Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Tabika Perpaduan secara semuka mula Isnin, patuhi SOP

PUTRAJAYA, 27 FEB: Pembukaan semula semua Tabika Perpaduan secara bersemuka di seluruh negara bermula Isnin depan adalah selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan pada 19 Februari lalu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memastikan pengoperasian Tabika Perpaduan tertakluk kepada pematuhan ketat garis panduan pembukaan semula prasekolah, garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau mengingatkan guru agar sentiasa memastikan murid-murid Tabika Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan tatacara operasi piawai (SOP) oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Februari lepas mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19, akan bermula pada 1 Mac ini.

Keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hinggat Tahun Enam sesi akan bermula pada 8 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Anwar: PdPR wujudkan jurang pendidikan pelajar pedalaman, bandar

SHAH ALAM, 22 FEB: Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dianggap tidak berjaya apabila wujud ketidakseimbangan akses pendidikan antara pelajar bandar dan pedalaman.

Ketua pembangkang berkata kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan lebih 800,000 pelajar dan ibu bapa tidak bersedia mengikuti kaedah itu kerana tiada kemudahan internet dan peranti.

“Ada suasana haru-biru dan kelam-kabut kerana perancangan yang lemah dan keputusan dibuat tanpa mengira pandangan akar umbi sama ada dalam kalangan ibu dan sekolah.

“Maknanya, anak-anak kita akan kerugian dan wujud ketidakseimbangan apabila orang bandar menerima kemudahan pendidikan lebih selesa berbanding anak-anak di pedalaman,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bual bicara secara langsung di Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan isu pendidikan khususnya PdPR turut mengundang pelbagai pandangan dalam kalangan persatuan guru, ibu bapa dan ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Kita ambil iktibar daripada kesalahan yang dilakukan terhadap keputusan diambil tanpa perancangan yang teliti,” katanya.

Bermula 20 Januari lalu, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 diarah mengikuti pembelajaran melalui PdPR susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM bantu guru sampaikan PdP dengan baik melalui DidikTV

PUTRAJAYA, 18 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memantau kualiti dan membantu guru yang terlibat dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi saluran DidikTV KPM, yang merupakan saluran khusus TV pendidikan secara terestrial.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata kementerian boleh melatih dan membimbing guru terlibat untuk menambah baik bukan sahaja dari segi kualiti kandungan tetapi penyampaian di kaca televisyen.

“Jadi bagi saya, semua pihak termasuk kementerian boleh ambil pengajaran di sini. Bagaimana kita boleh menentukan kualiti PdP yang disampaikan melalui saluran itu. Kita perlu mempunyai kawalan kualiti (QC) yang lebih ketat dan melakukan saringan terhadap video atau program yang akan disiarkan melalui televisyen itu.

“Secara peribadi, saya rasa demi pelajar, guru sangat berani untuk muncul di hadapan kamera,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, Utusan Malaysia dan The Star mengenai Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 di KPM di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai video tular di media sosial memaparkan seorang guru mengajar subjek Sains di saluran itu yang dikritik kerana penyampaiannya. Saluran itu yang kali pertama diperkenalkan, mula bersiaran semalam, menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV UNIFI, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Habibah berkata hasrat KPM untuk mengadakan DidikTV ini adalah satu inisiatif yang murni untuk menjangkau semua pelajar apabila terdapat banyak cabaran sepanjang pandemik Covid-19 serta jurang pemilikan peranti dan akses kepada internet.

“Kami tahu 36 peratus pelajar tidak memiliki sebarang peranti. Tapi kita lihat dari segi peratusan isi rumah yang ada televisyen adalah lebih 97 peratus. Jadi program televisyen ini adalah salah satu cara mendekati kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Habibah berkata KPM juga sedang berbincang dengan pihak berkepentingan mengenai pembukaan semula sekolah kepada pelajar bukan kelas peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum dimuktamadkan lagi.

Katanya, KPM mengambil kira cabaran yang dihadapi semua pihak apabila melakukan PdP di rumah kerana keadaan atau pengalaman itu tidak sama seperti hadir ke sekolah secara bersemuka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Calon SPM sihat di kawasan PKPD perlu duduki peperiksaan

PUTRAJAYA, 18 FEB: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetap perlu menduduki peperiksaan tersebut yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata hanya calon yang disahkan positif Covid-19 atau kontak rapat kepada kes positif diberikan kelonggaran untuk tidak hadir ke pusat peperiksaan.

