Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Umno-BN boros, rakyat tanggung GST dan pengurangan subsidi

GST Grafik Baru

SHAH ALAM,27 OKT : Pengurangan subsidi dan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan Umno-BN berbelanja.

Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perlaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan Umno-BN mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasinya dan bukannya ianya terus berboros dengan duit rakyat.

Katanya, rakyat tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila ia diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus bermula 1 April 2015.

“Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

“Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

“Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minima perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan kerajaan mengenakan GST tidak mampu menyembunyikan kegagalan mereka mengawal perbelanjaan berlebihan dengan defisit terus kekal.

Lebihan dalam kutipan cukai yang dinyatakan dalam Laporan Ekonomi 2013/14 sepatutnya membantu mengurangkan defisit kronik itu kepada 2.6 peratus tetapi sebaliknya kekal tidak berubah pada unjuran empat peratus.

“Walaupun kerajaan mengumpul jauh lebih tinggi daripada hasil yang dijangkakan, defisit untuk 2013 kekal pada RM39.3 bilion.

“Ini bermakna hampir setiap sen pendapatan tambahan yang dikutip kerajaan terus segera dibelanjakan, bukannya menyumbang ke arah mengurangkan hutang,? katanya.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Bukan masa untuk laksana GST

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014

KUALA LUMPUR 24 OKT : cadangan kerajaan ntuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan satu langkah bijak kerana ia adalah cukai regresif apabila golongan berpendapatan rendah terpaksa membayar cukai lebih tinggi.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk memastikan pelaksanaan sistem cukai progresif daripada perspektif perkongsian lebih adil dalam pelarasan beban fiskal yang perlu ditanggung lebih oleh golongan kaya dan kumpulan berpendapatan tinggi.

Dengan tidak memperkenalkan GST, Pakatan Rakyat mencadangkan inisiatif lain untuk mempelbagaikan asas pendapatan kerajaan persekutuan dan memperluaskan sumber pendapatan ,terutama cukai langsung serta hasil bukan cukai.

Sistem cukai sedia ada dilihat mengalihkan beban cukai daripada pemilik modal dan golongan berpendapatan tinggi dengan kecenderungan lebih tinggi mendatangkan kesukaran kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

PR turut menegaskan pendapatan minimum isi rumah negara perlu mencapai tahap yang dianggap perlu dan mencukupi bagi menyerap kejutan terhadap kuasa beli rakyat, khususnya di kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebelum GST dilaksanakan.

Belanjawan itu juga mencadangkan kerajaan mewujudkan suruhanjaya atau jawatankuasa reformasi cukai yang akan mengkaji semula mekanisme sedia ada dan mencadangkan langkah sesuai selepas proses perbincangan dengan semua pihak berkepentingan bertujuan mengukuhkan keupayaan sistem percukaian negara yang lebih mencerminkan piawaian antarabangsa serta amalan terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Dasar Pendidikan Kebangsaan disemak semula

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014

KUALA LUMPUR 24 OKT : Pelajar di 1,854 Sekolah Janaan Rakyat (sekolah vernakular) seluruh negara akan menerima bantuan tambahan sebanyak RM300 setiap tahun melalui pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat.

Bantuan tambahan membabitkan peruntukan sebanyak RM220 juta itu adalah satu bentuk pelaburan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah berkenaan, termasuk kos penambahan bangunan serta membaik pulih infrastruktur serta kemudahan.

PR juga mensasarkan lima sekolah menengah teknik dan vokasional iaitu tiga di Semenanjung, manakala satu di Sabah dan Sarawak sebagai ‘pilot project’ penambahbaikan kelengkapan dan usahasama dengan sektor swasta bagi penawaran peluang pekerjaan membabitkan peruntukan RM20 juta bagi setiap sekolah.

Selain itu, PR juga bercadang menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6 bilion setahun untuk mengambil alih hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menampung 10 peratus kos di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA), elaun sara hidup untuk 500,000 pelajar dan tabung untuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Di bawah dasar sama, PR berhasrat menubuhkan Jawatankuasa Khas ‘Teacher Recruitment Unit and Specialist Team’ (TRUST) di setiap negeri untuk memilih guru di kalangan 30 peratus terbaik bagi setiap kumpulan dengan peruntukan sejumlah RM10 juta setahun.

