Categories
NASIONAL

AMK: Kekecohan Kerana Provokasi Polis

SHAH ALAM, 30 APR : Kontroversi berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung tempoh hari masih belum surut, malah terus menjadi buah mulut setiap pihak yang rata-ratanya mendakwa ia sebuah ‘perhimpunan kotor’ dan penuh keganasan.

Menyangkal dakwaan itu, Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Azmizam Zaman Huri dengan tegas menyifatkan kekecohan yang timbul adalah disebabkan oleh provokasi polis yang bertindak ganas terhadap para peserta.

Menurutnya, tiada kekecohan berlaku semasa perhimpunan itu walaupun anggota polis dan pihak PRU dilihat cuba menghalang laluan peserta.

Bahkan katanya, walaupun jumlah peserta pada ketika itu mencecah 250,000 orang, namun keadaan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur masih aman.

“Sebelum pihak polis melepaskan gas pemedih mata, tiada kekecohan berlaku. Walaupun peserta begitu ramai sehingga mencecah 250,000 orang di beberapa kawasan, tetapi keadaan aman dari awal pagi.

Saya sendiri melihat perhimpunan itu tiada kekecohan sehinggalah tercetusnya tembakan (gas pemedih mata) pertama pada pukul 3.30 petang iaitu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap.

Saya sebenarnya tidak faham mengapa polis begitu marah dengan peserta perhimpunan kerana tiada apa yang berlaku melainkan disebabkan oleh provokasi yang dibuat oleh polis dan FRU,” katanya.

Azmizam dalam pada itu turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan anggota polis yang menggunakan kekasaran semasa mengendalikan peserta perhimpunan termasuk mencederakan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (chegu Bard) pada ketika itu.

Beliau turut mengecam laporan berat sebelah yang dibuat media pro Umno-BN yang rata-ratanya mendakwa peserta demonstrasi itu tidak mendengar arahan.

“Polis tidak sepatutnya bertindak ganas terhadap para peserta. Semasa kejadian kereta polis diterbalikkan, kita kena selidik dahulu pucanya. Jangan hanya tuduh melulu kerana niat asal BERSIH 3.0 hanya untuk duduk bantah secara aman.

Perhimpunan di tempat lain seperti Pulau Pinang dan seluruh dunia juga berlangsung, tetapi tiada berlaku kekecohan. Di Dataran Merdeka, polis yang melakukan provokasi,” jelasnya.

ends

Categories
NASIONAL

Peguam: Polis Bertindak di Luar Kawasan Larangan

SHAH ALAM, 30 APRIL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memandang serius tuntutan yang dikemukakan Bersih 3.0 memandangkan kehadiran rakyat Malaysia yang menuntut perubahan terhadap sistem pilihanraya diluar jangkaan.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, kehadiran ramai penyokong pada himpunan Sabtu lalu dilihat sebagai satu anjakan positif memandangkan rakyat berbilang kaum bersatu bagi menyatakan bantahan dan menuntut perubahan sistem pilihanraya yang lebih baik.

Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Srenevasan dianggarkan 250,000 orang yang hadir dalam himpunan tersebut.

“Kehadiran begitu ramai, mungkin kawalan tidak cukup memandangkan ada yang terlibat dalam rusuhan dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah, sepatutnya pihak keselamatan tidak membuat sebarang tangkapan terhadap hadirin yang berada di luar kawasan larangan dan pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini.

“Isunya adalah mengapakah pihak polis membuat tangkapan diluar kawasan larangan. Jadi perlu diadakan satu siasatan adakah provokasi daripada pihak demonstrat. Semua pihak yang terlibat seharusnya diambil tindakan,” katanya.

Sebelum itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan arahan Dataran Merdeka tidak boleh digunakan untuk himpunan Bersih berdasarkan perintah mahkamah yang telah dikeluarkan.

Berhubung sekatan terhadap petugas media katanya, sepatutnya pihak media tidak perlu dihalang ketika menjalankan tugas dan siasatan juga perlu dilakukan.

Bersih 3.0 menyaksikan beberapa petugas media cedera dan peralatan mereka dirampas oleh pihak berkuasa. Antara petugas yang terlibat adalah wartawan-jurufoto Malaysiakini Koh Jun Lin dan wartawan The Sun, Radzi Razak.

Categories
NASIONAL

PAS Mahu Suhakam Siasat Keganasan Polis

SHAH ALAM, 30 APR : Pakatan Rakyat menyokong saranan dibuat Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) supaya satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan wujudnya provokasi polis hingga tercetusnya tindakan ganas pihak berkuasa itu terhadap peserta yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Saranan tersebut dibuat Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung penubuhan jawatankuasa tersebut apabila berlaku insiden tidak diingini melibatkan peserta Bersih 3.0 dengan pihak polis dalam usaha mereka melepasi halangan untuk memasuki kawasan Dataran Merdeka.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi TVSelangor berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan dibuat jawatankuasa BERSIH supaya siasatan secara menyeluruh dapat dilakukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Saya fikir tindakan ganas polis ini terhadap peserta yang menyertai Bersih 3.0 perlu diberi perhatian dan perlu ditubuhkan satu jawatankusa bagi menyiasat perkara ini. Saya bersetuju apa yang dicadangkan jawatankuasa Bersih untuk Suhakam menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat tindakan ganas polis yang di luar bidang kuasa dan batas perundangan,” katanya.

Menurutnya, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghalang rakyat daripada menggunakan Dataran Merdeka bagi tujuan perhimpunan Bersih 3.0 itu adalah menjadi punca terhadap segala kekecohan yang berlaku.

