Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bendung Covid-19 di Kedah, Sarawak tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-15 hari ini dijangka tertumpu kepada perkara berkaitan langkah kerajaan untuk mencegah berlakunya gelombang baharu Covid-19 di Kedah dan Sarawak.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PAKATAN-Bandar Kuching) kepada Menteri Kesihatan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini.

Yii juga ingin tahu mengenai status kes wabak Covid-19 termasuk jumlah ujian saringan yang telah dijalankan di kedua-dua negeri berkenaan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) pula dijadual bertanyakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai mekanisme dan langkah konstruktif yang dirangka kerajaan bagi meningkatkan sekuriti makanan dalam negara terutamanya ketika menghadapi krisis seperti bencana wabak.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang dijangka melibatkan enam kementerian antaranya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Sekatan jalan raya jaga sempadan negara, negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), polis kini menumpukan pada sekatan jalan raya (SJR) di kawasan sempadan negeri dan negara, selain operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM)

Kawalan di sempadan negara bertujuan memastikan ia tidak diceroboh masuk warga asing manakala di sempadan negeri adalah bagi menyekat pergerakan rentas negeri yang masih tidak dibenarkan,

Di JOHOR, Ketua Polis negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata SJR di Johor kini turut tertumpu di kawasan pesisir pantai dalam usaha kerajaan mengekang kemasukan migran, dengan keseluruhan 39 SJR di semua daerah.

Beliau berkata 4,200 anggota polis bertugas bagi PKPB berbanding 4,600 anggota ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan susun atur SJR juga akan dilakukan termasuk di jalan keluar dan masuk antara sempadan negeri.

“Kesemua 39 SJR merupakan di laluan utama. Ia termasuk kawasan di daerah-daerah yang menghadap pesisir pantai. Ini khusus untuk membendung penyusupan masuk migran dari negara jiran,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru hari ini.

Bekas Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Batu Kawa Kuching, Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu bagi menggantikan Datuk Shafie Ismail, yang bersara hari ini.

Sementara itu, Polis Perlis pula menggunakan kaedah pemeriksaan mengejut dan rondaan Kereta Peronda Polis (MPV) bagi mengesan orang ramai yang melalui lorong tikus dan ‘batas ban’ (jalan sawah padi) bagi mengelak SJR di semua pintu masuk utama ke negeri itu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata kumpulan rondaan ini akan digerakkan memasuki semua 77 ‘batas ban’ dan lorong tikus yang terdapat di negeri itu iaitu sebanyak 49 di Kangar, 13 di Padang Besar dan lima di Arau.

“Walaupun tiada lagi penutupan jalan dan lencongan di jalan-jalan utama setelah PKPB, kita tidak mahu berlaku keadaan orang ramai bolos menggunakan lorong tikus dan batas ban,” katanya kepada Bernama di Kangar.

Surina berkata pihaknya meningkatkan rondaan di lorong tikus bagi memastikan tiada individu yang masuk ke negeri itu tanpa melalui SJR, atau mengelakkan warga asing masuk ke negara ini menerusi lorong tikus.

Polis Perak pula mengurangkan SJR daripada 102 sewaktu PKP kepada 30, dengan 13 daripadanya dibuat di sempadan negeri termasuk susur masuk atau keluar di lebuh raya, melibatkan sempadan Perak dengan Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Pahang, dengan bantuan tentera darat bermula hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata polis juga meningkatkan pemantauan di tempat-tempat awam terutama di pasar raya dan stesen bas bagi memastikan sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP semasa PKPB termasuk jarak sosial.

“Polis juga banyak memberikan khidmat nasihat kepada orang awam di tempat-tempat tumpuan serta pengusaha restoran dan kebanyakannya sudah faham mengenai SOP bagi bersama-sama melawan penyebaran wabak Covid-19,” katanya di Ipoh.

Razarudin berkata rondaan turut ditingkatkan di kawasan rekreasi dan taman permainan bagi mengelakkan orang ramai menjalankan sebarang akitiviti riadah berikutan Perak masih belum membenarkan penggunaan taman awam.

Bagi Kedah, orang awam di negeri itu bebas bergerak merentasi daerah termasuk ke Pulau Langkawi, namun perlu menitikberatkan SOP ditetapkan KKM terutama aspek jarak sosial.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata pematuhan terhadap SOP sangat penting bagi mengekang penularan Covid-19, sekali gus memastikan Kedah terus kekal berada dalam zon hijau.

“Sekatan jalan raya dikurangkan bermula hari ini dan tumpuan akan diberikan di pintu-pintu masuk ke Kedah kerana perjalanan rentas negeri masih belum dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Al-Quran Wakaf Kepada Barisan Hadapan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar.

-BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Pabuk dijangka landa Langkawi esok

ALOR SETAR, 4 JAN: Pulau Langkawi dan sekitar kawasan utara KEdah yang lain dijangka menerima tempias ribut tropika Pabuk, bermula esok.

Gambar: Berita Harian Online

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, ribut itu dijangka melanda pulau itu bermula jam 2 petang berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau berkata, semua penduduk dan pelancong di Langkawi dinasihat menjauhi kawasan pantai bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku, memetik Berita Harian online.

“Sebarang aktiviti membabitkan bot kecil, rekreasi dan menangkap ikan tidak digalakkan buat masa ini ekoran ombak yang dijangka tinggi esok.

“Anggota APM akan melakukan tinjauan di empat menara pantai iaitu di Pantai Chenang, Pulau Payar dan Pantai Pantai selain satu di Daerah Kuala Muda bagi memastikan keselamatan awam,” katanya.

Awang Askandar berkata, kesan Pabuk juga dijangka akan menyebabkan pokok tumbang dan angin kencang yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

“Penduduk perlu sentiasa berhati-hati terutama mereka yang tinggal di tepi laut kerana ribut ini dijangka kuat. Orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di talian 04-9663309 (Langkawi) dan 04-4235682 (Kuala Muda),” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Mangsa banjir kilat di Kedah meningkat kepada 550

ALOR SETAR, 10 OKT: Seramai 550 mangsa daripada 167 keluarga di tiga daerah di negeri ini dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir kilat yang melanda sejak Isnin lalu.

Menurut Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi, sehingga 7.30 pagi ini, sebanyak empat PPS dibuka di Kota Setar, lima di Baling dan satu di Kubang Pasu.

Di Kota Setar, seramai 138 mangsa daripada 41 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah sementara di PPS SK Gunung ada 79 mangsa merangkumi 30 keluarga, PPS Surau Aassyakirin (60 mangsa daripada 21 keluarga) dan PPS SK Suka Menanti (12 orang daripada 3 keluarga).

“Daerah Baling ialah di PSS Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom dengan 56 mangsa daripada 14 keluarga, PSS Dewan Batu 60 dengan 44 mangsa (12 keluarga) dan PPS Dewan Risda Kampung Tanjung Pari dengan 32 mangsa (9 keluarga).

“Sementara itu, di PSS Dewan Kampung Weng Luar di Mukim Siong dengan 31 mangsa (10 keluarga) dan PSS Dewan Orang Ramai Keda Batu 8 melibatkan 21 mangsa daripada enam keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, satu pusat pemindahan di Baling yang dibuka 3 petang semalam telah ditutup pada 8 malam tadi iaitu PSS SK Siong manakala di Kubang Pasu, satu pusat dibuka di PSS Lubuk Batu membabitkan 77 mangsa daripada 12 keluarga.

Imran berkata kejadian banjir kilat itu disebabkan hujan lebat yang melanda sejak Isnin.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Pemilihan Speaker DUN Kedah Julai ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 1 JUN: Pemilihan Speaker Dewan Negeri Kedah akan diputuskan Julai ini, demikian kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, kenyataan rasmi juga akan dibuat pentadbiran negeri itu, dalam tempoh terdekat.

“Ia berjalan dengan baik, dan tidak perlu dibimbangkan.

“Kita akan keluarkan kenyataan mengenainya nanti,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada sidang media Majlis Pakatan Harapan PAKATAN), hari ini.

Kedah sehingga kini masih belum menamakan Speaker Dewan Negeri itu, walaupun selepas hampir tiga minggu pelantikan Dato’ Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri mendapat perkenan Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Dilaporkan, persidangan pertama pentadbiran baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan diadakan awal Julai depan.

DUN Kedah menyaksikan pentadbiran PAKATAN berjaya membentuk kerajaan baru, selepas menang majoriti 18 daripada 36 kerusi DUN itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor bidas BN Kedah, ciplak dasar PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Kerajaan Selangor membidas Umno Barisan Nasional Kedah yang melancarkan manifesto serupa sebagaimana dasar yang sudah dilaksanakan pentadbiran negeri, sejak dua penggal lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, idea ‘menciplak’ dasar negeri itu membuktikan kelemahan parti itu untuk mentadbir Kedah dan Putrajaya, amnya.

“Di Selangor kita laksanakan IPR (Inisiatif Peduli Rakyat. Tetapi minggu lepas di Kedah, Menteri Besar Kedah lancar manifesto Barisan Nasional Kedah yang bertemakan Agenda Peduli Rakyat.

“Kalau Kedah nak ikut cara Selangor, baik serah sahaja kepada Kedah dan Putrajaya kepada Pakatan. Biar kita urus dan selesai semuanya,” seloroh Mohamad Azmin.

Beliau berkara demikian ketika berucap ada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memperkenalkan dasar baru Agenda Peduli Rakyat yang dilihat signifikan dengan pelaksanaan IPR Selangor.

Pelaksanaannya meliputi agenda berkebajikan hampir serupa sebagaimana yang sudah dilaksanakan pentadbiran Pakatan yang diterajui kepimpinan Mohamed Azmin.

Untuk rekod, IPR dilaksanakan di Selangor dengan memberi keutamaan kepada jaminan kebajikan rakyat yang lebih baik di bawah urus tadbir PAKATAN.

Antara keberkesanan dasar IPR termasuklah inisiatif pemberian air percuma, Bas Smart Selangor Percuma, akses kesihatan terbaik, wifi percuma dan banyak lagi.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Rakyat Kedah boleh buat perubahan, contohi Selangor dan Pulau Pinang

OLEH HAFIZAN TAIB

PADANG SERAI, 21 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) telah membuktikan mampu mentadbir Selangor dengan baik dalam tempoh singkat berbanding Umno-Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat Kedah mesti menolak Umno-BN dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti agar menikmati kehidupan dan masa depan lebih baik di bawah PAKATAN.

“Orang Kedah pernah melakukan satu kejutan (menukar kerajaan Umno-BN) pada 2008 (PRU12).

“Kita boleh teruskan tradisi itu kerana kuasa di tangan kita, bukan di tangan Perdana Menteri dan biar kita menentukan masa depan anak kita,” katanya dalam Ceramah Perdana Gelombang Biru Muda di Tapak Pasar Malam, Labu Besar di sini, malam tadi.

Ceramah itu adalah salah satu program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi mendekati rakyat menjelang PRU14.

Naib Presiden PAKATAN itu berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sendiri ketika mengumumkan manifesto Umno-BN untuk negeri itu mencontohi Selangor apabila menjadikan agenda peduli rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, sekiranya Kedah dan negeri lain ditadbir Umno-BN ingin mengikuti langkah dirintis Selangor, adalah lebih baik PAKATAN diberi ruang bagi mengambilalih pentadbiran negeri seterusnya Putrajaya.

“Agenda Inisiatif Peduli Rakyat kita laksanakan banyak memberi kebaikan kepada rakyat antaranya masyarakat kampung dikecualikan membayar cukai, skim peduli sihat, bas Smart Selangor dan sebagainya.

“Kalau rakyat Kedah nak bas Smart Kedah, boleh, lakukan perubahan, 10 Mei akan dapat ke Kedah” kata Dato’ Menteri Besar Selangor itu.

Beliau berkata, rakyat Kedah boleh menikmati keadaan sama dengan melakukan perubahan kepada pentadbiran negeri seperti mana Selangor kini dengan pelbagai kemajuan termasuk pelaburan domestik dan asing dari Asia, Timur Tengah serta Eropah.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Piala Malaysia: Bekas pemain ramal sengit, Kedah jadi pilihan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 NOV: Bekas pemain Selangor yang pernah bermain untuk pasukan kebangsaan meramalkan pertembungan pasukan Kedah dan Kelab Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan akhir TM Piala Malaysia Sabtu ini pasti sengit dengan peluang sama rata untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun bagi penyerang sensasi Selangor, Azman Adnan dan penyerang era 1990-an, Karim Pin memilih Kedah sebagai pasukan pilihan menjuarai Piala Malaysia.

“Sudah pasti satu perlawanan yang menarik dan berkualiti. Secara jujur pasukan pilihan saya lebih nampak kepada pasukan Kedah tetapi bukan mudah kerana JDT mempunyai pemain berkualiti.

“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku, walaupun saya jangka Kedah boleh menang tetapi tak mustahil JDT yang menang.

“Saya akui JDT sebuah pasukan kuat. Bukan sahaja pemainnya, fasiliti mereka juga memang terbaik di Malaysia dan Kedah pula bergantung kepada tiga import mereka di mana kalau tiga import mereka gagal bermain baik dalam perlawanan akhir nanti kemungkinan besar JDT mencipta kemenangan,” kata Azman kepada SelangorKini.

Beliau yang enggan meramalkan jumlah jaringan turut melahirkan keyakinan setiap pemain yang beraksi pada final nanti akan berjuang bermati-matian sehingga 200 peratus kerana bermain di perlawanan akhir merupakan peluang yang ditunggu-tunggu setiap pemain.

