Categories
AGENDA JENAYAH

Lahad Datu selamat, tiada petunjuk 10 lelaki bersenjata susup masuk

LAHAD DATU,  4 FEB: Tiada sebarang petunjuk ditemukan berhubung dakwaan sekumpulan lelaki bersenjata warga asing menyusup masuk ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan pada 28 Jan lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah.

Beliau berkata pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah menjalankan tindakan dari sudut risikan dan penyiasatan berkaitan perkara itu.

“Namun begitu, polis bersama pasukan keselamatan lain sentiasa memberikan perhatian mengenai keselamatan di pantai timur Sabah dan Sabah amnya daripada sebarang ancaman luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Idris dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang mengenai tahap keselamatan di negeri ini.

Menurut sumber, Bernama difahamkan seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan pada minggu lepas.

Lelaki berkenaan juga mendakwa kesemua individu itu dipercayai warga Filipina berdasarkan perbualan menggunakan bahasa Suluk.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis buru pelumba kereta di lebuh raya, hukuman berat dikenakan

SHAH ALAM, 30 JAN: Polis akan menyita kenderaan terbabit dengan kegiatan lumba haram termasuk di lebuh raya untuk tempoh panjang serta mengenakan saman maksimum kepada pemandu.

Ketua penolong pengarah penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman berkata aktiviti berlumba di lebuh raya mengundang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna lain.

“Kita akan buat tindakan susulan untuk mengesan lokasi serta pelakunya. Setiap perbuatan melanggar undang-undang pasti akan menerima padah dan kesannya.

“Tindakan sita kenderaan dalam tempoh masa yang lama akan dikenakan terhadap pelaku selain saman dengan kadar maksimum bagi memastikan aktiviti sama tidak berulang,” kata Superitendan Dr Bakri Zainal Abidin

Beliau berkata penguatkuasaan dan pemantauan akan ditingkatkan bagi menangani kegiatan semakin berleluasa di negara ini.

Menurutnya, sekatan jalan raya akan dijalankan di kawasan berisiko tinggi bagi memberi kesedaran kepada pelumba haram supaya berfikir dua kali sebelum melakukan aktiviti berkenaan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH PILIHAN MINGGUAN

MBI peruntuk RM27,300 bantu mangsa banjir, beri manfaat 91 keluarga

KAJANG, 30 JAN : Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM27,300 bagi membantu 91 keluarga terkesan banjir di mukim Beranang, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata setiap rumah menerima wang tunai RM300 dan diharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban mereka.

“Sebanyak tujuh kampung di mukim ini terlibat dengan banjir pada 22 November tahun lalu. Bencana ini juga menyebabkan banyak kerosakan dan kerugian dialami penduduk.

“Justeru, MBI terpanggil untuk menyampaikan sedikit sumbangan tunai ini kepada mereka. Semoga bantuan dapat meringankan beban mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Beranang oleh MBI di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Minangkabau.

Selain bantuan kewangan kepada mangsa banjir, Norita berkata MBI turut mengagihkan bakul makanan serta menyediakan sukarelawan bagi membantu kerja pembersihan pascabanjir.

“Banyak bantuan sudah diagihkan, insya-Allah ia akan diteruskan dari semasa ke semasa. Semua bantuan ini juga adalah peruntukan daripada RM1.5 juta seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.

Pada 22 November tahun lalu, tujuh kampung sekitar Beranang terjejas banjir iaitu Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sesapan Batu Rembau, Kampung Sungai Jai, Kampung Jalan Enam Kaki Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Kelubi dan Kampung Bukit Kepong.

Categories
AGENDA JENAYAH

HARAPAN gesa kerajaan sedia aset hadapi bencana, tumpu perubahan iklim

SHAH ALAM, 21 JAN: Ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa kerajaan membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang bencana banjir besar pada masa depan termasuk menyediakan aset yang mencukupi.

