Categories
NASIONAL SELANGOR

Bila Malaysia boleh jadi negara kadar jenayah rendah?

jenayah

(KENYATAAN MEDIA)

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ingin tahu bila agaknya Malaysia akan ditampilkan di muka depan majalah dalam dan luar negara sebagai ?negara bertuah? dan ?rendah kadar jenayah?. Lapor portal Roketkini hari ini.

Ini kerana laporan muka depan dua majalah antarabangsa bulan lalu membuatkan rakyat Malaysia merenung perkembangan di negara ini selepas 100 hari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berlalu dan ketika negara sedang bersiap untuk menyambut Hari Kemerdekaan ke-56 sebelas hari lagi.

Menurutnya, majalah The Economist edisi 20 Julai lalu menerusi rencana berjudul ?The Curious Case of the Fall ini Crime? melaporkan bahawa kadar jenayah di negara kaya semakin turun walaupun berdepan dengan masalah kadar pengangguran yang tinggi dan kelembapan ekonomi.

?Rencana ?ringkasan berita? The Economist itu menyebut di seluruh dunia maju, gelombang jenayah yang bermula pada tahun 1950an kini sedang berkurangan.

?Rekod polis (yang meremehkan beberapa jenis jenayah) dan tinjauan di kalangan mangsa (yang tidak selalunya tersedia sebagai sumber data) menunjukkan kadar jenayah terhadap orang perseorangan dan harta benda semakin berkurangan sepanjang sepuluh tahun lalu di kebanyakan negara kaya.

Di Amerika, penurunan kadar jenayah bermula sekitar 1991; di Britain, ia bermula sekitar 1995, walaupun kadar jenayah pembunuhan hanya mula berkurangan pada pertengahan tahun 2000an. Di Perancis, jenayah membabitkan harta benda meningkat sehingga tahun 2001?tetapi ia berkurangan sebanyak satu pertiga sejak itu. Beberapa jenis jenayah tidak lagi berlaku. Pada 1997, sekitar 400,000 kereta dilaporkan dicuri di England dan Wales: pada 2012, jumlahnya hanya 86,000.

?Kadar pengurangan jenayah paling ketara di kota utama. Kadar jenayah ganas menurun sebanyak 32% sejak 1990 di seluruh Amerika; kota besar mencatatkan kadar penurunan sebanyak 64%. Di New York, di kawasan sekitar Times Square on 42nd Street, tempat yang dulunya dipenuhi pengedar filem lucah dan penyangak, kini menjadi tempat tumpuan pelancongan berkeluarga. Di kawasan perumahan di London, kanak-kanak bermain di kaki lima konkrit yang dulunya menjadi medan penagih dadah.

Di Tallinn, anda boleh berjalan kaki pulang ke rumah selepas menonton teater tanpa dicabul, tidak kira pada jam selewat mana pun anda pulang.?

Ahli Parlimen Gelang Patah dalam kenyataan medianya berkata, sememangnya orang masih membahaskan mengenai sebab sebenar yang membawa kepada penurunan ketara kadar jenayah di negara maju, tetapi di Malaysia, 100 hari selepas PRU-13 dan 11 hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, rakyat masih berdepan dengan ketakutan dan kebimbangan, apa lagi senjata api kini mudah diperolehi dan kadar jenayah membabitkan senjata api kerap terjadi.

?Apa yang tidak kena dengan Malaysia sehingga negara ini seolah-olah dikuasai hukum rimba.

?Kulit depan majalah Time minggu lalu pula menampilkan laporan berjudul ?We are Australia: The true face of the lucky country?.

?Bolehkah kita bayangkan Malaysia ditampilkan pada muka depan majalah dalam dan luar negeri dalam tempoh tiga bulan lalu sebagai ?Wajah Sejati Sebuah Negara Bertuah,? katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak dapat bayangkan di tengah marak bahasa dan politik kebencian yang berputar mengenai isu kaum dan agama yang seolah-olah cuba menafikan kepelbagaian kaum, bahasa, budaya, dan agama di Malaysia adalah aset negara ini yang terbaik, bukannya punca kelemahan yang terbesar.

Katanya, setelah lebih 100 hari PRU-13 dan 11 hari menjelang perayaan Hari Kemerdekaan ke-56, rakyat Malaysia perlu bertanya bila dan apa yang perlu dilakukan agar Malaysia dapat tampil di muka depan majalah dalam dan luar negara sebagai ?negara bertuah? dan ?rendah kadar jenayah?.

Categories
NASIONAL

Hilang sokongan punca rakyat dingin kibar jalur gemilang

bendera

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kegagalan kerajaan menyediakan peluang ekonomi yang baik selain majoroti rakyat tidak menyokong kerajaan sedia ada menjadi kayu pengukur hilangnya minat rakyat untuk mengibar jalur gemilang disaat menjelang hari kemerdekaan hujung bulan ini.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata perkara ini berlaku apabila pemimpin yang menjadi pemerintah tidak menghiraukan kebuntuan rakyat terhadap ekonomi dan keadaan hidup yang menekan.

Menurut Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda (AMK) berkata sikap kerajan yang mempolitikkan segala isu menyebabkan rakyat muak dan menolak Umno/BN.

“Rakyat telah menolak kerajaan minoriti BN selain sejarah yang di momokkan kepada rakyat semuanya berkisar kepada sejarah perjuangan pemimpin Umno dan bukannya sejarah pejuang kemerdekaan negara.

“Walhal rakyat sekarang yang celik mula memahami sejarah merasakan bahawa ianya tidak betul kerana fakta-fakta lain menyatakan kumpulan lain turut terlibat namun tidak dinyatakan dalam elemen kemerdekaan,” katanya kepada Tv Selangor.

Selain itu katanya, hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan 51 peratus rakyat memilih untuk membuat perubahan namun pemerintahan Umno-BN kekal meneraju negara disamping penipuan pilihan raya seperti yang dikemukakan melalui petisyen pilihan raya menambahkan lagi ‘bengkak’ kemarahan rakyat.

Menurut Shamsul budaya rasuah, kronisme dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin Umno/BN yang semakin mencengkam rakyat juga antara punca rakyat tidak menghiraukan apa sahaja usaha kerajaan termasuk kempen kibar jalur gemilang.
MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Petisyen: Lajim buat persiapan pertahan DUN Klias

Lajim Sabah

 SHAH ALAM 7 OGOS: Tiada peruntukan mewajibkan nama pencetak dan penerbit dipapar pada risalah kempen pilihan raya berdasarkan Akta Pilihan Raya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias di Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin.

Mengikut peguamnya, beliau berkata, alasan yang membawa kepada satu-satunya perbicaraan dalam permohonan petisyen pilihan raya setakat ini, berkaitan risalah yang tidak tertera nama pencetak dan penerbit.

“Kalau setakat calon poster, semua kita ada cetak (nama pencetak dan penerbit) sebab itu ada dalam bawah Akta Pilihan Raya tetapi kalau lain-lain risalah itu, tidak perlu,” katanya ketika dihubungi TV Selangor di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan keputusan PRU-13 bagi kerusi DUN Klias yang dimenangi Lajim dengan majoriti 179 undi, dicabar.

Ia susulan calon Barisan Nasional (BN), Isnin Aliasnih memfail petisyen bagi mencabar keputusan PRU 13 bagi kerusi DUN Klias yang dimenangi Lajim dengan majoriti 179 undi.

Pada pertandingan empat penjuru itu, bekas Menteri Kabinet itu memperoleh 6,324 undi, Isnin (6,145 undi), Mohd Sanusi Taripin (SAPP) 182 undi manakala Aliapa Osman (STAR) 71 undi.

Menyifatkan alasan berkaitan nama pencetak dan penerbit itu sebagai tidak konkrit, Lajim berkata, peguamnya sedang membuat persediaan untuk menghadapi pendengaran perbicaraan pada September depan.

