Categories
NASIONAL

PKR Tidak Gentar Tindakan KDN Rampas Suara Keadilan

saifuddin nasution

SHAH ALAM 23 MEI : PKR menegaskan pihaknya tidak gentar dengan tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas akhbar rasmi parti itu Suara Keadilan.

Sebaliknya dalam satu kenyataan akhbar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengecam tindakan KDN dan menyifatkan ia sebagai bermotif politik.

Suara Keadilan dirampas dari kedai-kedai pembekal dan pengedar di seluruh negara.

“Merampas akhbar Suara Keadilan di beberapa negeri adalah cubaan menyekat penyebaran maklumat terutama mengenai penipuan Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) yang lalu.

“Ia satu lagi bukti kerajaan Umno-BN berterus-terusan mahu memperbodoh rakyat Malaysia dengan cubaan menyorokkan berita dan laporan alternatif  tentang politik negara yang boleh dinilai oleh rakyat,”katanya.

Tambahnya, belum pun baru menjawat jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali bertindak keras dan tidak demokratik.

“Dalam tempoh 24 jam mulai semalam, pegawai-pegawai KDN  bertindak merampas dan mengancam menangkap pembekal dan pengedar akhbar Suara Keadilan di beberapa tempat,” katanya.

Saifuddin menjelaskan di Ipoh malam tadi, tujuh orang pegawai KDN  menyerbu premis salah seorang pembekal Suara Keadilan dan merampas 214 naskah akhbar tersebut di mana semua pegawai tersebut enggan memberi sebarang bukti surat kuasa rampasan.

Sementara di Melaka, katanya, pada jam 10 pagi hari ini 70 naskah Suara Keadilan dirampas dari seorang pengedar yang menyatakan pegawai KDN memberi alasan bahawa ia menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Kejadian yang sama juga berlaku hari ini di Johor Bahru, Seremban, Bangi dan juga di Kota Bharu, Kelantan.

“PKR menjangkakan bahawa tindakan kasar, zalim dan sangat tidak demokratik ini akan berterusan seperti yang dilihat dalam penangkapan beberapa tokoh dan aktivis pembangkang seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Adam Adli, Tian Chua, Haris Ibrahim dan Tamrin Ghafar serta 18 orang aktivis lain yang menunjukkan sokongan kepada Adam Adli,” katanya.

Saifuddin berkata, PKR merasa kesal kerana kerajaan UMNO-BN masih dengan kesombongan mereka kerana gagal untuk mengubah sikap terhadap berita dan pandangan alternatif walaupun mereka telah menguasai sepenuhnya media di negara ini.

Categories
NASIONAL

Adam Adli Bebas, Polis Terus Tangkap Pemimpin PR

tahanan-1

SHAH ALAM, 23 MEI: Sejurus pembebasan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim pagi ini, beberapa pimpinan Pakatan dan NGO Pro-Pakatan ditahan polis dibawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948.

Laporan terbaru menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abd Ghafar ditahan polis.

Sebelum itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Jurucakap Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim ditahan polis tengah hari ini dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Menurut kenyataan media ringkas Setiausaha Pejabat Ahli Parlimen Batu, Rozan Azen mat Rasip kepada Tv Selangor, Tian Chua ditahan di Lapangan Terbang LCCT.

“Tian Chua DAN aktivis Haris Ibrahim tadi ditahan polis di LCCT dan dibawa ke Balai Polis Jinjang,” katanya ringkas.

Berdasarkan rekod TV Selangor, Haris Ibrahim dilihat berada di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika prosiding mahkamah berkaitan Adam Adli pagi ini.

Menurut laporan PSM, Haris Ibrahim ditahan ketika berada di Segambut.

Kesemua penahanan ini dipercayai berpunca daripada ucapan pidato yang disampaikan pada forum malam 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Tv Selangor sedang berusaha mengesahkan lokasi mana Tamrin didakwa ditahan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adam Adli Dicaj Mahkamah Bawah Akta Hasutan – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 23052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim, yang ditahan polis kerana menyeru orang ramai membantah keputusan pilihanraya ke-13, telah didakwa oleh mahkamah seksyen kuala lumpur pagi ini.

