Categories
SELANGOR

Isu Air Di Taman Pandan selesai

SHAH ALAM, 24 FEB : Isu pemotongan air di Taman Pandan Utama 2, Ampang selesai hasil rundingan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bersama pihak pemaju dan juga pihak Syabas pada Rabu lepas.

Menurut Iskandar, pihak Syabas bersetuju untuk menyambung bekalan air setelah pemaju menyerahkan surat akujanji yang mengatakan mereka akan mengemukakan “Bank Guarantee” bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.

“‘Bank Guarantee’ ini adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan.

“Pada 20 Februari lepas, pemaju telah mengemukakan surat akujanji bahawa mereka akan menyiapkan kerja itu dalam masa yang ditetapkan itu,” jelas Iskandar yang juga Adun Cempaka.

Isnin lalu, satu dialog antara penduduk bersama beliau,  Syabas dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah diadakan.

“Saya berharap pihak Syabas akan menyambung bekalan secepat mungkin selepas menerima surat akujanji daripada pihak pemaju agar penderitaan penduduk akan berakhir.

“Buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan dikhuatiri berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti ini berlarutan,” ulas Iskandar

Categories
SELANGOR

Air Ke Pandan Utama Fasa Dua Disambung Kembali

SHAH ALAM 23 FEB : Nasib 600 pengguna di Taman Perumahan Pandan Utama Fasa Dua terbela apabila Kerajaan Negeri berjaya berunding dengan  Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan pemaju perumahan itu untuk menyambung kembali bekalan air setelah terjejas sejak lebih seminggu lalu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan dengan pihak Syabas dan wakil pemaju taman perumahan tersebut di pejabat Syabas di Kuala Lumpur semalam.

“Syabas memulakan kerja-kerja penyambungan bekalan air hari ini setelah pemaju menghantar surat aku janji kepada Syabas semalam yang menyatakan mereka akan mengemukakan “Bank Guarantee” bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.

“Bank Guarantee” ini adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan,”katanya.

Sebelum ini, Syabas memotong bekalan air di taman perumahan tersebut kerana penduduk memperoleh bekalan secara tidak sah sejak 2010 menerusi sambungan haram daripada paip sedia ada milik Syabas di Jalan Cempaka.

Penduduk berbuat demikian kerana mendakwa pemaju tidak membekalkan meter air semasa mereka mula mendiami rumah tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som sebagai berkata, tindakan mengambil air secara tidak sah adalah menyalahi undang-undang Akta Industri Perkhidmatan Air, Seksyen 123 (1).

Hasil mesyuarat sebelum ini, pihak pemaju diminta untuk menjelaskan bayaran kepada Syabas bagi penggunaan air secara tidak sah selama 17 bulan.

Abdul Halem berkata, kemudahan infrastruktur bekalan air kekal seperti tangki air, rumah pam dan tangki sedut luaran perlu disediakan oleh pemaju terlebih dahulu supaya pihak Syabas boleh membekalkan air ke perumahan berkenaan.

Mengulas lanjut perkara ini, Iskandar berharap pemaju akan dapat mengotakan janji mereka untuk menyediakan kemudahan isnfratruktur tersebut bagi membolehkan pihak Syabas menyambung bekalan secepat mungkin  agar penderitaan penduduk akan berakhir.

“Walau bagaimanapun adalah wajar pihak Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera di atas sebab-sebab kemanusian memandangkan persetujuan telah dicapai dan menunggu untuk dilaksanakan.

“Buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan terdapat kemungkinan akan berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti ini berlarutan.”

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Denda RM500 Kepada Premis Membiak Denggi

SHAH ALAM 22 FEB : Kerajaan Selangor akan mengenakan kompaun RM500 ke atas mana-mana premis yang menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes ekoran penularan wabak denggi di negeri semakin meningkat.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata penguatkuasaan bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes akan giat dijalankan sepanjang tahun ini sebagai salah satu strategi utama mencegah dan mengawal penularan wabak itu.

“Masyarakat juga di seru untuk sentiasa menjaga kebersihan alam sekeliling dengan perlupusan sampah domestik dan sampah pukal secara teratur dan menjauhi tabiat pembuangan sampah haram.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah merancang jadual berkala untuk kutipan sampah domestik dan pukal untuk mengatasi masalah ini,”katanya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 419 kompoun bernilai RM 207,004 telah dikeluarkan dan dua tapak binaan telah ditutup.

