Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Pantau Ban Yang Pecah


SHAH ALAM 10 OKT : Kerajaan Negeri akan memantau ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC di Perak bagi memastikan bekalan air sentiasa berterusan kepada penanam padi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Exco Kerajaan negeri dan pegawai pertanian akan turun padang dalam masa terdekat untuk memantau masalah itu.

“Kita akan memanggil Jabatan Pengairan dan Saliran negeri (JPS), exco dan pegawai pertanian untuk membuat kajian.

?Berapa luas kesan kekurangan air kepada petani dan kesan kepada ekonomi jika keadaan ini berterusan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di SUK.

Abdul Khalid berkata kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit seringkali berlaku dan sebelum ini, penyelenggaraannya di bawah JPS.

Ekoran kejadian itu, pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut akan mempercepatkan pembaikan ban sungai tersebut yang dijangkakan siap pada April 2013.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan meminta projek itu disiapkan dalam masa lebih awal.

Baru-baru ini, paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan surut.

Siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati masalah itu berpunca daripada ban sungai yang pecah.

Dalam masa yang sama, JPS akan menggunakan pam bagi mengagihkan air ke kawasan penanaman padi yang mengalami masalah kekurangan air.

Categories
SELANGOR

Isu Datuk Bandar MBPJ, KSN Membelakangi MB dan Exco Selangor

 

SHAH ALAM,4 OKT: Kerajaan Negeri menyelar tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang membelakangi Menteri Besar Selangor dan ahli-ahli Exco Kerajaan alam kes pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang ditukar secara mengejut baru-baru ini.

Exco Kesihatan. Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar berkata, media tempatan melaporkan bahawa kononnya persetujuan untuk pertukaran tersebut dicapai selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri.

“Kita ingin perjelaskan bahawa SUK, Datuk Khusrin Munawi hanyalah salah seorang ?ex- officio? penjawat awam yang dilantik atas kapasiti jawatan beliau dan bukannya diberikan ?kuasa? bagi membuat keputusan bagi pihak ?Pihak Berkuasa Negeri?.

“Pihak Berkuasa Negeri ialah Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau lebih dikenali sebagai ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Dr Xavier menegaskan, arahan JPA bertarikh 27 September lepas untuk pertukaran jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya tersebut adalah bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerana Kerajaan Negeri diberikan ?kuasa mutlak? melantik Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya oleh pihak JPA.

“Jadi tidak berbangkit isu KSN mengenalpasti pengganti kepada Datuk Bandar Petaling Jaya kerana perlantikan ke jawatan tersebut adalah di bawah bidang kuasa dan budi bicara Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai seorang penjawat awam, Ali Hamsa yang baru dilantik sebagai KSN pada 24 Jun yang lalu seharusnya mempunyai rasa hormat untuk mengadakan lawatan kunjung hormat bertemu Menteri Besar dan ahli-ahli Exconya.

Ia kerana beliau harus sedar sebagai seorang penjawat awam seseorang itu harus akur kepada kerajaan sedia ada dan bukannya sekadar mengambil arahan dari Kerajaan Persekutuan sahaja dengan mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Kita juga akan berbincang dengan Khusrin dalam mesyuarat Exco terdekat bagi mendapatkan laporan lanjut tentang isu itu kerana Kerajaan Negeri hanya mengetahuinya dari laporan media,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB : KeTTHA Didakwa Ingkari Tanggungjawab Penuhi Kepentingan Awam

SHAH ALAM, 26 SEPT : Kerajaan Selangor mendakwa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengingkari tanggungjawab untuk melibatkan diri dalam usaha mengambil alih operasi bekalan air terawat di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tanggungjawab in seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) Akta Perkhidmatan Air.

Menurut Bahagian 7 (Pemindahan Perniagaan) Akta tersebut tiada sesiapa berhak membuat perjanjian atau perkiraan yang akan mengakibatkan pertukaran dalam kawalan, penjualan, pelupusan atau pindah milik.

Sebarang penyatuan, percantuman atau penyusunan semula pemegang lesen juga tidak boleh dibuat melainkan dengan kelulusan Menteri. Menteri tersebut adalah Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (Span) juga didakwa menyalahguna budi bicara apabila memberi tempoh lanjutan kepada syarikat-syarikat konsesi untuk beroperasi dari bulan ke bulan.

Tindakan ini jelasnya memperlekeh kewajaran syarikat-syarikat konsesi berkenaan supaya mematuhi kemahuan Kerajaan Negeri Selangor.

“Oleh kerana Kerajaan Persekutuan telah menerima cadangan penyusunan holistik dan merupakan pemegang Saham Emas dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), maka wajar syarikat konsesi lain menerima tawaran yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri,? kata Abdul Khalid Kepada pemberita.

“Sekiranya syarikat konsesi tidak bersetuju dengan tawaran yang akan dikemukakan, mereka boleh merujuk kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa dan Kerajaan Negeri akan akur apa jua keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan.”

Abdul Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK hari ini.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan menjemput Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air dan pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Beliau berkata, perbincangan itu dijangka akan membawa keputusan positif kepada industri air negeri serta rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya akan memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin bahawa usaha penyelesaian penyusunan industri air secara holistik di Selangor masih terbantut akibat sikap berdolak dalih syarikat konsesi dan keengganan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan kuasa-kuasa berkanun di bawah Akta 655,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Arkitek Jururancang (Malaysia) Menang RM 50,000 Pertandingan Rekabentuk SUK II

SHAH ALAM, 20 SEPT : Rekabentuk senibina moden kontemporari membawa tuah kepada sebuah firma perunding arkitek, apabila ia meraih tempat pertama dalam pertandingan rekabentuk Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) II kelmarin.

Komponen utama pembangunan rekabentuk ciptaan Arkitek Jururancang (Malaysia) Sdn Bhd menjadi pilihan juri dan menewaskan tujuh lagi firma perunding arkitek tempatan lain yang turut bertanding.

Model SUK II syarikat itu mempunyai menara pejabat, blok podium, blok tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan moden yang lain.

Pengarahnya, Muhammad Ali Jamaluddin berkata, seluruh ahli pasukan di bawahnya memberikan pelbagai idea kreatif dan inovatif untuk digabungkan menjadi rekabentuk senibina yang mampu menjadi ikon kepada negeri ini.

“Rekabentuk bangunan Pejabat SUK II berkeluasan hampir 10 ekar ini perlu dilakukan dengan teliti supaya ianya mampu menjadi suatu binaan unik dan berteknologi tinggi yang terdapat di Selangor di masa hadapan,” katanya.

Syarikat beliau berjaya memenangi RM50,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tempat kedua dimenangi oleh SeniBahri Arkitek Sdn Bhd yang menerima RM 30,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Veritas Architect Sdn Bhd yang membawa pulang RM 25,000.

Pemenang dinilai oleh Juri Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipengerusikan Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pertandingan ini diilhamkan sendiri Abdul Khalid bertujuan mendapat pelbagai idea daripada perunding arkitek tempatan yang terkenal dan berpengalaman bagi menghasilkan rekabentuk yang mampan dan lestari.

Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata, pertandingan ini juga bertujuan mendapatkan satu rekabentuk yang dapat menempatkan kesemua jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

“Rekabentuk pejabat ini juga turut mengambil kira unjuran pertambahan kakitangan sehingga 2040 yang mampu memuatkan sehingga 6,000 pekerja supaya masalah kekurangan ruang pejabat pada masa kini dapat diatasi,” kata Abdul Khalid di dalam majlis penyampaian hadiah kelmarin.

Menurutnya, konsep rekabentuk yang sempurna akan menyebabkan pentadbiran lebih tersusun kerana ia akan memudahkan orang awam untuk berurusan di sini.

“Orang awam yang nak datang tak sesat dan ia menepati konsep mesra rakyat dan ini yang kita utamakan,” katanya lagi.

Walaupun cadangan pembinaan bangunan berjumlah RM 500 juta ini masih diperingkat awal Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah awal untuk sesuatu pembangunan di masa hadapan.

“Kerajaan Negeri masih memerlukan komen daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat berkaitan hal ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penjawat Awam Perlu Motivasi Diri Untuk Cemerlang

SHAH ALAM 10 SEPT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya memotivasikan diri secara berterusan agar pembangunan negeri terus rancak membangun.

Mengambil contoh buku yang berjudul ‘The Seven Habits Of Highly Effective’ oleh Stephen R.Covey, Abdul Khalid menyarankan penjawat awam supaya mengikut saranan tujuh perkara dalam buku itu.

Antaranya, bersikap proaktif, bermula di akhir fikiran, mendahulukan yang penting, berfikir dengan adil dan saksama, berusaha untuk memahami, bekerjasama dan berusaha memperbaiki kelemahan diri.

Beliau berkata perkara terbabit digalakkan diikuti supaya penjawat awam mempunyai jati diri dalam usaha meningkatkan keupayaan diri.

“Kita mesti ingat bahawa negeri ini merupakan pemangkin pembangunan negara daripada pelbagai sumber pendidikan, pembuatan, perkhidmatan dan sebagainya.

“Oleh itu, ia tanggungjawab kita jika kita mahu Malaysia terus membangun. Buka fikiran kita, kita bukan hanya mentadbir dengan baik tetapi memberi ruang besar untuk pembangunan negara,” katanya dalam ucapannya di perhimpunan bulanan penjawat awam di SUK.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan negeri (PADAT), Azlina Azman.

Categories
SELANGOR

Pasukan Beruniform Tarik Diri, MB Minta Khusrin Bentang Laporan

SHAH ALAM 31 OGOS : Laporan isu penarikan diri pasukan beruniform pada Sambutan Kemerdekaan ke 55 anjuran Kerajaan Negeri, malam semalam akan dibentang oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamad Khusrin Munawi minggu depan.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah meminta Khusrin untuk menyemak isu berkenaan dan membentangkan laporan penuh itu.

“Berhubung penarikan beberapa pasukan beruniform daripada acara berkawad, setakat ini tiada sebab bertulis diberikan atas keputusan itu.

“Jadi Menteri Besar sudah meminta beliau menyemak seterusnya membentangkan laporan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga percaya beliau (Khusrin) dan ahli jawatankuasa sudah membuat penelitian sepenuhnya terhadap senarai tetamu serta mengikut protokol bagi acara terbabit.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada beliau dan ahli jawatankuasa lain atas usaha gigih dan komitmen ditunjukkan dalam membuat persiapan bagi acara berkenaan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Sedia Beri Bonus Raya

SHAH ALAM, 23 JUN : Kerajaan Negeri menjangkakan akan memberi imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam di Selangor sekiranya Kerajaan Pusat berbuat demikian.

Hal itu ekoran kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri mempunyai rizab mencukupi untuk pemberian bonus kepada kakitangan awam.

“Kerajaan negeri akan melakukannya kerana kita mahukan keadilan kepada semua pekerja. Jika semua dapat bonus, maka mereka juga akan dapat. Tetapi saya tidak boleh tentukan jumlahnya berapa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan SUK di sini pagi tadi.

Menurutnya, pemberian bonus itu juga tidak membabitkan kepentingan politik, sebaliknya untuk menentukan kesamarataan hak penjawat awam.

“Ini bukan satu usaha untuk menunjuk-nunjuk. Seperti awal tahun lalu, semua penjawat awam diberi kenaikan gaji supaya semua merasai kesamarataan dan keadilan. Ini bukan usaha politik,” jelasnya lagi.

Categories
NASIONAL

Xavier: Hanya SUK Berkuasa Umumkan Krisis Air, Bukan Syabas

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kuasa untuk mengumumkan krisis bekalan air di sesuatu negeri terletak pada tangan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan syarikat konsesi yang mengendalikan operasi air.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sepatutnya memaklumkan kepada Kerajaan Negeri sekiranya krisis air benar berlaku.

“Kalau ada masalah pengurusan atau tak cukup air, Syabas bertanggungjawab memberitahu kepada Kerajaan Negeri. Tetapi sampai sekarang dia tak memberitahu kepada kita dan itu kesalahan besar dalam (perjanjian) konsesi yang ada.

“Orang yang boleh buat kenyataan dalam krisis air di mana-mana negeri ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang jadi pengerusi untuk jawatankuasa kecemasan.

Ini akan jadi isu keselamatan,” ujar beliau di dalam program FOKUS Isu TVSelangor bersama Naeem Raffi.

Dibawah satu usaha penswastaan oleh Kerajaan Umno-BN dahulu, Syabas diberi kuasa untuk mengurus operasi merawat air mentah dan mengedarnya kepada pengguna di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Manakala Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab mengurus empangan yang menyimpan bekalan air mentah.

Menurut Xavier, kerajaan negeri telah menjalankan tanggungjawab dan menyediakan bekalan air mentah yang mencukupi.

Bagaimanapun, sekiranya bekalan air terawat di Negeri selangor tidak mencukupi, ianya merupakan kegagalan pada Syabas sebagai syarikat konsensi.

Xavier mengulangi pendirian kerajaan Selangor bahawa projek Langat 2 bagi menyalurkan air dari Pahang bukan satu usaha yang wajar memandangkan Selangor mempunyai bekalan air mentah yang cukup di empangan.

“Air mentah kita mencukupi, mengapa kita perlu ambil air mentah lagi dari Pahang pula?” Kata Xavier.

Selain itu, Xavier berkata harga air di Selangor bakal naik 70 peratus sekiranya Langat 2 diteruskan.