2. Sementara pada malam tadi, dalam kejadian berasingan polis menahan sekurang-kurannya 18 orang daripada mereka yang berkumpul dihadapan balai polis Jinjang yang hadir menyatakan sokongan terhadap aktivis mahasiswa Adam Adli.

3. Pendakwaan terpilih yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional terhadap Adam Adli merupakan satu ketidakadilan dalam kebebasan bersuara dalam melontarkan pendapat. Itu yang ditegaskan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

4. Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa untuk menumpukan tugas beliau untuk memastikan negara, pelancong dan pelabur selamat daripada kejadian jenayah.

Categories
NASIONAL

27 NGO Desak Kerajaan Umno-BN Hentikan Penahanan Politik, Bebaskan Adam Adli

NGO serah memo KDN 02

PUTRAJAYA 22 MEI : Sebanyak 27 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Pertubuhan Hak Asasi, pertubuhan pekerja dan persatuan masyarakat menggesa Kerajaan Umno-BN menghentikan penahanan rakyat yang mahu berhimpun secara aman.

Kumpulan NGO tersebut mahu hak rakyat untuk berhimpun bagi menuntut hak mereka seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati oleh Kerajaan Umno-BN.

Tuntutan tersebut dinyatakan di dalam sebuah memorandum yang diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.

Tindakan susulan daripada penahanan aktivis mahasiswa Adam Adli Sabtu lalu dan pendakwaan terhadap Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

NGO serah memo KDN 01Sebelum ini Ahmad Zahid juga menyatakan polis akan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang menganjurkan himpunan yang membantah Kerajaan Umno-BN.

Aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), S. Arutchelvan kumpulan tersebut mendesak agar Adam dibebaskan serta merta dan semua tuduhan ke atas beliau digugurkan.

Katanya, penggunaan undang-undang zalim ke atas rakyat yang hanya mengamalkan hak demokrasi mereka akan memberi imej buruk kepada Polis dan negara.

“Kerajaan harus menjalankan tanggungjawab secara adil dan saksama dan pihak Polis harus dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka secara professional dan berlandaskan undang-undang,” kata beliau.

Memorandum itu diserahkan wakil 27 NGO itu kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri, Shahril Faizalis di Bangunan KDN di sini.

Jelas Arutchelvan lagi, tindakan Polis dan Peguam Negara meminta reman selama tujuh hari ke atas Adam adalah satu tindakan yang bukan bertujuan menjalankan satu siasatan yang adil.

“Penahanan berterusan penganjur perhimpunan aman ini juga menjejaskan imej Perdana Menteri yang sebelum ini mahu melakukan transformasi politik di mana hak rakyat untuk bersuara akan dihormati.

“Kami mendesak Datuk Seri Zahid Hamidi mengambil langkah bijak untuk meredakan kemarahan rakyat dan menghentikan penindasan politik serta merta,” kata Arul.

Turut sama dalam serahan memorandum itu, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS, Sany Hamzan dan Naib Pengerusi Amnesty International Malaysia, Faizal Mustafa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Saifuddin : Penangguhan Pemilihan Akan Dibincangkan – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 22052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Parti Keadilan Rakyat berkemungkinan menangguhkan pemilihan parti, bagi membolehkan akar umbi dan jentera pulih dari pertarungan PRU13.

2. Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan semua wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya mengisytihar aset bagi setiap tiga tahun, lapor portal Malaysiakini.

3. Parti Rakyat Malaysia bersama NGO Angkatan Pembebasan akan melancarkan kempen flashmob menuntut pembebasan Adam Adli dan menarik balik semua tuduhan terhadap aktivis mahasiswa itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sivarasa : Berhenti Menakutkan Rakyat Yang Bantah Keputusan PRU 13

adam adli jinjang 01

KEPONG 22  MEI : PKR menggesa Kerajaan Umno-BN untuk menghentikan tindakan menakut-nakutkan rakyat yang membantah keputusan pilihanraya ke-13, sebaliknya berusaha memahami kehendak mereka yang mahu sistem pilihanraya diperbetulkan.

Naib presiden PKR Sivarasa Rasiah juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan Kerajaan Umno-BN untuk menakut-nakutkan rakyat dan menyekat gerakan menuntut sistem pilihan raya yang telus.

