Categories
NASIONAL SELANGOR

Peter Chin Digesa Letak Jawatan

 

SHAH ALAM, 18 MEI : Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui digesa meletakkan jawatan sekiranya masih berdalih dengan menyatakan beliau tiada kuasa mengarahkan syarikat konsesi bersetuju menerima cadangan penstrukturan semula air.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, Peter Chin sebenarnya bukan tidak mempunyai kuasa sebagai Menteri Pusat, tetapi kuasa beliau ‘tidak laku’ terhadap syarikat kroni milik kerajaan Umno-BN.

Ia merujuk kepada syarikat konsesi seperti Puncak Niaga dan Syabas, iaitu dua buah syarikat milik bekas Bendahari Umno Selangor, Tan Sri Razali Ismail.

“Kerajaan negeri melahirkan rasa kesal terhadap jawapan beliau (Peter Chin) yang mengatakan bahawa beliau tiada kuasa berbuat demikian.

Kita melihat beliau hanyalah bertindak sebagai budak suruhan kepada Umno-BN dan adalah wajar beliau melepaskan jawatannya sebagai seorang Menteri Pusat dengan kadar segera kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya,” ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan meminta Penasihat Undang-undang kerajaan negeri untuk memfailkan semakan kehakiman (judicial review) bertujuan mendapatkan kebenaran Mahkamah memperjelaskan kuasa menteri tersebut.

Sebelum ini proses pengambilalihan Syabas oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bermula semenjak 2008 menemui jalan buntu apabila pihak pemegang konsesi menerima sokongan Kerajaan Pusat untuk mengekalkan kepentingan mereka.

Syabas juga telah beberapa kali cuba untuk menaikkan tarif air khususnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Sementara Kerajaan Negeri Selangor berusaha untuk mengambil alih industri air negeri tersebut dari Syabas bagi membolehkan usaha pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat dapat diteruskan.

Categories
SELANGOR

SYABAS Digesa Sambung Segera Bekalan Air Di Taman Pandan Utama 2

SHAH ALAM 12 MEI : Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) digesa agar menyambung semula bekalan air dengan segera di Taman Pandan Utama 2 kerana tindakan itu menyusahkan penduduk, tegas  Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad.

“Syabas tidak sepatutnya memperalatkan mereka (penduduk) untuk memberi tekanan ke atas pemaju,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Jelas  Iskandar, Syabas memotong bekalan air ke rumah-rumah kedai di Taman Pandan Utama 2 pada 8 Mei yang  lalu.

Ia disebabkan pemaju taman tersebut masih belum lagi membina tangki air utama untuk taman itu. Sebagai jaminan pemaju akan membina tangki air itu, Syabas menetapkan pemaju perlu menyediakan Bank Guarantee(jaminan bank) bernilai RM1.7 juta.

“Dengan itu, penduduk taman tersebut boleh mendapat bekalan air terus dari Syabas dan Pemaju pula perlu membina tangki air utama itu dalam masa setahun.

Tambah Iskandar, walaubagaimanapun pemaju gagal menyediakan Bank Guarantee itu dalam masa yang ditetapkan. Maka Syabas telah memotong bekalan air ke taman itu.

“Dalam hal ini, penduduk tidak bersalah. Menurut mereka (penduduk), bil-bil air telah mereka bayar. Syabas telah menghukum penduduk di atas kesalahan pemaju.

“Syabas sepatutnya mengambil tindakan ke atas pemaju seperti mengheret mereka (pemaju) ke mahkamah,” kata Iskandar.

Menurut Iskandar, bekalan air tidak perlu dipotong kerana penduduk tetap akan membayar air yang mereka gunakan.

“Saya menggesa Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera dan berhenti menyiksa orang tua, orang sakit dan kanak-kanak di taman itu. Syabas tidak sepatutnya memperalatkan mereka untuk memberi tekanan ke atas pemaju,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Isu Air : Najib Razak Bukan Negarawan

BANTING 12 MEI : Kenyataan Datuk Seri Najib Razak berhubung isu air di Selangor membuktikan Perdana Menteri hanyalah seorang ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan bukannya negarawan sebenar yang sepatutnya mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kenyataan Najib itu juga bertentangan dengan titah DYMM Sultan Selangor yang menyeru semua pihak tidak mempolitikkan isu air demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

“Kita telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan tawaran kepada syarikat konsesi termasuk menggunakan arbitari antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita tidak menerima maklum balas malah Kerajaan Pusat berdolah-dalih untuk melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri menguruskan  air.

“Jika Perdana Menteri negarawan sejati, beliau sepatutnya mengarahkan penstrukturan semula industri air di Selangor diselesaikan dengan segera,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Visit Kuala Langat 2012 di Pantai Morib sempena Program Mesra Khas Terima Kasih Rakyat peringkat Daerah Kuala Langat.

Beliau juga berjanji kepada rakyat Selangor yang tarif air hanya akan dinaikkan pada kadar munasabah sekitar 12 peratus dan pemberian air percuma 20 meter padu pertama setiap bulan diteruskan, jika selesai penstrukturan semula air.

Kadar kenaikan air mengikut pelan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)  adalah melebihi 70 peratus.

“Rancangan kerajaan Selangor adalah menjaga kebajikan rakyat keseluruhan. Justeru, Perdana Menteri perlu mengotakan janji untuk mengutamakan rakyat dengan mempercepatkan penstrukturan air,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Selangor kosisten dengan pendirian bahawa projek Langat 2 dibina selepas rundingan penstrukturan semula diselesaikan.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, laporan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang diterima setiap bulan menunjukkan bekalan air mentah di Selangor  pada tahap lebih dari mencukupi.

“Masalah ialah bekalan air bersih kerana kegagalan syarikat konsesi mengguna sepenuhnya loji-loji rawatan air yang sedia ada, tidak menaiktaraf paip-paip air dan gagal mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW),” katanya.

Categories
NASIONAL

Syabas Di Beri Amaran Patuhi Terma Perjanjian

SHAH ALAM, 4 APR – Kerajaan Selangor telah menghantar notis kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai amaran supaya syarikat konsesi itu tidak melanggar terma Perjanjian Konsesi untuk membekalkan air terawat kepada pengguna di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya Syabas gagal melaksanakan tanggungjawab ini, kerajaan negeri berhak untuk menamatkan Perjanjian Konsesi dan mengambil alih fungsi Syabas untuk membekalkan air terawat ke seluruh Selangor.

Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 28 Mac lalu dimaklumkan bahawa Syabas gagal melaksanakan perkhidmatan membekalkan air terawat kepada 79 pemaju di Selangor menyebabkan pelaksanaan projek mereka terjejas akibat ketiadaan bekalan air.

“Tindakan Syabas ini jelas sekali bertentangan dengan terma yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi yang ditandatangani kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan syarikat konsesi pada 15 Disember 2004. Lebih dari itu, perbuatan Syabas seolah-olah mahu menggagalkan kemajuan ekonomi di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, notis ini dihantar oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Kawal Selia Air Negeri Selangor, Datuk Noordin Sulaiman kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan pada 29 Mac lalu.

Tegasnya, kerajaan negeri turut mengingatkan Syabas bahawa tanggungjawab membekalkan air terawat kepada pengguna merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh syarikat konsesi itu pada setiap masa.

Jelasnya, pematuhan tanggungjawab ini adalah penting supaya semua projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di negeri ini tidak tergendala atau terjejas akibat kegagalan Syabas membekalkan air terawat.

“Kerajaan negeri memandang berat perkara ini dan jika terbukti terdapat kegagalan Syabas untuk membekalkan air terawat kepada mana-mana penguna sama ada pengguna domestik atau industri, ia dianggap satu perlanggaran terma Perjanjian Konsesi yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menamatkan perjanjian,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri, Syabas, Puncak Niaga Akan Bincang Atasi Banjir

HULU LANGAT,8 MAC : Prihatin dengan masalah banjir yang melanda kawasan Hulu Langat, Ampang dan kawasan sekitar, Kerajaan Negeri Selangor akan membuat perbincangan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga bagi mencari langkah mengurangkan jumlah air di empangan berhampiran jika hujan lebat berterusan supaya tidak melimpah dikawasan sekitar lain.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Selangor juga akan melantik seorang pegawai dari Syabas dan Puncak Niaga untuk dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Kecemasan supaya bertanggungjawab sekiranya berlaku masalah banjir akan datang.

” Hujan yang lebat menyebabkan sungai melimpah, bukan hanya di sungai tetapi diempangan juga penuh dengan air, jadi cara mereka mengalihkan air itu kita mahu adakan perbincangan supaya kita dapat tahu dan kita juga dapat memberi amaran kepada penduduk jika berlaku lagi.

“Jadi salah satu daripada usaha yang kita akan lakukan, ialah memahami bagaimana kita boleh dapat kurangkan jumlah air dari empangan itu sebagai salah satu dipanggil water retantion, satu yang kita buat,Kita memasukkan seorang ahli daripada Puncak Niaga dan Syabas ke dalam Jawatankuasa Kecemasan, jadi dengan itu mereka juga akan bertanggungjawab tentang perkara-perkara seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat petang tadi.

Tambah Khalid lagi, Kerajaan Negeri juga sudah menyediakan keperluan asas dan harian seperti makanan, tikar dan bantal bagi mengurangkan beban mangsa banjir.

“Jawatankuasa itu sudah ada, sebab belanjawan pun sudah kita tetapkan jadi jawapannya ialah ini, walaupun biasa tetapi kita tidak mahu kejadian ini berlaku, jadi maknanya kerajaan negeri sudah menyediakan makanan, tikar, bantal yang boleh mengurangkan atau meringankan beban yang mereka hadapi,” katanya.

Seramai lebih 700 mangsa banjir dipindahkan di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat awal pagi tadi selepas hujan lebat yang berlarutan selama empat jam.

Categories
SELANGOR

Xavier: Syabas DiGesa Segerakan Kerja Penyelenggara

SHAH ALAM 7 MAC : Kerajaan Selangor menggesa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pada 13 dan 14 Mac ini di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Satu dengan profesional dan mesti disiapkan dalam tempoh 12 jam dan bukan 24 jam.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu perlu diselesaikan seberapa pantas untuk memastikan segala urusan bekalan air warga Kuala Lumpur dan Selangor tidak terjejas dalam tempoh masa yang lama.

“Kita menjangkakan tekanan air akan pulih seperti biasa selepas itu,” ujar Dr. Xavier.

Kerajaan Negeri juga mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi warga setempat mendapatkan bekalan air jika keadaan bertukar kritikal.

Mereka boleh menghubungi Talian Hotline Call Centre : 1-800-cuci-3939 yang akan disalurkan terus ke pihak Syabas untuk mendapatkan lokasi terdekat mendapatkan bekalan air.

Sebelum ini, Syabas dan Kerajaan Pusat menggesa Kerajaan Negeri untuk meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 bagi mengatasi krisis air di Selangor yang dijangka berlaku menjelang 2012 namun tetap tidak dipersetujui Kerajaan Negeri.

Menurut pemantauan yang dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), sumber air di Selangor masih dalam keadaan yang mencukupi dengan taburan hujan yang tinggi dicatatkan di banyak kawasan terutamanya kawasan tadahan air.

Justeru, Kerajaan Negeri menggesa Syabas untuk merawat sumber air dengan teknologi terkini dan menaiktaraf loji-loji sedia ada bagi menambah kapasiti loji pembersihan air dan jika berlaku sebarang krisis air ianya disebabkan oleh kegagalan loji pembersihan air untuk sentiasa memastikan bekalan air bersih mencukupi.

Categories
SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Pandan Utama 2 Risau Dengan Syarat Baru Syabas

AMPANG  5 MAC: Penduduk Pangsapuri Pandan Utama 2 di sini risau akan bekalan air bangunan itu apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengenakan surat akuan dan aku janji kepada mereka.

Surat itu dilihat sebagai usaha menjadikan 600 penduduk ‘mangsa’ kepada pertelingkahan antara pemaju pangsapuri dan pihak Syabas.

Ia dikeluarkan pada 23 Februari lalu selepas perbincangan untuk menyambung semula bekalan air kepada bangunan itu.

Sebelum ini, penduduk bangunan itu terpaksa turun mengambil air dari tangki sementara yang disambung secara haram kepada paip Syabas kerana pemaju tidak menyiapkan tangki air yang tetap.

Apabila Syabas memotong bekalan air haram mereka, penduduk mendapatkan khidmat ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad.

Di dalam perbincangan antara Iskandar, Syabas dan Pemaju, Syabas bersetuju menyediakan meter pukal bagi menyambung bekalan air sementara dan pemaju di arah membina tangki air tetap.

Timbalan Pengerusi Penduduk, Jeffery Abdul Rahman, berkata penduduk beranggapan masalah pemotongan air itu sudah selesai tetapi secara tiba-tiba Syabas mengenakan surat akuan dan aku janji.

“Kami penduduk merasakan digunakan sebagai senjata bagi Syabas semata-mata mahu melengkapkan prosedur antara Syabas dan pemaju.

Mereka seolah-olah mahu melepaskan tangan dalam hal ini sekiranya pemaju tidak dapat menyelesaikan masalah ini,? kata Jeffery ketika ditemui Selangorkini.

Antara isi kandungan surat itu ialah Syabas berhak memotong meter pukal sementara jika pemaju gagal menyiapkan sistem bekalan air tetap. Syabas juga berhak memotong bekalan air jika pemaju tidak membayar bil air sementara.

Jeffery berkata penduduk sudah membuat keputusan tidak mahu menandatangani surat itu kerana bimbang bekalan air mereka akan terjejas jika pemaju gagal mematuhi syarat persetujuan.

“Kami juga sudah membawa masalah ini kepada Adun Chempaka, Iskandar Samad dan beliau menghantar wakil dan diatas nasihat wakilnya, kami tidak menandatangani surat itu kerana tidak perlu lagi perjanjian dengan pihak Syabas.

“Kami persatuan penduduk juga mahukan meter individu tanpa sebarang syarat dari mana-mana pihak kerana kami risau sekiranya pemaju tidak mematuhi janjinya, penduduk akan menanggung akibat apabila pemotongan air berulang kembali.

“Bagaimanapun kami menghargai sumbangan dan jasa Yb Iskandar yang bekerja keras untuk menyelesaikan masalah itu dan untuk Syabas, kami penduduk tidak boleh menerima cara dan strategi Syabas yang menuntut pembinaan tangki air itu tetapi menjadikan kami sebagai mangsa pertelingkahan mereka dan pemaju,” katanya.

Pangsapuri itu dibina semasa pentadbiran Umno-BN pada tahun 2005 dan disiapkan pada 2009. Penduduk mula menerima kunci pada tahun 2010.

Akan tetapi, pemaju berjaya mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF) untuk bangunan itu walaupun ia tidak menyiapkan tangki bekalan air untuk pangsapuri tersebut.

Categories
SELANGOR

Isu Air Di Taman Pandan selesai

SHAH ALAM, 24 FEB : Isu pemotongan air di Taman Pandan Utama 2, Ampang selesai hasil rundingan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bersama pihak pemaju dan juga pihak Syabas pada Rabu lepas.

Menurut Iskandar, pihak Syabas bersetuju untuk menyambung bekalan air setelah pemaju menyerahkan surat akujanji yang mengatakan mereka akan mengemukakan “Bank Guarantee” bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.

“‘Bank Guarantee’ ini adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan.

“Pada 20 Februari lepas, pemaju telah mengemukakan surat akujanji bahawa mereka akan menyiapkan kerja itu dalam masa yang ditetapkan itu,” jelas Iskandar yang juga Adun Cempaka.

Isnin lalu, satu dialog antara penduduk bersama beliau,  Syabas dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah diadakan.

“Saya berharap pihak Syabas akan menyambung bekalan secepat mungkin selepas menerima surat akujanji daripada pihak pemaju agar penderitaan penduduk akan berakhir.

“Buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan dikhuatiri berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti ini berlarutan,” ulas Iskandar

Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Samad: “Siapa Taja Hasan Ali”

SHAH ALAM, 24 FEB : Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad hari ini membangkitkan persoalan sumber kewangan siri ‘roadshow’ mantan Exco negeri, Datuk Dr. Hasan Ali ke seluruh negara yang pastinya menelan biaya yang besar.

Menurut Khalid, sesiapa sahaja yang berada di belakang Dr.Hasan Ali semestinya pihak-pihak yang bakal mendapat keuntungan sekiranya Kerajaan Pakatan tumbang di Selangor pada Pilihanraya Umum akan datang.

“Di antara yang berkemungkinan ialah Puncak Niaga dan Syabas kerana kadar tarif air akan naik sebanyak 71 peratus sekiranya BN kembali memerintah negeri Selangor.

“37 peratus untuk tahun 2009 dan 25 peratus untuk tahun 2012. Jika didarabkan 1.37 dengan 1.25 maka jawapannya ialah pendapatan Syabas dan Puncak Niaga naik sebanyak 71 peratus,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Selain itu, Khalid juga memberitahu sekiranya Barisan Nasional berjaya menawan Selangor, Syabas berkemungkinan memperoleh kelebihan untuk menjalankan rundingan luar mahkamah berhubung kes saman RM 1 billion terhadap Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri sekarang disaman kerana tidak benarkan kenaikan harga air pada 2009 dan 2012, maka Syabas bertindak saman Kerajaan Pakatan sebanyak RM 1 billion.

“Kalau Kerajaan BN naik, mereka pasti akan lakukan ‘out of court settlement’ dan duit sebanyak itu akan diserahkan pada Syabas dalam apa bentuk sekalipun yang dipersetujui bersama,” tambah Khalid lagi.

Selain Puncak Niaga dan Syabas, Khalid turut memberitahu kemungkinan ada kontraktor-kontraktor berkepentingan lain yang membiayai Dr. Hasan Ali.

“Di bawah Pakatan Rakyat, mereka tidak berpeluang merasai keuntungan seperti dahulu kerana semua peluang adalah ‘open tender’ dan tiada lagi ‘direct negotiation’ serta tiada lagi projek diberi sebagai ‘political payback’.

“Oleh kerana itu ada kemungkinan kontraktor-kontraktor yang lain ini membiayai Dr. Hasan Ali,” jelas Khalid dalam satu sidang medianya di pejabatnya di Seksyen 13 disini pagi tadi.

Bagaimanapun, Khalid menjelaskan sekiranya perkara ini tidak benar, pihak-pihak yang berkaitan dapat memberi penafian berhubung ‘cakap-cakap kedai kopi’ ini dan Dr.Hasan Ali dapat memberi penjelasan berkenaan sumber yang diperolehinya.

“Kita mahu beri peluang kepada Puncak Niaga, Syabas, Dr. Hasan Ali untuk menjawab segala andaian ini. Mungkin juga Hasan Ali sudah menggadaikan harta mahupun keretanya demi perjuangan politiknya.

“Tetapi jika tidak, yang kita mahu tahu ialah dari mana sumber kewangan yang beliau perolehi ini,” ulas Khalid.

Categories
SELANGOR

Air Ke Pandan Utama Fasa Dua Disambung Kembali

SHAH ALAM 23 FEB : Nasib 600 pengguna di Taman Perumahan Pandan Utama Fasa Dua terbela apabila Kerajaan Negeri berjaya berunding dengan  Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan pemaju perumahan itu untuk menyambung kembali bekalan air setelah terjejas sejak lebih seminggu lalu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan dengan pihak Syabas dan wakil pemaju taman perumahan tersebut di pejabat Syabas di Kuala Lumpur semalam.

“Syabas memulakan kerja-kerja penyambungan bekalan air hari ini setelah pemaju menghantar surat aku janji kepada Syabas semalam yang menyatakan mereka akan mengemukakan “Bank Guarantee” bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.

“Bank Guarantee” ini adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan,”katanya.

Sebelum ini, Syabas memotong bekalan air di taman perumahan tersebut kerana penduduk memperoleh bekalan secara tidak sah sejak 2010 menerusi sambungan haram daripada paip sedia ada milik Syabas di Jalan Cempaka.

Penduduk berbuat demikian kerana mendakwa pemaju tidak membekalkan meter air semasa mereka mula mendiami rumah tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som sebagai berkata, tindakan mengambil air secara tidak sah adalah menyalahi undang-undang Akta Industri Perkhidmatan Air, Seksyen 123 (1).

Hasil mesyuarat sebelum ini, pihak pemaju diminta untuk menjelaskan bayaran kepada Syabas bagi penggunaan air secara tidak sah selama 17 bulan.

Abdul Halem berkata, kemudahan infrastruktur bekalan air kekal seperti tangki air, rumah pam dan tangki sedut luaran perlu disediakan oleh pemaju terlebih dahulu supaya pihak Syabas boleh membekalkan air ke perumahan berkenaan.

Mengulas lanjut perkara ini, Iskandar berharap pemaju akan dapat mengotakan janji mereka untuk menyediakan kemudahan isnfratruktur tersebut bagi membolehkan pihak Syabas menyambung bekalan secepat mungkin  agar penderitaan penduduk akan berakhir.

“Walau bagaimanapun adalah wajar pihak Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera di atas sebab-sebab kemanusian memandangkan persetujuan telah dicapai dan menunggu untuk dilaksanakan.

“Buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan terdapat kemungkinan akan berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti ini berlarutan.”

 

 

Categories
SELANGOR

Xavier: Selangor Jamin Tiada Krisis Air Menjelang 2014

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Negeri sekali lagi memberi jaminan bahawa tidak akan berlakunya krisis air menjelang 2014 seperti mana yang dicanang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kerajaan Pusat baru-baru ini.

Exco Selangor, Xavier Jayakumar berkata isu yang sengaja dimainkan ini jelas propaganda politik kerajaan Umno-BN dalam usaha menakut-nakutkan rakyat Selangor bagi memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin BN Pusat merampas kembali negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum akan datang.

“Kerajaan Selangor menggunakan teknologi rawatan air terkini telah mengenalpasti beberapa punca air yang boleh digunapakai bagi menampung keperluan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,”katanya bagi membidas segala dakwaan jahat Kerajaan Pusat dan SYABAS.

Xavier berkata antara kaedah terkini yang akan digunapakai bagi merawat air ialah proses pengambilan air mentah dari bekas lombong, punca air bawah tanah, rawatan dan penapisan air sungai dan air mentah dari takungan air hujan.

“Kerajaan Negeri sedang mempercepatkan langkah bagi merawat air sungai untuk kegunaan sektor perindustrian di Selangor.

“Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri telah meluluskan lesen permindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran tweknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air,”

Xavier berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Xavier berkata kerajaan Negeri juga bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna bagi memaksimumkan penggunaan sumber-sumber air bagi menambung keperluan harian rakyat.

“Ini merupakan alternatif yang lebih bermanfaat dan menjimatkan berbanding projek membangunkan insfratruktur pemindahan air dari Pahang yang menelan belanja berbillion ringgit wang pembayar cukai,”katanya.

Tindakan Kerajaan Selangor menguasai industri air negeri bertujuan bagi meringankan bebanan rakyat selain mengekalkan pemberian air percuma 20 meter padu kepadaa rakyat.

Manakala Syabas merancang untuk menaikkan tarif bil air sebanyak 37 peratus namun dibantah oleh kerajaan negeri.

 

Xavier: SYABAS Guna Taktik ‘Ugutan’ Takutkan Rakyat Selangor

SHAH ALAM 1 FEB : Kerajaan Negeri kesal dengan taktik syarikat konsesi air, Syarikat bekalan Air Selangor (SYABAS) memaksa kerajaan negeri meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat (Langat 2) secara tergesa-gesa tanpa mengkaji kepentingan rakyat Selangor secara menyeluruh.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Kah Fui dalam kenyataannya berkata keengganan SYABAS tidak meluluskan usaha menambahbaik penyaluran paip serta perkhidmatan pembersihan air masa hadapan itu adalah wajar atas alasan bekalan air tidak mencukupi.

Exco Selangor, Xavier Jayakumar menyifatkan kenyataan Peter sebagai suatu yang tidak beretika berserta ugutan kepada rakyat Selangor kerana kerajaan negeri sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa tiada sebarang tentangan untuk pembinaan Langat 2.

“Dalam isu ini, kita berpendirian bahawa keutamaan dan motif Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek tersebut tanpa mengambil kira isu-isu lain.

“keutamaan perlu diberikan kepada penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang bertujuan meningkatan kualiti air dan mutu perkhidmatan kepada rakyat,”katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri hari ini.

Mengulas lanjut, Xavier menegaskan keutamaan kerajaan negeri untuk melaksanakan penstrukturan semula air bagi membenarkan kerajaan negeri menguruskan kadar tarif air jauh lebih rendah berbanding kenaikan 37 peratus yang dicadangkan SYABAS.

“Sekirannya penstrukturan ini berada di peringkat akhir, barulah Kerajaan Negeri tiada sebarang masalah untuk meluluskan pembinaan projek Langat 2,”katanya.

Bercakap kepada pemberita, Xavier menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan seharusnya melihat kepada permasalahan sebenar iaitu masalah pengurusan dan perkhidmatan yang lemah syarikat konsesi dan bukannya menumpukan kepentingan kroni berbanding rakyat.

“Kerajaan Negeri sedar pendekatan terbaru ini adalah sebahagian pelengkap kepada taktik menakut-nakutkan rakyat kononnya lembah Klang akan mengalami krisis air,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Xavier berkata Loji Rawatan Sungai labu, Negeri Sembialan boleh beroperasi pada bila-bila masa dan tidak akan berlaku kelewatan seperti yang didakwa Menteri berkenaan.

Ini kerana Kerajaan Negeri telah meluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd,  yang mempunyai kepakaran menguruskan loji tersebut.

Sehubungan itu kerajaan negeri tetap bertegas untuk mengurus tadbir isu bekalan air bagi memastikan rakyat negeri itu mendapat manfaat dari pemberian 20 meter padu air percuma dapat diteruskan.