Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang kitar semula plastik didenda RM120,000

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebuah kilang di Banting didenda RM120,000 selepas didapati menjalankan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata hukuman itu juga membabitkan kesalahan tidak mengemukakan punca pencemaran sisa buangan dan udara kepada ketua pengarah JAS selain gagal memasang alat kawalan pencemaran udara.

“Keseluruhannya kilang berkenaan bersama pengarah syarikat berdepan lapan pertuduhan melibatkan Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ; Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Hukuman berkenaan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Tengku Shahnizam Tuan Lah selepas pengarahnya mengaku bersalah. Kesalahan ini dikesan pada 2018,” kata Nor Aziah Jaafar menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, JAS Selangor tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar di samping akan mengenakan tindakan tegas.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pencemaran boleh laporkan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di  https:/eaduan.doe.gov.my,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Main bola semasa PKP, enam lelaki Bangladesh didenda RM200 seorang

PETALING JAYA, 11 FEB: Akibat bermain bola dan berkumpul di sebuah taman pemainan awam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), enam lelaki warga Bangladesh didenda masing-masing RM200 atau penjara dua hari oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di sebuah taman di Damansara Kim pada 8.13 malam, 29 Jan lepas.

Mereka ialah Tusar Ahamad, 30, Md Azad Ali, 26, Md Juwel Islam, 24, Mohammad Sumon, 31, Md Alla Uddin, 27, dan Md Sharif Uddin, 23, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai.

Mereka didakwa bersama-sama gagal mematuhi arahan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, bagi mencegah dan mengawal apa-apa penyakit dengan bermain bola dan berkumpul di taman permainan awam yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh, yang ditahan reman sejak 29 Jan lepas dikemukakan mengikut Peraturan 16(1) Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga sebulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan itu adalah kesalahan pertama mereka.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

ADN Muda Seri Serdang saran kekal kawasan tadahan hujan

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri perlu mengekalkan kawasan tadahan hujan yang boleh membekalkan sumber air mentah jika berlaku henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Seri Serdang berkata pembersihan tanah untuk pembangunan dan pertanian memberi tekanan kepada kawasan tadahan walaupun hujan serta pembenihan awan dilakukan.

“Saya mencadangkan supaya pembersihan tanah untuk pembangunan dan pertanian mestilah dielakkan 10 kilometer (KM) dari kawasan tadahan air hujan.

“Perkara ini penting bagi menjaga kawasan tadahan air daripada musnah,” kata Eshwarii Surendran ketika membahaskan usul Kluster Perkhidmatan Air pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjelaskan kawasan itu penting untuk membekalkan air bersih kepada empangan sebelum disalurkan ke rumah dan premis perniagaan.

Selain itu, Eshwarii menggesa kadar denda ditingkatkan sekurang-kurangnya RM100,000 terhadap pesalah atau pemilik kilang yang mencemarkan sumber air.

Menurutnya, langkah ini penting supaya pencemaran air dan bau di LRA dapat ditangani serta krisis bekalan boleh dielakkan.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Pencemar sumber air berdepan denda RM1 juta, penjara tiga tahun

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Individu didapati bersalah mencemarkan sumber air Selangor berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara tiga tahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pindaan hukuman di bawah Seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 akan dibentang pada sidang Dewan Undangan Negeri yang dijangka November ini.

“Denda RM100,000 akan dipinda kepada nilai tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM1 juta serta boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun.

“Kerajaan Selangor memandang serius isu pencemaran sungai dan Luas sedang menambah baik Enakmen Luas 1999 meliputi keseluruhan perihal pengurusan sumber air negeri terutama tahap hukuman,” katanya melalui ucapan dibacakan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri hari ini.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menyemak Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 sebelum membuat pindaan bagi menekankan hukuman berat kepada pesalah terbabit.

“Luas menubuhkan Skuad Pantas bagi mengawal 24 jam kawasan sensitif sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang yang berisiko menyebabkan henti tugas loji pembersihan air,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh dipenjara lima bulan, denda RM12,000

ALOR SETAR, 13 OGOS: Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, pada sesi pertuduhan khas yang diadakan di Hospital Lama Alor Setar di sini, tempat tertuduh dikuarantin selepas didapati positif Covid-19.

Nezar Mohamed dituduh meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan terhadapnya di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis Bank Rakyat Cawangan Jitra pada 4.40 petang; di premis Agro Bank Cawangan Jitra pada 3.58 petang; di premis Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 3.35 petang dan di premis Public Bank Cawangan Jitra pada 3 petang, 14 Julai lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Nezar Mohamed dijatuhi hukuman penjara lima bulan, menjadikan jumlahnya 20 bulan, bermula hari ini dan denda RM,3000 bagi setiap pertuduhan dan hanya perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zabidah memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan rakyat agar tidak melanggar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya tertuduh telah menyebabkan kesihatan awam terjejas dengan tercetusnya kluster Sivagangga pada 28 Julai lepas, melibatkan tiga daerah di Kedah (Kubang Pasu, Kulim, Padang Terap), satu daerah di Perlis (Kangar) dan dua daerah di Pulau Pinang (Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah).

“Ekonomi negara juga terjejas kerana Kluster Sivagangga telah menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM1 juta di kawasan TEMCO (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar) daerah Kubang Pasu sahaja dan menyebabkan keresahan dan kebimbangan kepada masyarakat umum,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan fail rayuan tambah hukuman penjara, denda terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara 12 tahun dan jumlah denda RM210 juta dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC Sdn Bhd.

Ketua Unit Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar semasa dihubungi mengesahkan notis rayuan difailkan Jumaat lepas menerusi e-filing.

“Kami (pihak pendakwaan) memfailkan notis rayuan terhadap semua hukuman dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Mohd Dusuki juga berkata hari ini adalah hari terakhir bagi pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan rayuan mereka, berikutan kedua-dua pihak mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan masing-masing selepas keputusan pada 28 Julai.

Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ahli parlimen Pekan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, masing-masing bagi tiga kes CBT dan masing-masing bagi tiga kes pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara jika gagal membayar denda itu bagi kes salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Basikal lajak: Ibu bapa boleh didenda sehingga RM5,000, penjara

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak jagaan mereka berusia 18 tahun ke bawah terlibat dalam aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya, boleh didenda antara RM1,000 sehingga RM5,000 atau dipenjara tidak lebih setahun.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu merupakan antara yang terkandung di bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

“Tujuan kita tidak mahu menghukum. Kalau kita benarkan kenderaan ini (basikal lajak) yang tiada brek, bayangkan kemalangan akan berlaku bila-bila masa.

“Jadi itu yang kita nak buat pindaan, dahulu RM300 orang tidak takut. Sekarang kita ketatkan dan hukuman lebih berat. Jika di bawah 18 tahun, maka ibu bapa dan penjaga boleh dihukum,” katanya pada sidang media selepas taklimat rang undang-undang itu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini.

Dalam pada itu, Wee berkata individu yang tertidur ketika memandu sehingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian juga akan berdepan hukuman yang lebih berat.

Beliau berkata pemandu terbabit tertakluk kepada pindaan Seksyen 41 akta berkenaan iaitu penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 sehingga RM50,000 bagi kesalahan kali pertama.

Katanya, pemandu yang tertidur boleh dikategorikan dalam pemanduan secara melulu atau merbahaya.

“Ada ayat ‘memandu secara melulu’ bermaksud memandu dengan cuai… anda juga bertanggungjawab, anda boleh didakwa… jika ia (memandu) menyebabkan kematian, terdapat hukuman menanti anda, jadi kami memang serius. Anda tidak boleh mengawal kenderaan bermaksud anda memandu dengan cuai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kutipan denda ingkar PKP hampir RM6 juta

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Jumlah kutipan denda daripada syarikat dan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijelaskan adalah sebanyak RM5,928,000.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan angka itu berdasarkan maklumat yang diperoleh dari Kementerian Kesihatan bagi tempoh Mac hingga Jun 2020.

“Pihak polis hanya mengeluarkan kompaun kepada individu dan juga syarikat atau premis sebanyak 11,379 kompaun. Seramai 21,420 individu yang ditangkap telah didakwa di mahkamah bagi tempoh 18 Mac sehingga 30 Jun,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Teresa Kok (PAKATAN-Seputeh).

Kerajaan mengisytiharkan PKP yang bermula pada 18 Mac dan seterusnya diikuti dengan PKP Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei sebelum digantikan dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Lanjutan daripada pengisytiharan itu, langkah-langkah susulan telah diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan PKP itu selain beberapa siri mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan bagi memperincikan pelaksanaan tersebut, menurut KDN.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Superman’ dipenjara sehari, denda RM5,500

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Seorang penganggur dipenjara sehari dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan beraksi seperti ‘Superman’ di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini bulan lepas.

Majistret Puteri Nursheila Rahim memerintahkan Noor Irfan Qayyum Noor Affandy, 22, menjalani hukuman itu bermula hari ini selain lesen memandu tertuduh digantung selama setahun dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara lima bulan.

Dia dituduh menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di lebuh raya itu pada 12.55 tengah malam, 1 Jun lepas.

Pertuduhan itu di bawah Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk sekurang-kurangnya dua tahun.

Terdahulu, Noor Irfan Qayyum yang tidak diwakili peguam berkata dia menyesal dan memohon hukuman ringan, bagaimanapun pegawai pendakwa Inspektor Abdullah Khazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan semasa Op Samseng yang dijalankan polis di lebuh raya itu.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, seorang lagi penganggur Mohamad Azuan Amando, 19, diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama 180 jam kerana menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Raja Laut di sini pada 1.51 pagi, 26 Ogos 2019.

Tertuduh juga diarahkan membayar RM3,000 sebagai cagaran dan perlu menyelesaikan khidmat masyarakat itu selama 12 bulan, selain dilarang memohon lesen memandu baharu selama dua tahun.

Dia didakwa di bawah Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Memandu mabuk lagi, dua lelaki didenda RM3,000

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Akibat tidak serik memandu di bawah pengaruh alkohol, dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas kontraktor Fan Kok Wai, 45, dan penjual mee Chin Wen Hoong, 55, selepas mereka mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 189mg dan 195mg dalam 100ml darah, melebihi had ditetapkan iaitu 80mg di Lebuhraya Kesas dan Jalan Cheras pada 31 Mei lepas, antara 10.15 malam dan 11.05 malam.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua lelaki tersebut digantung selama dua tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran ke atas tertuduh dengan alasan itu adalah kesalahan kali kedua mereka, manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf dan merayu hukuman denda minimum.

Sementara itu, Puteri Nursheila turun menasihati Fan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

“Ini kesalahan kali kedua. Kamu perlu ambil ini sebagai pengajaran,” katanya.

Mereka membayar denda tersebut.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Padah buat onar dalam penerbangan, warga Lithuania didenda RM12,000

SEPANG, 23 Mei: Seorang warga Lithuania yang dalam rancangan bercuti selama tiga minggu di negara ini didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang di sini hari ini setelah membuat onar ketika dalam penerbangan.

Petronis Augustinas, 33, yang bekerja sebagai konsultan pembinaan di London mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah ke atas seorang kru kabin penerbangan Oman Air WY821 dari Muscat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 Mei lepas.

Augustinas turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu menggunakan kata-kata kesat atau menghina kru kabin berkenaan pada masa dan di tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibaca kepadanya dalam bahasa Inggeris. Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan meminta hukuman denda dikenakan sebagai satu pengajaran.

Augustinas yang diwakili peguam Zaflee Pakwanteh dalam rayuannya berkata, dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku ketika kejadian kerana terlalu mabuk setelah mengambil minuman keras bermula dari penerbangan dari London ke Muscat lagi.

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Augustinas membayar denda tersebut. -BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Sabitan Akta Perhimpunan Aman tidak wajar – Nik Nazmi

nik-nazmi batik 01(KENYATAAN MEDIA) Tindakan mensabitkan Setiausaha Pengelola KEADILAN Johor, di bawah Akta Perhimpunan Aman ialah sesuatu yang amat memalukan terhadap usaha negara melindungi hak asasi manusia.

Ini merupakan suatu penghinaan terhadap hak asasi rakyat untuk berhimpun sebagaimana terjamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Denda sebanyak RM6,000 atau penjara 3 bulan ialah suatu hukuman yang terlalu berat hanya di atas kegagalan memberikan notis 10 hari kepada pihak berkuasa.

Tempoh notis ini tidak munasabah sebagaimana pernah disuarakan oleh Majlis Peguam. Pihak berkuasa tidak memerlukan 10 hari untuk mengawal trafik atau mengawal orang ramai memandangkan itu adalah objektif notis.

Selain daripada itu, banyak demonstrasi dan perhimpunan pro-kerajaan yang dibuat tanpa mematuhi tempoh notis 10 hari tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa mahupun pihak penganjur didakwa.

Pada masa yang sama, ramai pimpinan pembangkang dan aktivis Pakatan termasuk saya sendiri didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana melanggar peruntukan ini. Jelas sekali ini merupakan pendakwaan terpilih oleh pihak berkuasa.

Ini sesuai dengan corak kerajaan yang semakin menghakis ruang demokrasi dengan memperkenalkan pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah dengan membawa balik penahanan sehingga 2 tahun tanpa pendakwaan atau perbicaraan.

Jelas sekali, dakwaan Najib Razak bahawa beliau menginginkan rekonsiliasi nasional hanyalah kata-kata kosong semata-mata. Beliau meneruskan dasar lapuk UMNO-BN yang telah ditolak majoriti rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia