Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Perkenan Sampai Sumbangan kepada Fakir, Miskin, Anak Yatim dan Mualaf

sultan lzs 01

SHAH ALAM, 12 JULAI : Seramai 550 orang asnaf fakir, miskin, anak yatim dan mualaf menerima sumbangan hari raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri, di sini.

sultan lzs 03Sumbangan itu diagihkan kepada 150 asnaf fakir, 150 asnaf miskin, 150 anak yatim dan 100 mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM400 setiap seorang, manakala anak yatim menerima sumbangan RM100 seorang.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan sebelum mencemar duli berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM5.4 juta daripada dua anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

sultan lzsDua anak syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB) masing-masing menunaikan zakat tersebut sebanyak RM4.02 juta dan RM1.38 juta.

PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Omar manakala WHB pula diserahkan oleh Pengerusinya, Datuk Noordin Sulaiman.

Pembayaran zakat perniagaan itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin serta Exco Negeri Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

KDEB Sangkal Dakwaan Ahli Akademik Selangor Boleh Kawal Syabas

syabas-AIR1

SHAH ALAM 14 JAN: Pengaruh Kerajaan Selangor di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhad kepada perwakilan dalam lembaga pengarah sahaja syarikat itu sahaja dan bukan di dalam operasi harian Syabas.

Ini dapat dilihat apabila pada Julai tahun lepas, Syabas mencadangkan catuan air di seluruh Lembah Klang dan Selangor tanpa persetujuan dan pengetahuan Kerajaan Selangor, kata Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

KDEB adalah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang memiliki pegangan saham 30 peratus di dalam Syabas.

Dalam satu kenyataan hari ini, presiden KDEB Suhaimi Kamaralzaman membidas dakwaan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), bahawa Kerajaan Negeri cuba menutup kelemahannya menangani isu air.

Pensyarah itu, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri mendakwa Syabas dibawah kendalian kerajaan negeri dan Selangor cuba menutup fakta seolah-olah ia tidak mempunyai kepentingan di dalam Syabas.

Suhaimi berkata, kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan harian, peralatan dan sistem pengagihan bekalan air dilaksanakan oleh pengurusan Syabas yang telah dilantik oleh pemegang saham majoriti iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad.

“Pengaruh Kerajaan Negeri terhad dalam pengurusan Syabas boleh terlihat apabila pengurusan Syabas mencadangkan pencatuan air pada bulan Julai 2012 yang telah diputuskan oleh pengurusan Syabas tanpa merujuk Lembaga Pengarah terlebih dahulu,” jelas Suhaimi.

Kuasa terhad Kerajaan Selangor di dalam Syabas adalah antara sebab ia mahu mengambilalih industri air daripada Syabas kerana mendakwa syarikat itu gagal melaksanakan tugasnya sebagai syarikat pengedar air terawat di Selangor.

Ini dibuktikan apabila lima pam air di rumah pam Wangsa Maju rosak akibat tidak diselenggara dengan sempurna sejak awal tahun lepas dan menyebabkan lebih 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, wakil Kerajaan Negeri dalam lembaga pengarah Syabas akan menuntut penjelasan daripada pengurusan Syabas serta pelan tindakan untuk penyelenggaraan sempurna bagi mencegah kejadian seperti itu berulang.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari terutamanya bagi pelan tindakan dan pemulihan air.

Jawatankuasa tersebut dan juga wakil KDEB juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan dan penyelesaian jangka pendek dan panjang mengenai isu ini.

“Mereka ini telah dipertanggungjawabkan bagi mempastikan semua pelan tindakan dilaksanakan dengan pantas dan efisien,” kata Suhaimi lagi.

Categories
SELANGOR

LZS Terima Zakat RM7.79 Juta Daripada Tiga Anak Syarikat Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 24 JULAI : Sejumlah RM7.79 juta zakat perniagaan diterima Lembaga Zakat Selangor(LZS) daripada tiga anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS), Permodalan Negeri Selangor(PNSB) dan Worldwide Holdings Berhad(WHB) semalam.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat berkenaan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah malam tadi.

Sementara itu, PKNS menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4.39 juta diikuti PNSB berjumlah RM2.04 juta manakala WHB pula sebanyak RM1.36 juta bagi tahun kewangan berakhir 2011.

PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Omar, PNSB oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Omar dan WHB diwakili pengerusinya, Datuk Mohd Arif Abd Rahman.

Dalam majlis yang sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya berjumlah RM400 setiap seorang kepada 100 orang asnaf fakir, 100 orang asnaf miskin, 100 orang asnaf muallaf dan 100 orang anak yatim.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Asnaf Cemerlang kepada lima usahawan asnaf terbaik iaitu Muhamad Burhan Salikon, Mohd Yatim Abd Ghani, Syeikh Abd Rahim Syeikh Yahya, Sharifah Surit serta Sakilla Hanis Mohamed.

Selain itu, siri jelajah Sultan Selangor ke seluruh negeri ini merupakan salah satu daripada program Ihya’ Ramadhan 2012 dengan kerjasama JAIS.

Turut hadir di majlis ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, barisan Exco dan Adun-Adun Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

19 Pesara MBPJ Yang Berkhidmat Lebih Tiga Dekad Terima Penghargaan

PETALING JAYA, 14 JUL : Mereka di antara 117 warga kerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

Seorang pesara, Ramathas Alagan, 60, berkata, beliau mula berkhidmat pada Januari 1978 sebagai Pembantu Tadbir di Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ.

“Saya mendapat pelbagai pengalaman dan kenangan manis semasa berkhidmat di sini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada warga kerja MBPJ untuk terus maju di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan di majlis itu.

Pesara dari Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan, Hassan Tambah, 58, mengucapkan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan MBPJ kepadanya.

“Walaupun saya ini orang lama, ternyata MBPJ tidak melupakan sumbangan kakitangannya yang telah lama berkhidmat disini,” ujarnya yang memulakan perkhidmatan bersama MBPJ sejak 1977 lagi.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 dan Penghargaan Pesara 2012 itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan dihadiri Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Mohamed Khusrin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pesara yang diraikan di atas bakti yang diberikan bermula dari awal dilantik sehingga ke akhir perkhidmatan.

“Sesungguhnya, jasa yang ditaburkan para pesara ini amat besar maknanya dan akan terus dikenang di MBPJ,” katanya.

Dalam majlis yang sama, 117 warga kerja MBPJ daripada pelbagai jabatan turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 berupa sijil penghargaan dan wang tunai.