Categories
NASIONAL

Kakitangan Awam Kongsi Dividen Banteras Rasuah

Wong-Chen

PETALING JAYA, 1 APRIL: Kakitangan awam bakal menerima Dividen Banteras Rasuah yang akan diperkenalkan Pakatan Rakyat (PR) apabila menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Semua ini terhasil daripada usaha membanteras gejala pembaziran dan rasuah dari perbelanjaan mengurus sebanyak RM34 bilion setahun oleh Kerajaan PR.

Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri PKR, Wong Chen berkata, sebagai insentif, apa-apa penjimatan berhasil dari usaha membanteras rasuah ini sebahagiannya akan diperuntukkan sebagai dividen kepada kakitangan awam yang akan dibayar dalam bentuk bonus tambahan.

“PKR percaya dan yakin dengan keikhlasan kakitangan awam untuk bersama-sama membina Malaysia baru yang bebas dari rasuah.

“Pendekatan dividen banteras rasuah ini diyakini akan dapat mempercepatkan sasaran PR menghentikan ketirisan untuk membiayai program-program Manifesto Rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi.

Tambahnya, PR juga akan melaksanakan sebarang pengumuman kenaikan gaji yang dibuat berkuatkuasa pada 1 Julai 2013 dan penyelarasan gaji bagi pihak polis dan askar pada 1 Januari 2014.

Selain itu, PR akan melaksanakan pelarasan gaji kepada kakitangan awam sesuai dengan pelaksanaan gaji minima RM1,100 bagi kakitangan awam dan swasta di seluruh negara.

Katanya, semakan pelarasan gaji turut dicadangkan diadakan setiap tiga tahun secara automatik, bukannya mengikut amalan yang tidak menentu sekarang berdasarkan kehendak pimpinan politik sahaja.

“Cara Umno-BN menangani masalah tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat adalah dengan menaikkan gaji dan elaun kakitangan awam bermula pada 1 Julai 2013, iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

“Cadangan itu merupakan penyelesaian separuh masak dan tidak menyeluruh. Ia bersifat jangka pendek tanpa menyelesaikan masalah pokok yang dihadapi kakitangan awam dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya berhubung kenaikan harga barang yang mendadak,” katanya lagi.

MB : Dasar Penswastaan Dr Mahathir Tidak Tolong Melayu

MB pc kuning couch 01

SHAH ALAM 11 MAC : Dasar penswastaan di zaman Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membela orang Melayu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Malah katanya, hanya beberapa peratus sahaja kekayaan dan saham di dalam pelbagai projek penswastaan yang sampai ke tangan golongan Melayu.

“Beliau (Mahathir) dulu laksanakan Dasar Ekonomi Baru, tapi yang dapat bukan orang Melayu,” kata Abdul Khalid ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir beberapa hari lalu.

Dr Mahathir berkata Selangor perlu diselamatkan daripada Pakatan Rakyat (PR) bagi memastikan hak dan kedudukan orang Melayu serta Bumiputera terus kekal di Selangor dan kedudukan Islam kekal sebagai agama rasmi negara.

Mahathir sebelum ini berkata PR yang sudah pun menguasai ekonomi di Selangor kini mempunyai keinginan yang tinggi untuk menguasai politik di negeri itu.

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Khalid berkata penggunaan masjid dan surau lebih rancak di bawah pentadbiran PR berbanding Umno-BN.

“Contohnya program malam Qiamullail, sekurang-kurangnya lima ribu rakyat hadir dalam satu masjid. Ini tidak berlaku zaman Mahathir.

“Begitu juga apabila terdapat perayaan di masjid, yang mana beribu-ribu orang akan hadir.

?Jadi dari segi umat Islam dan penggunaan rumah ibadat Islam sangat diterima rakyat Selangor,? katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Seminar Eksekutif Halal dan Dialog Industri, di Hotel Blue Wave, di sini.

“Saya ingat beliau (Mahathir) tidak mengikuti perkembangan yang berlaku. Saya harap sangat beliau berhenti dalam usaha ini sebab beliau sudah melampaui masa kita perlukan beliau,” katanya.

Categories
NASIONAL

Saman AES Dibatalkan Sekiranya PR Tawan Putrajaya

AES

KLANG, 22 FEB: Semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya memenangi pilihan raya yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi.

Keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang diadakan pada minggu lepas.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, saman tersebut dibatalkan bukan sahaja kerana ia membebankan rakyat, malah syarikat pengendali sistem tersebut juga dimiliki individu tertentu dalam Umno.

“Satu saman RM300. 400,000 saman sudah ada berapa bilion ringgit? Siapa dapat? Syarikat orang Umno dapat. Siapa bayar? Kita bayar. Dua saman RM600, habis duit BR1M RM500.

“Dahulu kita kata tangguhkan perlaksanaan, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR minggu lalu, PKR, PAS dan DAP sudah ambil keputusan, kita ambil alih Putra Jaya semua saman AES dibatalkan,” kata Anwar dihadapan hampir 7,000 hadirin yang membanjiri tapak ceramah di Taman Rakyat di Seri Andalas di sini.

AES merupakan sistem penguatkuasaan automatik yang menyaman pemandu yang memandu melebihi had laju.

Bagaimanapun projek swasta bernilai RM700 juta yang dimulakan pada bulan September tahun lalu itu mendapat bantahan orang ramai kerana dikatakan mempunyai sistem tidak cekap sehingga menyebabkan pemandu yang tidak memandu laju turut dikenakan saman.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri As?aad Khuzaimi sebelum ini, AES diwujudkan semata-mata bertujuan menghalalkan niat busuk Umno-BN mendapatkan keuntungan secara mudah kepada kroni-kroni mereka.

Pada 18 Disember lalu, beberapa mahkamah yang mengendalikan prosiding kes saman AES termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya memutuskan melepaskan tanpa membebaskan semua orang kena saman (OKS) bagi kes AES.

Keputusan itu diambil apabila mendapat bantahan awal dari peguam JUHAM dan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) berikutan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyalahi undang-undang dengan menjalankan pendakwaan tanpa menunjukkan surat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Sarawak Akan Menerima Hak Tanah Sekiranya Pakatan Memerintah Nanti

3_Rumah panjang Sungai Jerak

SARATOK, 14 JAN : Seperti di Selangor, rakyat Sarawak bakal menerima hak pemilikan tanah sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat untuk memerintah negara dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ini kerana menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dan memiliki banyak hasil tanah, namun rakyat tidak diberi peluang untuk mengerjakannya.

“Walaupun Sarawak merupakan negeri yang kaya, namun rakyat tidak dapat merasai pembangunannya.

Salah satu tanggungjawab jika kita menang di Putrajaya, kita mesti tunjukkan bahawa rakyat Sarawak akan menerima hak pemilikan tanah dan diberikan tanah supaya mereka dapat memilikinya.

“Dengan cara itu bukan sahaja mereka memperoleh pendapatan, tetapi mereka juga akan dapat membangunkan keluarga dengan cara yang lebih baik,” katanya semasa merasmikan Rumah Unding di Ulu Krian, di sini semalam.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar serta Adun Krian, Ali Biju.

Rumah Unding yang memilki 20 unit (pintu) itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor yang menghulurkan sebanyak RM 360,000 untuk membinanya.

Lebih 200 penduduk rumah panjang itu yang kehilangan kediaman setelah rumah mereka hangus dalam kebakaran dua tahun dahulu.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menegaskan pembangunan yang baik merujuk kepada cara sesebuah kerajaan itu menurunkan kekayaan negara kepada semua rakyat.

“Dalam pembangunan negara, yang penting ialah bagaimana kita boleh turunkan kekayaan harta benda kepada rakyat kerana kalau negeri kaya tetapi rakyat miskin, maka pembangunan itu tidak betul.

“Saya harap inilah yang dapat Kerajaan Pakatan Rakyat usahakan jika berjaya mentadbir negara kelak,” katanya lagi.

8_Mb Ceramah Di Pekan Saratok

Dr Rani : Bincang Dulu Sebelum Keluar Kenyataan

pc rani 2

SHAH ALAM 26 DIS : Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman menggesa pemimpin komponen Pakatan Rakyat (PR) supaya berbincang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan isu agama yang sensitif.

Ini supaya kenyataan itu tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang mahu mengalih perhatian daripada isu-isu lain yang dibangkitkan PR seperti pengambilan tanah oleh Umno-BN Selangor.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi yang dibangkitkan setelah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuntut agar kalimah Allah dibenarkan di dalam Kitab Injil Bahasa Malaysia.

Dr Rani turut menafikan kenyataan portal Sinar Harian yang mendakwa Pas Selangor mencemuh kenyataan Guan Eng.

“Saya menegaskan Pas Selangor tidak mencemuh, sebaliknya saya hanya mahu isu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan tidak dimanipulasi oleh media.

“Saya juga meminta supaya isu ini tidak dipanjangkan memandangkan ia masih menjadi kes mahkamah,” katanya ketika dihubungi.

Oleh kerana isu tersebut masih menjadi kes mahkamah, Dr Abdul Rani menggesa semua pihak agar menunggu keputusan mahkamah.

Sebelum ini, Guan Eng dalam perutusan Hari Natalnya, meminta agar Kerajaan Pusat membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab Injil Bahasa Malaysia yang digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Categories
SELANGOR

Segerakan Tubuh IPCMC Tangani Salahlaku Polis

SHAH ALAM,17 NOV : Kerajaan Pusat terus didesak untuk menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani masalah salahlaku anggota polis.

Ianya perlu ditubuhkan kerana kepercayaan terhadap pasukan polis semakin terhakis ekoran beberapa insiden yang mencemar imej professionalisme anggota polis.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, Suruhanjaya itu perlu untuk mendisiplinkan anggota polis kerana ada anggotanya yang menyalahgunakan kuasa yang memerlukan tindakan khusus bagi menangani masalah itu.

“Jadi perlu ada satu badan yang bebas untuk mengawal tindak tanduk anggota polis supaya tidak membatasi undang-undang dan juga perkara yang memalukan,” ujar Anthony ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian tiga anggota polis yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai baru-baru ini.

Jelas beliau, akibat tiada sistem untuk memantau tingkahlaku polis itu maka kejadian sedemikian dikhuatiri akan terus menjejaskan imej pasukan polis di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Maka perlu ada kehendak politik yang tinggi bagi memastikan wujudnya IPCMC itu,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) komited untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas berkenaan jika berjaya dalam Pilihanraya Umum Ke-13 ini.

“Jika kita berjaya ke Putrajaya, kita akan menyiasat bagaimana agensi-agensi kerajaan dapat dipertingkatkan dan professionalisme badan-badan penguatkuasa dapat ditentukan,” katanya.

Sebelum ini,Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima) pada 29 Disember 2004 ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.

Bagaimanapun, ketika majoriti pendapat menyokong cadangan penubuhan IPCMC oleh suruhanjaya itu, polis dan ahli-ahli Parlimen Umno menentang penubuhan IPCMC.

Categories
NASIONAL

Insiden Serangan dan Ugutan, PR Desak Penjelasan PM

PETALING JAYA 12 SEPT : Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya memberi penjelasan berhubung insiden serangan berulang kali ke atas bas Jelajah Merdeka Rakyat termasuk ugutan terhadap beberapa pimpinan PR.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR memandang serius isu tersebut berikutan budaya samseng dan amalan ugutan semakin rancak dilakukan puak Umno-BN.

Beliau berkata, sehingga kini Perdana Menteri mahupun Menteri Dalam Negeri masih belum memberi sebarang jaminan atau maklumbalas untuk memastikan insiden sama tidak berulang lagi.

“Saya mohon penjelasan daripada Kerajaan Umno-BN sama ada ini budaya baru mereka. Pihak polis juga perlu bertegas termasuk tentang kenyataan terbaru mengenai ugutan terang-terangan yang kita terima supaya saya tidak ke Johor.

“Kita tidak mahu Malaysia ada dua undang-undang. Satu untuk memelihara kepentingan atasan dan penguasa dan satu undang-undang lagi membiarkan sebarang bentuk keganasan terhadap PR.

“Seperti mana sebelum ini, kita tidak setuju dengan adegan memijak gambar sesiapa tetapi kalau gambar Najib, ia jadi isu dan diambil tindakan. Tetapi serangan ke atas PR, dianggap biasa. Inilah dikatakan Satu Malaysia, Dua Undang-undang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, tengah hari tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata budaya samseng adalah amalan biasa Kerajaan Umno-BN yang diamalkan sejak dulu lagi.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu memberi kesukaran kepada pihak pembangkang untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.

“Apabila terancam, mereka akan gunakan taktik itu. Walaupun setakat ini tindakan itu mensasarkan kepada PKR, tetapi kita akan bersama menghadapi isu ini kerana ia merupakan ancaman kepada PR,” katanya.

Video Berkaitan: http://www.youtube.com/watch?v=UDZXCsyEmA0

Fenomena Pegawai Kerajaan Sertai PAS Buat Umno-BN Gerun

SHAH ALAM, 16 JULAI: Fenomena kemasukkan ramai bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS pada masa kini menggerunkan Umno-BN.

Tindakan tersebut juga membuktikan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk menakluki Putrajaya.

Demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramahnya dalam Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor, di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

“Bekas orang nombor tiga dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari sudah pun menyertai PAS, jadi ahli seumur hidup dan saya juga nampak bekas Ketua Polis, Tan Sri Musa Hassan sedang mengintai-intai untuk bersama kita.

“Hari ini Tan Sri Musa dah kata perangkaan jenayah yang dikeluarkan oleh PDRM tak boleh dipercayai sebenarnya jenayah meningkat dengan dahsyat,” katanya yang popular dengan panggilan Mat Sabu.

Dalam perhimpunan yang dihadiri kira-kira lebih 6,000 hadirin itu, tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan turut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS.

Mereka adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik(PTD) selama 33 tahun yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang, Abd Rahman Taib.

Manakala seorang lagi adalah bekas Pengarah Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Yusuf Hassan.

Menurut Yusuf, kemasukan golongan pesara kerajaan dalam PAS akan dapat membantu parti itu mengurus tadbir kerajaan apabila PR memenangi pilihan raya kelak.

“Saudara semua jangan takut kerana kita menyediakan pakar-pakar dari dalam kerajaan dari pelbagai bidang untuk membantu saudara-saudari semua mengurus tadbir negara ini dengan baik.

“Pengalaman yang kami ada, akan kami curahkan untuk membantu rakyat dan menjadi negara yang paling baik,” ujar beliau.