Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Malaysia – UK tingkat kerjasama dua hala pendidikan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 JUN: Malaysia dan United Kingdom (UK) berhasrat untuk meluaskan lagi jaringan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, pihaknya mahu penguatkuasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan tenaga pengajar bagi sektor kemahiran diperluaskan lagi di negara ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia, Her Excellency Vicki Treadel di pejabatnya semalam.

“Kita akan memberi tumpuan dalam menyediakan latihan bahasa Inggeris kepada tenaga pengajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kementerian juga berusaha untuk menambah peluang, memperbaiki kekurangan dan mengukuhkan kerjasama pintar antara kedua negara untuk dimanfaatkan tenaga pengajar dan pelajar juga rakyat,” katanya.

Dalam kunjungan itu juga, mereka turut membincangkan bilateral antara kedua negara dalam bidang pendidikan agar kekal berpanjangan.

Katanya lagi, sehingga kini, dianggarkan lebih 18,000 pelajar Malaysia sedang menyambung pengajian dalam pelbagai bidang termasuk di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di negara berkenaan.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pernah jadi guru, MB fahami peranan dan cabaran pendidik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Peranan dan cabaran sebagai warga pendidik bukanlah asing bagi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali apabila beliau sendiri memiliki pengalaman mengajar matematik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak.

Mohamed Azmin berkata, beliau selepas itu terlibat secara aktif di Kementerian Pendidikan pada akhir 1980-an ketika pendidikan negara sedang melalui fasa peralihan ke arah sistem dan pendekatan lebih bersepadu.

“Justeru itu, saya dapat memahami peranan warga pendidik yang amat mencabar.

“Setelah sekian lama terpisah, hari ini kita bertaut semula di Majlis Apresiasi Pendidikan Sempena Perayaan Hari Guru Tahun 2018,” katanya di hadapan kira-kira 2,400 warga pendidik seluruh negara pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di (PICC) di sini, malam tadi.

Ketika menyentuh peranan guru, Mohamed Azmin menjelaskan, warga pendidik merupakan agen perubahan yang efektif untuk melahirkan sebuah bangsa berjiwa merdeka, memiliki akhlak mulia dan sentiasa ghairah untuk cemerlang.

Katanya, pendidikan bukan sekadar menimba ilmu tetapi juga merupakan proses pembentukan jati diri, menyuburkan nilai moral dan meletakkan asas pembinaan tamadun.

“Menurut Plato, pembentukan sebuah negara yang adil harus bermula dengan usaha melahirkan penjaga negara sebagaimana guru adalah penjaga generasi muda negara,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Iktiraf Sijil UEC, Selangor lebar reformasi pendidikan negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 APR: Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan besar yang dimainkan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dalam pembangunan modal insan pendidikan negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata komitmen itu dibuktikan menerusi pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap kelayakan Sijil Unified Examination Certificate (UEC) yang diperkenalkan oleh Gabungan Persatuan Ahli Lembaga-Lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong), sejak 2016 lalu.

“Statistik menunjukkan seramai lebih 3,000 pelajar menamatkan pelajaran dengan sijil UEC setiap tahun.

“Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan gagal memberikan komitmen yang positif untuk mengiktiraf UEC.

“Sebaliknya, Perdana Menteri hanya menabur janji PRU-14 untuk memancing undi masyarakat Cina.

“Itupun sekadar menyatakan dalam manifesto Barisan Nasional bahawa warganegara yang memiliki sijil peperiksaan luar negara termasuk UEC akan diberikan pertimbangan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, tindakan itu menguatkan lagi kenyataan bahawa Selangor mendahului komitmen reformasi pendidikan negara.

“Selangor telah melaksanakan dan telah lama mengiktiraf UEC. Sekali lagi, Selangor mendahului Putrajaya dalam mengangkat martabat pendidikan.

“Pendidikan di Malaysia hari ini berhadapan dengan cabaran yang getir.

“Sekiranya sistem pendidikan tidak diperbaiki, direformasi, kita tidak akan berjaya untuk melonjakkan Malaysia menjadi negara terunggul di rantau ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Fasa Pertama di di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, RM11 juta daripada pembiayaan kewangan fasa pertama sebanyak RM23 juta diserahkan kepada sekolah terlibat seluruh negeri.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor komited laksana inisiatif baru angkat agenda pendidikan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 APR: Pentadbiran Putrajaya gagal mendepani sebarang usaha untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor lebih komited melaksanakan inisiatif baru bagi merancakkan agenda pendidikan terkini.

‘Kita sedia maklum bahawa kos pendidikan hari ini semakin tinggi dan amat membebankan keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Tetapi malangnya, Kerajaan Persekutuan tidak melihat pendidikan khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional sebagai satu sektor yang terpenting.

“Malahan, bajet tahunan pendidikan Persekutuan dikurangkan sehingga 30% dan memberi kesan negatif kepada pembangunan modal insan negara,” katanya.

Namun, Mohamed Azmin berkata, di peringkat Kerajaan Negeri program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) diperkenalkan bagi menjayakan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkenalkan bagi mendukung teras pendidikan negara.

Katanya, pelaksanaan itu seiring keperluan membekalkan tenaga mahir bagi memenuhi pasaran sedia ada.

Selain itu katanya, pengajian akademik dan profesional turut diperkenalkan di bawah penjenamaan pendidikan baru, Universiti Selangor (UNISEL), INPENS International College dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Kita mesti memastikan bahawa anak-anak kita tidak hanya bersekolah atau ke universiti, tetapi juga menerima pendidikan berkualiti yang akan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran abad ke-21,” katanya Mohamed Azmin.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Fasa Pertama di di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam, hari ini.

Dalam perkembangan itu, RM11 juta pembiayaan kewangan fasa pertama diserahkan kepada sekolah terlibat seluruh negeri.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Menteri bersikap memilih punca pengangguran

OLEH MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Sikap menteri yang memilih dalam mendedahkan statistik kebolehpasaran graduan menjadi punca peningkatan tahap pengangguran di negara ini.

Berhubung kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada sidang media selepas majlis pelancaran TRC Edu Centre di Politeknik Ungku Omar (PUO) pada 20 Februari yang lalu.

Beliau berkata, kadar purata kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi negara ini meningkat sebanyak empat peratus bagi tempoh empat tahun mulai 2014 hingga 2017.

Apabila kajian pengesanan graduan pendidikan tinggi yang dipetik beliau diteliti Mahasiswa Pakatan Harapan, peratusan peningkatan kebolehpasaran graduan meningkat dengan kadar yang lebih rendah jika tempoh masa lebih panjang digunakan.

Contohnya, jika kiraan dibuat berdasarkan tempoh masa sembilan tahun, kadar kebolehpasaran graduan hanya meningkat sebanyak 3.2 peratus daripada tahun 2008 hingga tahun 2017. Oleh itu, kadar peningkatan kebolehpasaran graduan boleh dikatakan meningkat dengan jauh lebih rendah jika diambil tempoh masa sembilan tahun daripada empat tahun seperti dinyatakan.

Berdasarkan kajian yang sama, walaupun kadar peratusan kebolehpasaran mungkin meningkat 1.4 peratus dalam tempoh lapan tahun namun daripada segi jumlah pengangguran di kalangan graduan selepas enam bulan tamat pengajian sudah meningkat seramai 20,574 graduan pada tahun 2016 dari tahun 2008.

Ia jelas menunjukkan bahawa walaupun peratusan kebolehpasaran graduan meningkat, namun dari segi jumlahnya lebih ramai graduan menganggur selepas enam bulan tamat pengajian dari tahun ke tahun.

Sementara itu, Mahasiswa Pakatan Harapan turut membidas jawapan Dato’ Seri Idris Jusoh terhadap kenyataan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yang Berhormat (YB) Mohd Nor berkenaan fungsi Taman Ilmu, baru-baru ini.

Pertama, walaupun projek Taman Ilmu yang sudah lama terbengkalai itu sudah cuba diberikan nafas baru oleh pelbagai pihak, persoalan pokok bagaimana peruntukan RM300 juta daripada wang rakyat boleh terbengkalai begitu sahaja selama bertahun-tahun lamanya kekal tidak berjawab. Mahasiswa Pakatan Harapan mendesak supaya satu siasatan dijalankan bagi mendapat pengesahan jika terdapat unsur-unsur pecah amanah di dalam urusan pemberian tender pembinaan Taman Ilmu itu.

Kedua, Mahasiswa Pakatan Harapan ingin menjelaskan kepada orang ramai bahawa kenyataan Dato’ Seri Idris Jusoh berkenaan usaha Kerajaan Negeri menjadikan Terengganu sebagai pusat Pendidikan adalah jauh lebih indah khabar dari rupa. Jika diteliti kajian pengesanan graduan tahun 2016, kadar pengangguran graduan selepas enam bulan tamat pengajian oleh graduan yang bermastautin di Terengganu adalah ketiga paling tinggi dalam negara (29.8 peratus), diikuti Sabah (31 peratus) dan Kelantan (34.3 peratus).

Ketiga, Mahasiswa Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan sikap lepas tangan Dato’ Seri Idris Jusoh berkenaan isu Taman Ilmu itu apabila beliau membuat kenyataan bahawa ia merupakan sebuah projek nerajaan negeri dan bukan Kementerian Pendidikan Tinggi. Dato’ Seri Idris Jusoh perlu tahu bahawa rakyat Terengganu tidak akan lupa fakta utama berkenaan projek ilmu tersebut: projek itu diilhamkan beliau sendiri ketika mentadbir negeri terbabit sebagai Menteri Besar.

Akhir sekali, Mahasiswa Pakatan Harapan ingin menggesa setiap graduan tempatan yang masih menganggur untuk menghukum kerajaan Barisan Nasional yang sudah gagal dalam tanggungjawab mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan mencukupi.

MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Na’im Brundage
Mahasiswa Keadilan Malaysia

Khuzairi Mazlan
Mahasiswa Amanah Nasional

Leong Yu Sheng
DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

#Selangor18: Peruntukan projek bantuan sekolah ditambah RM2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat menaikkan peruntukan projek bantuan sekolah dari RM22 juta kepada RM24 juta, bagi tahun 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenaikan itu menyaksikan peruntukkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dinaikkan dariRM9 juta kepada RM10 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari RM5 juta kepada RM6 juta.

Mengikut rekod, peruntukan untuk projek bantuan sekolah meningkat dari RM16 juta pada tahun 2016 kepada RM22 juta untuk tahun ini.

Pertambahan itu untuk membantu Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM2 juta, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) pula RM1 juta.

 

Categories
AGAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Lebih RM100 juta membangun rohani

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM106 juta disediakan Kerajaan Negeri untuk tujuan pembangunan institusi kerohanian, bagi 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara projek yang akan diberikan keutamaan adalah pembinaan Masjid Subang Bestari bernilai RM17 juta dan Masjid Al-Ikhlas, Taman Bukit Belimbing, Hulu Langat RM16 juta.

Katanya, projek lain termasuk pembinaan Masjid Bandar Teknologi Kajang dengan peruntukan RM12 juta dan Masjid Kota Damansara 2, Seksyen 9 (RM12 juta).

“Jabatan Agama Islam Selangor juga akan terus berperanan untuk
memberdaya institusi Islam melalui pembangunan dan program yang dapat melahirkan umat beriman dan berilmu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, sebanyak enam projek siap dibina pada 2017 dengan nilai keseluruhan RM34.01 juta.

Katanya, sebanyak 14 projek ditender pada tahun ini dengan nilai siling RM200.8 juta melibatkan pembangunan lapan masjid, empat Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) dan dua Sekolah Rendah
Agama (SRA).

“Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan RM34 juta untuk pembinaan blok asrama baru dan bangunan akademik MITS Istana Bandar, Jugra, Kuala Langat.

“Dua minggu lalu, saya turut meluluskan peruntukan segera RM250,000 untuk kerja membaik pulih dan menaik taraf pendawaian elektrik di MITS Istana Bandar.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan kerja menaik taraf asrama dan blok akademik MITS Bagan Terap dengan kos projek sebanyak RM6 juta,” katanya.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Potong bajet, apa hala tuju pendidikan negara?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Pemotongan dana universiti dalam Bajet 2018 lalu menimbulkan persoalan besar terhadap sejauh mana kesungguhan Kerajaan Persekutuan menentukan hala tuju bidang pendidikan negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mempersoal kewajaran pemotongan bajet dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Apa kualiti pendidikan yang ingin kita capai dengan pengurangan peruntukan ini dalam keadaan semua kos sedang meningkat?

“Sekali lagi, saya ingin tegaskan Kerajaan Persekutuan tidak boleh memperjudikan aspek pendidikan tinggi negara,” katanya pada sesi Perbahasan Belanjawan 2018, di Dewan Rakyat, pagi ini.

Terdahulu, perdana menteri mengumumkan pengurangan peruntukan kepada universiti awam seluruh negara dengan nilai pengurangan kepada RM1,671 bilion kepada RM1,670 bilion pada 2017.

Pengurangan membabitkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan nilai peruntukan RM407, 224 juta pada tahun 2017 kepada RM400 juta pengurangan sebanyak RM7.224 juta.

Manakala, Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu peruntukan RM 213,459 juta pada tahun 2017 kepada RM210 juta iaitu pengurangan RM 3.459 juta.

Bagi Universiti Teknologi MARA (UiTM), peruntukan RM 1.671 bilion pada tahun 2017 kepada RM1.670 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM1 juta.

Wan Azizah berkata, pengurangan itu akhirnya akan menyebabkan lebih banyak masalah negatif timbul pada masa akan datang.

“Pengurangan ini menjadi salah satu punca yang menyebabkan kualiti pendidikan negara semakin merosot dan golongan remaja serta belia mengalami masalah akhlak juga sikap.

“Ini menjadi salah satu punca terjadinya beberapa kejadian buli yang berlaku dalam negara dan memeranjatkan semua pihak termasuk dalam kalangan penuntut Institusi Pengajian Tinggi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Fokus pendidikan dalam Belanjawan 2018

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 27 OKT: Pencapaian ekonomi baik menjadi pemangkin Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan terhadap penambahbaikan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dalam Belanjawan 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata antara fokus utama Kerajaan Negeri adalah terhadap bidang pendidikan bagi melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi.

“Dengan negeri mencapai kemajuan dan ekonomi baik, manfaat ini mesti disampaikan kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri mempunyai program bagi memberi pendidikan kepada anak muda supaya menjadi golongan berilmu dan berkemahiran bersesuaian dengan kehendak industri juga pasaran.

“Ini kerana kita lihat ramai graduan yang kurang berkemahiran dan mereka akan dibantu bagi tujuan itu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan turut memberi penekanan terhadap isu perumahan supaya lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah.

“Kita akan menambah baik program IPR sedia ada kerana ia terbukti banyak membantu dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Fokus kita bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri tetapi perlu diseimbangi dengan ‘distributors justice’ di mana prinsip keadilan sosial itu mesti dipertahankan,” katanya

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Belanjawan 2018: Kerajaan Negeri perkenal inisiatif baru pendidikan

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 21 OKT: Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baru bagi kemajuan bidang pendidikan di Selangor, dalam Belanjawan 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pendidikan kerana ia adalah salah satu sektor penting untuk dibangunkan di Selangor.

“Kerajaan Negeri akan menbentangkan Belanjawan 2018 pada 3 November ini iaitu pada dasarnya berkaitan prinsip peduli siswa dan institusi pengajian di mana ia menjadi teras dalam belanjawan itu nanti.

“Saya akan memaklumkan beberapa inisiatif baru untuk memajukan pendidikan di Selangor,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen ke 20 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam beberapa perbincangan bersama pengurusan KUIS dan Universiti Selangor (UNISEL), Kerajaan Negeri turut mencadangkan diwujudkan ‘endowment fund’ (dana sumbangan) di kedua-dua institusi pengajian tinggi itu demi kemajuannya pada masa depan.

“Ia memang menjadi amalan di universiti terkemuka dunia kerana tidak mungkin kerajaan dapat terus memberikan sokongan dan peruntukan.

“Maka sumbangan daripada komuniti dan alumni amat penting untuk memajukan sesebuah universiti.

“Dalam konteks Islam, kita juga mahu KUIS menjadi sebuah universiti wakaf dengan mendapat perolehan melalui sumbangan daripada umat Islam dan pihak lain,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan permohonan pengurusan KUIS pinjaman mudah diberikan kepada institusi pengajian itu ditukarkan kepada geran.

“Dengan pertukarannya, KUIS tidak perlu membayar semula pinjaman.

“Berdasarkan pencapaian kewangan Kerajaan Negeri ketika ini, kita akan mempertimbangkannya sebaiknya,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peluang sumbang idea majukan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) membuka peluang kepada graduan universiti tempatan untuk menyumbang idea bagi memajukan negeri melalui Program Internship MBI 2017.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, inisiatif itu dilaksanakan membabitkan usahasama pemerbadanan itu dan anak syarikat Kerajaan Negeri lain.

“MBI mensasarkan 30 pelajar pelbagai bidang yang terdiri daripada perakaunan, IT, undang-undang dan teknikal.

“Pelajar yang akan diserap berpeluang menyumbang usaha, idea dan tenaga kepada program yang direncanakan.

image2“Aktiviti yang akan dijalankan secara keseluruhannya bertujuan memacu kemajuan sosioekonomi, CSR dan kemakmuran negeri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MBI mengambil pendekatan modul yang digunakan korporasi besar dunia yang melaksanakan program yang bersistematik.

Katanya, antara modul untuk melatih dan memberi pendedahan termasuk kemahiran daya kepimpinan, ilmu pendedahan alam pekerjaan, etika bekerja dan bidang lain itu juga diadaptasi daripada program perantis syarikat terkemuka dunia.

“Program ini dikhususkan kepada mahasiswa bidang kritikal yang bakal melahirkan golongan professional berdaya saing.

“Manakala daripada segi korporat pula, tanggungjawab ini diagih bagi memenuhi tujuan asal anak syarikat negeri yang diamanahkan menjana pulangan komersial dan menyediakan peluang pekerjaan serta perniagaan untuk manfaat rakyat Selangor,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Setiap kali menteri bertukar, pelajar jadi ‘tikus makmal’

OLEH DATO’ SERI DR SANTHARA

Saya ambil maklum kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mahukan sekolah aliran Bahasa Inggeris dan dijadikan sebagai perantaraan dalam sistem pendidikan di negara ini.

Kenyataan seumpama ini adakah hanya sekadar untuk memberi harapan kepada pengundi bangsa tertentu pada PRU akan datang? Saya bercakap bukan sebab tidak suka akan Bahasa Inggeris tetapi kita mesti bersikap realistik.

Sekolah kerajaan aliran Bahasa Inggeris tidak akan wujud di negara ini melainkan berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Dasar pendidikan negara ini seperti makmal uijikaji, setiap kali portfolio Menteri Pendidikan bertukar dan pada masa itu jugalah polisi baru ditukar. Pelajar-pelajar di sekolah ini seperti ‘tikus makmal’ dibuat oleh kerajaan Umno BN.

PELAJAR SEKOLAHApa yang perlu dilakukan sekarang ialah memartabatkan Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan dan pada masa yang sama penguasaan Bahasa Inggeris terus dipertingkatkan.

Bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam Bahasa Inggeris misalannya kerajaan sepatutnya menyediakan satu skim pembelajaran kelas tambahan bagi mereka menguasai apa yang dipelajari.

Dasar diskriminasi Umno BN dengan menyediakan tenaga pengajar dan pelajar yang hanya mengikut kaum tidak akan dapat membantu menyelesaikan permasalahan pendidikan di negara ini.

Tambahan pula, bajet pendidikan yang dipotong saban tahun menyebabkan ramai di antara pelajar cemerlang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat seterusnya. Ini sesuatu yang rugi buat negara.

* Dato’ Seri Dr. Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN