Categories
AGENDA NASIONAL

CUEPACS mohon bantuan khas Aidilfitri bagi penjawat awam, pesara

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Presidennya Adnan Mat berkata bantuan berkenaan yang lazimnya diberikan setiap tahun, wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam di samping meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan itu.

“Pemberian ini juga wajar diberikan memandangkan kali terakhir penjawat awam menerima bonus ialah pada 2012 dan selepas tahun tersebut penjawat awam hanya menerima bantuan khas kewangan sahaja,” katanya.

Adnan berkata pihaknya juga telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar dipertimbangkan perkara itu.

Beliau turut berharap kerajaan negeri memberikan bantuan serupa kepada penjawat awam yang bertugas di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan serta semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Adnan berkata pihaknya turut meminta semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan sekiranya kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

Ini memandangkan kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri, tegasnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majikan digesa didik pekerja manfaat suntikan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa para majikan untuk mendidik dan menggalakkan pekerja mereka mengenai manfaat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata majikan memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan untuk memastikan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi meningkatkan keyakinan ke arah pemulihan ekonomi yang lebih pantas.

“MEF ingin menasihatkan semua pekerja terutamanya mereka yang tinggal di asrama pekerja untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 dan kami yakin majikan akan melaksanakan vaksinasi terhadap pekerja mereka seperti yang dikehendaki kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Syed Hussain berkata kunci bagi menjayakan imuniti kelompok dengan lebih 80 peratus penduduk yang tinggal di Malaysia adalah pelaksanaan program vaksinasi yang berjaya.

“Sebagai majikan yang bertanggungjawab, kita perlu memberi penerangan kepada kakitangan kita mengenai manfaat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kita boleh mendapatkan sokongan daripada Kementerian Kesihatan sekiranya diperlukan,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: NIOSH minta majikan perhalusi semula risiko tempat kerja

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) meminta majikan supaya memperhalusi semula penilaian risiko dan menambah baik prosedur kerja bagi industri berisiko tinggi dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di tempat kerja.

Pengerusinya Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata tindakan itu penting terutama bagi industri yang berisiko mendedahkan pekerja secara langsung dengan pesakit atau pelawat yang bergejala.

“Majikan perlu bertanggungjawab dan prihatin ke atas keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Terutama yang menggaji pekerja bukan warganegara, majikan perlu memastikan pekerja menjalani saringan swab test (ujian calitan) terlebih dahulu dan hanya mereka yang negatif sahaja dibenarkan bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, majikan juga perlu sentiasa memantau kemudahan tempat tinggal, penjarakan fizikal dan pematuhan tatacara operasi piwai (SOP) di tempat kerja antaranya pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan.

Beliau turut mengingatkan majikan dan pekerja supaya mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKPP) 1994 serta semua undang-undang berkaitan pekerjaan selain mengamalkan langkah kawalan kendiri yang ketat untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

“NIOSH ingin menyeru agar kita semua dapat bersama-sama dalam mengharungi saat sukar ini secara kolektif dan membantu pihak kerajaan menurunkan kadar jangkitan kepada dua digit dan akhirnya mencapai angka sifar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan wajib pastikan pekerja asing jalani saringan Covid-19 mula 1 Jan 2021

PUTRAJAYA, 21 DIS: Semua majikan diwajibkan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Januari 2021 bagi menangani penularan pandemik itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kos bagi ujian saringan itu akan ditanggung oleh majikan.

“Bagaimanapun, bagi pekerja asing yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ujian saringan boleh dibuat di klinik-klinik yang dilantik oleh Perkeso,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dijangka dikuatkuasakan dalam masa terdekat dan mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan digesa sedia penginapan selesa pekerja, patuhi syarat

KAJANG, 21 DIS: Majikan digesa mematuhi syarat Akta 446 dengan menyediakan penginapan selesa kepada pekerja tidak kira warga asing atau tempatan untuk menjaga kebajikan pekerja mereka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan majikan yang gagal mematuhi spesifikasi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Saya memberi amaran kepada semua majikan supaya membela nasib pekerja dengan menyediakan tempat penginapan selesa dan mengikut kapasiti ditetapkan. Jika permohonan penginapan adalah untuk 100 pekerja, maka hanya 100 orang dibenarkan tinggal di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan Kementerian Kesihatan (KKM) di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Batu 13, Jalan Cheras, di sini hari ini.

Saravanan berkata majikan yang tidak memiliki perakuan penginapan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Menurutnya majikan yang disabitkan kesalahan juga boleh disenaraihitamkan daripada mengambil pekerja asing.

Sementara itu, Saravanan berkata permohonan penginapan pekerja oleh majikan tidak akan diluluskan selagi pemeriksaan terhadap kawasan penginapan tersebut tidak menepati syarat ditetapkan.

Mengenai operasi di kilang yang mempunyai 781 pekerja dengan 759 daripadanya warga asing dan 22 warga tempatan itu, Saravanan berkata penginapan pekerja berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan kesemua pekerja asing di kilang itu belum membuat ujian saringan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Siswazah utamakan gaji, bonus dalam pilihan majikan – tinjauan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Tinjauan yang dijalankan oleh syarikat pengambilan siswazah, Talentbank, baru-baru ini mendapati siswazah lelaki dan wanita di negara ini mengutamakan gaji dan bonus dalam pilihan pekerjaan mereka.

Tinjauan mendapati gaji dan bonus adalah pilihan utama daripada lima keutamaan yang dicari oleh mahasiswa di tempat kerja ideal mereka, selain peluang pengembangan kerjaya, bos dan pemimpin yang baik, peluang belajar dan pembangunan, budaya syarikat yang baik dan waktu kerja yang fleksibel.

Pengasas Talentbank Ben Ho berkata kebanyakan siswazah berkongsi pendapat bahawa mereka menjangkakan gaji permulaan antara RM2,500 dan RM3,500 dalam pekerjaan pertama serta elaun latihan praktikal RM1,000 sebulan.

“Namun, responden lelaki memilih pengembangan kerjaya sebagai keutamaan kedua, sementara responden wanita mencari bos dan pemimpin yang baik,” kata Ben dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan dilakukan oleh syarikat pengambilan pekerja itu melibatkan lebih 24,000 pelajar yang memilih dalam Anugerah Pilihan Graduan Tahunan (GCA) ketiga, yang mana mereka turut memilih 10 Majikan Pilihan Graduan Untuk Bekerja 2021 – Maybank, Google, Microsoft Malaysia, Petroliam Nasional Berhad, Shopee Malaysia, Intel Malaysia, CIMB, Shell Malaysia, Celcom Axiata Berhad dan PwC Malaysia.

Pelajar dari universiti awam dan swasta di seluruh Malaysia memilih jenama majikan pilihan yang paling menarik untuk bekerja daripada senarai 700 syarikat di 35 industri dalam survei selama 12 bulan yang dijalankan dari 1 September 2019 hingga 31 Ogos 2020.

Ho berkata selain menyedari komitmen yang dibuat oleh majikan, anugerah berprestij itu juga menjadi rujukan bagi siswazah baru untuk membantu mereka membezakan kelebihan syarikat tersebut ketika mereka memohon pekerjaan pertama setelah tamat pengajian.

“Kepentingan imej jenama majikan yang hebat tidak boleh dipandang rendah. Ini membantu organisasi untuk menjadi tarikan kepada bakat yang tepat,” katanya.

Survei GCA keempat kini dibuka dari 1 September tahun ini hingga 30 Jun 2021 untuk para pelajar universiti dan graduan dengan kad pengenalan pelajar yang sah untuk mengundi Jenama Majikan Terbaik di www.award.com.my/vote.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Karnival Kerjaya Subang Jaya: Lebih 100 organisasi, IKS tawar peluang kerja

SHAH ALAM, 6 NOV: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya bakal menganjurkan karnival kerjaya membabitkan penyertaan lebih 100 syarikat kecil dan sederhana (IKS) serta organisasi.

Program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berlangsung melalui dua kaedah iaitu secara virtual dari 19 hingga 21 November dan fizikal pada 28 November di tingkat tiga, Pusat Beli-belah Da Men USJ.

Syarikat terlibat menawarkan peluang pekerjaan terkini untuk golongan pendapatan rendah (B40), pendapatan sederhana (M40), pekerja yang diberhentikan, graduan baharu dan orang kelainan upaya (OKU).

Webinar akan disiarkan secara langsung selama tiga hari mengenai jawatan kosong oleh majikan, tip kerjaya dan taklimat komprehensif Penjana Kerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, pencari kerja turut berpeluang berinteraksi dengan syarikat dan organisasi berkaitan menerusi aplikasi kotak sembang (chat box).

Lebih menarik, majikan terlibat layak menerima subsidi gaji selama enam bulan daripada kerajaan untuk setiap pekerja baharu, pembiayaan penuh Perkeso untuk menghantar kakitangan baharu menghadiri kursus dan menerima elaun latihan sebanyak RM30 sehari bagi setiap pekerja.

Bagi pekerja baharu pula, mereka akan diberikan baucar membeli-belah percuma daripada Da Men USJ, latihan kemahiran BG Capital Holdings tanpa dikenakan sebarang bayaran dan sijil kemahiran.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://forms.gle/Qhcg19G3XTyjinqt7(majikan) dan https://forms.gle/z3v1w8MeTiLSp6Ve7 (calon pekerja) sebelum 15 November 2020.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu kanak-kanak tanpa IC antara tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Isu kewarganegaraan untuk anak-anak tanpa kad pengenalan (stateless children) antara yang bakal mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) kepada Menteri Dalam Negeri, antara lain berkaitan pelan kerajaan untuk memudah dan mempercepatkan proses mendapatkan status kewarganegaraan untuk golongan berkenaan.

Turut dibangkitkan dalam sesi itu adalah pertanyaan daripada Shaharizukirnain (Shaharizukirnain) Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai status pelaksanaan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat awam yang berkhidmat selama 15 tahun seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2020.

Usai sesi tersebut, tumpuan dijangka terarah kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan antara dijangka menjadi perhatian adalah soalan daripada M. Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) yang ingin tahu jumlah majikan yang diluluskan di bawah Program Subsidi Upah serta telah menyalurkan subsidi itu tanpa memberhentikan pekerja.

Selain itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pula ingin tahu langkah kerajaan dalam memperkenalkan dasar baharu terhadap pengambilan pekerja asing bagi menghapuskan pendatang tanpa izin.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia termasuk pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk Ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Semak ketulenan dokumen ujian Covid-19 pekerja asing

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Majikan yang ingin menggajikan pekerja warga asing diingatkan supaya menyemak ketulenan dokumen ujian saringan Covid-19 yang dikemukakan dengan pejabat kesihatan.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DCP Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata perkara itu penting untuk mengelakkan wujud kluster baharu disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab warga asing memalsukan dokumen kesihatan mereka.

“Mereka (majikan) perlu memeriksa dengan pejabat kesihatan dan memastikan butiran laporan kesihatan serta nama bakal pekerja itu sama seperti yang ada dalam rekod kesihatan yang sah, untuk mengelakkan wujud kluster baharu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes sindiket yang mengeluarkan dokumen palsu ujian saringan Covid-19 kepada warga asing.

Jelasnya, setakat ini pihak JSJK Bukit Aman menerima empat laporan pemalsuan ujian kesihatan Covid-19 dengan setiap dokumen berkenaan dijual pada harga RM50 kepada warga asing.

Tambahnya, Bukit Aman akan sentiasa mengadakan pemantauan dan siasatan bersama dengan polis Kuala Lumpur bagi membanteras kegiatan itu.

Bernama sebelum ini melaporkan tujuh lelaki warga Bangladesh, berumur 26 hingga 30 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan, ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan memalsukan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majikan digesa ikut syarat mohon PSU, ERP – Perkeso

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkesa) mengingatkan majikan mengikuti syarat serta berlaku jujur sewaktu mengemukakan permohonan bagi Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataan berkata majikan diminta untuk tidak memasukkan pekerja  tidak berdaftar dengan pertubuhan itu sebelum 1 April 2020, atau nama pekerja tidak wujud.

“Bagi majikan membuat permohonan PSU yang mana pekerja mereka tidak berdaftar dan mencarum dengan Perkeso sebelum 1 April 2020 walaupun bekerja sebelum tarikh itu, senarai majikan berkenaan dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan Perkeso untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan mengenai status mingguan permohonan dikeluarkan semalam.

Beliau berkata sehingga kelmarin, Perkeso menerima 278,505 permohonan bagi PSU daripada majikan mewakili 2.24 juta pekerja sejak permohonan itu dibuka pada 1 April 2020.

Bagi ERP pula, katanya, Perkeso menerima 33,264 permohonan daripada pihak majikan mewakili 296,718 pekerja.

Seperti diumumkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan, permohonan bagi ERP masih lagi dibuka mendapat peruntukan tambahan RM120 juta serta memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja.

Permohonan subsidi itu boleh dibuat melalui prihatin.perkeso.gov.my. atau boleh berhubung dengan Perkeso melalui e-mel [email protected] atau di laman sosial Facebook di www.facebook.com/PERKESO.Official/ atau di talian 03-8091 5100 / 03-4264 5555 / 1-300-22-8000.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lapor polis jika majikan bukan perkhidmatan perlu paksa kerja

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Laporan polis boleh dibuat terhadap majikan yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu yang masih beroperasi dan mengarahkan pekerja hadir bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam soalan lazim melibatkan kementerian itu berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan berkata jika majikan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan itu, ia adalah satu kesalahan jenayah.

“(Kesalahan) di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” menurut KSM.

Sementara itu, KSM berkata majikan dalam perkhidmatan perlu pula harus mengurangkan bilangan petugas yang hadir bekerja kepada tahap paling minimum atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah semasa, dalam tempoh itu.

Menurut kementerian itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac dalam usaha menangani wabak Covid-19, majikan juga perlu memastikan pergerakan pekerja terbabit dihadkan.

Perkara ini berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Tambah KSM, majikan juga perlu menyediakan alat saringan suhu badan, mengambil bacaan suhu badan pekerja setiap hari serta memastikan pekerja mematuhi prosedur pencegahan Covid-19.

Selain itu, majikan hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman, melaksanakan proses sanitasi dan pembersihan perlu serta memastikan garis panduan amalan terbaik penjarakan sosial disediakan dan dilaksanakan.

Tegas KSM, majikan tersenarai dalam perkhidmatan perlu, berhak untuk tidak membayar gaji pekerjanya jika didapati enggan bertugas sepanjang tempoh ini.

KSM menyatakan majikan wajib membayar gaji penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan pekerja bergaji harian dibayar mengikut kadar upahan yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja di dalam surat tawaran atau kontrak perkhidmatan atau surat kenaikan gaji terkini.

“Untuk pekerja yang upahnya tidak tetap maka kadar hariannya hendaklah tidak kurang daripada kadar gaji minimum seperti dalam Perintah Gaji Minimum 2020,” kata KSM.

Dalam tempoh itu juga, majikan boleh meminta pekerjanya untuk menjalankan kerja bersesuaian dari rumah, dan perlu membayar gaji pekerja berserta elaun yang berkaitan hendaklah dibayar.

KSM berkata sekiranya majikan enggan membayar gaji dalam tempoh tersebut, pekerja boleh mengemukakan aduan secara dalam talian melalui e-mel rasmi Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Majikan juga wajib membayar upah atau gaji pekerja di luar skop Akta Kerja 1955 / Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) / Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) kerana perkara ini telah termaktub dalam kontrak perkhidmatan yang dipersetujui antara majikan dan pekerja,” kata KSM.

Jelas KSM, majikan tidak boleh memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji pekerja sepanjang tempoh ini kerana perintah telah dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sebarang pertanyaan berhubung isu majikan dan pekerja boleh berurusan dengan Bilik Gerakan Pemantauan Pekerjaan COVID-19 KSM, menghubungi talian 03-8889 2359 / 8886 2409 / 8890 3404 atau e-mel [email protected] ; [email protected] ; [email protected]

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perintah Kawalan: Majikan digesa tidak tekan pekerja – MTUC

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa majikan tidak mengambil kesempatan terhadap pekerja mereka yang kehilangan pendapatan hasil kerja lebih masa dan komisyen susulan penularan wabak Covid-19

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata penutupan perniagaan tidak penting mulai 18 hingga 31 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan perlu dibuat berasaskan gaji dibayar kerana majikan mempunyai pilihan melakukan persediaan bagi kakitangan bekerja dari rumah.

“Pekerja hendaklah dilayan seperti rakan kongsi dan majikan perlu melengkapi usaha kerajaan mengekalkan keselamatan dan keharmonian sosial dan bukannya mengambil tindakan tidak wajar yang boleh mencetuskan kekacauan dalam negara” menurutnya dalam satu kenyatan di sini.

Beliau berkata majikan tidak boleh bergantung kepada Manfaat Penamatan Kerja dan Pemberhentian Sementara kerana Perintah Kawalan Pergerakan bukan situasi di mana majikan tidak memberikan tugas kepada pekerja bagi tempoh sekurang-kurangnya 12 hari bekerja biasa dalam masa empat minggu berturut-turut.

“Sebaliknya, ini adalah situasi di mana majikan diarah kerajaan untuk menutup perniagaannya atas sebab-sebab kesihatan dan keselamatan. Oleh itu, majikan tidak boleh bergantung kepada Manfaat Penamatan Kerja dan Pemberhentian Sementara untuk memecat pekerja.

“Gaji juga tidak sepatutnya dipotong atau melakukan kerja lebih masa tanpa bayaran, cuti mingguan atau tahun dikurangkan susulan penutupan wajib selama 14 hari susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelamatkan nyawa rakyat,” katanya.

Beliau berkata majikan yang bergantung secara salah terhadap force majeure, atau doktrin kekecewaan kontrak atau manfaat penamatan kerja dan pemberhentian sementara atau cuba berunding dengan pekerja untuk membayar balik tempoh 14 hari itu boleh disifatkan sebagai kecuaian, salah laku dan perilaku yang bercanggah dengan kepentingan semua pihak berkepentingan dan negara.

Solomon berkata penting majikan mempamerkan patriotisme susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan mereka yang tidak mematuhinya berdepan pendakwaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan, berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun dan/atau denda.

“Menjadi obligasi moral untuk majikan sektor swasta yang bukan tergolong dalam perkhidmatan penting untuk menutup perniagaan mereka dari 18 hingga 31 Mac untuk membantu usaha kerajaan membendung penularan wabak koronavirus.

“Lebih cepat mereka patuh, lebih cepat kita boleh melangkah ke depan. Jika tidak, tindakan mereka boleh ditafsirkan sebagai satu subversi atau mensabotaj inisiatif kerajaan untuk memastikan rakyat dan keluarga mereka mampu mengharungi krisis global ini,” katanya.

-BERNAMA