Categories
NASIONAL SELANGOR

Maria Chin: Jangan Layan 120 Orang Peserta BERSIH Macam Penjenayah

SHAH ALAM, 15 MEI : Polis perlu menghantar surat pemberitahuan lebih awal kepada 120 orang peserta BERSIH 3.0 sebelum bertindak menahan atas dakwaan menimbulkan kekacauan semasa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Maria Chin yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0 mengesa agar polis tidak melayan kesemua peserta ini sebagai penjenayah kerana banyak kaedah lain untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka ini.

Menurutnya, jika polis ingin meminta kerjasama peserta BERSIH 3.0, polis perlu bertindak secara professional dengan tidak hanya menggertak dan menakut-nakutkan mereka supaya hadir ke balai polis sebelum tindakan diambil.

“Jika benar polis mempunyai nama mereka, kenapa tidak menghantar surat pemberitahuan kepada mereka yang terlibat dan bukannya hanya menyiarkan gambar mereka di dada akhbar-akhbar,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Katanya, penangkapan 120 orang ini merupakan salah satu bentuk gangguan dan  tidak seharusnya berlaku kerana polismempunyai data yang diperlukan untuk mengetahui alamat peserta-peserta BERSIH 3.0 ini.

Sementara itu, mulai esok polis akan mencari 120 orang baki individu-individu yang disyaki terlibat mencetuskan rusuhan pada himpunan bantah terhadap keengganan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) menunaikan lapan tuntutan bagi membaiki sistem pilihanraya di Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar sebelum ini dipetik berkata, polis tidak memerlukan waran tangkap untuk menahan mereka kerana terlibat dengan kesalahan lazim seperti merusuh dan polis berhak menahan sesiapa sahaja untuk siasatan.

Maria Chin juga menasihati mana-mana individu yang akan dipanggil polis tidak perlu panik dan jangan melawan polis tetapi perlu mendapatkan nama pegawai, balai polis serta nombor pegawai yang menghubunginya.

“Individu-individu terbabit akan diberi khidmat guaman atau boleh terus menghubungi pihak SUARAM atau Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0 dan jangan menghadirkan diri ke balai polis seorang diri,” jelasnya lagi.

Nombor yang boleh dihubungi adalah 03-77723275 atau 016-9670921 bagi mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan guaman yang telah disediakan.

Categories
NASIONAL

Hanif Disaran Tolak Ketuai Panel Bebas Siasat Insiden BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 10 MEI : Mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar disaran menolak pelantikan sebagai ketua panel siasatan bebas menangani perhimpunan BERSIH 3.0, ujar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.

Beliau menyifatkan pelantikan ini sebagai  tidak munasabah, tidak wajar dan sangat mengejutkan disebabkan latar belakang Hanif sendiri sebagai bekas Ketua Polis Negara sedangkan penyiasatan menjurus kepada dakwaan insiden rusuhan oleh polis semasa perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Jelasnya, ia ditambah dengan kenyataan bias Hanif sebelum ini yang mengatakan perhimpunan itu adalah untuk menggulingkan kerajaan dan disertai pihak yang simpati terhadap komunis.

“Penyerahan jawatan ketua panel siasatan bebas kepada Hanif yang mengeluarkan keterangan memihak kepada kerajaan sebelum ini sudah pasti tidak akan mendapat kepercayaan awam terhadap jawatankuasa itu.

“Justeru, jalan terbaik untuk Hanif sendiri adalah tidak menerima tawaran pelantikan tersebut,” ujarnya.

Nama Hanif diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengetuai pelantikan enam ahli panel penasihat bebas yang diketuai Hanif untuk menyiasat dan melaporkan kejadian sebenar ketika pertembungan polis dan orang awam.

Ahli-ahli lain ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Ketua Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Husammuddin Yaacub; Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Ruszmi Ismail.

Kerajaan dipercayai terpaksa melantik panel tersebut berikutan menerima tekanan pelbagai pihak yang menyaksikan keganasan polis menangani lebih 200,000 rakyat yang berhimpun menuntut keadilan.

