Categories
NASIONAL

Halang BERSIH Di Dataran Merdeka Pincangkan Demokrasi

SHAH ALAM 23 APRIL : Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak mengizinkan perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan di Dataran Merdeka pada 28 April ini membuktikan kepincangan sistem demokrasi di negara ini.

Malah alasan  Dataran Merdeka hanya dikhaskan untuk acara nasional tidak menunjukkan kematangan serta mentaliti pegawai atasannya masih ditakuk lama.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Idris Ahmad berkata, demikian dalam satu kenyataan media berhubung penolakan DBKL terhadap perhimpunan BERSIH 3.0.

Beliau berkata, perhimpunan BERSIH 3.0 merupakan satu acara nasional kerana ia melambangkan aspirasi dan keinginan rakyat Malaysia yang mahukan pilihanraya umum diadakan secara adil dan bebas.

“Ia juga meminta kerajaan melakukan lapan perubahan penting bagi melindungi pengundi yang berpaksikan demokrasi. Bukankah perhimpunan ini satu acara nasional?” katanya.

Jelasnya, dakwaan DBKL perhimpunan BERSIH 3.0 akan mengganggu perniagaan di sekitar Dataran Merdeka juga tidak tepat.

“Tiada premis perniagaan berhampiran Dataran Merdeka.

“Perhimpunan ini bakal disertai rakyat berbilang kaum yang cintakan keadilan dari seluruh pelusuk negara,” katanya.

Sehubungan itu katanya, maka amat wajar DBKL mengizinkan Dataran Merdeka digunakan kerana ia perhimpunan nasional cuma perbezaannya acara itu tidak mendapat sokongan Kerajaan Pusat.

“Jika selama ini DBKL meluluskan pertunjukan hiburan seperti konsert dan sambutan lain yang bukan bertaraf acara kebangsaan, maka amat tidak wajar jika DBKL tidak mengizinkan perhimpunan ini,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kebijaksanaan Datuk Bandar DBKL untuk mengizinkan perhimpunan ?Duduk, Bantah? ini diadakan di Dataran Merdeka.

“Ini kerana ia bukan perhimpunan politik dan perhimpunan ini juga adalah hak dan kebebasan rakyat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bersih 3.0 Bertaraf Kebangsaan

SHAH ALAM, 21 APR : Pemimpin PKR Selangor membidas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana memperkecilkan himpunan Bersih 3.0, dengan mengatakan acara yang bakal diadakan di Dataran Merdeka Sabtu depan adalah bertaraf kebangsaan.

Timbalan Ketua Wanita PKR Cabang Kuala Selangor, Wasanthee Sinnasamy berkata BERSIH 3.0 adalah perhimpunan rakyat Malaysia yang prihatan bagi menuntut pembersihan dalam sistem pilihanraya sekarang.

“Ini adalah national event (perhimpunan kebangsaan) kerana seluruh rakyat Malaysia menggunakan Dataran Merdeka dan DBKL tidak mempunyai hak untuk melarang ianya digunakan pada 28 April nanti,? Wasanthee berkata di dalam sebuah sidang media di sini.

Katanya, DBKL bukan pemilik Dataran Merdeka tetapi diberikan tugas untuk menjaganya dan tidak boleh menghalang rakyat Malaysia dari berhimpun pada hari tersebut.

Beliau berkata demikian di satu sidang media sempena satu pra-himpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung di Dataran Shah Alam pada pukul tiga petang di sini hari ini.

Perhimpunan yang dianjurkan NGO PRORAKYAT bertemakan ‘Sembang-sembang, Duduk-duduk, Bantah-bantah’. Ia berjaya menarik sekitar 400 orang terdiri daripada Adun-adun Pakatan, wakil NGO serta orang ramai.

Setiausaha PRORAKYAT Mohd Naquib Carmeil Roseli berkata himpunan hari ini merupakan titik awal gerakan rakyat menuju ke BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

“Semua rakyat diseru untuk menyertai BERSIH 3.0 untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih,” di dalam sidang media yang sama.

Sementara itu, Ketua cabang PKR Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata Bersih 3.0 diadakan kerana kedegilan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mengeluarkan daftar pengundi yang meragukan.

“Perubahan yang dilakukan oleh SPR masih jauh dari tahap puas hati kerana masih terdapat puluhan ribu senarai daftar pengundi yang diragui,” jelasnya.

