Categories
NASIONAL

Pembersihan Pilihanraya Melalui Parlimen

spr on black 01

KUALA LUMPUR, 26 JUN : Dewan Rakyat akan menjadi medan terbaru bagi Pakatan Rakyat memperjuangkan pembersihan proses pilihanraya supaya pilihanraya ke-14 nanti tidak dicemari penipuan dan kepincangan yang mencacatkan PRU ke 13 bulan lalu.

Ini susulan daripada 34 petisyen yang difailkan Pakatan bagi mencabar keputusan PRU-13 dan siri himpunan rakyat Black505 yang mendapat sambutan hangat seluruh negara.

Ahli parlimen Pakatan akan terus mendesak supaya pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan dan pengganti mereka dipilih dan dipersetujui semua ahli parlimen, mahupun Pakatan atau Umno-BN.

Pakatan akan juga memastikan bahawa persempadanan semula kawasan parlimen dan dewan undangan negeri dijalankan dengan telus bagi memastikan prinsip satu pemilih, satu undi dilaksanakan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, antara perkara yang paling utama adalah mendesak supaya pimpinan SPR sekarang yang menjalankan PRU 13 digantikan dengan orang baru.

Tony berkata hanya pimpinan SPR yang baru dapat memastikan bahawa pembahagian kerusi dalam persempadanan semula akan berlaku dengan adil.

“Kita tahu walaupun PR dalam Parlimen adalah pembangkang, tetapi kita telah memperoleh 51 peratus undi berbanding Umno-BN yang hanya mendapat 47 peratus undi sahaja.?

Pakatan dan NGO seperti Bersih dan SAMM mendakwa PRU 13 yang berlangsung pada 5 Mei sarat dengan insiden penipuan dan pelanggaran peraturan SPR.

Ini seperti kehadiran warga asing yang diberikan kad pengenalan untuk mengundi, sekatan terhadap ejen Pakatan untuk mengawal kotak kertas undi awal, jumlah kertas undi yang tidak konsisten dan rasuah oleh calon atau ejen semasa tempoh berkempen.

SPR juga didakwa gagal melaksanakan dasarnya sendiri untuk menggunakan dakwat kekal.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berkata masalah sistem pilihanraya pernah dibangkitkan Pakatan dan masyarakat sivil sebelum PRU-13 lagi, namun ia tidak pernah diendahkan Kerajaan Persekutuan Umno-BN.

“Selagi SPR tidak dilihat sebagai bebas, tiada reformasi dalam peranannya serta tidak diletakkan di bawah Parlimen, maka ia akan terus dipertikaikan.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berpendapat, Pakatan akan memastikan tiada kelompongan terhadap sistem pilihan raya di masa akan datang.

Categories
NASIONAL

PR Selangor Kemuka Bantahan PRU13

PR Selangor Kemuka Bantahan PRU13 01

SHAH ALAM 10 MEI : Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) bertekad membuat bantahan terhadap kekalahan calonnya dalam keputusan Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata adalah wajar membawa ke mahkamah kerana calon PR yang kalah itu hanya dengan majoriti sedikit.

“Kita tidak ganggu pembentukan kerajaan tetapi di Selangor yang saya tahu kami mahu tuntut kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Selangor.

” Di Parlimen Sungai Besar kita kalah dengan hanya mojoriti 399 undi manakala di Kuala Selangor kita kalah dengan 460 undi sahaja,” katanya dalam ucapannya di Majlis Kesyukuran kemenangan Pakatan Selangor, di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak mengenal pasti nama-nama pengundi ragu di kawasan itu.

“Jika ada bukti terdapat pengundi ragu atau wang diberikan untuk mengundi, maka kita bawa kes ini ke mahkamah, kita cabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata PRU13 lalu disifatkan sebagai ‘tsunami orang muda’ dan ‘tsunami orang cerdik’.

Ia kerana dakwanya, gabungan itu berjaya menyatupadukan semua kaum tidak mengira usia.

” Utusan ada siarkan berita ‘apa Cina mau’? Kita mahu ubahlah. Semua kaum mahu ubah.

” Kita menang majoriti besar, bukan sahaja orang Cina sokong kita, tapi semua kaum sokong kita,” katanya.

PR Selangor Kemuka Bantahan PRU13 02

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Tetap Mahu Najib Panggil Sidang Parlimen

johari-abdul

PETALING JAYA, 6 MAC: Pimpinan Pakatan Rakyat(PR) tetap dengan pendirian mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil satu sidang khas parlimen bagi menjawab persoalan penting dan penerangan kerajaan berhubung pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Ini kerana terlalu banyak persoalan berhubung kesediaan anggota keselamatan dan kelengkapan senjata untuk mempertahankan sempadan negara.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, satu penyelesaian politik perlu difikirkan sebagai strategi jangka panjang untuk memulihkan keadaan di Sabah.

Situasi ini mungkin mengakibatkan krisis politik berlarutan meskipun tindakan ketenteraan menyelesaikan konflik ini untuk sementara waktu.

“Parlimen perlu tahu berapa jumlah sebenar penceroboh yang boleh menembusi sempadan negara dan adakah pasukan keselamatan (polis) diberikan arahan serta matlamat tugasan yang jelas semasa menjalankan operasi.

“Adakah ini berlaku kerana kegagalan perisikan dan mengapa pencerobohan ini pada awalnya tidak dianggap sebagai ancaman bersenjata atau kerajaan tersalah anggap ancaman dari gerombolan penceroboh ini?” katanya dalam satu sidang media.

Tegasnya perkara ini tidak boleh dilengahkan memandangkan parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia dan semua wakil rakyat berhak mendapat penerangan sepenuhnya.

Turut hadir sama dalam sidang media di Ibupejabat PKR adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Chin Tong turut menjelaskan, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertanyakan mengenai perkara ini kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz namun segala keputusan terletak di tangan Najib.

Sementara itu, Khalid Samad menjelaskan perkara ini perlu dibincangkan sebagai satu gabungan bagi mencari jalan penyelesaian kerana melibatkan isu keselamatan negara selain rakyat mendapat penjelasan sebenar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Perlu Perjelas Lulus Kompleks Hiburan Di Padang Jawa

SHAH ALAM, 2 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini diminta menjelaskan mengapa permohonan IRDK Land untuk membina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif  di Padang Jawa diluluskan sedangkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pernah bertitah agar tiada sebarang pusat hiburan dibina di Shah Alam.

Selain melanggar titah baginda sultan, Kompleks tersebut yang masih dalam pembinaan itu juga mendapat bantahan penduduk beberapa buah kampung di Padang Jawa.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya di sini.

Menurut Abdul Khalid, sebelum ini beliau ada dimaklumkan oleh pegawai MBSA bahawa pihak istana telah memberikan lampu hijau terhadap kompleks hiburan tersebut.

“Walaupun sebelum ini saya diberitahu pegawai MBSA secara lisan yang pihak istana beri kebenaran, tetapi MBSA harus beri jawapan bertulis secara rasmi kerana tidak mustahil ada pihak sengaja dan sesuka hati menggunakan nama istana.

“Kalau benarpun pihak istana beri kebenaran, pandangan penduduk Padang Jawa masih perlu diambil kira,” ujar beliau.

Bagaimanapun beliau juga dimaklumkan bahawa pihak MBSA masih belum mengeluarkan lesen operasi perniagaan kepada syarikat terlibat.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan Adun Gombak Setia, Dr Hassan Ali dan pemimpin Umno-BN bahawa Shah Alam telah menjadi hub maksiat.

“Lesen perniagaan yang dikeluarkan dalam isu ini adalah spesifik seperti untuk tujuan perniagaan spa kecantikan dan urut refleksologi sahaja.

“Pemeriksaan di tempat pernigaan juga dijalankan dan syarat membaharui lesen juga dikenakan pemeriksaan, tetapi yang cuba jadikan Shah Alam pusat maksiat adalah Umno-BN sebab merekalah bina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif di Padang Jawa,” ujar beliau lagi.

Menurut Abdul Khalid, syarikat IRDK Land yang memajukan projek kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif tersebut dimiliki oleh pemimpin MIC yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum ke 12 lalu bagi Dun di Negeri Perak.

Categories
SELANGOR

Pengawal Keselamatan Menang Kes Tuntutan Gaji Minima

SHAH ALAM 13 OKT : Perjuangan sekumpulan pengawal keselamatan mendapatkan bayaran penyelaran gaji minima dan kerja lebih masa berjaya apabila Mahkamah Buruh mengarahkan majikan membayar RM210,000 kepada pekerja terbabit.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, kejayaan dalam kedua-dua kes tersebut diharap akan membuka mata pihak majikan supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka.

Beliau berkata, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah itu yang dihadapi oleh 67 pengawal keselamatan yang membuat aduan berhubung masalah tunggakan gaji, penafian perlaksanaan pelarasan gaji, majikan tidak melaksanakan gaji minima diluluskan kerajaan serta tidak mencarum di dalam Perkeso dan KWSP.

“Masalah ini dihadapi mereka sejak 2011 yang mana bekerja di bawah Kementerian Pendidikan yang kebanyakannya menjaga sekolah-sekolah dengan mengatakan tidak mendapat banyak hak mereka yang mana semuanya 13 kes.

“Dengan kumpulan bertindak ditubuhkan kita  failkan tuntutan di Mahkamah Buruh pada 2011.

“Akhirnya pada 3 Januari lepas Mahkamah Buruh mengarahkan majikan membayar RM120,000 kepada mereka bagi tuntutan pertama dan RM90,000 untuk tuntutan kedua,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Rodziah berkata, dengan keputusan itu pihaknya akan meneruskan usaha bagi mendapat keadilan dalam kes lain demi kebajikan kumpulan pekerja berkenaan.

“Selepas kejayaan mereka, ramai pengawal keselamatan kini ingin mengabungkan diri dalam usaha membela kepentingan mereka tetapi dicadangkan mereka menubuhkan kumpulan mereka sendiri dan mereka ini ada yang dari luar Selangor seperti dari Perak dan Negeri Sembilan.

“Apa yang kita perjuangkan ini bukan sekadar mendapatkan hak kepada pekerja tetapi saya ingin nyatakan penyatuan yang kita telah usahakan yang mana berjaya dalam kontek melawan kezaliman yang ada,” katanya.