Karim Pin pula meramalkan keputusan perlawanan akhir kempen Piala Malaysia edisi ke-91 itu nanti bakal berkesudahan 2-1 dengan memihak kepada pasukan Kedah.

“Kedua-dua pasukan ada peluang kerana mereka adalah pasukan terbaik yang ada di Malaysia pada masa ini. Bagaimanapun JDT ada kelebihan kerana mereka menjuarai Liga Super empat tahun berturut-turut.

“Bagaimanapun saya rasa Kedah pun ada kelebihan juga. Peluang masing-masing 50/50 dan untuk perlawanan ini saya memilih Kedah menang 2-1,” katanya.

Sementara itu seorang lagi bekas pemain 1990-an Selangor yang merupakan antara ‘supersub’ terbaik yang pernah dimiliki pasukan kebangsaan, Anuar Abu Bakar, memilih JDT sebagai juara dengan jaringan 2-0.

“Saya rasa perlawanan akhir Kedah dan JDT nanti memang sengit. JDT lebih bergaya dan beremosi inginkan piala ini kerana tahun lepas mereka tak sasarkan piala ini tetapi tahun ini mereka inginkan kejuaraan ini.

“Kedah sebagai juara bertahan sudah tentu mahu mempertahankan kejuaraan. Saingan pasti hebat dan rancak dengan penonton seramai 80,000 dari Kedah dan Johor, saya fikir Stadium Shah Alam akan penuh dan meriah.

“Pilihan saya adalah JDT 2-0 berikutan prestasi JDT sekarang berada di tahap yang baik dan saya rasa JDT akan memenangi Piala Malaysia tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari turut sama menjangkakan satu perlawanan yang sengit pada perlawanan Sabtu ini.

“Kedua-dua mempunyai kelebihan masing-masing namun di segi prestasi semasa khususnya dalam pertandingan piala saya rasa Kedah mempunyai kelebihan.

“Bagaimanapun perlawanan akhir sentiasa mencabar dan sentiasa menjadi 50/50 kepada kedua-dua pasukan tetapi sebelum sepak mula saya boleh lihat prestasi semasa di mana Kedah boleh muncul juara tetapi Johor bukanlah asing, mereka mempunyai pemain bintang.

“Sudah pasti mereka mencabar akan cuba mendapatkan Piala yang belum pernah mereka menangi lagi setakat ini. Apa pun saya rasa Kedah boleh menang 2-0,” katanya.

Categories
SUKANKINI

TMJ: Utama penyokong, mereka nadi persatuan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 NOV: Kekecewaan sebahagian penyokong bola sepak Kedah yang gagal memperoleh tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mendapat simpati Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu melahirkan kekecewaaan terhadap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang dianggap baginda membelakangkan penyokong setianya.

Baginda bertitah, penyokong beratur dan datang memberi sokongan setiap kali perlawanan di Stadium Darul Aman tidak mendapat tiket menyaksikan perlawanan akhir tetapi sebaliknya individu tiada kena mengena dengan bola sepak memperolehnya melalui saluran tertentu.

“Saya dimaklumkan hingga 6,000 tiket ditempah pihak tertentu di dalam KFA. Saya amat kecewa dengan layanan KFA terhadap penyokong mereka dan saya harap individu seperti ini tidak perlu berada dalam persatuan bola sepak.

“Lebih baik berundur sahaja dan bagi orang yang layak mengutamakan penyokong dan dapat menjaga persatuan bola sepak dengan tulus,” titahnya dalam kenyataan media.

Malah di Johor, baginda bertitah, pihaknya hanya memberi 600 tiket sahaja untuk jemputan khas kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berbanding permohonan asal sebanyak 1,000 tiket.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bertitah, siasatan sedang dijalankan pihaknya ekoran terdapat makluman adanya individu tertentu yang cuba menjual tiket perlawanan akhir itu.

“Saya berharap semua persatuan dan kelab dapat belajar dari kesilapan ini kerana penyokong adalah nadi kepada persatuan dan kelab bola sepak,” titahnya.

Penyandang juara, Kedah akan menentang JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, di sini, Sabtu ini.

Difahamkan, sebahagian penyokong Kedah hampa kerana tidak mendapat tiket selepas beratur lama di kaunter Stadium Darul Aman, semalam, manakala hampir 10,000 tiket dikatakan habis dijual dalam tempoh 45 minit.

