Categories
NASIONAL

Umno Tubuh Unit Khas Fitnah Pembangkang, Kata Abdul Kadir

KUALA SELANGOR, 16 JULAI: Veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa kerajaan Umno-BN mewujudkan sebuah unit khas untuk menlancarkan fitnah terhadap pemimpin pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 6,000 orang di Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor, di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

“Mereka dah wujudkan unit khas cipta fitnah.

“Buat fitnah, fitnah, fitnah, tetapi bila keluarkan kenyataan menerangkan keadaan sebenar untuk menafikan dakwaan tersebut, tak terbit, terus dok panjangkan fitnah itu lagi,” kata Abdul Kadir.

Beliau yang juga bekas menteri Kerajaan Pusat turut menceritakan bagaimana kerajaan sekarang memaksa rakyat mengisi borang keahlian Umno sebelum boleh memohon pelbagai peruntukan dan kemudahan yang sepatutnya menjadi hak rakyat.

“Kamu lapar ya? Saya ada pinggan cantik, nasi dengan lauk yang sedap-sedap.

“Kalau kamu mahu, kamu kena merangkak ke mari dan ‘tabik’ saya dahulu, kemudian barulah saya beri nasi kamu,” kata Abdul Kadir apabila menggambarkan kesombongan Umno tatkala menghulurkan ‘bantuan’ kepada rakyat.

Beliau turut melahirkan rasa hormat dan kagum dengan pendirian ahli PAS yang tetap mempertahankan maruah mereka walaupun menerima tekanan hebat dari parti korup yang mentadbir negara selama 54 tahun itu.

“Sebab itulah saya tabik kepada ahli PAS kerana walaupun hidup susah, nak mohon peruntukan bantuan kerajaan tak boleh, tetapi tak gadai maruah mereka untuk mendapatkan ‘nasi’ itu,” katanya lagi.

Sebelum ini, sudah diketahui umum bahawa beberapa agensi kerajaan mengenakan ‘syarat tambahan’ tatkala memohon sebarang peruntukan dan bantuan yang disediakan kerajaan untuk rakyat.

Antara ‘syarat tambahan’ tersebut, pemohon tersebut diwajibkan menjadi ahli Umno atau dikehendaki mengisi borang keahlian Umno sekiranya masih belum berbuat demikian.

Antara agensi yang kerap diperkatakan di kalangan masyarakat umum negara ini adalah agensi yang terlibat dengan permohonan Pinjaman Tekun, permohonan rumah kos rendah, pinjaman pelajaran dari agensi kerajaan, permohonan tanah rancangan Felda serta Felcra dan beberapa yang lain.

Selain Abdul Kadir, turut menyampaikan ucapannya malam tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Exco Kanan Selangor, Teresa Kok dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Selangor, Iskandar Abd Samad.

Selain itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat turut menyampaikan amanatnya melalui tayangan video.

Dalam amanat Nik Aziz, beliau menyeru semua golongan masyarakat khususnya ahli-ahli PAS agar bersedia untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang dianggapnya sebagai merosakan perpaduan penduduk negara ini.

Perhimpunan malam tadi turut dimeriahkan dengan cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy, basikal dan ketuhar gelombang mikro.

Categories
SELANGOR

Pesta Lagu Jalanan Tonjolkan Bakat Artis Hak Asasi, Demokrasi

Gambar oleh Remmy Ariffin

PETALING JAYA, 15 JUL : Pesta Lagu Jalanan 2012 yang berlangsung di Taman Rusa, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, disifatkan sebagai platform terbaik bagi golongan muda khususnya untuk menonjolkan bakat nyanyian dan penciptaan lagu.

Pesta yang bermula seawal jam 12 tengah hari hingga 11 malam itu merupakan anjuran tiga Pusat Khidmat DUN iaitu Bukit Gasing, Kinrara dan Kampung Tunku bersama portal web Roketkini.com.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, pengajuran program itu bertujuan merangsang belia untuk menggubal lagu yang membawa mesej demokrasi, hak asasi manusia, perpaduan, anti-rasuah dan tadbir urus yang baik.

“Idea pengajuran program ini adalah kerana selalunya perhimpunan yang disertai orang ramai, contohnya BERSIH  hanya melaungkan slogan sahaja, tanpa ada lagu semangat.