– FZL

Categories
NASIONAL

Petisyen PRU13 : Anwar Gesa Ketua Hakim Negara Campur Tangan

anwar

PETALING JAYA 29 JULAI : Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria untuk campur tangan bagi mempastikan kewibawaan institusi kehakiman di negara ini tidak terus diperlekehkan.

Ini berikutan beberapa kes tertentu yang melibatkan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu ditolak dengan alasan yang tidak munasabah.

Ketua Umum PKR itu berkata, antara alasan yang diberikan adalah petisyen tidak dikemukakan oleh orang yang terlibat dan fakta kes yang tidak mencukupi.

“Kita semua tahu dalam semua kes, saudara tidak failkan sendiri, tapi peguam, tapi dalam kes ini, digunakan alasan yang saya fikir paling tidak munasabah.

“Kemudian dibangkitkan fakta yang tidak mencukupi, gunakan fakta apa yang ada, cukup atau tidak, beri ruang supaya kes itu diteruskan,” ujarnya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Sebelum ini, petisyen yang difailkan oleh dua calon PKR Pulau Pinang iaitu Muhammad Baktiar Wan Chik (Parlimen Balik Pulau) dan Abdul Halim Hussain (DUN Teluk Bahang) ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Kedua-duanya diperintah membayar kos, Abdul Halim RM10,000 dan Muhammad Baktiar RM30,000 kepada lawan mereka, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Hadariah Syed Ismail mengeluarkan perintah itu kepada kedua-duanya kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kos yang perlu dibayar juga tidak munasabah serta tidak pernah berlaku di dalam sejarah badan kehakiman di negara ini.

“Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah kita, selalunya dalam kes Mahkamah Tinggi RM5,000, paling tinggi RM10,000.

“Kalau di Mahkamah Rayuan RM15,000, paling tinggi RM20,000, jadi apa tujuannya, muslihatnya adalah untuk menggagalkan dan menghalang proses ini dari diteruskan,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Sehingga kini, sebanyak 10 petisyen PRU-13 melibatkan Pakatan Rakyat (PR) ditolak oleh mahkamah tinggi.

Categories
NASIONAL

Tarif Elektrik Naik : Rakyat Terbeban, Kroni Terus Raih Untung

tian-TNB

SHAH ALAM, 20 JULAI : Hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat semakan naik terhadap tarif elektrik di negara ini disifatkan bukan sesuatu yang pelik, sebaliknya sudah dijangka sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lagi, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Tian Chua ketika dihubungi TV Selangor mendakwa, antara punca berlakunya kenaikan tarif elektrik saban tahun adalah disebabkan oleh perjanjian antara ‘syarikat kroni’ atau Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) bersama TNB sehingga menjadikan syarikat utiliti kuasa negara itu dibebani dengan kos yang terlalu tinggi.

Ekoran perjanjian itu katanya, syarikat kroni berkenaan mengaut untung yang besar di mana akhirnya TNB terpaksa menggunakan alasan mengalihkan bebanan kos yang tinggi itu kepada pengguna.

“Syarikat kroni ini menerima subsidi daripada Kerajaan Pusat dan akhirnya meraih keuntungan yang besar, namun menyebabkan TNB terbeban dengan kenaikan kos yang tinggi dan mengalihkannya kepada pengguna.

“Kerajaan membuat sususan begitu apabila memberi kuasa kepada IPP yang mana berbalik kepada TNB dan kembali kepada rakyat.

“Ini adalah sistem kroni yang diamalkan Umno-BN sejak dahulu lagi,” katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie bahawa pihaknya berkemungkinan akan membuat semakan semula ke atas  tarif elektrik ekoran hasrat Kerajaan Pusat untuk mengurangkan subsidi bagi tenaga elektrik.

Moggie berkata, kerajaan telah memberikan subsidi tarif yang besar sekarang khususnya bagi gas.