Dalam sesi perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam ahli parlimen HARAPAN juga mahu kerajaan mengambil serius soal fenomena perubahan iklim yang menjejaskan negara ini.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu kerajaan berterus-terang adakah aset negara mencukupi untuk berdepan dengan bencana berskala besar.

“Saya ingin bangkitkan mengenai aset-aset kerajaan selepas melihat pengurusan banjir yang lepas.

“Berterus teranglah adakah aset kita mencukupi untuk berhadapan dengan bencana berskala besar ini? Senaraikan aset-aset ini dan jika perlu Kementerian Kewangan peruntukkan dana yang besar untuk selesaikan masalah ini demi keselamatan,” ujar beliau.

Sementara itu, ahli parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang kawasannya turut terjejas akibat banjir menggesa kerajaan memberi fokus kepada usaha membaik pulih di Lembah Klang.

“Proses membaik pulih banjir di Lembah Klang perlu difokuskan kerana kawasan itu merupakan pusat ekonomi Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng pula menggesa proses desentralisasi dilaksana dengan meletakkan Nadma di bawah Kerajaan Negeri bagi memudahkan pengurusan bencana terutama banjir.

“Desentralisasi ini adalah dalam usaha pencegahan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat dan pengurusan pemulihan,” kata beliau yang juga bekas Menteri Kewangan.

Ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pula menyarankan satu perjumpaan dalam tempoh enam bulan lagi diadakan menerusi jawatankuasa khas yang mampu menyelaras dan mengukur keberkesanan kementerian, negeri dan agensi terlibat dalam mengurus bencana.

“Perjumpaan ini mampu memberi hasil kepada Malaysia agar kalis bencana dan cabaran masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menggesa kerajaan memberikan lebih perhatian kepada soal perubahan cuaca.

“Kita semua sebut hujan berlaku luar biasa tetapi kita harus tahu ini adalah cuaca fenomena baharu yang kita akan lihat lebih lagi pada hari-hari mendatang,” katanya.

“Kita perlu bersiap sedia dan saya harap kerajaan dapat beri cadangan bernas dan ambil tindakan untuk melaksanakannya.”

Ahli parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus pula mengesyorkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mewujudkan satu unit khas di peringkat negeri yang fokus kepada soal bencana.

“Jika bencana tidak berlaku unit ini perlu melawat ke daerah-daerah bagi melihat persiapan depot simpanan makanan dan cadangan pusat pemindahan sementara (PPS),” jelasnya.

Ahli parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah turut menggesa kerajaan memberikan pampasan kepada setiap isi rumah yang terjejas banjir antara RM5,000 hingga RM10,000.

“Oleh kerana tiada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk biayai kerosakan ini, kita boleh dapatkan bantuan daripada pelbagai agensi seperti Petronas,” katanya.

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mendakwa kerajaan pusat tidak serius dalam menangani masalah banjir kerana sepatutnya perkara itu dibincang dalam sidang parlimen pada 20 Disember lalu.

“Berapa banyak pembaziran yang dilakukan dengan memanggil wakil rakyat di seluruh negara tetapi tiada perbincangan, isu banjir juga tidak dibahas walaupun diminta,” jelasnya.

Categories
AGENDA JENAYAH

Suri rumah hilang simpanan Tabung Haji ditipu sindiket dalam talian

SIBU, 19 JAN: Seorang suri rumah di sebuah perkampungan nelayan di Igan, Bahagian Mukah dekat sini membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Sibu semalam, selepas mengalami kerugian lebih RM87,000 yang termasuk wang simpanannya dalam Tabung Haji, apabila menjadi mangsa terbaru Macau Scam baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat dalam kenyataan semalam berkata ia bermula apabila suri rumah berumur 50-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita bernama ‘Mastura’ yang kononnya mendakwa nama suri rumah itu digunakan untuk membuat tuntutan insurans RM76,000.

Beliau berkata suri rumah itu percaya kononnya bagi menangguhkan “waran tangkap” dan mengelak akaun dibekukan, dia diminta membuka akaun baharu di samping turut diminta menyerahkan maklumat mengenai akaun berkenaan serta akaun Tabung Hajinya.

Katanya wanita itu kemudiannya diarahkan membuat lima transaksi tunai ke akaun berkenaan dari tempoh 13 Dis hingga 4 Jan lepas melibatkan jumlah keseluruhannya RM61,000.

Menurutnya wanita itu sedar ditipu hanya selepas membuat semakan baki di akaun bank berkenaan dan mendapati RM61,000 telah lesap, manakala wang RM26,138 dalam akaun Tabung Haji juga telah tiada.

Collin berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan tipu helah apabila dihubungi orang tidak dikenali, yang mengaku kononnya pegawai polis, peguam, wakil insurans dan sebagainya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Serah nombor kad bank, pesara guru rugi RM100,000 ditipu penyamar ejen insurans

ALOR SETAR, 17 JAN: Seorang pesara guru wanita kerugian RM100,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ oleh seorang individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada 3 Jan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang berusia 60 tahun dan berasal dari Changlun, Kubang Pasu itu menerima panggilan telefon berhubung satu kes kemalangan dan tuntutan insurans yang melibatkan mangsa.

“Mangsa yang menafikan tuntutan insurans berkenaan kemudiannya telah diarahkan untuk membuat laporan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur secara dalam talian. Panggilan itu telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari balai polis berkenaan.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diminta untuk memberikan 16 digit nombor yang tertera di kad bank serta butiran perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata mangsa yang berasa curiga telah membuat semakan dan mendapati wang dari akaunnya berkurangan dengan berlaku pindahan wang secara berperingkat yang berjumlah RM100,000 dari akaun miliknya ke akaun milik suspek.

“Suspek telah menakutkan mangsa dan memaklumkan waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan dan bagi mengelakkan mangsa ditahan polis, mangsa perlu melaporkan diri kepada suspek menerusi aplikasi WhatsApp setiap dua jam.

“Mangsa yang bimbang kemudiannya telah membuat laporan polis pada 13 Jan lalu di Balai Polis Changlun dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Elias sehubungan itu meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan pengasuh tampar bayi lapan bulan

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Polis menahan seorang wanita yang disyaki menampar bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah rumah di Bandar Tasik Permaisuri Cheras di sini, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Kamaruzaman Elias berkata wanita berusia 48 tahun yang merupakan pengasuh kepada mangsa itu ditahan selepas ibu bayi berkenaan yang berusia 25 tahun membuat laporan berhubung kejadian pada pukul 11.29 malam hari sama.

Menurutnya, ibu bayi itu mendakwa pipi kanan anak bongsunya kemerah-merahan ketika mengambilnya dari rumah pengasuh.

“Siasatan mendapati pengasuh mengaku tidak sengaja menampar pipi mangsa ketika berada dalam buaian selepas dikatakan sering muntah.

Suspek (pengasuh) dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil dan kita tunggu laporan penuh perubatan mangsa sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan arahan pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kertas siasatan dibuka dan diklasifikasikan sebagai kes penderaan kanak-kanak yang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kamaruzaman menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih dan boleh mengganggu siasatan polis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis: Remaja curi tabung masjid mahu beli dadah, bukan ubat datuk

SHAH ALAM, 14 JAN: Alasan seorang lelaki yang cuba mencuri wang tabung masjid kononnya hendak membeli ubat untuk datuknya adalah tidak benar, dedah ketua polis Sungai Buloh.

Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata sebaliknya, siasatan awal mendapati remaja berusia 19 tahun itu bertindak demikian untuk mendapatkan bekalan dadah, lapor Berita Harian.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu mencuri untuk mendapatkan dadah, bukan untuk beli ubat datuknya seperti tular di media sosial. Remaja itu didapati terbabit kes dadah sejak setahun lalu,” katanya.