Katanya, polis melakukan provokasi terhadap rakyat yang berlegar di sekitar kawasan yang hampir dengan Dataran Merdeka.

“Suasana sebegini menimbulkan kemarahan rakyat dan tercetuslah keadaan kecoh yang dapat kita lihat polis bertindak di luar peraturan sedia ada. Sebenarnya rakyat dilarang masuk ke Dataran Merdeka tetapi rakyat tidak dilarang berhimpun di tempat-tempat lain. Kalau kita tengok tindakan polis seperti di kawasan Menara Maybank, Masjid Jamek dan Masjid Negara hingga mengejar dan menyemburkan gas pemedih mata kepada peserta adalah di luar kawasan yang telah digazetkan oleh mahkamah.

“Jadi kita tengok tindakan polis ini telah melampaui had yang dibenarkan mahakamah dan rakyat sendiri telah turun dan melihat suasana provokasi yang ditimbulkan oleh polis,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihak berkuasa seperti DBKL tidak menghalang perhimpunan Bersih 3.0 dibuat  rakyat itu maka pastinya tiada sebarang insiden tidak diingini yang akan berlaku.

“Perhimpunan Bersih 3.0 ini adalah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya didalangi pihak pembangkang maka kerajaan sewajarnya memberi perhatian dengan mendengar suara rakyat yang inginkan perubahan di negara ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: Keganasan Polis Melampaui Batas

KOMENTAR: Meskipun hanya mahu menyampaikan hasrat rakyat negara ini bagi menuntut hak agar pilihan raya bersih dan adil diadakan, rakyat negara ini terpaksa berhadapan dengan tindakan ganas amukan PDRM (Polis DiRaja Malaysia) yang lengkap bersenjata.

Tindakan ganas pihak PDRM terhadap peserta perhimpunan aman Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Sabtu lalu jelas menggambarkan sikap tidak profesional badan penguatkuasa terlibat.

Tindakan-tindakan ganas PDRM yang lengkap bersenjata terhadap perserta perhimpunan semalam juga cukup bagi menggambarkan usaha keras agensi keselamatan tersebut untuk menggagalkan perhimpunan itu demi melindungi kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Perhimpunan Duduk dan Bantah BERSIH 3.0 itu diadakan bagi memprotes tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan memenuhi tuntutan rakyat negara ini untuk mengadakan pilihan raya yang bersih dari sebarang manipulasi.

Tinjauan TVS sepanjang perhimpunan semalam jelas menunjukkan perhimpunan yang pada awalnya berjalan dalam suasana aman mulai bertukar ganas apabila polis mula bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata, tembakan air kimia, mengejar dan memukul peserta perhimpunan dan pihak lain yang tidak terlibat dalam perhimpunan.

Keganasan polis menjadi semakin buruk apabila terdapat segelintir anggota polis yang menyebarkan berita palsu sesama mereka bahawa seorang anggota polis telah terbunuh ketika bertugas mengawal perhimpunan tersebut.

Ini jelas apabila terdapat anggota polis yang menjadikan alasan ‘kematian’ rakan mereka untuk bertindak ganas terhadap orang awam.

Dalam satu kejadian di Jalan Masjid India semalam, seorang anggota polis dilihat mengherdik salah seorang peguam pemerhati dari Jabatan Undang-undang Hak Asasi Manusia (JUHAM), Afian yang kebetulan berada di situ dan cuba menghalang tindakan ganas polis.

“Kau tahu tak, ada anggota yang mati tadi! Gunakanlah otaklah.. Siapa tak geram, diaorang memang nak kena ajar!,” herdik anggota polis tersebut bagi menghalalkan tindakan ganas beliau dan sekumpulan polis terhadap seorang orang awam yang sedang menikmati makanan di kedai makan berhampiran pasaraya Mydin.

Bagaimanapun menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM hari ini menyatakan kematian anggota polis, Sarjan Zaini Nawawi, 53, tiada kena mengena dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan.

Perkara ini turut disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh  dalam sidang media yang sama.

“Anggota tersebut meninggal dunia kerana mengalami sesak nafas ketika menjalankan tugas rondaan biasa di kawasan Bukit Bintang,” kata Mohmad Salleh.

Afian boleh dianggap bernasib baik berbanding rakan sejawat beliau dari Lawyers for Liberty yang juga bertindak sebagai peguam pemerhati, Mohd Haijan Omar yang mengalami luka di bahagian bawah mata kirinya, bengkak di rahang dan juga lebam di bagian lain badannya setelah dibelasah polis di Jalan Tun HS Lee.

Menurut Haijan beliau terus dikasari walaupun telah berada di dalam tahanan polis.

Tidak terkecuali, petugas media yang membuat liputan Perhimpunan BERSIH 3.0, yang bukan sahaja kamera dirampas kerana merakamkan kejadian sebenar malah turut menjadi mangsa keganasan PDRM semalam.

Antara wartawan terbabit adalah wartawan dari The Sun, Radzi Razak yang terpaksa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur setelah mengalami kecederaan tulang rusuk dan bahagian dalaman lain akibat keganasan polis.

Selain itu, tindakan kumpulan anggota polis tersebut tampak jelas bukanlah bertujuan untuk menyuraikan perhimpunan kerana perhimpunan telah pun berakhir kira-kira sejam yang lalu.

Kebanyakan yang ditahan pada masa itu merupakan peserta perhimpunan yang telah pun bersurai dan sedang berehat atau makan di kedai-kedai makan sekitar Jalan Masjid India yang bukan merupakan tapak perhimpunan.

Drama kejar mengejar terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat dalam perhimpunan sebelumnya turut berlaku di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur meskipun kebanyakkan antara mereka yang dikejar itu sedang dalam perjalanan menuju ke stesen komuter atau LRt untuk pulang.

Malah ada diantara peserta yang sedang berehat berhampiran masjid Jamek untuk menunggu masuk waktu magrib sebelum berangkat pulang

Tindakan itu menjelaskan lagi bahawa tindakan polis ketika itu bukanlah bertujuan menyuraikan perhimpunan atau mempertahankan Dataran Merdeka dari dimasuki sebaliknya mereka ‘keluar kubu’ untuk menyerang mana-mana orang awam yang disyaki peserta perhimpunan.

Dalam satu kejadian di Jalan Tunku Abd Rahman pula, Azan Ridzuan, 25, turut menjadi mangsa keganasan polis apabila beliau telah ditarik keluar dari Hotel Swiss dan dibelasah beramai-ramai oleh sekumpulan anggota polis.

Menurut Azan, ketika pihak polis menyerbu masuk ke Hotel Swiss, beliau sedang berada di lobi hotel bersama dua saudaranya.

“Masa tu saya ada bersama adik saya,isterinya dan beberapa orang yang tidak saya kenali.

“Tiba-tiba sahaja polis masuk serbu dan kami cuma terkejut dan tidak bertindak apa-apa melainkan mendiamkan diri sahaja.

“Bila mereka tengok tak ada sesiapa yang pakai baju BERSIH di situ, diorang cekup dan tarik saya secara rambang sahaja.

“Tanpa saya melawan, saya ditarik keluar dari hotel dan dipukul kira-kira sekumpulan 10 anggota polis dengan menggunakan cota dan tangan di kepala, badan dan tangan yang saya guna untuk lindungi muka saya.

“Bila saya tumbang, polis-polis itu masih memukul saya termasuk menendang di bahagian perut,” kata Azan kepada TVS.

Azan juga memberitahu selepas kejadian dipukul itu beliau telah diarahkan agar meninggalkan tempat itu dengan serta merta.

“Selepas tu mereka tengking saya, suruh tinggalkan tempat itu. Kalau itu sahaja sebabnya kenapa tak beritahu sahaja tanpa gunakan kekerasan kerana pada masa itu kami memang bercadang untuk pulang, tetapi memandangkan keadaan di luar tak selamat kami terpaksa berlindung dahulu di hotel itu sementara tunggu keadaan lebih selamat.

“Selepas berlari tak jauh dari situ saya rebah, pengsan dan bila sedar sahaja saya dapati saya sedang dibantu oleh beberapa orang awam yang berada di situ,” katanya lagi.

Sebelum itu di lokasi yang sama, Nani, 40 tahun telah kehilangan telefon bimbit berjenama Galaxy Note Samsung yang bernilai hampir RM2000 ringgit dipercayai diambil oleh seorang anggota polis.

Menurut Nani yang datang dari Kedah itu, telefon tersebut telah dihadiahkan oleh suaminya sempena harijadinya kira-kira seminggu lalu.

“Masa tu akak berada di tepi hotel sedang menghantar SMS, tiba-tiba polis datang menyerbu dan akak terkejut sampai telefon tu terlepas dari tangan.

“Akak terus tarik tangan anak akak lari ke dalam hotel. Cuma kurang tiga minit lepas itu bila akak sedar telefon tak ada, akak keluar cari, tetapi dah tak ada.

“Akak terus cuba hubungi telefon akak tu, mula-mula tadi ada nada dering tetapi tak dijawab, sekarang langsung dah ditutup” katanya.

Menurut seorang saksi kejadian, Remy, 31 tahun, beliau melihat sendiri salah seorang anggota polis yang datang menyerbu nampak telefon itu terjatuh dan mengambilnya.

“Saya tak jauh dari situ, memang nampak seorang polis yang sama-sama datang  menyerbu, perasan telefon akak ni jatuh dan lepas itu dia ambil.

“Kalau saya nampak mukanya sekarang mungkin juga saya boleh cam lagi agaknya,” kata Remy.

Dalam perhimpunan BERSIH 3.0 semalam turut menyaksikan beberapa pemimpin politik dan NGO samada dipukul atau ditahan polis.

Antara yang turut menjadi mangsa keganasan polis ialah Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dan lima aktivis SAMM lain yang turut dibelasah selepas ditahan pihak polis.

Dalam kejadian tersebut Chegu Bard telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan badan dengan kesan-kesan lebam dipercayai dipukul dengan menggunakan cota.

Selain Chegu Bard yang diberitakan telah dibebaskan hari ini, bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Aziz Bari turut ditahan.

Categories
NASIONAL

Surendran: Tranformasi Kebebasan Media Najib Hanya Retorik

SHAH ALAM 30 APRIL : Serangan yang didakwa dilakukan polis ke atas peserta BERSIH 3.0 dan wartawan yang membuat liputan perhimpunan itu menunjukkan kerajaan bertindak ganas dan tranformasi Perdana Menteri berhubung kebebasan media hanya retotik semata-mata.

Naib presiden PKR N Surendran berkata pihak polis dengan sengaja menjadikan para wartawan dan peserta sebagai sasaran serangan dalam perhimpunan yang diadakan semalam.

Katanya, tindakan Umno-BN itu melanggar hak kebebesan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga Perkara 19 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Kerajaan Umno-BN telah memalukan negara kita dengan serangan tanpa undang-undang itu terhadap akhbar dan orang ramai yang berhimpun secara aman untuk reformasi system pilihanraya.

“Serangan terhadap media tidak pernah berlaku sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tidak ikhlas dengan tindakannya baru-baru ini bahawa beliau sudah meningkatkan kebebasan akhbar dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetakl 1984,” katanya.

Tambahnya, motif gangguan dan serangan fizikal itu adalah untuk mengelakkan wartawan daripada merakam kekerasan, keganasan dan serangan polis ke atas orang awam.

Semalam, beliau mendakwa polis melakukan penahanan ke atas wartawan daripada Malaysiakini, akhbar Guan Ming dan juga Malay Mail.

Selain itu, polis juga merosakkan kamera dan merampas rakaman daripada wartawan Nanyang, stesen TV Channel News Asia, Al Jazeera, akhbar Makkal Osai dan laman Merdeka Review, dakwanya.

Dengan itu, beliau menuntut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab ke atas “tindakan jenayah” ke atas petugas media itu.

“Serangan yang diselaras sebegitu dan juga serangan yang dialami tidak mungkin dijalankan tanpa arahan daripada pemimpin polis dan menteri dalam negeri,” katanya.

Justeru, pihaknya menuntut Najib mengeluarkan jaminan segera bahawa kerajaan BN akan menghormati kebebasan media dan menghentikan segala campurtangan dengan media yang menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, Tian Chua yang turut ditahan  menyifatkan keganasan polis itu sudah diizinkan rejim Najib kerana mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk melakukan provokasi.

“Peserta BERSIH yang sudah beransur pulang pun masih lagi dikasari termasuk ditendang dan dipukul beramai-ramai,” katanya.

Tian Chua berkata beliau tidak gentar dengan kekejaman polis sebaliknya lebih bersemangat walaupun turut dipukul dengan teruk semasa dalam tahanan.

Turut ditahan CheguBard dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari selain 388 orang ditahan.

Mereka dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di Kuala Lumpur dan dibebaskan selepas lapan jam ditahan pada 6.55 petang semalam.

Dalam perhimpunan itu, dilaporkan kira-kira 512 peserta ditahan polis.

Categories
NASIONAL

Chegu Bard : Najib Menjadikan Peserta Dan Polis Mangsa Kekecohan Bersih 3.0

SHAH ALAM 29 APR : Peserta dan polis telah dijadikan mangsa di dalam kekecohan pada himpunan BERSIH 3.0 akibat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin berkata ini kerana Najib tidak membenarkan peserta berhimpun di Dataran Merdeka.

“Jika rejim pemerintah memberi peserta masuk ke dalam dataran itu, lebih-lebih dua hingga lima jam sahaja yang boleh berhimpun dan akhirnya bersurai dengan aman tiada sebarang masalah berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Bagi beliau, polis adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi ini tidak menghalalkan tindakan ganas yang dilakukan pasukan keselamatan itu.

Di dalam himpunan di Kuala Lumpur semalam, polis menembak gas pemedih mavta dan menyembur air kimia kepada ribuan penyokong BERSIH 3.0 yang turun mengepung Dataran.

Setelah peserta-peserta tersebut yang menjangkau 250,000 itu berpecah lari ke beberapa lokasi di sekitar Dataran, mereka dikejar dan dihalau pasukan polis.

Dilaporkan polis memukul dan menggunakan kekerasan terhadap peserta yang tidak bersurai dan seramai 512 orang ditahan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di Kuala Lumpur.

Beberapa wartawan yang membuat liputan terhadap himpunan itu mendakwa mereka dikasari polis yang merampas kamera dan menghalang mereka daripada merakam tindakan polis terhadap peserta.

Badrul Hisham, yang juga dikenali Chegu Bard mendakwa beliau turut dipukul semasa ditahan polis di kawasan Masjid Jamek semalam.

“Tindakan ganas polis itu, Najib perlu bertanggungjawab penuh. Perbuatan polis seperti ‘gangster’ yang berindak diluar jangkaan seperti mengacukan pistol dan sebagainya sudah melampaui batas.

“Apa yang berlaku semalam adalah rusuhan polis di tengah-tengah Bandara Raya Kuala Lumpur,” kata Badrul Hisham.

Badrul Hisham bekata beliau dipukul sehingga luka di bahagian kepala malah tulang mukanya patah.

Tambahnya, beliau dipukul oleh kira-kira 50 anggota polis di Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Pada waktu hampir Maghrib, ketika saya berada di Masjid India, saya ditarik dan dipukul teruk oleh lebih 50 anggota polis di Jalan Tunku Abdul Rahman kemudian ditarik dan dibawa ke Dataran Merdeka.

“Saya mengatakan simpati kepada anggota polis dan rakyat semua. Kita adalah mangsa kepada tindakan Najib yang memperkudakan polis itu,” katanya.

Beliau berkata perhatian hanya diberikan kepada tindakan ganas yang dilakukan peserta BERSIH.

“Tetapi sebagai contoh, ianya berlaku di depan mata saya di Sogo, anggota polis membawa kereta dan merempuh seterusnya melanggar peserta BERSIH sehingga ada yang terperosok di bawah kereta.

“Malah peserta yang tiada pilihan lain bertindak menterbalikkan kereta terbabit apabila polis tidak menghiraukan permintaan mereka untuk mengalihkan kereta bagi mengeluarkan mangsa yang cedera teruk terbabit.

“Dan akhirnya polis mengeluarkan kenyataan memberitahu bahawa anggota polis itu meninggal dunia akibat dipukul,” katanya.

