Categories
NASIONAL

SUHAKAM Kecewa Insiden Kekasaran Polis

SHAH ALAM,3 MEI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam BERSIH 3.0pada 28 April 2012.

Ini termasuk laporan pasukan pemantau Suhakam, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara membuta tuli oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media.

“Penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional,” katanya dalam kenyataan media.

Hasmy berkata, walaupun Suhakam telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak.

“Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.

“Suhakam juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima,” ujar beliau.

Tambah Hasmy,peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

“Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa,” katanya.

Hasmy menegaskan,hak-hak itu adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

“Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan serta pengemukaan maklumat dan dokumen, sila hubungi:

Kumpulan Aduan, Inkuiri dan Pemantauan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tingkat 11, Menara TH Perdana Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2612 5600; Faks: 03-2612 5694/5620
Emel: [email protected] / [email protected]

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pengamal Media Mahu Polis Kembalikan Rakaman Video dan Gambar

BANGSAR, 3 MEI: Pengamal media berkumpul di hadapan pejabat Malaysiakini hari sebagai tanda solidariti meluahkan bantahan diatas kekerasan luar jangkaan yang ditunjukkan pihak polis terhadap beberapa wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0  yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Himpunan aman ini mengemukakan tiga tuntutan terutama menggesa pihak polis mengembalikan bahan akhbar seperti gambar dan semua footages yang disita tanpa sebarang perubahan kepada wartawan berkenaan atau organisasi serta membayar ganti rugi sebarang kecederaan dan kerosakkan.

Selain itu juga di tuntut semua pesalah dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan selepas penubuhan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 serta diharapkan tindakan tersebut tidak berulang dimasa depan.

Kekasaran yang berlaku pada himpunan berkenaan menyaksikan pelbagai peralatan dan footage media dirampas dan dimusnahkan selain mengakibatkan kecederaan beberapa petugas yang membuat liputan.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar berkata, himpunan wartawan pada hari ini diatas dasar keyakinan serta kepercayaan pengamal media dalam kebebasan akhbar di negara ini dan seharusnya semua pihak menghormati hak wartawan terutama ketika mereka sedang menjalankan tugas.

“Hari ini juga merupakan hari yang hitam untuk kebebasan akhbar di Malaysia kerana serangan terhadap wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu, tidaknpernah dilakukan sebelum ini.

“Ramai wartawan, jurukamera dan jurugambar diserang, ditahan dan ditakut-takutkan oleh pihak polis, sesetengah penunjuk perasaan juga menyerang wartawan. Kita perlu menghentikan piawai kebebasan akhbar di Malaysia daripada jatuh ke paras yang lebih rendah,” katanya.

Himpunan aman tersebut menyaksikan kehadiran hampir 50 orang pengamal media daripada pelbagai agensi tempatan bersempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diikhtiraf oleh Unesco dan disambut serentak oleh pengamal media seluruh dunia.

Dengan tema berbaju hitam dan riben kuning disusuli laungan ‘Hidup Wartawan’ dan ‘Free Media’ bergema sebagai tanda semangat menuntut hak pengamal media.

Pengguna jalan raya turut memberikan sokongan dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing.

Categories
SELANGOR

Penapisan Laporan BBC Tidak Ikut Etika

KUALA LUMPUR 3, MEI: Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengutuk sekeras-kerasnya penapisan laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) oleh pihak Astro mengenai perhimpunan Bersih 3.0 yang dilihat mampu menjadi berita sensasi di luar negara.

Ketua Sekateriat KAMI, Hayatul Kamil Termudi berkata, perkara tersebut bercanggah dari segi amalan penyiaran dan sepatutnya pihak penyiaran memaparkan laporan berkenaan dengan telus.

“Sepatutnya perkara itu tidak berlaku sebab Astro dan BBC mesti ada perjanjian yang kita tidak ketahui.

?Sepatutnya Astro tidak ada hak untuk menapis sekali lagi laporan BBC.
?Kita percaya pihak BBC dari berita yang kita dengar telah menyatakan pendirian mengenai perkara tersebut.

?Pendirian KAMI bersetuju, apa sahaja berita yang tergantung akan memberikan kesan yang tidak betul. Sepatutnya berita tersebut dilaporkan keseluruhannya,” katanya.

Menurut satu klip di lama web Youtube, liputan BBC telah dipendekkan serta ditapis daripada menunjukkan adengan polis menyuraikan peserta Bersih di sekitar Dataran Merdeka.

Wanwancara dengan peserta BERSIH 3.0 di mana mereka menceritakan tentang pengalaman ditembak gas pemedia mata dan aksi pihak polis juga dikeluarkan.