“Oleh itu, kita berpandangan adalah penting untuk mempunyai lagu buatan sendiri yang boleh digunakan setiap kali ada pergerakan, perhimpunan hak asasi manusia dan sebagainya,” katanya yang juga Adun Kinrara.

Menurut Teresa, acara kemuncak program itu adalah konsert finale lagu jalanan yang memperlihatkan 12 lagu dipilih untuk dipertandingkan di peringkat akhir malam nanti.

Beliau berkata, persembahan finalis akan diadili oleh barisan panel juri, antaranya Hishamuddin Rais, Nik Jidan, Anthony Loke, Ross Ariffin dan Hasmi Hashim.

“Jika ia mendapat sambutan baik, kita akan jadikannya sebagai program tahunanan pada masa akan datang.

“Saya ingin berterima kasih kepada NGO dan aktivis kerana bersama-sama menjayakan program ini. Kita harap orang muda dapat berseronok,” jelasnya.

Selain persembahan, pesta itu turut mengadakan karnival yang menempatkan booth jualan para NGO seperti Pusat KOMAS, SUARAM, Bersih 2.0, Radio Bangsar Utama, Majlis Peguam, Petpositive, Kelab Kartunis Independen, Pusat Kucing Terbiar, Change Your World, Buku Jalanan, Frinjan, dan organisasi pelarian dari Sri Lanka, Somalia dan Myanmar.

Selain daripada gerai, terdapat juga “dinding graffiti”, Sudut Pidato (Speaker’s Corner) serta gerai jualan buku, pakaian dan hasil tangan kreatif anak-anak muda.

Categories
SELANGOR

RM11 Billion Pelaburan Baru Jana 55 Ribu Peluang Pekerjaan


SHAH ALAM, 12 JUL : Sebanyak 431 projek baru diluluskan Kerajaan Negeri dengan jumlah nilai pelaburan tempatan dan asing sebanyak RM11 billion sejak 2010 hingga 2012.

Projek-projek tersebut juga telah menambah 57 ribu peluang pekerjaan di seluruh Selangor dalam dua tahun itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, Selangor berusaha untuk memastikan iklim pelaburan yang kondusif supaya memberi peluang kepada pelabur tempatan dan asing di negeri ini.

“Pelbagai usaha dilakukan seperti menaiktaraf infrastruktur sektor perindustrian, konsep mesra pelabur dan mewujudkan unit pelaburan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali-BN).

Katanya, Kerajaan Negeri juga melakukan pemantauan lebih kerap kepada projek-projek perindustrian, mempercepatkan kelulusan sijil layak menduduki (CF) dan kelulusan pelan bangunan bagi menarik lebih pelabur.

Teresa juga berkata, lebih 33 ribu peluang pekerjaan dihasilkan daripada pelaburan baru  dan 24 ribu daripada pembesaran dan pengembangan pelaburan.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog Bajet Selangor Selami Suara Akar Umbi Rakyat

SHAH ALAM 3 JUL: Dialog Bajet Selangor 2013 yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Selangor diadakan bertujuan menyelami suara dan hasrat masyarakat akar umbi negeri itu.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika merasmikan dialog yang bertajuk ‘Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia’ di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pagi semalami.

“Tujuan dialog ini diadakan supaya kita dapat pandangan, penelitian dan beberapa isu dari pemilik negeri iaitu rakyat daripada penjawat awam, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung yang mana mereka sangat rapat dengan rakyat akar umbi.

“Mereka ini dapat membangkitkan isu-isu yang patut diberi penekanan dalam usaha mentadbir urus belanjawan Negeri Selangor,” ujar Abdul Khalid di hadapan kira-kira 500 wakil masyarakat, agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Abdul Khalid juga memberitahu dialog bajet ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menjadi sebagai sebahagian tradisi pentadbiran Negeri Selangor.

Menurutnya bajet yang bakal dibentangkan nanti bukanlah bajet pilihan raya seperti mana yang sering dilakukan oleh Kerajaan Pusat.

“Tiada isu bahawa bajet hanya tertumpu kepada pilihan raya sahaja sebab sesuatu belanjawan ini akan memberi kesan kepada belanjawan tahun-tahun seterusnya, sebagai contoh, pendidikan, ia perlukan usaha lebih 15 tahun,” katanya.