Categories
SUKANKINI

Penyokong Kedah mengamuk, serbu pejabat KFA, ugut lapor polis

ALOR SETAR 1 NOV: Ratusan penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dekat Stadium Darulaman hari ini bagi menyatakan kekecewaan mereka kerana tidak mendapat tiket perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

MSTAR ONLINE kesemua mereka bertindak sedemikian setelah dimaklumkan tiket telah habis dijual pada jam 10 pagi, walaupun empat kaunter baru dibuka sejam sebelum itu.

Keadaan itu menyebabkan para penyokong yang tidak berpuas hati mahu menyerbu pejabat KFA kerana mendakwa penerangan yang diberikan oleh persatuan itu agak meragukan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar memberitahu sebanyak 30,000 tiket diperuntukkan dan daripada jumlah itu 18,000 diperuntukkan kepada 400 bas, manakala lebih 3,000 tiket lagi kepada kelab gabungan, pasukan, exco KFA dan penaja.

“Hampir 10,000 tiket yang disediakan di empat kaunter habis terjual dalam tempoh 45 minit,” katanya.

Sementara itu, Shaik Annuar Shaik Ahmad Yusuff, 34, yang merupakan wakil penyokong berkenaan berkata dia mahu membuat laporan polis berhubung ketidaktelusan KFA dalam penjualan tiket tersebut.

“Saya bersama penyokong lain akan membuat laporan polis kerana penerangan yang diberikan oleh KFA meragukan. Tambahan pula, mengapa peruntukan tiket kepada ‘orang dalam’ lebih banyak berbanding kepada peminat.

“Mereka perlu ingat, penyokong-penyokong inilah yang sentiasa bersama pasukan Kedah dan bukannya ‘orang dalam’ itu. Kalau tiada penyokong, pasukan bola sepak Kedah tidak ke mana,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Darul Aman.

SUMBER: Mstar Online

Categories
NASIONAL

Mangsa banjir dipindahkan di Kedah meningkat

ALOR SETAR 13 OKT: Jumlah mangsa banjir kilat di Kedah sehingga jam 8 pagi ini terus meningkat kepada 175 orang berbanding 84 orang, malam tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kesemua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan di daerah Kota Setar iaitu membabitkan 53 keluarga.

Seramai 46 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Surau As Syakirin dan Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar pula menempatkan 55 mangsa daripada 17 keluarga, lapor BERNAMA.

Sementara itu, sebuah pusat pemindahan baharu telah dibuka pada pukul 9 malam tadi di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah yang menempatkan 74 mangsa daripada 23 keluarga manakala Maahad Darul Hasimie telah ditutup.

Pusat pemindahan baharu itu dibuka berikutan hujan sejak pukul 5 petang semalam namun pagi ini cuaca kembali cerah.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 1,991

ALOR SETAR, 26 SEPT: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Kedah meningkat kepada 1,991 orang pagi ini berbanding 1,983 orang malam tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di sini, pertambahan berlaku apabila ada mangsa-mangsa yang kembali semula di 13 pusat pemindahan di daerah Kota Setar.

Sehingga jam 8 pagi ini, 560 keluarga masih ditempatkan di 19 pusat pemindahan banjir di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Di Kota Setar, pusat pemindahan yang masih beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, Alor Setar membabitkan 347 mangsa, SK Seri Gunung (265 mangsa), SK Bukit Pinang (102 mangsa), Dewan Taman Sri Bagan (97 mangsa), Surau Pondok Kepala Bukit (88 mangsa), SK Alor Mengkudu (85 mangsa).

Selain itu, 79 mangsa ditempatkan di Surau Assyakirin, Kepala Batas, Masjid Kampung Lengkuas (46 mangsa), Dewan Wawasan Kampung Kelompang (39 mangsa), SK Suka Menanti (25 mangsa), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak (13 mangsa), Kampung Tok Pauh (12 mangsa ) dan SK Taman Aman seramai sembilan mangsa.

Sementara itu, mangsa banjir di daerah Pokok Sena, telah ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu di SK Bukit Hijau dengan 366 mangsa, Dewan Lubuk Keriang (35 mangsa) dan Dewan Kampung Permatang Limau seramai 15 orang mangsa.

Di Kubang Pasu membabitkan SK Kodiang Lama yang menempatkan 56 mangsa dan Dewan Tokong Cina yang dibuka semula menempatkan 32 mangsa.

Bagi daerah Pendang, hanya satu pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang menempatkan 280 orang daripada 77 keluarga.

Kenyataan itu berkata, dengan keadaan cuaca yang semakin baik dan aliran sungai yang lancar, keadaan banjir di negeri ini dijangka semakin surut.

SUMBER: BERNAMA