“BN kena faham, bahawa rakyat khususnya anak muda akan tetap lawan kerana mereka yakin bahawa prinsip mereka untuk tegakkan keadilan adalah betul.

“Pergerakan ini akan terus berkembang sehingga BN tumbang dan sebuah kerajaan yang benar-benar demokratik dan telus dapat ditubuhkan di adam adli jinjang 02Malaysia,” tegas Sivarasa.

“Nasihat saya, cuba fahami kehendak anak-anak muda ini, terima teguran dan perbetulkanlah sistem pilihan raya yang menjadi punca.

“Hentikanlah mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar seperti dengan melakukan penangkapan seperti penahanan Adam Adli,” tambah Sivarasa apabila ditemui di satu di hadapan balai polis Jinjang di sini semalam.

Himpunan tersebut adalah bagi menunjukkan solidariti terhadap aktivis mahasiswa Adam Adli yang ditahan reman sejak Sabtu lalu dibawah Seksyen 4 (1)  Akta Hasutan 1948.

Beliau ditahan berkenaan ucapannya di sebuah forum anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei.

Adam didakwa menggesa orang ramai turun ke jalan raya untuk menyatakan bantahan terhadap keputusan pilihanraya ke-13.

Himpunan semalam turut disertai pemimpin Pakatan lain yang antaranya Presiden Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim.

adam adli jinjang 03“Jangan pernah lupa bahawa semangat anak-anak muda seperti ditonjolkan oleh Adam Adli ini membawa obor perjuangan, mereka mahukan masa depan gemilang, mahu negara yang lebih baik.

“Semoga obor perjuangan ini juga akan menerangi hati semua termasuk mereka yang buta dan tuli,” kata Wan Azizah di hadapan lebih 200 hadirin.

Dr Nasir Hashim dalam ucapannya pula menganggap penangkapan Adam adalah suatu tindkaan yang dilihat tidak adil dan berat sebelah.

“Mengapa pula ucapan yang lebih teruk yang dikeluarkan (aktivis ketuanan Melayu) Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan bekas hakim (Datuk Mohd Noor Abdullah) tidak dikenakan sebarang tindakan?,” soal mantan Adun Kota Damansara ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sivarasa : Henti Takutkan Rakyat Yang Bantah Keputusan PRU-13 – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 22052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Perhimpunan Solidariti bagi menuntut pembebasan aktivis mahasiswa, Adam Adli di hadapan lokap Balai Polis Jinjang malam tadi terus meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan rakyat, terutamanya generasi muda.

2. Timbalan Presiden PKR, R. Sivarasa menyifatkan penahanan aktivis mahasiswa Adam Adli sebagai tindakan terdesak Barisan Nasional dalam menyekat kebangkitan generasi muda Malaysia hari ini.

3. Gaji bulanan Ketua Menteri Sarawak dilapor akan naik kira-kira tiga kali ganda di bawah rang undang-undang yang diluluskan hari ini oleh Dewan Undangan Negeri (DUN), lapor Bernama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Aktivis Mahasiswa Kembali Berkhemah di Dataran

SHAH ALAM 23 APR : Gerakan Mahasiswa menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kembali berkampung di Dataran Merdeka hari ini.

Sebelum ini gerakan tersebut memberi laluan kepada penganjuran Konsert Diraja pada 21 April lalu setelah berkampung dilokasi itu lebih daripada seminggu.

Aktivis Mahasiswa, Adam Adli berkata setakat petang ini hampir 15 ke 20 mahasiswa telah kembali berkampung untuk meneruskan kempen mereka sehingga BERSIH 3.0 pada 28 April.

“Walaupun berlaku insiden serangan dan merampas barangan kami ditambah dengan penahan beberapa orang aktivis oleh DBKL dan polis, kami nekad untuk meneruskan protes ini.

?Alhamdulillah ada beberapa pihak yang tampil memberi sokongan dan bantuan seperti khemah baru kepada kami bagi mengantikan khemah yang musnah,” ujarnya.

Adam menambah, dengan berbakikan 5 hari hari sementara menunggu BERSIH 3.0, pihaknya akan terus bertahan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kemungkinan seperti yang dialami mereka sebelum ini.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan, protes ini adalah suara kami, semakin kuat kita ditekan, bermaksud kita semakin hampir dengan kejayaan.

“Bila kita meletakan niat untuk turun memprotes, sewajarnya kita telah bersiap untuk terima sebarang bentuk ancaman, kita perlu ingat bahawa kita tidak keseorangan dalam perjuangan seumpama ini,” katanya.

Lokasi yang sama juga bakal digunakan untuk penganjuran perhimpunan BERSIH 3.0 yang bakal diadakan 28 April ini.

Minggu lepas, perkhemahan aktivis itu diganggu dan diserang beberapa kali. Khemah mereka dirampas dan dirobohkan dua kali oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Mereka juga diserang oleh 50 orang samseng pada malam April 19 yang memusnahkan perkhemahan mereka. Seorang aktivis cedera di dalam serangan tersebut.

 

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Tindakan Ke atas Adam bermotif Politik

SHAH ALAM, 10 JAN : Tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung mahasiswa Adam Adli selama tiga semester merupakan tindakan yang opresif,bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa daripada menyuarakan pandangan mereka.

Naib Presiden Keadilan Nurul Izzah Anwar berkata jika suatu kesalahan telah dilakukan oleh mahasiswa, tindakan yang diambil harus bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda.

“Sebagai nadi masyarakat majoriti, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam, dan bersuara dengan lantang. Di mana kah mahasiswa mampu mengalami ruang sebegini jikalau bukan di universiti,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Izzah , jawatankuasa disiplin yang menjatuhkan hukuman ke atas Adam Adli sebenarnya merendahkan maruah dan nama UPSI itu sendiri, yang mempunyai sejarah yang begitu dalam dan cukup berkait rapat dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum Malaya mengecapi kemerdekaan.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita bangkit dan pertahankan hak mahasiswa, kerana mahasiswa lah yang menjadi penyambung perjuangan kita demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Peguam: Pertuduhan Pada Adam Adli Tiada Asas Peruntukan

KUALA LUMPUR, 6 JAN : Pihak polis tiada mempunyai asas peruntukan dalam perlembagaan untuk meneruskan siasatan terhadap mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan IDris (UPSI) Adam Adli, 23 berhubung insiden menurunkan kain rentang bergambar Datuk Seri Najib Razak bulan lepas.

Adam yang ditemani peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 11.30pagi untuk disoal siasat dan keluar kira-kira sejam selepas itu.

“Apabila saya meminta untuk melihat laporan, pegawai penyiasat Muhammad Nor tidak membenarkan dengan alasan ketuanya melarang. Jadi kita tidak tahu samada laporan itu benar-benar wujud dan apakah tuduhan yang telah diletakkan dalam laporan tersebut,” ujar peguam hak asasi manusia itu.

Menurutnya lagi, sewaktu siasatan dijalankan, Adam dikemukakan 11 soalan yang mana Adam menggunakan haknya mengikut seksyen 112 (2) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak menjawab sebarang soalan.

Fadiah turut mempersoalkan salah satu soalan daripada pihak siasatan tentang kesahihan Adam memijak bendera yang telah diturunkan sedangkan ianya merupakan satu aligasi yang palsu.

“Walhal tiada langsung insiden memijak apa-apa pada ketika itu. Adam hanya menurunkan kain rentang yang ada wajah Najib untuk 5 minit bagi digantikan dengan bendera kebebasan akademik. Kemudian kain rentang Najib itu dinaikkan semula,” jelas Fadiah lagi.

Fadiah turut menjelaskan bahawa tindakan Adam itu tidak menyalahi undang-undang malah setiap orang mempunyai hak untuk berbuat demikian.

“Kita tidak tahu mengapa polis sanggup membazirkan masa dan sumber-sumber mereka untuk mengheret mahasiswa yang hanya mempratikkan hak mereka di bawah undang-undang dengan taktik-taktik intimidasi dan ugutan bagi mengheret mahasiswa ke balai polis,” tambah Fadiah.

Adam pula memberitahu beliau berharap agar pihak polis dapat menjalankan sisatan dengan adil dan jika tiada asas pertuduhan, maka tidak perlu membazirkan masa beliau lagi.

Adam disiasat di bawah peruntukan 504 kanun keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan yang boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun.