Categories
NASIONAL

Muktamar PAS lulus usul demontrasi besar-besaran bantah GST, TPPA

SHAH ALAM 23 NOV: Muktamar Tahunan PAS ke-59 meluluskan usul untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi membantah keputusan kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Membahaskan usul itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, rakyat perlu menolak pelaksanaan cukai berkenaan kerana ia bertentangan prinsip percukaian Islam.

“Pelaksanakan TPPA merupakan penjajahan ekonomi cara baru apabila manusia menguasai manusia.

“Ia sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara cukai. Cukai tidak boleh dikenakan kepada semua orang tanpa pengecualian,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati di sini, hari ini.

logo59Terdahulu, usul untuk mengadakan bantahan besar-besaran itu dicadangkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mewakili Jawatankuasa PAS Pusat.

“Muktamar mencadangkan agar satu himpunan rakyat diadakan secara besar-besaran dengan pengembelingan semua parti politik Pakatan Rakyat, NGO dan semua pihak bagi membongkar segala penyelewengan sebagaimana laporan audit.

“Selain itu, kita membantah dan mendesak kerajaan menarik balik hasrat dan keputusan melaksanakan GST dan TPPA,” katanya dipetik MStar, petang ini.

Menerusi Bajet 2014, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan melaksanakan GST bermula 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

– FZL

Categories
NASIONAL

Had jangka hayat kereta taktik BN kutip GST

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 20 NOV : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan alasan kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu melaksanakan had jangka hayat kereta bagi mengutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Rafizi berkata, setiap urus niaga pembelian dan penjualan kereta sama ada baru atau terpakai akan dikenakan GST yang bakal memberi tekanan kepada rakyat.

Rafizi-Cukai-KeretaKatanya, alasan had jangka hayat itu digunakan kerajaan bagi mengutip lebih banyak GST jika rakyat kerap bertukar kereta.

“Alasan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan demi keselamatan rakyat di jalan raya nampak dangkal tanpa bukti yang kukuh bahawa majoriti kemalangan disebabkan kenderaan berusia lebih 12 tahun.

“Tidak ada satu keterangan saintifik dan emperikal setakat ini yang menunjukkan risiko kereta berusia 12 tahun naik mendadak, berbanding kereta berusia 11 tahun,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon dalam kenyataan media sebelum ini berkata, kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai masalah dan mengundang risiko kematian lebih tinggi ketika kemalangan berbanding baru.

Namun, kenyataan beliau disanggah pelbagai pihak termasuk pemilik kenderaan berusia lebih 12 tahun terutama di laman sosial yang mengakui bebanan baru bakal ditanggung jika kereta lama mereka dilupuskan dan terpaksa membeli baru.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, kemalangan yang berlaku dipengaruhi faktor lain seperti jalan raya tidak selamat, papan tanda mengelirukan dan sikap pemandu yang tidak berwaspada.

Rafizi berkata, alasan kerajaan untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta demi keselamatan jalan raya dilihat remeh dan tidak ikhlas.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Menteri sahkan rancangan had jangka hayat kereta, motif kutip cukai

Oleh : Rafizi Ramli

Datuk Seri Hishamuddin Hussin semalam dipetik sebagai berkata “kerajaan mungkin perlu menggunakan cadangan yang sedia ada di samping mencari mekanisme untuk tidak membebankan rakyat” menguatkan lagi spekulasi bahawa keputusan untuk melaksanakan had jangka hayat kereta sudah hamper dibuat.

Alasan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan demi keselamatan rakyat di jalanraya nampak dangkal tanpa bukti yang kukuh bahawa majoriti kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kenderaan yang berusia lebih 12 tahun.

Tidak ada satu keterangan saintifik dan empirikal pun setakat ini yang menunjukkan risiko kereta yang berusia 12 tahun naik mendadak berbanding kereta yang berusia 11 tahun.

Malah, dalam keadaan pelbagai faktor lain yang mempengaruhi kemalangan seperti keadaan jalanraya yang tidak selamat, papan tanda yang mengelirukan, sikap pemandu yang tidak berwaspada, sistem penggajian pemandu bas yang tidak mementingkan keselamatan dan lain-lain – alasan untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta demi keselamatan jalanraya nampak remeh dan tidak ikhlas.

Saya mengesyaki bahawa alasan sebenar Barisan Nasional mahu melaksanakan had jangka hayat kereta adalah untuk mengutip cukai GST yang bakal dilaksanakan.

Setiap urusniaga pembelian dan penjualan kereta (baru atau terpakai) akan dikenakan GST, maka lebih kerap rakyat bertukar kereta lebih banyaklah GST yang akan dikutip.

Rakyat yang majoriti mengundi PR (52%) terus dihukum oleh kerajaan minoriti BN melalui dasar-dasar yang menambahkan beban sara hidup demi membiayai keborosan dan ketirisan BN.

*Rafizi adalah Ahli Parlimen Pandan dan Pengarah Strategi PKR

Categories
NASIONAL

Pakatan desak potong elaun Duta Khas RM28,000 sebulan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 15 NOV : Kerajaan pusat wajar memotong elaun duta khas Malaysia ke luar negara yang tidak membawa sebarang faedah dan impak besar kepada Malaysia sejak mereka dilantik, pada tahun 2010.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata mereka ialah tiga bekas menteri, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Penasihat khas kepada Perdana Menteri dan Duta Khas ke Amerika Syarikat), Datuk Seri Ong Ka Ting (Duta Khas ke Republik Rakyat China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India and India Selatan dalam bahagian infrastruktur).

sim-tze-tzimKatanya, duta khas diberi gaji dan elaun  RM 27,227.20 sebulan, menjadikan jumlah setahun yang diterima mereka ialah RM980,179.20, selain turut menerima semua keistimewaan dan elaun yang dinikmati menteri kabinet lain.

“Kedutaan Amerika Syarikat, China dan India lengkap dengan pelbagai perkhidmatan dan hubungan Malaysia dengan negara terbabit stabil serta cukup untuk duta berkenaan menjalankan tugas dengan baik juga profesional.

“Dengan adanya duta khas, timbul kekeliruan siapa mempunyai kuasa yang lebih dan persoalannya adakah kerajaan tidak percaya kepada duta profesional iaitu pakar dalam hubungan luar negeri yang dilantik sebelum ini,” soalnya dalam pembentangan usul di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Duta sah Malaysia di Amerika Syarikat ialah Datuk Othman Hashim, Datuk Iskandar Sarudin (China) dan Datuk Naimun Ashakli Mohammad (India).

Dalam perbahasannya, Tze Tzin berkata, pelantikan duta khas negara berkenaan gagal melonjakkan pertumbuhan perdagangan dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia seperti yang tercatat dalam objektif pelantikan mereka.

“Kebelakangan ini pelbagai masalah seperti kegiatan pengintipan Amerika Syarikat ke atas pemimpin Malaysia, masalah negara China merebut Pulau Spratly juga masih belum diselesaikan.

“Ini menunjukkan duta khas gagal dalam tugasan mereka dan pembaziran wang rakyat yang langsung tidak membawa sebarang faedah kepada Malaysia,” tegasnya.

Beliau menggesa supaya elaun khas itu dipotong supaya wang rakyat tidak dibazir dalam keadaan fiskal kerajaan yang defisit besar, ekonomi tidak menentu, hutang negara hampir mencecah 55 peratus dan subsidi rakyat dipotong.

“Dalam keadaan rakyat susah kerana kos hidup meningkat dan bakal dikenakan GST akibat amalan BN penuh dengan ketirisan dan rasuah, adakah perlu kita membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk subsidi tiga bekas menteri kabinet yang bersara,” katanya.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

FOMCA : CGT tidak beban pengguna

Oleh : Lizawati Madfa,

SHAH ALAM 12 NOV : Kerajaan Pusat disarankan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal (CGT) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 1 April 2015 kerana ia mampu memberikan pendapatan kepada kerajaan dan tidak membebankan pengguna.

fomca-GSTPengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata bagaimanapun perkara cadangan perlaksanaan CGT memerlukan kajian dan analisis lebih mendalam oleh pakar-pakar ekonomi.

Kata beliau, kajian itu penting dilakukan bagi memastikan keputusan yang dibuat tidak membebankan rakyat yang semakin terhimpit dengan kos dan bebanan sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.

“Jika CGT didapati lebih baik, maka elok juga dipertimbangkan perlaksanaanya menggantikan sistem cukai sedia ada.

“Kita faham bahawa kerajaan memerlukan sumber pendapatan bagi membangunkan negara namun kita mahu agar ia dilaksanakan secara tidak membebankan rakyat,” kata Yusof ketika dihubungi Selangor Kini.

CGT bermaksud cukai yang dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti jualan saham, bon, hartanah, emas dan sebagainya.

Buat masa sekarang kerajaan hanya mengenakan CGT ke atas keuntungan jualan hartanah yang juga dipanggil Real Property Gain Tax (RPGT).

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Penganalisis Ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin agar Kerajaan Pusat melaksanakan CGT untuk mengurangkan beban rakyat miskin daripada terus dihimpit dengan pelaksanaan GST.

Mengulas perlaksanaan GST, Yusof mencadangkan agar Kerajaan Pusat menimbang kembali kadar enam peratus yang dikenakan agar tidak memberi kesan mendadak kepada pengguna.

“Saya fikir GST sebagai satu perkara baru di Malaysia diperkenalkan pada kadar lebih rendah iaitu sekitar tiga atau empat peratus sepertimana diamalkan di negara jiran Singapura.

“Ini penting agar rakyat atau pengguna tidak menerima kesan mendadak dengan perlaksanaan enam peratus cukai,” kata Yusof.

– EZY

Categories
NASIONAL

CGT langkah terbaik ganti GST, kurang beban golongan miskin

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 12 NOV : Pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT) adalah langkah terbaik bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan, pada 1 April 2015.

Penganalisis ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata CGT yang dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti jualan saham, bon, hartanah dan emas akan membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun.

Katanya, pendekatan itu akan dapat mengurangkan beban rakyat miskin daripada terus dihimpit dengan pelaksanaan GST yang disifatkan lebih memberi manfaat kepada golongan berada.

azrul_bimb“Kalau boleh kita memang mahu CGT dilaksanakan, tetapi nampaknya tidak akan dilaksanakan. Permulaan CGT jika dilaksanakan lagi mudah kerana mengikut kiraan secara rawak dengan mengambil kira beberapa perkara dan kerajaan boleh meraih pendapatan RM8 hingga 10 bilion,” katanya kepada portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad, berkata kerajaan boleh melaksanakan sumber lain seperti CGT sebelum GST dilaksanakan.

“Kita katakan bahawa ada lagi sumber lain seperti CGT seperti cukai ke atas keuntungan aset kewangan. Ambil daripada orang kaya dulu, gunakan sumber lain berbanding menekan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.

Beliau berkata, pengambilan cukai GST daripada golongan miskin adalah satu perbuatan yang songsang dari sudut agama Islam.

“Dari sudut Islam juga, cukai perlu diambil daripada golongan kaya bukannya miskin. Itu adalah perbuatan tidak betul dari segi moral dan etika, bahkan pelaksanaan GST akan menyebabkan harga lebih 2,000 barangan serta perkhidmatan dinaikkan,” katanya.

Setakat ini, kerajaan hanya mengenakan CGT ke atas keuntungan jualan hartanah yang dipanggil Kenaikan Kadar Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT).

-NFN-

Categories
NASIONAL

GST : Ekonomi Malaysia dijangka meleset 2016

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 11 NOV : Malaysia berkemungkinan mengalami kemelesetan ekonomi selepas Cukai Barangan dan Perkidmatan (GST) dilaksanakan, pada 2016.

Penganalisa ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata kemelesatan itu dijangka berlaku berdasarkan Teori Kitaran Niaga sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pelaksanaan GST bakal memberikan kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seterusnya menyebabkan berlakunya ‘double whammy’ berdasarkan perbelanjaan isi rumah.

azrul_bimb“Teori kitaran niaga menjadi pendek kerana dulu ia berlangsung selama 10 tahun tetapi sejak akhir-akhir ini menjadi tujuh tahun.

“Kali terakhir berlaku kepada Malaysia pada tahun 2009, jadi kemungkinan kemelesetan berlaku pada 2016. Proses ini hanya mengambil masa setahun selepas GST dilaksanakan bermula 1 April 2015,” katanya ketika ditemui portal Selangor Kini selepas seminar umum yang bertajuk pengurusan kewangan berhemah di Karangkraf, di sini, hari ini.

Azrul berkata, trend teori kitaran niaga terbabit menjadi lebih singkat berdasarkan perubahan faktor dalam sistem ekonomi, kewangan negara dan kemajuan teknologi.

“Kita tidak dapat memastikan bila perkara ini akan pulih kerana bergantung kepada penerimaan orang ramai terhadap GST. Namun, GST boleh dikawal jika gaji dinaikkan setara dengan perlaksanaannya bagi mengelak kadar hutang isi rumah terus meningkat,” katanya.

Beliau yang juga Pengurus Tugas Khas, Analisa Ekonomi dan Kewangan Pejabat Menteri Besar Selangor, berkata kerajaan disaran melaksanakan Capital Gains Tax (CGT) bagi mengelakkan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat.

“Cukai ini kita ambil atas keuntungan bukan modal. Dalam kiraan saya, kerajaan boleh meraih pendapatan RM8 bilion hingga 10 billion setahun,” katanya.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

Pelaksanaan GST : Rakyat berdepan kenaikan tarif elektrik pada 2016

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 11 NOV : Rakyat Malaysia tetap berdepan dengan kenaikan tarif elektrik sebaik pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksana kerajaan pusat, berkuatkuasa 1 April 2015.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata walaupun kerajaan pusat memaklumkan GST tidak akan dikenakan ke atas 200 unit (kWh) pertama iaitu RM43.60 sebulan, namun pengguna tidak boleh mengelak daripada membayar cukai jika penggunaan elektrik lebih daripada nilai terbabit.

teo nie ching 01Katanya, pelaksanaan GST juga akan menjejaskan beberapa sektor lain seperti kesihatan iaitu klinik dan hospital, perniagaan industri, komersial serta sekolah.

“Kenaikan tarif elektrik akan turut dirasai sektor lain contohnya hospital dan klinik. Bagaimana mereka dapat menampung kenaikan tarif elektrik termasuk bayaran cukai sebanyak enam peratus yang dikenakan kerajaan pusat.

“Kerajaan harus kaji semula polisi ini kerana akan menjejaskan banyak pihak. Jika benar apa yang dikatakan ini, terbukti Barisan Nasional (BN) itu tidak lebih daripada slogan ‘Barang Naik’,” katanya dalam pada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, kenaikan tarif elektrik juga dijangka akan menjadi kenyataan apabila kerajaan pusat bakal mengurangkan subsidi bahan gas asli berikutan harga pasaran dunia yang tidak menentu.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, kerajaan BN mula menekan rakyat dengan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter dan gula sebanyak RM0.34 sen, berkuatkuasa 26 Oktober lalu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

GST : Idris Jala cuba kelirukan rakyat

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 11 NOV :  Mantan Timbalan Gabenor Negara, Dr Rosli Yaakob menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa orang kaya akan membayar lebih cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah mengelirukan.

Katanya, orang miskin membayar cukai lebih tinggi berbanding orang kaya kerana perkiraannya adalah mengikut peratusan bahagian pendapatan.

Dr Rosli YaakopRosli berkata, sebagai contoh adalah orang miskin dengan pendapatan RM1,000 sebulan berbelanja sebanyak RM160 dikenakan cukai sebanyak 16 peratus, manakala orang kaya yang berbelanja pada kadar sama dengan pendapatan RM10,000 hanya membayar cukai sebanyak 1.6 peratus sahaja.

“Daripada jumlah mutlak, kita tidak sangkal kebenaran kenyataan beliau tetapi kenyataan itu amat mengelirukan jika mengambil kira peratusannya, bahagian pendapatan yang dibayar orang kaya adalah lebih kecil daripada keseluruhan pendapatan mereka.

“Kita boleh lihat bahagian pendapatan orang miskin yang digunakan untuk membayar cukai GST lebih tinggi, berbanding pendapatan mereka,” katanya kepada portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, cara mengukur beban cukai adalah melalui peratusan daripada cukai yang dibayar berbanding jumlah pendapatan yang menjadi punca GST jatuh lebih berat kepada orang miskin.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Penang Institute berpendapat, hujah Idris Jala bahawa orang kaya akan membayar lebih GST tidak sepadan dengan standard ukuran percukaian antarabangsa,

Felonya, Lim Kim Hwa menyatakan amalan antarabangsa untuk mengukur kesan cukai terhadap kumpulan pendapatan dibuat dengan melihat cukai dibayar sebagai sebahagian pendapatan dan bukan cukai yang dibayar secara mutlak dan kaedah itu turut diguna pentadbir cukai Amerika Syarikat, IRS.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar: Pendapatan rakyat perlu ditingkat untuk laksana GST

anwar-gst

KUALA LUMPUR 31 OKT – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala bentuk kebocoran, rasuah dan sistem monopoli yang membengkak dalam negara perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum memikirkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah, GST akan dilaksanakan dengan bersyarat, namun tidak menjadi keutamaan yang perlu disegerakan kerana memerlukan pertimbangan khusus terlebih dahulu.

Beliau berkata, pendapatan rakyat perlu diberi perhatian dan dipertingkatkan sebelum pelaksaaan GST yang dilihat bakal membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya tidak mengatakan bantahan pada prinsip GST dalam ucapan belanjawan saya. Saya tegaskan daripada sudut sistem pelaksanaan GST itu lebih telus dan efisyen.

“Soalnya, dua syarat yang kita tekankan iaitu pertama hapuskan ketirisan dan kebocoran dengan menjimatkan wang itu untuk berbelanja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, syarat kedua adalah peningkatan tahap pendapatan rakyat harus ditingkatkan dan turut mengakui sistem GST efisyen dengan negara mencatatkan lebihan ketika menjadi Menteri Kewangan.

“Tetapi sekarang defisitnya parah dan saya tidak laksanakannya ketika itu walaupun kajian sistem berkenaan baik, tetapi pelaksanaannya tidak wajar,” katanya.

Berhubung hujah menjadikan Singapura sebagai contoh dalam  melaksanakan GST, Anwar menjawab negara terbabit melaksanakan GST dengan perkiraan tempoh masa, selain memastikan pendapatan rakyat meningkat.

“Saya bukan tidak menyokong prinsip dasar, tetapi Singapura laksana tiga peratus dijamin tujuh dan sembilan tahun tidak naik,” katanya.

“Semua parti komponen PR akan meneruskan sesi penerangan berkenaan GST kepada rakyat supaya mereka memahami mengapa perkara ini tidak boleh dilakukan sekarang,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan kenyataan Anwar dan mendakwa PR menyokong perlaksanaan GST secara keseluruhan, namun perkara berkenaan dinafikan. -NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ulama : Tugas kerajaan perlu bela rakyat, bukan menekan

Abdul Ghani Shamsudin GST

SHAH ALAM, 30 OKT : Kerajaan Pusat seharusnya memastikan nasib golongan miskin dan pertengahan di negara ini dibela sebaiknya dan bukannya membebankan mereka dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pemansuhan subsidi keperluan rakyat.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Shamsudin, berkata pelaksanaan GST tidak akan membawa faedah kepada rakyat di negara ini sekiranya ketirisan dan pemborosan melampau oleh pihak kerajaan tidak berjaya dikawal.

Beliau berkata, sebelum sesuatu sistem percukaian itu boleh dilaksanakan, kerajaan perlu mengambil kira faktor atau kesan yang tidak menekan majoriti masyarakat.

“Dalam konteks pengurusan harta awam, kerajaan perlu pastikan bahawa yang dibela adalah masyarakat terbanyak dan orang miskin. Ini adalah satu kewajipan.

“Kajian juga jelas menunjukkan tindakan mengamalkan sistem ini (GST) tanpa terlebih dahulu mengawal ketirisan dan keborosan Kerajaan akan membawa kesan negatif,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Sementara itu, dalam reaksinya, beliau turut mengulas kenyataan beberapa pimpinan Umno-BN yang menyifatkan GST adalah suatu sistem yang adil.

Katanya, sekiranya beban itu diletakkan kepada golongan miskin, tindakan kerajaan itu jelas adalah tidak rasional.

“Keadilan bukan bermakna kita bebankan perkara yang tidak sepatutnya kepada rakyat miskin.

“Mereka yang mempunyai kekayaan banyak, mereka itulah perlu bayar cukai. Mereka yang hasilkan wang banyak, kumpulan ini wajar dikenakan cukai,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Mahasiswa : Kerajaan pusat tergesa-gesa laksana GST

Safwan Anang gst

SHAH ALAM 30 OKT : Kerajaan Pusat tergesa-gesa melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan membebankan rakyat ketika tiada mekanisme untuk meningkatkan sumber pendapatan rakyat.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, berkata Kerajaan Pusat digesa menyelesaikan dahulu masalah rasuah, ketirisan dan keborosan yang berlaku dalam perbelanjaan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum GST dikuatkuasakan.

Kata beliau, golongan mahasiswa turut akan menerima tempias dan kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015 kerana mereka juga merupakan pengguna yang akan membeli barangan dan keperluan.

“Jika kerajaan pusat tidak juga mendengar suara bantahan rakyat ini maka mahasiswa bersedia untuk bersama-sama menggerakkan suara bantahan ini,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Kata Safwan, beliau berharap mahasiswa mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman berkenaan pelaksanaan GST agar mereka berkeupayaan menjadi jurubicara rakyat.

“Apabila hangatnya pilihan raya kampus itu diharap isu GST ini juga diperdebatkan tetapi malangnya hal ini tidak berlaku akibat campur tangan politik luar sehingga menyebabkan isu GST ini diam sahaja,” kata beliau.

Pengenalan GST pada kadar enam peratus akan lebih membebankan golongan muda kerana 82.5 peratus daripada mereka mempunyai pendapatan RM3,000 ke bawah.

Kesan itu semakin dirasai golongan muda apabila kadar inflasi meningkat ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ketika pendapatan tidak banyak berubah.

EZY