Categories
NASIONAL

Menteri Terus Berdalih Enggan Dedah Syarikat Dakwat SPR

rafizi 01

KUALA LUMPUR, 17 JULAI : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat terus berdolak-dalih untuk mengumumkan syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu meskipun berulang kali diasak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

Sebaliknya, Shahidan hanya mengumumkan nama syarikat yang mendapat kontrak pembekalan peralatan lain seperti topi iaitu Nash Ventures Sdn Bhd semasa berucap dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ketika ditemui mengesahkan, maklumat syarikat yang diumumkan Shahidan itu sama seperti yang diterimanya daripada sumber dalaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Walaupun syarikat ini tidak dimiliki secara rasmi oleh ahli perniagaan dari Singapura, Mohamed Salleh Mohamed Ali tetapi ia menggunakan alamat pendaftaran yang sama dengan syarikat lain di mana isteri Salleh adalah Pengarahnya.

“Itu maksud saya bahawa ada tiga syarikat yang memasuki rundingan terus dengan pihak SPR dengan ketiga-tiganya mendapat kontrak dakwat kekal, t-shirt dan topi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau turut berpendapat pihak SPR mahupun Kerajaan Pusat tidak akan mendedahkan mana-mana syarikat lain dalam masa terdekat bagi mengesahkan dakwaan itu.

Kata Rafizi, Menteri menggunakan alasan sama untuk tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan kononnya atas tujuan keselamatan.

“Sekarang ini terpulang kepada SPR bagaimana untuk menyelamatkan kredibiliti mereka kerana orang sudah tahu.

“Saya tidak nampak kenapa mereka mesti melindungi perkara ini, lebih baik terus terang dan terangkan kepada rakyat kenapa syarikat itu dipilih,” ujarnya.

Rafizi semalam mendedahkan nama seorang individu yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin tertinggi SPR untuk membekalkan dakwat kekal semasa pilihan raya yang lalu.

Ia bagaimanapun dinafikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam satu kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada TV Selangor hari ini.

Categories
NASIONAL

IGP Digesa Dedah Hasil Siasatan Dakwat Kekal

pengundi jari dakwat port klang 01

KUALA LUMPUR 11 JULAI : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar didesak supaya segera mendedahkan hasil siasatan polis terhadap laporan dakwat kekal yang tidak kekal semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Sehingga 3 Jun lalu, polis menerima 1,469 aduan berkaitan dakwat kekal di seluruh negara.

Sehubungan itu, MP Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Khalid perlu mengumumkan hasil siasatan kepada umum dan tindakan yang seharusnya diambil.

“Persoalan asas yang saya ingin bangkitkan, oleh kerana laporan itu banyak, saya nak tanya pada IGP, dengan ‘volume’ yang besar ini, apakah tidak ada hasil siasatan yang dilakukan,” soal Ketua AMK itu.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan di Sidang Dewan Rakyat bahawa kos untuk dakwat kekal pada PRU-13 lalu sebanyak RM 7.1 juta.

Kos berkenaan meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding PRU-12 pada 2008 lalu.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdolak dalih dan menafikan bahawa tiada gangguan dilakukan polis terhadap orang ramai yang ingin membuat laporan berkenaan dakwat kekal di balai polis.

Shamsul berkata, Zahid menyatakan polis tidak menerima sebarang maklumat berkenaan gangguan.

Walhal pelbagai media sudah mendedahkan bagaimana orang ramai terpaksa menjalani prosedur berbeza ketika ingin membuat laporan polis berkenaan dakwat itu.

Categories
NASIONAL

Kartun Dedah Penipuan Pilihan Raya

zunar 2

SHAH ALAM 6 JULAI : Hasil karya kartun lebih mudah difahami dan jelas biarpun sarat dengan mesej menggambarkan segala kepincangan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Melalui pameran yang diadakan, sekumpulan kartunis yang menggelarkan diri sebagai Kumpulan Kartunis Independen (KKI) berharap mesej yang disampaikan melalui karya seni ini dapat dilihat orang ramai di seluruh negara.

Ketua kumpulan tersebut, Zulkiflee Anwar AlHaque atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata, kartun mempunyai beberapa kelebihan berbanding media lain serta ia lebih mudah disampaikan kepada orang ramai.

Mugshoot Zunar

“Kartun adalah satu imej visual yang mudah melekat di pemikiran orang ramai kerana ia visual, dan ada unsur-unsur lucu walaupun ia membawa mesej yang berat,” ujarnya.

Zunar ditemui ketika Pameran Kartun Kartunis Lawan Penipuan Pilihan Raya (CAEF) di tapak Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam di sini hari ini.

Sebelum ini, Zunar dan KKI yang dianggotai 13 kartunis lain melancarkan gerakan untuk menyebarkan kesedaran mengenai penipuan pilihan raya melalui karya seninya.

Dalam pada itu, pameran itu memaparkan lebih 100 karya kartun, termasuk Zunar, Megat Roslan Abdul Wahid, Azman Mat Noh, Johny Ong.

Antara hasil karya kartun yang dihasilkan memberi mesej mengenai ketidak-telusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penggunaan dakwat kekal, pengundi asing dan daftar pengundi ragu.

Kumpulan berkenaan telah mengadakan pameran di Amcorp Mall, Petaling Jaya dan Kompleks PKNS, Shah Alam sejak dilancarkan dua bulan lalu.

zunar 1

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh J/Kuasa Profesional, Elak Persempadanan Tidak Adil

azmin

SHAH ALAM, 2 JULAI: Selain penipuan dan penyelewengan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada persempadanan bahagian pilihan raya yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara tidak adil.

Antara contoh persempadanan yang tidak adil menurut Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, perbezaan jumlah pengundi yang sangat besar antara DUN Seri Serdang, 72,769 pengundi berbanding DUN Permatang yang cuma memiliki seramai 19,636 pengundi sahaja.

Ini berlaku menurut Azmin lagi, apabila urusan persempadanan semula yang dilakukan selama ini tidak bersandarkan kriteria-kriteria tetap sejajar dengan lunas demokrasi.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menerajui usaha untuk melantik dan menubuhkan satu jawatankuasa yang professional dan berkredibiliti untuk meneliti dan memberikan syor-syor berkenaan urusan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dalam Negeri Selangor.

“Peranan SPR sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor-syor persempadanan baru bahagian pilihan raya kerana ianya menggasir kredibiliti dan kebebasan SPR,” kata Azmin ketika membahaskan Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor dalam Persidangan Penggal Pertama di Dewan Negeri Selangor (DNS) ke 13 di sini semalam.

Azmin berkata, ‘Boundary Commission for England’ diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap lima tahun.

Menurutnya lagi, jawatankuasa tersebut boleh mencontohi kriteria yang menjadi pertimbangan dalam ‘Boundary Commission for England’ iaitu peraturan lima peratus kuota pilihan raya, saiz geografi, geografi pertimbangan khas, sempadan kerajaan tempatan, sempadan kawasan yang sedia ada dan hubungan tempatan sebagai garis panduan menetapkan sempadan pilihan raya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ketua Pembangkang Selangor Terkedu Gagal Kemuka Fakta

Samsuddin Lias Sungai burong

SHAH ALAM, 1 JULAI: Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias terkedu apabila diminta menyatakan mana-mana perkara daripada Perlembagaan Negara atau undang-undang negara ini yang menghalang rakyat negara ini melakukan protes terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Sebaliknya apabila ditanya Mohd Khairuddin Othman (PAS, Paya Jaras) beliau (Shamsudin) cuba berdalih.

“Yang Berhormat Ketua Pembangkang, boleh jelaskan fasal mana satu yang dilanggar?” soal Khairuddin selepas diberikan laluan untuk mencelah.

“Ia hanya secara prinsip saya sahaja,” jawab Shamsudin ringkas ketika membahaskan titah ucapan DYMM Sultan Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Sebelum itu, Shamsuddin dilihat gagal mengemukakan fakta yang sahih dalam ucapannya.

Shasudin turut mengecam pemimpin politik yang terlibat dengan perhimpunan aman #Blackout505 yang diadakan di seluruh negara bagi membantah penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Menurut Shamsudin kedua-dua tindakan tersebut sebagai tidak menghormati undang-undang negara.

Shamsudin sekali lagi tidak terkata apa-apa apabila Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad turut meminta beliau menjelaskan samada hak rakyat untuk berhimpun secara aman itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penipuan PRU-13: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Sapina TV3, Utusan

azmin pc kongres ke 9 PKR 06

SHAH ALAM, 1 JULAI: Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Mohd Ali hari ini memberitahu dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), menurut Akta Siasatan 1950,  Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja seperti mana kuasa yang dimiliki Kerajaan Persekutuan.

Justeru, Azmin mendesak  Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecurangan dan penipuan yang belaku di Selangor dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Ini kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

“Selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam,” kata Azmin.

Menurut Azmin lagi Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan ini turut memberi perlindungan kepada saksi- saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan pegawai Perkhidmatan Awam dan juga SPR.

Menurutnya lagi, suruhanjaya itu juga diberikan kuasa undang-undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana-mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan waran tangkap boleh dikeluarkan sekiranya pihak terbabit ingkar.

pilihanraya

“Suruhanjaya ini boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk memaparkan berita-berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” ujar beliau lagi.

Azmin menambah lagi, suruhanjaya ini akan berfungsi  mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan negeri.

“Saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dengan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang-undang.

“Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia,” kata beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Apa Sahaja Yang Dibeli Kerajaan Malaysia Akan Lebih Mahal

anthony-&-hatta

KUALA LUMPUR 27JUN: Peningkatan kos pembelian ‘dakwat kekal yang tidak kekal’ bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu didakwa meningkat tiga kali ganda daripada kos yang dikeluarkan pada pilihan raya sebelumnya iaitu sebanyak RM7.1juta.

Pada Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU-12) tahun 2008 lalu, jumlah kos yang digunakan untuk pembelian dakwat kekal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak RM2.4 juta walaupun dakwat kekal itu dimusnahkan selepas tidak dibenarkan oleh kerajaan beberapa hari sebelum pilihanraya berlangsung.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, jumlah pengundi pada 2008 adalah sebanyak 10.9 juta orang manakala pengundi pada 2013 adalah sebanyak 13.2 juta orang dan ia melibatkan pertambahan hampir 20 peratus sahaja.

Menurutnya, pertambahan pengundi sebanyak 20 peratus menyebabkan peningkatan kos dakwat kekal sebanyak tiga kali ganda adalah sangat mengejutkan.

“Saya amat terkilan dengan jawapan dari SPR melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang mendedahkan jumlah kos untuk penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13 adalah sebanyak RM7.1 juta,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mempersoalkan kos pembelian sangat tinggi oleh Kerajaan Pusat untuk membeli sesuatu barangan.

Sebagai contoh, Kerajaan India menyumbangkan 40,000 botol dakwat kekal kepada Cambodia bagi tujuan pilihan raya dengan kos RM2.8 juta (US$877,800) pada 19 Jun lalu.

“Mengapa perbezaan kos ini begitu ketara dan apa sahaja yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia sentiasa lebih mahal?.

“Semuanya lebih mahal, kereta perisai lebih mahal, kapal selam pun lebih mahal,” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menggesa Kerajaan Pusat mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dakwat berkenaan yang gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Bagaimanapun, pembekal dakwat berkenaan dilindungi oleh SPR yang merahsiakan maklumat syarikat tersebut atas sebab keselamatan.

Menurut Anthony, tiada sebab maklumat pembekal dakwat berkenaan dirahsiakan kerana PRU-13 sudah berakhir.