Categories
SELANGOR

Alinah Mahu Warga PJ Dapat Manfaat ‘Value For Money’

MBPJ Alinah Serah Tugas 01

PETALING JAYA 2 JAN : Datuk Bandar Petaling Jaya yang baru, Datin Paduka Alinah Ahmad berhasrat untuk memastikan agar warga Petaling Jaya mendapat manfaat melalui dasar ‘value for money’ di bawah pentadbiran beliau di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bercakap dalam ucapan sulungnya sewaktu Upacara Penyerahan Nota Serahan Tugas Datuk Bandar Petaling Jaya di Ibu Pejabat MBPJ, beliau berkata hasrat tersebut merupakan perkara penting yang harus dicapai.

“Saya sedar MBPJ merupakan antara PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) yang kukuh kedudukan kewangannya.

“Mempunyai kedudukan kewangan kukuh memang satu kelebihan tetapi yang lebih penting lagi bagaimana pengurusan kewangan itu.

“Inilah merupakan cabaran besar MBPJ dalam memastikan warga pembayar cukai MBPJ rasa berbaloi dan puas dengan apa yang mereka sudah sumbangkan,” tegas Datuk Bandar Wanita Pertama ini di hadapan Ahli-ahli Majlis MBPJ dan ketua-ketua jabatan MBPJ.

Berterima kasih kepada kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang banyak mendidik beliau erti ‘value for money’, Alinah menambah hasrat tersebut tidak akan tercapai melalui usaha beliau seorang sahaja sebagai Datuk Bandar tetapi memerlukan komitmen semua pihak.

“Saya amat yakin, dengan sokongan dan dorongan daripada Kerajaan Negeri terutama Menteri Besar serta seluruh warga kerja, kita pasti berjaya merealisasikan dasar tersebut.

“Ini bukan sekadar tugas dan tanggungjawab kita semua, tetapi ia merupakan satu amanah yang perlu kita laksanakan dengan telus dan jujur,” ujar wanita yang berusia 63 tahun ini.

Berasal daripada Johor, Alinah yang juga merupakan ibu kepada tiga anak ini berpengalaman luas bertugas di bawah Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sepanjang 24 tahun perkhidmatannya di sektor perkhidmatan awam.

Antara lain, beliau pernah bertugas di Unit Pelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) SUK, Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Ketua Penolong Setiausaha (UPEN) dan terbaru sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Nilai 128 Pangsapuri Untuk Skim CERIA Tahun Depan

ceria iskandar selayang 01

SELAYANG, 23 DIS : Hampir 128 pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor bakal menerima manfaat Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria) yang akan dilaksanakan tahun depan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, kesemua 128 pangsapuri itu berada di bawah fasa ketiga skim Ceria dan permohonan mereka perlu diluluskan terlebih dahulu.

Jumlah permohonan tersebut adalah penambahan yang ketara daripada fasa sebelumnya di mana 43 pangsapuri dibaikpulih dalam fasa kedua manakala 17 pangsapuri dibaikpulih di dalam fasa pertama.

ceria iskandar selayang 02

Beliau berkata, sehingga kini, sejumlah RM 12 juta telah dibelanjakan bagi menceriakan pangsapuri di Selangor dengan menggunakan peruntukan daripada tabung khas Skim Ceria.

“Saya berharap setelah siap projek ini, penduduk akan dapat menjaga kemudahan yang telah dibaiki dengan sebaik-baiknya.

?Tahun ini sahaja kita telah habis hampir RM 12 juta menggunakan tabung khas.

?Jika tahun depan wang ini sudah habis, makan kita akan tambah semula dan menggunakannya untuk menceriakan kawasan pangsapuri.

“Dalam pada itu, pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) juga telah menambah tenaga untuk melaksanakan projek Ceria ini.?

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Siap Kerja Ceria Fasa Pertama dan Kedua
serta Pelancaran Skim Rondaan Kejiranan Seroja di Pangsapuri Dahlia, Bandar Baru Selayang pagi tadi.

Dalam majlis itu, sebanyak tujuh kawasan pangsapuri di Bandar Baru Selayang dibaik pulih membabitkan kerja-kerja mengecat bangunan, membaiki bumbung, membaiki longkang dan mengganti railing tangga.

ceria iskandar selayang 03

Skim Ceria merupakan satu skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri kos rendah dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri.

Kerajaan Negeri akan bantu membiayai 80 peratus kos kerja dan selebihnya ditanggung penduduk.

Skim ini juga bertujuan menyemai rasa kepunyaan kepada setiap penduduk dalam menjaga dan menjamin harta bersama bagi tempoh masa yang panjang.

Dalam pada itu, Iskandar turut meningatkan penduduk supaya melunaskan bayaran penyelenggaraan di pangsapuri masing-masing supaya kerja baikpulih dapat dilaksanakan dengan cepat.

“Sekiranya penduduk gagal melunaskan bayaran, kita tidak teragak-agak untuk mendakwa mereka di mahkamah. Bagaimanapun, kita akan memberi kelonggaran kepada mereka untuk melunaskannya secara ansuran.”

Setakat ini terdapat 54 kes pembayaran yang tertunggak di mana 34 telah diselesaikan dengan mendapatkan akujanji daripada penduduk untuk membayar secara ansuran.

Manakala 20 masih belum selesai, kata Iskandar.

Categories
SELANGOR

Perlantikan Alinah Akan Memberdayakan Wanita

Datin Paduka Alinah Ahmad

SHAH ALAM 21 DIS : Perlantikan Datin Paduka Alinah Ahmad sebagai Datuk Bandar wanita pertama di Malaysia akan memperkukuhkan lagi usaha Kerajaan Selangor dalam pemberdayakan wanita.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknnologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata harapan wanita Selangor amatlah besar terhadap semua wanita yang menjawat jawatan-jawatan penting dalam sektor awam.

?Pengalaman dan dedikasi beliau dalam perkhidmatan awam di negeri Selangor serta keperihatinan beliau terhadap isu-isu wanita akan memberi impetus kepada usaha-usaha wanita di Selangor.

?Tahniah dan syabas di atas perlantikan julung kalinya seorang wanita menjawat jawatan tertinggi di peringkat Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) Bandaraya di negeri Selangor dan Malaysia,? kata Rodziah di dalam satu kenyataan media.

Pada 19 Dis, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perlantikan Alinah, yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Alinah akan memulakan tugas sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya bermula Jan 1 nanti.

Beliau sebelum ini pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Ketua ADO Kuala Langat, ADO Penguatkuasa Pejabat Daerah Petaling, Ketua Penolong Setiausaha Kewangan SUK dan Ketua Penolong Setiausaha ICU, Jabatan Perdana Menteri.

Alinah menggantikan Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang kini bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

?Semoga Datin Paduka Alinah Ahmad berterusan beroleh kejayaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri Selangor, khususnya untuk wanita,? kata Rodziah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

92% Pangsapuri Kos Rendah Terima Air Percuma

SHAH ALAM 21 SEPT : Sejak program pemberian air percuma dilancarkan pada Jun 2008, sehingga kini lebih satu juta penduduk yang menggunakan meter individu menikmati air percuma termasuk penghuni pangsapuri kos rendah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, usaha memastikan pemberian air percuma dapat dinikmati penghuni pangsapuri kos rendah dilakukan sejak Jun 2010 lagi dan akan di teruskan selagi Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

“Usaha tersebut dilakukan kerana kita tidak mahu rakyat miskin di rumah bertingkat kos rendah menjadi mangsa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang merumitkan proses penukaran meter pukal kepada individu.

“Antara lain kita mewujudkan Skim Safwa (Skim Rebet Air Percuma) untuk membolehkan penghuni pangsapuri kos rendah mendapat manfaat air percuma,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Rekabentuk Rumah Mampu Milik Selangor 2012 di sini petang tadi.

Sejak skim tersebut dilancarkan pada Julai 2010, sehingga Julai 2012 lebih RM 6 juta dibelanjakan untuk air percuma kepada penghuni pangsapuri kos rendah.

Rekod Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) juga melaporkan sebanyak 92 peratus atau 214 kawasan melibatkan 58, 049 unit pangsapuri kos rendah menerima air percuma menerusi Skim Safwa.

Manakala baki 18 kawasan atau 6, 666 unit lagi gagal melaksanakan tuntutan rebet air percuma kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) kekurangan tenaga kerja.

Katanya lagi, Skim Safwa turut ditambah baik menerusi ‘Lapor dan Dapat’ di mana setiap pangsapuri yang tercicir boleh terus mendaftar di Unit Pesuruhjaya Bangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membuat tuntutan secara terus kepada Syabas.

Bagi penghuni pangsapuri bukan kos rendah pula, mereka perlu memohon daripada Syabas untuk proses migrasi meter pukal kepada meter individu.

“Kerajaan Negeri turut menubuhkan pasukan khas bagi membantu proses migrasi ini bagi para penghuni pangsapuri bukan kos rendah untuk membantu melancarkan dan mempercepatkan proses tersebut,” ujarnya.

Mengulas saman terbaru yang dikemukakan terhadap Kerajaan Negeri berkenaan isu pemberian air percuma, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri menghormati hak rakyat Selangor untuk mendapatkan tindakan undang-undang.

“Kita akan kaji perkara ini tetapi kita percaya mereka ini telah diperdaya dengan maklumat palsu atau tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai program air percuma ini,” ujar beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tawaran Kepada Pembeli Blok E PJS1 Sudah Dibuat

SHAH ALAM, 5 SEPTEMBER : Kerajaan Negeri menjelaskan tawaran penyelesaian pemilikan rumah kos rendah telah dibuat kepada pembeli rumah Blok E PJS1 dalam pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 21 Julai lalu.

Sehubungan itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setingan, Iskandar Abdul Samad menafikan dakwaan Jawatankuasa Bertindak Pembeli-Pembeli Blok E PJS1 yang mengatakan Kerajaan Negeri belum memaklumkan kepada pembeli mengenai perkara itu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu Kerajaan Negeri memberikan penerangan dengan terang dan jelas malah semua pembeli diberi peluang secukupnya untuk berdialog dengan Menteri Besar.

“Sejak pertemuan tersebut Jawatankuasa Task Force yang dibentuk mengendalikan masalah ini bermesyuarat sebanyak dua kali iaitu satu mesyuarat ‘pre-council’ dan satu mesyuarat penuh. Ini tidak termasuk perbincangan tidak rasmi yang turut dilakukan.

“Perlu dijelaskan bahawa jawatankuasa bertindak pembeli-pembeli bukan ahli Jawatankuasa Task Force. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada wakil Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan; Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, dakwaan penduduk tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat diadakan adalah tidak benar kerana wakil persatuan penduduk dari masa ke semasa sentiasa berhubung dengan pihak Exco berkaitan.

Selain itu, Iskandar berkata pihaknya juga menerima surat daripada pembeli yang mendakwa mereka sebagai Persatuan Kebajikan Pembeli-Pembeli Blok E PJS1 yang mewakili 92 daripada 262 pembeli berdasarkan bilangan pembeli yang bersetuju untuk menerima tawaran rumah kos rendah Kerajaan Negeri di Lembah Subang 2.

“Menurut mereka persatuan penduduk hanya mewakili 112 pembeli berdasarkan bilangan pembeli yang bersetuju dengan cadangan meneruskan pembinaan Blok E. LPHS dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya diarah untuk menyiasat dakwaan ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Pelan Strategik LPHS Di Lancar

SHAH ALAM, 23 JUL : Dalam usaha memastikan pembangunan mampan dari sektor perumahan dan hartanah, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengambil pendekatan dengan melancarkan Pelan Strategik LPHS meliputi tahun 2012 hingga 2022.

Pelan strategik yang dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dewan Jubli Perak pagi tadi bertujuan menggariskan hala tuju dan menetapkan matlamat jangka panjang organisasi itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut Abdul Khalid, pelan itu turut merangkumi tugas dan visi LPHS yang memfokuskan kepada usaha untuk memastikan rakyat Selangor diberi kesempatan saksama memiliki kediaman sendiri.

“Rancangan kita ialah untuk mempunyai program kediaman bagi semua rakyat. Konsep yang kita perkenalkan merangkumi konsep kekeluargaan di mana semua orang diberi peluang untuk memiliki kediaman.

“Oleh itu, kita sentiasa galakkan golongan kurang berkemampuan untuk mendaftar di bawah skim rumah kos rendah supaya keutamaan boleh diberikan kepada mereka yang berkelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perhimpunan bulanan SUK di sini hari ini.

Selain pelancaran pelan strategik, Abdul Khalid turut merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-55.

Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim, Ketua Pengarah Eksekutif LPHS, Datin Padukan Alinah Ahmad dan ahli Exco Selangor.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga kini dalam usaha membantu para pembeli projek perumahan terbengkalai untuk mendapatkan semula hak mereka.

Jelasnya, projek itu meliputi Bukit Botak, Taman Alam Perdana di Kuala Selangor dan Kampung Berembang Indah, Ampang.

“Program setinggan sifar pada zaman BN bukan bertujuan menyelesaikan masalah perumahan setinggan atau peneroka bandar tetapi mengaut keuntungan.

“Akibatnya banyak projek perumahan terbengkalai dan disiapkan tidak ikut spesifikasi menyebabkan kehidupan peneroka bandar tidak berubah,” jelasnya.

Tempat Letak Kereta Jadi Sarang Penagih, Stor Barang

 

PANDAN 21 MEI: Dua buah tempat letak kereta bertingkat di Taman Pandan Indah Commercial Park di sini yang dibiarkan tanpa kawal selia dan penyelenggaraan sempurna menyukarkan penduduk setempat menggunakan kemudahan awam berkenaan.

Tinjauan pihak media bersama Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad mendapati, kedua-dua tempat letak kereta itu telah dijadikan sebagai stor menyimpan barang perniagaan.

Penduduk setempat juga khuatir bangunan yang terletak di Jalan 6/2 dan Jalan 6/7, menjadi sarang penagih dadah dan kaki botol.

Lebih mengejutkan, tingkat dua tempat letak kereta di Jalan 6/7 telah dipagar bagi menghalang mana-mana individu meletakkan kenderaan.

Terdapat juga beberapa dinding luar bangunan itu telah dipecahkan dan tingkat bawahnya dijadikan tempat meletakkan teksi.

Menurut Iskandar, dahulunya tempat ini pernah dijadikan sebagai pusat kitar semula sampah sarap namun atas desakan penduduk operasi tersebut berjaya ditamatkan.

Jelas beliau, masalah ini menjadi lebih besar apabila pemaju asal memaklumkan bangunan ini telah dijual kepada pemilik yang baru.

Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan pemilik baru tersebut namun beliau telah dihubungi pihak berkenaan dan akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat.

Apa yang penting katanya, bangunan ini perlu kekal sebagai tempat letak kenderaan meskipun telah dijual kepada pemilik baru.

“Kalau ikut kebenaran merancang, tempat letak kereta tetap menjadi tempat letak kereta kecuali kalau ada permintaan daripada penduduk atau pihak lain, kita perlu lihat dan kaji dengan teliti.

?Setakat ini masih kekal sebagai tempat letak kereta,” Katanya yang juga Adun Taman Cempaka.

Terdapat 1,580 tempat letak kereta di kawasan itu termasuk bangunan yang bertingkat.
Iskandar akan meminta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberikan maklum balas siapa yang akan uruskan tempat letak kereta ini supaya dapat beroperasi dengan lebih tersusun.

Selain itu, Iskandar juga berkata 19 pemilik blok di dalam Taman Pandan Indah Commercial Park akan mendapat hak milik strata selepas mereka jelaskan pembayaran cukai tanah.

Di dalam satu mesyuarat minggu lalu, pemaju taman komersial tersebut telah bersetuju untuk membuat permohonan bagi hak milik strata setelah pemilik menjelaskan cukai tanah.

“Itu kita berikan kepada penduduk untuk selesaikan bayaran cukai tanah mereka.

?Apabila mereka membayar sahaja, dalam masa dua minggu pihak pemaju akan hantar permohonan untuk mendapatkan hak milik serata.?