Sebelum ini pihak DBKL tidak memberi kelulusan bagi himpunan Bersih 3.0 kerana menganggap Dataran Merdeka hanya dikhaskan untuk acara yang bertaraf kebangsaan.

Walaubagaimanapun, aktivis Bersih 3.0 dan penyokong himpunan itu berkataq meraka akan tetap berhimpunan di Dataran pada April 28.

Categories
NASIONAL SELANGOR

BERSIH 3.0 Tetap Diadakan Di Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 20 APR : Bersih 3.0 akan tetap diteruskan di Dataran Merdeka pada 28 April nanti walaupun tanpa kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah ketika dihubungi TVSelangor berkata pihaknya akan meneruskan program itu kerana ia telah dirancang untuk diadakan di lokasi tersebut.

Malah, katanya, Dataran Merdeka adalah lokasi sesuai dengan program itu yang bertemakan “Duduk, Bantah”.

“Kita akan tetap pergi ke Dataran Merdeka. Ia tidak memberi kesan kepada kita bagi penganjuran Bersih 3.0. Kita akan teruskan dengan program sebagaimana dirancang,” katanya.

Menurutnya, DBKL tidak seharusnya menolak permohonan untuk Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka kerana ianya adalah hak rakyat untuk berbuat demikian.

“Tempat itu (Dataran Merdeka) macam Pak Samad (Datuk A Samad Said) cakap ia bukan kepunyaan DBKL. Ia kepunyaan rakyat. DBKL hanya menguruskan sahaja. Mereka tidak berhak untuk menolak kami,” katanya.

Maria berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menjayakan Bersih 3.0 seperti menghebahkan kepada orang ramai supaya turut serta dan hadir di Dataran Merdeka pada hari tersebut.

Hari ini, DBKL mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan untuk lokasi himpunan BERSIH 3.0 dengan alasan lokasi tersebut dikhaskan untuk majlis diperingkat nasional.

Categories
NASIONAL

Ambiga:Permit BERSIH 3.0 – DBKL,Polis Belum Beri Jawapan

SHAH ALAM, 18 APR : Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum memberikan jawapan mengenai permohonan mengadakan Perhimpunan BERSIH 3.0.

Menurut Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Ambiga Sreenivasan, surat pemberitahuan bagi mengadakan BERSIH 3.0 dikemukakan kepada pihak DBKL dan PDRM pada hari Isnin 16 April lalu dan sehingga ke hari ini pihak berkenaan masih belum memberikan jawapan mengenainya.

Katanya, surat kepada DBKL bertujuan mendapatkan kebenaran menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi himpunan.

Manakala surat kepada PDRM bertujuan mendapatkan permit perhimpunan sebagaimana diminta beberapa pihak termasuk menteri dalam negeri.

” Surat telah dihantar pada lewat Isnin yang lalu dan seharusnya sampai kepada mereka pada hari Selasa, namun sehingga ke hari ini mereka masih belum memberikan apa-apa jawapan.

“Dan kita sedang menunggu jawapan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Ambiga menyebut, Majlis Peguam Malaysia (BAR Council) akan turun menyertai BERSIH 3.0 dan memantau secara keseluruhan perhimpunan tersebut.

Perhimpunan BERSIH 3.0 ini bakal berlangsung pada 28 April 2012 di Dataran Merdeka bermula pada pukul dua petang  bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Categories
NASIONAL

PAS Selangor Gerak 50,000 Ahli Ke Himpunan BERSIH 3.0

SHAH ALAM,18 APRIL : PAS Selangor akan menghantar 50,000 ahli dan penyokongnya ke himpunan ‘Duduk Bantah’ Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka,Kuala Lumpur, tegas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman

Beliau menjelaskan PAS Selangor menerima arahan daripada PAS Pusat agar menggerakkan ahlinya di 22 kawasan yang sekurang-kurangaya akan menghantar 2,500 orang ahli dan penyokong PAS dari setiap kawasan.

“Sebagai usaha memobilasi ahli dan penyokong,beberapa program pelancaran mobilasi Himpunan BERSIH 3.0 akan diadakan di beberapa kawasan.

“Antara program yang akan diadakan adalah PAS Kawasan Gombak pada 18 April, PAS Kawasan Sabak Bernam 23 April dan PAS Kawasan Kuala Langat pula pada 25 April,” jelas Dr Rani pada sidang media di sini.

Tambah Dr Rani, PAS Pusat juga telah mengarahkan PAS Negeri Selangor untuk menyediakan petugas-petugas Unit Amal pada hari himpunan tersebut,”  ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberitahu agar ahli dan penyokong PAS hadir dengan tangan kosong tanpa apa-apa senjata kerana himpunan ini adalah aman.

“Rakyat yang hadir himpunan ini adalah untuk menzahirkan agar pilihanraya perlu dijalankan secara adil dan telus,” katanya.

Sementara  itu, Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 19 April nanti bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan daftar pemilih.

Pertemuan itu akan disertai exco-exco kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan juga Speaker Dewan Negeri Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pak Samad : Umno-BN Tidak Mampu Sekat Bersih 3.0

KUALA LUMPUR 18 APR : Rakyat secara menyeluruh akan turun menentang rejim zalim Umno-BN walau apapun halangan yang kerajaan itu cuba adakan bagi menyekat kemaraan rakyat.

Sasterawan Negara, A. Samad Said yang juga orang kuat di sebalik gerakan Bersih 3.0 berkata, rakyat tanpa mengira kedudukan dan darjat hari ini sudah bijak menilai dan berani untuk menentang serta membantah.

“Hari ini kita dapat melihat seorang sasterawan berdiri di kalangan rakyat, berdiri di depan untuk menuntut keadilan.

“Hari ini juga kita mendengar mantan tentera berikrar untuk bersama kita menentang kezaliman, golongan anak muda dan mahasiswa malah kita juga ada ahli Umno yang akan bersama kita pada himpunan 28 April nanti,” ucap penulis dan penyajak tersohor ini.

Beliau, yang mesra dengan panggilan Pak Samad, berucap di dalam Himpunan Pra Bersih 3.0 di Padang Kelab Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menghadiahkan mahasiswa yang berkampung di Dataran Merdeka dua ‘sleeping bag’ bagi menyatakan sokongan terhadap mereka.

“Ia juga merupakan simbolik untuk mereka tidur dan menikmati mimpi-mimpi yang indah dan semoga mimpi indah itu menjadi nyata.

“Jangan bimbang jika khemah diroboh dan dirabak kerana ada yang akan bagi duit untuk mereka membeli khemah baru untuk didirikan,” ujar Pak Samad di hadapan lebih seribu hadirin.

Sekumpulan aktivis mahasiswa sudah empat malam berkhemah bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dataran Merdeka.

Perkhemahan itu adalah lanjutan himpunan mereka di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Selain Pak Samad, majlis himpunan malam tadi turut dihadiri wakil pimpinan dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain seperti Mohamad Sabu, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Elizabeth Wong, Teresa Kok, Maria Chin dan Haris Ibrahim.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ambiga: BERSIH 3.0 Tetap di Adakan Di Dataran Merdeka

SHAH ALAM 11 APR: Penganjur BERSIH 3.0 menegaskan bahawa perhimpunan itu tetap akan diadakan di Dataran Merdeka pada 28 April walau dipujuk kerajaan supaya memindahkannya ke lokasi lain.

Pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, cadangan yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu tidak boleh dipersetujui.

Katanya, penganjur memilih Dataran Merdeka itu kerana berkaitan dengan sejarah dalam perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan dan demokrasi Malaysia.

“BERSIH 3.0 tidak melihat satu keperluan untuk menukar tempat untuk duduk dan bantah pada perhimpunan BERSIH kali ini,” katanya.

Tambahnya, penganjur tidak dapat menerima alasan bahawa perhimpunan itu tidak boleh diadakan di Dataran Merdeka memandangkan banyak acara lain telah diadakan di situ seperti ulangtahun ke-205 Polis Diraja Malaysia.

Selain Hishammuddin, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz juga menggesa BERSIH 3.0 supaya meminta kebenaran pemilik lokasi tersebut sebelum mengadakan perhimpunan itu.

Padang yang sering digunakan untuk konsert dan perbarisan peringkat nasional itu diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ambiga tidak menyebut bahawa penganjur akan mendapatkan kebenarakan DBKL, namun beliau menjelaskan bahawa jawatankuasa tersebut akan menulis surat kepada polis untuk memaklumkan rancangan mereka.

“Kami berharap bahawa pihak polis akan membantu dalam memudahkan aliran trafik pada 28 April itu, sepertimana mereka berbuat pada beberapa perhimpunan awam sebelum ini,” katanya.

Selain Hishammuddin, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz juga menggesa BERSIH 3.0 supaya meminta kebenaran pemilik lokasi tersebut sebelum mengadakan perhimpunan itu.

Ambiga juga berkata Akta Berhimpun Secara Aman (PPT) tidak lagi berkuat kuasa, sambil menambah bahawa BERSIH 3,0 berpendapat bahawa PPT melanggar jaminan perlembagaan kebebasan berhimpun, katanya.

Categories
NASIONAL

‘Sembang Sembang, Duduk Duduk, Bantah Bantah’ Sempena Bersih 3.0

SHAH ALAM 10 APR : Sempena Perhimpunan “Duduk, Bantah” di Kuala Lumpur, satu pra-himpunan Bersih 3.0 anjuran PRORAKYAT Selangor akan diadakan di Dataran Shah Alam pada 21 April ini bermula jam 3 petang.

Bertemakan ‘Sembang Sembang, Duduk Duduk, Bantah Bantah’ perhimpunan itu dijangkakan menarik sekitar 500 orang iaitu ahli atau wakil NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang menyokong Bersih 3.0.

Pengerusi PRORAKYAT, Khairul Anuar Othman berkata orang ramai juga digalakan
menyertai program santai tersebut.

“Ini sebagai program pemanas badan sebelum Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada April 28,” beliau berkata di dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat MP Shah Alam di sini petang tadi.

PRORAKYAT juga menyatakan sokongan rasmi mereka terhadap tuntutan Bersih 3.0 yang mahukan  pilihanraya bersih dan adil.

Khairul Anuar turut menyeru pihak polis untuk memberikan kerjasama agar kepincangan yang berlaku pada himpunan Bersih 2.0 tidak berulang.

Turut hadir dalam sidang media ialah Timbalan Pengerusi PRORAKYAT, Anizan Othman selain Setiausaha Agungnya, Mohd Naquib Carmeil Roseli.

Categories
NASIONAL

Penganjur BERSIH 3.0 Akan Berunding Dengan Polis

SHAH ALAM, 10 APRIL : Penganjur Perhimpunan BERSIH 3.0 akan menyertakan 200 Unit Amal PAS dan 100 peguam yang akan berkhidmat secara sukarela ketika berlangsungnya himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata jaminan keselamatan kepada peserta himpunan akan terus diperkemaskan  bagi memastikan himpunan yang dijangka dihadiri lebih setengah juta itu berjalan lancar.

Maria menambah, pihaknya mengharapkan kerjasama baik daripada pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan hasrat rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil secara ‘duduk dan bantah’.

“Pihak kami akan melakukan rundingan dengan pihak PRDM berhubung dengan perhimpunan rakyat secara duduk dan bantah.

“Diharapkan satu kerjasama yang baik dapat dizahirkan oleh PDRM kerana ia telah termaktub dalam perlembagaan untuk rakyat berhimpun.

“Pihak kami juga akan mendapatkan kepastian bahawa pihak polis akan mengawal lalu lintas ketika perhimpunan dan bukannya menyediakan gas pemedih mata dan gerombolan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),”jelasnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menjelaskan perhimpunan BERSIH 3.0 yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini bukan satu isu ancaman keselamatan.

Sebaliknya, Hishammuddin memberi laluan dengan meminta satu rundingan dilakukan antara pihak penganjur dengan PDRM.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Maria berharap kenyataan itu disusuli dengan penuh tanggungjawab kerana ia adalah hak rakyat Malaysia untuk berhimpun.

“Apa yang kami harapkan, mereka lakukan seperti mana yang mereka gambarkan, sekiranya tidak mereka perlu menjawab kepada rakyat,”ujarnya.

Sebuah portal web berita melaporkan, pihak polis masih enggan membuat apa-apa kenyataan berhubung  persiapan untuk perhimpunan itu.

 

Categories
NASIONAL

Anggota PSC PR Tiada Suara Majoriti

SHAH ALAM 6 APR : Dengan hanya tiga wakil dari pihak Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihanraya, amatlah sukar bagi memastikan tuntutan lapan perkara BERSIH 2.0 di laksanakan.

Menurut salah seorang wakil PR dalam PSC, Dr Hatta Ramli, PR memainkan peranan sepenuhnya untuk menyampaikan hasrat rakyat mengenai Pilihanraya dalam perbincangan jawatankuasa tersebut.

“Dalam 22 perkara dibentangkan, ada beberapa perkara yang kita tidak setuju sepertimana yang dilaporkan sebelum ini.

“Sebagai pihak minoriti, kita kalah undi. Kita juga sebenarnya banyak toleransi dan bertolak ansur untuk nampak tidak terlalu keras.

“Namun, mereka tetap berkeras menolak cadangan kita,” ujar Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Sehubungan itu, beliau berkata Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH ) yang diwakili Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhak untuk tidak berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

“BERSIH tiada wakil dalam PSC dan terang-terangan lapan tuntutan Bersih tidak diambil peduli dalam PSC.

“Mereka berhak untuk menilai laporan tersebut dan suarakan bantahan. Namun begitu, keputusan untuk mengadakan BERSIH 3.0 bukan kuasa Pakatan (Rakyat) kerana BERSIH adalah NGO,” jelas Dr. Hatta yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Walaubagaimanapun, menurut Dr. Hatta, beliau tidak positif bahawa tuntutan lapan perkata BERSIH 2.0 akan dipertimbang pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

“Dengan jelas, mereka tidak pernah setuju dengan BERSIH, apalagi untuk penuhi tuntutan.

“Sedangkan Laporan PSC sendiri belum tentu dipersetujui SPR sepertimana yang diulas Perdana Menteri Najib (Tun Razak),” akhiri Dr. Hatta.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri berhubung keputusan PSC yang juga diwakili pihak pembangkang beliau berkata sebagai orang politik Muhyiddin tidak perlu menipu rakyat.

“Cukuplah lebih 54 tahun pemimpin Umno-BN menipu rakyat, tak mungkin Muhyiddin tak faham bila hanya tiga wakil pembangkang dalam anggota yang lain majoriti anggota penyokong BN,” ujar Dr Hatta lagi

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jelajah Jom BERSIH 3.0, Di Selangor, 7 April

SHAH ALAM, 5 APRIL : Sempena Himpunan Bantah PTPTN pada 14 April dan Himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini, Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan mengadakan siri jelajah peringkat negeri Selangor pada Sabtu ini.

Pada malam tersebut pimpinan PR akan berada di dua lokasi berasingan.

Siri ceramah Perdana akan diadakan di Pejabat PKR Cabang Kapar, Taman Sungai Kapar Indah ( Bersebelahan Shell) bermula jam 9 malam hingga 12 malam.

Manakala lokasi kedua adalah majlis Rapat Rakyat sempena 25 tahun PAS Shah Alam bertempat di Stadium Melawati Shah Alam bermula jam 9 – 12 malam.

Antara penceramah yang di jemput adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Hadi Awang, Lim Kit Siang, Tan Sri Khalid Ibrahim, Tony Phua, Dr Rani Osman, Khalid Samad dan beberapa pimpinan lain.

 

Categories
NASIONAL

Pemuda PAS: Wan Ahmad Tiada Hak Ulas Isu BERSIH 3.0

SHAH ALAM,5 APRIL : Suruhanjaya Piliharaya (SPR) diseru supaya jangan panik dengan pengumuman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk menganjurkan perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April 2012 dengan menyifatkan perhimpunan ini sebagai tindakan terburu-buru yang menunjukkan ?kegelisahan beliau dalam melindungi sesuatu?.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor berkata sepatutnya, Timbalan Pengerusi SPR,Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak perlu mengulas Himpunan Bersih 3.0 kerana itu bukan kerja beliau.

“Tugas utama beliau, adalah memastikan perjalanan pilihanraya berlangsung dengan adil dan bersih.

Beliau tidak perlu bertindak bagi pihak Perdana Menteri atau kerajaan Malaysia. Yang perlu mengulas isu himpunan Bersih 3.0 adalah kerajaan, sama ada Perdana Menteri, menteri terbabit atau pihak polis,” tegasnya dalam kenyataan media.

Tambah Riduan, SPR tidak perlu bimbang kerana hasil himpunan ini rakyat sendiri akan memerhati setiap pergerakan SPR mahupun kerajaan dalam PRU ke 13 dan setiap penipuan pasti akan dapat dihidu dan dibongkarkan.

“Justeru, jika SPR yakin tidak ada unsur penipuan selama ini apa yang hendak ditakutkan. SPR patut ucap terima kasih kerana rakyat membantu melicinkan lagi usaha SPR mahu membersihkan sistem pilihanraya,” ujarnya.