Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taska daftar bawah JKM dibenar operasi, patuhi SOP – KPWKM

PUTRAJAYA, 13 JAN: Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan kebenaran beroperasi taska tersebut adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Bagaimanapun, kebenaran beroperasi ini adalah terbatal sekiranya terdapat arahan terkini daripada pihak berkuasa,” menurut KPWKM dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas mengumumkan PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula hari ini hingga 26 Jan.

PKPB pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak berada di bawah PKPP bagi tempoh sama.

KPWKM memberitahu setiap taska diwajibkan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 yang diterbitkan KPWKM serta diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua pengusaha taska diminta memaklumkan kepada JKM mengenai rancangan beroperasi,” menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan pengusaha taska di premis kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri harus memohon kebenaran daripada kementerian atau agensi berkaitan terlebih dahulu.

“KPWKM juga akan mempertingkatkan pemantauan terhadap semua taska berdaftar yang beroperasi semasa PKP bagi memastikan setiap tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi,” menurut kenyataan itu lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: LZS had operasi 13 cawangan di sembilan daerah

SHAH ALAM, 13 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengehadkan operasi hanya 13 cawangan di sembilan daerah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hari ini.

LZS berkata cawangan tersebut termasuk Seksyen 13 Shah Alam, Kompleks UTC Shah Alam, Subang Jaya, Kompleks Mais Klang, Banting, Bandar Baru Salak Tinggi, Bandar Baru Bangi, Bandar Baru Ampang, Selayang, Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor dan Sungai Besar.

“Waktu operasi mulai jam 10 pagi hingga 2 petang manakala di Kompleks UTC Shah Alam dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Penangguhan operasi ini tidak menjejaskan agihan bantuan bulanan sebaliknya asnaf sedia ada tetap menerima bantuan seperti biasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

LZS menambah, orang ramai yang ingin membuat semakan bantuan dan cetakan penyata bayaran zakat boleh melayari http://ezo.zakatselangor.com.my.

Pembayaran zakat pula boleh dilakukan melalui transaksi dalam talian dengan melayari http://fpx.zakatselangor.com.my atau menerusi perbankan internet.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau melalui webchat di portal http://www.zakatselangor.com.my atau e-mel ke [email protected].

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Perkhidmatan rel, bas Prasarana terus operasi, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Perkhidmatan rel urban dan bas henti-henti kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tetap beroperasi seperti biasa bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Prasarana dalam kenyataan semalam memaklumkan perkhidmatan itu termasuk rel dan bas Rapid KL di Kuala Lumpur dan Selangor; Rapid Penang di Pulau Pinang dan Seberang Prai; Rapid Kamunting di Taiping, Perak; serta Rapid Kuantan di Pahang.

Selain itu, perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel akan beroperasi seperti jadual sedia ada dengan masa menunggu antara 2.8 dan tujuh minit bergantung kepada waktu puncak.

“Penumpang diingatkan agar sentiasa patuh kepada arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengamalkan norma baharu ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada media sosial kendalian Prasarana,” menurut kenyataan itu.

Prasarana turut menggalakkan pengguna Rapid KL menggunakan aplikasi PULSE untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan rel dan bas, yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple Store.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja pembinaan kritikal boleh diteruskan sepanjang PKP – KKR

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dalam sektor pembinaan, semua kerja pembinaan di enam negeri yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Selangor, Pulau Pinang dan Sabah, perlu dihentikan sepanjang tempoh PKP yang bermula esok.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagaimanapun terdapat pengecualian diberikan ke atas kerja pembinaan tertentu yang dikategorikan dalam senarai Perkhidmatan Perlu bagi memastikan kelangsungan sektor berkenaan.

