Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Jahil Soal Urusan Pentadbiran

SHAH ALAM, 17 OKT : Datuk Seri Noh Omar disifatkan seorang menteri yang jahil dan tidak tahu soal urusan pentadbiran apabila mengeluarkan kenyataan mengenai Kerajaan Negeri Selangor menghalang projek pengairan bagi pesawah.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, projek yang diusahakan Noh itu langsung tidak dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri selaku pihak yang bertanggungjawab mengawal-selia urusan, pentadbiran serta pembangunan negeri.

“Mana-mana pembangunan yang ingin dibuat mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri terlebih dahulu, supaya mereka dapat membuat ulasan jika timbul sebarang masalah.

“Sebagai contoh, jika ingin membuat pembangunan perumahan, mesti mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri, perkara sebegini semua orang tahu. Bukan hentam semberono seolah-olah menteri ini tidak pernah sekolah,” tegas Yaakob dalam kenyataan medianya.

Ujar Yaakob, projek yang didakwa oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sebagai tindakan menceroboh tanpa izin kerana ia memasuki kawasan hutan.

“Projek tersebut dilakukan oleh pihak Integrated Agricultural Development Area (IADA) adalah projek bagi membina ban atau kolam takungan air tersebut berhadapan dengan masalah kerana memasuki kawasan hutan.

“Akibatnya, kerana tidak merujuk kepada pihak kami, projek tersebut mengakibatkan berlakunya kemusnahan hutan,” katanya

Tambah Yaakob, sepatutnya IADA rujuk kepada Kerajaan Selangor terlebih dahulu, supaya pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dapat turut serta membantu kerja-kerja membina kolam takungan air demi kebaikan rakyat keseluruhan.

“Sebelum Noh Omar menjadi menteri, hubungan saya dan pihak pegawai pusat tiada masalah, malah pihak IADA dan FAMA turut hadir ke mesyuarat yang kami buat.

“Malangnya setelah Noh Omar menjadi menteri, pegawai-pegawai di peringkat pusatĀ  dihalang dari menghadiri mesyuarat saya,” kata Yaakob.

Yaakob berkata, tindakan sedemkian ini sangat merugikan para petani.

“Sepatutnya Noh Omar membuat keputusan yang memihak kepada rakyat daripada kepentingan politik semata-mata,” ujar Yaakob.

Sebelum ini, Noh meminta Kerajaan Selangor untuk tidak menghalang pelaksanaan projek pengairan di kawasan jelapang padi negeri ini dengan pelbagai kerenah birokrasi.

Ia juga berkenaan pemberian permit bagi membolehkan tanah dan batuan dari luar diangkut ke tapak kolam bagi membina ban di kawasan sekeliling seluas 80 hektar, yang boleh menyediakan 1.5 juta meter padu air.

Categories
SELANGOR

Selangor Saran Graduan Sertai Bidang Pertanian Moden

SHAH ALAM, 9 OKT : Graduan yang masih mencari pekerjaan disaran menyertai pertanian moden yang mampu memberi hasil pendapatan purata antara RM3,000 ke RM10,000 sebulan.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, pertanian moden dilihat sebagai bukan suatu perkara yang asing dan berbeza dengan sepuluh tahun yang lalu.

“Kita sedia membantu dengan memberikan latihan dan peruntukkan bagi tujuan itu,” kata Dr Yaakob dalam kenyataan medianya.

Ujar beliau, memandangkan peluang pekerjaan yang amat terhad dan sangat kompetitif maka bidang pertanian mampu memberi alternatif pekerjaan kepada graduan.

Beliau berkata, di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Bestari Jaya terdapat di tiga orang bekas mahasiswa dari Institut Pertanian Malaysia, yang berjaya dalam bidang pertanian diusahakan mereka.

“Penglibatan golongan mahasiswa sangat diperlukan dalam bidang tersebut.

“Ini kerana, mereka yang memiliki daya fikiran yang kreatif dan kritis mampu membawa perubahan besar dalam pertanian di Malaysia,” katanya.

Tambah Dr Yaakob, beliau mencadangkan penanaman buah tembikai batu kerana mampu memberi hasil dan pulangan yang cukup besar kepada para petani berdasarkan kehendak yang tinggi di pasaran.

“Keunikan tanaman ini kerana ia mampu membuat sehingga lima pusingan setahun secara fertigasi dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan dimajukan,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM70,000 Menunggu Pemenang Memancing GP Selangor

SHAH ALAM 05 OKT : Hadiah bernilai lebih RM70,000 bakal menanti peserta dalam Pertandingan Memancing GP Selangor Siri 9 yang akan diadakan pada Ahad ini di Taman Tasik Subang Ria, Subang Jaya.

Pertandingan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya ( MPSJ) pasti menggamit kaki-kaki pancing untuk menyertainya.

Juara pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 ; tempat ke dua sebanyak RM14,000 ; ketiga, RM7,000 ; keempat RM1,200Ā  dan kelima RM600.

Hadiah wang tunai turut ditawarkan sehingga tempat ke 40.

Selain itu, turut diwujudkan kategori khas wanita yang menawarkan hadiah wang tunai hingga tempat ketiga.

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa empat televisyen LCD 32 inci dan 500 kemeja T kepada peserta yang mendaftar awal serta 10 hadiah cabutan bertuah lain.

Yuran penyertaan sebanyak RM90 akan dikenakan setiap seorang dan peserta hanya dibenarkan mendaftar satu joran sahaja.

Kaunter pendaftaran akan dibuka 24 jam bermula 12 tengahari Sabtu ini di lokasi pertandingan.

Sempena pertandingan itu, Exco Permodenan, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Dr Yaakob Sapari melepaskan hampir satu tan ikan patin bernilai RM5,000 ke Tasik Subang Ria sebagai simbolik perasmian.

Untuk keterangan lanjut, peserta boleh menghubungi talian 013-358206, 016-2937741 dan 013-3838655.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Cadang Tambah Muzium di Selangor

SHAH ALAM 7 SEPT : Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah lebih banyak muzium di beberapa daerah di Selangor bagi mengekalkan adat dan warisan Melayu supaya ia dapat dinikmati serta dihargai generasi akan datang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setakat ini terdapat lima buah muzium di Selangor, antaranya Muzium Daerah Sabak Bernam, Muzium Daerah Kuala Selangor, Muzium Insitu Jugra, Muzium Sultan Alam Shah dan Muzium Klang.

Menurutnya, kesemua muzium ini akan melalui fasa penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan pembangunan adat Melayu, budaya serta warisan sejarah terus dikekalkan.

“Saya difahamkan DYMM Tuanku Sultan juga merancang untuk menjadikan istana di Klang sebagai muzium yang terbuka untuk dilawati oleh orang ramai. Kerajaan Negeri juga akan menggantikan struktur bangunan muzium sedia ada supaya ia lebih ceria dan tidak lagi nampak uzur.

“Kesemua penambahbaikan ini bakal dilaksanakan pada tahun hadapan melalui Belanjawan Negeri yang akan dibentangkan November depan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Selangorku, Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan di Muzium Sultan Alam Shah, dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Teresa Kok.

Pemeran Selangorku yang julung kali diadakan ini memaparkan kelangsungan sejarah serta perjuangan generasi terdahulu yang membentuk Selangor seterusnya menyumbang kepada kegemilangan perkembangan ketamadunan rakyat negeri ini.

Pameran itu merupakan anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Teroka Rahsia Alam Cakrawala Di Balai Cerap Baru

SABAK BERNAM 20 JULAI : Rakyat Selangor kini boleh mengambil peluang menggunakan infrastruktur Balai Cerap yang baru dirasmikan untuk mengkaji serta meneroka kejadian serta rahsia alam cakrawala.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Balai Cerap yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti Selangor itu di sini petang semalam.

Salam ucapan alu-aluannya Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, Balai Cerap ini berperanan sebagai pusat pendidikan dan penyebaran dakwah selain menjalankan aktiviti falak seperti melihat anak bulan, mencerap objek di langit seperti bintang, planet, buruj, komet dan meteor.

“Lebih istimewa, pembinaannya turut mendapat sentuhan idea Menteri Besar yang mengesyorkan agar tiang teleskop di kubah utama ditinggikan agar sudut pandangannya tidak terhalang dengan objek di sudut ufuk barat,” jelas Tamyes.

Balai Cerap yang mula dibina pada 2009 dengan kos RM 2.5 juta dan berkeluasan 4, 824 meter persegi ini mula beroperasi pada Ogos 2010.

Ia yang terletak di dalam kawasan Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) turut meliputi ruang pejabat, pentadbiran, ruang pameran dan sistem teleskop di kubah cerapan yang berbumbung dan bermekanikal.

Sistem teleskop tersebut bernilai RM800,000 merangkumi sistem kubah yang mampu berputar 360 darjah serta dua buah teleskop robotik yang dikawal sepenuhnya oleh sistem komputer dan boleh melihat jelas sehingga ke Tanjung Lumba-lumba, Perak.

Dalam majlis perasmian lewat petang itu, Sultan Sharafuddin turut dibawa mencerap anak bulan bagi penentuan 1 Ramadan selain meninjau insfrastruktur tersebut.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Seri Mohamad Adzib Mohd Isa serta Exco Negeri, Dr Yaakob Sapari.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog Bajet Selangor Selami Suara Akar Umbi Rakyat

SHAH ALAM 3 JUL: Dialog Bajet Selangor 2013 yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Selangor diadakan bertujuan menyelami suara dan hasrat masyarakat akar umbi negeri itu.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika merasmikan dialog yang bertajuk ‘Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia’ di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pagi semalami.

“Tujuan dialog ini diadakan supaya kita dapat pandangan, penelitian dan beberapa isu dari pemilik negeri iaitu rakyat daripada penjawat awam, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung yang mana mereka sangat rapat dengan rakyat akar umbi.

“Mereka ini dapat membangkitkan isu-isu yang patut diberi penekanan dalam usaha mentadbir urus belanjawan Negeri Selangor,” ujar Abdul Khalid di hadapan kira-kira 500 wakil masyarakat, agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Abdul Khalid juga memberitahu dialog bajet ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menjadi sebagai sebahagian tradisi pentadbiran Negeri Selangor.

Menurutnya bajet yang bakal dibentangkan nanti bukanlah bajet pilihan raya seperti mana yang sering dilakukan oleh Kerajaan Pusat.

“Tiada isu bahawa bajet hanya tertumpu kepada pilihan raya sahaja sebab sesuatu belanjawan ini akan memberi kesan kepada belanjawan tahun-tahun seterusnya, sebagai contoh, pendidikan, ia perlukan usaha lebih 15 tahun,” katanya.

Tindakan Kerajaan Pusat yang kebelakangan ini mengumumkan beberapa bantuan untuk rakyat juga dianggap sebagai tindakan minit terakhir yang boleh dianggap terlewat.

“Sepatutnya bantuan yang diumumkan kerajaan pusat ini dibuat sejak 2008 lagi, tetapi bila baru sekarang diumumkan ia memberi indikasi kurang baik di mata rakyat,” katanya lagi.

Tindakan Kerajaan Pusat itu berbeza berbanding pendekatan Kerajaan Selangor yang melaksanakan agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) yang diatur sejak mula mengambilalih pentadbiran negeri ini.

Menteri Besar juga memberikan penekanan terhadap kepentingan perbincangan dua hala antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dalam menentukan hala tuju masyarakat negara ini.

“Kalau di Australia kerajaan tempatan misalnya adakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat, begitu juga di negara barat lain, tetapi ini sukar dilaksanakan di Malaysia,” ujar Khalid.

Dalam program yang berlangsung dari selama dua hari, 2 hingga 3 Julai ini, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh ahli profesional dalam kepakaran bidang masing-masing.

Selain Menteri Besar, turut hadir dalam dialog dan bertindak sebagai moderator dialog termasuk exco-exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Selain itu turut hadir dalam majlis dialog sama adalah Ahli Exco, Teresa Kok, Dr Yaakob Sapari, Lee Kim Sin, Ng Sue Lim dan Pengarah Startegi PKR Mohd Rafizi Ramli.

MB: Penduduk Klang Mendapat Manfaat Jika Jaga Kebersihan

KLANG, 16 JUN : Sebanyak RM20 juta boleh dipulangkan kepada penduduk Klang jika mereka membantu menjaga kebersihan bandar ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jumlah tersebut merupaka satu pertiga daripada RM60 juta yang diperuntukan untuk pembersihan sampah di Klang dan boleh dijimat sekiranya warga Klang mengamalkan budaya bersih.

“Jika rakyat turut serta membantu Kerajaan Negeri, kos yang dapat dijimatkan adalah sebanyak RM20 juta dan ianya adalah suatu jumlah yang besar untuk pelbagai program untuk rakyat.

“Kerajaan Negeri tidak akan mengambil lebihan penjimatan peruntukkan yang diberikan, sebaliknya diberikan kepada rakyat sebagai tanda terima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya di Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Orang Ramai Taman Sri Kerayong Kapar semalam.

Serentak dengan itu, Abdul Khalid turut melancarkan poster Kesedaran Penjagaan Kebersihan dalam Bahasa Asing seperti Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Burma.

Turut hadir barisan Exco-exco Selangor iaitu, Dr. Halimah Ali, Dr. Xavier Jayakumar, Dr. Yunus Hairi, Rodziah Ismail, Iskandar Abdul Samad dan Dr. Yaakob Sapari.

Juga hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri dan Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin.

Pada satu program yang lain, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri komited dalam pembangunan Klang kerana ia bandar penting yang menyumbang terhadap kemajuan Selangor.

Beliau berkata jumlah penduduk Klang mewakili 20 peratus daripada 5.2 juta rakyat Selangor, iaitu kira-kira 1.5 juta orang termasuk rakyat asing.

Menurutnya, pembangunan yang dirancang demi kepentingan rakyat dan tidak berdasarkan keutamaan peribadi atau agenda politik.

“Marilah kita bersama-sama membangunkan Klang dan membawa satu perubahan penting dalam pembangunan ini.

“Ini kerana pendapatan dan pembangunan Klang adalah melebihi Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya dalam ucapan majlis Jamuan Bersama Rakyat di Bandar Bukit Tinggi di sini hari ini.

Sabak Bernam Jadi Hab Pengeluar Kelapa Pandan

SHAH ALAM 26 MEI: Kerajaan negeri berhasrat menjadikan daerah Sabak Bernam sebagai hab pengeluar kelapa pandan terbesar di Malaysia dalam tempoh empat tahun dari sekarang.

Pengerusi Tetap Pemodenan Pertanian,Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Kerajaan Selangor ,Dr Yaakob Sapari berkata sebanyak 10,000 pokok kelapa pandan sedang diagih-agihkan secara berperingkat melalui ketua kampung yang akan diserahkan kepada penduduk kampung.

?Agihan sedang dijalankan dalam usaha untuk menjadikan Sabak Bernam sebagai hab pengeluar kelapa pandan terbesar pada masa akan datang.

?Dalam hal ini, kerajaan negeri mengambil sikap jujur dan amanah dalam memberi bantuan kepada rakyat melangkaui politik kepartian mereka,? ujar Dr Yaakob dalam kenyataan medianya.

Selain itu, beliau turut menggesa penduduk kampung agar menanam kelapa pandan khususnya di kawasan sawah bagi menggantikan tanaman terbiar dan tidak mendatangkan hasil.

Hal ini selari dengan hasrat kerajaan negeri bagi memastikan aset di kampung-kampung dapat dibangunkan dan dinikmati bersama.

Menurut Dr Yaakob, satu pokok boleh menghasilkan 10 – 14 tandan setahun, secara purata satu tandan boleh menghasilkan 10 – 12 biji buah kelapa.

Justeru, dianggarkan sekitar 100,000 – 120,000 biji kelapa pandan akan dapat dihasilkan dalam setahun.

Tambahan pula, pihak kerajaan dapat mengurangkan buah kelapa pandan yang diimport khususnya dari Thailand.

Jika program ini berjaya, Sabak Bernam bakal mengisi keperluan kelapa pandan kepada penduduk sekitar Lembah Kelang.

?Kita mahu rakyat bersungguh-sungguh dalam menjayakan bidang pertanian dengan menunjukkan hasil yang benar-benar dapat dilihat di depan mata.

Pertanian bukan sekadar kita berbangga dengan gambar-gambar besar yang dipaparkan di billboard, malah kejayaan sebenar adalah apabila bantuan yang diberikan kepada rakyat dapat dinikmati secara berterusan.

?Secara tidak langsung, usaha ini mampu menjana pendapatan tambahan kepada penduduk.
“Usaha ini juga akan menjadikan kawasan persekitaran khususnya di desa-desa dan kampung-kampung lebih bersih dan kemas melalui tanaman pokok kelapa itu nanti,? kata Dr Yaakob.

Categories
SELANGOR

2012 Tahun Melawat Kuala Langat

BANTING, 11 MEI : Pantai yang indah, homestay dan hotel yang menarik antara tarikan di daerah Kuala Langat yang membuatkan kerajaan Selangor mengumumkan 2012 sebagai Tahun Melawat Kuala Langat.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong berkata bagi menyemarakkan kempen itu, kerajaan Selangor akan melaksanakan 15 projek yang berkait dengan industri pelancongan.

Projek-projek itu termasuk memperbaiki dan menambahbaik infrastruktur bagi keselesaan pelancong, katanya apabila ditemui.

Beliau ditemui semasa pelancaran Program Tahun 2012 Melawat Kuala Langat di dataran Pantai Morib di sini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan exco Dr Yaakob Sapari, Dr Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail dan Ronnie Liu.

Abdul Khalid berkata pusat pelancongan yang mencukupi adalah penting kerana wujud permintaan daripada 2.6 juta penduduk bandar yang mencari kawasan peranginan dan riadah.

“Di Selangor dan Lembah Klang, wujud permintaan yang tinggi di kalangan rakyat untuk mencari kawasan pelancongan.

?Saya lihat setiap hujung minggu sekurang-kurangnya 100,000 sehingga 150,000 masyarakat di bandar mengunjungi pusat-pusat kompleks perniagaan,” Abdul Khalid berkata.

Menurut pelawat, Tamilsevan Ramasamy,46, berkata penduduk setempat akan menikmati kemakmuran ekonomi daripada pembangunan sektor industri itu di Kuala Langat.

Manakala Mahmud Din,45, berharap kemudahan pelancongan di Kuala Langat dapat dipertingkatkan agar lebih ramai pelancong datang.

“Semakin ramai pelancong datang ke kawasan ini seperti yang datang ke Pantai Morib dan homestay-homestay dan ini memberi kelebihan untuk perkembangan ekonomu di kawasan ini,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bantuan Kewangan, Hakmilik Tanah Masalah Utama Diajukan MB

KUALA LANGAT 11 MEI : Sesi kaunter aduan rakyat bersama Menteri Besar dan Exco Selangor sekali lagi disambut baik oleh penduduk Tanjung Sepat yang berasa lega masalah mereka diberi perhatian oleh pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

Seperti V.Jayaraman, 57, yang membawa masalah pemilikan tanah isterinya di Kampung Orang Asli Bukit Kemandol.

Katanya, beliau dan isterinya, Siah Junjung, 45, sudah menetap di kampung itu sejak 18 tahun lalu.

“Tanah kebun dan rumah itu berkeluasan empat ekar tetapi belum mempunyai geran lagi setakat ini, saya sudah berusaha sebelum ini tetapi tidak dapat.

“Kawan-kawan lain di kawasan itu semua sudah pindah, hanya tinggal kami sekeluarga sahaja.

?Sekarang saya sudah lega selepas bersua muka sendiri dengan Menteri Besar.

Tan Sri akan menyelesaikan masalah saya sama ada di tempatkan di kawasan lain dan dibayar pampasan atau lain bergantung kepada hasil siasatan mereka,” katanya ketika ditemui di Kompleks Muhibbah, Tanjung Sepat di sini.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengetuai beberapa pemimpin tertinggi kerajaan Selangor dalam mengadakan kaunter aduan dan permohonan dalam sesi berjumpa rakyat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari dan exco Dr Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Dr Xavier Jayakumar, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad dan Ean Yong Hian Wah.

Kira-kira 100 penduduk sempat mengadu masalah perumahan dan memohon pelbagai bantuan kewangan dan pemilikan tanah dalam sesi yang berlangsung selama dua jam itu.

Seorang lagi A. Danom, 62, mengemukan permohonan bantuan kewangan kepada Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Beliau yang merupakan penduduk Tanjung Sepat, berkata sudah empat tahun menumpang di rumah anaknya.

“Hidup saya susah, saya tidak dapat bekerja kerana menghidap kencing manis. Kini saya tinggal bersama anak perempuan saya.

?Rumahnya pun sudah dipotong bekalan elektrik kerana tidak mampu membayar bil.

“Jika boleh saya tidak mahu menyusahkannya kerana anak pun mempunyai masalah sendiri dan tidak bekerja.

?Sekarang sudah dapat jumpa sendiri Yb, sangat lega kerana Yb akan melawat saya dan anak serta akan memberi bantuan kewangan kerana katanya, saya layak untuk menerima,” katanya.

Manakala bagi Misnan Ahmad, 60, peluang bersua muka sendiri dengan Menteri Besar adalah cara yang terbaik bagi menyuarakan masalah penduduk kampungnya.

Beliau yang merupakan Ketua Kampung Kg Jenjarum berkata masih terdapat penduduk termasuk beliau yang tidak dapat hak milik tanah walaupun sudah menetap lebih 20 tahun.

“Sekarang masalah sudah diadukan dan masalah ini juga sudah terus diambil tindakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, saya harap ianya akan dipertimbangkan,” katanya.