Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri komited bantu tingkat prasarana Kampung Orang Asli

naik taraf orang asli 01KUALA KUBU BHARU 6 NOV: Kerajaan Selangor komited membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk Kampung Buloh Telor dengan menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan penduduk kampung Orang Asli itu.

Antara kemudahan yang sudah disalurkan termasuklah keperluan asas seperti bekalan air paip dan elektrik untuk dinikmati 37 keluarga kampung terbabit.

ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Heong hari ini berkata, langkah itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri membantu golongan itu berbanding Kerajaan Persekutuan.

naik taraf orang asli 02“Selepas lebih 50 tahun tanpa bekalan elektrik, Kerajaan Negeri yang pertama pasang jangka elektrik di rumah-rumah penduduk kampung dan selepas itu barulah Kerajaan Persekutuan ambil maklum dan memasukkan bekalan elektrik.

“Sekiranya ketika itu, Kerajaan Persekutuan enggan masukkan elektrik, Kerajaan Negeri akan masukkan,” kata Kee Heong ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan penahan tebing dan jalan di Kampung Buloh Telor di sini.

Selangor Kini difahamkan dengan usaha Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, kos pemasangan jangka elektrik di semua rumah-rumah juga ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Sementara itu penduduk kampung itu juga mula menikmati bekalan air paip sejak lebih setahun lalu juga dari hasil usaha Kerajaan Negeri.

naik taraf orang asli 04Selain itu, taraf prasarana juga ditingkatkan dengan pemasangan lampu-lampu jalan, menyediakan gelanggang badminton, perhentian bas dan pembesar suara di surau kampung itu.

“Banyak perkara sudah diusahakan oleh ADUN angkat, Lau Weng Sang (ADUN Kampung Tunku) sebelum ini dan dalam program Jom Shoping sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

” Kita juga bawa bersama kira-kira tujuh keluarga Islam dan mereka gembira sebab kali pertama membeli belah di Econsave,” kata beliau lagi.

– EZY

Categories
SELANGOR

Pastikan gaji minimum dilaksana sepenuhnya sebelum GST

gajiKUALA LUMPUR 6 NOV : Kerajaan Pusat perlu memastikan pelaksanaan gaji minimum dilaksanakan sepenuhnya sebelum Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dikuatkuasakan bermula 1 April 2015.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata Kerajaan Pusat juga perlu memikirkan cara dan bertindak mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan yang kini masih tinggi.

“Kerajaan juga perlu memastikan juga sekurang-kurangnya 50 peratus (rakyat) dapat membayar cukai pendapatan,” kata Steven ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan 2014 di Dewan Rakyat.

Steven berkata, Kerajaan Pusat harus memikirkan cara mengatasi ketirisan sebanyak RM 28 bilion setahun agar wang negara dibelanjakan secara berhemah.

Katanya, Kerajaan Pusat diingatkan untuk memastikan hasil GST dikongsi dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

“Perkara ini penting untuk dilaksanakan secara 50:50 untuk membolehkan pembangunan setempat,” kata Steven.

– EZY

Categories
SELANGOR

Kerajaan Mongolia rancang ke Malaysia ikuti prosiding kes Altantuya

3d32cc3cb3dad58e4bdc2da97ca4055c_XLSHAH ALAM 6 NOV : Setev Shaariibuu, bapa Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh secara kejam dan kerajaan Mongolia ingin tahu apa yang berlaku terhadap rayuan yang mereka bawa kepada Kerajaan Malaysia berikutan pembebasan dua bekas polis yang membunuhnya pada 2006.

Ini berikutan tiada apa-apa perkembangan dan khabar berita daripada Pejabat Peguam Negara selepas lebih dua bulan pembebasan Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Peguam, Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi Shaariibuu berkata, anak guamnya sentiasa berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan rayuan itu.

“Dua minggu lalu, duta Mongolia di Bangkok, yang juga bertanggungjawab terhadap Malaysia, menulis kepada saya untuk bertanya tentang kes ini,” katanya, dipetik The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Kerajaan Mongolia berhasrat untuk menghantar delegasi untuk mengikuti prosiding di Mahkamah Persekutuan yang menjadi medan akhir bagi kes rayuan berkenaan.

“Kes ini bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan, tetapi juga diikuti oleh orang luar di negara lain termasuk di Mongolia,” katanya.

Karpal berkata, rayuan bagi kes pembunuhan berprofil tinggi ini boleh berjalan dengan lebih cepat sekiranya Mahkamah Persekutuan mengambil inisiatif untuk menetapkan tarikh pendengaran.

“Mahkamah Persekutuan boleh membuat pengecualian kepada kes ini yang melibatkan kepentingan orang ramai, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Karpal membandingkan dengan kes Fitnah II Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh rayuan dengan segera.

Beliau berkata, Putrajaya dikatakan sengaja melengah-lengahkan rayuan terhadap pembebasan Azilah dan Sirul.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada 23 Ogos, hari yang sama rayuan polis itu dibenarkan.
Penghakiman bertulis disediakan pada 26 Ogos.

Satu panel yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Apandi Ali berkata, dalam penghakiman mereka, antara lain kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil DSP Musa Safri, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Najib Razak, melemahkan kes pendakwaan.

Karpal berkata, Pejabat Peguam Negara seharusnya memfailkan petisyen rayuan dan menyatakan sebab mengapa Mahkamah Rayuan bersalah apabila ia membebaskan dua anggota polis berdasarkan penilaian bertulis semata-mata.

“Mereka boleh mempercepatkan proses rayuan kepada Mahkamah Persekutuan walaupun tanpa mempunyai rekod keseluruhan rayuan,” katanya.

Beliau berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang juga adalah pegawai mahkamah, mempunyai peranan dalam memastikan perbicaraan dan rayuan dijalankan tanpa bertangguh.

Pemeriksaan dengan peguam yang hadir bagi kedua-dua bekas anggota polis itu mendedahkan bahawa Pejabat Peguam Negara masih belum memfailkan rekod rayuan kerana tiada salinan diberikan kepada peguam itu.

Kedua-dua polis itu didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2006.

Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang didakwa sebagai kekasih kepada Altantuya, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dari dakwaan bersubahat tanpa dipanggil untuk membela diri.

Bapa Altantuya, Setev juga mahu kes ini diselesaikan dengan segera kerana ingin mengambil tindakan saman sebanyak RM100 juta terhadap Abdul Razak, Azilah, Sirul dan kerajaan atas kematian anaknya.

Bagaimanapun, samannya itu tidak boleh didengar selagi kes jenayah berkenaan tidak selesai.

-Keadilan Daily

Categories
SELANGOR

Peluang rasai jadi ‘Adun Muda’ di Selangor

niknazmiSHAH ALAM 6 NOV : Mahasiswa dan mahasiswi IPTA dan IPTS IPTA diberi peluang untuk merasai menjadi ‘ADUN Muda’ di Dewan Negeri Selangor.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, program ADUN Muda Selangor akan berlangsung pada 16-18 Disember ini.

Kata beliau, tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 November dengan hanya 30 peserta akan dipilih menyertai program ini.

“Perbahasan mereka akan dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh dan saya sendiri,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.

Pendaftaran program ini boleh dibuat secara online di http://www.adunmudaselangor.com. Syarat-syarat penyertaan serta maklumat lanjut boleh diperoleh di laman portal itu.

“Insya Allah, ini merupakan siri pertama Program ADUN Muda dan akan diteruskan pada masa hadapan,” kata beliau.

Peserta akan diberi peluang menyuarakan pendapat dan bertanya kepada pihak kerajaan berkenaan polisi, khususnya yang memberi impak kepada golongan muda.

Selain itu turut diberi kesempatan mencadangkan usul bagi memperkenalkan undang-undang baru di Selangor.

Categories
SELANGOR

200 pemilik bot dan nelayan di Sekinchan mogok

sekinchanSHAH ALAM : Kira-kira 200 pemilik bot dan nelayan di Sekinchan terus melancarkan mogok untuk tidak turun ke laut sebagai bantahan terhadap penguatkuasaan baru yang dikenakan ke atas mereka, sejak 1 November lalu.

Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengharamkan penggunaan bot pukat tunda yang menggunakan saiz mata di bawah ukuran 38 milimeter (mm) bagi menyelamatkan spesies marin dan benih ikan, selain pukat juga dipendek serta diperkecilkan dengan ukuran tertentu.

Sebelum ini, pengunaan yang itetapkan adalah saiz mata keroncong pukat tunda mestilah melebihi ukuran 38 mm mengikut Akta Perikanan 1985, sejak dua tahun lalu.

Selain itu, MOA juga mengharamkan Bot Zon B membabitkan lima batu nautika menggunakan khidmat warga asing sebagai pekerja dan hanya dibenarkan kepada bot Zon C (12 batu nautika atau lebih)

Penasihat Persatuan Nelayan Sekinchan, Chia Tian Hee, mendakwa penguatkuasaan pukat spesifikasi baru itu memberi kesan terhadap hasil tangkap, sekali gus menjejaskan mata pencarian nelayan.

“Sejak guna pukat saiz mata besar ini, ramai nelayan mengadu pendapatan mereka merosot hampir 60 peratus berbanding sebelum ini,” katanya.

Chia yang dihubungi Selangor Kini berkata, hampir 250 pemilik bot dan nelayan membabitkan 170 bot Zon B dan 40 bot Zon C sekitar Sekinchan mengambil keputusan untuk tidak ke laut.

“Sejak peraturan ini dikuatkuasa, boleh dikatakan hampir 90 peratus nelayan di kawasan ini tidak turun ke laut. Hanya sebahagian kecil yang masih ke laut, itu pun hanya tinggal lima peratus kerana kebanyakan mereka rasa kos dan kerja tidak berbaloi,” katanya.

Chia turut mengakui pergantungan kepada warga asing dalam semua sektor bukan suatu pilihan yang terbaik, namun penguatkuasaannya kepada sektor perikanan akan memberi kesan negatif kepada pengusaha sektor itu.

“Untuk dapat tenaga kerja tempatan ke laut, terutama di kalangan anak muda bukan semudah yang difikirkan. Mereka lebih gemar bekerja di bandar dan kilang. Kos menggajikan warga tempatan sudah tentu lebih besar berbanding warga asing dan dengan hasil tangkapan yang semakin merosot, bagaimana pengusaha sektor ini mampu bertahan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Mesir tidak patut halang Osama Morsi ke Malaysia

Dr Muhammad Nur Manuty - ketua penerangan PKR wacana melayu pasca PRU13SHAH ALAM 5 NOV : Kerajaan Mesir digesa membenarkan anak mantan Presiden Mesir yang digulingkan, Osama Morsi untuk ke luar negara bagi menyambung pelajarannya di Malaysia.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata tindakan menghalang keluar dari Mesir itu adalah bertentangan dengan prinsip Undang-Undang Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia.

Katanya, adalah tidak wajar Kerajaan Kudeta Mesir mengamalkan politik membalas dendam terhadap keluarga Dr Morsi yang digulingkan secara tidak demokratik.

“Apa hak kerajaan kudeta Mesir untuk menghalang beliau keluar dan menyambung pelajarannya di Malaysia, sedangkan itu adalah haknya.

“Jadi dia tidak sepatutnya dihalang kerana itu adalah tindakan yang ekstrem dan tidak munasabah serta tidak diterima masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, beliau mengingatkan Kerajaan Malaysia supaya tidak bertindak menghalang kemasukan Osama Morsi ke nagara ini.

“Kita harap Kerajaan Malaysia tidak terpengaruh dengan tindakan Kerajaan Kudeta Mesir dan perlu mengalu-alukan kehadirannya,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Osama dikatakan mahu menaiki pesawat Egypt Air ke Malaysia gagal melepasi pemeriksaan imigresen apabila namanya tersenarai antara individu yang tidak boleh keluar dari Mesir.

Osama yang mengulas tindakan Kerajaan Kudeta Mesir itu berkata, tindakan itu adalah satu lagi siri pelanggaran undang-undang dan pencabulan hak asasi.

Kehadiran Osama di Malaysia untuk menyambung pengajian bagi melengkapkan PhDnya dan tidak ada kaitan dalam sebarang urusan perbicaraan bapanya, Mohamed Morsi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pasangan 16 anak, Tokoh Keluarga Mithali 1435H/2013M

TOKOH KELUARHA MITHALI - TUAN HAJI MOHD DAWAM BIN DOLLAH DAN PUAN NORAISAH BINTI HASSANSHAH ALAM 5 NOV : Pasangan suami isteri, Mohd Dawam Dollah dan Noraisah Hassan dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dalam Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Mohd Dawam, 64, pesara guru agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menetap di Sungai Nibong, Sekinchan masih berkhidmat sebagai ketua kampung Sungai Nibong Batu 23, Sekinchan dan dilantik sebagai Pengerusi Ketua-Ketua Kampung Daerah Sabak Bernam.

Katanya, dia dan Noraisah, 60, mempunyai 16 orang anaknya dan 10 daripadanya sudah bekerja, manakala enam lagi masih menuntut dalam pelbagai bidang di universiti dan sekolah menengah.

“Biarpun sibuk membesarkan dan mendidik anak, tenaga dan keringat tetap saya dan isteri sumbangkan dalam mengurus dan mentadbir masjid, koperasi guru serta aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Pada majlis sama, Tokoh Saudara Kita 1435H/2013M dianugerahkan kepada Lim Jooi Soon, 44, yang memeluk Islam ketika berusia 28 tahun, pada 9 Januari 1997.

Katanya, dia pernah menuntut di Islamic Education Trust di Nigeria selama 12 tahun dan di Australia selama empat tahun dalam Bible student dengan niat untuk mendalami ilmu agama.

Jooi Soon bertugas sebagai pendakwah bebas, selain banyak menyumbangkan tenaga, idea dan pengalaman dengan menyampaikan ceramah di dalam serta luar negara, malah kini masih aktif sebagai pelatih kader dakwah kepada muallaf juga bukan Islam selain menguruskan kes murtad.

Selain itu, beliau turut terbabit dalam menganjurkan kursus ‘Training The Trainer’ anjuran Nuruddin Lemu dan Aisyah Rodrigo daripada Islamic Trust Nigeria, selain berperanan sebagai penganjur kbagi Kursus Interaktive Dakwah Training, di samping menjadi panel dalam forum perbandingan agama.

Bagi Anugerah Badan Dakwah Sukarela Terbaik 1435H dianugerahkan kepada Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) yang banyak menjalankan aktiviti dakwah kepada pesakit dan keluarga mereka ketika dirawat di hospital.

Semua anugerah disampaikan Tengku Panglima DiRaja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang turut dihadiri, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; pembesar negeri, EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan lebih 1,000 hadirin.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB Selangor : Tahniah, Mohd Azam jadi ADUN baru Sg Limau

PRK-DUN-Sungai-Limau azamSHAH ALAM 5 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Mohd Azam Abd Samat yang dipilih pengundi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau yang baru, semalam.

“Akhirnya warga DUN Sungai Limau memilih beliua (Mohd Azam) sebagai ADUN yang baru. Tahniah kepada PAS dan Pakatan Rakyat (PR) atas kemenangan yang diperolehi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau, moga tanggungjawab ini mampu kita galas dengan amanah dan ikhlas, Insya-Allah,” katanya menerusi laman Facebook, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Mohd Azam menyifatkan kemenangannya pada PRK DUN Sungai Limau adalah kejayaan semua dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS, PR, pengundi DUN Sungai Limau serta seluruh jentera yang membantu untuk memenangi kerusi N20 itu.

“Alhamdulillah, Allah SWT anugerahkan kemenangan di tahun baru Hijrah ini. Kemenangan ini adalah kemenangan kepada seluruh pejuang Islam, keadilan dan kebenaran serta pembela hak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, menganggap kemenangan Mohd Azam adalah hadiah Tahun Baru 1435H buat seluruh rakyat Sungai Limau.

“Beribu tahniah buat Mohd Azam di atas kemenangan dalam PRK ini bagi menggalas amanah jamaah dan rakyat di Dun Sungai Limau,” katanya menerusi akaun Facebook.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berharap ADUN Sungai Limau yang baru itu dapat melaksanakan amanah dengan baik dan cemerlang, selain mengucapkan tahniah kepada seluruh pimpinan parti yang banyak berkorban masa, tenaga serta harta untuk PRK itu.

Mohd Azam, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi yang membolehkan PAS mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi. -NFN-

Categories
SELANGOR

Mantan Timbalan Pengarah Pendidikan JAIS terima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Selangor 1435H/2013M

TOKOH MAAL HIJRAH - TUAN HAJI SIANID BIN MOKIMSHAH ALAM 5 NOV : Mantan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sianid Mokim dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435H/2013M peringkat negeri Selangor.

Sianid, 63, dilahirkan di Bukit Kuching, Kuala Selangor, pada 29 Ogos 1950 dan memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela, Jeram, manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Jeram, sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Islam, Kota Bharu.

Beliau berkelulusan Diploma Syariah dan Undang-undang Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri dan Ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, pada 1977.

Sepanjang berkhidmat di JAIS, beliau adalah penulis buku teks SRA JAIS, buku teks sukatan Al-Azhar Sekolah Menengah dan penulis tafsir Al-Quran Bahasa Arab.

Kini, beliau masih aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana KAFA negeri Selangor.

Anugerah berkenaan disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Negeri, Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pembesar negeri, EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) danlebih 1,000 hadirin.

Pada majlis itu, Sianid turut menerima wang tunai RM20,000 yang disumbangkan kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi, serta pakej mengerjakan umrah.

-NFN-

Categories
SELANGOR

SPR dan SPRM ‘tertidur’ di Sg Limau, rasuah berleluasa

PRK DUN Sungai Limau

SHAH ALAM 3 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi ‘kayu mati’ yang gagal menghalang rasuah pilihanraya yang berlaku secara berleluasa dalam PRK N20 Sungai Limau.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pemberian dilakukan secara terang-terangan dalam bentuk pemberian wang ringgit, dan barangan atas pelbagai nama.

Katanya, ia dilakukan secara terbuka oleh pimpinan kerajaan, di samping penggunaan hampir seluruh jentera kerajaan kecuali Jabatan Kaji Cuaca sahaja yang tidak kelihatan.

“SPRM yang diharap menjadi agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah serta pihak polis menjadi pemerhati kosong di atas apa yang berlaku.

“Alasan yang sering kali didengar ialah ianya bukan diberi oleh calon atau wakil calon, maka ianya bukanlah rasuah,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk mengambil contoh pencegahan rasuah negara luar menjadi bahan ketawa pemerhati asing.

“Kini ia menjadi budaya yang diterima oleh umum, menyebabkan penduduk yang terpinggir dan miskin akan bergantung kepada pilihanraya kecil untuk kawasan mereka diberi perhatian, paling tidak, pelbagai janji yang memenuhi impian mereka,” kata beliau.