“Terdapat lima kategori dalam sektor pembinaan yang diberikan pengecualian iaitu kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal; kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam utama; kerja pembinaan bangunan; perkhidmatan profesional atau perunding dan serta perkhidmatan lain di dalam rantaian bekalan seperti bekalan bahan binaan, penghantaran bahan dan sebagainya

“Maklumat terperinci jenis-jenis kerja ini akan dinyatakan dengan jelas di bawah tatacara operasi piawai (SOP) sektor pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 dari tapak bina ke komuniti setempat, kawalan pergerakan keluar masuk pekerja binaan ke tapak pembinaan dan penginapan pekerja (CLQ) juga perlu diambil berat.

“Kontraktor perlu menyediakan pengangkutan terhad untuk membawa pekerja dari CLQ ke tapak bina dan balik ke CLQ tanpa persinggahan ke lain-lain tempat.

“Oleh itu, kontraktor perlu memastikan semua keperluan harian pekerja di tapak pembinaan termasuk makanan dan keperluan pembersihan diri disediakan sepenuhnya bagi mengelakkan pekerja mereka perlu ke kedai runcit atau gerai makanan yang akan menyebabkan pergaulan berlaku dengan penduduk setempat,” katanya.

Semua pekerja binaan juga tidak dibenarkan berpindah dari satu tapak bina ke satu tapak bina yang lain sepanjang tempoh PKP ini bagi mengelakkan penularan wabak dari satu tapak pembinaan ke tapak yang lain.

“Pegawai Penguasa Projek adalah bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan SOP sepenuhnya apabila kerja-kerja pembinaan dijalankan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Bagaimanapun, kebenaran beroperasi untuk semua kategori syarikat pembinaan yang terlibat dengan sesuatu projek, perlu diperolehi dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal CIMS MITI (COVID-19 Intelligent Management System) di ruangan ‘notifications miti.gov.my’.

Sebarang pertanyaan mengenai operasi sektor pembinaan sepanjang PKP boleh diajukan kepada CIDB Careline di talian 03-5567 3300 (Isnin hingga Jumaat dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang)

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jentera pentadbiran tidak terkesan pengumuman darurat – KSN

PUTRAJAYA, 12 JAN: Jentera pentadbiran negara tidak terkesan dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat kerana segala operasi dalam sektor awam dan swasta, yang merangkumi aktiviti ekonomi, industri serta rantaiannya, berjalan seperti biasa dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuat kuasa.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata situasi itu berbeza dengan Proklamasi Darurat pada 1969, yang disebabkan oleh ancaman keselamatan dan menyebabkan pengawalan ketat anggota keselamatan negara bagi menangani keadaan tegang pada ketika itu.

Mohd Zuki berkata Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada waktu ini adalah untuk mengekang ancaman penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan sekali gus berisiko tinggi menggugat tiga asas utama dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Pendekatan ini akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan rakyat yang makmur dan sejahtera,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Mohd Zuki memberi jaminan bahawa anggota perkhidmatan awam akan terus memberikan komitmen dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan undang-undang dan dasar kerajaan yang diputuskan dari semasa ke semasa.

“Saya dan perkhidmatan awam akan terus menjunjung taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan menyokong Pengisytiharan Proklamasi Darurat dengan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan. Jawatankuasa itu akan mengesyorkan kepada Seri Paduka sekiranya pelaksanaan darurat itu dapat ditamatkan lebih awal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Taska Genius Perpaduan dibuka berperingkat mulai hari ini

PUTRAJAYA, 3 JAN: Taska Genius Perpaduan di seluruh negara dibuka secara berperingkat bermula hari ini mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan Taska Genius Perpaduan di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu mula beroperasi hari ini, manakala di Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Daerah Jempol di Negeri Sembilan, akan dibuka esok.

Di Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan, taska berkenaan akan mula beroperasi pada 15 Januari.

Taska Genius Perpaduan di Labuan pula akan dibuka pada 11 Januari dan semua guru dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan bertugas seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan.

“Pembukaan Taska Genius Perpaduan diharapkan akan dapat membantu ibu bapa yang memulakan waktu kerja secara normal dan memerlukan penjagaan anak-anak semasa mereka berada di tempat kerja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Taska Genius Perpaduan diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), mengamalkan norma baharu dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UOB Malaysia Kepong kembali operasi, jamin langkah selamat

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) cawangan Kepong kembali beroperasi setelah berunding dan menerima panduan yang diperlukan daripada pihak berkuasa kesihatan.

Bank itu menutup sementara cawangan berkenaan, termasuk kemudahan perbankan layan diri untuk kerja pembersihan dan nyahkuman pada 22 dan 23 September 2020 berikutan pihak berkuasa kesihatan memaklumkan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Sehubungan itu, usaha pengesanan kontak rapat dijalankan.

“Semua kakitangan dan pelanggan yang berhubung rapat dengan kakitangan yang terlibat di cawangan itu telah diuji dan dikuarantin,” menurut bank itu dalam kenyataan hari ini.

Bank berkenaan memberi jaminan kepada pelanggan dan kakitangannya bahawa langkah berjaga-jaga seperti yang disarankan kerajaan akan terus dilaksanakan di semua premis UOB, termasuk semua cawangannya, bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Ini termasuk menasihatkan semua kakitangan dan pelanggan UOB yang kurang sihat atau yang perlu menjalani kuarantin untuk kekal di rumah sehingga langkah susulan selanjutnya daripada pihak berkuasa kesihatan.

Bank itu juga menggalakkan pelanggan untuk terus menggunakan perkhidmatan perbankan digitalnya, termasuk Perbankan Internet Peribadi UOB, Perbankan Internet Peribadi Plus UOB dan aplikasi mudah alih UOB Mighty.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS perlu bantuan kewangan, sokongan terus bertahan

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro memerlukan lebih banyak dasar sokongan untuk terus bertahan, demikian menurut RAM Ratings.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata berdasarkan kaji selidik terkini Keyakinan Perniagaan RAM, ekonomi terus mencatat prestasi lemah dengan prospek yang tidak menentu untuk tempoh tiga bulan akan datang.

“Keseluruhan Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) bagi suku ketiga 2020 mencecah paras rendah 33.7. Ini jauh di bawah mata neutral iaitu 50 dan mencerminkan gangguan yang melanda perniagaan kecil di tengah-tengah pandemik Covid-19,” katanya.

Tambahnya, hampir 90 peratus daripada responden kajian menyifatkan keadaan ekonomi yang lemah sebagai cabaran paling signifikan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan usaha yang baik untuk membantu PKS dan perusahaan mikro semasa pandemik itu.

“Ini termasuk moratorium pinjaman dengan 86 peratus daripada responden kajian telah menerima tawaran ini. Daripada jumlah itu, hampir 90 peratus memerlukan tempoh lanjutan selepas tamat tempoh (moratorium) pada 30 September ini berikutan kekangan aliran tunai,” katanya.

Katanya, lebih separuh daripada syarikat yang menyertai kaji selidik itu menyatakan, tanpa tempoh lanjutan itu, mereka akan mengalami impak negatif sama ada mengecilkan perniagaan atau menutup operasi, atau gagal membayar pinjaman.

“Kebanyakan responden turut menyatakan subsidi upah (68 peratus), subsidi pinjaman (62 peratus) dan geran (66 peratus) sebagai bantuan untuk mereka terus bertahan,” katanya.

Agensi penarafan itu berkata pendekatan bersasar oleh kerajaan berdasarkan saiz dan sektor syarikat merupakan kaedah terbaik untuk membantu syarikat.

“Tinjauan BCI menunjukkan pelanjutan tempoh moratorium itu amat berguna kepada PKS berikutan mereka mungkin mempunyai komitmen pinjaman yang lebih tinggi; lebih 85 peratus daripada PKS yang lebih besar memerlukan tempoh lanjutan itu berbanding 69 peratus perusahaan mikro,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, impak tidak mengambil tempoh lanjutan itu dilihat lebih memberi kesan kepada perusahaan mikro.

“Kira-kira 20 peratus daripada perusahaan mikro berkata mereka perlu menutup operasi berbanding hanya lapan peratus PKS,” katanya.

Katanya, di sebalik kesuraman itu, kajian itu turut menunjukkan daya tahan PKS dan perusahaan mikro — walaupun prospek yang suram dan cabaran yang menakutkan, kebanyakan syarikat yang menyertai kaji selidik itu mahu mengekalkan perniagaan seperti sedia ada berbanding mengecilkan operasi dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Ia juga menunjukkan bahawa perniagaan berharap agar permintaan akan pulih dalam jangka sederhana.

“Bagaimanapun, pembuat dasar perlu terus bekerjasama dengan PKS dan perusahaan mikro kerana mereka perlu memahami keperluan khusus dan menyediakan bantuan kewangan bersasar kepada PKS dan perusahaan mikro — tulang belakang ekonomi Malaysia — untuk melindungi mereka daripada krisis pada masa ini,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis makan, kedai serbaneka di KL boleh operasi hingga 2 pagi

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan premis makan dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur beroperasi hingga pukul 2.00 pagi mulai esok.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

“Saya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan sebentar tadi kerana MKN sudah memberi kelonggaran itu.

“… peniaga telah kerugian banyak, kalau dia (perniagaan) tidak mengancam keselamatan sebagaimana yang dinilai oleh MKN, saya bersetuju supaya pihak DBKL membenarkan, buka sampai pukul 2.00 pagi. Tetapi SOP mesti dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini, hari ini.

Semalam, DBKL memaklumkan waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMCWPKL), semalam.

Terdahulu pada 10 September lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga jam 2 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Operasi bersepadu: 16 ditahan, 453 saman dikeluar

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Seramai 16 individu ditahan dan 453 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi bersepadu yang dijalankan polis di Plaza Tol Kajang dekat sini, bermula 11 malam semalam hingga 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari’at berkata mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30-an, antaranya kerana terlibat lumba haram, positif dadah dan menggunakan kenderaan curi.

Beliau berkata saman turut dikeluarkan termasuk kerana lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh serta melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan.

Katanya, 247 individu serta 239 kenderaan melibatkan 227 buah motosikal dan 12 buah kereta diperiksa dalam operasi tersebut.

“Polis juga membuat sitaan terhadap 77 buah motosikal dalam operasi ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Operasi itu melibatkan lebih 140 pegawai dan anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor serta PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perpustakaan Negara dibuka semula 16 Jun

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) membuka semula hampir semua perkhidmatannya kepada pengunjung bermula Selasa ini.

Menurut Ketua Pengarah PNM Maizan Ismail dalam satu kenyataan hari ini, pembukaan semula itu adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dikuat kuasa kerajaan sejak Rabu lepas.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang dibuka di Menara PNM di Jalan Tun Razak di sini adalah Kaunter Penerangan dan Pendaftaran Keahlian; Kaunter Penyerahan Bahan Akta dan Perkhidmatan Kepada Penerbit; serta Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara.

Turut dibuka Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu dan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu.

Kenyataan itu menyebut Perkhidmatan Pinjaman Dewasa di Wisma Sejarah pula akan mula dibuka setiap Selasa hingga Sabtu, bermula Selasa ini.

Maizan berkata turut dibuka bermula Selasa ini ialah Perpustakaan Komuniti dan Perpustakaan Desa di bawah kendalian PNM di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengunjung untuk mengamalkan prosedur operasi standard dan normal baharu selaras arahan dikeluarkan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

22 kes kemalangan babit pemandu mabuk dari Jan hingga Mei

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Sejumlah 22 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dilapor dalam tempoh lima bulan tahun ini dan dalam tempoh itu juga seramai 822 orang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mereka yang ditahan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 15 hingga 41 tahun.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis akan meningkatkan operasi (mengesan pemandu) mabuk di seluruh negara. Saya minta agensi-agensi penguat kuasa yang lain untuk mengambil tindakan keras dan kawal penjualan arak yang sangat mudah dibeli dan diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azisman berkata daripada 22 kes kemalangan yang dilapor itu, 12 kes masih dalam siasatan manakala 10 kes lagi telah dituduh di mahkamah.

-BERNAMA