Tambahnya, sebarang panel siasatan untuk menyiasat salah laku polis sebaik-baiknya tidak membabitkan pihak berkuasa itu sendiri sama ada yang masih berkhidmat atau sudah tamat.

Beliau turut mengimbas peristiwa kegagalan penemuan bukti oleh panel penyiasat di kalangan polis untuk menyiasat anggota sendiri ketika kejadian mata lebam membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999.

“Merujuk kepada kes Anwar, siasatan polis yang diketuai Bekas Pegawai Kanan Polis, Datuk Mat Zain Ibrahim pada ketika itu sebenarnya berjaya mengesan pelaku tersebut iaitu Tan Sri Rahim Noor. Tetapi kerana percaturan politik oleh Perdana Menteri masa itu, jawatankuasa itu kemudiannya dimanipulasi dan tidak berjaya mensabitkan Rahim.

“Hanya apabila Siasatan Diraja dilantik, barulah kita dapat lihat Rahim berjaya disabitkan. Oleh itu, kerajaan perlu ambil penghalaman dari situ supaya tidak mengulangi kesilapan sama apatah lagi reputasi Hanif yang sangat buruk,” katanya.

Categories
SELANGOR

BERSIH 3.0 Betul-betul Takutkan Najib, Umno-BN

BATU CAVES, 8 MEI : Perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu di Dataran Merdeka disifatkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai titik tolak kepada kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahan kerajaan Umno-BN.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan lebih 300,000 peserta pada perhimpunan itu menimbulkan reaksi kurang senang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang nyata semakin cuak terhadap desakan rakyat.

Ia dikuatkan lagi dengan tindakan Najib yang meminta bantuan tiga bekas Ketua Polis Negara untuk menyokong hujah beliau bagi mengaitkan BERSIH 3.0 sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

“Terdesaknya PM sehingga terpaksa minta Jabatan Fatwa mengeluarkan fatwa dan terdesaknya beliau sehingga terpaksa menggunakan khidmat Tun Hanif Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan yang masing-masing mempunyai rekod buruk bagi menyokong hujah beliau.

?Penyertaan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah lambang kepada kebebasan terhadap ugutan dan kezaliman Umno-BN,” katanya di satu ceramah perdana dan jelajah Merdeka Rakyat : Pasca BERSIH 3.0 di Kampung Baru di sini malam tadi.

Tambahnya, perhimpunan itu juga membuktikan kebangkitan rakyat untuk menolak sebarang percubaan penipuan dan manipulasi pilihan raya oleh badan pengendalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saifuddin turut menyelar tindakan SPR yang sewenang-wenangnya menukar kawasan mengundi seperti yang dialami Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dengan alasan mengubahsuai sempadan.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelskan, penyertaan ratusan ribu peserta semasa BERSIH 3.0 adalah sebagai saham dan perjuangan PR untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Beliau berkata, perhimpunan itu adalah sebagai satu permulaan di kalangan pemimpin PR dan rakyat untuk menentang kezaliman Umno-BN dan akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kita berikrar untuk bawa perubahan baik kepada negara ini mahupun terhadap rakyat. Perjuangan kita tidak akan selesai dengan perhimpunan sahaja, sebaliknya kita akan buat lagi untuk menyatakan hak dan prinsip kita di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan PR  akan terus mempertahankan hak asasi serta keadilan rakyat terutama kaum Bumiputera sebagai majoriti sekiranya diberi mandat memerintah negara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAMM Desak Polis Ambil Tindakan Ke Atas Anggota Yang Merusuh Semasa BERSIH 3.0

KUALA LUMPUR, 7 MEI :  Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)  mendesak polis untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap beberapa anggota mereka yang melakukan rusuhan ke atas orang awam semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung 28 April lalu.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya tidak menyalahkan mana-mana  anggota polis yang bertugas semasa perhimpunan itu, namun tindakan perlu diambil bagi menjaga hubungan polis dan orang awam.

Menurutnya, polis juga perlu memberi jaminan untuk menyiasat pihak-pihak tertentu yang dilihat cuba membuat dakwaan tidak berasas ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0.

“Kami tidak menyalahkan anggota polis semasa perhimpunan itu. Apa yang berlaku ialah polis dan orang awam menjadi mangsa.

?Kami tidak halang polis menjalankan proses tindakan undang-undang jika berlaku jenayah, tetapi kami desak pihak polis ambil tindakan kepada anggota yang merusuh pada hari itu,” kata Badrul Hisham atau yang juga dikenali sebagai ?Chegubard?.

Perkara itu dinyatakan Badrul Hisham semasa menyerahkan memorandum ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini bagi mendesak pihak polis yang melakukan kekerasan supaya menyerah diri.

Memorandum itu antara lain turut mengandungi beberapa keping gambar yang menunjukkan anggota polis mengkasari peserta himpunan BERSIH 3.0.
“Polis perlu menyiasat khabar angin yang kononnya mendakwa ada anggota polis meninggal dunia semasa perhimpunan itu. Para blogger Umno yang menyebarkan perkara itu perlu dipanggil dan disiasat,” jelasnya.

Dalam pada  itu, suasana penyerahan memorandum hari ini menjadi tegang apabila kumpulan anti-BERSIH 3.0, cuba menghalang SAMM. Kumpulan anti-BERSIH 3.0 itu meluangkan sorakan “pengkhianat negara” dan kata-kata kesat terhadap aktivis SAMM.

Bagaimanapun, anggota polis menghalang dua-dua kumpulan tersebut daripada saling mendekati.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

AMK Adakan Hotline Mangsa Keganasan Polis BERSIH 3.0

PETALING JAYA 6 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengadakan sebuah hotline bagi membantu 49 peserta BERSIH 3.0 yang dikhendaki oleh pihak polis agar mereka boleh mendapat nasihat guaman.

Hotline tersebut juga akan dibuka kepada peserta BERSIH 3.0 yang dipukul atau dikasari oleh polis semasa mereka mengambil bahagian di dalam himpunan gergasi itu pada Apr 28.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akin mengalukan 49 individu yang gambar mereka dipaparkan di dalam surat khabar agar menghubungi hotline tersebut bagi mendapatkan nasihat guaman.

?Kalau mereka memerlukan bantuan dan tidak tahu siapa nak hubungi, kita tawarkan perkhimatan kerana ramai yang menghubungi saya, perlu kah berjumpa polis??, kata Shamsul Iskandar dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Shamsul Iskandar turut mendesak polis agar menjelaskan apa kesalahan yang dilakukan oleh 49 individu tersebut sehingga muka mereka disebarkan dalam surat khabar.

?Tolong maklumkan apa kesalah mereka? Itu soalan yang saya minta polis tolong jawab.

?Saya yakin mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan kalau merempuh barricade itu satu kesalah, tolong tunjuk peruntukan mana, undang-undang apa??

Hotline tersebut boleh dihubungi melalui emel [email protected] dan sms kepada talian 012 654 1514.

Pada Mei 4, akhbar pro-Umno-BN mengeluarkan gambar-gambar 49 peserta tersebut dengan kenyataan dari Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh agar mereka menyerah diri di mana-mana balai polis.

Mohamad berkata mereka ini diminta bagi ?membantu siasatan? dalam insiden keganasan semasa himpunan BERSIH 3.0.

Shamsul Iskandar juga berkata PKR dan parti Pakatan Rakyat sedang mengumpul semua aduan dan keterangan daripada ahli mereka dan peserta lain yang mendakwa mereka dianiayai polis semasa BERSIH 3.0.

PKR kemudian akan berjumpa dengan NGO lain seperti SUARAM, Majlis Peguam dan Lawyers for Liberty bagi menyelaraskan tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap polis dan kerajaan pusat atas tuduhan memukul dan mencederakan peserta BERSIH 3.0.

?Beberapa peguam kita seperti YB Sivara (MP Subang Sivara Rasiah) dan Lateefa Koya sedang mengatur strategi untuk menyelaraskan usaha-usaha ini.?

Setakat ini PKR telah mendapat maklum balas dari seramai 117 individu yang mendakwa mereka dikasari atau dipukul polis semasa himpunan tersebut, tambah Shamsul Iskandar.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

PDRM dan Media UMNO-BN Berat Sebelah Berkaitan Peserta BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 5 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan media pro Umno-BN menunjukkan sikap berat sebelah dengan hanya menyiarkan gambar-gambar peserta BERSIH 3.0 yang disyaki menimbulkan kekacauan pada himpunan itu.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah, pihak polis cuba menyembunyikan kekerasan yang dilakukan mereka terhadap orang awam serta petugas media pada himpunan itu.

“Jika PDRM adil, kenapa mereka tidak siarkan gambar-gambar anggota polis yang terbukti menggunakan kekerasan pada himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu?,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Akhbar-akhbar milik Umno-BN hari ini menyiarkan 42 gambar orang awam yang disyaki mencetuskan keadaan huru-hara serta mengkasari anggota polis yang ditugaskan mengawal himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu.

Perhimpunan menyaksikan sekitar 250,000 orang berhimpun sekitar kawasan Dataran Merdeka bagi menuntut agar kerajaan pusat memperbaiki kelemahan sistem pilihanraya.

Di dalam blog-blog serta klip pendek di youtube jelas memaparkan tindakan ganas polis memukul peserta himpunan yang juga dihadiri oleh warga tua serta kaum wanita dan ini bercanggah dengan konsep negara demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Pihak polis juga mengambil bukti daripada paparan di youtube dan kenapa pihak polis yang memukul peserta himpunan tidak dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya lagi.

Maria menambah, polis juga membuka tanda nama mereka ketika menangkap dan menyuraikan peserta himpunan itu dengan kekarasan. Ini membuktikan PDRM tidak telus dalam menjalankan tugas serta takut dibawa ke muka pengadilan.

“Polis memakai tanda nama sewaktu perhimpunan berlangsung dan mengapa tanda nama mereka dibuka sewaktu mereka melakukan kekerasan dan tangkapan?,” soalnya lagi.

Selain itu, beliau menegaskan ahli Panel Penasihat Bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat perhimpunan BERSIH 3.0 mestilah dijalankan secara adil demi mencari keadilan dan pembelaan terhadap pelbagai insiden yang terjadi.

“Sewaktu BERSIH 2.0 ditubuhkan panel bebas namun tiada keputusan berjaya dicapai walaupun terbukti berlaku insiden kasar dan provokasi waktu itu,” jelasnya.

Dalam isu yang berkaitan, Maria berkata sehingga kini Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) masih berdiam diri berkaitan lapan tuntutan yang dibawa BERSIH 3.0 untuk penambahbaikan sistem pilihanraya.

Categories
NASIONAL

Kezaliman Polis Yang Di Sisih Media BN Di Bongkar

PETALING JAYA, 4 MEI: Pihak media arus perdana terus menyembunyikan kisah mangsa tindakan agresif polis pada perhimpunan Bersih 3.0 meskipun seorang demi seorang mangsa tampil membuat pengakuan membongkar kezaliman pihak polis.

Kisah tragis tindakan agresif polis diceritakan oleh Pengedar Teh,  Lau Chee Sun, yang terkena tembakan canister gas pemedih mata dari jarak 10 meter sehingga mengakibatkan kecederaan di bahu kiri.

“Dalam keadaan sesak, tembakan dilepaskan dari bawah jambatan landasan kereta api. Saya melihat dua canister ke arah saya. Saya berjaya mengelak salah satu daripadanya.  Saya rasa pening dan mencari tempat berlindung.  Saya berjalan ke kedai mamak untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Jashamsurnizam Md Jani pula disepak di belakang badan sebelum dihumban ke longkang oleh tiga anggota polis berhampiran bangunan DBKL.