Tindakan Kerajaan Pusat yang kebelakangan ini mengumumkan beberapa bantuan untuk rakyat juga dianggap sebagai tindakan minit terakhir yang boleh dianggap terlewat.

“Sepatutnya bantuan yang diumumkan kerajaan pusat ini dibuat sejak 2008 lagi, tetapi bila baru sekarang diumumkan ia memberi indikasi kurang baik di mata rakyat,” katanya lagi.

Tindakan Kerajaan Pusat itu berbeza berbanding pendekatan Kerajaan Selangor yang melaksanakan agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) yang diatur sejak mula mengambilalih pentadbiran negeri ini.

Menteri Besar juga memberikan penekanan terhadap kepentingan perbincangan dua hala antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dalam menentukan hala tuju masyarakat negara ini.

“Kalau di Australia kerajaan tempatan misalnya adakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat, begitu juga di negara barat lain, tetapi ini sukar dilaksanakan di Malaysia,” ujar Khalid.

Dalam program yang berlangsung dari selama dua hari, 2 hingga 3 Julai ini, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh ahli profesional dalam kepakaran bidang masing-masing.

Selain Menteri Besar, turut hadir dalam dialog dan bertindak sebagai moderator dialog termasuk exco-exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Selain itu turut hadir dalam majlis dialog sama adalah Ahli Exco, Teresa Kok, Dr Yaakob Sapari, Lee Kim Sin, Ng Sue Lim dan Pengarah Startegi PKR Mohd Rafizi Ramli.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Ambil Tanah Untuk SJK(c) Tchi Min

CHERAS, 01 JULAI: Prihatin dengan keperluan pelajar yang semakin bertambah, Kerajaan Negeri bersetuju mengambil milik tanah bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tchi Min bagi membolehkan sekolah itu menambah bangunan kelas darjah baru.

Keputusan sebulat suara ini dicapai pada Mesyuarat Exco pada 27 Jun memandangkan sekolah yang berada di Sungai Pelek ini mengalami masalah kekurangan ruang bilik darjah sejak sekian lama.

Exco Kerajaan Negeri, Teresa Kok berkata, proses ini dilakukan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil-milik sebahagian tanah-tanah di sebelah sekolah tersebut.

Pengambilan tanah ini melibatkan lot 99 (0.9981 ekar) dan lot 100 (1.6324 ekar) di Pekan Sungai Pelek untuk kegunaan penambahan bangunan bilik darjah bagi sekolah tersebut.

Menurutnya, permohon pihak sekolah untuk tanah lapang di hadapan pintu besarnya telah ditolak oleh pentadbir tanah kerana tanah tersebut digunakan penduduk Sungai Pelek.

“Menteri Besar Selangor mengarahkan Pejabat Tanah Sepang untuk mendapatkan tanah di persekitaran sekolah tersebut untuk diserahkan kepada mereka (pihak sekolah).

“Pada waktu sama, saya juga pernah meminta rakan saya untuk menghubungi tuan tanah di sebelah sekolah supaya menjual ataupun memberi tanah mereka kepada pihak sekolah. Namun usaha saya dan pejabat tanah gagal,” luah Teresa.

Beliau menambah, proses mengambil-milik oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) akan selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga atau empat bulan.

Sementara kos pengambilan dan kos ukuran tanah akan ditanggung oleh pihak sekolah manakala kerajaan negeri akan membantu dalam aspek kutipan dana.

Ujar Teresa lagi, parti DAP dan pihak lembaga pengarah sekolah juga akan mengadakan beberapa aktiviti untuk mencari dana pembangunan berkenaan.

Selangor memperuntukkan RM 4 juta setiap tahun untuk pembangunan 109 buah SJKC. Manakala RM 4 untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan RM 6 juta untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR).

SJKC Tchi Min dibina pada tahun 1938 dan mempunyai 280 orang pelajar setakat ini.

Categories
SELANGOR

Pusat Budaya Di Klang Pelihara Warisan Komuniti


KLANG, 01 JULAI : Dalam usaha memperkasakan pembangunan di Klang, Kerajaan egeri Selangor akan menubuhkan tiga pusat kebudayaan di sepanjang Sungai Klang dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Pusat kebudayaan yang merangkumi tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India itu bertujuan mengembalikan kegemilangan bandar diRaja Klang sebagai kawasan bersejarah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lokasi bagi ketiga-tiga pusat kebudayaan itu telah dikenalpasti, iaitu Bandar Klang (Taman Kebudayaan Cina), Kampung Pandan (Taman Kebudayaan India) dan Kampung Kuantan (Taman Kebudayaan Melayu).

