Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

e-Bazar Tahun Baharu Cina mulai 1 Februari, sasar 25,000 peniaga kecil

SHAH ALAM, 26 JAN: Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina menyasarkan penyertaan 25,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro termasuk 12,500 penjual baharu.

EXCO industri dan perdagangan berkata kempen jualan dalam talian itu akan berlangsung dari 1 Februari hingga 7 Mac dengan baucar bernilai RM2 juta disalur kepada laman dagang Shopee dan Lazada.

“Shopee dan Lazada akan terus merancakkan promosi untuk program ini. Justeru, kita berharap pendaftaran usahawan mendapat sambutan menggalakkan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media hari ini.

Beliau menambah inisiatif tersebut membantu PKS dan usahawan mikro menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19.

Menurutnya, kempen itu menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.

“Kita berharap kempen ini memberi semangat dalam meraikan Tahun Baharu Cina walaupun dalam situasi tidak mengizinkan,” katanya.

Chang Khim menambah kempen Selangor E-Bazar Raya dan Selangor E-bazar 11.11 Jualan Mega tahun lalu yang mencatat jualan jutaan ringgit membuktikan agenda ekonomi digital membantu ramai peniaga.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif tersebut menghasilkan kesan riak sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta.

Perolehan itu berdasarkan pemberian RM3 juta baucar oleh Kerajaan Negeri kepada Shopee dan Lazada.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKP: Kerajaan, bank disaran pertimbang bantu perniagaan terjejas – NCCIM

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) berharap kerajaan dan bank akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan dan langkah bantuan kepada perniagaan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua.

Ini terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga kecil, peruncit dan sektor perjalanan dan pelancongan, demikian menurut Presiden NCCIM Tan Sri Ter Leong Yap.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menyarankan bank untuk terus menghulurkan sokongan dengan memudahkan obligasi pembayaran semula pinjaman kepada peminjam ekoran situasi semasa.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk melanjutkan program subsidi upah untuk membantu sektor yang terjejas selain pelancongan dan runcit seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 di samping menyediakan geran kewangan sekali beri kepada peniaga kecil dan perusahaan mikro.

Ter turut berharap agar kerajaan memberi pelepasan sewa dan diskaun elektrik, membenarkan pembayaran baki cukai tahun taksiran 2020 dan 2021 secara ansuran selama tiga bulan dan menyediakan subsidi ke atas kos pemvaksinan pekerja asing untuk perniagaan, terutamanya PKS.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan peraturan darurat perlu dikendalikan dengan berhati-hati dan dikuatkuasakan secara telus dan disampaikan dengan baik untuk memupuk keyakinan dan meredakan ketidakpastian pelabur.

Malahan, katanya, apa yang lebih penting, ia perlu ditamatkan apabila perintah darurat telah mencapai matlamatnya berikutan tempoh darurat yang berlarutan akan menjejaskan prospek pelaburan swasta.

“Ketika tempoh darurat ini, pertimbangan paling penting adalah komunikasi yang efektif dan penyebaran maklumat.

“Dalam hal ini, libat urus kerajaan dan pengawal selia bersama-sama industri adalah penting sebelum pelaksanaan dasar awam dan perintah ordinan baharu untuk mengurangkan gangguan kepada perniagaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lulus permohonan pinjaman PKS lebih RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Kerajaan meluluskan 5,397 permohonan pinjaman daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernilai RM1.072 bilion untuk membantu perniagaan di bawah Skim Pembiayaan PKS Penjana sehingga 4 Dis 2020.

Jumlah ini lebih tinggi daripada 5,301 permohonan pinjaman bernilai RM1.085 bilion yang diluluskan minggu lepas.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan turut menerima 519 permohonan daripada PKS untuk Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana, dan daripada jumlah itu sebanyak 236 permohonan diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM47.6 juta.

“Dengan pembukaan semula sempadan antara negeri, kemudahan ini dijangka dapat membantu PKS yang memerlukan suntikan dana dalam masa terdekat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam laporan LAKSANA ke-33 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) yang dikeluarkan hari ini.

Mengenai Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), katanya sebanyak RM253.1 juta disalurkan untuk memberi manfaat kepada 7,252 PKS mikro merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan sehingga 4 Dis.

Beliau berkata bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian dan makanan, sebanyak RM57 juta disalurkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank kepada 5,796 PKS mikro pertanian.

Bagi memastikan sektor pelancongan dan perhotelan kembali pulih daripada Covid-19, kerajaan bersetuju memberikan lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang dikendalikan oleh pengendali premis penginapan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021.

“Sehingga 4 Dis, nilai pengecualian cukai yang telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah nilai RM836.6 juta.

“Antara inisiatif lain bagi menyokong sektor pelancongan merangkumi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya. Kedua-dua inisiatif ini akan tamat pada 31 Jun 2021,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bagi merangsang pertumbuhan sektor komoditi dan nilai eksport negara, kerajaan turut memperkenalkan pengecualian duit eksport sehingga 100 peratus ke atas industri berasaskan minyak sawit.

Katanya, antara manfaat daripada langkah cukai ini secara langsung akan dapat membantu memudahkan pekebun kecil untuk menjual hasil keluaran mereka kepada kilang-kilang.

“Setakat 4 Disember, nilai pengecualian duti eksport yang berjaya dimanfaatkan oleh industri negara ialah sebanyak RM373 juta (peningkatan daripada RM325 juta minggu lalu),” katanya.

Bagi Program Subsidi Upah, katanya sebanyak RM12.55 bilion telah dibelanjakan sehingga 4 Dis, 2020 untuk membantu 322,177 majikan meneruskan perniagaan dan mengekalkan sejumlah 2.64 juta pekerja.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM sedia dana sehingga RM5 juta bantu usahawan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5 juta daripada dana Kemudahan Teknologi Tinggi Bank Negara Malaysia (BNM) – Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) bernilai RM1 bilion.

“PKS boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tujuan modal kerja; sehingga RM5 juta bagi membiayai perbelanjaan modal; atau gabungan perbelanjaan modal kerja dan modal sehingga RM5 juta untuk tempoh sehingga 7 tahun.”

Kemudahan ini ditawarkan pada kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun untuk pinjaman tanpa jaminan atau sehingga 5 peratus setahun termasuk yuran jaminan (dengan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), kata BNM dalam satu kenyataan semalam.

Kemudahan itu akan disediakan mulai 15 Disember 2020 hingga 31 Disember 2021, atau sehingga ia habis digunakan sepenuhnya (yang mana lebih awal).

HTF-NIA yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2021 adalah usaha untuk memberi bantuan tambahan kepada PKS yang terjejas akibat Covid-19.

“Kemudahan ini bertujuan menyokong PKS berteknologi tinggi dan berteraskan inovasi yang terjejas akibat Covid-19 untuk pulih dan menghidupkan semula kapasiti inovasi negara. Ini adalah penting bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia yang kompetitif dalam rantaian nilai global, memelihara ekosistem rantaian penawaran dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi.”

PKS yang layak termasuk mereka yang berada dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan berteknologi tinggi yang paling sejajar dengan matlamat yang ingin dicapai dalam pembangunan jangka panjang strategik kebangsaan seperti yang termaktub dalam NIA. Antara contohnya ialah perniagaan dalam industri sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta firma berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong pembangunan teknologi baharu.

“Peserta projek PKS dalam program penting kerajaan yang terlibat dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi untuk teknologi yang diberi keutamaan dalam rangka tindakan kebangsaan, daripada teknologi berkaitan IR4.02, teknologi hijau dan bioteknologi bagi memastikan kesinambungan dan penyiapan projek yang sedang berjalan,” kata BNM.

PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan yang terlibat, yang merangkumi bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM melalui laman web mereka atau dengan melawat cawangan mereka.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Putrajaya tiada hala tuju ekonomi, gagal bantu peniaga kecil

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hala tuju yang jelas bagi mengukuhkan ekonomi negara ekoran berdepan kemelut politik berterusan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata situasi itu menyebabkan Putrajaya gagal mewujudkan mekanisma jelas bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tunjang ekonomi negara.

“Sedangkan PKS rata-ratanya adalah dalam kalangan Melayu dan Bumiputera yang teruk terjejas.

“Keparahan ekonomi yang melanda negara pada ketika ini perlu segera ditangani sebaiknya. Impak pandemik Covid-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan secara berterusan dalam norma baharu,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan Selangor melakukan pelbagai langkah untuk membantu usahawan PKS yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Usaha meliputi insentif khas penjaja berlesen berjumlah RM40 juta, pengecualian sewa premis (RM12 juta), penangguhan bayaran pinjaman Hijrah (RM70 juta) dan inisiatif pembiayaan tunai ‘Selangor Advance’ (RM100 juta).

Kerajaan Negeri juga memperkenal rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) sebagai tempat pemasaran dan jualan dalam talian khususnya untuk usahawan luar bandar.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lanjutkan moratorium jamin kelangsungan peniaga kecil, mikro

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan dapat melanjutkan moratorium pinjaman untuk memastikan kelangsungan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro.

Presiden, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata walaupun inisiatif kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi telah disambut baik, namun banyak lagi yang diperlukan bagi memastikan syarikat terus bertahan dan pada masa sama mengekalkan pekerjaan pekerja yang ada.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pelbagai inisiatif menerusi Belanjawan 2021 namun campur tangan yang lebih bermakna amat diperlukan untuk memastikan kelangsungan perniagaan terutama PKS dan mikro,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas daripada ahli MEF, program subsidi upah membantu dengan mengurangkan aliran tunai tetapi ia tidak cukup baik kerana subsidi upah hanya akan berfungsi sekiranya perniagaan itu terus wujud.

“Penamatan moratorium telah menyukarkan kesinambungan perniagaan.

“Kalangan majikan amat berharap agar moratorium dilanjutkan memandangkan langkah itu penting dalam membantu mengekalkan operasi perniagaan semasa tempoh mencabar dan sukar ini,” katanya.

Syed Hussain berkata kira-kira 60 peratus ahli MEF adalah PKS dan penting bagi mencapai kesejahteraan ekonomi agar PKS dapat meneruskan operasi mereka.

Persekutuan itu berharap kerajaan mempertimbangkan semula untuk melanjutkan moratorium dan mungkin memberikan sedikit pelepasan cukai bagi tahun taksiran 2020 untuk perniagaan, katanya.

Beliau berkata ini supaya lebihan tunai itu dapat digunakan untuk membiayai lebih banyak peningkatan teknologi dan pada masa sama mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor Advance agih RM75 juta bantu PKS terjejas

SHAH ALAM, 2 NOV: Sebanyak RM75 juta di bawah skim pembiayaan tunai Selangor Advance diguna membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pembiayaan tersebut memastikan kelangsungan serta mengukuhkan daya saing perniagaan sekali gus menyelamatkan syarikat dan pekerja.

“Peruntukan RM75 juta dicairkan membantu kitaran ekonomi PKS mendepani cabaran semasa, selain turut memberi baucar pelancongan dan melaksanakan projek Rumah Selangorku dan IDAMAN bagi merancakkan ekonomi.

“Untuk meningkatkan daya saing rakyat pula, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif e-Dapur, e-Bazar, Selangor Kerjaya, Roda Darul Ehsan, Rakan Digital dan pelbagai bentuk bantuan lagi,” kata Dato’ Seri Amiruddin Shari.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berhubung inisiatif Kerajaan negeri untuk merancakkan ekonomi pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Pada 22 Jun Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif pembiayaan tunai Selangor Advance dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS.

Sistem pembiayaan patuh syariah berkonsepkan Tawarruq membantu syarikat PKS dalam isu aliran tunai untuk meneruskan perniagaan.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS, usahawan perlukan lebih banyak geran, pembangunan digital

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Peserta industri berharap Belanjawan 2021 menawarkan lebih banyak geran bantuan dan pemadanan terutamanya yang boleh membantu penerimaan pakai digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro (MSME) serta pengecualian cukai bagi membantu mereka menangani arus perubahaan keadaan pada masa ini.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang berkata sementara penerimaan pakai pendigitalan amat penting untuk perniagaan dalam pelbagai bidang, perhatian khusus kepada PKS dan MSME sememangnya perlu kerana mereka telah terjejas teruk oleh krisis kesihatan Covid-19.

“Pendekatan yang padu dan berstruktur diperlukan untuk menyokong digitalisasi dan untuk mereka mengubah cara menjalankan perniagaan,” kata beliau kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Antara lain, penerimaan pakai digital boleh membantu PKS dan usahawan mikro memanfaatkan pelbagai platform yang ada termasuk Platform Bersepadu Halal (HIP) milik Halal Development Corporation (HDC) iaitu platform urus niaga dalam talian yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan.

“HIP akan menjadi hab urus niaga dalam talian terbesar yang menghimpunkan 200,000 syarikat PKS tempatan yang terlibat dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal.

“Dengan platform maya ini, perniagaan akan dikendalikan tanpa sempadan dan ia menggalakkan pengantarabangsaan dan urus niaga merentasi sempadan dan negara,” kata pengerusi HDC Datuk Mahmud Abbas.

Pada 28 September, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan memudahkan pencepatan penerimaan pakai digital dalam kalangan PKS di bawah Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November.

Beliau berkata rekod menunjukkan penghijrahan teknologi dan digital belum lagi mencapai tahap kritikal dalam kalangan PKS.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa dengan pendigitalan, PKS boleh mendapat jangkauan pasaran yang lebih besar dan seterusnya memasuki pasaran serantau, dan bagaimana institusi kewangan kita boleh menyokong mereka dalam proses ini,” katanya.

PKS menguasai 98.5 peratus perniagaan di Malaysia, menyediakan lebih lima juta pekerjaan yang menyumbang melebihi RM500 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sementara industri halal pula mempunyai 230,000 peserta termasuk syarikat multinasional dan PKS.

Sementara itu, ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Izuan Ahmad berkata kerajaan juga perlu terus memberi sokongan kepada automasi berdasarkan kepada asas-asas yang ditetapkan oleh pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bagi menggalakkan peralihan dalam kalangan PKS.

“Inisiatif seperti peruntukan Kemudahan Bantuan Khas BNM (SRF COVID-19) dan skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) patut diteruskan kerana kesan daripada pandemik mungkin berpanjangan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) Datuk William Ng berharap selain daripada lanjutan inisiatif kewangan, kerajaan akan turut menambah geran pemadanan digitalisasi.

Beliau turut menyarankan kerajaan memperkenalkan insentif “Bekerja-dengan-PKS” untuk warga Malaysia yang telah menganggur selama tiga bulan ataupun diberhentikan semasa semasa tempoh pandemik ini dan mereka yang telah berjaya diterima bekerja dengan PKS.

“Kami mencadangkan agar jumlahnya ditetapkan pada RM300 sebulan untuk tempoh 12 bulan, dibayar terus kepada pekerja,” kata beliau.

Persatuan itu juga berharap Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pengecualian cukai korporat untuk RM500,000 pertama pendapatan korporat yang dikenakan cukai, dan pengecualian cukai korporat untuk pendapatan tambahan bagi tahun kewangan 2021 berbanding 2020, tambahnya.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya yang turut bersetuju dengan pendapat Ng berkata, sekurang-kurangnya PKS memerlukan suntikan modal jangka panjang dan tanpa faedah.

Beliau turut berpendapat kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu terlibat sama dalam mengubah platform pemasaran dan keusahawanan.

Ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan insentif seperti pengecualian cukai, pengecualian yuran pendaftaran perniagaan dan yuran pembaharuan pendaftaran perniagaan untuk syarikat yang mengendalikan perniagaan dalam talian serta mewujudkan pusat-pusat pemasaran digital setempat untuk pelbagai produk dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2021: Fokus PKS industri halal tembusi pasaran eksport – HDC

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Pembentangan Belanjawan 2021 perlu memberi penekanan terhadap usaha melahirkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri halal untuk mendapat pensijilan halal sekaligus menembusi pasaran eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Hairol Ariffein Sahari berkata kerajaan melalui agensi berkaitan perlu membantu PKS yang menawarkan produk serta perkhidmatan halal untuk mendapat pensijilan halal dengan mudah.

“Setakat tahun ini kira-kira 7,000 daripada 200,000 PKS sahaja yang mempunyai sijil halal. Kerajaan perlu bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Standard Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mencari penyelesaian berkaitan proses pensijilan halal dan bagaimana menjadikannya lebih mesra industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas mengenai isu yang perlu diketengahkan pada Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 November, 2020.

Hairol berkata pasaran produk dan perkhidmatan halal di peringkat global adalah berjumlah US$3.1 trilion (US$1 = RM4.15) dengan Malaysia mencatat nilai eksport berjumlah US$10 bilion pada 2019.

“Jika lebih banyak lagi PKS yang mempunyai sijil halal, sudah pasti ia mampu meningkatkan lagi pasaran eksport sekaligus menjadikan mereka pemain industri yang berjaya,” katanya.

Pada tahun lepas, sebanyak RM10 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform kepada peserta pasaran untuk bersaing di pasaran halal antarabangsa.

Dalam pada itu, Hairol turut menekankan tentang keperluan meningkatkan keperluan modal insan dan tenaga pakar dalam industri halal dalam Belanjawan 2021.

“Hanya sekitar 20,000 individu sahaja yang terlatih dalam pengurusan industri halal dalam program berkaitan industri halal seperti bioteknologi, teknologi makanan, biomedikal. Kepakaran mereka diperlukan dalam memberi perkhidmatan untuk meningkatkan integriti halal pada rantaian bekalan yang membantu pertumbuhan ekosistem halal secara keseluruhan,” katanya.

Hairol berkata ia juga dapat memberi peluang pekerjaan yang baik kepada mereka selain berpeluang berkhidmat dengan syarikat halal yang berada di luar negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sitec lahir 625 peniaga e-dagang, latih 9,000 usahawan kecil

SHAH ALAM, 16 OKT: Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (Sitec) berjaya melahirkan seramai 625 peniaga e-dagang dalam tempoh lima tahun.

Ketua eksekutifnya berkata institut tersebut turut melatih lebih 9,000 usahawan kecil dan sederhana (PKS) serta individu untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Sitec menyediakan peluang latihan perniagaan kepada pelbagai pihak melalui kelas e-dagang, `master class’, `online 100′ dan ‘brands 100’ untuk mengubah bentuk perniagaan tradisional.

“Ekosistem pendigitalan atau dunia e-dagang akan terus diberi tumpuan seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi pintu gerbang perdagangan di Asia Tenggara,” kata Yong Kai Ping pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor2020 secara maya semalam.

Beliau berkata pihaknya turut menganjur program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di beberapa daerah bagi membantu usahawan memulakan perniagaan e-dagang.

Pada 20 September, Dato’ Menteri Besar mahu keupayaan mengadaptasi arus digital dalam perniagaan bermula dari sekarang, bukan menunggu lima hingga 10 tahun lagi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan pantas teknologi menuntut usahawan untuk lebih proaktif dengan mengubah strategi pemasaran supaya mampu bertahan dalam perniagaan.

Categories
EXCO SELANGOR

Sepuluh peniaga kecil kongsi kejayaan bangkit selepas PKP

SHAH ALAM, 15 OKT: Kejayaan 10 usahawan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini bangkit semula susulan penularan Covid-19 bakal dikongsi dalam dialog khas.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sesi pertama Dialog Industri: Pemulihan Pasca Pandemik bakal disiarkan pada 20 Oktober secara dalam talian.

“Sesi dialog ini disertai usahawan pelbagai bidang antaranya e-dagang, peruncitan, pelancongan, perhotelan, makanan dan minuman, pertanian, perikanan, pengiklanan, perfileman serta logistik.

“Antara fokus ialah bagaimana inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri membantu memulihkan perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan selain memastikan peniaga kekal bersaing dalam krisis Covid-19 yang belum berakhir,” katanya.

Beliau berucap pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2020 yang dianjurkan secara maya hari ini.

Chang Khim berkata program itu turut membuka peluang kepada semua pihak berkongsi idea dan bertukar pandangan mengenai cabaran semasa serta masa hadapan.

“Kejayaan hanya dapat diraih apabila semua pihak duduk bersama, jadi saya mengajak pemain industri, pemegang taruh, dewan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama Kerajaan Negeri menjayakan program ini,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Peniaga kecil perlu terap norma baharu, manfaat pendigitalan

SHAH ALAM, 15 OKT: Penularan Covid-19 memberi kesedaran kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung kepentingan pendigitalan dalam perniagaan.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata peniaga perlu memanfaatkan aplikasi pintar untuk kelangsungan perniagaan serta berkembang dalam norma baharu.

“Golongan peniaga amat terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan kini kerajaan melaksanakan pula PKP Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

“Sudah pasti ia sekali lagi memberi kesan kepada kita semua tetapi sektor PKS perlu menerapkan norma baharu yang menggalakkan penggunaan teknologi seiring persekitaran pendigitalan ekonomi,” katanya pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2020 secara maya hari ini.

Chang Khim berkata peniaga mungkin perlu mengeluarkan kos untuk mengembang atau menaik taraf keupayaan teknologi, namun bakal mendapat manfaat bagi tempoh jangka panjang.

“Penggunaan teknologi akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos gaji pekerja, meluaskan capaian pelanggan serta mewujudkan rangkaian perniagaan baharu,” kata beliau lagi.