Polis Menembak Gas Pemedih Mata Ke Dalam Himpunan BERSIH Di Dataran Merdeka

Laporan Khas : Oleh Mat Zahari Ali, Naeem Raffi, Afix Redzuan, Lizawati Madfa, Nazli Ibrahim dan Siraj Mohd Zaini.

KUALA LUMPUR 28 APR: Terkini dilokasi
6.35pm: Polis tembak meriam air ke kumpulan peserta di Jalan Tun Perak depan Masjid Jamek. Peserta lari masuk masjid Jamek dan stesen LRT Masjid Jamek.

Youtube: Video Polis serang peserta Bersih – TONTON

6:15pm: Polis menembak terus ke arah kumpulan peserta BERSIH yang masih di Jalan Tun Perak. Seorang daripada mereka cedera di bahagian buku lali dan dibawa ke hospital.

5.58pm: Masih terdapat ribuan peserta BERSIH yang berlegar-legar di Jalan Tun Perak. Mereka diperhatikan oleh polis di Dataran.

5.40pm: Peserta BERSIH yang tiba-tiba muncul di Jalan Tunku Abdul Rahman dikejar polis.

5.33pm: Sejurus selepas polis beredar dari Jalan Tunku Abdul Rahman, kira-kira 1,000 peserta BERSIH tiba-tiba muncul dari arah Puduraya.

Pemandu Kenderaan Hampir Terbabas Ditembak Peluru Gas Pemedih Mata
KUALA LUMPUR 28 Apr : Seorang pemandu kereta medakwa kenderaan beliau terkena tembakan peluru gas pemedih mata polis semasa beliau memandu di depan Menara Maybank. Individu itu Ong Kah Wei berkata peluru itu memecahkan bahagian belakang cermin kereta Proton Saga dan masuk ke dalam kenderaan beliau. Ong, yang hanya melalui kawasan berkenaan, kesal dengan kejadian tersebut dan berkata beliau sesak nafas apabila terhidu bau gas itu. Beliau berkata tempat duduk keretanya juga terbakar di dalam insiden itu.

Video Youtube Bersih: Polis bertindak ganas menembak gas pemedih mata & meriam air TONTON. Sebarkan!

5pm: Polis serbu sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman mengejar peserta BERSIH. Kira-kira 2-3 lagi kena tahan.

4.45pm: Polis lepaskan gas tembakan kepada peserta yang berkumpul di depan Puduraya. Peserta berlari ke Jalan Sultan.

4.32pm: Polis melepaskan lapan das tembakan gas pemedih mata kepada peserta BERSIH 3.0 yang berada di Jalan Petaling.

4.14pm: Polis menembak gas pemedih mata ke arah peserta #Bersih di depan bangunan KWSP.

4.01pm: Peserta #Bersih dari Dataran berhimpun di hadapan Pudu Raya seperti Bersih 2.0.

3.57pm: Sekumpulan peserta #Bersih cuba berarak kembali ke Dataran melalui Jln Raja Laut. 2-3 org cedera diusung org ramai.

3.37pm: Sekumpulan peserta #Bersih bergerak ke Ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut.

3.33pm: Lebih kurang 30 orang peserta Bersih kelihatan ditahan polis di Dataran Merdeka.

3.31pm: Peserta Bersih tersebut tercedera oleh kawat dawai apabila cuba melarikan diri dari gas pemedih mata.

3.31pm: Seorang peserta Bersih tercedera di dua belah kaki akibat terkena kawat dawai di Dataran Merdeka.

3.30pm: Polis telah mula menahan rakyat.

Laman Media Selangorku http://www.Selangorku.com diserang DDOS.

Dato Seri Anwar Ibrahim dilaporkan kena meriam air kimia.

3.12 pm : Peserta BERSIH mula lari ke arah Jalan Tunku Abdul Rahman untuk megelakkan daripada gas pemedih mata.

3.10pm : Polis yang sedang mengawal Dataran Merdeka sudah mula menembak gas pemedih mata ke arah himpunan BERSIH yang mengepung Dataran Merdeka.

3.01 pm. Majlis Peguam berkata seorang aktivis masih ditahan polis di KLCC. Himpunan di sekitar Dataran Merdeka dianggarkan sudah mencecah 250,000 ribu.

 

2.43 ptg : Peserta BERSIH yang dianggarkan menjangkau 150,000 orang sudah mengepung Dataran Merdeka. Polis masih bertahan dan tidak membenarkan mereka memasuki tapak Dataran.

2.17 ptg : Perarakan gergasi yang disertai Anwar, keluarganya dan penyokong Pakatan Rakyat berarak dari Masjid Negara ke Pasar Seni.

2.13 pm :  Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreevasanan menyampaikan taklimat ringkas kepada peserta Himpunan di tapak pakir Pasar Seni. Beliau mengingatkan peserta agar tidak tergugat dan melawan sebarang provokasi pihak lain. Talkimat ini sebagai yang terakhir sebelum semua kumpulan berarak ke Dataran Merdeka.

 

 

2.06 ptg : Di dalam ucapannya, MP Pokok Sena Mahfuz Omar minta Yang Di Pertuan Agong tidak memperkenankan pebubaran Parlimen dan mengesa satu Suruhanraya Diraja ditubuh bagi mengkaji ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya.

1.57 : Pengerusi DAP Karpal Singh tiba di Bangunan Majlis Peguam.

1.55 : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga tiba di perkarangan Masjid Negara dengan memakai baju BERSIH 3.0 dan bergabung dengan penyokong BERSIH 3.0.

1.47 : 500 anggota polis daripada Pejabat Pos Dayabumi menuju ke hadapan Bangunan Majlis Peguam ini berikutan perarakan dari Jalan Tun HS Lee dan Jalan Petaling menuju ke Dataran Merdeka. Tetapi mereka dihalang sekatan kawat berduri di hadapan Bangunan Majlis Peguam.

1:34 Satu unit Polis sudah sampai depan Central Market di mana beribu penyokong BERSIH 3.0 sedang berkumpul.  Mereka lalu sahaja di sambil memerhati penyokong yang berkumpul.

 

 

1.00 petang : Timbalan Presiden PKR,Azmin Ali kagum dengan kebangkitan anak muda yang hadir bersama dalam himpunan Bersih 3.0 dan percaya mereka mampu mengubah negara ke arah yang lebih baik.

Hari ini merupakan hari bersejarah kepada negara meskipun diugut dan dihalang, rakyat teguh hadir meskipun dihalang dan diugut pihak berkuasa

“Anak muda bangun menuntut keadilan. Ini petanda baik kepada negara. Saya beri amaran kepada Datuk Najib dan Rosmah, jangan tipu dan hina rakyat. Mereka akan bangkit menolak Umno-BN.

“Dataran Merdeka milik rakyat yang merdeka. Saya percaya dengan rakyat kita akan sampai ke Putrajaya,” katanya dihadapan lebih 10,000 penyokong.

12.45 tengahari : Kumpulan dari jalan Tun HS Lee bergerak ke Pasar Seni. Kumpulan mencecah 40 ribu orang.

12.40 tengahari : Tian Chua bergerak merapati rakyat di Dataran Merdeka

12.31 tengahari : Peguam BERSIH dan  wakil pemimpin termasuk Syed Azman dan Dr  Hatta Ramli cuba berunding dengan polis tetapi tiada wakil polis, penyokong makin mara berhampiran garisan polis. Polis dilihat berundur memberi laluan dan mereka berdiri di tepi kanan jalan TAR. Namun penyokong masih menunggu arahan dari pimpinan.

12.15 tengahari : Polis semakin ramai di Sogo. Kumpulan BERSIH mulai ramai. Warna kuning dan  hijau mula menghiasi jalan hadapan kompleks Pertama. Sementara barisan polis dihadapan Sogo.

12.10 tengahari : 100 Kumpulan  Hindraf muncul di Pudu

 

 

12.05 tengahari: Datuk Ambiga, Datuk Chua Jui Meng, Idris Ahmad sudah berkumpul di Pasar Seni, ribuan orang melaungkan Hidup BERSIH!

11.52 pagi : Kelihatan FRU mula berkumpul di Dataran. Kumpulan yang bergerak dari Brickfield sudah sampai di Pasar Seni. Kumpulan dari Petaling Street mula bergerak keluar bersatu di Pasar Seni.

11.30 pagi : Makluman dari unit AMAL PAS anggota mereka yang ditahan belum dilepaskan. Himpunan bantah Lynas kini sampai di hadapan Pudu Raya. Peserta BERSIH yang berkumpul di Puduraya bergabung dengan kumpulan bantah Lynas yang baru tiba dari KLCC. Kumpulan orangramai mencecah 8 ribu orang.

11.26 pagi: Autie BERSIH, Anne Ooi disambut sebagai wirawati di Petaling Street. Kira-kira 10 ribu membanjiri jalan ini, orang ramai bersorak dan polis masih memerhati keadaan.

11.25 pagi : Kemaraan himpunan bantah Lynas kini semakin hampir dengan dataran, mereka kini di Jalan Raja Chulan. Pengguna jalan raya memberi kerjasama baik dengan memberi laluan kepada perarakan rakyat ini, ada di kalangan mereka membunyikan hon kenderaan tanda sokong kepada bantahan.

11.12 pagi : Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Isteri serta 400 orang rombongan dari Perak kelihatan di stesen Putra LRT Pasar Seni. Orang bersorak dan bertepuk tangan.

11.09 pagi : Kelihatan khemah dipasang berhadapan dengan BAR Counsil. Restoran sekitar Pasar Seni dipenuhi orang ramai berbaju kuning.

10.47 pagi : Orang ramai daripada KLCC mula turun ke jalanraya kira-kira 3000 orang. Laungan orang ramai mula kedengaran melaungkan Bersih!! Bersih!! di sekitar jalan Petaling Street.

10.29 pagi : A Samad Said sampai di Pasar Seni.

10.28 pagi: Kira-kira 1000 orang berbaju kuning berhampiran BAR Council Jalan Loke Yew. Terdapat juga 300 orang polis berkawal. Helikopter berlegar-legar, orang ramai bersorak setiap kali helikopter terbang rendah.

9.46 pagi : KLCC 350 orangramai dari pelbagai bangsa sudah mula berkumpul. TVS sempat menemui wakil MCA Indera Mahkota yang turut sama hadir menuntut kilang memproses nadir bumi itu dihentikan.

David Choi yang juga Ketua MCA Bahagian Indera Mahkota berkata, ini adalah perjuangan rakyat dan kerajaan harus mengutamakan hak mereka.

“Walaupun saya dari BN,tapi saya tetap turun tuntut hak rakyat.

“Ini soal hak asasi rakyat.please stop Lynas,”jelasnya.

9.45 pagi -Jalan-jalan menuju ke Dataran Merdeka sudah mula di mula ditutup polis. Orang ramai dari Pasar Seni, KLCC, Petaling Street mula bergerak menuju ke Dataran. Polis kelihatan berkawal.

