Categories
SELANGOR

2 hari menggigil takut tayar lori ‘terbang’ lagi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PAYA JARAS, 14 MAC: Empat sekeluarga trauma tinggal di rumah sendiri selepas tayar sebuah trak tentera ‘terbang’ menghentam bumbung rumah mereka di Kampung Seri Indah B, pada 11 Mac lalu.

Tayar trak yang sedang ditunda itu terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui lebuh raya milik Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang berkedudukan lebih tinggi terletak kira-kira 20 meter di belakang rumah berkenaan.

Penghuni terbabit, Sharifol Sharif, 53, ketika menceritakan semula kejadian berkata, tayar itu jatuh betul-betul di bahagian dapur ketika empat anaknya sedang makan tengah hari sebelum ke sekolah.

20150313_165940“Masa itu, saya sedang menghantar murid sekolah. Isteri saya kata tayar itu berdentum kuat, terpelanting betul-betul di tempat anak saya tengah makan di bawahnya.

“Nasib baik bumbung baru tukar. Kalau bumbung lama, tayar itu memang boleh bolos dan jatuh atas anak saya.

“Selepas kejadian itu, isteri dan anak saya trauma teruk. Mereka menggigil dua hari terutama setiap kali mendengar bunyi lori di lebuh raya sebelah,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sharifol berkata, peristiwa itu adalah kejadian kedua yang berpunca daripada kenderaan yang melalui lebuh raya berhampiran itu.

Katanya, kejadian pertama berlaku kira-kira dua tahun lalu melibatkan sebuah lori membawa konkrit MRT seberat 60 tan terbabas dan menjunam ke atas rumah jirannya yang terletak selang tiga buah.

20150313_165952“Masa saya bina rumah kira-kira 20 tahun lalu, lebuh raya ini tak ada. Selepas beberapa tahun barulah ia dibina,” katanya.

Sementara itu, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, sehingga kini Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan PLUS belum mengambil sebarang tindakan walaupun pernah datang melawat tahun lalu.

“Seharusnya, LLM dan PLUS membina tembok perlindungan atau langkah keselamatan lain untuk melindungi sembilan kediaman yang terletak di kawasan lebih rendah berhampiran lebuh raya itu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Lebih 200 warga Paya Jaras bakal peroleh geran tanah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 FEB: Lebih 200 warga Paya Jaras dijangka memperoleh geran tanah melalui program Agenda Tanah Rakyat sebelum berakhir tahun 2015.

Adunnya, Mohd Khairuddin Othman berkata, satu mesyuarat bersama Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan diadakan bagi menentukan status tanah sebelum dibentangkan untuk kelulusan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Kita sasar untuk selesaikan masalah geran yang tercicir sejak 25 hingga 30 tahun lalu.

Khairuddin Othman ADUN Paya Jaras“Contohnya, mungkin ada sebuah rumah yang tidak ada geran dalam satu lorong atau jalan, jadi kita kumpulkan kad putih untuk dibawa ke pejabat daerah,” katanya kepada Selangor Kini.

Program itu bermula sejak lima bulan lalu dan melibatkan beberapa buah kampung di kawasan DUN Paya Jaras antaranya, Kampung Sri Indah, Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Paya Jaras Dalam, Kampung Kubu Gajah dan Kampung Merbau Sempak.

“Dengan kerjasama dan sambutan baik penduduk, kita akan cuba selesaikan semua ini dalam tempoh enam bulan dan jika dapat sebelum hari raya juga lebih baik,” katanya.

-NFN-

APA DAH JADI – Lori terbang atas rumah

Kejadian “Lori Terbang” telah mengejutkan ramai pihak terutama penduduk Kampung Sri Indah, Paya Jaras. Ikuti laporan penuh bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman melawat lokasi kejadian.

Layari http://www.selangorku.com

Categories
NASIONAL SELANGOR

219 Penduduk Kampung Sri Indah terima geran tanah

Paya Jaras terima geran 3

SUNGAI BULOH 12 OKTOBER : Penantian 219 keluarga dari Kampung Sri Indah, Paya Jaras di sini untuk memiliki geran tanah kediaman sejak 20 tahun lalu berakhir hari ini apabila kesemua mereka menerima geran hak milik masing-masing.

Seorang penerima, Goh See Hai, 52, berkata, beliau terpaksa menunggu sekian lama biarpun segala dokumen telah diserahkan sejak Kerajaan Umno-BN dahulu namun sikap yang diamalkan kerajaan pemerintah ketika itu menyebabkan urusan hak milik tanah tertangguh bertahun-tahun.

“Saya telah menetap di kampung ini lebih 20 tahun, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapat geran ini, biarpun kerajaan dahulu berjanji untuk menyelesaikannya, tapi akhirnya ia diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Paya Jaras terima geran 1

Bagi Yap Kwai Loon, 52, beliau merasa gembira kerana isu berkenaan dapat diselesaikan kerana terpaksa menunggu selama lebih 23 tahun.

“Dulu wakil MCA ada berjanji untuk menyelesaikannya, tapi saya sudah menunggu terlalu lama, akhirnya dapat juga geran tanah sendiri, terima kasih kepada Adun dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu,” katanya yang berwajah ceria.

Kedua-dua mereka ditemui ketika satu majlis penyerahan kelulusan geran yang disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah di Dewan JKKK Kampung Sri Indah A, Paya Jaras, di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa.

Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika ditemui berkata, sebanyak lima kampung lagi di bawah DUN Paya Jaras masih menunggu geran tanah masing-masing dan berharap isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersungguh-sungguh mempercepatkan segala urusan berkenaan hak milik tanah ini.

“Di Dun Paya Jaras ini terdapat 15 buah kampung dan sebanyak lima buah kampung masih lagi menunggu dan saya berharap Kerajaan Negeri dapat membantu segala urusan berkenaan supaya semuanya mendapat hak milikan sendiri,” katanya.

Kesemua penduduk berkenaan bakal menerima geran tanah selepas meyelesaikan jumlah premium sebanyak RM1,000 yang disyaratkan oleh Kerajaan Negeri.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ketua Pembangkang Selangor Terkedu Gagal Kemuka Fakta

Samsuddin Lias Sungai burong

SHAH ALAM, 1 JULAI: Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias terkedu apabila diminta menyatakan mana-mana perkara daripada Perlembagaan Negara atau undang-undang negara ini yang menghalang rakyat negara ini melakukan protes terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Sebaliknya apabila ditanya Mohd Khairuddin Othman (PAS, Paya Jaras) beliau (Shamsudin) cuba berdalih.

“Yang Berhormat Ketua Pembangkang, boleh jelaskan fasal mana satu yang dilanggar?” soal Khairuddin selepas diberikan laluan untuk mencelah.

“Ia hanya secara prinsip saya sahaja,” jawab Shamsudin ringkas ketika membahaskan titah ucapan DYMM Sultan Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Sebelum itu, Shamsuddin dilihat gagal mengemukakan fakta yang sahih dalam ucapannya.

Shasudin turut mengecam pemimpin politik yang terlibat dengan perhimpunan aman #Blackout505 yang diadakan di seluruh negara bagi membantah penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Menurut Shamsudin kedua-dua tindakan tersebut sebagai tidak menghormati undang-undang negara.

Shamsudin sekali lagi tidak terkata apa-apa apabila Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad turut meminta beliau menjelaskan samada hak rakyat untuk berhimpun secara aman itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yakin ‘Ini Kalilah’ Pengundi Paya Jaras Cipta Sejarah

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

SUNGAI BULOH, 24 APRIL : Calon DUN Paya Jaras daripada PAS, Mohd Khairuddin Othman yakin pengundi Paya Jaras sudah bersedia untuk menumbangkan BN di kubunya sendiri.

Beliau melahirkan keyakinan tersebut berikutan sambutan masyarakat Melayu dan India serta maklum balas yang diterima dari kawasan yang didominasi pengundi Cina.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA“Kawasan Cina memang tiada keraguan lagi dan di kawasan Melayu juga pada masa sekarang sudah menunjukkan sokongan yang semakin padu oleh pengundi.

“Apatah lagi sejak penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam PAS beberapa hari lalu,” kata Mohd Khairuddin ketika ditemui TV Selangor selepas program bertemu masyarakat di pasar malam Taman Sri Putra di sini malam tadi.

Mohd Khairuddin turut berharap pengundi DUN yang pernah ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu itu, memberi peluang kepada beliau membuktikan kemampuannya memberikan perkhidmatan terbaik berbanding Adun BN.

“Kempen hari ini cuma meredah hujan sahaja, tetapi kalau menang, suka tak suka, mahu tak mahu, saya kena tingkatkan tenaga 10 kali ganda dari sekarang untuk bantu masyarakat di sini. Insya-Allah jika banjir sekalipun saya bersama rakyat.

“Pengundi sekarang dah bijak tak lagi seperti era 60an, sekarang kalau mereka lihat YB mereka tak buat kerja mereka akan tukar,” katanya lagi.

TV Selangor juga sempat bertemu beberapa bakal pengundi bagi mendapatkan maklum balas mereka.

Operator mesin, K.K Chong, 60 berkata, beliau sedia memberikan sokongan kepada PR memandangkan tekanan hidup yang dihadapi rakyat hari ini.

“Sini di kawasan majoriti Cina, saya yakin pengundi lebih 80 peratus beri sokongan kepada PR sebab rata-rata yang saya jumpa, cakap sudah tak mahu BN lagi.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA“Antaranya sebab kos sara hidup makin tinggi. Bukan Melayu sahaja rasa susah, Cina dan India juga rasa makin susah dan tertekan, jadi kita patut ubah kerajaan,” kata beliau.

“Saya jumpa mana-mana kawan India saya semua mood sama mahu PR sebab kita nampak Kerajaan PR Selangor kerja kuat, tak rasuah, tak curi duit orang, malah orang asli juga sokong PR,” kata Tamil Kalai, 50.

Pertembungan antara calon PAS Mohd Khairuddin dan calon BN, Muhammad Bushro Mat Johor dalam PRU-13 kali ini merupakan pertembungan kali ke dua.

Dalam PRU-12 pada 2008 lalu Mohd Khairuddin ditewaskan oleh calon BN itu dengan majoriti tipis 642 undi.

Muhammad Bushro memperolehi 11,521 undi manakala Mohd Khairuddin memperolehi 10,879 undi.

Categories
NASIONAL

Tiru Tandatangan Untuk Daftar Sebagai Pengundi Pos

KUALA LUMPUR 5 APRIL : PAS Selangor akan mendedahkan satu lagi cubaan jahat Umno-BN dalam memanipulasi daftar pemilih dalam kempen mereka untuk menawan kembali Selangor pada Pilihanraya Umum akan datang.

Taktik terbaru adalah mendaftarkan isteri tentera sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan mereka.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata ia dilakukan dengan meniru tanda tangan isteri-isteri tentera di dalam borang-borang khusus bagi mendaftar
mereka sebagai pengundi pos.

“Ini berlaku di dalam kem, secara khusus yang dapat saya dedahkan sedikit hari ini ialah kem di Paya Jaras.

“Usaha ini melibatkan pegawai tentera. Bila kita panggil saksi dalam pendengaran perbicaraan rang daftar pemilih, saksi itu mengakui bahawa pemohon tidak pernah menandatangani borang permohonan.

?Tetapi nama mereka tersenarai dalam rang daftar pemilih?, jelasnya di dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Khairuddin menambah, usaha tersebut bergiat aktif di dalam kem tentera dan bertujuan meninggkatkan jumlah pengundi pos di Selangor.

Khairuddin berkata bukti terperinci tentang usaha itu akan didedahkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, PAS Selangor telah mempersoalkan pertambahan mendadak pengundi yang bertukar alamat mengundi mereka daripada tempat lain ke Parlimen dan Dun di Selangor.

Antara kes yang dikenalpasti adalah penduduk Sabah yang mempunyai kod kad pengenalan ’12’. Kebanyakan mereka ditukarkan ke Parlimen Kota Raja yang dimenangi PAS pada 2008.

Selain itu, PAS Selangor turut membantah tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang melanggar peraturan dengan mendaftarkan seramai 303 anggota pasukan latihan pegawai simpanan (PALAPES) Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pengundi pos.