Bagaimanapun, beliau berkata calon tersebut hendaklah menyertakan bukti daripada doktor atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing yang menyatakan mereka positif Covid-19 atau kontak rapat yang perlu dikuarantin.

“Kalau mengikut garis panduan, calon yang sihat sahaja hadir, jadi di manapun calon berada, di kawasan PKP, PKPB (PKP Bersyarat) atau PKPD sekalipun, mereka boleh bergerak untuk mengambil peperiksaan asalkan mereka sihat.

“Kalau disahkan positif atau kontak rapat, dan mereka di bawah kuarantin dalam tempoh kuarantin itu, tidak boleh hadir ke pusat peperiksaan. Tetapi setelah tempoh (kuarantin) tersebut, maka boleh datang ke pusat peperiksaan untuk terus mengambil kertas yang masih berlangsung.

“Bagi kertas yang telah ketinggalan disebabkan dalam tempoh kuarantin, maka kementerian akan menjadualkan semula bagi (peperiksaan) kertas tersebut,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, Utusan Malaysia dan The Star mengenai Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

Menurut data Kementerian Pendidikan, seramai 401,105 calon akan menduduki peperiksaan SPM di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara. Daripada jumlah calon itu, seramai 1,150 calon berdaftar akan menumpang di pusat peperiksaan lain.

Mengulas kemungkinan soalan peperiksaan bocor kepada calon yang akan dijadualkan semula, Habibah berkata isu itu tidak timbul memandangkan kementerian akan menyediakan set soalan yang lain dengan standard dan format yang sama.

Sehubungan itu, beliau berharap calon peperiksaan SPM dan setaraf telah bersedia memandangkan ia adalah peperiksaan penting untuk menyambung pelajaran atau memasuki bidang pekerjaan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PENDIDIKAN

Format peperiksaan SPM 2020 kekal – LPM

PUTRAJAYA, 8 FEB: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini menegaskan format peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 kekal seperti sedia ada.

Dalam satu kenyataan hari ini, LPM memaklumkan laporan sebuah akhbar berkaitan perubahan format peperiksaan SPM pada masa hadapan adalah tidak benar dan LPM tidak pernah membuat sebarang pengesahan berhubung perkara tersebut.

Menurut LPM, tajuk dan laporan akhbar itu berbahasa Melayu itu menimbulkan banyak kekeliruan kepada orang ramai khususnya kepada calon peperiksaan SPM 2020.

“Sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada format peperiksaan SPM dan sistem pentaksiran, LPM akan memaklumkan secara rasmi kepada orang ramai,” menurutnya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Akhbar berkenaan pada 7 Februari menyiarkan laporan “Wajah Baharu SPM” di muka hadapan, “SPM Bakal Dirombak” di muka surat dua dan “Peperiksaan Boleh Buka Buku” di muka surat tiga.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Dua pelajar UiTM antara 10 terbaik dunia peperiksaan ACCA, CAT

SHAH ALAM, 5 FEB: Dua pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar kecemerlangan apabila tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan  Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember lepas.

UiTM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dua pelajar berkenaan adalah Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA dan Putera Aiman Abdul Rashid, 19, pelajar semester akhir program CAT.

Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA) manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama di Malaysia dan kedua dunia bagi peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).

Dalam kenyataan sama, Dekan Fakulti Perakaunan, Prof Dr Haslinda Yusoff berkata kedua-dua pelajar tersebut amat komited dan berdedikasi dalam pelajaran ditambah suasana pembelajaran yang positif.

“Pihak fakulti amat proaktif dalam memupuk suasana pembelajaran yang berkesan. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif di UiTM merupakan kombinasi dalam kejayaan pelajar.

“Kejayaan ini juga turut membuktikan kecemerlangan bumiputera dalam bidang perakauan. Ia boleh dijadikan rangsangan bagi melahirkan lebih ramai profesional perakaunan bumiputera terbaik di dunia,” katanya.

Haslinda berkata kedua-dua pelajar berkenaan juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada semua warga UiTM untuk terus memberikan yang terbaik demi menjadikan universiti itu sebuah institusi pendidikan unggul dunia.

UiTM merupakan universiti awam pertama di Malaysia menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011 dan terus berperanan sebagai institusi pengajian awam utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk menghasilkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: Muafakat jamin tiada isu sembunyi maklumat pelajar MRSM

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Badan PerMuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) menggesa ibu bapa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak mengeluarkan kenyataan kurang tepat mengenai situasi di pusat pengajian itu susulan jangkitan kes Covid-19 kerana boleh menimbulkan panik dan persepsi yang pelbagai.

Muafakat dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM dan tertinggi Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memastikan keselamatan pelajar diberi keutamaan dan memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa tiada isu menyembunyi maklumat seperti didakwa.

Kenyataan itu menyebut pihaknya berharap mereka dapat menggunakan saluran persatuan itu sama ada di peringkat kebangsaan mahupun maktab untuk menyalurkan maklumat atau isu yang perlu ditangani bersama.

“Muafakat sentiasa terbuka untuk menerima sebarang aduan untuk diketengahkan kepada pihak Pengurusan Tertinggi Mara jika wujud ruang perlu diperbaiki demi kebajikan dan kesejahteraan pelajar.

“Pada masa sama, kami berharap Mara mengetatkan pemantauan dan penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) keselamatan agar tiada kejadian yang sama berlaku di MRSM lain,” menurut kenyataan itu.

Muafakat Kebangsaan adalah badan rasmi mewakili ibu bapa pelajar di semua Kolej Mara (KM), Kolej Professional Mara (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Selain daripada Muafakat Kebangsaan, setiap MRSM juga mempunyai organisasi Muafakat di peringkat maktab masing-masing.

Badan itu mewakili lebih 80,000 ibu bapa yang anak-anak mereka ketika ini sedang belajar di MRSM.

Sebelum ini, beberapa kejadian jangkitan Covid-19 dikesan di Kolej Mara Kuala Nerang, MRSM Tun Ghazali Shafie Kuala Lipis, MRSM Sungai Besar dan terkini di MRSM Bentong.

“Berdasarkan kepada pemantauan kami, sememangnya MRSM dengan sokongan kuat daripada pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menitikberatkan isu keselamatan dan kebajikan pelajar.

“Kami juga bersama memantau proses pelaksanaan SOP keselamatan dari awal lagi sejak pelajar Tingkatan 5 diberikan kebenaran untuk kembali ke asrama bagi tujuan pembelajaran secara bersemuka,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular mesej menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa pelajar MRSM Sungai Besar, Selangor tidak mendapat bekalan makanan secukupnya, pelajar bergejala tinggal di asrama sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan serta wujud masalah membabitkan SOP keselamatan, sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.

Mara dalam satu kenyataan pada 1 Februari lalu membuat laporan polis menafikan dakwaan tersebut dan pihaknya sentiasa memastikan pelajar MRSM mengikuti SOP Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

USM sedia terima kemasukan pelajar baharu mengikut SOP

GEORGE TOWN, 3 FEB: Universiti Sains Malaysia (USM) sedia menerima kemasukan pelajar ke kampus secara berfasa bermula 1 Mac depan, seiring dengan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19, USM sentiasa peka dan mengambil kira beberapa faktor utama, dalam menyediakan pelan senario sebagai persediaan menerima kemasukan pelajar.

Beliau berkata pelan itu meliputi beberapa perkara merangkumi keselamatan semua warga kampus, keperluan kritikal dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta memastikan kualiti PdP terjaga dengan baik.

“Pengumuman terkini daripada KPT dilihat sebagai satu langkah proaktif ke arah mewujudkan satu persefahaman dalam kalangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini. Ia memang sesuai dengan mengambil kira keadaan semasa Covid-19 pada masa kini.

“Pastinya ini adalah normal baharu dalam dunia universiti dan semua perlu menyahut cabaran ini secara positif,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Terdahulu pada 31 Januari, KPT menyenaraikan enam kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus secara fizikal bermula 1 Mac 2021, antaranya pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas, selain daripada pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif, untuk melaksanakan PdP dalam talian.

Selain itu, para pelajar di peringkat asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus untuk meneruskan pembelajaran secara hibrid, pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan akhir sekali pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan profesional.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Hampir 10,000 calon SPM, STPM sertai program belajar dalam talian Unisel

SHAH ALAM, 1 FEB: Program Sekolah Maya Universiti Selangor (Unisel) menerima penyertaan hampir 10,000 pelajar dari seluruh negara sejak awal Januari lalu.

Dekan pembangunan pelajar dan jaringan komunitinya berkata medium pembelajaran dalam talian memfokuskan calon peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sesi 2020.

“Inisiatif ini menyediakan kelas dan ceramah percuma sebagai persediaan menghadapi peperiksaan tersebut.

“Pelajar didedahkan dengan teknik menjawab soalan dan kelas bimbingan untuk topik khusus,” kata Amidi Abdul Manan kepada SelangorKini.

Amidi berkata program berkenaan menerapkan tiga elemen pembangunan diri generasi muda meliputi bakat, karakter dan pendidikan.

Menurutnya, pembangunan bakat bermula dengan ujian personaliti dan kecenderungan kerjaya manakala dididik nilai budiman melalui pembangunan karakter.

“Pembangunan pendidikan pula menumpukan pelajar dan pendidik seiring perkembangan semasa Covid-19 yang menuntut pendidikan bergerak ke hadapan,” katanya.

Pelajar berminat boleh mengimbas kod QR di poster tertera atau mendaftar melalui laman sesawang uvs.unisel.edu.my

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Tambahan slot program TV Pendidikan calon SPM bermula esok – KPM

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Bermula esok, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah slot program TV Pendidikan dalam program DidikTV@NTV7, khusus untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang akan menduduki peperiksaan, mulai 22 Februari ini.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan slot tambahan itu melibatkan sesi selama dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat bermula dari 3 hingga 5 petang di saluran NTV7.

“KPM juga telah menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang,” menurut KPM.

Penambahan slot ini menjadikan keseluruhan waktu siaran TV Pendidikan sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan di saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7.

KPM turut melahirkan keyakinan program TV Pendidikan yang disediakan itu dapat dimanfaatkan oleh pelajar, guru dan ibu bapa sebagai antara kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berkesan.

Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

NUTP cadang jadual pelajar dalam kelas, PdPR diselaras

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan agar jadual keberadaan pelajar di dalam kelas dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diselaraskan di semua sekolah seluruh negara.

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock berkata pelaksanaan itu penting bagi mengelak guru dan pelajar hilang fokus dan tenaga akibat sesi yang terlalu lama selain menjamin kualiti.

“Pihak NUTP mendapati ada sekolah yang memaksa guru untuk mengajar dari jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang yang melebihi waktu rasmi sesi pembelajaran tamat iaitu 2.30 petang.

“Masa yang terlalu lama di sekolah akan melemahkan semangat serta minat pelajar untuk membuat persediaan bagi menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) kelak, begitu juga dengan guru yang telah bertungkus-lumus menyedia dan mengajar secara PdPR sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, daya tahan kesihatan guru dan pelajar juga dikhuatiri terjejas kerana berada di dalam kelas dalam tempoh lama tanpa melakukan aktiviti riadah yang dapat menguatkan ketahanan dan imunisasi badan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Tan juga meminta agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula aspek keselamatan guru yang mengajar pelajar calon peperiksaan utama seperti SPM dan STPM yang menjalani sesi persekolahan secara bersemuka.

Katanya KPM juga perlu menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka dan baju ‘overcoat’, mengikut tatacara operasi piawai ditetapkan agar keselamatan dan kesihatan guru lebih terjamin.

Tan juga meminta pihak berkaitan lebih peka dengan situasi Covid-19 dan tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang boleh mengundang risiko jangkitan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Mohon lanjut tempoh bayar balik pinjaman PTPTN dibuka mulai esok

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Permohonan untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), boleh dilakukan mulai esok sehingga 31 Mac ini.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peminjam yang layak boleh berbuat demikian melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PelanjutanBayaranBalikCovid19.

Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.

“Peminjam yang layak adalah peminjam yang kehilangan pendapatan akibat diberhentikan pekerjaan dan yang terjejas pendapatan, ekoran pendapatan berkurangan.

“Pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan akan bermula pada bulan yang sama dengan kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei 2021,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja, dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

Peminjam adalah diingatkan untuk mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini, bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan pelanjutan dapat disampaikan kepada mereka.

“Mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan, PTPTN mengucapkan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa akan datang,” katanya.

Ahmad Dasuki berkata untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi ‘Careline’ PTPTN melalui talian di 03-21933000, yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang, atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my di ruangan ‘Soalan Lazim’.

Pada 1 Januari lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan bahawa, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman itu selama tiga bulan lagi, kepada peminjam yang layak.

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember 2020 kepada semua peminjam PTPTN, berikutan pandemik Covid-19.

– BERNAMA