Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

PTPTN: Tangguh bayaran balik pinjaman dilanjut tiga bulan lagi

PUTRAJAYA, 1 JAN: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keputusan ini diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

“Peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac 2021.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noraini berkata butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN.

“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Dis 2020 kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pelajar antarabangsa dibenar masuk Malaysia kecuali UK

SHAH ALAM, 22 DIS: Malaysia membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa ke kampus dan sekolah antarabangsa di negara ini secara fizikal kuat kuasa 1 Januari ini.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata bagaimanapun pelajar dari United Kingdom dilarang masuk ekoran situasi semasa Covid-19 di negara tersebut.

“Sidang khas tadi membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa yang sambung pengajian dan baharu dapat tawaran sama ada di universiti swasta atau awam di negara ini.

“Manakala, kemasukan bukan warganegara yang datang bersama pengiring untuk ke sekolah antarabangsa di Malaysia juga dibenarkan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Menurutnya kedatangan mereka perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) iaitu perlu membuat ujian saringan sebelum dan semasa tiba di lapangan terbang antarabangsa.

“Sekiranya keputusan didapati negatif mereka akan dihantar ke pusat kuarantin selama 10 hari. SOP dan syarat lebih terperinci akan dimaklumkan KPT nanti,” jelasnya.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Penyelidik Malaysia bawa pulang hadiah, pingat SIIF 2020

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Penyelidik Malaysia membawa pulang satu hadiah utama selain 19 pingat emas, 11 perak dan lapan gangsa, menerusi penyertaan dalam Seoul International Invention Fair (SIIF 2020).

Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) Dr Muhd Noor Muhd Yunus berkata, walaupun dunia masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19, penyelidik negara tetap aktif menghasilkan pelbagai inovasi bagi manfaat sejagat.

Beliau berkata inovasi daripada Malaysia biasanya mendapat perhatian juri-juri di negara itu, kerana bukan sahaja memenuhi kriteria tetapi juga mempunyai potensi serta kualiti tinggi.

“Inovasi Malaysia yang bertanding telah melalui saringan yang ketat, selain turut memenangi Pingat Emas dalam pertandingan yang dianjurkan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertandingan yang berlangsung pada 1 hingga 4 Disember lepas di Korea Selatan itu, turut disertai Agensi Nuklear Malaysia, SIRIM Berhad, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan University College Sedaya International (UCSI) Education.

Selain itu, lebih 42 inovasi dipertandingkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

10 universiti tempatan dalam kelompok 110 terbaik Asia

PUTRAJAYA, 25 NOV: Sepuluh universiti tempatan terdiri daripada tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta – berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia berdasarkan laporan Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) : Asia 2021.

Menurut laporan QS yang dikeluarkan hari ini, Universiti Malaya (UM) mendahului universiti lain dengan berada di tempat kesembilan, diikuti Universiti Putra Malaysia ke-28, Universiti Sains Malaysia (ke-34) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35).

Universiti Teknologi Malaysia di tempat ke-39, Universiti Teknologi Petronas (ke-70), Taylor’s University (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi Mara (ke-108).

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengenai pencapaian berkenaan.

Noraini berkata kejayaan itu juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia dan dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

Noraini berkata UM buat kali pertamanya telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.

UM juga, menurutnya berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini.

Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang memperkenalkan Ranking Akademik Universiti-universiti Dunia atau lebih dikenali sebagai “Shanghai Jiao Tong University Rankings” yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

Pada siri penarafan kali ini, 35 universiti tempatan tersenarai iaitu pertambahan enam universiti berbanding dengan 29 universiti yang tersenarai pada tahun lepas, katanya.

“Sebanyak 24 universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas,” katanya.

Dalam laporan QS itu juga menyatakan Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini, katanya.

“Sistem pendidikan negara diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia,” katanya.

Noraini berkata 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pinjaman PTPTN kepada penuntut diploma B40 dinaikkan – menteri

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerajaan bersetuju menaikkan had jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada RM6,800 kepada RM8,000 bagi setiap semester bagi pelajar B40 melanjutkan program diploma di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, berkata perkara itu tertakluk kepada simpanan bertakaful oleh IPTS berkenaan mulai tahun 2021.

“Pada masa sama, kementerian juga bersetuju untuk meluaskan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN kepada pelajar IPTS daripada keluarga B40 berdasarkan syarat kelayakan PTPTN mulai tahun 2021,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian akan mengkaji cadangan untuk mengecualikan faedah pinjaman dan diskaun bayaran balik dalam tempoh moratorium selain memastikan kelestarian sumber kewangan PTPTN tidak terjejas untuk jangka masa panjang.

“Perkara itu masih dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan sebab apa juga tindakan oleh PTPTN adalah tertakluk juga kepada kelulusan Kementeri Kewangan kerana sumber dana adalah daripada kementerian itu,” katanya.

Menjawab celahan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai pemotongan Belanjawan 2021 kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga mencecah RM130 juta, Noraini menjelaskan pengurangan hanya melibatkan sejumlah RM3 juta atau 0.18 peratus.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata ia berikutan jumlah peruntukan mengurus yang diterima UiTM pada tahun 2020 sebanyak RM1.861 bilion adalah termasuk peruntukan untuk Hospital UiTM (HUiTM), tetapi bagi tahun 2021 peruntukan itu telah diasingkan.

“Secara keseluruhannya, peruntukan untuk UiTM (tidak termasuk HUiTM) pada tahun 2020 adalah sebanyak RM1.737 bilion, manakala peruntukan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM1.733 bilion, iaitu pengurangan hanya sebanyak RM3 juta atau 0.18 peratus.

“Saya ingin maklumkan bahawa pengurangan sebanyak 0.18 peratus ini akan ditampung oleh pihak kementerian melalui penjimatan dalaman yang dilaksanakan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA PENDIDIKAN PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor peruntuk RM211.11 juta perkukuh pendidikan Islam 2021

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM211.11 juta khusus untuk pendidikan Islam pada 2021, kata setiausaha sulit kepada Dato’ Menteri Besar.

Saifuddin Shafii Muhamad berkata peruntukan tersebut sebagai komitmen Kerajaan Negeri memartabatkan pendidikan Islam tanpa menjejaskan institusi pendidikan lain.

“Sumbangan untuk pendidikan Islam perlu dilihat secara holistik mengambil kira keseluruhan ekosistem persekolahan pelajar sehingga mereka menjadi sebahagian daripada tenaga kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peruntukan pendidikan Islam negeri ini meliputi:

-RM1.1 juta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 4,200 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

-RM10 juta pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) Denai Alam dijangka siap tahun hadapan.

-RM11 juta pembinaan SRA Ehyaul Falah, Sabak Bernam dijangka siap tahun hadapan.

-RM12 juta pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Pandan Indah, Hulu Langat dan MITS Bagan Lalang, Sepang dijangka siap tahun hadapan.

-RM5.6 juta pembinaan Akademi Syahadah Tahfiz Al Faizin, Kuala Selangor

-RM2 juta program ‘Fast Track’ Tahfiz bagi memberi peluang penajaan kepada pelajar tahfiz layak untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

-RM2 juta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

-Pembinaan sembilan masjid dijangka siap tahun hadapan.

-Pembiayaan mengurus Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) .

-Peruntukan membaik pulih masjid dan surau seluruh negeri .

-Sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM200,000 dalam bentuk komputer riba kepada 42 SRA dan Kafa.

-Sumbangan Worldwide Holdings, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Lembaga Zakat -Selangor (LZS) dengan jumlah tertinggi disumbangkan LZS sebanyak RM2.2 juta untuk naik taraf karpet surau SRA .

Dalam kenyataan sama, beliau menyifatkan tohmahan dilemparkan berhubung agihan bantuan infrastruktur sekolah di seluruh negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM22.473 juta sebagai prasangka jahat dan tersasar daripada realiti.

Katanya sumbangan yang begitu banyak untuk pendidikan dijadikan bahan politik sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

“Diharapkan penjelasan ini membuka mata dan hati mereka yang terlibat agar tidak cuba mempolitikkan hal ehwal agama Islam dan pendidikan di Selangor,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Taska boleh operasi semasa PKPB, patuhi SOP – menteri

PUTRAJAYA, 12 NOV: Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) awam dan swasta dibenarkan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Bagaimanapun menurutnya pembukaan taska berkenaan perlu mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) pada PKPB sebelum ini.

“Tidak ada halangan untuk mereka beroperasi. Kementerian faham sektor ekonomi perlu berjalan seperti biasa dan ibu bapa perlu keluar bekerja,” katanya sambil menambah, pihak Kementerian memahami keperluan ibu bapa yang mahu taska beroperasi semasa PKPB.

Beliau berkata antara SOP yang perlu dipatuhi di taska ialah ibu bapa perlu memandikan anak di rumah sebelum dihantar ke taska, selain anak-anak perlu dihantar mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak kesesakan sekiranya kesemua ibu bapa menghantar anak ke taska pada masa sama.

Taska adalah pusat asuhan bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah.

PKPB dilaksanakan di Semenanjung Malaysia kecuali di Kelantan, Pahang dan Perlis sehingga 6 Disember ini bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

UPKK ditunda ke Okt 2021, beri peluang sedia – menteri

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun ini ditunda berikutan penularan pandemik Covid-19 dan akan dilakukan serentak dengan UPKK tahun depan iaitu dari 4 hingga 7 Oktober 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan itu dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) setelah mempertimbangkan kepentingan semua pihak.

Beliau berkata ia melibatkan lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah Al-Quran.

“Sementara ujian bagi subjek al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran akan dilaksanakan 1 hingga 30 September 2021. Jadual pelaksanaan bagi ujian bertulis, amali dan lisan akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan ini membolehkan calon membuat persediaan mencukupi sebelum menduduki peperiksaan, tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan pindaan turut dilakukan untuk penilaian subjek berbentuk amali yang merangkumi Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam.

Katanya, sebarang catatan penilaian sepanjang sesi persekolahan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) termasuk ujian bulanan, aktiviti dalam dan luar bilik darjah, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh diambil kira sebagai satu bentuk penilaian.

UPKK dilaksanakan semasa pelajar berada di tahun lima dan calon UPKK perlu menduduki kelas KAFA iaitu program pengukuhan berkonsepkan pendidikan Islam peringkat rendah, sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun untuk menduduki peperiksaan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

UiTM kurangkan yuran konvokesyen bagi semua pengajian

SHAH ALAM, 29 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk mengurangkan yuran konvokesyen sesi ke-92 bagi semua peringkat pengajian yang akan berlangsung pada 1 Disember depan, susulan pandemik Covid-19.

Ketua Perhubungan Awam, Media, Protokol dan Pengurusan Acara Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata yuran yang dikenakan sebelum ini antara RM150 sehingga RM230 akan dikurangkan kepada RM110 sehingga RM190.

“Jumlah pengurangan yuran tersebut diberikan secara automatik kepada semua peringkat pengajian dari Diploma dan Ijazah, termasuk PhD bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu dibayar oleh graduan.

“Pengurusan tertinggi UiTM amat peka dengan situasi semasa yang sedang berlaku dan keputusan pengurangan ini antara pelbagai inisiatif dilakukan UiTM untuk membantu graduan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Nora berkata langkah itu juga sebagai menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta agar pihak universiti prihatin dengan situasi pelajar yang terlibat.

Beliau berkata UiTM sebelum ini menangguhkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dalam norma baharu yang dijadual pada 7 November kepada 1 Disember depan susulan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan.

Justeru, katanya graduan diminta mengisi dan mendaftar semula untuk tarikh baharu melalui Sistem Janji Temu baharu di laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my bermula 26 Oktober hingga 8 November.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

UTHM hasilkan kereta elektrik ‘ECO’, dilengkapi kecerdasan buatan

BATU PAHAT, 15 OKT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuktikan negara ini tidak kekurangan bakat tempatan dalam industri automotif apabila sekumpulan penyelidiknya berjaya mencipta kenderaan berkuasa elektrik yang dinamakan ‘ECO’.

Ketua Projek ECO Prof Madya Dr Samsul Haimi Dahlan berkata ECO siap dalam masa 14 bulan, iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual asal pada penghujung November ini.

Menurut penyelidik di Pusat Penyelidikan Elektromagnet Gunaan (ENCenter) UTHM itu, penyelidikan mengenai kereta berkenaan dijalankan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UTHM.

“Antara tujuan utama penghasilan kereta elektrik ini ialah untuk menyahut seruan penghasilan kenderaan masa depan yang lebih mesra alam, bebas pencemaran bunyi, asap dan yang lebih penting dapat mengelakkan gangguan elektromagnetik,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Katanya antara kelebihan ECO ialah kos pengoperasian hanya sekitar RM4 untuk pecutan 100 kilometer sejam berbanding kenderaan menggunakan bahan bakar petrol yang memerlukan RM30 untuk jarak sama.

“Kita juga cukup bertuah apabila UTHM memberikan geran dalaman sebanyak RM55,000 untuk menghasilkan kereta elektrik yang mampu membawa bebanan (barangan) sehingga 200 kilogram pada satu-satu masa.

“Sasaran pasaran kereta elektrik ini ialah trak pengangkut ringan yang kebiasaannya digunakan sebagai trak makanan. ECO sesuai digunakan bagi tujuan itu kerana saiz yang agak kecil selain kos penyelenggaraan yang lebih rendah,” katanya.

Selain dikuatkuasakan oleh bateri lithium-ion yang berjangka hayat hingga 10 tahun, ECO juga dilengkapi kemudahan kecerdasan buatan (AI) yang menerima arahan suara bagi mengoperasikan pengelap cermin dan membelok, katanya.

Menurutnya, ECO dibangunkan dengan kerjasama pensyarah FKEE Dr Xavier Ngu Toh Ik yang pernah terlibat sebagai konsultan pembinaan kereta elektrik di luar negara, Dr Mohd Razali Tomari, Mohd Rostam Anuar dan Miskiah Muhammad Ihsan.

Samsul Haimi juga berkata setakat ini beberapa syarikat menunjukkan minat terhadap ECO bagi kegunaan sendiri.

-BERNAMA

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Kebajikan pelajar terjamin, Unisel sedia pelbagai bantuan

SHAH ALAM, 11 OKT: Universiti Selangor (Unisel) memberi jaminan menjaga kebajikan 1,700 penuntut yang masih berada di asrama kampus Shah Alam dan Bestari Jaya.

Naib presiden dan timbalan naib canselor (pembangunan pelajar dan jaringan komuniti) berkata pelbagai bantuan disediakan seperti bekalan makanan, zakat dan perkhidmatan ke klinik serta hospital bagi meringankan beban susulan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Malah, baru-baru ini pelajar menerima makanan kering, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka daripada Team Selangor menerusi Bantuan Prihatin Mahasiswa dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Perkhidmatan di dalam kampus seperti kafeteria dan kedai runcit turut beroperasi seperti biasa bagi memudahkan mahasiswa kerana pergerakan keluar masuk (pelajar) dari asrama buat masa ini tidak dibenarkan,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh ketika dihubungi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 10,000 pelajar Unisel bakal menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian bermula 17 hingga 30 Oktober ini.

Katanya, proses peperiksaan tersebut akan dipastikan berjalan lancar khususnya membabitkan semua pelajar yang berada di asrama kedua-dua kampus berkenaan.

“Kami mempunyai pasukan yang akan memantau 24 jam bagi memastikan akses capaian internet yang baik dan sistem peperiksaan dalam talian tidak tergendala.

“Bagi pelajar kampus Shah Alam di asrama Wisma Majlis Agama Islam Selangor dan tiada akses internet, kita akan buka kampus untuk mereka duduki peperiksaan tersebut mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM: Tutup sekolah berdasar data, perbincangan KKM, MKN

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebarang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata KPM menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Radzi juga berkata kemungkinan terdapat pihak mendakwa KPM seolah-olah lambat membuat keputusan namun hakikatnya ia tidak begitu kerana negara tidak pernah berpengalaman menangani krisis seumpama ini.

“Ianya tidak pernah berlaku. Namun kita (KPM) mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini mengenai pendekatan sesuai dalam keadaan tertentu,” katanya.

Katanya lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, operasi institusi pendidikan di bawah KPM tetap berjalan lancar.

“Kita belajar bahawa ketelitian adalah penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu,” kata Radzi.

Mengulas penutupan sekolah di kawasan Klang di Selangor, Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah bermula hari ini, beliau berkata keputusan diambil setelah mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan terbabit adalah kawasan Zon Merah.

“Sepertimana yang dinyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara sekiranya perlu akan dibuat di peringkat sidang khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat KKM,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak termasuk rakyat negara ini untuk bekerjasama dalam menangani cabaran pandemik tanpa vaksin ini.

-BERNAMA