Selain itu, paparan trak meriam air polis simpanan persekutuan yang melepaskan tembakan air kimia kepada peserta dan tindakan seorang polis trafik yang menunggang motosikal di tengah orang ramai turut dipotong.

Dalam pada itu, KAMI turut membantah tindakan kekerasan oleh pihak polis terhadap petugas media yang nyata mengejutkan ramai pihak.

Menurut Hayatul, percanggahan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung SOP terhadap pihak media jelas menunjukkan kecelaruan yang dihadapi mereka.

“KAMI ingin menyatakan rasa kesal dalm hal menjaga keselamatan kewartawanan, mereka tidak mempunyai satu peraturan yang betul-betul dipatuhi.?
KAMI akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dalam masa terdekat.

KAMI juga akan menganjurkan satu konvensyen mengenai ‘Akses Media Dalam PRU-13’ dengan tema Memartabatkan Malaysia Menjadi Negara Mesra Media, Adil dan Bebas.

Konvensyen sehari yang akan diadakan pada 12 Mei itu bertempat di Hotel Nouvelle.

Ia merupakan langkah awal untuk menghimpunkan pengamal media tempatan selain bertukar pandangan bersama pakar-pakar media berkaitan dengan amalan media di negara ini.

ends

Categories
NASIONAL

NUJ: Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Serangan Ke Atas Wartawan

SHAH ALAM, 2 MEI : Kerajaan Pusat digesa menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat insiden atau kes serangan yang melibatkan anggota polis terhadap wartawan dalam perhimpunan BERSIH 3.0, tegas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Chin Sung Chew.

“Kami mengesyorkan bahawa Jawatankuasa Bebas tersebut harus diketuai oleh sekurang-kurang tiga ahli iaitu seorang hakim yang bersara, bekas Presiden Majlis Peguam dan ahli akademik yang pakar dalam kewartawanan dan undang-undang kewartawanan,” kata Chin dalam kenyataan media.

Menurut Chin, Jawatankuasa Bebas harus mengambil alih siasatan kerana polis yang dituduh melakukan keganasan terhadap anggota media.

Wartawan, termasuk dari media asing, dipukul semasa bertugas dan ini merupakan satu tuduhan yang serius.  Ianya jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi serta  bertentangan dengan hak wartawan untuk melakukan tugas dalam suasana dan persekitaraan aman.

“Biarlah Jawatankuasa tersebut memanggil anggota polis yang terlibat dan para wartawan dan jurugambar untuk memberi keterangan supaya orang ramai akhirnya mengetahui apa yang berlaku semasa perhimpunan BERSIH 3.0,” katanya.

Tambah Chin, NUJ juga mengesyorkan semua syarikat-syarikat media agar menyumbang dalam bentuk kewangan untuk Jawatankuasa Bebas ini menjalankan tugas mereka.

“Cadangan NUJ diharap mendapat sokongan dari semua golongan yang mahukan satu siasatan dan keputusan yang telus.

“Kami berharap agar hasil daripada laporan siasatan ini dapat dijadikan satu panduan kepada sebarang insiden yang tidak diingini pada masa akan datang,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Baju Hitam, Riben Kuning Tanda Solidariti Untuk Wartawan

SHAH ALAM, 2 MEI :Sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 3 Mei ini, rakyat Malaysia diseru memakai baju hitam dan riben kuning sebagai tanda solidariti kepada warga media yang dikasari polis semasa perhimpunan BERSIH3.0 lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, orang awam harus berdiri dalam solidariti bersama pekerja media dan wartawan yang menjadi mangsa keganasan polis itu.

“Memang sah bahawa polis memukul para pekerja media apabila Perdana Menteri sendiri membisikkan maaf kepada wartawan The Sun, Radzi Razak yang dimasukkan ke dalam wad hospital selepas dipukul.

“Kami mengutuk hebat adegan-adegan ganas Sabtu lepas di perhimpunan BERSIH 3.0 di mana orang ramai termasuk pekerja media dan wartawan dipukul dan dicederakan oleh pegawai-pegawai polis,” kata Lim dalam kenyataan medianya.

Laporan menyebut, Radzi Razak yang dipukul oleh 15 pegawai polis, sementara seorang jurugambar Malay Mail ditumbuk oleh polis dan kameranya dipecahkan.

Seorang wartawan Malaysiakini pula ditahan dan peralatan kameranya dirampas.

Malah wartawan antarabangsa daripada Al-Jazeera pun tidak terkecuali, apabila ia dikasari semasa mengambil gambar polis sedang memukul peserta perhimpunan.

“Yang lebih teruknya, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein tergamak menyatakan bahawa tindakan untuk merampas peralatan kamera itu adalah ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) polis,” katanya.

Namun demikian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sendiri menyatakan bahawa tindakan merampas peralatan kamera itu bukanlah SOP polis, lantas bercanggah dengan Hishammuddin.Sekiranya Ketua Polis Negara betul, maka Hishammuddin harus meminta maaf kepada setiap wartawan yang  dipukul,” ujar beliau.

Tambah Lim, polis dan Kementerian Dalam Negeri harus juga memerintah agar siasatan dibuat untuk membawa pegawai-pegawai yang bersalah ke muka pengadilan.

Jika ini tidak dibuat dengan terbuka dan tanpa mengaburi kebenaran, maka beliau akan lagi merosakkan reputasi polis yang sudah terhakis

“Hanya siasatan yang terdiri daripada pakar antarabangsa boleh memberi laporan yang boleh dipercayai supaya kita boleh mengetahui kebenaran apa sebenarnya yang berlaku,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: Polis Bertindak Secara Bacul

SHAH ALAM, 2 MEI : Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air kimia kepada peserta Himpunan Aman BERSIH 3.0 Sabtu lalu disifatkan sebagai penakut dan bacul.

Menurut Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, tindakan membedil gas pemedih mata dan menembak air kimia kepada peserta BERSIH yang dihadiri warga tua, wanita dan kanak-kanak menyerupai kepada tentera di negara haram Israel.

” Tembakan gas rambang tidak disasarkan ke udara, malah ditujukan agak mendatar terus ke arah para himpunan yang menyaksikan ratusan rakyat tercedera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Shuhaimi turut memberitahu, beliau mendapat maklumat awal pagi Sabtu lalu terdapat beberapa trak PDRM membawa ‘rakyat awam’ ke dalam kawasan perhimpunan dan berpendapat banyak provokator yang mencetuskan huru-hara yang bertindak di luar kebiasaan peserta Bersih 3.0 lain.

Katanya, taktik PDRM dengan meletakkan cawangan khas (SB) di himpunan tersebut sama sewaktu Reformasi 1998 yang jelas digunakan sebagai provokator mencetuskan keadaan huru-hara dan menyalahkan rakyat awam yang berhimpun aman pada mulanya.

” Apakah PDRM menerima arahan terdesak diakhir perhimpunan apabila sedar rakyat tidak memakan umpan atau sememangnya telah ‘diarah’ agar ‘peserta’ masuk perangkap?,” soalnya.

Selain itu, Shuhaimi berpendapat provokasi yang ditimbulkan ini bukan lambang kepada keseluruhan ratusan ribu peserta lain yang berdisiplin tinggi dan menghormati undang-undang.

Menurutnya lagi, media massa milik Umno-BN bertindak berat sebelah dengan hanya melaporkan kekacauan yang kononnya ditimbulkan peserta Bersih 3.0 tetapi tidak mengambil kira ratusan rakyat tidak bersalah yang turut tercedera akibat tindakan PDRM itu.

Malah, wakil antarabangsa termasuk Pakistan dan Australia menganggap Malaysia masih jauh di belakang dalam konteks kebebasan media kerana disekat oleh kerajaan Umno-BN.

Terdahulu, Himpunan Aman BERSIH 3.0 yang menuntut pilihanraya bersih dan adil berjaya menghimpunkan hampir 300 ribu rakyat yang berkumpul di di sekitar Dataran Merdeka Sabtu lalu.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hishamuddin Dicabar Dedahkan Arahan Kepada Editor

SHAH ALAM, 1 MEI : Peringkat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikenalpasti sebagai pihak bertanggungjawab yang mengeluarkan arahan untuk menghalang petugas media semasa membuat liputan BERSIH 3.0 baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden PKR, N Surendran dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada TVSelangor hari ini.

Menurutnya, pada 27 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah mengarahkan kesemua ketua editor akhbar-akhbar utama untuk bertemu beliau.

Beliau berkata, semasa pertemuan tersebut, kesemua ketua editor terbabit diberi arahan berhubung kaedah untuk melaporkan perhimpunan BERSIH 3.0 selain diminta untuk tidak menunjukkan kekejaman pihak polis.

“Pihak polis dengan jelas telah mengikut telunjuk KDN apabila pihak media yang sedang merakam aksi salah guna kuasa polis terhadap orang awam juga dikasari. Tiada sebarang kenyataan dibuat sehingga kini oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tentang keganasan tersebut.

Jawapan Hishamuddin bahawa rampasan barang-barang wartawan adalah prosedur biasa pihak polis dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan,” katanya.

Tambahnya,tindakan itu sekaligus menujukkan serangan serius kerajaan Umno-BN terhadap kebebasan akhbar.

Jelasnya, di bawah sistem demokrasi negara, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai sebarang hak terhadap media berhubung laporan apa yang boleh disiarkan.

