Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Diarah Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Menara Biru

teng pc mbsa 5 jul 01

SHAH ALAM, 5 JUL : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menara Biru Sdn Bhd berhubung kenyataan syarikat tersebut yang didakwa menjatuhkan kredibiliti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Tindakan itu berikutan syarikat berkenaan bersama firma guamannya didakwa memberi kenyataan tidak benar kepada pihak media apabila mendakwa MBSA nyaris disita ekoran gagal membayar ganti rugi kepadanya.

Ia berhubung tuntutan ganti rugi dalam kes membabitkan  pembinaan 10 unit banglo sebagai kediaman rasmi pegawai MBSA di Seksyen 8.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, syarikat itu telah mengambil tindakan mahkamah terhadap MBSA, menuntut RM 3.53 juta. Manakala MBSA pula membuat tuntutan balas terhadap syarikat berkenaan dengan menuntut RM 631,348.91.

Tegasnya, prosiding berkenaan masih di peringkat timbang tara dan MBSA membuat permohonan untuk memberhentikan penimbang tara yang dilantik berikutan tidak berpuas hati dengannya.

Namun permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“MBSA tidak berjaya dan diarahkan untuk membayar kos RM 30,000 untuk satu pihak, RM 10,000 untuk satu pihak lain serta kos untuk urusan, berjumlah kira-kira RM 40,000.

“Bererti, apa yang dituntut oleh Menara Biru itu adalah kos yang diperintahkan oleh mahkamah.

Antara satu kos, yang RM 10,000 sudah diperintahkan oleh mahkamah empat tahun lalu dan tidak ditutut.

“Sekarang, mereka tunggu empat tahun, mereka datang dengan perintah untuk menyita, ” katanya dalam sidang media selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Semalam firma guaman yang mewakili syarikat itu pergi ke pejabat Datuk Bandar konnonnya untuk menyita premis tersebut. Bagaimanapun, MBSA membayar kos RM 10,000 menyebabkan syarikat itu tidak menyita pejabat tersebut.

Tambah Teng, apa yang dimaklumkan syarikat itu ialah MBSA gagal membayar gantirugi yang diperintahkan mahkamah, sedangkan prosiding sekarang adalah permohonan MBSA untuk mengetepikan penimbang tara yang masih belum dibicara dan diputuskan lagi.

Katanya, dalam kes tuntutan bersilang itu, belum ada keputusan pihak mana yang menang, justeru kenyataan syarikat itu adalah tidak berasas, tidak betul dan satu pembohongan.

“Tindakan mereka (Menara Biru) jelas berniat jahat dan ingin menjejaskan nama baik MBSA.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang lebih tegas kalau mereka ada hutang dengan MBSA,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Selangor Diyakini Terus Jadi Penyumbang Utama KDNK – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 04072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Selangor tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan air kerana jumlah penyediaan air terawat di semua 34 loji melebihi pada kadar keperluan harian rakyat Selangor.

2. Walaupun pertumbuhan ekonomi dunia dijangka mengalami kelembapan, Kerajaan Negeri optimis Selangor akan kekal mendahului kadar tertinggi pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

3. Pertumbuhan ekonomi Selangor yang dipacu sektor perkhidmatan dan perkilangan menjadikan Negeri Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara iaitu sekitar 21 hingga 23 peratus bagi tempoh 2008 hingga 2012.

4. Penduduk yang yang menjual pangsapuri mereka untuk pembangunan Datum Jelatek di Keramat mendapat bayaran tiga kali ganda lebih tinggi daripada nilai rumah mereka yang diputuskan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

5. Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan kos melebihi RM53 juta setahun apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambilalih kutipan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd.

6. Kemalangan di tapak pembangunan Sierra Ukay di Ampang semalam yang mengorbankan tiga pekerja dan mengakibatkan seorang cedera parah, berpunca daripada kecuaian dan ketiadaan pengurusan keselamatan ketika pelaksanaan kerja.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng : Kerajaan Negeri Jimat Lebih RM 50 Juta Setahun Apabila Kutip Sampah Secara Terus

Lori Kompaktor sampah 2

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan kos melebihi RM53 juta setahun apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengambil alih kutipan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata, kaedah membolehkan PBT mengurus kutipan sisa pepejal secara terus dengan melantik kontraktor yang dahulunya menjadi sub-kontraktor kepada AFSB.

“Penjimatan dicatatkan dalam masa setahun adalah sebanyak RM53,876,942.41 iaitu 11 PBT mencatatkan kos pengurusan sebanyak RM166,827,402.82 berbanding ketika dikendalikan AFSB sebanyak RM220,704,345.23.

“Dengan pengurusan sendiri juga PBT dapat memantau kerja pengendalian sampah secara terus selain pegawai atau kakitangan PBT yang terlibat dapat mempelajari dan menangani masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan masing-masing.”

Teng berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, antara langkah proaktif untuk memastikan kutipan sampah berlaku secara efisyen adalah PBT mewujudkan talian hotline aduan sampah, skuad rayau dan Unit Tindakan Khas menjalankan kerja ‘back-up’ kutipan sampah.

Tindakan lain ialah perjumpaan PBT secara terus dengan kontraktor terlibat, pengezonan semula kawasan kendalian serta kutipan sampah dua kali dalam sehari di kawasan pusat bandar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bekerjasama Dengan TNB Atasi Premis Judi

Teng Chang Khim

SHAH ALAM 3 JULAI : Kerajaan Negeri akan memikirkan cara holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah kebanjiran premis judi di sekitar negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata setakat ini terdapat beberapa cara untuk menangani isu itu antaranya membuat permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik premis terbabit.

“Setakat ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan sebanyak 148 pemeriksaan dan mengeluarkan 77 saman serta melakukan 49 penyitaan.

“Sehingga kini, terdapat 929 premis judi dikenalpasti wujud dinegeri ini. Kita juga sudah membuat 70 permohonan kepada TNB dalam tempoh lima bukan pertama ini,” katanya yang menjawab pertanyaan Dr Rani Osman (Pas-Meru).

Teng menambah walaupun pihak PBT sering melakukan pemeriksaan namun pemilik premis yang lain akan membuka premis judi itu.

“Buat pemeriksaan satu hari, tutup satu, buka dua lagi esok. Jadi kita kena fikirkan satu cara yang lebih holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Yaakob Sapari mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberi ganjaran kepada penduduk yang memberi maklumat mengenai kewujudan premis judi terbabit.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lagi Pembangkang Selangor Dibidas Guna Fakta Salah Ketika Berdebat

Curi Pasir-Grafik

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pembangkang di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini sekali lagi dibidas gara-gara sengaja menutup fakta berkenaan kelemahan pentadbiran Umno-BN yang dahulu.

Kali ini mengenai isu perlombongan pasir yang dikatakan mencemarkan alam sekitar.

Adun BN dari Dengkil, Shahrum Mohd Sharif  berterusan menuduh kegiatan perlombongan pasir di era pentadbiran Pakatan Rakyat yang beliau dakwa tidak terkawal.

Ini mendapat perhatian Adun Pakatan dari Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang menempelak Shahrum dengan berkata kegiatan melombong secara tidak terkawal sudah berlaku dengan berleluasa di era pentadbiran BN sebelum 2008.

Shuhaimi juga berkata isu ini sudah pun beberapa kali dijelaskan dengan bukti baik di dalam dewan ini sendiri mahupun menerusi media.

“Lombong yang besar ini ditinggalkan oleh BN, kita cuma nak betulkan. Tak payah tunggu Menteri Besar jawab, saya boleh jawabkan.

“Pasir kita korek jauh lebih kecil berbanding BN, tetapi hasilkan pendapatan yang jauh lebih besar dari BN, ” kata Shuhaimi ketika mencelah ucapan Shahrum di dalam sidang DNS semalam.

Pakatan juga, selepas mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri, terpaksa membendung kegiatan yang memusnahkan alam sekitar ini dengan usaha bersungguh-sungguh Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) dan pihak berkuasa lain.

Perkara ini akhirnya turut diakui oleh Shahrum apabila beliau menyedari bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjaya mengumpul hasil jutaan ringgit dari saman yang dikenakan terhadap pelombong haram.

Shuhaimi juga berkata hasil perlombongan pasir di Selangor hanya merupakan lima peratus dari pendaptan negeri dan bukanlah sumber utama pendapatan seperti yang didakwa Umno-BN.

Shahrum yang gagal menepis fakta yang dikemukakan Shuhaimi selepas itu mula berdalih dengan memberikan alasan sekadar untuk memberi pengetahuan kepada Adun-adun baru yang baru pertama kali menyertai persidangan.

Kelmarin, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias dibidas kerana mengatakan Perlembagaan Negara dan undang-undang menghalang rakyat negara daripada melakukan protes terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Shamsudin didapati terkedu apabila beliau diminta oleh Adun Pakatan untuk menyatakan undang-undang mana yang menghalang rakyat untuk melakukan protes.

Categories
NASIONAL SELANGOR

TTPA Dibimbangi Jejas Kuasa Kerajaan Negeri – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 02072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Selangor digesa bertindak ke atas Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik yang dibimbangi memberi kesan keatas kuasa kerajaan negeri, sektor Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

2. Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias terkedu apabila diminta menyatakan mana-mana perkara daripada Perlembagaan Negara atau undang-undang negara ini yang menghalang rakyat melakukan protes terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

3. Seramai 15,505 pemohon telah ditawarkan pemilikan rumah kos rendah pada penggal lalu. Sejak 2011 hingga 2013, seramai 1,568 pemohon ditawarkan pemilihan rumah mampu milik.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pilihan Raya Tempatan Tidak Bercanggah Perlembagaan Persekutuan

teng chang kim

SHAH ALAM, 1 JULAI : Rang Undang-undang berhubung pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan digubal Kerajaan Negeri tidak bercanggah mahupun melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, pihaknya mempunyai penasihat undang-undang negeri untuk mengkaji pelaksanaanya sebelum ia dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS) pada tahun depan.

Katanya, penggubalan rang undang-undang pemilihan ahli majlis itu juga sama sekali berbeza dengan undang-undang pilihan raya di majlis PBT.

“Penasihat undang-undang negeri akan menggubal rang undang-undang pemilihan ahli majlis PBT ini dengan cara di mana ia tidak bercanggah atau melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan.

“Penasihat ini juga akan sedaya upaya menggubal undang-undang mengikut kehendak Kerajaan Negeri. Saya ada keyakinan ke atas mereka,” katanya ketika ditemui selepas sesi DNS, di sini hari ini.

Terdahulu, Teng ketika menjawab pertanyaan lisan daripada R Rajiv (DAP-Bukit Gasing) berhubung pilihan raya Kerajaan Tempatan.

Katanya, pilihan raya tersebut adalah suatu proses untuk mengembalikan hak demokrasi kepada rakyat di negeri ini.

Sebelum ini, Teng dilaporkan berkata pilihan raya tempatan pertama negeri itu akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun depan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam kenyataannya mendakwa Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan pertama kerana ia bertentangan dengan Perkara 95A-95 E, Perlembagaan Persekutuan.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Seru Kerajaan Negeri Tingkat Infra Asas, Teknologi Maklumat

MB-Sultan_3

SHAH ALAM, 28 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru Kerajaan Negeri supaya menyediakan infrastruktur asas seperti jalanraya dan utiliti yang cukup selain membangunkan infrastruktur teknologi maklumat (ICT).

Baginda berkata inftrastruktur ICT dapat melahirkan peluang pekerjaan dan menjadi sumber pendapatan baru bagi rakyat Selangor.

“Perbelanjaan untuk infrastruktur perlu diberi keutamaan secara berterusan bagi memastikan kualiti kemudahan awam sentiasa dalam keadaan yang baik.

“Selain daripada infrastruktur asas seperti jalan dan penggunaan air, kerajaan juga harus memberi tumpuan kepada infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi khususnya kemudahan internet.

“Pelaburan di dalam teknologi jalur lebar seperti ini akan mendatangkan manfaat keilmuan serta manfaat ekonomi kepada rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini pagi tadi.

“Beta percaya bahawa perlaksanaan program seperti ini akan dapat mencergaskan lagi usaha untuk merakyatkan ekonomi dan merakyatkan ilmu di Negeri Selangor ini,” titah baginda lagi.

Ketika menyentuh kejayaan Kerajaan Negeri meningkatkan rezabnya sehingga mencecah RM 2.5 bilion pada April 2013, Baginda melahirkan keyakinan kejayaan ini adalah dari proses dan usaha pengutipan hasil yang lebih cekap.

“Kecekapan ini juga perlulah disebarluaskan kepada semua agensi kerajaan terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

?Supaya usaha pengutipan hasil sedia ada dan tertunggak dapat dikutip yang akhirnya akan memberi semula kebaikan kepada rakyat,” titah baginda.

Persidangan yang disambung pada hari Isnin nanti dijangka akan berlangsung selama lima hari.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Undi Bersurat : Pelantikan Speaker Dipertikai – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mempertikaikan proses pengundian Yang di-Pertua Speaker Dewan Rakyat yang menggunakan kaedah ‘undi bersurat’ yang didakwa tidak memberi kebebasan kepada anggota dewan untuk membuat pilihan.

2. Kerajaan Negeri akan mengkaji keberkesanan kontraktor pembersihan swasta yang dilantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bagi mempastikan kecekapan dalam melaksanakan kerja diberi perhatian serius.

3. Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dinasihat mengamalkan langkah keselamatan berikutan jerebu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Tekad Jaga Semua Komuniti Dan Agama – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 17062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa simpati Kerajaan Negeri Selangor dengan nasib yang menimpa keluarga itu, selepas N Dharmendran ditemui mati didera polis dalam tahanan.

2. Kerajaan Selangor berjanji akan menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.

3. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyempurnakan serta menambah baik beberapa perkara dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai memenuhi Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor.

4. Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bertekad meneruskan kecemerlangan yang dicapai dalam program zon bersih sejak ia dimulakan Kerajaan Negeri empat tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Program Zon Bersih MDKL Atasi Masalah Denggi

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

BANTING 17 JUN : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bertekad meneruskan kecemerlangan yang dicapai dalam program zon bersih sejak ia dimulakan Kerajaan Negeri empat tahun lalu.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu muncul juara bagi kategori majlis daerah pada 2010 dan 2011 manakala naib juara kategori sama pada tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, pujian harus diberi kepada MDKL kerana bersungguh-sungguh menjayakan program tersebut dengan pelbagai perancangan dan usaha dijalankan di dalam daerah berkenaan.

Menurutnya, banyak perubahan dapat disaksikan dilakukan MDKL sejak 2010 dan dengan itu banyak kejayaan dicapai menerusi program tersebut pada setiap tahun.

“Kawasan terlibat seperti di Kampung Jenjarom kita sudah dapat saksikan perubahan dari segi kemudahan dan penyelenggaraan lebih baik.

“Taman Seri Putera jika dulu kawasan ini juara wabak demam denggi dengan berlaku 200 hingga 300 kes sepanjang tahun tetapi setakat ini tidak sampai 10 kes dilaporkan berlaku tahun ini.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

“Saya merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua agensi, persatuan dan pihak terlibat terutama MDKL yang bertungkus lumus menjayakan program ini,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Program Zon Bersih MDKL di Taman Banting Baru di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd Saleh Santhiman.

Hasnul berkata, program zon bersih dirancang Kerajaan Negeri dengan tujuan menjadikan Selangor sebagai negeri yang terbersih supaya dicontohi negeri lain.

Tegasnya, dengan PBT di Selangor terdiri majlis bandaraya, majlis perbandaran termasuk majlis daerah mempunyai pengurusan yang baik maka program dijalankan akan beroleh kecemerlangan.

“MDKL sendiri adalah antara contoh majlis daerah yang terbaik di Selangor serta negara,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

MPK Minta Orang Awam Prihatin Berkenaan Parkir OKU

MPK tunda kereta

KLANG 6 JUN : Majlis Perbandaran Klang (MPK) meminta orang awam agar prihatin berkenaan ruang parkir kenderaan yang dikhaskan untuk Orang Kelainan Upaya(OKU).

Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, sistem tunda dipraktikkan sejak dua tahun lalu bertujuan mendidik orang awam supaya meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

“Orang awam tidak meletak kereta cara betul. Tujuan sistem tunda kereta ini untuk mendidik orang awam.

“Dari segi statistik pada tahun ini sahaja kita telah bertindak ke atas kesalahan di 11 petak letak kereta OKU dan jumlah orang awam yang menghalang lalulintas sebanyak 776,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam operasi hari ini, MPK telah menunda sebuah kenderaan yang diletak di tempat letak kereta OKU di Bandar Baru Klang.

Bagi kesalahan tersebut, MPK mengenakan denda sebanyak RM300.

Selain itu, Ehsan memaklumkan pihaknya telah membina parkir kereta bertingkat bagi mengatasi masalah ini. Namun ruang parkir ini tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Isunya orang awam tidak mahu menggunakan tempat letak kereta ini. Kita dimaklumkan ada isu keselamatan, pemaju dipanggil dan mereka sudah menyediakan pihak keselamatan.

“Tempat letak kereta bertingkat ini bukan sahaja di Klang kurang berjaya tetapi juga di PBT lain. Tugas kita nak mendidik supaya sistem itu terlaksana,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan MPK akan terus berusaha menambah bilangan tempat letak kereta di Klang termasuk bekerjasama dengan pemaju bagi tujuan itu.

Selain Bandar Baru Klang, beberapa kawasan seperti Klang Selatan dan Jalan Tengku Kelana turut terlibat.