Categories
SELANGOR

77,378 Kediaman Pangsapuri Terima Rebat Air Percuma

SHAH ALAM, 12 JULAI: Sebanyak 77,378 unit kediaman pangsapuri yang masih menggunakan meter air pukal di Selangor telah menerima rebat air percuma semenjak program ini diperkenalkan pada Jun 2010.

Demikian ujar Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pagi ini.

“Semenjak rebat air percuma diperkenalkan pada Jun 2010, lebih kurang RM11.87 juta nilai rebat air percuma telah diberi kepada 250 kawasan kemajuan pangsapuri yang terdiri daripada 77,378 unit kediaman,” kata Iskandar di hari terakhir persidangan Dun itu.

Selain itu, Iskandar turut memberitahu, sistem kupon yang digunakan pada awal program rebat air percuma telah dimansuhkan berikutan beberapa masalah seperti salah guna kupon oleh pihak pengurusan bangunan dan kelewatan tuntutan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Selain itu, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung kos tambahan bagi kerja-kerja mencetak kupon.

“Jesteru itu pada 2011, penggunaan kupon telah dimansuhkan dan diganti dengan kaedah pengebilan amaun rebat air percuma secara automatik pada bil air unit kediaman setiap pembeli.

“Kaedah baru ini lebih telus, mudah dan sukar untuk disalah guna oleh pemaju, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Bersama (JMC).

“Pada 2012, kaedah pemberian air percuma dipermudahkan melalui konsep ‘Lapor dan Dapat’ dengan format tuntutan kepada Syabas yang lebih ringkas supaya pengagihan rebat air percuma dapat dibuat secara lebih berkesan dan meluas kepada semua pangsapuri kos rendah di Negeri Selangor,” jawab Iskandar lagi.

ends

Categories
SELANGOR

MB: Syabas tentukan Tarif Air Bukan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air di Selangor berbanding syarikat pemegang konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Ini disebabkan Kerajaan Negeri hanya mempunyai pegangan sebanyak 30 peratus berbanding Syabas sebanyak 70 peratus dalam konsesi air di Selangor

Demikian ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyanggah persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun.

“Kalau Kerajaan Negeri ada kuasa, mengapa Syabas mengheret Kerajaan Negeri ke mahkamah apabila Kerajaan Negeri menghalang kenaikan tarif air?” Ujar Abdul Khalid.

Sebelum itu, menurut Koon Mun, Kerajaan Negeri tidak wajar untuk merasa bimbang dengan kenaikan kadar tarif air sekiranya Projek Langat 2 dijalankan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air di Negeri Selangor.

Pada November 2010 Syabas telah memulakan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut RM471,642,916 dari Kerajaan Negeri kerana menghalang kenaikan kadar tarif air di Lembah Klang.

Kerajaan Negeri mempertahankan untuk tidak menaikkan tarif air disebabkan mahu mengekalkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada seluruh rakyatnya.

Categories
NASIONAL

Syabas Sabotaj Kerajaan Selangor Menjelang PRU-13

SHAH ALAM, 11 JULAI: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) didakwa sengaja mensabotaj projek pembangunan di Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Demikian beritahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali di hari ke tiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
“Nampak dengan jelas ada unsur sabotaj yang berlaku terhadap Kerajaan Selangor oleh Syabas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 dan kebimbangan saya adalah kepada rakyat yang menderita,” kata Azmin.

Azmin turut memberitahu Dewan, banyak aduan telah dibuat oleh masyarakat perniagaan di Negeri Selangor.

“Banyak aduan yang diterima dari masyarakat perniagaan yang membangunkan kawasan masing-masing tetapi tidak mendapat sijil daripada Syabas atas alasan tekanan air rendah,” katanya lagi.

Azmin memberitahu lagi, tindakan sabotaj oleh pihak Syabas tersebut telah menyebabkan projek yang dibangunkan tidak dapat diduduki kerana gagal memperolehi sijil menduduki.

Selain kegagalan mendapat sijil menduduki, ia turut menyebabkan projek yang sedang dibangunkan tergendala akibat kekurangan bekalan air.

Terdahulu, dalam isu sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar pula berkata Syabas dengan sengaja membuat pelbagai gangguan bekalan air di negeri ini sehingga mencecah beberapa kali gangguan dalam tempoh sebulan.

Categories
SELANGOR

Isu Air: MB Tidak Mahu Rakyat Selangor Tertipu Walau 1 Sen

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan memastikan rakyat negeri ini tidak ditipu dengan permainan politik Umno-BN dan pihak yang memiliki kepentingan dalam industri pengurusan airnya.

Demikian tegas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri Selangor pagi tadi

“Kalau 50 sen kita pergi ke poket orang lain, lebih baik kita masukan ke dalam poket rakyat Selangor.

“Kita mewakili rakyat Selangor tidak mahu rakyat tertipu satu sen pun,” kata Abdul Khalid.

Menurut Abdul Khalid, rakyat negeri itu akan mengalami kerugian sekiranya perjanjian antara Kerajaan Pusat, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Negeri di bawah BN yang dimeterai pada awal 2008 diteruskan.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri tetap mempertahankan keperluan mengambilalih pengurusan air di negeri itu demi kepentingan rakyat negeri ini.

Ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Satim Diman (BN-Sri Serdang), Abdul Khalid menjelaskan pegangan saham sebanyak 30 peratus tidak memberikan Kerajaan Negeri kuasa membuat keputusan dalam Syabas.

“Walaupun kita ada 30 peratus pegangan saham dalam Syabas, perjanjian penswastaan air itu tidak menyelesaikan harga-harga air sebab perjanjian itu ditandatangani dengan mengambil kira tarif air dinaikkan.

“Dalam undang-undang share holding, jika dalam mesyuarat agung, pihak yang ada syer 70 peratus, kita 30 peratus.

“Jika pemegang syer 70 peratus berikan usul, usul dia tetap berjalan,” kata beliau lagi.

Dalam isu sama, Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali pula berkata Syabas gagal menguruskan projek penswastaan air di Selangor.

“Masalahnya bukanlah kekurangan air mentah, tetapi adalah kurangan air yang dirawat.

“Kekurangan air terawat adalah tanggungjawab Syabas bukanlah Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna Syabas telah gagal menguruskan projek penswastaan air ini dengan bertanggungjawab

“Masalah ketiga adalah NRW (Air Tidak Berhasil) di mana kebocoran paip air lama yang tidak diganti kecurian air oleh individu dan industri.

“Ini juga bukan tanggungjawab Kerajaan Negeri tetapi Syabas yang tidak menggantikan paip-paip lama dan membuat penguatkuasaan yang tegas,” kata Azmin.

Categories
SELANGOR

162 Projek Tidak Diluluskan, SYABAS Tidak Layak Urus Air Selangor

SHAH ALAM, 10 JULAI : Sebanyak 162 buah projek pembangunan di Selangor tidak diluluskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) membuktikan syarikat itu tidak layak untuk mengurus air di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penswastaan air di Selangor sepatutnya diubah kerana syarikat-syarikat yang dipilih tidak mempunyai kemampuan kewangan dan keupayaan pengurusan yang baik.

“SYABAS perlu meluluskan projek-projek ini seperti mana apa yang dijanjikan mereka ketika mengambil alih pengurusan air ini pada tahun 2004,” katanya ketika menjawab soalan daripada Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya).

Katanya, pada tahun 2006, Kerajaan Pusat telah meluluskan akta bagi menyelesaikan isu pengurusan air di negeri-negeri di Malaysia.

“Kerajaan Negeri diminta untuk mengambil semula pengurusan air dan ini sudah mula dilakukan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah mencadangkan untuk mengambil alih pengurusan air di Selangor supaya lebih teratur dan efektif.

Abdul Khalid berkata, pengambilan pengurusan air di Selangor adalah sangat penting kerana tidak mahu membebankan rakyat.

“Jika tidak diambil alih pengurusan, kita akan membebankan rakyat dengan peningkatan harga air lebih daripada 70 peratus,” katanya.

Namun begitu katanya, pemilik saham SYABAS tidak mempersetujui tawaran Kerajaan Negeri dengan mengatakan keuntungan yang diterima SYABAS masih tidak mencukupi.

“SYABAS mahu keuntungan sebanyak 1.2 billion sedangkan syarikat itu sudah mendapat keuntungan sejak 2004 lagi,” katanya lagi.

 

 

Categories
SELANGOR

Pasukan Khas Siasat Dakwaan SYABAS Loji Kurang Air

BATU CAVES 25 JUN : Satu pasukan khas yang terdiri daripada panel pakar akan dihantar ke loji rawatan air bagi menyiasat menyebaran kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung tahap penurunan paras air di empangan Semenyih dan Langat sejak minggu lalu.

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hal itu perlu disiasat kerana mendapati penggunaan dan pengurusan air di loji itu agak tidak konsisten daripada jumlah keluaran air.

“Mengapa terdapat kekurangan dalam loji rawatan itu? Loji rawatan mempunyai loji untuk menyimpan air jadi kenapa terdapat penurunan?.

“Jumlah air mentah di negeri antara ukuran yang boleh diukur ialah melalui jumlah air di empangan. Jumlah air itu kalau melimpah maknanya empangan itu mempunyai lebih daripada 100 peratus jumlah air.

“Jadi maknanya kalau itu berlaku jumlah air mentah di negeri ini bukan sahaja cukup tetapi ia juga melimpah.

“Oleh sebab itu pada kita, jumlah loji yang ada sesuai untuk jumlah air mentah yang kita ada,” katanya selepas Majlis Sambutan 43 tahun Kampung Melayu Batu Caves Selatan di Dataran Hijau Al-Khadra, Balairaya JKKK, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari, Pegawai Daerah dan Tanah Gombak Ahmad Zaharin Saad, YDP MDS Datuk Zainal Abidin Aala dan Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki.

Abdul Khalid menambah sebanyak 100 meter padu air sepatutnya disalurkan, bagaimanapun 30 peratus daripada jumlah itu tidak disampaikan kepada pengguna.

“Mungkin air bocor di mana-mana sebab itu tidak sampai kepada pengguna. Jadi dua perkara itu mesti kita lakukan iaitu jumlah air terawat mesti dipertingkatkan dan ‘non revenue water’ itu mestilah berkurangan daripada 30 peratus kepada 15 peratus,” katanya.

Lanjutan kepada laporan The Star, atas tajuk ?There is no shortage of water in Selangor, says Luas? bertarikh 19 Jun, 2012.

Abdul Khalid turut bersetuju dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar yang menyelar kenyataan Syabas itu.

Xavier mengesa Syabas agar jangan terus bermain api dengan rakyat Selangor.

Malah katanya, Kerajaan Negeri Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil alih semua loji-loji air yang dikendalikan oleh Syabas atau Puncak Niaga bagi menjamin rakyat Selangor terus mendapat bekalan air yang mencukupi untuk keperluan harian mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SYABAS Diminta Henti Kenyataan Tidak Tepat Berkenaan Isu Air

SHAH ALAM 20 JUN: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) digesa agar berhenti mengeluarkan kenyataan tidak tepat berkenaan isu air di negeri ini.

Gesaan Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar itu dibuat ekoran laporan tidak bertanggungjawab Syabas tentang tahap penurunan paras air di empangan Semenyih dan Langat sejak Jumaat lalu.

“Kita ingin mengingatkan Syabas agar jangan terus menakut-nakutkan rakyat Selangor dengan pengumuman-pengumuman gangguan air yang palsu sejak kebelakangan ini kerana Kerajaan Negeri Selangor sedang memantau ?tingkah laku? Syabas .

“Kita juga bertanggungjawab kepada rakyat Selangor yang memilih kerajaan Pakatan Rakyat sedia ada agar mereka tidak terus ?diperas ugut? oleh Syabas dengan berita gangguan bekalan air sewenang-wenangnya,” tegas Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Beliau menambah rakyat tidak perlu bimbang kerana Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk terus memastikan bahawa keperluan air rakyat Selangor mencukupi.

“Kerajaan Negeri akan terus memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor.

“Kerajaan Selangor juga tidak teragak-agak untuk mengambil alih semua loji-loji air yang dikendalikan oleh Syabas atau Puncak Niaga bagi menjamin rakyat Selangor terus mendapat bekalan air,” kata beliau.

Di samping itu, beliau sekali lagi mengingatkan rakyat Selangor agar tidak terpedaya dengan dakyah yang disebar Umno-BN dan Syabas mahupun Projek Langat 2 yang dikatakan mampu menyelesaikan isu air di Selangor.

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa Projek Langat 2 yang bernilai RM6 bilion adalah terlalu mahal untuk ditanggung oleh rakyat dan ia hanya menguntungkan syarikat-syarikat kroni Umno yang mahukan projek ini diteruskan,” tambahnya.

Categories
NASIONAL

MB: Forum Bagi Pastikan Usaha Beri Air Percuma Di Teruskan

KLANG 15 JUN : Forum air Selangor pada 12 Jun lalu diadakan adalah untuk mencari jalan terbaik mengurus air bagi memastikan bekalan air bersih di Lembah Klang mencukupi untuk rakyat Selangor pada harga yang berpatutan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata forum itu juga turut membincang masalah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.

“Forum itu bukan untuk membuat keputusan seperti yang didakwa Kerajaan Pusat tetapi ia hanya perbincangan,” katanya yang mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa penganjuran forum mengenai isu air oleh Kerajaan Negeri Selangor itu dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah rizab air terawat yang semakin berkurangan di Selangor.

Malah kata Noh, forum sedemikian tidak mampu membawa penyelesaian kepada masalah air terawat di Selangor yang menyebabkan kerajaan pusat dan Syabas enggan turut serta dalam perbincangan tersebut.

Khalid berkata Kerajaan Negeri juga mempunyai sebab tidak memanggil pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Saya ada jawapan kenapa mereka tidak dijemput, hal ini kerana Syabas mempunyai kes mahkamah dan kita tidak mahu Syabas menyertai forum itu.

“Yang kedua, forum itu merupakan perbincangan bukan keputusan, perbincangan untuk mencari penyelesaian dengan golongan profesional dan Kementerian tidak mahu menyertainya kerana dikatakan bukan keputusan,” katanya.

Beliau berkata selepas ini, Kerajaan Negeri akan membawa hasil perbincangan itu kepada Kementerian dan jika pihaknya tidak bersetuju, Kerajaan Negeri akan membuat satu forum awam.

“Apa yang boleh dikatakan, daripada forum itu kita sudah ada keputusan dan akan dibentangkan kepada Kementerian.

“Jika selepas ini mereka tidak bersetuju kita akan adakan satu forum awam. Forum ini akan melibatkan rakyat dan semua pihak.

“Pihak Syabas juga boleh menghantar wakil untuk menjelaskannya kepada rakyat berkenaan keputusan mereka begitu juga dengan Kerajaan Negeri. Sesiapun boleh bercakap dalam forum itu nanti,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga tidak gentar dengan Syabas walaupun pihaknya tahu Syabas dan Puncak Niaga ‘membayar’ pihak itu kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyokong mereka.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat. Rakyat mahu harga yang berpatutan dan jika Kementerian tetap dengan pendirian mereka, kita bincang serta bagi mereka alternatif,” katanya.

Katanya kerajaan negeri akan terus memperjuangkan isu air bagai memastikan usaha pemberian air percuma kepada rakyat dapat di teruskan di masa akan datang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tarif Air Umno-BN Naik 62 Peratus, Pakatan 12 Peratus

SHAH ALAM, 13 JUN: Meskipun kos pengurusan industri air semakin meningkat, Kerajaan Selangor hanya akan menaikan kadar tarif air tidak melebihi 12 peratus untuk tempoh tiga tahun.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata ketetapan itu akan berlaku sekiranya industri air distruktur semula dan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor memansuhkan satu perjanjian pada 2004.

“Apabila perjanjian ini dimansuhkan dan penyusunan semula dilakukan kenaikan tarif air hanya berlaku tiga tahun sekali dan tidak melebihi 12 peratus.

?Berbanding sekarang, kalau perjanjian diteruskan, sekarang juga air sudah kena dinaikan sehingga 62 peratus,” kata Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Forum Air Selangor yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre semalam.

Perjanjian 2004 yang dimeterai Kerajaan Pusat, Kerajaan Selangor Umno-BN yang lalu dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menetapkan kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus pada 2015.

“Kerajaan negeri tidak mahu teruskan perjanjian yang ditandatangani pada 2004 sebab dalam Akta 655, perjanjian boleh dirombak atau boleh digantikan dengan usaha penyusunan semula industri air Selangor,” kata Abdul Khalid.

Pada forum itu, Pengarah Kawal Selia Air Selangor Datuk Noordin Sulaiman berkata kenaikan tarif sebanyak 12 peratus adalah munasabah memandangkan peningkatan kos operasi pengurusan air.

Selain itu Nordin turut memberitahu aset pengurusan air yang sedang digunakan Syabas bukan milik syarikat terlibat, sebaliknya milik kerajaan negeri.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Bekas Menteri Umno-BN Juga Setuju Perjanjian Air Dahulu Berat Sebelah

 

SHAH ALAM, 13 JUN: Bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr Lim Keng Yaik pernah menyatakan perjanjian tarif air yang dibuat sebelum 2006 berat sebelah.

Demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan Forum Air Negeri Selangor 2012 yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre semalam.

“Pada 2006, selepas menandatangani perjanjian ini, Kerajaan Persekutuan di bawah bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr Lim Keng Yaik berpendapat perjanjian-perjanjian yang dibuat sebelum 2006 adalah amat berat sebelah kepada konsesi bukan pengguna.

“Oleh sebab itu satu undang-undang telah diluluskan oleh parlimen pada 2006 dan undang-undang tersebut memberi ruang untuk penstrukturan semula industri air di semua negeri termasuk Selangor.