Beliau turut menyifatkan dalih Datuk Seri Najib Razak yang meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA 1984) untuk membenarkan kebebasan akhbar sebagai satu lagi kepalsuan.

“Kami menyeru Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein untuk mendedahkan dalam masa 24 jam butir-butir lengkap arahan yang diberikan kepada media semasa mesyuarat itu.

Kami seterusnya meminta Najib dan Hishamuddin menerangkan dan menjawab dakwaan layanan kejam dan salah guna kuasa
polis terhadap media dan orang ramai semasa perhimpunan BERSIH 3.0 tempoh hari,” tegasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Azmin: Umno Cipta Skrip Fitnah Untuk Lari Isu BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 1 MEI : Umno-BN kembali dengan fitnah seks melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat dan terbaru melibatkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Sehubungan itu, Azmin Ali hari ini membidas kenyataan dikeluarkan oleh Utusan Malaysia memetik sumber blog pro Umno-BN yang menyebarkan beberapa keping gambar beliau bersama seorang wanita di tandas.

Sebelum ini, beliau dan ahli keluarganya difitnah berkaitan isu status ibu bapa kandung terhadap anaknya disusuli dakwaan memiliki saham dan dituduh menghina Raja- Raja Melayu dan terbaru dituduh mencetuskan provokasi dalam Bersih 3.0.

” Skrip fitnah Umno-BN ini sudah berulang selama 14 tahun walaupun bukti sudah jelas nyata bahawa tuduhan mereka merupakan pembohongan semata-mata,” ujarnya dalam kenyataan medianya hari ini.

Berhubung isu status ibu bapa kandung terhadap anaknya, Azmin berkata, dia dan isteri sudah melakukan ujian DNA sebanyak dua kali pada Julai 1998 dan mengesahkan perkara tersebut sekaligus memelihara maruah keluarganya.

Selain itu, Azmin menegaskan fitnah jahat ini tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman dilakukan oleh kerajaan Umno-BN.

Katanya, beliau mendesak supaya Umno-BN menghentikan budaya politik fitnah yang boleh menghancurkan negara dan masyarakat.

” Munculnya fitnah ini bertujuan mengalihkan pandangan rakyat dari isu penipuan pilihanraya dan penyelewengan dana awam ini dimana Umno dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas Bersih 3.0,” katanya yang juga Adun Bukit Antarabangsa.

Terdahulu, Umno-BN melemparkan fitnah jahat dengan mengaibkan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, pemimpin kanan PKR, Badrul Amin Bahron.

Menurut Azmin lagi budaya fitnah jahat ini memperlihatkan sikap pemimpin-pemimpin Umno yang merendahkan akhlak orang-orang melayu dimata masyarakat lain.

Categories
NASIONAL

Dr Mariah: Keganasan Polis Meningkatkan Kebencian Rakyat

SHAH ALAM, 1 MEI : Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud kesal dengan tindakan ganas polis yang dilaporkan menyerang dan mengkasari peserta BERSIH 3.0 terutama wanita dalam perhimpuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr Siti Mariah yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Pusat berkata keganasan pihak polis akan meningkatkan kebencian selain menghapuskan keyakinan rakyat terhadap institusi yang diamanahkan untuk menjaga keamanan negara.

“Memang tidak patutlah. Kalau kita lihat secara keseluruhan semasa BERSIH 3.0 itu berlangsung, tindakan polis adalah keterlaluan. Kalau pukul peserta wanita kan, apa yang kita (wanita) boleh buat pada dia? Kita perempuan kan!,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Beliau berkata, polis tidak sewajarnya bertindak demikian kerana orang ramai hanya ingin berhimpun menyatakan bantahan terhadap kerajaan di dalam perlaksanaan pilihanraya yang didakwa dijalankan secara tidak adil dan bersih.

“Dataran Merdeka itu hanyalah satu medan dan satu tempat lapang untuk orang masuk berhimpun tetapi polis bertindak dengan menganasi rakyat sendiri.

“Kita pun tidak maklum pasal perkara ini. Kalau polis kata peserta itu menimbulkan provokasi, kita tidak tahu lah tetapi memang sepatutnya dari awal cara dibuat polis itu salah. Mengapa dia (polis) bertindak pada mereka yang tidak mencetuskan kekacauan,” katanya.

Selain peserta perhimpuan BERSIH 3.0, terdapat juga laporan menyatakan seorang wartawan wanita mendakwa dikasari polis ketika membuat liputan.

Dilaporkan kejadian berlaku di Jalan Tun Perak semasa wartawan laman berita Merdeka Review, Chen Shaua Fui cuba merakam gambar anggota polis yang didakwa memukul peserta perhimpunan di sebuah restoran.

Selain itu beberapa wartawan melaporkan memori kad dan tape video mereka dirampas kerana merakamkan keganasan polis.

