Umno-BN menganugerahkan empat ekar kepada Umno bahagian Kota Raja dan sebanyak tiga ekar kepada MBSA.

Shuhaimi mendakwa dalam permohonan asal, MBSA telah meminta empat ekar manakala Umno Kota Raja tidak mengemukakan permohonan.

“Bagaimana tanah yang sepatutnya MBSA mohon empat ekar akhirnya dapat tiga ekar dan Umno mendapat empat? Umno juga mendapat tanah itu dengan harga yang murah iaitu RM1 kaki persegi.?

Dalam kes kedua, Shuhaimi membongkar cubaan Satim untuk menjual tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera.

“Tanah rizab melayu adalah milik bumiputera dan dilarang menjualnya kepada syarikat bukan milik bumiputera.?

“Umno Bahagian Puchong telah memohon untuk memindah milik tanah rizab melayu kepada Lagi Gemilang Sdn. Bhd yang 75 peratus ahlinya bukan terdiri dari bumiputera,” ujar Shuhaimi.

Walaubagaimanapun usaha tersebut dihalang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam kes ketiga, Shuhaimi berkata Satim telah mempengaruhi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk menjual sebidang tanah mereka kepada syarikat Nikmat Inai semasa era pemerintahan Umno-BN.

Pada masa itu, Satim memegang saham di dalam syarikat tersebut.

Tanah itu kemudiannya dijual kepada Perbadanan Kemajuan Selangor (PKNS) dengan harga yang lebih tinggi untuk mengaut untung, Shuhaimi berkata.