Categories
SELANGOR

RM15 juta laksana Skim Smart Selangor First Home Buyers

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM15 juta melalui Skim Smart Selangor First Home Buyers untuk kemudahan rakyat memiliki Rumah Selangorku.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi Belanjawan 2018 disediakan Kerajaan Negeri, tawaran itu akan berkuatkuasa pada Januari tahun depan.

“Ia adalah bagi kemudahan pembeli Rumah Selangorku dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Peruntukan disediakan bakal dinikmati hampir 1,000 pembeli khususnya di kalangan ‘millennials’,” katanya.

Skim Smart Selangor First Home Buyers diperkenalkan Kerajaan Negeri pada 2016 bagi membolehkan rakyat memiliki Rumah Selangorku jenis B dan C.

“Melalui skim ini, Kerajaan Negeri akan mendahulukan pembayaran deposit 10 peratus tertakluk kepada jaminan pembiayaan diperoleh pembeli melalui bank atau institusi kewangan lain.

“Pendahuluan ini adalah dalam bentuk pinjaman tanpa faedah yang perlu dibayar balik dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

=EZY=

Categories
AGAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Lebih RM100 juta membangun rohani

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM106 juta disediakan Kerajaan Negeri untuk tujuan pembangunan institusi kerohanian, bagi 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara projek yang akan diberikan keutamaan adalah pembinaan Masjid Subang Bestari bernilai RM17 juta dan Masjid Al-Ikhlas, Taman Bukit Belimbing, Hulu Langat RM16 juta.

Katanya, projek lain termasuk pembinaan Masjid Bandar Teknologi Kajang dengan peruntukan RM12 juta dan Masjid Kota Damansara 2, Seksyen 9 (RM12 juta).

“Jabatan Agama Islam Selangor juga akan terus berperanan untuk
memberdaya institusi Islam melalui pembangunan dan program yang dapat melahirkan umat beriman dan berilmu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, sebanyak enam projek siap dibina pada 2017 dengan nilai keseluruhan RM34.01 juta.

Katanya, sebanyak 14 projek ditender pada tahun ini dengan nilai siling RM200.8 juta melibatkan pembangunan lapan masjid, empat Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) dan dua Sekolah Rendah
Agama (SRA).

“Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan RM34 juta untuk pembinaan blok asrama baru dan bangunan akademik MITS Istana Bandar, Jugra, Kuala Langat.

“Dua minggu lalu, saya turut meluluskan peruntukan segera RM250,000 untuk kerja membaik pulih dan menaik taraf pendawaian elektrik di MITS Istana Bandar.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan kerja menaik taraf asrama dan blok akademik MITS Bagan Terap dengan kos projek sebanyak RM6 juta,” katanya.

=EZY=

 

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

RM7.25 juta rancakkan pelancongan & industri kraf tangan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM7.25 juta disediakan Kerajaan Negeri untuk pembiayaan promosi dan acara pelancongan, pembangunan produk pelancongan dan industri kraf tangan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebanyak 25
projek naik taraf produk pelancongan sudah dilaksanakan dengan tumpuan kepada ‘eco-sport’, setakat September lalu.

“Antara ‘sky mirror’ di Kuala Selangor dan penaiktarafan kemudahan aktiviti sukan air di Tasik Biru Kundang.

“Selain itu, kita juga berusaha mengembangkan aktiviti sukan air seperti luncur angin, kayak dan jetski serta aktiviti menyelam di tasik semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Ia merupakan belanjawan keempat berturut-turut Kerajaan Negeri melebihkan belanja pembangunan daripada belanja pengurusan.

Belanjawan Selangor 2018 menyaksikan sejumlah RM1.66 bilion meliputi 53.2 peratus bagi belanja pembangunan sementara RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan (46.8 peratus).

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Skim Smart-Sewa diteruskan, peruntukan tambahan RM50 juta

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan Skim Smart-Sewa dengan peruntukan tambahan RM50 juta dalam Belanjawan 2018 berikutan sambutan baik diterima daripada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim bermula 2016 dengan peruntukan RM10 juta mendapat maklum balas positif dari golongan ‘millennials’.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah meningkatkan pembiayaan kepada RM100 juta untuk membeli unit rumah di lokasi strategik yang disewakan kepd mereka yang layak.

“Sehingga kini, sebanyak 861 unit rumah mampu milik telah dimiliki Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan kos pembelian bernilai RM123.14 juta manakala Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi skim ini,” katanya.

Skim Smart-Sewa adalah program Kerajaan Negeri diwujudkan untuk membantu rakyat berpendapatan sederhana menyewa selama minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Dalam tempoh berkenaan, apabila penyewa mempunyai keupayaan membeli rumah maka 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan akan dipulangkan balik kepadanya bagi digunakan sebagai deposit membeli rumah baru.

Mohamed Azmin selanjutnya berkata, program Rumah Selangorku diusahakan Kerajaan Negeri bersama pihak swasta juga memenuhi matlamat apabila melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit.

Sehingga Oktober ini, beliau berkata, sebanyak 1,813 unit telah siap dibina dan angka itu akan meningkat kepada 3,394 unit siap dibina menjelang hujung tahun ini.

“Untuk makluman, sebanyak 29 projek telah memperoleh kelulusan Permit Pengiklanan dan Lesen Pembangun (APDL) dan dijangka akan menyiapkan 20,331 unit Rumah Selangorku secara berperingkat menjelang 2020,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM3 juta Skim Insurans Pesawah, bantu golongan tani negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Kerajaan Negeri turut memfokuskan tanggungjawab berkebajikan untuk membantu pesawah seluruh negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan Skim Insuran Pesawah secara percuma melibatkan 10,000 pesawah seluruh negeri.

“Pesawah dihimpit dengan tekanan import padi dari negara asing. Hasil padi tidak menentu, terkadang kala diganggu cuaca atau penyakit.

“Namun, pesawah padi tetap membanting tulang, membasahi tubuh dengan keringat menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan negara.

“Itulah perjuangan hidup seorang pesawah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2018 di Dewan Negeri Selangor.

Mohamed Azmin berkata, melalui skim berkenaan, pesawah akan menerima beberapa manfaat yang dilihat bakal memberi manfaat jangka panjang kepada penggiat industri itu.

“Melalui skim ini, wira sawah akan menerima manfaat perubatan, perlindungan akibat hilang upaya kekal atau menyeluruh dan juga infaq kematian.

“Sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini bagi melindungi pesawah,” katanya.

Untuk rekod, inisiatif berkenaan diperkenalkan kali pertama tahun ini di peringkat negeri dan Persekutuan.

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Hampir RM28 juta bagi pembangunan generasi muda

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM27.83 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program generasi muda dan sukan bagi 2018, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, sejumlah RM11.74 juta daripadanya diperuntuk bagi menaik taraf infrastruktur sukan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri mencungkil bakat baru di setiap daerah.

Katanya, antara projek diberikan keutamaan adalah membaiki Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati (RM5 juta), Stadium Kota Raja (RM3.5 juta) dan Dewan Gimnastik Sekinchan (RM1 juta).

“Manakala, RM2.2 juta diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur sukan di peringkat Dewan Negeri.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan sejumlah RM7 juta bagi kemajuan sukan dan pembangunan olahragawan dan olahragawati untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2018,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM9.09 juta bagi 2018 untuk pembangunan generasi muda termasuk Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM5 juta.

“Sejumlah RM1.44 juta turut diperuntuk bagi menjayakan program dan program generasi muda anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT),” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM5.2 juta semarak aktiviti budaya dan seni

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM5.2 juta untuk memajukan kegiatan dan aktiviti budaya dan seni dalam kalangan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara inisiatif baru bakal dilaksanakan termasuk pementasan teater bagi karya sasterawan negara, persembahan simfoni Selangor dan pameran seni halus.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan program pembangunan bakat muda untuk merancakkan perkembangan seni dan budaya termasuk kegiatan penulisan kreatif diilhamkan karya Rehman Rashid.

“Kerja menaik taraf bekas bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang juga akan bermula hujung tahun ini untuk dijadikan Galeri Seni Lukis Negeri Selangor.

“Ia akan menjadi pusat pameran karya seni halus, seni lukis dan seni tampak serta menyediakan ruang untuk menjalankan aktiviti seni dan mempamerkan hasil karya bakat baru,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, inisiatif baru juga akan diperkenal bagi memberi pencerahan kepada rakyat dengan fakta dan ilmu melalui program pengukuhan minda rakyat, dengan peruntukan RM12.3 juta.

Katanya, ia bertujuan menyuburkan masyarakat bermaklumat bagi melawan fenomena berita palsu dan politik kotor.

“Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan pameran adat dan warisan bertaraf antarabangsa bermula akhir tahun ini dengan kerjasama Sekretariat Nasional Perkerisan Indonesia (SNKI).

“Pameran ini diadakan bagi meningkatkan minat dan kecintaan masyarakat kepada sejarah, adat dan warisan masyarakat Bugis yang menghasilkan epik La Galigo, di samping melahirkan pahlawan seperti Raja Haji dan pendeta Raja Ali Haji,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Kebajikan pekerja ladang tidak dipinggirkan

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan Selangor 2018 menyaksikan program pembangunan pekerja ladang diteruskan menerusi peruntukan RM500,000.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bertujuan meningkatkan kemahiran seperti menjahit, memasak, membaiki peralatan pejabat dan kenderaan untuk mengupayakan golongan itu menggilap potensi demi masa depan.

“Selain pemberdayaan pekerja ladang, Kerajaan Negeri turut mengambil berat pendidikan anak pekerja ladang dengan bercadang meningkatkan peruntukan dari RM1 juta kepada RM1.3 juta.

“Ia bertujuan membiayai Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Bantuan Yuran Pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, inisiatif itu turut menyediakan peruntukan bagi penyampaian anugerah kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk anak pekerja ladang yang cemerlang.

 

Categories
SELANGOR

Perpustakaan di Selangor diperkasa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM40 juta diperuntukkan bagi membina kemudahan tempat letak kereta bertingkat di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13, yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sejumlah RM8.65 juta pula diperuntuk untuk menaik taraf tiga perpustakaan daerah dan satu perpustakaan desa (RM8 juta), membina perpustakaan desa baru (RM 450,000) dan melengkapkan koleksi (RM200,000).

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Agenda Pencerahan Selangor dengan peruntukan RM3.5 juta untuk menjayakan usaha audiobook dan terjemahan karya antarabangsa.

“Perpustakaan adalah gerbang ilmu dan hikmah untuk membentuk masyarakat berilmu dan berbudaya.

“Perpustakaan juga menyediakan akses kepada masyarakat untuk mendapat ilmu pengetahuan dan menyuburkan masyarakat yang maju ke arah inovasi kreatif,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri menambah bilangan perpustakaan daripada 88 kepada 102 perpustakaan yang berjaya menarik 11.2 juta pengunjung.

“Pengunjung juga semakin ghairah memburu ilmu sehingga mencecah 8,000 orang pada hujung minggu dan cuti sekolah di Perpustakaan Raja Tun Uda,” katanya.

=EZY=

 

Categories
AGAMA SELANGOR

#Selangor18: RM3.25 juta imarah muassasah haji

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan menyemarakkan program Imarah Muassasah Haji menerusi peruntukan RM3.25 juta untuk 6,500 jemaah Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program itu kesinambungan terhadap insentif RM500 yang disalurkan kepada jemaah haji muassasah yang menunaikan rukun Islam kelima, tahun ini.

“Tatkala saya bersarapan pagi di Warong Pak Mat, Sungai Jelok, Kajang pada 27 Oktober lalu, saya didampingi pengusaha warung, Haji Mohamad Baba yang tersenyum riang dan melahirkan rasa syukur kerana beliau dan isteri, Hajjah Zaiton Ahad atau Mak Ton menerima hibah Kerajaan Negeri dalam bentuk pembiayaan Imarah Muassasah Haji tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melancarkan insentif RM500 kepada jemaah haji muassasah Selangor yang menunaikan haji ke Makkah.

Insentif di bawah Program Jemaah Haji Muassasah Selangor itu dilaksanakan sebagai tanda kepedulian pentadbiran negeri dan MBI kepada bakal jemaah haji.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Bantuan anggota keselamatan naik setengah juta

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Usaha menyantuni anggota keselamatan, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Terbaru, menerusi pembentangan Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan program itu diteruskan dengan menaikkan peruntukan kepada RM1.5 juta.

Katanya, bantuan itu disalurkan terus kepada anggota veteran ATM yang memerlukan bantuan kesihatan dan kebajikan keluarga.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan besar anggota keselamatan, khususnya ATM dan PDRM yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara serta menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

“Mulai 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk Tabung Pahlawan Angkatan Tentera yang disampaikan sendiri oleh saya dalam program ziarah keluarga veteran ATM, di setiap daerah,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Selangor 2017, RM1 juta diperuntukkan bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera.

Sebahagian daripadanya disampaikan secara terus menerusi program ziarah, pada setiap minggu menerusi Program Turun Padang yang diadakan secara bergilir di setiap daerah.

Sementara baki diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Netizen sambut baik #Selangor18, tiada ‘provokasi’ Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Pengguna media sosial Facebook, menyambut baik pengumuman cadangan Belanjawan Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Rata-rata, netizen menyifatkan pelaksanaan Belanjawan Selangor lebih menumpukan agenda berkebajikan kepada masyarakat negeri itu.

Antaranya pengguna Facebook, Yob Sojer yang memuji komitmen pentadbiran negeri menghargai kakitangan penjawat awam negeri.

“Tahniah Menteri Besar Selangor, bagi tiga bulan gaji kepada kakitangan awamnya, ketua kampung dan guru kafa,” tulisnya.

“Syabas kepada Kerajaan Pakatan dan akan sokong selama-lamanya,” tulis Ooi Aik Seng.

“Kenapa Belanjawan Azmin berbeza dengan bajet tipu rakyat dan tin kosong yang dibentangkan Najib?” tulis Azni Mohd Sariff.

Dalam pada itu, wujud juga kenyataan positif terhadap Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan dibuat.

“Terbaik Dato’ Menteri Besar, steady saja penuh dengan semangat. Tiada pun mengutuk orang lain,” kata Roslin Bakar dipercayai merujuk kepada tindakan Perdana Menteri, Najib Razak yang mencetuskan provokasi sindiran ketika pembentangan Belanjawan 2018 Persekutuan, 27 Oktober lalu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bercadang sejumlah RM3.12 bilion bagi Belanjawan Selangor 2018 dengan 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan.

Dato’ Menteri Besar berkata, belanja pembangunan merangkumi RM1.66 bilion sementara baki RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan meliputi 46.8 peratus.

Katanya, ia adalah tahun keempat berturut-turut Kerajaan Negeri melebihkan belanja pembangunan daripada belanja pengurusan.

=EZY=