Categories
NASIONAL

KL Sudah Dibanjiri Aktivis Bersih 3.0 dan Anti-Lynas

Laporan Khas oleh Mat Zahari Ali, Naeem Raffi, Nazli Ibrahim, Afix Redzuan, Lizawati Madfa dan Siraj Mohd Zaini

KUALA LUMPUR 28 APR : Orang ramai sudah mula membanjiri beberapa lokasi sekitar Dataran Merdeka se-awal 3 pagi hari ini sebagai persiapan untuk berhimpun di tapak bersejarah itu sebagai menyokong kempen BERSIH 3.0 bagi menuntut pilihanraya yang telus dan adil.

Polis Diraja Malaysia juga sudah mula mengarahkan pasukan-pasukan ke lokasi-lokasi tersebut seperti Central Market, Jalan Petaling dan Masjid Jamek.

Tinjauan TVSelangor juga mendapati Jalan Persekutuan ke arah Kuala Lumpur dari Petaling Jaya, depan pusat beli belah Midvalley sudah ditutup.

Di Taman Suria KLCC, pula dianggarkan seramai 350 peserta himpunan membantah loji nadir bumi Lynas telah berkumpul sebagai persiapan untuk berarak ke Dataran Merdeka pada tengah hari nanti.

Turut kelihatan di KLCC bagi menyokong kempen Anti-Lynas itu adalah wakil dari MCA, parti daripada gagasan Umno-BN.

Pemimpin itu yang mendakwa dirinya dari bahagian Indera Mahkota di Pahang berkata beliau turun menyokongtuntutan kempen tersebut kerana khuatir pembinaan loji itu akan membahayakan kesihatan penduduk di sekitar Gebeng dan Kuantan.

Peserta berbaju hijau Anti-Lynas itu akan bercantum dengan peserta berbaju kuning Bersih 3.0 pada sekitar pukul 2 petang bagi mengadakan satu himpunan gergasi.

Persekitaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikawal rapi oleh penguatkuasa agensi tersebut setelah tapak itu ditutup dengan pagar besi dan kawat duri.

TVSelangor akan menyiarkan siaran langsung dari Kuala Lumpur bermula tengah hari nanti.

ends

Categories
NASIONAL

Khalid Samad : Sertai Bersih Untuk Tolak Politik Kotor

BANDAR TUN RAZAK, 27 APR: Perhimpunan Bersih 3.0 esok bukan untuk menjatuhkan pemimpin Melayu tetapi untuk menjatuhkan ahli politik melayu yang rakus dan kotor seperti pemimpin Umno-BN.

MP Shah Alam, Khalid Samad berkata penolakan rakyat terhadap pemimpin terbabit mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih daripada rasuah, bebas penyelewengan, adil dan membela nasib rakyat.

Katanya, selama ini orang Melayu khususnya, hanya dimomok-momokkan dan ditakut-takutkan oleh Umno-BN kononnya jika tidak mengundi Umno-BN, Melayu akan mati.

“Mereka turun ke kampung-kampung untuk menyebarkan fitnah demi fitnah kononnya nak selamatkan Melayu. Mereka bohong kerana mereka tahu yang rakyat sudah tolak mereka,” katanya dalam ceramah menjelang BERSIH 3.0.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Justeru Khalid menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menyertai Himpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan esok di Dataran Merdeka.

“Kita akan pastikan dengan kepimpinan politik melayu yang baru nanti akan berakhlak dan bertanggungjawab.

?Orang Melayu jangan kita takutkan lagi, kita akan jauhkan budaya politik kotor, rasuah, dan kita akan corakkan pemimpin politik melayu yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata cukup penting untuk rakyat membanjir bandaraya Kuala Lumpur dengan baju yang berwarna kuning supaya rakyat memberitahu Umno-BN bahawa rakyat sudah tidak mahu ditipu lagi.

“Katakan yang kita sudah tahu mereka menipu dan rakyat sudah meluat dengan pemimpin seperti mereka.

“Jika dulu Umno-BN dilahirkan sebagai parti demokrasi tetapi kini ianya tidak lagi, bukan pada pemimpin kini,” katanya, yang pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Ummo.

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: SPR Takut Kerana Salah

PETALING JAYA, 25 APRIl: Kegagalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mahupun wakilnya untuk hadir sebagai panelis dalam Forum BERSIH 3.0 anjuran Tindak Malaysia nyata mengecewakan pelbagai pihak.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0, Dr Wong Chin Huat berkata pihak SPR sepatutnya hadir bagi membuktikan keyakinan kepada orang ramai terhadap mereka memandangkan sebelum ini banyak pendedahan keraguan di dalam sistem pilihanraya di negara ini.

“Bak kata pepatah Melayu, berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau Tan Sri Abdul Aziz percaya apa yang dilakukan itu sah seharusnya di datang ke sini,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Abdul Aziz dalam satu wawancara menegaskan bahawa daftar pemilih sekarang bersih dan tiada negara lain dalam dunia lebih bersih daripada Malaysia.

Hampir 100 orang yang hadir bersorak kecewa bila penganjur mengumkan Pengerusi SPR tidak bersama dalam forum berkenaan.

Dalam pada itu, Chin Huat berkata, pola pengundi Melayu mampu berubah sekiranya mereka mendapat akses maklumat yang lebih tepat dan luas memandangkan selama ini mereka terlalu bergantung kepada media arus perdana yang dimonopoli oleh pihak kerajaan.

Katanya, masalah yang dihadapi pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar mampu diatasi sekiranya ahli keluarga yang merantau di bandar dapat membawa balik maklumat terkini berhubung isu semasa lalu disampaikan kepada ahli keluarga.

“Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan negeri seperti Selangor memperbanyakkan kemudahan jalur lebar bagi memudahkan capaian maklumat kepada orang ramai sekaligus menyukarkan kerajaan persekutuan untuk mengawal aliran informasi,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan Pakatan Rakyat tidak perlu turut serta bersama dalam pilihanraya akan datang sekiranya Parlimen dibubarkan memandangkan terlalu banyak keraguan yang ditemui terutamanya mengenai daftar pemilih.

Katanya, Selangor menjadi tumpuan penipuan pilihanraya dan kemungkinan besar Pakatan akan tumbang sekiranya turut sama menyertai pilihanraya serentak dengan kerajaan persekutuan jika diadakan sekarang ditambah dengan kegagalan SPR membersihkan segala keraguan yang telah dibongkarkan selama ini.

Categories
NASIONAL

Tian Chua: Umno-BN – DBKL Main Wayang Isu Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 24 APRIL: Percanggahan pandangan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berhubung lokasi penganjuran BERSIH 3.0 jelas menunjukkan pihak berkenaan cuba ‘bermain wayang’ dalam usaha menggagalkan himpunan berkenaan daripada berlangsung di Dataran Merdeka.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua melihat tindakan ‘bermain wayang’ ini menunjukkan sifat ‘talam dua muka’ kedua-dua pihak yang terus menerus mengelirukan rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan berkenaan.

“Saya dapati kerajaan bukan sahaja tidak ingin melihat perhimpunan ini berjaya dilaksanakan tetapi juga kerajaan tidak mempunyai komitmen untuk membersihkan pilihanraya,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin dalam kenyataan yang dilaporkan media menyebut himpunan ‘Duduk dan Bantah’ tidak dilihat sebagai satu ancaman manakala pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta pihak Bersih mengubah lokasi himpunan ke tiga buah stadium yang ditawarkan iaitu Stadium Badminton dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras serta Stadium Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa.

Tian Chua menambah, parti-parti politik menyatakan sokongan terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 dan cuba membantu secara ‘all out’ dari segi mobilisasi agar semua pihak hadir bersama menyatakan sokongan terhadap isu yang dibawa.

Jelas beliau, semua ahli PKR yang akan hadir pada Sabtu ini bukan sebagai ahli parti sebaliknya kehadiran mereka sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan mahukan pilihanraya berlangsung secara bersih.

“Respon yang diterima daripada rakyat sangat hebat sekali. Saya yakin kehadiran kali ini bukan sahaja ramai malah kita akan menyaksikan pelbagai latar belakang termasuk mereka yang tidak menyertai man-mana parti politik akan turut serta,” katanya.

Perhimpunan BERSIH 3.0 ‘Duduk Bantah’ pada Sabtu ini mensasarkan kehadiran 500,000 orang penyokong selain penyertaan Himpunan Hijau Stop Lynas, Save Malaysia yang turut berkumpul di Dataran Merdeka.

Categories
NASIONAL

PKR Selangor Sasarkan Lebih 80,000 Sertai BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 24 APRIL : PKR Selangor dijangka akan menggerakkan lebih 80 ribu ahli dan jentera partinya  menyertai himpunan BERSIH 3.0 ‘Duduk dan Bantah’ pada Sabtu ini sebagai sokongan kepada gerakkan rakyat menuntut penambahbaikan dalam sistem pilihanraya.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata pihaknya yakin dengan penyertaan puluhan ribu dibaris hadapan mengemudi kemaraan rakyat akan berjalan secara secara aman sepertimana kejayaan himpunan BEBAS ANWAR 901 lepas.

“Saya berasa amat yakin dengan tahap disiplin dan prinsip perjuangan yang jitu dari kalangan anggota kami, penyertaan ini akan menjadikan BERSIH 3.0 sebagai satu lagi medan kepada jentera dan ahli parti untuk berhimpun dalam menghadapi PRU 13 yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi,”ujarnya.

Sejak akhir-akhir ini, politik negara sering memperlihatkan kerakusan kerajaan mengunakan segala kekuatannya untuk mengekang kebebasan rakyat bagi memastikan BN terus kekal berkuasa.

Dalam masa yang sama, Negara juga diperlihatkan dengan pelbagai episod ketirisan, salahguna kuasa dan penyelewengan dana rakyat oleh pemimpin kerajaan.

Menurut Shuhaimi, tindakan kerajaan negeri Selangor untuk tidak menyertai pilihanraya negeri ketika pilihanraya umum akan datang sebagai suatu langkah yang tepat dan wajar ekoran terdapat beberapa keraguan yang membimbangkan berhubung daftar pemilih di Selangor.

Kini, suasana semakin membimbangkan apabila Kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) meluluskan Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang diluluskan Dewan Rakyat dengan mempersembahkan beberapa perubahan yang menimbulkan keraguan dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat serta rakyat yang inginkan ketelusan pilihanraya.

Justeru, Shuhaimi melihat kronologi ini sebagai suatu yang membimbangkan dan sudah tiba masanya untuk kerajaan bertemu dengan gerombolan rakyat yang inginkan perubahan dan hak mereka.

“Mungkin telah tiba masanya agar ‘buku bertemu ruas’ digunakan supaya maruah rakyat dikembalikan. Jangan sampai SPR di humban ke dalam api kemarahan rakyat di jalanraya! Waktu itu ‘jalanraya’ yang banyak ‘mengajar pimpinan kuku besi dalam sejarah dunia’ wajar dipertimbangkan sebagai pilihan akhir,”jelasnya melalui kenyataan media.