Categories
SELANGOR

Akhirnya… Polis Cemarkan Himpunan BERSIH 3.0

KOMENTAR  Dianggarkan lebih 300,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri ibu negara ketika Himpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Angka tersebut merupakan satu sejarah melibatkan kebangkitan rakyat terbesar di negara ini melampaui era reformasi pada penghujung tahun 1990 an lalu..

Walaupun pihak polis memaklumkan 58 pintu masuk ke ibu negara telah ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak awal pagi. Begitu juga dengan pelbagai ugutan dan amaran oleh pihak polis, pemimpin Umno-BN serta media perdana namun tidak menghalang penyertaan rakyat untuk berhimpun secara aman.

Ramai yang datang membawa keluarga dan anak-anak kerana menyedari himpunan tersebut dijanjikan keamanan tanpa sebarang rusuhan dan provokasi.

Himpunan tersebut ibarat sebuah pesta untuk menyatakan hasrat dihati dan memprotes ketidakadilan dan penipuan yang menimpa rakyat negara ini.

Kedatangan lebih suku juta rakyat untuk menyertai himpunan BERSIH 3.0 tersebut amat luar jangkaan.

Detik 28 April yang di simbolkan sebagai 428 tersebut telah memberi masej yang amat jelas bahawa rakyat negara ini menyedari pelbagai penipuan yang cuba dilakukan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan Umno-BN perlu ditamatkan.

Masej tersebut juga merupakan suatu amaran tegas dari rakyat bahawa telah cukup lebih 54 tahun rakyat merasa diri mereka di tipu oleh kerajaan pimpinan Umno-BN.

Kesan dari penipuan tersebut telah tiba pada kemuncaknya. Rakyat menyedari bahawa kuasa politik dan kuasa kerajaan yang dibentuk selama ini merupakan hasil dari pelbagai penipuan licik SPR dan pemimpin Umno-BN dan bukan berasaskan dari sokongan rakyat sebenar.

Matlamat himpunan BERSIH 3.0 bukan untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN melalui proses rampasan kuasa sebagaimana dilakukan dibeberapa negara di Timur Tengah.

Apa yang dimahukan rakyat adalah supaya SPR bertindak secara profesional dan menjadikan pilihanraya bersih, adil dan telus sebagaimana lapan tuntutan BERSIH sebelum ini.

Isu daftar pemilih dan kewujudan ‘task force’ yang didakwa melibatkan jabatan Perdana Menteri dan SPR dalam memberi kerakyatan kepada warga asing paling menyengat dihati rakyat.

Sukarkah SPR dan pemimpin Umno-BN untuk memenuhi lapan tuntutan tersebut?.Sesiapa sahaja bagi mereka yang  berfikiran waras akan bersetuju bahawa tuntutan tersebut amat adil kepada semua pihak.

Persoalannya mengapa SPR dan pemimpin-pemimpin Umno-BN sanggup menjadi pengklhianat negara serta bertegas untuk tidak memenuhi tuntutan rakyat tersebut.

Jawapannya adalah tanpa penipuan, pengkhianatan, sogokan, penguasaan media, rasuah politik dan ugutan, Umno-BN sudah lama menjadi pembangkang.

 

Menguji Retorik Tranformasi Najib

BERSIH 3.0 yang berjaya menghimpunkan lebih 300,000 rakyat akan menjadi natijah kepada era kebangkitan rakyat yang lebih besar selepas ini.

Selama ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba mengelak untuk melihat isu yang membabitkan kredibiliti SPR dengan melarikan isu-isu berhubung pelbagai laungan retorik tranformasi.

Begitu juga dengan pelbagai rasuah politik seperti peruntukan RM2.71 bilion kepada Umno Selangor, Bantuan Rakyat IMalysia (BRIM) selain beberapa siri kenaikan gaji kakitangan awam dan swasta.

Malangnya rakyat bukan lagi bodoh sebagaimana dijangkakan oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Kenyataan Najib semalam bahawa Kerajaan tidak benarkan Dataran Merdeka digunakan atas beberapa sebab. Katanya kerana Dataran Merdeka merupakan satu tapak yang ikonik dan bersejarah dalam konteks perjuangan kemerdekaan.

Kenyataan ini sekali lagi memperjelaskan ‘wayang’ dan ‘flip-flop’ Najib dan DBKL berhubung jadual asal lokasi utama himpunan BERSIH 3.0.

Kenyataan menteri-menteri Umno bahawa Dataran Merdeka bukan bidang kuasa pihak polis dan kerajaan untuk memberi kebenaran kepada penganjuran BERSIH 3.0 merupakan pembohongan berterusan pemimpin-pemimpin Umno pada rakyat.

Begitu juga dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sanggup menggunakan pelbagai saluran termasuk kuasa mahkamah untuk menghalang Dataran Merdeka digunakan.

Jawapan Najib tersebut jelas bahawa kerajaanlah yang mengarahkan DBKL tidak memberi kebenaran kepada penganjuran Himpunan BERSIH 3.0 di adakan di Dataran Merdeka.

Inilah antara ratusan siri-siri penipuan kerajaan Umno-BN terhadap rakyat.

 

Suasana aman sebelum 3.30 petang

 

Walaupun berdasarkan jadual perhimpunan BERSIH 3.0 akan bermula pada jam 2.00 petang dan berakhir 4.00 petang namun menjelang tengah malam 27 April orang ramai telah mula membanjiri Kuala Lumpur.

Pengalaman dari bebarapa himpunan sebelum ini dan tindakan polis akan menutup laluan masuk ke ibu negara menyebabkan ramai mengambil peluang memasuki Kuala Lumpur lebih awal.

Kebetulan lokasi penginapan dan bilik operasi TV Selangor berhampiran dengan Pasar Seni, penulis sempat berada di beberapa lokasi berhampiran.

Sekitar jam 9.30 pagi lebih 3,000 peserta berada di sekitar Jalan Petaling.Begitu juga di beberapa lokasi seperti di sekitar Sogo, Pasar Seni, Brieckfield dan KLCC.

Menjelang jam 11.00 pagi pula di Jalan Petaling telah dibanjiri hampir 35,000 peserta yang menyanyikan lagu bersih dan Negara Ku.

Suasana amat harmoni dan menyaksikan pelbagai kaum saling bersatu hati sambil bernyanyi.

Berdasarkan dari laporan telefon dari tujuh wartawan yang ditugaskan dipelbagai lokasi memaklumkan pada sekitar jam 12.00 tengah hari ratusan ribu peserta telah memenohi hampir semua lokasi.

Tidak terdapat sebarang kejadian keganasan dilaporkan. Puluhan pihak polis yang ditugaskan untuk memerhati dan berkawal juga berada dalam keadaan tenang. Malah para peserta turut bergambar dengan pihak polis.

Manakala Restoran Yusuf dihadapan Pasar Seni sentiasa penuh dikunjungi yang hampir kesemuanya terdiri dari peserta BERSIH. Malah penulis sempat bertanya kepada penjaga kaunter wang di restoran tersebut.

Menurut beliau, perniagaan pada hari tersebut amat laris dan ketika jam 10.00 pagi pekerjanya terpaksa menyediakan masakan lain kerana telah kehabisan.

 Begitu juga dengan sebuah restoran KFC di dalam Pasar Seni yang kehabisan stok sejak awal pagi.Restoran tersebut sentiasa sesak dengan pelanggan yang terdiri dari peserta BERSIH.

Jalanraya di sekitar Kuala Lumpur lengang tanpa kenderaan disebabkan kesemua laluan masuk telah di tutup pihak polis sejak awal pagi. Hanya beberapa teksi dan bas pesiaran yang kelihatan.

Semantara itu perkhidmatan komputer, star-LRT dan Monorel hampir kesemuanya sesak dengan peserta BERSIH.Hanya laluan tersebut yang dibenarkan dan peserta BERSIH menggunakannya untuk menyertai perhimpunan.

Sepanjang tempoh tersebut tidak terdapat sebarang insiden berlaku di hentian-hentian tersebut. Malah tidak ada satu pun perkhidmatan-perkhidmatan tersebut diganggu atau mendatangkan sebarang kekecohan.

 

Provokasi Polis Selepas 3.30 petang

Himpunan BERSIH 3.0 dijangka akan berakhir jam 4.00 petang sebagaimana dirancang. Ketika berucap dihadapan peserta himpunan pada jam 3.20 petang dihadapan Pejabat Majlis Peguam, Pengerusi BERSIH,Datuk Ambiga Sreenivasan berkata himpunan akan bersurai mengikut jadual.

Manakala lebih kurang jam 3.30 petang, Pihak polis mula menyembur air kimia dan di ikuti dengan tembakan gas pemedih mata ke arah peserta.

Keadaan menjadi huru hara dan tidak terkawal.Mangsa air kimia dan gas pemedih mata tersebut tidak mengenal sesiapa. Orang tua, anak-anak maupun anak muda semuanya lari berserakan.

Sungguh amat kasihan melihat orang-orang tua yang yang terbatuk-batuk dan ada yang termuntah akibat terkena asap dari gas pemedih mata.

Penulis sendiri tidak terkecuali. Namun pengalam dari keganasan polis sejak zaman reformasi sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan keperitan kesan dari gas pemedih mata tersebut.

Dengan air miniral yang dibawa serta sebuah tuala kecil selain sebungkus garam halus yang dibawa penulis berjaya mengatasi keperitan dari kesan gas tersebut. Garam dan air miniral yang ada sempat juga penulis membantu mereka yang lain.

 

Mengapa Polis perlu membuat provokasi

 

Pengalaman dari berpuluh himpunan di zaman reformasi dahulu serta pelbagai kekecohan yang timbul dari ketika itu adalah berpunca dari provokasi polis.

Himpunan yang mulanya berlangsung secara aman akhirnya akan timbul kekecohan.Kekecohan tersebut sengaja ‘dicipta’ bagi menghalalkan tangkapan. Ini disebabkan sekiranya berlaku secara aman pihak polis tidak boleh membuat sebarang tangkapan.

Justeru kekecohan tersebut terpaksa di cipta. Inilah peranan yang dimainkan oleh pihak SB.Beberapa pendedahan yang didedahkan media alternatif adalah antara contoh yang pernah berlaku sejak era reformasi dahulu.

Hal ini jugalah yang berlaku ketika BERSIH 3.0 baru-baru ini. Kekecohan perlu ‘di cipta’ bagi menghalalkan tangkapan atau bagi menunjukkan yang bersalah itu adalah rakyat dan yang ‘maksum’ itu adalah polis dan taukeh mereka dari pemimpin-pemimpin Umno-BN.

Apabila provokasi seperti semburan air kimia dari water canon dan tembakan gas pemedih mata akan mengakibatkan rakyat marah. Apabila rakyat marah maka kemarahan tersebut akan dihala kepada pihak polis.

Sedangkan tanpa provokasi tersebut sejak jam 9.00 pagi hingga jam 3.30 petang tidak ada satu pun insiden yang tidak diingini berlaku.Sebuah kenderaan pun tidak dilaporkan terbalik atau terbakar malah bercalar pun tidak.

Tidak ada sebuah kedai atau permis perniagaan pun mengalami kecurian atau dirompak.

Provokasi ini amat penting kepada pihak Umno-BN dalam usaha menyebarkan propoganda berhubung sokongan rakyat terhadap BERSIH 3.0.

Kedatangan hampir 300,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri Kuala Lumpur merupakan suatu yang amat menggerunkan kepada kerajaan Umno-BN.

Apatah lagi di saat menjelang PRU 13 semakin hampir. Maka tidak hairanlah keesokan harinya media perdana milik Umno-BN menyiarkan berita berhubung keganasan BERSIH.

Satu pun dari media-media tersebut tidak menyiarkan angka berhubung peserta himpunan dan mengapa himpunan tersebut diadakan.

Sebaliknya pembangkang dijadikan kambing hitam dan seperti biasa nama Anwar Ibrahim akan di seret sebagai petualang keganasan.

Apa pun media milik kerajaan Umno-BN boleh ‘menipu’ rakyat dikampong-kampong pedalaman. Namun bagi penghuni bandar khususnya mereka yang menyertai himpunan BERSIH 3.0 menyedari ‘spin’ media-media tersebut.

Dari sudut politiknya, tindakan ganas pihak polis memberi kesan yang besar kepada momentum rakyat terhadap Umno-BN dalam PRU 13 nanti.

Sekiranya himpunan BERSIH 3.0 tersebut berlaku secara aman tanpa provokasi polis, imej tranformasi Najib akan menjadi lebih baik dan lebih diyakini rakyat.

Maka benarlah tranformasi Najib adalah retorik semata-mata.

Categories
NASIONAL SELANGOR

BERSIH 4.0 Jika SPR Gagal Laksana 8 Tuntutan

SHAH ALAM, 30 APR : Perhimpunan BERSIH 4.0 mungkin dianjurkan pada bila-bila masa sekiranya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan.

Lapan tuntutan itu termasuklah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri, pimpinan tertinggi AMK telah mengadakan perbincangan untuk mendesak perhimpunan BERSIH 4.0 diadakan ekoran tiada kesungguhan daripada SPR untuk mendengar suara rakyat.

Katanya, ia ditambah dengan keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk mengenakan larangan wakil calon berada di barong SPR pada hari pengundian

“Kelihatannya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti adalah sebuah pilihan raya berat sebelah, kotor dan paling dahsyat pernah berlaku di negara ini. Kita sendiri dengan jelas melihat pemimpin Umno-BN juga tidak bersungguh-sungguh mendengar suara rakyat bahkan tidak melayan langsung,” katanya.

Beliau berkata, selain menghantar mesej kepada kerajaan Umno-BN, perhimpunan BERSIH 4.0 nanti juga akan terus mendesak SPR membersihkan senarai daftar pemilih.

Beliau turut menyarankan supaya semua pengundi di seluruh negara untuk menyemak senarai daftar pemilih bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau pertukaran kawasan mengundi semasa pilihan raya nanti.

Tambahnya, perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung tempoh hari juga bertambah ramai setelah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa Pengarah SPR dan Timbalannya merupakan ahli Umno.

“Walaupun dia (Pengarah SPR) kata bebas dan adil, macam mana nak buktikan sedangkan dah jadi ahli Umno. Sesiapa yang mendaftar keahlian, dia mesti taat pada arahan kepimpinan parti itu.

Justeru, kita akan menggesa pihak sekretariat BERSIH untuk menganjurkan perhimpunan itu sekali lagi dalam masa terdekat.

Categories
NASIONAL

Anwar: BN Gunakan Cara Hitler, Stalin Zalimi Rakyat

SHAH ALAM, 30 APRIL: Tindakan kerajaan yang menganggap rakyat yang menyertai perhimpunan aman BERSIH 3.0 Sabtu lalu sebagai penjenayah merupakan kaedah yang lazimnya digunakan oleh pemerintah kuku besi seperti di zaman Hitler dan Stalin.

Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbarnya yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Damansara hari ini.

Menurut Anwar kerajaan Umno-BN juga telah memburukan rakyat yang menentang kezaliman mereka melalui media yang dikuasai mereka.

“Cara pemerintah Umno-BN bertindak terhadap 300,000 orang yang berhimpun dengan berani dan gigih yang pastinya mewakili sentimen jutaan rakyat amat dikesalkan.

“Ini adalah kaedah biasa pemerintahan kuku besi mana-mana sahaja yang tidak akan menyebut punca kemarahan rakyat, yang tidak akan ulangi tuntutan rakyat tetapi akan mengalih untuk menjadikan rakyat sebagai mangsa.

“Menggunakan media yang dikuasai oleh parti pemerintah dan kelompok perasuah yang ditentang oleh rakyat.

“Jadi sekarang ini seperti mana di zaman Hitler dan Stalin  di negara-negara kuku besi dan Burma sebelum ini di mana pembantah dianggap penjenayah dan penindas dianggap bersih,” kata Anwar.

Anwar juga menganggap tarikh 28 April 2012 merupakan hari ‘Merdeka Rakyat’ apabila rakyat negara ini bersatu suara bagi menyampaikan mesej kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan bagi menuntuk suatu pilihan raya bebas, adil dan bersih.

“28 april 2012 dgn kehadiran 300 ribu rakyat, bersatu suara meminta pilihan raya yang adil dan bebas.

“Anak muda, wanita datang dengan kebebasan dan semangat menuntut kebebasan dari dirompak oleh kelompok-kelompok lain dan mahu keadilan ditegakkan. Hari 28 April adalah hari merdeka rakyat,” ujar Anwar lagi.

Dalam sidang media yang sama, Anwar berkata tiada sebarang insiden berlaku sehinggalah polis mula bertindak menggunakan kekerasan terhadap rakyat yang berhimpun.

“Dari jam 10 pagi sudah puluhan ribuan yang hadir tetapi tiada satupun insiden yang dapat mencemar imej baik perhimpunan secara aman itu, tetapi kita anggap sebagai satu majlis, pesta rakyat yang dahagakan kebebasan.

“Sebab itu hari itu saya anggap sebagai hari rakyat merdeka,” ujar Anwar lagi.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang turut berada dalam sidang media itu menambah dengan memberikan contoh demontrasi yang diadakan pada 9 Januari lalu ketika hari keputusan perbicaraan liwat yang dihadapi oleh Anwar.

“Kalau kita ingat semasa perhimpunan 901 lalu polis telah berkerjasama baik dengan kita walaupun cuma beri tempat di kawasan parkir yang tidaklah luas.

“Masa itu polis tidak bertindak mengejar dan sebagainya terhadap perserta perhimpunan, jadi perhimpunan telah berjalan dengan lancar tanpa huru-hara,” ujar Tian Chua.

Ketika menjawab satu soalan, Anwar berkata beliau dan Azmin tidak pernah mengeluarkan arahan agar perserta perhimpunan merempuh pagar duri yang digunakan menutup laluan ke Dataran Merdeka.

Sebaliknya menurut Anwar, beliau hanya mengarahkan peserta bergerak ‘ke kanan’ bermaksud menuju ke arah Jalan Tunku Abd Rahman.

Anwar bagaimanapun berkata, beliau akan mempertahan tindakan peserta perhimpunan yang memasuki ke kawasan Dataran Merdeka yang disifatkannya bukan satu perbuatan jenayah.

Anwar juga dengan sinis menempelak soalan tersebut dengan bertanya adakah memasuki Dataran merupakan satu kesalahan besar berbanding perbuatan menipu dalam pilihan raya.