“Itu sebab undang-undang ini dikeluarkan dalam penyusunan semula industri air di Negeri Selangor,” ucap Khalid.

Menurut Khalid, setiap tindakan yang diambil beliau sebagai ketua pentadbiran Kerajaan Selangor dalam isu air ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Keengganan pentadbiran Umno-BN untuk menstruktur semula industri air Selangor merupakan satu keputusan yang mengkhianati keputusan yang dibuat oleh gagasan itu sendiri.

“Ini lagi satu fakta, pada Januari 2008 terdapat satu keputusan kabinet yang menyatakan industri air di Selangor dibenarkan distruktur semula di mana Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) sebagai anak syarikat milikan penuh Kerajaan Selangor mengambil alih semua operasi air di Selangor.

“Saudara tahu pada Mac 2008, pentadbiran Negeri Selangor bertukar dari Umno-BN kepada Pakatan Rakyat.

“Pertukaran inilah menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak mahu melaksanakan skim yang dipersetujui kabinet pada Januari 2008 itu.

Selain itu menurut Khalid, sekiranya perjanjian kadar kenaikan tarif air yang ditandatangani oleh Kerajaan Pusat, Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pada 2004 diteruskan, harga air akan dinaikkan sebanyak 62 peratus.

“Kalau kita teruskan perjanjian 2004 yang ditandatangani antara Syabas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bermakna tarif air dinaikkan 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus pada 2015.

“Ini bererti kalau sekarang kita setuju, tarif air  sekarang dah naik sehingga 62 peratus,” ujar beliau.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Air : Umno Selangor Jangan Jadi Orang Suruhan Rozali

 

SHAH ALAM, 31 MEI: Umno Selangor dinasihatkan jangan terus menjadi ?orang suruhan? kepada Tan Sri Rozali Ismail iaitu Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor(SYABAS) dan Puncak Niaga, kata Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Nasihat ini ditujukan kepada Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dan mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

Sebelum ini, Khir menerusi laman blog peribadinya secara angkuh mengatakan bahawa segala kos Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang Ke Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA 2) yang dianggarkan menelan kos RM6 bilion adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak langsung mengambil wang Kerajaan Negeri.

Kenyataan yang disifatkan begitu korup selain mementingkan diri sendiri jelas menunjukkan Umno-BN lupa rakyat Selangor juga turut menyumbang kepada kewangan negara.

“Yang jelas dan nyata ialah pemimpin-pemimpin Umno-BN sebenarnya tidak peduli samada berlakunya krisis air menjelang 2014 atau tidak tetapi yang sangat penting bagi mereka ialah memastikan syarikat Puncak Niaga dan Syabas milik bekas Bendahari Umno Selangor, Tan Sri Rozali Ismail dapat terus menjalankan ‘perniagaan air’ di Negeri Selangor,” katanya.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk menyelesaikan isu air ini secara holistik sekiranya semua pihak termasuk Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dapat duduk berbincang secara muafakat.

Sekiranya semua pihak bersetuju, Kerajaan Negeri begitu yakin bahawa dalam tempoh 48 jam semua masalah berbangkit dapat diselesaikan.

Pemimpin Umno-BN diingatkan supaya tidak terus memperbodohkan rakyat Selangor dalam isu penyaluran air mentah dari Pahang Ke Selangor dan pembinaan Langat 2 yang bernilai RM6 bilion demi menjaga kepentingan kroni semata-mata.

Jelas Xavier, rakyat Malaysia khususnya warga Selangor harus sedar bahawa pelaburan RM6 bilion bagi projek tersebut harus dibayar balik oleh warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam bentuk kenaikan tarif air yang tinggi dalam masa terdekat. 

Dakwanya, Kerajaan Negeri sedar bahawa pemberi pinjaman dari negara Jepun dan perunding kejuruteraan serta kontraktor utama terowong penyaluran air yang juga dari Jepun menekan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk meneruskan projek tersebut memandangkan kerja-kerja menggerudi di bawah gunung ganang sejauh 44.6 km bermula dari Karak, Pahang hingga Hulu Langat telah 50 peratus siap.

 

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Air & Rakyat – Mengapa Selangor Sanggup Hadapi Tekanan ?

Sinopsis:

Apa respon rakyat jika air percuma 20 meter padu dihapuskan di masa akan datang ?

Laporan khas ini meneroka persoalan itu dan mengapa kerajaan negeri bersedia apa sahaja untuk melindungi hai air untuk rakyat Selangor