Categories
EXCO SELANGOR

Kehadiran murid Orang Asli ke sekolah merosot selepas PKP

SEPANG, 27 OGOS: Kehadiran pelajar Orang Asli terutama di sekolah rendah merosot selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO hal ehwal orang asli berkata perkara itu dilapor Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang bimbang pelajar kaum minoriti itu keciciran.

“Sebelum PKP mereka tidak ada masalah ke sekolah. Mungkin sudah selesa duduk lama di rumah menyebabkan mereka enggan ke sekolah semula.

“Jadi saya harap ibu bapa memainkan peranan penting dengan pastikan anak masing-masing hadir ke sekolah setiap hari,” kata Hee Loy Sian ketika merasmikan Majlis Pemasangan Lampu Solar di Kampung Orang Asli Jambu di sini semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri amat menitikberat pendidikan Orang Asli malah Jakoa membekalkan RM2 untuk seorang pelajar setiap hari bagi menggalak mereka ke sekolah.

“Kita mahu anak Orang Asli mendapat pendidikan sempurna seperti kaum lain. Kita tidak mahu mereka tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Program bimbingan ke IPTA DUN Sentosa berjaya tarik 30 pelajar

SHAH ALAM, 12 OGOS: Program Trek Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya menarik hampir 30 pelajar walaupun baru dilancarkan hujung Julai lalu.

Ahli Dewan Negeri berkata program itu membimbing pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan lepasan SPM tahun lalu mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Menjadi satu tanggungjawab kita bagi memastikan anak muda dibimbing agar mereka berada di trek yang betul supaya mendapat peluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sehingga kini, seramai sembilan pelajar lepasan SPM 2019 berjaya dibimbing,” kata Dr G Gunarajah dalam kenyataan.

Beliau menambah program yang dijalankan setiap Selasa, jam 7 petang di Pusat Khidmat Masyarakat Sentosa terus memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada pelajar.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM, KPM bekerjasama kaji selidik kesihatan mental pelajar

KOTA TINGGI, 27 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjalankan satu kaji selidik berhubung kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kaji selidik itu termasuk data pelajar yang mengalami masalah seperti kemurungan, tekanan dan lain-lain yang boleh menjurus kepada hasrat membunuh diri.

“Semua sekolah akan jalankan kaji selidik bagi melihat peratusan sebenar (pelajar yang mengalami masalah ini), “ katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pinang di sini semalam.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 menunjukkan satu daripada lima remaja berumur 13 hingga 17 tahun mengalami kemurungan, dua daripada lima pula mengalami keresahan dan satu daripada 10 berdepan dengan stres.

Dr Adham berkata kajian sama juga mendapati trend peningkatan dalam tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja iaitu peningkatan idea bunuh diri kepada 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

Pada masa sama, beliau berkata KKM dan KPM menjalankan usaha berterusan bagi menangani masalah kesihatan mental pelajar menerusi Program Minda Sihat yang dilaksanakan sejak 2011 dan sehingga kini melibatkan 2,440 daripada kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKM dan KPM juga sedang meneliti cara membantu guru kaunselor mengendalikan kaunseling dalam kebiasaan baharu.

KKM katanya turut menyediakan perkhidmatan kesihatan mental melalui klinik kesihatan dan hospital kerajaan, manakala bantuan talian sokongan psikososial boleh didapati melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) di talian 03-29359935 atau 011-63996482.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

20,000 pelajar masih terkandas di luar negara – menteri

KOTA BHARU, 18 JULAI: Dianggarkan 20,000 pelajar Malaysia masih terkandas di luar negara dan tidak dapat pulang ke tanah air berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata kerajaan sedang meneliti secara halus apakah langkah yang boleh diambil bagi membawa pulang kesemua pelajar berkenaan secara berperingkat.

“Contohnya pelajar yang tamat kursus pengajian, kita tak mahu lengah-lengahkan bawa pulang mereka dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan pastikan mereka dibawa pulang dan dibayar belanjanya oleh penaja yang menaja pelajar.

“Kerajaan juga menyediakan satu peruntukan, tak banyak tapi cukup untuk bawa pulang pelajar Malaysia yang masih lagi terkandas di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang) yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab, hari ini.

Pada majlis berkenaan 12 pegawai APM menerima Anugerah Penkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 dan 14 orang menerima watikah pelantikan Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata ada beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang misi membawa pulang pelajar yang terperangkap di luar negara dilakukan kerajaan.

Beliau berkata antaranya ia melibatkan undang-undang berbeza yang dikenakan oleh setiap negara yang pelajar Malaysia sedang meneruskan pengajian.

“Contohnya sama ada negara berkenaan membenarkan penerbangan masuk atau keluar. Contohnya kita juga semalam berbincang di Amerika Syarikat (AS) penularan nampaknya meningkat, kita bimbang dan kita nak ambil kesempatan ruang angkasa Amerika Syarikat yang masih terbuka ketika ini.

“Sama ada kita ada penerbangan terus dari Amerika Syarikat ke Malaysia atau ada syarikat penerbangan lain yang boleh bawa pulang pelajar ke Malaysia. Kita kena perhalusi keadaan sebegitu sebelum buat keputusan yang melibatkan kewangan negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ekspatriat pengurusan tertinggi dibenar masuk Malaysia mula 24 Jun

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Ekspatriat kategori EP1 melibatkan pengurusan tertinggi dibenarkan masuk ke Malaysia mulai Rabu ini (24 Jun), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata individu dalam kategori EP1 seperti pengarah urusan syarikat dibenarkan masuk ke negara ini secara automatik tanpa perlu mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Imigresen.

“Apabila mereka ini tiba di Malaysia, pihak Imigresen akan membuat semakan terhadap pas ekspatriat sebelum mereka dibenarkan masuk.

“Selain itu, ekspatriat daripada kategori EP1 ini perlu memuat turun aplikasi MySejahtera serta menjalani ujian saringan Covid-19 melalui pengambilan swab,” katanya kepada Bernama hari ini.

Khairul Dzaimee berkata demikian mengulas berhubung keputusan kerajaan yang kini membenarkan ekspatriat kategori EP1 masuk ke Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata pelajar tempatan yang ingin ke luar negara bagi tujuan menyambung pengajian juga dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu mendapatkan kelulusan awal Jabatan Imigresen mulai Rabu ini.

“Pelajar hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan semasa berurusan di kaunter Jabatan Imigresen,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan terus memantau kemasukan warga asing di pintu-pintu masuk utama negara bagi mengelak pembolosan terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan kini membenarkan ekspatriat melibatkan pengurusan tertinggi masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen.

Ismail Sabri berkata mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

61 pelajar dari zon timur selamat tiba di Klang

SHAH ALAM, 3 MEI: Seramai 61 pelajar dari beberapa kampus institusi pengajian tinggi (IPT) di zon timur (Pahang dan Terengganu) yang dibenarkan pulang ke kampung halaman, selamat tiba di Klang, pagi tadi.

Mereka terdiri daripada tujuh pelajar Politeknik Muadzam Shah, 22 dari Universiti Malaysia Terengganu, 15 dari Institut Latihan dan Pendidikan Renaco, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Automotif Malaysia DRB Hicom serta 17 dari Universiti Teknologi Mara Cawangan Jengka.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan melalui kenyataan berkata semua pelajar tiba di Dewan Astaka IPD tersebut secara berperingkat, awal pagi tadi.

“Semua pelajar menjalani proses dokumentasi dan diberi taklimat ringkas berkenaan penularan Covid-19 di samping menasihati mereka agar mengutamakan kebersihan diri serta kesihatan,” katanya.

Barangan milik pelajar turut dinyahcemar sebelum dibenarkan keluar dari pekarangan IPD Klang Selatan dan dihantar pulang ke kediaman masing-masing antara jam 2.30 hingga 7 pagi tadi.

Kerajaan memberi kebenaran kepada pelajar IPT di seluruh negara pulang ke kampung masing-masing bermula Isnin lalu.

 

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

Peperiksaan batal, program matrikulasi sesi 2019/2020 ditamatkan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Peperiksaan Semester II Program Matrikulasi (PSPM) Kementerian Pendidikan (KPM) Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei dibatalkan, setelah kementerian itu membuat penelitian ke atas situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini.

Berikutan pembatalan itu, KPM memutuskan bahawa pengajian Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula semalam.

KPM dalam satu kenyataan berkata berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, kementerian itu turut memutuskan bahawa keputusan peperiksaan Semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan dilaksanakan bagi semester tersebut.

“Ini adalah selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan atau Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac. KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut (Semester II) amat penting kepada para pelajar Program Matrikulasi Sesi 2019/2020 yang ia akan digunakan bagi permohonan ke Universiti Awam (UA) kemasukan Sesi 2020/2021.

“Justeru, keputusan akhir untuk pelajar Matrikulasi Sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan Semester II,” menurut KPM.

KPM meminta semua pelajar yang masih berada di kampus untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan selain pihaknya akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar adalah terpelihara.

“KPM terus komited dalam usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk dalam kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan Kolej Matrikulasi KPM,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

PKP: Susun jadual guru, elak beban murid

SHAH ALAM, 12 APRIL: Pengurusan sekolah dan guru dinasihatkan supaya tidak membebankan murid dengan tugasan sekolah yang terlalu banyak dalam sehari, kata timbalan pengarah sektor pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor

Datin Nor Faridah A Bakar berkata mereka perlu memastikan jadual tugas guru disediakan dan disusun dengan baik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

“Jadual untuk guru perlu disusun supaya dalam sehari jangan sampai lima hingga enam subjek kerja sekolah diberikan kepada murid.

“Kita tidak boleh ikut jadual waktu sekolah biasa, mungkin dalam sehari ada dua subjek sahaja diberi supaya murid boleh sempat siapkan kerja sekolah dan hantar semula kepada guru mengikut waktu ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, beliau berkata guru yang membuat kelas dalam talian menerusi google classroom tidak harus rasa kecewa atau kurang motivasi sekiranya kehadiran murid tidak penuh.

“Kita perlu ambil tahu apa masalah dihadapi murid kita, mungkin ada keluarga hanya mempunyai satu sahaja komputer riba di rumah, jadi berebut, ibu nak guna untuk kerja, bapa nak guna, jadi guna kaedah atau medium lain untuk capai murid mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pelajar meninggal dunia selepas merentas desa

SABAK BERNAM 14 JAN: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun meninggal dunia selepas menjalani latihan merentas desa sejauh 3.8 kilometer petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pelajar Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) Sungai Besar itu dilaporkan pengsan dalam kawasan sekolah berkenaan kira-kira jam 4.15 petang, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar tetapi disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.

“Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sebelum ini tular di aplikasi WhatsApp berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Empat SAMTAJ Sungai Besar meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sungai Besar selepas menjalani latihan merentas desa.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pelajar Selangor di Mesir komited zahirkan saranan Amirudin

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Pelajar Selangor di Mesir menyambut baik usaha Kerajaan Negeri terutama dalam memperluaskan minda mereka supaya tidak terhad kepada apa yang dipelajari sahaja.

Selain itu, mereka juga menyifatkan banyak pengisian penting yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, pada Majlis Ramah Mesra bersama pelajar Selangor di Mesir bersama beliau, di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah, di sini, semalam.

Pelajar tahun lima jurusan perubatan, Muhammad Naufal Mohammad Lutfi berkata, mahasiswa harus berfikir dengan kritis dan matang serta tidak terhad dalam satu kelompok sahaja.

“Ia sangat kritikal di Mesir ini kerana kita banyak persatuan tetapi tidak boleh berkolaborasi dengan sangat baik antara pelajar, di sini.

“Dato’ Menteri Besar juga ada menyentuh isu menarik yang tidak boleh dipandang mudah oleh goloagan mahasiswa iaitu kaedah untuk memperbaiki masyarakat di Selangor melalui pendidikan, kemajuan teknologi dan kemasyarakatan.

“Saya juga melihat bagaimana Kerajaan Selangor menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan pada masa sama tidak meninggalkan identiti manusiawi yang ada dalam setiap masyarakat,” katanya yang juga Yang DiPertua Angkatan Belia Islam Malaysia cawangan Mesir kepada SelangorKini.

Bagi pelajar tahun satu jurusan dirasat islamiah dan bahasa arab, Muhd Syukri Abdullah, kursus kepimpinan yang dianjurkan sempena kehadiran Dato’ Menteri Besar juga berjaya meyakinkan beliau untuk berkomunikasi dengan lebih baik terutama membabitkan pengucapan awam.

Beliau yang juga pelajar tajaan Biasiswa Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, paling penting dalam melakukan perubahan adalah melalui diri sendiri dan mahasiswa perlu berani membina jati diri dalam usaha menjadi anggota masyarakat yang mampu memberikan yang terbaik dalam pelbagai aspek.

“Kursus ini sangat menggilap bakat pelajar Selangor di Mesir kerana ia adalah peluang untuk kami berkomunikasi di hadapan orang ramai dan ia sukar untuk diperolehi dalam silibus pengajian.

“Saya juga terkesan dengan ucapan Dato’ Menteri Besar iaitu bagaimana pengajian Islam boleh diterjemahkan dan menyelamatkan tamadun itu sendiri. Jika dahulu, Rasulullah SAW datang untuk menerangi cahaya kejahilan, namun kini tamadun yang dibawa baginda penuh dengan akhlak dan berilmu,” katanya.

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya berkata, graduan pengajian Islam perlu melebarkan pemikiran mereka untuk menceburi bidang kemahiran dan teknikal atau bidang lain yang sesuai supaya tidak terhad kepada industri pekerjaan membabitkan pendidikan sahaja.

Katanya, banyak peluang boleh didapati di pasaran kerja seperti industri hab halal dan Kerajaan Negeri bersedia menyediakan kursus bersesuaian jika terdapat permintaan tinggi daripada graduan berkenaan.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan sumbangan oleh Kerajaan Negeri kepada Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) Mesir melalui Yayasan Selangor sebanyak RM10,000, manakala Perbadanan Negeri Selangor Berhad pula RM50,000 untuk aktiviti pelajar negeri itu.

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Komited perluas kemahiran pelajar Selangor di Timur Tengah

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Negeri komited memastikan nasib pelajar Selangor di Timur Tengah khususnya Mesir, Jordan dan Maghribi terus diperkasa serta diperkukuhkan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan kepada pelajar di tiga negara terbabit supaya mereka dapat melaksanakan aktivit sosial atau program kemasyarakatan, sepanjang pengajian.

“Di samping itu, kita cuba untuk menyediakan beberapa peluang dan potensi pekerjaan kepada mereka seperti menjadi eksekutif bahagian halal yang akan dilaksanakan Halal International Selangor.

“Saya juga turut menyarankan mereka untuk keluar daripada pemikiran terhad yang tertumpu kepada bidang dipelajari sahaja dengan beralih kepada industri lain seperti kemahiran dengan skop lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafetaria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Pada masa sama, Amirudin juga yakin pelajar di Timur Tengah mempunyai nilai tambah terhadap profesion baru yang bakal mereka ceburi selepas tamat pengajian jika mengikuti latihan atau kursus dalam bidang teknikal juga industri lain.

“Ini juga sebahagian cadangan kita kepada golongan pelajar ini supaya mereka dapat mengisi ruang diperlukan oleh pasaran pekerjaan selaras dengan konsep ‘Maju Bersama’ yang selalu saya ketengahkan dalam pertemuan bersama rakyat,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Food For Mahasiswa bantu agih juadah berbuka puasa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 MEI: Sekumpulan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan program Food For Mahasiswa (FFM) sepanjang bulan Ramadan dalam usaha meringankan beban golongan itu.

Penggerak FFM, Muhammad Affendy Hasni berkata, program itu dijalankan sejak April 2015 dengan memberi makan malam percuma kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

“Kita utamakan kepada dua golongna pelajar iaitu datang daripada keluarga susah dan engalami masalah kewangan, ketika akhir semester.

“Usaha ini kita teruskan pada bulan Ramadan yang dianggap sebagai satu tradisi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanpun, Affendy berkata, bantuan makanan percuma itu hanya terhad kepada 200 bungkusan sehari kerana bergantung kepada nilai sumbangan diberikan orang ramai.

“Jika ada rezeki, lebih kita mampu edar sehingga 300 bungkusan, namun perkara itu jarang berlaku kerana dana melalui sumbangan.

“Bagaimanapun, tahun ini kami di FFM tetap bertekad untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan makan malam setiap hari sehingga kertas peperiksaan semester tamat.

“Bagi menjayakan hasrat itu, sumbangan daripada orang ramai amat dialu-alukan tidak kira dalam bentuk wang tunai, makanan, minuman, kuih-muih, kurma, atau buah-buahan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu menyumbang dalam bentuk kewangan boleh menyalurkan terus ke akaun Persatuan Mahasiswa Prihatin 564481410901 (Maybank).

Difahamkan, secara kasar, FFM memerlukan kira-kira RM1000 sehari bagi menampung makan malam berjumlah RM4 untuk 250 pelajar.