Beliau merupakan seorang pensyarah berkata, kejadian tersebut berlaku ketika orang ramai bersesak menyelamatkan diri dan beliau berjalan kaki seorang diri menuju ke HKL sambil menanggung kesakitan.

Jelas beliau, ketika di HKL terdapat ramai pegawai tinggi polis menunggu di hadapan pintu kecemasan dan sehingga kini, beliau, masih belum memperoleh laporan perubatan.

“Saya dicampak ke dalam longkang sedalam dua atau tiga kaki. Saya mengalami kecederaan retak di bahagian tangan kanan dan tempurung lutut kanan saya lari. Saya bangun sendiri dan menuju ke HKL,” katanya.

Seoarang Jurutera, Mohd Firdaus Nurhakim Mohd Esah menceritakan detik hitam yang dialami sepanjang 100 meter menuju ke tempat tahanan apabila beliau di pukul oleh beberapa anggota polis sehingga mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan leher.

“Pada jam 5.30 petang, ketika itu keadaan dilihat agak tenang di Dataran Merdeka. Polis datang dari dua arah dan saya mengangkat tangan tanda  menyerah. Saya tidak tahu hendak lari ke mana lagi dan mereka membelasah saya disitu juga.  Sepanjang jalan menuju tempat tahanan, lebih sepuluh anggota polis membelasah saya. Seorang polis menanduk dada saya menggunakan kepalanya.

“Saya terkilan sebab saya tidak membuat apa-apa kepada mereka. Mereka tidak ada hak berbuat sebegitu kepada saya,” katanya.

Katanya, pihak polis memukul dalam keadaan terburu-buru sehingga beliau tidak dapat bernafas dan diseret sehingga ke Dataran Merdeka.

Beliau mengakui melihat sendiri tindakan pihak polis meragut rantai emas selain merampas dompet peserta dan apabila ditanya dimana dompet berkenaan, jawapan yang diterima hanyalah ‘tidak tahu’.

Beliau turut mengakui pihak polis yang memukulnya tidak memakai nombor badan seperti kebiasaan dan hanya bersorak ‘Padan Muka’ kepadanya ketika dibawa oleh dua anggota polis.

“100 peratus pasti, nombor badan tiada. Bahagian nama saya tidak pasti. Layanan yang diterima di Pulapol berbeza. Saya diberitahu unit di Dataran dan Pulapol berbeza,” katanya.

Lapan orang individu yang mengalami kekasaran telah membuat laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya sambil ditemani oleh wakil Lawyer Of Liberty (LFL) Fadiah Nadwa Fikri dan wakil SUARAM, Nalini Elumalai.

Fadiah yang ditemui sejurus selepas itu berkata, pihaknya akan berbincang dan mengumpul segala maklumat berkaitan mangsa keganasan polis dan  mendesak satu suruhanjaya penyiasatan bebas ditubuhkan.

Categories
NASIONAL

PKR Desak Polis Segera Siasat Penyebaran Fitnah

PETALING JAYA, 4 MEI : Pimpinan PKR Peringkat Negeri mendesak pihak polis segera menjalankan siasatan terhadap individu bertanggungjawab yang menyebarkan gambar fitnah YANG yang cuba dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali di media cetak, media elektronik dan blog baru-baru ini.

MP Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata, tindakan media pro Umno-BN yang menyiarkan gambar lucah didakwa mirip MP Gombak itu disifatkan sebagai satu jenayah serius yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, tohmahan jahat yang dilakukan kerajaan Umno-BN itu adalah percubaan bersiri untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat (PR), apatah lagi tatkala pimpinan Umno-BN gagal menjawab isu kepentingan rakyat antaranya National Feedlot Corporation (NFC) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan Umno-BN sengaja mengalihkan pandangan rakyat daripada isu korupsi dan salah laku mereka. Isu gambar yang didakwa sebagai Azmin oleh media pro Umno-BN boleh disifatkan sebagai cubaan niat jahat politik untuk menjatuhkan kredibiliti pimpinan kanan PR.

Kita juga menolak keras dan mengecam politik fitnah serta tuduhan jahat media pro Umno-BN terhadap Azmin Ali atas tuduhan kononnya beliau terlibat dalam adegan lucah yang sudah dipaparkan dengan cara tidak bermoral dan tidak bermaruah oleh beberapa media cetak dan elektronik,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Umno-BN yang menggunakan media kawalan mereka sebagai agen penyebaran gambar fitnah berbanding membuat laporan polis jika benar wujud dakwaan tersebut.

Tambahnya, tindakan itu sekaligus mengesahkan niat jahat politik secara terancang melalui media arus perdana dalam cubaan mengaibkan pimpinan PR.

“Kebangkitan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0 telah mempercepatkan penyebaran imej lucah Azmin dalam media Umno-BN bagi memperlahankan momentum sokongan rakyat terhadap PR.

Ternyata tindakan ini gagal kerana golongan muda semakin meluat dengan politik lucah tajaan pro Umno-BN berbanding politik fakta, hujah dan pelaksanaan kebajikan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Sehubungan itu, kami mendesak agar pihak-pihak yang membuat tuduhan dan menyiarkan gambar tersebut untuk meminta maaf dengan kadar segera,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: TERAS Gesa KDN Dan PDRM Bertanggungjawab

SHAH ALAM, 4 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa segera bertanggungjawab terhadap keganasan pihak polis mengawal Himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu yang dihadiri lebih 300,000 rakyat pelbagai kaum.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata, tindakan pihak polis menggunakan kekerasan melampau kepada peserta himpunan Bersih 3.0 adalah sebagai suatu tindakan tidak bermoral dan di luar tamadun kemanusiaan.

“Saya minta KDN dan PDRM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keganasan dilakukan oleh polis sewaktu himpunan Bersih lalu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Katanya, pihak polis mengambil jalan mudah dengan melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air kimia kepada peserta Bersih 3.0 yang juga dihadiri oleh warga tua dan wanita.

“TERAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis ke atas orang awam termasuk petugas media dan ternyata mereka gagal mengawal keadaan himpunan yang berlangsung secara aman pada mulanya.

” Himpunan BERSIH 3.0 adalah himpunan aman yang sengaja dicemari bagi menghalalkan penangkapan dan meletakkan segala kesalahan kepada rakyat dan bukan kepada pihak polis,” jelasnya.

Sabtu lalu, keadaan himpunan BERSIH 3.0 terkawal sehingga dicemari provokasi pihak polis berpakaian biasa serta insiden ganas pihak polis memukul petugas media dan orang awam.

Walaupun media milik kerajaan cuba menyalahkan orang ramai namun pelbagai saluran media alternatif serta internet turut memaparkan pelbagai keganasan yang dilakukan pihak polis.

Selain itu, TERAS mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) meletakkan jawatan kerana matlamat yang dibawa Bersih 3.0 gagal diambil tindakan sewajarnya oleh SPR.

“Mereka ini adalah orang yang diberi amanah untuk memastikan perjalanan pilihanraya berlaku secara adil dan bersih namun tidak mustahil SPR gagal berfungsi membersih daftar pemilih disebabkan mereka ini adalah ahli Umno sebagaimana didedahkan sebelum ini.

“TERAS juga menggesa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletak jawatan kerana terbukti jahil berkaitan isu senarai nama pengundi yang meragukan Ssehingga menyebabkan rakyat terpaksa berhimpun memprotes sebagaimana himpunan BERSIH lalu,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: Peguam Pemerhati Kecam Keganasan Polis

 

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Tindakan agresif polis pada himpunan Bersih 3.0 minggu lalu nyata menjadi fokus hangat di Forum Pasca Bersih 3.0, Keganasan Polis dan Media ‘Blackoout’ bertempat di Dewan Himpunan Cina berikutan susulan siri pendedahan pengakuan mangsa keganasan yang dipaparkan media sebelum ini.

Kali ini giliran Peguam Pemerhati yang mewakili Lawyers for Liberty, Mohd Haijan Omar menceritakan pengalamannya yang pada ketika itu berada di tempat letak kereta Reggae Mansion Hostel.

Menurut beliau, pihak polis dilihat seolah-olah hilang kawalan sehingga sanggup memukul beliau dan gagal mengemukakan jawapan apabila disoal mengapa diperlakukan sedemikian.

“Saya melihat dua orang polis mengejar dua orang demonstrat. Kejadian berlaku begitu pantas. Setelah gagal mengejar, tiba-tiba mereka berpaling dan menjeri kepada kepada saya lalu saya bertanya apa? Terus saya dipukul.

“Bila saya ditumbuk dimata kiri saya beritahu saya peguam. Salah seorang daripada mereka menjawab ‘Peduli apa aku, dua orang polis mati angkara korang’. Apa yang saya boleh katakan polis ketika itu seperti anjing yang gila.” katanya.

Katanya, beliau telah dipukul dengan belantan oleh seorang anggota FRU meskipun telah ditangkap ketika dalam perjalan ke Dataran Merdeka dan lebih mengecewakan terdapat pegawai tinggi yang hanya melihat seolah-olah ‘menghalalkan’ tindakan berkenaan.

“Hampir 10 orang aggota memukul saya sepanjang jalan. Mungkin itu SOP mereka. Pukul dimuka, bukan di badan. Saya rasa tidak berlebihan, bukan rakyat yg riot pada hari berkenaan tetapi polis,” jelas beliau.

Bagi aktivis mahasiswa, Mohd Haziq Abdul Aziz, khabar angin yang digembar-gemburkan pada hari berkenaan seperti kematian anggota keselamatan sengaja direka bagi menaikkan sentimen kemarahan anggota bawahan sebelum ditarik semula pada malam berkenaan.

“Banyak khabar angin yang kita terima dan saya rasa khabar angin yang mengatakan polis mati dibunuh sengaja direka-reka oleh pihak atasan supaya orang bawahan merasa marah dan belasah seperti orang hilang pertimbangan,” katanya.

Dengan nada sinis katanya, tidak ada beza tindakan ganas pihak polis dengan samseng Jalan Kebun yang menyerang mahasiswa.

Sementara itu, Aktivis Politik yang juga seorang penulis blog, Hishamuddin Rais mendedahkan, sebenarnya pihak Bersih sudah mengaturkan beberapa program yang bakal dilakukan sempena himpunan aman berkenaan.

“Saya ingin beritahu apa yang sebenarnya telah dirancang. Lapan perkara sahaja. Saya yang bincang program. Satu, nyanyian lagu Negaraku. Kemudian ‘One Minute Silent” dan orang Islam menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Baharuddin yang telah meninggal dunia. Pak Samad akan membacakan sajak dan memberikan ucapan.

“Diikuti dengan nyanyian lagu Kuninglah Kuninglah Malaysia oleh Black dan Suara Malaysia. Diikuti dengan ucapan Puan Ambiga dan diakhiri dengan lagu ‘Inilah Barisan Kita’. Ini yang dirancang. Saya pergi berjumpa dengan Datuk Bandar ketika rundingan dan saya bentangkan perkara ini.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh seorang wartawan, 3.01 petang merupakan detik pertama tembakan dilepaskan bagi meleraikan penyokong yang hadir.

Categories
NASIONAL

SAMM Buka Talian Kepada Mangsa Keganasan BERSIH 3.0

SHAH ALAM 3 MEI : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuka talian SMS dan email khusus untuk membantu semua mangsa kezaliman dan keganasan polis pada perhimpunan Bersih 3.0 lepas.

Wakil SAMM, Edyes Reduan berkata sebagai sebuah badan yang terlibat secara langsung, pihaknya berasa bertanggungjawab untuk memastikan kesemua mangsa terbela.

“Kita menyedari pelbagai kesulitan dan kesengsaraan dilalui oleh semua peserta himpunan di atas ketelanjuran pihak berkuasa yang bukan sahaja gagal memastikan keamanan, tetapi telah merusuh di atas khabar angin yang sengaja diatur.

“Akhirnya ramai peserta yang mendapat kecederaan akibat dirempuh dan dibelasah oleh pihak polis yang ‘hilang pedoman’. Ramai juga peserta yang ditangkap dan dibawa ke Pulapol,” selar Edyes dalam satu kenyataan SAMM.

SAMM juga mengutuk keras tindakan pihak berkuasa yang merampas barangan pihak media serta melakukan rusuhan hingga menyebabkan peserta Bersih kehilangan harta benda.

“Justeru itu, SAMM membuka talian SMS dan juga menyediakan email untuk semua mangsa kezaliman, keganasan mahupun tangkapan pihak polis bagi menyatakan pengalaman masing-masing terutamanya mereka yang dipukul.

“Talian juga dibuka kepada peserta yang mempunyai apa jua permasalahan dan kesulitan yang tidak berjaya diselesaikan seperti urusan dengan pihak polis dan keperluan khidmat guaman,” jelas Edyes.

Kesemua mangsa yang ingin khidmat bantuan SAMM boleh menghantar SMS ke talian 018-9235083 atau menghantar email ke  [email protected] berserta maklumat untuk dihubungi bagi tindakan selanjutnya.

Categories
NASIONAL

Fitnah Gambar Lucah adalah Ulangan Agenda Jahat Umno-BN

PETALING JAYA, 3 MEI : Penyebaran gambar lucah dan berita meragukan yang cuba mengaitkan kepimpinan tertinggi PKR oleh media arus perdana disifatkan sebagai satu lagi ulangan fitnah jahat kerajaan Umno-BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata Ketua Wanita PKR Pusat, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Zuraida, setelah fitnah jahat dilempar tanpa pertimbangan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini Umno-BN menggunakan taktik sama kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Zuraida berkata, keadaan itu dengan jelas adalah satu percubaan terdesak Umno-BN untuk mengalih perhatian dari krisis hilang kepercayaan rakyat kepada parti itu yang semakin ketara sejak perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

“Saya ingin mengingatkan kepada tukang fitnah dan penyebar fitnah jahat ini, kami PKR Selangor dengan ini akan istiqamah malah bertambah yakin untuk terus menyokong penuh kepimpinan Azmin Ali sebagai penerus agenda perubahan ke Putrajaya.

Inilah satu titik tolak penting kepada seluruh akar umbi PKR Selangor untuk terus bersatu dalam mengharung bahana celaka fitnah jahat yang dibawa oleh tukang fitnah upahan Umno-BN.

Kami percaya ini merupakan peluru terakhir fitnah Umno-BN kepada kepimpinan tertinggi PKR sebelum Dewan Rakyat dibubarkan dan seterusnya membuka laluan kepada PRU-13,” katanya.

Zuraida menegaskan demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Biro PeneranganPKR Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata, mainan politik kotor Umno-BN tidak akan mendapat restu rakyat malah terus mengundang kebencian terhadap parti itu.

Tambahnya, fitnah jahat yang dilemparkan itu juga hanya untuk menutup kesalahan dan penyelewengan yang dilakukan pimpinan Umno-BN selama ini.

Ia termasuk penyelewengan RM250 juta oleh NFC yang berkait dengan seorang bekas Menteri Wanita Umno, penggadaian tanah rezab melayu oleh pemimpin Umno-BN Selangor dan pengkhianatan bekas Menteri Besar Selangor terhadap rakyat.

“Rakyat sudah mual dan benci dengan fitnah jahat murahan sebegini. Mereka (Umno-BN) boleh menggunakan wang dan segala bagai teknologi canggih untuk membuat fitnah.

Walau apa pun berlaku, PKR Selangor akan terus mendokong perjuangan “Demi Rakyat” agar segala janji dikota dan segala pelaksanaan program untuk rakyat Selangor akan terus dilaksanakan,” kata beliau dalam satu sidang media.