Remaja itu tular di media sosial selepas dimandikan seperti ‘jenazah’ kerana cuba mencuri duit tabung itu dipercayai terbabit kegiatan dadah sejak setahun lalu.

Semalam, Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dekat Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, Sabtu lalu.

Sebelum itu, peguam yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini adalah kesalahan kali pertama anak guamnya serta dia sudah insaf dan sudah memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid.

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis mohon ekstradisi suspek bunuh pensyarah Palestin

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon suspek kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin pada 2018, di sini, yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin semalam, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pada masa ini, PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).

“PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin, bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas dipetik berkata pada Ahad suspek pembunuhan Fadi al-Batsh telah ditahan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Kota Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut oleh Mossad.

Pada 21 April 2018, Fadi, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Mayat bayi ditemui beralas papan kayu di Setapak

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Mayat bayi perempuan cukup sifat ditemukan beralaskan papan kayu di kawasan rumput di Flat Danau Kota, Setapak hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu daripada orang awam pada pukul 8.21 pagi tadi.

“Hasil penemuan di tempat itu mendapati mayat yang dijumpai dipercayai berumur sehari, jantina perempuan dan bangsa tidak pasti,” katanya dalam kenyataan.

Ashari berkata tiada kecederaan ditemukan pada mayat bayi berkenaan yang kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit.

Ashari memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tangkap pemuda lempar kata kesat kepada penguat kuasa MPKS

SHAH ALAM, 6 JAN: Seorang lelaki yang dikatakan melakukan provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada Selasa ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar pemuda berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Bidara 6/3, Saujana Utama jam 9 malam.

“Bertindak atas laporan yang diterima daripada anggota penguat kuasa MPKS semalam, polis berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki pada jam 9 malam,”katanya. dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Selasa lepas, tular satu rakaman video seorang anggota penguat kuasa MPKS sedang menjalankan tugas menyaman kenderaan yang menyalahi undang-undang dalam kawasan tugasan di Jalan Bidara 6/2 Saujana Utama diprovokasi oleh seorang lelaki.

Susulan insiden itu, anggota penguat kuasa berkenaan membuat laporan polis.

Setiausaha MPKS dalam kenyataan semalam memuji anggota penguat kuasa berkenaan kerana menjalankan tugas secara profesional serta tidak ambil peduli terhadap provokasi dihadapi.

Yusli Askandar berharap kejadian itu menjadi iktibar kepada semua.

Tangkap layar rakaman seorang anggota penguat kausa Majlis Perbandaran Kuala Selangor diprovok seorang lelaki ketika sedang bertugas. Foto Facebook MPKS
Categories
AGENDA JENAYAH

Wanita tipu jadi mangsa banjir, terima bantuan NGO ditahan polis

KUANTAN, 4 JAN: Seorang wanita tergamak menipu mengatakan dirinya adalah mangsa banjir bagi mendapatkan bantuan yang disalurkan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di Mentakab, Temerloh baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek berumur 33 tahun itu didakwa membuat permohonan bantuan banjir yang disampaikan sebuah NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) di Temerloh pada 29 Dis lepas.

“Suspek mendakwa dirinya berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak menerima sebarang bantuan, menyebabkan NGO tersebut memberi sumbangan kewangan, bekalan makanan, toto, selimut, bantal dan peralatan elektrik seperti kipas angin, mesin pengisar dan periuk nasi bernilai RM700.

“Bagaimanapun, NGO itu menerima rungutan orang ramai mendakwa wanita itu bukan mangsa banjir kerana alamat rumah yang digunakan dalam permohonan itu tidak didiami suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata seorang ahli NGO Itu membuat semakan sendiri dan mendapati wanita itu turut membuat permohonan bantuan kepada NGO serta sukarelawan lain, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.

Siasatan awal polis juga mendapati alamat yang digunakan oleh suspek serta rumah yang didakwa ditumpanginya tidak berpenghuni selain semakan dengan ketua kampung di situ mengesahkan wanita itu bukan mangsa banjir.

Sehubungan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA