Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PKM Morib edar 300 beg kitar semula, jaya kempen #bebasplastik

OLEH HAFIZAN TAIB

MORIB, 10 APR: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib mengedarkan 300 beg kitar semula #bebasplastik di pasar pagi Teluk Bunut, di sini, semalam, bagi membantu dan menggalakkan orang ramai menggunakan bahan berkenaan.

Hasnul BaharuddinAktiviti dilakukan dengan kerjasama Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Lim Tou Yih, sebagai menyokong langkah Kerajaan Negeri melaksanakan kempen Bebas Beg Plastik, mulai tahun ini.

Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin berkata, pihaknya melakukan edaran beg kitar semula di kawasan awam bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kempen berkaitan.

“Kita jalankannya bagi menggalakkan orang ramai menggunakan bahan alternatif demi menjayakan kempen larangan penggunaan beg plastik.

“Aktiviti sebegini dilakukan secara berterusan dan sambutan membanggakan diberikan orang ramai yang menyambut baik langkah Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib menjalankan beberapa aktiviti sama dan mengedarkan lebih 500 beg kitar semula di kawasan DUN berkenaan.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Negeri melaksanakan kempen larangan penggunaan beg plastik dan polisterina selaras dengan dasarnya untuk bebas dua bahan itu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tandas awam Pantai Baharu Morib berwajah baru

MORIB 28 JAN : Kesedaran orang ramai diharapkan menjaga dan memelihara kemudahan awam bagi membolehkan ramai pihak dapat menggunakannya.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata pihaknya mengalu-alukan penglibatan pihak swasta dan agensi luar untuk turut serta dalam program menaikkan imej daerah Kuala Langat sebagai lokasi pelancongan.

Katanya, ‘smart partnership’ adalah langkah proaktif dilakukan MDKL dalam melaksanakan pembangunan serta menaik taraf kemudahan infrastruktur sedia ada.

MDKLMDKL terdahulu memulakan fasa pertama kerja menaiktaraf kemudahan termasuk pengindahan serta penceriaan surau dan tandas di Pantai Baharu Morib melibatkan kos keseluruhan RM35,000 sejak Mac 2015.

Ia di bawah projek Strategi Lautan Biru (BOS) melalui komitmen tinggi beberapa jabatan dalaman MDKL serta kerjasama Kolej Komuniti Kuala Langat dan ATKC Hardware Trading Sdn. Bhd.

Program penceriaan di bawah BOS itu melibatkan lebih 30 kakitangan dan pegawai MDKL bagi memulihkan keadaan fizikal tandas yang sebelum ini kelihatan suram dan uzur.

Projek itu mendapat kerjasama baik dari pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat apabila seramai 15 orang pelajar-pelajar Sijil Animasi 2D.

Manakala seramai 26 orang pelajar Sijil Aplikasi Perisian Komputer kolej itu juga terlibat dalam program pembersihan persekitaran pantai.

Di dalam program itu juga satu papan tanda kesedaran awam turut dipasang bagi menyedarkan masyarakat agar sentiasa menjaga kebersihan dan memelihara kemudahan awam yang ada.

EZY

Categories
SELANGOR

Basikal tua jalin interaksi sihat, bentuk satu bangsa cinta warisan

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 7 DIS: Dataran Pantai Morib meriah dengan deretan basikal tua dan klasik yang dihimpun dari seluruh tanah air, sepanjang minggu ini.

Lebih 300 peserta dengan basikal pelbagai jenis dijangka menyertai kayuhan lebih 10 kilometer sekitar Morib dan Banting, bermula 8 Disember ini.

Exco Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penganjuran program itu selari dengan usaha memartabat warisan dan kesenian oleh Kerajaan Negeri.

IMG_6959“Basikal tua dan klasik pastinya mempunyai keunikan tersendiri dan kita mahu seni warisan ini berterusan untuk generasi akan datang.

“Selain itu, program ini juga dapat menjalin ikatan perpaduan dan interaksi sihat ke arah melahirkan pembentukan satu bangsa yang kuat kesenian warisannya,” katanya dalam ucapan perasmian Program Himpunan Basikal Klasik dan Basikal Tua Semalaya, di sini, semalam.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali serta lagenda basikal klasik dari Belanda, Jos Rietveld dan Alex (Indonesia).

IMG_7047Sejurus ucapan perasmian, tetamu kehormat dan pengunjung disajikan hidangan istimewa orang Jawa, Nasi Ambeng yang dihidang di dalam dulang dan dimakan beramai-ramai.

Walaupun sedikit kekok, Jos Rietveld berkata, pengalaman sepanjang berada di Morib begitu mengujakan.

“Saya agak biasa dengan nasi goreng dan makanan Indonesia, tetapi tidak dinafikan hidangan malam ini memang sedap dan menyelerakan.

Jos“Niat nak sertai program basikal, siapa sangka dapat pengalaman lain yang tak kurang hebat,” katanya.

Peminat basikal klasik itu mempunyai lebih 20 koleksi basikal dan koleksi tertua berusia lebih 110 tahun.

Rietveld dan Alex juga akan menyertai kayuhan yang dijangka bermula seawal jam 8 pagi, esok.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sembilang tewas di Pantai Morib

MORIB : Hujan lebat dan laut bergelora tidak mematahkan semangat bagi peserta Siri GP Selangor Pantai Morib 2014.

Kesemua peserta tidak berganjak dari tempat pertandingan bagi mememastikan diri mereka akan menjadi salah seorang pemenang di pertandingan tersebut.

Slide31Yang DiPertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, Pantai Morib sekali lagi dipilih lokasi pertandingan Siri GP Selangor Pantai Morib 2014 kerana pantai ini mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur serta pantai yang mempunyai banyak ikan.

Beliau berkata MDKL komited dalam sebarang penganjuran aktiviti sihat seperti ini dan sekaligus ianya dapat menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Secara tidak langsung, dengan adanya penganjuran acara seperti ini ianya merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan.

Beliau juga berkata, Pantai Morib sentiasa dikunjungi peminat aktiviti memancing.

Slide6Bersempena pertandingan ini, Wak Jali Event Management menganjurkan Pertandingan Cabaran Malam Minggu apabila seorang kakitangan MDKL, berjaya menaikkan ikan malong seberat 0.700 gram dan menjadi juara membawa pulang tunai RM1,000.00 dan RM50.00 bagi tempat ketujuh.

Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, peserta dari Negeri Pahang, Mohd Azuki Md Sharif menjadi juara Siri GP Selangor Pantai Morib 2014 berjaya menjinakkan ikan sembilang seberat 2.960 kg pada jam 10.00 dengan hadiah wang tunai RM15,000.00 berserta hadiah iringan.

Tempat kedua di menangi Abdul Hamid Karim yang berjaya menaikkan ikan buntal seberat 0.425 gram pada jam 8.17 pagi dengan membawa pulang tunai RM6,000.00 beserta hadiah iringan

Manakala tempat ketiga dimenangi Yanti Ismail yang berjaya menundukkan ikan buntal dengan berat 0.345 gram pada jam 8.15 pagi sekaligus membawa pulang tunai RM3,000.00 berserta hadiah iringan.

Selain daripada hadiah-hadiah utama di sampaikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian Dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, penganjurmenyediakan hadiah berupa wang tunai bernilai RM200.00 beserta hadiah iringan bagi tempat 30 hingga ke 21.

Manakala bagi tempat 20 hingga 11, hadiah berupa tunai RM300.00 beserta hamper dan tempat ke 10 hingga tempat ke 4 membawa pulang tunai RM400.00 berserta hamper.

Pertandingan berlangsung turut dihadiri Exco Belia Dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Adun Tg. Sepat, Mohd Haslin Hashimd dan wakil Pegawai Daerah Kuala langat, Md Hasrul Faiz Baharudin.
EZY

Categories
SELANGOR

Kenali Selangor (Kelip- Kelip) dan Singgah Selangor (Morib) – Salam Selangor

Sinopsis:

Paparan hari ini membawa para penonton mengenali kelip- kelip dan Pantai Morib. Ikuti rancangan ini hanya di www.selangorkini.net

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

7 DUN Selangor Selesai Kenal Pasti 100% Pengundi

SHAH ALAM 30 JULAI: Tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Selangor berjaya menyelesaikan proses mengenal pasti pengundi dalam Program Selangorku Bersih.

Tujuh DUN terbabit adalah Rawang, Batu Caves, Bukit Melawati, Sungai Pinang, Sri Kembangan, Morib dan Tanjung Sepat.

Manakala dari 56 keseluruhan kawasan DUN di Selangor, hampir 20 DUN yang lain turut berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus dalam program sama.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan status terkini program yang dijalankan di bawah Program Pendemokrasian Rakyat Selangor oleh Kerajaan Negeri itu.

“Saya harap proses pendemokrasian ini dapat diselesaikan dalam masa dua minggu lagi,” kata beliau di Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Pemimpin Masyarakat yang diadakan di kediaman rasminya.

Program Selangorku Bersih diadakan bagi mengenal pasti kewujudan pengundi berdaftar yang sah di Selangor.

Program yang menerima peruntukan sebanyak RM5 juta dari Geran Selangorku ini membabitkan kerjasama antara Adun kawasan, Ahli-ahli majlis dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

TV Selangor difahamkan keputusan kajian tersebut akan diumumkan setelah keputusan penuh dan analisa dari kajian tersebut dibuat.

Categories
SELANGOR

Mesin Jahit Bagi Memancing Pendapatan

KUALA LANGAT, 5 JUN: Lumpuh separuh badan tidak menghalang Shahrul Nizam Mohd Hanafiah, untuk berdikari dan memperoleh pendapatannya sendiri seperti orang lain.

Bermula sebagai pembantu tukang jahit di Batu Caves pada tahun 1998, Shahrul, 39, sekarang mempunyai sebuah perniagaan sendiri di Kampung Kanchong Darat, Morib di sini, yang dimulakan pada tahun 2000.

Pada 17 Mei, perniagaan beliau mendapat suntikan baru dalam bentuk mesin jahit komputermatik sumbangan Pejabat Penyelaras DUN Morib.

Beliau gembira dengan bantuan berkenaan kerana ia akan memudahkan kerja beliau.

“Saya sangat hargai pemberian ini. Memudahkan kerja saya dan meringankan beban.

“Dulu kena hantar ke kedai kalau nak jahit butang misalnya dan terpaksa menunggu. Kadang-kadang memakan masa yang lama. Dengan adanya mesin ini lebih mudah kerja saya,” katanya.

Shahrul merupakan orang kelainan upaya (OKU) sejak 25 tahun lalu akibat kemalangan yang berlaku pada usia 14 tahun.

Menurut beliau lagi, pada awal permulaan menjahit, beliau memgalami kesukaran dan mengambil masa enam bulan untuk meyakinkan pelanggan.

Hasil kesabaran dan kegigihan beliau kini mempunyai beberapa pelanggan tetap termasuk dari luar Kuala Langat seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Untuk musim perayaan kali ini, beliau menerima hampir 80 pasang tempahan baju.

Beliau yang bernaung dibawah Malaysian Spinal Injury Association (MASIA) sejak 1995 mendapat bantuan sebanyak RM 300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya bantuan berkenaan tidak mencukupi dan pihak persatuan pernah menyuarakan hasrat kepada kerajaan agar elaun mereka dinaikkan.

“Pada saya OKU tidak sepatutnya dipinggirkan. Ramai diantara mereka yang hidup berdikari dan mereka juga berhak untuk memdapat layanan sama rata seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin berkata, pihaknya lebih selesa menggunakan konsep ‘memberi pancing berbanding ikan’ untuk menggalakkan kumpulan masyarakat berdikari dalam menjana pendapatan.

“Dengan alatan mesin menjahit butang ini, beliau tidak lagi bergantung kepada pihak lain untuk urusan menjahit butang.

Apatah lagi beliau merupakan seorang OKU yang sukar untuk bergerak ke sana sini.

“Kedua, langkah ini akan meningkatkan produktiviti dan kreativiti beliau,” katanya.

Kerusi Roda Bagi Meringankan Beban


MORIB, 9 MAC: Tiada perkataan yang boleh menggambarkan kegembiraan sebuah keluarga Orang Asal di Kampung Kelanang di sini, apabila mendapat sumbangan kerusi roda untuk meneruskan aktiviti seharian.

Johan Lamin, 40 yang menghidap penyakit gout sejak dua tahun lalu melahirkan rasa terharu diatas keperihatinan masyarakat setempat yang tidak putus memberikan bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Dengan keadaan sebegini, Johan yang bergantung kepada tongkat untuk bergerak tidak mampu untuk menyara keluarganya sebagai nelayan persisiran pantai.

Walaupun dia mempunyai ladang kelapa sawit sebanyak dua ekar, hasilnya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan lima orang anak dan isterinya. Tiga daripada lima anaknya masih bersekolah.

“Buat masa sekarang saya masih belum menerima apa-apa bantuan. Walaupun ada hasil daripada kelapa sawit kita tidak terpaksa berjimat cermat.

“Kalau RM1,000 sebulan pun saya kena tanggung lima orang anak, termasuk isteri dah enam orang. Saya terlantar, isteri memang tidak bekerja.

“Untuk anak yang bersekolah, saya peruntukkan RM2 seorang sebagai belanja harian. Tiga orang sudah RM6,”
katanya.

Sumbangan kerusi roda itu disampaikan oleh Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin.

Bagi Ketua Kampung, Mustakim Mat Din, pihaknya memberikan tumpuan kepada keluarga Orang Asal yang berada di dalam kesusahan dan menghulurkan bantuan yang termampu walaupun bukan bantuan bulanan.

Katanya, jawatankuasa kampung akan memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meringankan beban perbelanjaan bulanan keluarga Johan.

“Saya sebagai ketua kampung dan pengerusi JKKK sentiasa mencari anak buah saya yang berada di dalam kesusahan. Terutama sekarang saya tumpukan kepada orang asal. Saya rasakan dia macam terbiar. Kita dekati mereka dan kita berikan bantuan apa yang kita termampu,” katanya.