Sebagai rekod sehingga 18 Februari lalu, sejumlah 1,581 kes denggi telah didaftarkan berbanding 1,126 kes pada tahun lepas (40 peratus peningkatan).

Daerah-daerah yang menunjukkan jumlah denggi tertinggi ialah Petaling (475 kes), Hulu Langat (434 kes), Klang (328 kes) dan Gombak (173 kes).

Kajian pemeriksaan Premis Pembiakan Aedes (PPA) yang dijalankan sehingga 11 Februari lalu pula menunjukkan kadar peningkatan pembiakan Aedes di kawasan lot kosong adalah tertinggi iaitu peningkatan 65 peratus, diikuti kawasan tapak binaan dengan peningkatan 52 peratus.

Berikutan situasi denggi yang membimbangkan ini, Xavier mengingatkan masyarakat untuk mempergiatkan lagi langkah-langkah pencegahan denggi di kawasan tempat kerja dan rumah mereka.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Air Selangor Selamat Untuk Digunakan

SHAH ALAM, 22 FEB : Dakwaan kerajaan Selangor akan membekalkan air tidak selamat kepada rakyat negeri ini disifatkan sebagai satu tohmahan berniat jahat dan buruk sangka tanpa usul periksa, kata Dr Xavier Jayakumar.

Dr Xavier berkata demikian sebagai merujuk lapiran media pro-BN bertajuk ‘Air Lombong Tak Selamat’ yang disiarkan pada 17 Februari lepas.

Katanya, kerajaan negeri di sentiasa komited menggunapakai sumber air mentah dari sumber air bawah tanah, bekas lombong, air hujan dan sungai yang dirawat bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini.

Tambahnya, sumber air berkenaan perlu dirawat terlebih dahulu sebelum dijadikan air minum berdasarkan piawaian keselamatan dan kesihatan di negara ini.

Katanya, selain Lembaga Air Selangor(LUAS) yang memantau bagi pihak kerajaan negeri. Agensi pusat seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan Kesihatan juga memantau untuk kepentingan pengguna.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, apa yang lebih penting, sebarang perbahasan mengenai air bekas lombong dan mana-mana sumber air yang berpotensi sepatutnya difokuskan kepada kos dan kelebihannya. Adalah tidak matang untuk menyarankan cadangan-cadangan ini tidak menguntungkan sebelum dijalankan analisis terhadap kos dan manfaatnya.

Mengulas projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor Abdul Khalid berkata, projek ini akan membebankan rakyat Selangor dengan kenaikan kadar tariff air jika ia terus dilaksanakan. Oleh itu tidak sebab untuk ia dilaksanakan.

Pertama, Kerajaan Selangor akan dipaksa membelanjakan sejumlah RM8 bilion untuk membina Loji Langat 2. Kedua, Kerajaan Selangor akan dipaksa membayar kepada Kerajaan Pahang untuk air mentah yang disalurkan ke negeri ini.

Oleh itu, dana RM8 bilion itu boleh digunakan untuk memulihara Sungai Klang yang menjadi sumber air mentah tanpa had di Selangor.

Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian bahawa projek Langat 2 bukan jalan penyelesaian kepada usaha membaiki mutu perkhdimatan industri air di Selangor dan Lembah Klang.

“Malah, penyelesaian secara holistik adalah perlu bagi memulihkan kegagalan dan kerugian akibat penswastaan industri air di Selangor. Penswastaan ini menyebabkan perkhidmatan air dipecah-pecahkan di mana keuntungan kepada syarikat-syarikat swasta manakala beban kos terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Ini adalah contoh klasik di mana syarikat swasta mendapat keuntungan manakala rakyat menanggung kerugian.

‘Walaupun Kerajaan Negeri masih terbuka mengadakan rundingan dengan syarikat konsesi dan kerajaan Pusat, tetapi kita sedari rundingan ini melalui jalan yang sukar,”katanya.

Categories
SELANGOR

Halimah: Isu Tapak SMK Sg. Ramal Selesai

SHAH ALAM, 16 FEB : Isu tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal di Hulu Langat selesai hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, mesyuarat Exco semalam memutuskan untuk memberi kelulusan permohonan pemberi-milikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah berkenaan.

“Keputusan ini dicapai hasil perbincangan bersama dengan wakil Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pejabat Tanah pada 13hb lepas,” ujar Halimah.

Halimah turut memberitahu pihak MPKj bersetuju menarik balik Arahan Memberhentikan Kerja yang dikeluarkan ke atas kerja-kerja pembinaan di atas tapak berkenaan sebelum ini.

“Kini segala kerja-kerja berkenaan boleh diteruskan kembali kerana isu ini sudah selesai,” jelas Halimah ringkas.

Buat masa ini, hanya terdapat dua sekolah rendah di kawasan Sungai Ramal iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramal Dalam dan SK Sungai Ramal Luar.

Categories
SELANGOR

Xavier: Selangor Jamin Tiada Krisis Air Menjelang 2014

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Negeri sekali lagi memberi jaminan bahawa tidak akan berlakunya krisis air menjelang 2014 seperti mana yang dicanang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kerajaan Pusat baru-baru ini.

Exco Selangor, Xavier Jayakumar berkata isu yang sengaja dimainkan ini jelas propaganda politik kerajaan Umno-BN dalam usaha menakut-nakutkan rakyat Selangor bagi memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin BN Pusat merampas kembali negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum akan datang.

“Kerajaan Selangor menggunakan teknologi rawatan air terkini telah mengenalpasti beberapa punca air yang boleh digunapakai bagi menampung keperluan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,”katanya bagi membidas segala dakwaan jahat Kerajaan Pusat dan SYABAS.

Xavier berkata antara kaedah terkini yang akan digunapakai bagi merawat air ialah proses pengambilan air mentah dari bekas lombong, punca air bawah tanah, rawatan dan penapisan air sungai dan air mentah dari takungan air hujan.

“Kerajaan Negeri sedang mempercepatkan langkah bagi merawat air sungai untuk kegunaan sektor perindustrian di Selangor.

“Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri telah meluluskan lesen permindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran tweknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air,”

Xavier berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Xavier berkata kerajaan Negeri juga bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna bagi memaksimumkan penggunaan sumber-sumber air bagi menambung keperluan harian rakyat.

“Ini merupakan alternatif yang lebih bermanfaat dan menjimatkan berbanding projek membangunkan insfratruktur pemindahan air dari Pahang yang menelan belanja berbillion ringgit wang pembayar cukai,”katanya.

Tindakan Kerajaan Selangor menguasai industri air negeri bertujuan bagi meringankan bebanan rakyat selain mengekalkan pemberian air percuma 20 meter padu kepadaa rakyat.

Manakala Syabas merancang untuk menaikkan tarif bil air sebanyak 37 peratus namun dibantah oleh kerajaan negeri.

 

Categories
SELANGOR

Pendahuluan 5% Untuk Mulakan Program CERIA Fasa 11

SHAH ALAM,15 FEB : Penduduk yang telah ditawarkan bantuan di bawah Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) Fasa Kedua perlu mengemukakan bahagian mereka sebelum 7 Mac 2012 akan datang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan, Iskandar bin Abdul Samad berkata Untuk Fasa Kedua CERIA, 50 kawasan pangsapuri telah ditawarkan dan 26 kawasan telah mengemukakan bahagian mereka.

Di bawah CERIA, penduduk pangsapuri kos rendah perlu mengemukakan pendahuluan sebanyak 5 peratus dari kos membaikpulih sebelum kerja-kerja dimulakan. Baki 15 peratus boleh dibayar secara ansuran.

“Penduduk pangsapuri kos rendah hanya perlu menanggung 20 peratus dari kos baikpulih dan Kerajaan Negeri akan menanggung 80 peratus. Adalah diharapkan 24 kawasan yang belum mengemukakan bahagian mereka melakukannya secepat mungkin.

“Sekiranya mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan 5 peratus ini, maka diharap mereka dapat membincangkannya dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Tambah Iskandar ,jika mereka gagal datang berbincang sebelum 7 Mac 2012, maka kawasan mereka akan ditangguh perlaksanaannya ke Fasa Ketiga.

Kawasan-kawasan yang berada di Fasa Ketiga pula akan menggantikan giliran mereka.

“Kerajaan Negeri berhasrat untuk membaikpulih 100 kawasan di bawah CERIA. Untuk Fasa Pertama, 18 kawasan telah ditawarkan dengan 10 kawasan telah siap sepenuhnya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Isu Sekolah Cina : Wee Ka Siong Diminta Henti Pembohongan

SHAH ALAM 3 FEB : Ketua Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong digesa untuk berterus terang kepada masyarakat Cina di negara ini dan mengakui bahawa beliau tidak berupaya untuk membantu sekolah-sekolah Cina,tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim.

Menurut Teresa yang juga Adun Kinrara berkata, Ka Siong juga perlu menghentikan tindakan mengubah fakta dan bercakap bohong berkaitan dengan usaha Kerajaan Selangor yang menyediakan tanah untuk sekolah-sekolah Cina seperti yan telah diluluskan.

“Adalah jelas bahawa sebab Wee Ka Siong adalah berkali-kali memberitahu mengenai perkara itu – dengan menuduh kerajaan negeri Selangor hanya memberikan surat sokongan dan tidak memberi sekolah tanah rizab untuk SMJK Katholik dan SJKC Yak Chee untuk membina sekolah-sekolah cawangan.

“Ianya untuk menutup hakikat bahawa MCA tidak mempunyai kuasa dalam kementerian pendidikan dan mereka tidak dapat untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk kedua-dua buah sekolah untuk membina sekolah-sekolah cawangan,” kata Teresa dalam kenyataan medianya semalam.

Tambah Teresa, hakikatnya adalah kerajaan Selangor telah memutuskan dalam mesyuarat Exco pada 23 September 2011 lepas dengan memperuntukkan tanah lot 65768 dan lot 65766 di Tasik Prima Puchong kepada SJKC Yak Chee, Sekolah Tinggi Katolik dan sebuah pusat latihan autisme .

Kertas Exco mengenai keputusan ini adalah Kertas MMK. No 46/40/2011. Selain itu,jawatankuasa pembangunan sekolah-sekolah Cina Daerah Petaling Jaya dan lembaga sekolah dan PIBG telah diberikan kertas keputusan itu.

Disamping itu, surat yang dikeluarkan oleh Kerajaan negeri Selangor kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, mengumumkan kelulusan tanah dan menyokong hasrat sekolah untuk membina cawangan, telah disediakan untuk pelbagai pihak.

Oleh itu sekarang, selagi Kementerian Pelajaran meluluskan pembinaan kedua-dua sekolah cawangan ini maka sekolah-sekolah boleh mengemukakan permohonan untuk memulakan kerja-kerja.

“Wee Ka Siong terus berbohong untuk mengelirukan orang ramai dan ingin menghina kerajaan negeri dan menghina kebijaksanaan pemimpin jawatankuasa lembaga sekolah dan PIBG kedua-dua sekolah,” kata Teresa.

Justeru, tegas Teresa agar muslihat politik oleh MCA ini dihentikan daripada terus mempengaruhi pihak yang tidak bersalah seperti sekolah-sekolah dan pelajar yang mahu peluang menikmati persekitaran pendidikan yang selesa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPR Tidak Boleh Nafikan Hak Rakyat Malaysia Di Luar Negara Mengundi

SHAH ALAM, 2 FEB : Cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi dengan alasan bukan pembayar cukai adalah langkah kebelakang dan merupakan penafian hak rakyat , tegas MPP PKR Elizabeth Wong.

Menurut Elizabeth yang juga ADUN Bukit Lanjan berkata walaupun cadangan itu adalah terhad kepada rakyat Malaysia di luar negara buat masa ini, namun mencerminkan sikap SPR terhadap pengundian yang ia adalah satu keistimewaan, bukan hak.

“Dengan menafikan hak perlembagaan rakyat Malaysia untuk mengundi,SPR telah sekali lagi menunjukkan pandangan samar-samar mengenai proses demokrasi.

Menghubungkan cukai dengan mengundi bermakna melebarkan jurang yang luas dalam masyarakat termasuk pelajar, belia dan seluruh warga negara di semua peringkat.

Ini menandakan satu trend yang bahaya dalam politik Malaysia daripada pengukuhan demokrasi,” kata Elizabeth dalam kenyataan medianya.

Menurut Elizabeh ,sebaliknya, bagi kebanyakan negara-negara demokratik,mengundi di luar negara semata-mata melibatkan satu proses yang mudah dengan mendaftar di kedutaan yang terdekat atau Konsulat.

Tidak mengejutkan, cadangan itu disokong oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, membuktikan mencabut mutlak parti itu daripada aspirasi rakyat Malaysia biasa yang menunjukkan sokongan itu adalah bukti bahawa MCA semakin menjadi parti elitis.

Tambahan pula, contoh Chua, Amerika Syarikat sebagai hanya memberikan undi tidak hadir kepada pembayar cukai adalah tidak benar. Malah, pindaan perlembagaan Amerika Syarikat ke-24 secara khusus menyatakan bahawa hak rakyat untuk mengundi tidak boleh dinafikan atau diringkaskan oleh sebab kegagalan untuk membayar apa-apa cukai pungutan suara atau cukai lain.

“Saya ingin mengingatkan SPR, Chua dan MCA bahawa mengundi adalah satu asas hak semua rakyat. Ia bukan mereka untuk membuat keputusan yang seseorang itu dapat mengundi ataupun tidak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Maulidur Rasul Bukan Sekadar Berarak

SHAH ALAM 2 FEB : Perarakan sempena Maulidur Rasul tidak boleh dijadikan kayu ukur kecintaan kepada Rasulullah dan bukan jalan terbaik untuk menyambutnya justeru bagi menghindari taqlid buta yang diamal dalam masyarakat, maka, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memberi kefahaman melalui program-program ilmiah yang disusun melalui masjid dan surau.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Yaakob Sapari berkata cara sebenar memperingati Rasulullah adalah melalui penghayatan mengenai syariat dari sudut akhlaq, sahsiah, budaya, perundangan, pendidikan dan lain-lain

“Kerana rata-rata masyarakat hanya memahami ‘kulit’ berbanding ‘isi’. Apa tujuan perarakan tersebut? Adakah dengan perarakan dengan berpakaian berwarna-warni yang disertai selawat beramai-ramai, mengibarkan pelbagai cogan kata pujian di sepanduk-sepanduk itu mampu memperingatkan kita kepada Baginda Rasul junjungan?,” ujar Yaakob.

Menurut beliau, menjelang Rabiu’awwal, menjadi kemestian di mana umat Islam akan menyambut hari tersebut dengan pelbagai cara dan gaya. Lazimnya, di desa dan kampung, sambutan diadakan dengan majlis berzanji dan membaca rawi. Semua sanak saudara, rakan-taulan dijemput bersama-sama menghadiri majlis tersebut. Pastinya ia sesuatu yang cukup bermakna.

Di bandar pula, umumnya mengetahui bahawa sambutan Maulidir Rasul ini, pasti bertambah meriah dengan disertai perarakan. Ribuan manusia akan berarak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam suasana yang begitu menggembirakan. Dalam hal ini, baik muda mahupun tua, semuanya bersemangat untuk tidak melepaskan peluang turut serta dalam perarakan tersebut.

“Persoalannya, mengapa majlis berzanji dan perarakan ini diadakan sempena maulid nabi? Mengikut sejarah, sememangnya budaya ini tidak pernah disambut pada zaman Rasulullah. Mana tidaknya, ketika Rasulullah masih hidup persoalan agama diselesaikan oleh baginda sekaligus berlaku proses menyempurnakan agama ketika itu,” kata beliau.

Menurut Yaakob (gambar), hanya pada zaman Fatimiyyah, setelah berlalu tempoh yang panjang di kala umat Islam mula melonggarkan ajaran agama, maka timbul idea dari pemimpin-pemimpin Islam ketika itu untuk mengadakan hari-hari tertentu bagi mengajak umat Islam kembali memahami ajaran agama. Dalam kaitan ini, maka memperingati hari Israk dan Mikraj, sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya telah diadakan.

Oleh yang demikian, hari-hari penting dalam Islam kini telah disambut dengan pelbagai cara antaranya dengan mengadakan ceramah, kuliah, seminar, perarakan dan pelbagai lagi.

“Cuma, wajarkah sambutan Maulidur Rasul itu disambut dengan perarakan besar-besaran sehingga menelan belanja begitu besar bagi menghadapinya? Dua tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Hal ini menimbulkan kekecohan dalam masyarakat sehingga ramai yang mengkritik dan tidak kurang juga yang memuji,” kata beliau lagi.

Tambah Yaakob, beliau mengajak masyarakat melihat sambutan Maulidur Rasul dalam kerangka yang lebih besar dengan menumpukan aspek penghayatan syariah dalam kehidupan.

” Mengapa sehingga kini, penghayatan dalam semua elemen tadi tidak dipraktikkan? Walhal, ini adalah sunnah (ikutan) yang diajar oleh Baginda Nabi.

“Jika penghayatan syariat ini masih kabur dalam pengamalan masyarakat, maka tidak hairanlah seandainya rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai penyelewengan masih berlaku sekarang ini,” katanya.

Justeru ujar Yaakob, majlis bacaan kitab sirah, seperti kitab Syamaail Muhammad karangan Imam Tarmizi, yang mengisahkan secara mendalam tentang hal keperibadian Rasulullah sewajarnya diadakan.

“Ia bagi memberi kefahaman sebenar kepada Umat Islam agar mereka lebih mencintai Rasulullah dan mengambil pengajaran dari perjuangan Baginda melalui pendekatan pendidikan berbanding perarakan semata-mata yang wajar dijauhi.

Categories
SELANGOR

Isu Kepala Babi: Selangor Tawar RM10,000

SHAH ALAM 1 FEB : Kerajaan Selangor menawarkan ganjaran RM10 ribu kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat sahih sehingga tertangkapnya individu yang bertanggungjawab meletakkan kepala babi di Masjid Nurul Iman, Rawang, semalam.

Exco Selangor, Rodziah Ismail berkata inisiatif ini adalah bertujuan menangkap pesalah sebenar sebelum ia menjadi isu sensitif seperti yang berlaku sebelum ini.

“Malangnya insiden sebelum ini tiada sebarang tangkapan yang dibuat, mungkin dengan usaha dan tanggungjawab daripada orang awam mampu membantu siasatan polis sekaligus membawa pesalah kehadapan dengan cepat,”katanya dalam satu sidang media sejurus selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian            1-800-888-2824      .

Pagi semalam, anak kariah Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang dikejutkan dengan penemuan satu kepala babi di pintu masuk utama masjid itu.

Kejadian yang dilaporkan seawal jam lima pagi itu hanya disedari apabila ahli jawatankuasa masjid membuka pintu pagar utama.

Pihak polis bagaimana pun tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi.

Sebelum ini, Masjid Al-Falah di Taman Desa Jaya, Johor Bharu digemparkan dengan penemuan empat kepada babi di pagar belakang masjid manakala selebihnya ditemui di perkarangan luar pintu masuk masjid keesokkan harinya oleh jemaah yang ingin menunaikan solat subuh.

Xavier: SYABAS Guna Taktik ‘Ugutan’ Takutkan Rakyat Selangor

SHAH ALAM 1 FEB : Kerajaan Negeri kesal dengan taktik syarikat konsesi air, Syarikat bekalan Air Selangor (SYABAS) memaksa kerajaan negeri meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat (Langat 2) secara tergesa-gesa tanpa mengkaji kepentingan rakyat Selangor secara menyeluruh.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Kah Fui dalam kenyataannya berkata keengganan SYABAS tidak meluluskan usaha menambahbaik penyaluran paip serta perkhidmatan pembersihan air masa hadapan itu adalah wajar atas alasan bekalan air tidak mencukupi.

Exco Selangor, Xavier Jayakumar menyifatkan kenyataan Peter sebagai suatu yang tidak beretika berserta ugutan kepada rakyat Selangor kerana kerajaan negeri sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa tiada sebarang tentangan untuk pembinaan Langat 2.

“Dalam isu ini, kita berpendirian bahawa keutamaan dan motif Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek tersebut tanpa mengambil kira isu-isu lain.

“keutamaan perlu diberikan kepada penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang bertujuan meningkatan kualiti air dan mutu perkhidmatan kepada rakyat,”katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri hari ini.

Mengulas lanjut, Xavier menegaskan keutamaan kerajaan negeri untuk melaksanakan penstrukturan semula air bagi membenarkan kerajaan negeri menguruskan kadar tarif air jauh lebih rendah berbanding kenaikan 37 peratus yang dicadangkan SYABAS.

“Sekirannya penstrukturan ini berada di peringkat akhir, barulah Kerajaan Negeri tiada sebarang masalah untuk meluluskan pembinaan projek Langat 2,”katanya.

Bercakap kepada pemberita, Xavier menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan seharusnya melihat kepada permasalahan sebenar iaitu masalah pengurusan dan perkhidmatan yang lemah syarikat konsesi dan bukannya menumpukan kepentingan kroni berbanding rakyat.

“Kerajaan Negeri sedar pendekatan terbaru ini adalah sebahagian pelengkap kepada taktik menakut-nakutkan rakyat kononnya lembah Klang akan mengalami krisis air,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Xavier berkata Loji Rawatan Sungai labu, Negeri Sembialan boleh beroperasi pada bila-bila masa dan tidak akan berlaku kelewatan seperti yang didakwa Menteri berkenaan.

Ini kerana Kerajaan Negeri telah meluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd,  yang mempunyai kepakaran menguruskan loji tersebut.

Sehubungan itu kerajaan negeri tetap bertegas untuk mengurus tadbir isu bekalan air bagi memastikan rakyat negeri itu mendapat manfaat dari pemberian 20 meter padu air percuma dapat diteruskan.