Tenaga pengajar juga akan diberikan elaun khas perguruan sebanyak RM500 setiap bulan dengan kos keseluruhan RM2.4 bilion setahun.

PR turut berhasrat melaksanakan satu program khas untuk melatih guru komuniti di kalangan orang asli serta kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan kos RM10 juta setahun, selain penubuhan sekolah perdana bagi keperluan khusus kanak-kanak istimewa dengan peruntukan RM20 juta. -NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang bergerak selangkah perkukuh demokrasi

Kerajaan PR Selangor dan P

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PR Selangor dan P.Pinang yang bergerak selangkah lagi memperkukuhkan demokrasi dalam radar pentadbiran mereka.

18 September lalu Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan secara prinsipnya peruntukan kepada ADUN pembangkang di Pulau Pinang (baca : Barisan Nasional) dan lanjutan kelulusan Mesyuarat Exco ini akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri P.Pinang 2014.

Manakala 10 Oktober lepas Kerajaan PR Selangor pula mengumumkan elaun khas dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Bagi SAMM ini usaha berani dalam memperkukuh dan mendidik erti demokrasi sebenar di Malaysia namun memahami dalam searah panjang penindasan dalam menterjemah sistem demokrasi ala Barisan Nasional tentu tindakan seperti ini sukar diterima oleh beberapa pihak dalam PR itu sendiri.

Namun jika kita bercakap soal demokrasi matang, inilah masa terbaik menunjukkan PR berbeza dengan politik penindasan Bn. Kita lihat selama ini bagaimana wakil rakyat PR khususnya ahli parlimen dinafikan hak untuk berkhidmat kepada rakyat dengan satu sen pun peruntukan tidak disalurkan melalui wakil rakyat PR yang diangkat dengan undi rakyat.

Kini satu tamparan hebat buat ADUN Bn di Pulau Pinang. Adakah mereka mahu menerima peruntukan yang diberikan kepada mereka walaupun mereka pembangkang ?

Jika mereka menerima maka mereka memperakui bahawa amalan Kerajaan Bn di negeri lain dan Bn peringkat Pusat sendiri adalah salah dengan tidak menyalurkan peruntukan melalui wakil rakyat yang diangkat oleh rakyat atau jika menolaknya maka mereka akan terus dikenang dengan politik kepartian sempit dan mereka tidak boleh mengeluh lagi depan pengundi mereka yang mereka tidak ada peruntukan.

Melalui Kerajaan Pulau Pinang, PR membuktikan bahawa pertembungan parti politik hal yang lain tetapi dalam urus tadbir negeri demokrasi maka pilihan rakyat harus dihormati dan PR Pulau Pinang telah mengiktirafnya.

Jawatan Ketua Pembangkang dalam dewan (sama ada dewan rakyat atau dewan undangan negeri) amat penting. Namun sejak merdeka Malaysia tidak pernah menghormati seperti mana negara – negara demokrasi matang mengiktiraf jawatan tersebut.

Kerajaan PR Selangor mengorak langkah apabila memberikan elaun khas RM8,260 sebulan dengan perbagai keistemewaan lain kepada Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dengan ini jawatan yang juga diangkat melalui proses demokrasi suara rakyat ini boleh digunakan untuk sama membangunkan negeri. Ketua pembangkang boleh punya sebuah pejabat yang efisyen lengkap dengan pegawai penyelidik yang cukup dan mampu untuk membahaskan dan membuat teguran membina kepada kerajaan negeri yang akhirnya menguntungkan rakyat.

Persoalanya kini juga muncul adakah Ketua Pembangkang yang datang dari Bn di Selangor menerima elaun dan keistimewaan tersebut atau dia menolak dengan pemikiran politik kepartian sempit.

Jika menerimanya juga maka dia mengakui sendirinya bahawa adalah amalan yang salah apabila Kerajaan Pusat dan Negeri dibawah Bn menidakkan peranan Ketua Pembangkang di dewan yang diangkat oleh rakyat.

Seharusnya beginilah politik negara dibawa kepada persaingan polisi dan persaingan dalam penambahbaikan yang akhirnya memperkukuh demokrasi dan menguntungkan rakyat.

Besar harapan SAMM ingin melihat Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan yang menjadikan perkataan ‘transformasi’ sebagai zikirnya tiap hari dalam membentangkan Buget 2014 Jumaat ini mampu benar benar menyambut langkah Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang.

Langkah ini juga positif dan semua harus bergerak dalam memperkukuh demokrasi dengan mengiktiraf peranan ahli parlimen PR dengan mengambil kira penyaluran peruntukan melalui mereka yang dipilih rakyat dan mengangkat peranan Parlimen Malaysia dengan mengiktiraf keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Malaysia.

Jika tidak zikir ‘transformasi’ itu akan terus menjadi retorik bahan ketawa mainan dalam dan luar negara.

Badrul Hisham Shaharin
Solidariti Anak Muda Malaysia

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan 2014: Defisit negara dijangka bertambah hingga satu peratus

anwar belanjawan PR

SHAH ALAM 22 OKT: Belanjawan 2014 dijangka mencecah sehingga RM270 bilion membabitkan pertambahan kira-kira sembilan peratus berbanding RM260 bilion, berbanding Belanjawan 2013.

Pertambahan itu juga dijangka bakal menyebabkan defisit kewangan negara bertambah kira-kira 0.5 peratus hingga satu peratus.

Pengrusi PKR Terengganu, Azan Ismail, berkata belanjawan yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 25 Okotber ini mencatatkan defisit untuk kali ke-16 berturut-turut.

“Tahun ini jumlahnya adalah RM260 bilion, tetapi bakal ditambah lebih kurang RM10 bilion bagi 2014. Pertambahan ini menyebabkan defisit negara meningkat kira-kira satu peratus atau sekurang-kurangnya 0.5 peratus,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Azan berkata, pendekatan yang digunakan Najib yang juga Menteri Kewangan itu membuktikan kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengawal perbelanjaan secara bertanggungjawab dan berhemah.

“Bagi Pakatan Rakyat (PR), kita tidak akan menjamin belanjawan seimbang tetapi cuba untuk membentangkan belanjawan yang defisitnya tidak terlalu tinggi.

“Jika pertambahan perbelanjaan RM10 bilion hingga RM15 bilion, hasil kita juga harus bertambah bagi mengekang pertambahan difisit lebih tinggi,” katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan ringkasan Belanjawan Alternatif yang berjumlah RM262 bilion, berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM228 bilion dengan nilai defisit sebanyak RM34 bilion, pada 21 Okotber lalu.

Antara faktor penyumbang pengurangan terbabit termasuk emolumen yang direndahkan sebanyak 10 peratus membabitkan perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen dan usaha itu sebahagian langkah jangka panjang bagi mengurangkan bebanan hutang negara bernilai lebih RM500 bilion. -NFN-

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat dan NGO bantah GST di Parlimen Jumaat ini

1375941_652639501434584_787199148_n

SHAH ALAM 23 OKT: Pakatan Rakyat (PR) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan himpunan aman membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sempena pembentangan Belanjawan 2014, pada 25 Oktober ini.

Antara agenda yang akan diadakan pada himpunan itu adalah pidato daripada wakil parti politik dan NGO, flashmob dan penyerahan memorandum kepada ahli parlimen PR yang akan diadakan, di laluan masuk bangunan Parlimen, kira-kira jam 3 petang.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya menyertai perhimpunan itu bagi menyatakan pendirian terhadap pelaksanaan GST yang membebankan dan satu sidang media juga dijadualkan akan diadakan selepas perhimpuan berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata protes seluruh negara akan diadakan jika Kerajaan Pusat melaksanakan GST pada Belanjawan 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PR meneruskan pendirian menentang keras sebarang usaha kerajaan Barisan Nasioanal (BN) bagi pelaksanaan GST yang hanya akan membeban rakyat.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

K-Pop: Jawatankuasa perlu ambil tanggungjawab bersama

Tony Pua Wancara 01

KUALA LUMPUR 22 OKT : Isu perbelanjaan RM1.6 juta bagi membayar artis K-Pop tidak harus ditanggung bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerana keputusan itu dibuat secara bersama membabitkan penubuhan jawatankuasa.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata pihak bertanggungjawab tidak boleh mengelak daripada kesalahan mereka dengan mengalihkan tanggungjawab kepada keputusan jawatankuasa.

Beliau berkata, jika benar keputusan berkenaan diputuskan secara jawatankuasa tanpa sebarang pimpinan daripada sesiapa, tindakan perlu diambil ke atas semua ahli yang mengambil bahagian dalam jawatankuasa terbabit.

“Jawapan kementerian menunjukkan pihak jawatankuasa yang membuat keputusan untuk menjalankan konsert terbabit pada Hari Belia walaupun tiada sebarang komitmen kukuh diberikan pihak penaja.

“Ini adalah satu keputusan tidak bertanggungjawab dan tindakan disiplin atau surcaj perlu diambil,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, kerajaan akan terus dipersalahkan dan tidak serius dalam menangani isu terbabit jika pihak swasta yang kononnya berjanji untuk menaja program itu tidak dihukum.

Katanya, maslaah sama akan terus berlaku membabitkan kementerian yang menyebabkan peruntukan bajet setiap tahun tidak dipatuhi dan memerlukan belanjawan tambahan untuk membiayai perbelanjaan melampau.

Beliau berkata, kementerian bertanggungjawab juga perlu mendesak supaya kos dikembalikan kepada kerajaan memandangkan syarikat yang terbabit untuk menaja konsert memberikan komitmen kukuh, sebelum acara berlangsung.

“Jika syarikat swasta itu enggan menerima keputusan ini, kerajaan perlu ambil tindakan mahkamah ke atas mereka kerana janji mulut juga boleh dikuatkuasakan.Kementerian akan dilihat sengaja mencipta alasan untuk mengelakkan kesalahan, jika tindakan tidak diambil kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Pua yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyokong tindakan Shabery untuk memberi penjelasan secara siaran langsung dan mencadangkan supaya Peraturan Mesyuarat Parlimen Perkara 85 diubahsuai supaya hasrat Shabery itu dapat direalisasikan. -NFN-

Ahli Parlimen Hulu Selangor tidak telus salur bantuan

apartment anggerik bukit beruntungRAWANG 22 OKT: Penduduk pangsapuri Anggerik, Bukit Beruntung, dekat sini, menyifatkan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kalamanathan tidak telus dalam menyalurkan bantuan bagi kerja pembaikan bumbung yang rosak di perumahan berkenaan.

Kebanyakan penduduk di pangsapuris berkenaan turut mendakwa Kamalanathan menyalurkan bantuan pembaikan itu hanya kepada beberapa individu tertentu.

Penduduk, Maheran Yeop, 55, menyifatkan tindakan Ahli Parlimen itu sebagai ‘pilih kasih’ dan hanya membantu kroninya bagi mengatasi masalah bumbung bocor dan reput di semua bangunan pangsapuri itu yang menjadi masalah utama kerana boleh mengancam nyawa mereka, selain peningkatan masalah kecurian.

“Saya difahamkan Ahli Parlimen itu ada membuat pembaikan tetapi hanya kepada sesetengah penduduk. Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk yang lain kerana kami menghadapi banyak masalah ekoran bumbung bocor dan reput.

“Selain bocor, kami khuatir jika bumbung usang tercabut apabila angin kencang. Kejadian buruk juga pernah menimpa saya apabila angin kencang menyebabkan serpihan bumbung jatuh ke bawah yang cukup merisaukan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum ini, lebih 1,000 keluarga menetap di kawasan itu menghadapi masalah apabila bumbung pangsapuri mereka musnah dalam kejadian ribut beberapa tahun lepas menyebabkan ramai berpindah keluar, sekali gus menurunkan nilai hartanah di kawasan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah meluluskan peruntukan RM15.6 juta bagi membaiki dan membaik pulih bumbung rosak di 50 blok pangsapuri kos rendah di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung dalam sesi tinjauannya, pada 2010.

Seorang lagi penduduk, Aris Jamian, 45, berkata pihak terbabit hanya melawat mereka apabila menjelang Pilihan Raya dengan menjanjikan pelbagai tawaran sejak dia menetap di pangsapuri, lapan tahun lalu.

“Namun, selepas Pilihan Raya semuanya adalah ‘janji tinggal janji’. Kami sangat bimbang memikirkan keselamatan diri kerana masalah ini turut menyebabkan rumah menjadi banjir setiap kali hujan.

“Banjir sudah kerap berlaku menyebabkan rumah kotor dan kami sekeluarga terpaksa menyimpan dokumen penting dan barangan elektrik di bahagian selamat. Penduduk ingin meminta jasa baik Kerajaan Negeri untuk membaik pulih pangsapuri kami yang semakin uzur dan tidak mempunyai lampu di kawasan sekitar,” katanya.

Tinjauan TV selangor mendapati, pangsapuri lima tingkat yang mempunyai lima blok itu turut rosa,k selain usang dan ‘kosong’ tidak berpenghuni.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Belanjawan Alternatif PR 2014: Anggar unjuran pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus

anwar belanjawan PR

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) menganggarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus tahun hadapan dengan nilai defisit negara bersamaan kadar 3.2 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata belanjawan alternatif PR sentiasa mempunyai anggaran defisit lebih rendah daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, defisit Kerajaan BN dianggarkan antara 3.8 hingga 4 peratus ekoran kegagalan mereka menangani gejala rasuah dan ketirisan.

“PR meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun 2014 pada kadar 5.2 peratus berbanding 4.5 hingga lima peratus pada 2013 berdasarkan ramalan peningkatan ekonomi global.

“PR menganggarkan pendapatan negara sebanyak RM228 bilion, manakala anggaran perbelanjaan pula RM262 bilion dengan pengurangan sebanyak 10 peratus bagi perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen,” katanya dalam sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, belanjawan alternatif berkenaan dirangka berdasarkan tiga teras utama dengan menekankan usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

“Antaranya adalah pengukuhan kedudukan fiskal negara dan pemerkasaan kewangan awam, pembangunan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan, selain peningkatan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat,” katanya. -NFN-

PKNS selesai masalah penduduk pangsapuri PJS 6

sampah pjsSHAH ALAM, 21 OKT : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah mengarahkan kontraktor yang bertanggungjawab mengambil tindakan membersihkan longgokan sampah di kawasan pangsapuri Petaling Jaya Selatan (PJS) 6.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, berkata longgokan sampah pukal yang berlaku di kawasan berkenaan disebabkan pembuangan sampah oleh pihak luar kerana pangsapuri itu berdekatan dengan tapak pasar malam dan gerai makan.

Tinjauan TV Selangor mendapati rumah sampah kecil yang dikhaskan untuk pembuangan sisa pepejal di kawasan itu gagal diuruskan dengan baik dan terdapat pembuangan sisa domestik seperti barangan rumah dan rangka kenderaan.

Masalah berkenaan mengundang rasa tidak selesa penduduk dan membawa kepada pembiakan tikus yang boleh mengancam kesihatan penduduk setempat.

“Kita terima aduan itu dan sudah ambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

kumbahan sunwaySementara itu, Ishak berkata, kerja membaik pulih saluran air kumbahan melimpah di Blok 2,3,4 dan 5 Pangsapuri PKNS Jalan PJS 8/14, Bandar Sunway juga akan dilaksanakan segera.

Beliau berkata, PKNS dan Indah Water Konsortium (IWK) akan bekerjasama bagi memastikan isu itu diselesaikan secepat mungkin walaupun sebelum ini IWK mendakwa paip kumbahan patah di dalam sempadan pangsapuri PKNS ketika penyerahan tugas penyelenggaraan kepada syarikat pembentungan itu.

“PKNS sudah melantik perunding teknikal untuk mengenal pasti punca sebenar limpahan air kumbahan ini berlaku. Kaedah kamera robotik digunakan bagi memeriksa kedudukan paip kumbahan sama ada patah atau sebaliknya,? katanya.

Katanya lagi, laporan penuh siasatan itu akan digunakan bagi membaiki pam yang menyebabkan air kumbahan melimpah supaya penduduk sekitar pangsapuri berkenaan tidak perlu lagi berdepan dengan masalah terbabit. -NFN-

Kerajaan Pusat abai BERSIH 3.0 dalam laporan PBB

polis bersihSHAH ALAM, 19 OKT : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kecewa terhadap Kerajaan Pusat menafikan serangan ke atas orang ramai dan petugas media semasa perhimpunan itu dalam laporan hak asasinya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini.

Ahli jawatankuasa pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, Kerajaan Pusat seharusnya berani mengaku salah dan bertanggungjawab terhadap keganasan yang berlaku ke atas orang awam selain berusaha memperbaiki hak asasi manusia.

Beliau turut menyifatkan pembentangan laporan dari pihak Kerajaan Pusat itu sebagai sesuatu yang ‘ringkas’ dan kosong kerana ia tidak menyentuh isu hak asasi manusia secara menyeluruh.

“Kita merasa kecewa kerana memang berlaku keganasan semasa perhimpunan itu apabila polis bertindak memukul wartawan dan orang ramai yang berhimpun secara aman.

“Kalau hendak hantar laporan, Kerajaan mesti ambil tanggungjawab dan mengaku sekiranya membuat kesalahan. Kami kecewa kerana Kerajaan janji pelbagai perkara tetapi gagal menunaikannya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Maria berkata, beliau kesal kerana Kerajaan tidak menyebut hasil inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap keganasan yang berlaku semasa perhimpunan Bersih dalam laporannya.

Katanya, Kerajaan tidak pernah mengendahkan sebarang cadangan mahupun saranan daripada Suhakam berhubung perkara ini dan menganggapnya sebagai sesuatu yang negatif.

“Kerajaan sepatutnya perlu meneliti laporan Suhakam dan cuba memperbaiki kelemahan yang diutarakan tentang hak asasi manusia kerana badan bebas ini ditubuhkan di Parlimen,” katanya lagi.

Dalam laporan 21 muka surat yang dikemukakan kepada PBB pada Julai, menjelang Semakan Berkala Sejagat (UPR) mengenai Malaysia Sabtu ini di Geneva, Kerajaan didapati hanya mengemukakan imej yang bersih mengenai isu-isu hak asasi manusia.

Walaupun menyebut inkuiri Suhakam terhadap keganasan semasa Bersih, namun Kerajaan didapati tidak menyentuh mengenai hasil inkuiri itu dan juga latar belakang di sebaliknya.

Malaysia dijadualkan akan berdepan dengan negara-negara seangkatannya di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (HRC) pada 24 Oktober depan dalam satu semakan yang dilakukan sekali bagi setiap empat dan setengah tahun.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yahya Shari bebas tuduhan guna dokumen palsu

Yahya Sahari

SHAH ALAM 18 OKT : Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam daripada tuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu ‘Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor’, lima tahun lalu.

Yahya berkata, beliau bersyukur dibebaskan daripada tuduhan itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan moral selama ini.

Yahya, 47, didakwa melakukan kesalahan terbabit di Maybank cawangan Bandar Sunway, dekat sini, pada 14 Mei 2008.

“Saya berterima kasih kepada peguam, rakan dan pimpinan parti yang terus memberikan sokongan dari awal hingga sekarang,” katanya ketika dihubungi TVSelangor, di sini, hari ini.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan turut memerintahkan wang jaminan RM10,000 dikembalikan kepada penjamin.

Pertuduhan terbabit dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Disember 2010, Azhaniz melepas dan membebaskan Yahya daripada pertuduhan sama tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pada Julai lalu, Yahya diperintah membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazah Kasran sementara Yahya diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Hamid dan T Suresh. -NFN-