Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan jalan raya diadakan semula di KL, Selangor dan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Polis akan kembali menguatkuasakan sekatan jalan raya (SJR) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 14 Okt.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sekatan jalan raya itu akan diadakan di beberapa lokasi di tiga negeri terlibat bermula tengah malam esok.

“Sekatan jalan raya akan dilaksanakan sama seperti yang pernah dibuat sebelum ini (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac lepas. Arahan penugasan anggota polis di lokasi akan diatur oleh ketua polis Kuala Lumpur dan ketua polis Selangor,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM akan bekerjasama dengan PDRM dalam melaksanakan sekatan jalan raya seperti sebelum ini.

“ATM dan PDRM akan buat seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya ringkas.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini.

Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Petaling serta Gombak.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tambah sekatan jalan raya di Bandar Puteri, Taman Suria Pendamar

SHAH ALAM, 9 OKT: Polis akan mengadakan sekatan jalan raya dan penutupan jalan di dua lokasi tambahan mulai tengah malam ini susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata dua lokasi itu ialah di Bandar Puteri, Klang (Jalan Gelang 8) dan di Taman Suria, Pendamar (Flat Suria Pendamar), Pandamaran.

“Di Bandar Puteri, sekatan jalan raya akan dilakukan di Lebuh Gelang 1 arah kanan manakala Lebuh Gelang 1 menghala ke Jalan Johan Setia akan ditutup. Di Taman Suria pula, sekatan jalan raya akan dilakukan di jalan masuk ke Jalan Selat Selatan 14 sementara Jalan Selat Selatan 14 menghala ke Jalan Banting-Pandamaran akan ditutup sehingga tamat tempoh PKPB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata orang ramai yang ingin keluar masuk ke Bandar Puteri (Jalan Gelang 8) dan Taman Suria Pendamar (Flat Suria Pandamaran) dikehendaki mendapatkan surat kebenaran daripada pihak polis.

“Tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada tatacara operasi piawai PKPB,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam buat sekatan jalan raya di Kampung Bukit Naga

SHAH ALAM, 9 OKT: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Bukit Naga susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata sekatan itu beroperasi 24 jam di bawah pentadbiran Balai Polis Taman Sri Muda yang menghubungkan laluan sempadan Klang dan Shah Alam.

“Lokasi SJR Kampung Bukit Naga (di) Lot 6012, Lorong Takiah, Batu 6, Kampung Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan orang ramai yang ingin keluar atau masuk ke kawasan Bukit Tinggi melibatkan Bayu Perdana, Flat Sri Angkasa, Apartment Vista Bayu dan Bayu Villa serta Taman Sri Andalas dinasihat untuk mendapatkan surat kebenaran di balai polis bergerak yang disediakan.

Baharudin menambah Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan membuat pantauan secara berkala bagi memastikan laluan antara kedua-dua daerah berjalan lancar.

“Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang setakat ini (tertakluk kepada perubahan semasa),” katanya.

PKPB dilaksanakan di 36 kawasan di mukim Klang bermula hari ini hingga 23 Oktober sebagai langkah pencegahan susulan peningkatakan kes Covid-19 di daerah itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Tiga jalan di Klang Utara ditutup

SHAH ALAM, 9 OKT: Tiga jalan di Klang Utara ditutup susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata ia melibatkan Jalan Raksa 2, Jalan Raksa 3 dan Lorong Perak di Taman Bukit Kuda.

“Selain itu, terdapat dua sekatan jalan raya melibatkan Jalan Bukit Kuda berhadapan Emy Cookies & Food dan satu lagi berdekatan simpang Lorong Lintang Raksa 2.

“Orang ramai yang ingin keluar masuk ke kawasan itu perlu mendapatkan surat kebenaran dari balai polis bergerak dan khemah disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya mematuhi arahan PKPB atau bakal dikenakan kompaun.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-32913344.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan jalan raya di Bukit Tinggi, Taman Sri Andalas

SHAH ALAM, 8 OKT: Mana-mana individu yang ingin mengadakan perjalanan keluar atau masuk ke kawasan Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas, Klang perlu memohon surat kebenaran daripada polis.

Ketua Polis Dearah Klang Selatan, ASP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya akan mengadakan sekatan jalan raya di kawasan terbabit semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 9 Oktober ini.

Berikut kenyataan penuh:

Lanjutan dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berkuat kuasa pada 9 Oktober 2020, Polis Klang Selatan akan mengadakan sekatan jalan raya dan penutupan jalan seperti berikut:-

Bukit Tinggi, Klang

Sekatan jalan raya

– Persiaran Pegaga (Berhadapan Restoran Subaidah)
– Jalan Kim Chuan (Berhadapan 99 Speedmart)

Penutupan jalan

– Jalan Batu Unjur 9
– Jalan masuk berhadapan kedai elektrik Onking Chain-Store (Malaysia) Sdn. Bhd
– Lorong masuk berhadapan Kedai Motosikal Wisfatt

Taman Sri Andalas, Klang

Sekatan jalan raya

– Persimpangan masuk dan keluar Jalan Tun Dr. Ismail

Penutupan jalan

– Berhadapan Masjid Ar Rahimiah
– Jalan Sri Siantan
– Jalan Sri Siantan 41
– Jalan Sri Damak 53

Kebenaran rentas daerah

Orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke kawasan Bukit Tinggi (Bayu Perdana, Flat Sri Angkasa, Apartment Vista Bayu dan Bayu Villa) dan Taman Sri Andalas dinasihatkan untuk mendapatkan surat kebenaran dari Polis Diraja Malaysia (Balai polis bergerak disediakan di dua lokasi tersebut).

Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang setakat ini (tertakluk kepada perubahan semasa).

Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi PKPB. Tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada SOP PKPB. Sila hubungi Bilik Gerakan Op COVID-19 di talian 03-33762400 sekiranya ada sebarang pertanyaan atau aduan

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada lagi sekatan jalan raya rentas negeri tengah malam tadi

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Sekatan jalan raya rentas negeri di seluruh negara dihentikan mulai tengah malam tadi selepas kerajaan membenar pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias bagaimanapun berkata pihaknya masih melaksanakan sekatan jalan raya bagi tugasan khas seperti Op Mabuk dan samseng jalanan.

“Sekatan jalan raya rentas negeri yang didirikan ditutup mulai tengah malam tadi, namun Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah akan menjalankan sekatan jalan raya untuk operasi tertentu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak menuju ibu negara mendapati anggota polis dan tentera yang bertugas di sekatan jalan raya mula mengalihkan kon serta khemah yang terletak di sekatan jalan raya rentas negeri di lokasi itu.

Beberapa kenderaan juga dilihat mula masuk ke ibu negara serta keluar menuju pantai timur untuk ke destinasi masing-masing bermula 12 tengah malam ini dengan lancar.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis peronda akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya dan jalan utama bagi memantau aliran trafik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan jalan raya diperketat, tiada cubaan rentas negeri

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Memasuki hari kedua Syawal, tiada lagi percubaan oleh pengguna lebuh raya untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata kebanyakan orang awam yang menggunakan lebuh raya hari ini hanya bagi pergerakan dalam negeri.

“Kebanyakan kenderaan bergerak di dalam negeri dan daerah yang sama sahaja iaitu di bawah kawalan. Walaupun tiada percubaan rentas negeri tetapi sekatan jalan raya diperketatkan juga,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di plaza tol utama ibu negara iaitu Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak mendapati ketiga-tiganya dalam keadaan lancar selain tidak terlalu sibuk.

Azisman berkata pergerakan di ketiga-tiga plaza tol berjalan lancar termasuk yang diadakan sekatan jalan raya.

“Alhamdulillah, aliran trafik di ketiga-tiga sekatan jalan raya di plaza tol tersebut berjalan lancar, tiada kesesakan dan jumlah kenderaan sederhana,” katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama mendapati pihak berkuasa turut menjalankan sekatan jalan raya di laluan masuk ke Kuala Lumpur dari arah utara dan pantai timur iaitu di Plaza Tol Jalan Duta dan Gombak.

Difahamkan polis berbuat demikian bagi mengenal pasti mereka yang mungkin telah melepasi sekatan jalan raya sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sekatan jalan raya di semua laluan keluar Lembah Klang

TANJUNG MALIM, 21 MEI: Ribuan kenderaan dikesan keluar dari Lembah Klang melalui Selangor menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur untuk bergerak ke negeri lain, kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata, pergerakan kenderaan itu dikesan sehingga 3.00 petang ini.

“Bagaimanapun, sebahagian besar daripada mereka didapati memiliki surat kebenaran untuk bergerak rentas negeri terutama kenderaan komersil,” katanya ketika ditemui pemberita di susur masuk Tanjung Malim, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis mengadakan sekatan jalan raya di semua laluan keluar negeri itu melibatkan lebuh raya, jalan negeri dan jalan perbandaran menuju ke negeri lain.

Ribuan pengguna jalan raya mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk lebih sejam di laluan keluar dari negeri ini.

Arjunaidi berkata hasil pemantauan pihaknya di semua lokasi sekatan jalan raya di Selangor mendapati jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik berkurangan berbanding sebelum ini.

“Contohnya, hari ini sahaja lebih 35 kenderaan diarah berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya di lebuh raya ini.

“Antara faktor kesesakan teruk adalah disebabkan pemeriksaan polis di setiap sekatan jalan raya mengambil masa kerana dibuat secara teliti bagi memastikan kenderaan yang mempunyai kebenaran untuk merentas negeri adalah sahih,” katanya.

Selain itu, Arjunaidi berkata pihaknya akan meningkatkan sekatan jalan raya di lima laluan keluar utama di negeri ini bagi mengekang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran menjelang sambutan Aidilfitri.

Antaranya di Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Tanjung Malim, PLUS arah selatan berhampiran Plaza Tol Putra Mahkota dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan berhampiran Plaza Tol Bandar Serania.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis: Sembilan sekatan jalan raya pantau pergerakan rentas negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Sembilan sekatan jalan raya diwujudkan di Selangor, bertujuan memeriksa kenderaan dan individu yang terlibat dalam perjalanan rentas antara negeri, mulai tengah malam ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi-lokasi penempatan strategik sekatan jalan raya di negeri itu.

“Sekatan jalan raya berkenaan melibatkan kawasan yang bersempadan serta menghubungkan negeri Selangor, dengan negeri lain.

“Misalnya, negeri Selangor dengan Negeri Sembilan, Pahang serta Perak,” katanya ketika ditemui pemberita di sekatan jalan raya di Kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Selayang, di sini, hari ini.

Menurutnya, penempatan sekatan jalan raya di sembilan lokasi itu bertujuan memastikan hanya individu yang sah membuat permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia, dibenarkan melakukan perjalanan rentas antara negeri.

Beliau berkata sekiranya pemeriksaan mendapati ada individu yang tidak mendapat kebenaran melakukan perjalanan, polis tidak akan membenarkan mereka melepasi sekatan jalan raya berkenaan.

Polis sebelum ini memaklumkan orang awam boleh melakukan perjalanan rentas antara negeri bermula esok hingga 10 Mei ini menerusi permohonan aplikasi Gerak Malaysia atau borang manual yang dipaparkan di Facebook dan twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Sekatan jalan raya jaga sempadan negara, negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), polis kini menumpukan pada sekatan jalan raya (SJR) di kawasan sempadan negeri dan negara, selain operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM)

Kawalan di sempadan negara bertujuan memastikan ia tidak diceroboh masuk warga asing manakala di sempadan negeri adalah bagi menyekat pergerakan rentas negeri yang masih tidak dibenarkan,

Di JOHOR, Ketua Polis negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata SJR di Johor kini turut tertumpu di kawasan pesisir pantai dalam usaha kerajaan mengekang kemasukan migran, dengan keseluruhan 39 SJR di semua daerah.

Beliau berkata 4,200 anggota polis bertugas bagi PKPB berbanding 4,600 anggota ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan susun atur SJR juga akan dilakukan termasuk di jalan keluar dan masuk antara sempadan negeri.

“Kesemua 39 SJR merupakan di laluan utama. Ia termasuk kawasan di daerah-daerah yang menghadap pesisir pantai. Ini khusus untuk membendung penyusupan masuk migran dari negara jiran,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru hari ini.

Bekas Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Batu Kawa Kuching, Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu bagi menggantikan Datuk Shafie Ismail, yang bersara hari ini.

Sementara itu, Polis Perlis pula menggunakan kaedah pemeriksaan mengejut dan rondaan Kereta Peronda Polis (MPV) bagi mengesan orang ramai yang melalui lorong tikus dan ‘batas ban’ (jalan sawah padi) bagi mengelak SJR di semua pintu masuk utama ke negeri itu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata kumpulan rondaan ini akan digerakkan memasuki semua 77 ‘batas ban’ dan lorong tikus yang terdapat di negeri itu iaitu sebanyak 49 di Kangar, 13 di Padang Besar dan lima di Arau.

“Walaupun tiada lagi penutupan jalan dan lencongan di jalan-jalan utama setelah PKPB, kita tidak mahu berlaku keadaan orang ramai bolos menggunakan lorong tikus dan batas ban,” katanya kepada Bernama di Kangar.

Surina berkata pihaknya meningkatkan rondaan di lorong tikus bagi memastikan tiada individu yang masuk ke negeri itu tanpa melalui SJR, atau mengelakkan warga asing masuk ke negara ini menerusi lorong tikus.

Polis Perak pula mengurangkan SJR daripada 102 sewaktu PKP kepada 30, dengan 13 daripadanya dibuat di sempadan negeri termasuk susur masuk atau keluar di lebuh raya, melibatkan sempadan Perak dengan Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Pahang, dengan bantuan tentera darat bermula hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata polis juga meningkatkan pemantauan di tempat-tempat awam terutama di pasar raya dan stesen bas bagi memastikan sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP semasa PKPB termasuk jarak sosial.

“Polis juga banyak memberikan khidmat nasihat kepada orang awam di tempat-tempat tumpuan serta pengusaha restoran dan kebanyakannya sudah faham mengenai SOP bagi bersama-sama melawan penyebaran wabak Covid-19,” katanya di Ipoh.

Razarudin berkata rondaan turut ditingkatkan di kawasan rekreasi dan taman permainan bagi mengelakkan orang ramai menjalankan sebarang akitiviti riadah berikutan Perak masih belum membenarkan penggunaan taman awam.

Bagi Kedah, orang awam di negeri itu bebas bergerak merentasi daerah termasuk ke Pulau Langkawi, namun perlu menitikberatkan SOP ditetapkan KKM terutama aspek jarak sosial.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata pematuhan terhadap SOP sangat penting bagi mengekang penularan Covid-19, sekali gus memastikan Kedah terus kekal berada dalam zon hijau.

“Sekatan jalan raya dikurangkan bermula hari ini dan tumpuan akan diberikan di pintu-pintu masuk ke Kedah kerana perjalanan rentas negeri masih belum dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Al-Quran Wakaf Kepada Barisan Hadapan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah kenderaan bertambah susulan sektor baharu dibenar operasi

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Polis tidak menolak kemungkinan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya ketika ini adalah kerana beberapa sektor baharu dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata peningkatan aliran trafik dianggar antara 12 hingga 15 peratus di kawasan bandar-bandar besar di negara ini pada waktu puncak.

“(Dijangka) Akan berlaku peningkatan pada waktu puncak iaitu pukul 7.00 hingga 9.30 pagi serta pukul 5.00 hingga 7.00 petang. Selain itu, polis percaya peningkatan jumlah kenderaan ini juga adalah kerana ada yang keluar rumah untuk berurusan di bank serta menambah stok harian,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata masih ada kalangan orang ramai yang ingkar dengan PKP dan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya telah diarah membuat pemeriksaan yang teliti terhadap pengguna jalan raya.

“Pemeriksaan yang teliti akan dibuat (kepada pengguna jalan raya) walaupun ia akan memakan masa dan menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan. Walaupun begitu, ramai yang menunjukkan surat serta dokumen daripada majikan untuk membolehkan mereka berurusan dalam tempoh PKP ini,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan keadaan sesak di beberapa kawasan tular di laman sosial sejak semalam.

-BERNAMA