“Pembinaan pusat kebudayaan di Klang ini adalah sejajar dengan misi dan visi kerajaan Selangor untuk menambahbaik pembangunan Klang yang agak ketinggalan berbanding daerah lain di negeri ini.

“Ia juga adalah salah satu inisiatif permulaan untuk menunjukkan bagaimana kemajuan di daerah ini dapat dilakukan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Pusat Kebudayaan Negeri Selangor di AEON Bukit Raja, di sini semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan barisan exco Selangor yang terdiri daripada Rodziah Ismail, Elizabeth Wong, Dr Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Yaakop Sapari dan Ronnie Liu.

Pameran yang berlangsung selama lima hari bermula 27 Jun hingga 1 Julai itu mempamerkan warisan kebudayaan sebagai salah usaha untuk menghayati dan mendekati adat resam pelbagai kaum.

Pada majlis sama, kerajaan negeri turut mengedarkan borang soal selidik maklumbalas kepada pengunjung  untuk digunapakai dalam menjana penambahbaikan pembangunan di Sungai Klang.

Tambah Abdul Khalid, pusat kebudayaan itu dapat menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara selain memelihara warisan untuk generasi akan datang.

“Setiap pandangan daripada rakyat memberi makna besar kepada pembangunan di negeri ini. Pembangunan hanya dapat dilakukan jika kita saling bekerjasama,” ujarnya.

 

Categories
NASIONAL

Teresa: Tolak Isu PKFZ, Scorpene Menunjukkan Parlimen Bias

SHAH ALAM, 13 JUN : Keputusan Parlimen menolak usul membahaskan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan Scorpene dianggap bias oleh Exco Teresa Kok dan tidak boleh diterima kerana kedua-duanya melibatkan kepentingan awam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh, menganggap tindakan itu tidak wajar kerana ia melibatkan kepentingan awam serta cuba melindungi pihak berkepentingan yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Saya kecewa apabila menerima dua pucuk surat penolakan daripada Setiausaha Parlimen ketika permulaan sidang Dewan Rakyat semalam. Penolakan ini berdasarkan Perintah Parlimen Tetap 23(1)(h) dan 23(1)(g) di mana soalan berkaitan PLKFZ dan Scorpene yang saya kemukakan dikatakan tidak dibenarkan dibahas di parlimen.

“Bagi saya alasan ini tidak boleh diterima disebabkan soalan-soalan saya melibatkan kepentingan awam kerana kedua-dua isu ini mempunyai kaitan dengan wang pembayar cukai yang telah disalahgunakan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah,” katanya dalam sayi kenyataan media.

Alasan parlimen bahawa soalan berkenaan Scorpene hanya bersandarkan kepada pendapat dan andaian serta tidak timbul di mahkamah, manakala kes PKFZ di sedang dibicarakan di mahkamah faktor utama penolakannya.

Menurut Teresa, isu berkaitan kes Scorpene itu bukanlah satu andaian atau sekadar pendapat merujuk kepada satu kes tidak wujud tetapi menjurus kepada persoalan keseriusan kerajaan untuk bertindak dalam melindungi kepentingan awam serta bagaimana mereka bercadang untuk menyiasat dan membetulkan perbelanjaan dana awam yang diselewengkan.

Begitu juga kes PKFZ, tambahnya, soalan diajukan tidak berkaitan dengan perbicaraan mahkamah tetapi adalah mengenai sama ada Kementerian Pengangkutan akan membayar RM733 juta kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) kerana ia dinasihatkan oleh pihak peguam Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) supaya tidak berbuat demikian serta perkara itu juga dinyatakan di dalam buku ditulis bekas Pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng.

“Saya ingin memberi nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  dan kerajaan untuk tidak menggunakan Perintah Tetap di Parlimen apabila mendepani soalan-soalan yang berkaitan dengan kepentingan awam. Dengan berbuat demikian, ini hanya akan membawa kepada perspeksif pihak awam bahawa kerajaan mempunyai banyak isu yang ingin disembunyikan,” katanya.

Dalam soalan berkaitan Scorpene, Teresa mahukan jawapan samaada Najib bersedia beri keterangan di mahkamah Perancis dan kesediaan kerajaan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan bagi menyiasat komisyen pembelian kapal selam Scorpene.

Manakala kes PKFZ mengenai Kementerian Pengangkutan mengarahkan pembayaran kepada KDSB tanpa rujukan nasihat daripada pihak peguam LPK dan bagaimana kementerian akan memulihkan dana itu seandainya LPK menang saman RM1.6 bilion terhadap KDSB.

Categories
SELANGOR

Jika Tiada Bukti, MCA Patut Hentikan Buat Dakwaan Kosong

SHAH ALAM 11 JUN: Pemimpin MCA Selangor dicabar membuat laporan kepada Jawatankuas Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan (SELCAT) bagi buktikan terdapat salah laku dalam pembelian 50 lori pemampat sampah (kompaktor).

Jika mereka tidak berbuat demikian kata Exco Kanan Selangor Teresa Kok Suh Sim pemimpin MCA harus berhenti membuat dakwaan terhadap Kerajaan Selangor.

?Ketua Biro Aduan MCA Datuk Theng Book pernah membuat berbagai dakwaan tetapi beliau tidak memberi bukti. Malah beliau tidak melaporkan dakwaannya kepada agensi atau pihak berkuasa.

?Sebagai seorang pemimpin nasional yang mempunyai impian untuk bertanding di kawasan parlimen Bandar Tun Razak, Theng Book harus mempunyai kredibiliti yang tinggi.

?Beliau mesti berhenti daripada menyebarkan fitnah untuk mendapat publisiti murahan,? kata Teresa yang mengetuai portfolio Pelaburan, Industri dan Perdagangan dalam satu kenyataan media di sini.

Minggu lalu, Kerajaan Selangor mengagihkan 50 lori kompaktor baru kepada setiap daerah bagi meningkatkan perkhidmatan kutipan sampah.

Pada Jun 8, Theng mendakwa terdapat salah laku dalam pembelian lori-lori tersebut.

Teresa, yang juga ADUN Kinrara, berkata MCA sepatutnya menumpukan perhatian kepada usaha mendapatkan dana dari kerajaan pusat bagi projek mengatasi banjir di Selangor.

?Sebagai ahli komponen kerajaan pusat, MCA telah hilang kredibiliti dalam kritikan mereka tentang masalah banjir.

?Ini kerana kerajaan pusat telah mengurangkan jumlah peruntukan bagi mengatasi banjir di Selangor,? Teresa berkata.

Dalam Pada Rancangan Malaysia Ke 8, Selangor menerima RM 111 juta untuk pelan mitigasi banjir.

Tetapi dalam RMK 9 jumlah itu dikurangkan ke RM 60 juta, manakala RMK 10, Selangor hanya mendapat RM 1.9 juta.

 

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Bina Kepercayaan Rakyat Untuk Laksana Perubahan

KUALA LUMPUR 9 JUN : Membina kepercayaan daripada rakyat merupakan aset penting bagi sesebuah kerajaan atau pemerintah untuk melaksanakan perubahan yang berkesan terhadap semua pihak.

Amanah itu disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu memberi ucapan dalam Majlis Perlancaran Buku ‘States of Reform’ hasil tulisan Tricia Yeoh di Central Market Annexe di sini pagi tadi.

“Jika sesebuah kepimpinan itu berkredibiliti dan berjaya mendapat kepercayaan rakyat, maka kemajuan dan keharmonian akan berjalan seiring dan ini pastinya memberi manfaat kepada semua.

“Contohnya dapat dilihat di negeri-negeri Pakatan Rakyat, walaupun terdapat pelbagai kekangan tetapi kita masih mampu melakukan pelbagai program untuk rakyat kerana kita komited dengan apa yang ingin kita lakukan biarpun terdapat halangan,” jelas beliau dihadapan kira-kira 100 tetamu.

Buku berkenaan merupakan kompilasi artikel tulisan Tricia yang membincangkan polisi dan program Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang sejak memerintah pada tahun 2008 yang lalu.

Buku terbitan Genta Media itu boleh didapati di mana-mana kedai buku dengan harga RM28 senaskah.

Selain kehadiran Abdul Khalid dan penulis buku Tricia Yeoh, majlis pagi tadi turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Teresa Kok, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan reaksi pimpinan Kerajaan Umno-BN berhubung isu pembekuan PTPTN kepada pelajar Unisel baru-baru ini.

“Saya benar-benar kecewa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang memberi komen yang tidak wajar walaupun ia membabitkan isu pendidikan pelajar secara keseluruhannya.

“Pemimpin-pemimpin ini mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan mereka itu adalah untuk mengajar kita dalam isu pendidikan percuma tetapi ternyata apa yang mereka lakukan itu tidak matang dan bersifat dendam semata-mata serta sangat mendukacitakan,” ulas beliau.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Telah Peruntukan RM 45 Juta Untuk Bantuan Pendidikan

SHAH ALAM 24 MEI : Komitmen Kerajaan Selangor terhadap pendidikan dilihat apabila peruntukan kepada semua jenis sekolah diberi secara berskala berbanding dengan amalan Kerajaan Umno-BN kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Jika dahulu mungkin ada diberikan ‘hadiah’ kepada sekolah-sekolah tapi peruntukan tersebut tidak tetap.

“Keadaan itu berbeza setelah kita ambil alih. Kita memberikan peruntukan tetap kepada sekolah-sekolah SJKC, SJKT dan SAR di negeri ini agar mereka dapat bersedia dari segi pentadbiran dan pengurusan sekolah seterusnya meningkatkan prestasi pelajar.

“Kita juga yakin dan percaya pendidikan merupakan satu pelaburan masa depan kerana masa depan negeri ini bergantung kepada keupayaan guna tenaga rakyat negeri ini di masa akan datang,” kata Abdul Khalid pada majlis Penyerahan Cek Bantuan Pendidikan di ibu pejabat Kerajaan Negeri di sini.

Pada majlis tersebut Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) menerima cek peruntukan bagi fasa pertama program penyaluran bantuan itu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr. Halimah Ali, berkata sejak 2008 sehingga kini, Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM 45.936 juta khusus untuk bantuan pendidikan kepada lebih 400 buah sekolah di Selangor.

“Hari ini pula kita akan menyampaikan cek berjumlah RM 4.831 juta untuk disalurkan kepada 180 buah SAR manakala sejumlah RM 2.723 juta pula diperuntukan untuk 89 buah SJKC di negeri ini.

“Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pula akan disusuli dalam masa terdekat ini dengan peruntukan sebanyak RM 3.,534 juta menjadikan jumlah keseluruhan untuk fasa 1 ini sebanyak RM 11.088 juta,” ujarnya.

Turut hadir di majlis tersebut Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan barisan Exco.

Categories
SELANGOR

Sun Lohas Labur RM 8 bilion, Bukti Kemampuan Selangor Tarik Pelabur Asing

SHAH ALAM, 17 MEI: Kemampuan Pakatan Rakyat Selangor menarik pelabur luar terbukti apabila terbaru, syarikat pemaju gergasi dari China, Sun Lohas Group Limited (Sun Lohas) pula melabur dalam pembangunan hartanah yang bernilai RM8 bilion di Bestari Jaya.

Projek pembangunan-eko di kawasan seluas 4,976 ekar di Bestari Jaya itu dinamakan ‘Sun Lohas City’ atau Bandaraya Sun Lohas.

Menurut Pengerusi Sun Lohas, Chen Ping dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Sun Lohas dan syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), projek pembangunan itu bakal memiliki gabungan beberapa ciri unik.

“Cadangan ‘Bandaraya Sun Lohas’ akan dibangunkan dengan konsep revolusi kehidupan dengan struktur mengintegrasi manusia, alam sekitar, kebudayaan dan bandaraya.

“Sun Lohas teruja dengan peluang yang ditawarkan dan bertekad untuk membangunkan Bestari Jaya sebagai Bandaraya Lestari,” kata Chen.

Chen berkata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok telah memainkan peranan memperkenalkan Selangor sebagai distinasi pelaburan kepada Sun Lohas.

Chen memberitahu, projek pembangunan yang dijalankan di atas tanah milik KHSB itu dijangkakan siap dalam 10 tahun.

Projek pembangunan tersebut akan mempromosikan kebudayaan hijau dengan nilai tinggi, tenaga rendah dan pencemaran sifar.

Pembangunan Bandaraya Sun Lohas itu turut dibina dengan tiga lapisan menggabungkan bandaraya muhibbah, bandaraya hijau dan bandaraya kreatif.

Ketiga-tiga lapisan melambangkan kecintaan sesama manusia, alam sekitar dan kebudayaan.

Bagi melestarikan konsep bandaraya hijau, seluruh cadangan pembangunan akan dibina berdasarkan pemeliharaan ekologi, kecekapan perancangan, mereka bentuk, pengangkutan, lanskap dan polisi tenaga.

Sun Lohas turut menawarkan pertanian moden berhampiran kediaman dan pusat pertanian kerjasama-eko untuk mempromosikan hasil tanaman.

Pengerusi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamaruddin pula berkata, projek berkonsep pembangunan-eko itu dapat memberi pelbagai manfaat kepada ekonomi negeri Selangor.

“Cadangan projek ini akan menawarkan peluang untuk pembangunan kemahiran di negeri Selangor terutama sekali bagi syarikat berkaitan kerajaan.

“Kemahiran yang boleh dibangunkan adalah dalam bidang kejuruteraan, pertanian, teknologi bangunan, pengurusan projek dan aspek-aspek lain dalam perancangan bandar serta pembinaan.

“Di samping itu juga, cadangan projek ini boleh memajukan kebolehan usahawan kecil dan sederhana dalam kontrak tempatan.

“Mereka juga boleh menyertai projek ini dalam bidang mereka berbentuk perundingan dan kejuruteraan serta kontrak pembinaan,” kata Raja Idris.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata Kumpulan Hartanah Selangor harus mengambil kesempatan dari projek usahasama yang dijalankan oleh kedua-dua syarikat tersebut.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri dan Kumpulan Hartanah Selangor merasa gembira dapat berkerjasama dengan Sun Lohas.

“Saya juga gembira apabila dapat melihat gabungan kretiviti, visi dan perancangan rapi yang dibuat oleh kedua-dua syarikat ini.

Dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi menandakan kerjasama petang tadi, Raja Idris menurunkan tandatangan bagi pihak KHSB dan Sun Lohas telah diwakili oleh Pengerusi, Chen Ping sambil disaksikan oleh Abdul Khalid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teresa Kok Mengecam Tindakan Polis Berdiam Diri Dalam Protes Anti-Ambiga

 

SHAH ALAM, 16 MEI : Exco Selangor Teresa Kok mengecam sikap polis yang tidak mengambil tindakan terhadap beberapa NGO yang mengadakan demonstrasi berterusan di hadapan rumah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0), Datuk Ambiga Sreenevasan beberapa hari lepas.

Teresa mempersoal kenapa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar membenarkan kumpulan terbabit mengadakan senaman punggung dan demonstrasi burger di hadapan rumah Ambiga.

Menurut Teresa, tindakan boleh diambil terhadap NGO tersebut di bawah Seksyen 506 dan 509 Akta Ugutan dan Gangguan Seksual kerana menganggu keharmonian kawasan perumahan dan mengugut keluarga Ambiga.

“Tindakan sedemikian ini hanya bertujuan memalukan Ambiga sekeluarga dan turut mengganggu ketenteraman kawasan rumah disekitarnya,” kata Teresa, yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.

Sebelum ini, sekumpulan peniaga burger dari Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) memasak burger di hadapan rumah Ambiga, seorang penganut agama Hindu, dan menggantung makanan tersebut di pintu pagar beliau.

Agama Hindu menganggap lembu sebagai haiwan yang suci.

Semalam, seramai 20 orang dari Kelab Kebajikan dan Veteran Tentera (PVTM) mengadakan senaman ‘punggung’ di hadapan kediaman Ambiga di Bukit Damansara.

Khalid mempertahankan sikap polis dengan mengatakan Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA), membenarkan semua orang boleh berhimpun asalkan notis diberi notis kepada polis dan  tidak mengganggu ketenteraman awam.

Teresa juga mengesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut.

“Najib selaku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat juga perlu bertindak terhadap polis kerana lepas tangan dari mengambil sebarang tindakan,” katanya yang juga MP Seputeh dan Adun Kinrara.

Katanya lagi, kerajaan pusat perlu menghentikan tindakan berdiam diri terhadap kumpulan itu untuk mengelak dari tanggapan bahawa mereka disokong kerajaan pusat.

ends