Categories
NASIONAL SELANGOR

Pak Samad : Umno-BN Tidak Mampu Sekat Bersih 3.0

KUALA LUMPUR 18 APR : Rakyat secara menyeluruh akan turun menentang rejim zalim Umno-BN walau apapun halangan yang kerajaan itu cuba adakan bagi menyekat kemaraan rakyat.

Sasterawan Negara, A. Samad Said yang juga orang kuat di sebalik gerakan Bersih 3.0 berkata, rakyat tanpa mengira kedudukan dan darjat hari ini sudah bijak menilai dan berani untuk menentang serta membantah.

“Hari ini kita dapat melihat seorang sasterawan berdiri di kalangan rakyat, berdiri di depan untuk menuntut keadilan.

“Hari ini juga kita mendengar mantan tentera berikrar untuk bersama kita menentang kezaliman, golongan anak muda dan mahasiswa malah kita juga ada ahli Umno yang akan bersama kita pada himpunan 28 April nanti,” ucap penulis dan penyajak tersohor ini.

Beliau, yang mesra dengan panggilan Pak Samad, berucap di dalam Himpunan Pra Bersih 3.0 di Padang Kelab Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menghadiahkan mahasiswa yang berkampung di Dataran Merdeka dua ‘sleeping bag’ bagi menyatakan sokongan terhadap mereka.

“Ia juga merupakan simbolik untuk mereka tidur dan menikmati mimpi-mimpi yang indah dan semoga mimpi indah itu menjadi nyata.

“Jangan bimbang jika khemah diroboh dan dirabak kerana ada yang akan bagi duit untuk mereka membeli khemah baru untuk didirikan,” ujar Pak Samad di hadapan lebih seribu hadirin.

Sekumpulan aktivis mahasiswa sudah empat malam berkhemah bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dataran Merdeka.

Perkhemahan itu adalah lanjutan himpunan mereka di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Selain Pak Samad, majlis himpunan malam tadi turut dihadiri wakil pimpinan dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain seperti Mohamad Sabu, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Elizabeth Wong, Teresa Kok, Maria Chin dan Haris Ibrahim.

 

Categories
NASIONAL

Salahuddin : DBKL Harus Biarkan Mahasiswa Terus Berkhemah

KUALA LUMPUR, 17 APR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur didesak agar membenarkan aktivis mahasiswa terus berkhemah di Dataran Merdeka bagi memperjuangkan permansuhan PTPTN.

Mereka harus dibenarkan terus berkhemah sebagai lanjutan dari himpunan mereka pada 14 April, selagi mereka tidak mencetuskan keadaan huru hara atau porak peranda, kata MP Kubang Kerian Salahuddin Ayub.

Salahuddin, yang turun untuk berunding dengan DBKL bagi pihak aktivis tersebut pada Ahad lalu, berkata, setakat ini, diyakini tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya rasa semua pihak perlu memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk menyatakan hasrat dan perjuangan mereka.

?Saya telah menyatakan selagi mana perhimpunan itu terkawal dan aman serta tidak mencetuskan porak peranda maka peluang harus diberikan kepada mereka,” katanya kepada TVSelangor di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, lebih 500 aktivis mahasiswa telah mengadakan perhimpunan aman di Kuala Lumpur untuk pemansuhan PTPTN dan mendesak agar kerajaan memberikan pendidikan percuma.

Sebahagian daripada mereka telah memasang lima buah khemah di satu sudut Dataran Merdeka bagi meneruskan kempen mereka.

Bagaimanapun, semalam DBKL bertindak merampas khemah yang dipasang biarpun pada awalnya, agensi itu bersetuju membenarkan mereka berkhemah.

“Tidak perlulah sampai DBKL merampas khemah-khemah mereka. Prinsipnya mana-mana perhimpunan pun selagi mana ia dianjurkan dengan jelas matlamatnya maka ia tetap punya hak dan tidak bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nga : Kerajaan Pusat Didesak Untuk Tidak Mendiskriminasi Antara Graduan Kelas Pertama

KUALA LUMPUR, 17 APR : Kerajaan Pusat harus adil dalam penukaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama.

MP Taiping, Nga Kor Ming mendakwa kerajaan pusat bersikap tidak adil kepada graduan dari kumpulan tersebut berdasarkan aduan diterima dari lebih 50 graduan dari seluruh negara.

“Kementerian Pengajian Tinggi pernah membuat pengumuman bahawa mulai 2010, semua mahasiswa yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama akan dikecualikan bayaran pinjaman PTPTN kerana ianya akan dianugerahkan menjadi biasiswa.

“Bagaimanapun, golongan yang tamat pengajian dari 1 Julai 2005 hingga 2010 tidak layak menikmati layanan tersebut.

?Adalah dianggarkan kepentingan lebih kurang 8,000 graduan ijazah kelas pertama telah terjejas akibat diskriminasi itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Kerajaaan Pusat menurutnya, diharap mempertimbangkan suara graduan dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berkaitan isu itu.

Nga berkata satu memorandum berkenaan isu itu akan dihantar kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau juga meminta kerajaan pusat mempertimbangkan permohonan graduan di mana faedah tiga peratus pinjaman itu dimansuhkan bagi meringankan beban lepasan universiti.

“Perbalahan yang timbul kini adalah kesan dari dasar kerajaan untuk memkorporatkan Institusi Pengajian Tinggi khususnya universiti awam.

?Akibatnya jumlah yuran dan kos sampingan lain telah melambung tinggi mengakibatkan majoriti graduan lepasan universiti terpaksa menanggung beban hutang PTPTN dan pelbagai hutang pinjaman lain.

“Disebabkan pendapatan lepasan graduan universiti di pasaran tempatan jauh lebih rendah maka negara kehilangan pelbagai modal insan berkelayakan dan berbakat kerana golongan ini terpaksa mencari mata pencarian di luar negara dan mengejar kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Nga turut mengesa Khaled mengadakan lawatan ke Dataran Merdeka untuk berjumpa dengan mahasiswa yang berkhemah di situ untuk memnuntuut pemansuhan PTPTN.

Lebih 500 mahasiswa telah membuat rapat umum di Dataran Merdeka pada Sabtu bagi menuntut pemansuhan pinjaman itu dan sistem pendidikan percuma di negara ini.

Categories
NASIONAL

Mahasiswa: Khaled Nordin Patut Undur

SHAH ALAM, 16 APR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disarankan mengundurkan diri dari terus memegang jawatan yang disandangnya kerana gagal memastikan pendidikan percuma dilaksanakan oleh kerajaan.

Demikian reaksi Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademi (Bebas), Safwan Anang Talib berhubung kenyataan Khaled yang mencabar golongan mahasiswa yang mahu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan  memulangkan wang pinjaman tersebut.

Safwan juga menganggap, kenyataan tersebut merupakan satu kenyataan tidak bertanggungjawab serta memalukan golongan penerima PTTN.

“Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggung jawab datang dari seorang Menteri dan wajar untuk Datuk Seri Khaled Nordin mengundurkan diri.

“Sebagai seorang menteri Khaled seharusnya berpihak kepada mahasiswa dengan berjuang membela nasib mahasiswa supaya memastikan pendidikan percuma dilaksanakan bukannya menjadikan mahasiswa sebagai penghutang,” kata Safwan yang juga Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).

Menurut Safwan, kegagalan Khalid membela nasib pelajar dan mahasiswa membuktikan tidak ada kesungguhan kerajaan serta menterinya untuk membela masa depan generasi muda di masa depan.

“Adakah dia (Khaled) tahu bahawa pelajar dipaksa membuat pinjaman dengan PTPTN dengan kadar faedah yang tinggi berbanding pinjaman yang disediakan oleh yayasan kerajaan negeri.

“Masalahnya, pelajar tak boleh terus mohon pinjaman dari yayasan negeri tetapi hendaklah memohon dari PTPTN dahulu.

“Sekiranya gagal dapat pinjaman dari PTPTN barulah boleh mohon dari yayasan-yayasan negeri.

“Kalau tak mohon dari PTPTN dahulu, memang tak boleh mohon pinjaman dari yayasan negeri walaupun faedah yang dikenakan PTPTN jauh amat tinggi.

“Isunya adalah bukan sekadar PTPTN dimansuhkan tetapi pendidikan percuma harus diberikan kepada rakat negara ini,” ujarnya kepada TVS.

Sementara itu dalam perkembangan kempen menuntut agar PTPTN dimansuhkan, kira-kira 20 aktivis mahasiswa yang terus kekal berada di Dataran Merdeka telah bertindak memasang semula tiga buah khemah.

Terdahulu, kira-kira jam 10.15 pagi tadi kesemua lima buah khemah aktivis mahasiswa telah dirampas oleh kira-kira 50 penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan anggota polis.

Categories
NASIONAL

Polis, Penguatkuasa DBKL Tumbuk, Rampas Khemah Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 16 APR: Perkhemahan aktivis mahasiswa sejak Sabtu lalu di Dataran Merdeka yang menuntut agar Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan telah dirampas oleh pihak berkuasa pagi ini.

Pada masa kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, hampir 20 aktivis mahasiswa tersebut telah berhadapan dengan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis berpakaian seragam serta preman.

Kejadian rampasan baki lima khemah yang masih bertahan itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dan ahasiswa-mahasiswa tersebut telah dikasari termasuk ada yang ditumbuk oleh anggota-anggota penguatkuasa tersebut.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, kesan daripada pergelutan tersebut telah menyebabkan salah seorang dari mereka mengalami pendarahan.

“Masa tu kami cuba pertahankan khemah-khemah kami tetapi mereka gunakan kekerasan.

“Pada masa itu berlaku pergelutan dan dalam keadaan kelam kabut itu beberapa mahasiswa telah ditumbuk termasuklah saya sendiri.

“Salah seorang dari kami, Alif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula berdarah di bahagian leher.

Syahid memberitahu barisan pemimpin aktivis mahasiswa terbabit akan mengadakan perbincangan untuk meputuskan samada akan mengemukakan laporan polis terhadap keganasan yang dilakukan ke atas mereka atau sebaliknya.

“Pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa akan bincang samada nak lapor kepada polis atau tidak tetapi apa yang pasti, kami akan terus berada di sini walaupun khemah kami telah dirampas.

“Kami masih menunggu respon dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi menuntut PTPTN dimansuhkan telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak Sabtu lalu lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara pihak yang melawat perkhemahan aktivis mahasiswa tersebut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Selain itu turut kelihatan adalah ahli-ahli dari Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ahli-ahli politik lain dari Pakatan Rakyat.

Pada masa ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah gagal dihubungi TVS untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu ini.

Categories
NASIONAL

DBKL Bersetuju Beri Kelonggaran Pada Perkhemahan Mahasiswa di Dataran Merdeka

Gambar oleh Shuaib Ayob

SHAH ALAM, 15 APR : Situasi di perkhemahan gerakan mahasiswa di Dataran Merdeka dilaporkan tenang setelah beberapa rundingan diadakan pemimpin tempatan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menerusi rundingan yang dilakukan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bersama penguatkuasa DBKL petang tadi, mereka bersetuju untuk memberi kelonggaran selain tidak berkasar terhadap mahasiswa berkenaan.

Salahuddin ketika dihubungi TV Selangor turut mengesahkan beliau akan membawa isu perjuangan mahasiswa berhubung pemansuhan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke Parlimen esok.

Beliau turut menasihati aktivis yang menyertai perkhemahan tersebut untuk menjaga keselamatan diri supaya tiada mana-mana pihak mengganggu atau mengasari mereka.

“Mereka hanya berada di situ (Dataran Merdeka) untuk menyatakan hak dan suara mereka. Sebagai tanda sokongan kepada mahasiswa ini, saya telah memberi komitmen untuk membawa perkara ini ke perbahasan Parlimen.

?Satu sidang media khas berhubung isu berkenaan juga akan diadakan tengah hari esok,” katanya.

Salahuddin berjaya berunding dengan DBKL selepas satu pasukan penguatkuasa agensi itu merobohkan dan merampas beberapa khemah pada kira jam 2 petang.

Namun, selepas beberapa minit tegang di mana pegawai DBKL dan aktivis bertikam lidah, agensi itu beredar dan membenarkan aktivis tersebut mendirikan khemah mereka semula.

Perkhemahan tersebut didirikan petang semalam sebagai lanjutan himpunan aktivis pelajar di Kuala Lumpur semalam yang menuntutkan agar PTPTN dimansuhkan.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi tersebut telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak semalam lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara yang melawat lokasi perkhemahan semalam adalah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, ahli-ahli dari Majlis Peguam, masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Sementara itu, Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, sejak awal pagi tadi pelbagai provikasi dilakukan pihak DBKL untuk mengusi mahasiswa dari tempat berkenaan.

Setakat ini, daripada sepuluh buah khemah yang didirikan, hanya empat daripadanya yang masih bertahan, manakala selebihnya telah rosak dan dirampas.

Syahid turut mengesahkan tiada kekasaran yang dilakukan pihak DBKL setakat ini.

Categories
NASIONAL

Risalah Provokasi Tak Halang Kebangkitan Pelajar

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Himpunan Mansuhkan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dicemari dengan pengedaran risalah provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai usaha menangkis sokongan terhadap tuntutan ini.

Risalah yang memaparkan karikatur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap mengkritik kerajaan menghapuskan PTPTN namun dipersoalkan semula memandangkan pada ketika itu beliau masih memangku jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Risalah tersebut diletakkan di dalam bakul motosikal yang diletakkan di Dataran Merdeka turut memaparkan implikasi pemansuhan PTPTN  dan implikasi pendidkan percuma versi Pakatan Rakyat.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam reaksi memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah terhadap risalah berkenaan dan mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan atau bangkangan mengenai tuntutan ini.

Setiausaha SMM, Haziq Abdul Aziz berkata,  pada tahun 1998 merupakan zaman kerajaan mengamalkan dasar penswastaan memandangkan pada ketika itu negara menghadapi krisis kegawatan ekonomi.

Menurut beliau, sekarang merupakan masa terbaik untuk melaksanakan dasar pendidikan percuma memandangkan keuntungan dan status kewangan negara dalam keadaan baik ditambah keuntungan yang dimiliki oleh syarikat minyak utama negara, Petronas.

“Kita minta mereka berhujah dengan fakta dan ilmiah, bukan main sentimen semata-mata. Pihak mahasiswa kami ada angka dan fakta ekonomi supaya mansuh PTPTN. Pendidikan percuma tidak mustahil boleh dilakukan. Kita bukan main sentimen bodoh sebegini,” katanya.

Tegas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menyahut cabaran debat yang dilontarkan oleh Anwar Ibrahim supaya rakyat menilai sendiri pemimpin yang mempunyai polisi dan dasar dalam menjamin masa depan negara.

Pada hari ini 500 mahasiswa di sekitar Lembah Klang mengadakan demontrasi Mansuhkan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Ibu negara.

Categories
NASIONAL

Kebangkitan Pelajar Menandakan Kebangkitan Rakyat

KUALA LUMPUR 14 APR : Kebangkitan mahasiswa mengadakan demonstrasi menuntut kerajaan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini disifatkan satu kebangkitan yang bakal memberi impak besar kepada negara.

Menurut Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Subang, Manivanan Gowin, kebangkitan rakyat kebiasaannya bermula daripada kebangkitan golongan terpelajar.

“Ini termaktub dalam sejarah kebanyakan negara di mana kuasa kebangkitan rakyat yang memberi impak digeruni adalah gerakan golongan mahasiswa.

“Dari situ maka bermulalah gerakan gergasi menentang mana-mana kerajaan korup yang merugikan negara.

“Jadi, tidak salah kiranya jika kebangkitan mahasiswa hari ini disifatkan sebagai pencetus kebangkitan rakyat yang lebih menyeluruh selepas ini,” ujar Manivanan yang turut hadir memberi sokongan terhadap demonstrasi tersebut.

Mengulas lanjut, Manivanan berkata, kebangkitan mahasiswa juga menandakan rakyat secara kolektif sudah jemu dengan prestasi yang menjengkelkan daripada kerajaan.

“Ini golongan terpelajar, yang mampu berfikir secara rasional dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Jika mereka ini yang menjadi harapan pemimpin negara juga tidak percayakan kerajaan, apatah lagi rakyat yang lainnya,” ujar Manivanan ketika ditemui TV Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

DBKL Arahkan Peserta Himpunan Kosongkan Dataran Merdeka

Liputan Khas oleh Mat Zahari Ali, Afix Redzuan, Lizawati Madfa dan Nazli Ibrahim.

7.15 mlm : Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mula mengarahkan agar mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka untuk mengosongkan lokasi.

Kelihatan pemimpin mahasiswa cuba mengadakan rundingan dengan pegawai DBKL.

Difahamkan, Dataran Merdeka akan digunakan untuk program kebudayaan esok.

4.55 ptg : Keadaan di kawasan dataran mula kembali seperti biasa dan majoriti peserta himpunan sudah bersurai dengan hanya sekumpulan aktivis yang akan terus berkhemah di situ.

Mereka juga berkesempatan menunaikan solat secara berjemaah di tapak perkhemahan di Dataran.

 

 

4.20 ptg : Adam Adli dan seramai 200 aktivis akan terus berkhemah di satu sudut di Dataran sebagai menunjukkan komitmen dan solidariti untuk terus mendesak kerajaan mansuhkan PTPTN.

 

3.55 ptg : Perarakan sudah tiba di Dataran Merdeka dan dianggarkan jumlah peserta sudah mencecah 4,000 orang.

Kelihatan beberapa orang mendirikan khemah di Dataran Merdeka sebagai komitmen untuk menduduki kawasan itu sehingga Kerajaan Pusat mendengar rintihan mereka.

3.40 ptg : Himpunan yang sekarang berjumlah 2,500 orang itu sekarang bergerak menuju ke Dataran Merdeka dari Sogo.

Adam Adli di dalam ucapannya berkata mahasiswa akan berkhemah dan berkampung di Dataran sehingga Najib datang menemui mereka.

3.30 ptg : Nurul izzah menucapkan tahniah kepada para peserta yang berani melahirkan bantahan dan mahu perubahan.

Beliau berkata ini usaha pertama ke arah mewujudkan sistem pendidikan percuma.

?We want free education not corruption. (Kita mahu pendidikan percuma bukan korupsi)

?Negara harus ke arah pendidikan percuma dan tindakan ini merupakan langkah awal.?

3 20 ptg : Pengerusi SMM Safwan Anang berkata mahasiswa akan terus mendesak rakyat untuk menolak rejim Umno yang membebankan pelajar dengan hutang tetapi pada masa sama, mengkayakan kroni mereka.

?Rakyat sudah muak dengan dasar kapitalis dan kroni kerajaan. Kerajaan membazir dan kebas duit rakyat, sedangkan mahasiswa dibeban dengan hutang.?

Difahamkan peserta himpunan terdiri dari mahasiswa daripada universiti-universiti terbesar di Malaysia seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Selangor (UNISEL) dan Univerisiti Teknologi Malaysia (UTM).

3  ptg : Peserta himpunan mula satu upacara untuk kalungkan bunga melur pada gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin.

Mereka juga meletakkan Batu Nisan dengan tulisan ?Demokrasi by KPT? sebagai tanda protes terhadap Kerajaan Pusat yang tidak menunaikan janji untuk memansuhkan pinjaman itu.

Difahamkan himpunan tersebut melencong ke Sogo kerana tidak mahu menggangu persiapan program seni industri budaya di Dataran Merdeka.

2.55 ptg : Perarakan dari Masjid Jamek sudah sampai perkarangan pusat beli belah SOGO di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kumpulan tersebut sudah mencecah sekitar 1,500 peserata daripada berbagai bangsa dan agama. MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar juga tiba dan penyertai himpunan.

2.40 ptg : Hampir seribu peserta himpunan mansuh Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menuju ke Jalan Raja Laut ke bangunan Sogo.

2.30 ptg : Peserta himpunan mansuhkan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah sampai di Dataran Merdeka.

Kumpulan yang bergerak dari Masjid Jamek sudah berjumlah 500 orang.

Kelihatan MP Batu Tian Chua menyertai kumpulan tersebut.

2.10pm :  Orang ramai mula berkumpul di kawasan Dataran Merdeka Peserta himpunan mansuhkan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula berkumpul di Dataran Merdeka.

Peserta himpunan mansuhkan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula bergerak dari perkarangan Masjid Jamek di Kuala Lumpur menugu ke Dataran Merdeka.

Kumpulan yang terdiri dari pemimpin Pakatan Rakyat dan pelajar institusi pengajian tinggi itu dianggarkan seramai 300 orang.

Mereka juga melaung-laungkan slogan hancur “Hancur Rosmah, Hancur Najib”, “Mansuh PTPTN”  dan membawa sepanduk “Mansuh PTPTN” dan “Bebas”.

Juga kelihatan aktivis Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim di Dataran Merdeka. Antara aktivis lain yang hadir adalah Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia  Safwan Anang dan Adam Adli.

Video Berkaitan:

1 ) Video: Himpunan #MansuhPTPTN, 14/4/12 (Bhg 1) – youtu.be/hggUbJHzjak

2 ) Video: Himpunan #MansuhPTPTN, 14/4/12 (Bhg 2) – youtu.be/d28FD-gHQIU

3 ) Video : DEMONTRASI MANSUH PTPTN, 14/4/12 (MASJID JAMEK 4) – http://www.youtube.com/watch?v=d7qheDY37V0

4 ) Video: DEMONSTRASI MANSUH PTPTN, 14/4/12 (SEKITAR JLN TAR, SOGO) – http://www.youtube.com/watch?v=QRlnA3KmLmQ

5 ) Video: DEMONSTRASI MANSUH PTPTN Bersama NURUL IZZAH, TIAN CHUA DAN DR S JEYAKUMAR, 14/4/12 (JALAN TAR) – http://www.youtube.com/watch?v=VnwilzVFAak

6 ) Video: DEMONTRASI MANSUHKAN PTPTN Bersama Wakil Pelajar, 14/4/12 (Sekitar Jalan Tar, Sogo) – http://www.youtube.com/watch?v=VCgg5tBlsws

7 ) Video: DEMONSTRASI MANSUH PTPTN Bersama Setiausaha PKR Cabang Subang, 14/4/12 (DATARAN MERDEKA) – http://www.youtube.com/watch?v=PSHKBhCQQcg

8 ) Video: DEMONTRASI MANSUH PTPTN, 14/4/12 – SOLAT ASAR – http://www.youtube.com/watch?v=2UJtJTDa0Aw

9 ) Video: DEMONSTRASI MANSUH PTPTN Bersama ADAM ADLI, 14/4/12 – http://www.youtube.com/watch?v=g6zmKuHRQyo

Categories
NASIONAL

Dataran Masih Renggang, Demo Anti-PTPTN Mula Selepas Solat Zohor

Liputan Khas oleh Afix Redzuan, Lizawati Madfa dan Nazli Ibrahim.

KUALA LUMPUR 14 APR : Sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi dan peserta dilihat berkumpul di perkarangan Masjid Jamek di Kuala Lumpur bagi bersiap sedia untuk himpunan anti-Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Difahamkan mereka berkumpul di kawasan itu dan akan bergerak ke Dataran Merdeka selepas solat Zohor.

Himpunan yang akan bermula pada sekitar pukul 2 petang di Dataran Merdeka dijangka menarik seramai 5,000 peserta yang turun untuk mendesak kerajaan pusat memansuhkan pinjaman tersebut.

Demonstrasi yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia itu, bakal dihadiri peserta dari Kelantan, Terengganu dan Johor, selain dari institusi di Lembah Klang.

Anggota dan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga dijangka akan menyertai himpunan tersebut.

Sebelum ini, Pengerusi SMM Safwan Anang berkata kumpulan mahasiswa pro-Umno juga bakal hadir di dalam himpunan tersebut.

Tinjauan krew TVSelangor di sekitar Dataran mendapati keadaan masih lengang dengan beberapa pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam, Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan RELA meronda kawasan sekitar Dataran Merdeka.

TVSelangor akan memulakan liputan terus dari Dataran Merdeka mulai 2 petang.

Berita lanjut menyusul.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Najib Bohong, Pinjaman PTPTN RM 24.5B Bukan RM 43B

SHAH ALAM, 11 APR: Kerajaan negara ini mampu menampung hutang PTPTN sebanyak RM24.7 bilion yang sedang ditanggung oleh kebanyakkan bekas pelajar lulusan institusi pengajian awam dan swasta hari ini.

Jumlah pinjaman PTPTN sebanyak RM43 bilion seperti yang disebut oleh Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini juga merupakan satu pembohongan kerajaan untuk lari dari memikul tanggungjawab memberi pendidikan percuma kepada rakyat negara ini.

Sebaliknya jumlah sebenar pinjaman PTPTN yang telah dibayar kepada peminjam sehingga Disember 2011 hanya RM27.5 bilion, kurang  hampir separuh dari yang disebut Perdana Menteri itu.

Setelah ditolak jumlah bayaran yang telah dibuat oleh pelajar, menjadikan jumlah hutang PTPTN yang tinggal adalah 24.7bilion, merupakan satu jumlah yang mampu dibayar kerajaan.

Demikian beritahu Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli dalam majlis dialog ‘Rundingcara PTPTN dan Masa Depan Pembiayaan Pendidikan Tinggi yang diadakan di Quality Hotel, Shah Alam malam tadi.

“Jumlah diluluskan dengan jumlah yang telah dibayar kepada peminjam sebenar adalah berbeza dan jumlah yang saya keluarkan ini datangnya dari sumber dalaman PTPTN sendiri.

“Jumlah pinjaman sebenar ataupun yang telah dibayar kepada peminjam itu lah angka sebenar iaitu RM27.5 bilion.

“Sebab itu kalau ada yang sebut RM43bilion,  itu adalah satu pembohongan untuk menakut-nakutkan rakyat,” kata beliau dalam majlis anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu.

?Kalau kerajaan tidak mahu maafkan RM24.7 bilion ini, ini memang betul-betul jahatlah,” ujarnya lagi.

Rafizi turut menjelaskan mekanisma pembayaran hutang PTPTN yang akan dipraktikkan adalah sama dengan amalan pembayaran hutang oleh kerajaan-kerajaan di dunia termasuk Malaysia.

“Kerajaan sengaja menakutkan rakyat, kalau kerajaan bayar RM43 bilion boleh jadikan kerajaan bankrap.

“Kenyataan ini sebenarnya cuba sembunyikan fakta sebenar dan menakutkan rakyat.

“Walaupun hutangnya RM24.7 bilion, jumlah hutang ini bukanlah dibayar sekaligus.

“Bila kita umumkan kita akan maafkan hutang PTPTN RM24.7 bilion, bukannya  esok kita kena kosongkan akaun perbendaharaan, KWSP, Petronas bayar hutang PTPTN.

“Mana-mana ahli ekonomi tahu, sudah jadi amalan mana-mana negara, hutang akan dibayar dalam satu jangkamasa tertentu.

“Kerajaan Malaysia pinjam dengan Bank Dunia yang Mahathir buat pada 1999 baru habis bayar pada tahun lepas 2011.

“Pembayaran hutang yang diambil paling kurang pun sepuluh tahun.

“Ini satu lagi kenyataan yang membodohkan rakyat menggambarkan seolah-olah hutang PTPTN kena bayar sekaligus kalau nak dihapuskan.

“Jadi kalau untuk bayar semula pinjaman PTPTN yang dah dibayar kepada pelajar sebanyak RM24.7 kita boleh anggarkan sebanyak RM2 bilion selama 15 tahun.

Dalam pembentangan Rafizi, beliau turut menyediakan ‘plan B’ untuk  pembayaran semula kepada PTPTN sekiranya negara terpaksa menghadapi senario buruk.

“Kalau anda ambil ‘kos financing’ anda akan faham, dalam ‘worse case senario’ hutang ini boleh di refinancing kan (pembiayaan semula), supaya hutang boleh distrukturkan semula dengan jumlah lebih sesuai untuk dibayar kerajaan,” katanya.

Ketika menjawab satu soalan dari salah seorang pelajar yang hadir, Rafizi  merumuskan PTPTN masih boleh dimansuhkan tanpa mengambil kira soal ketirisan yang berlaku dalam kerajaan hari ini.

?Hari ini saya tidak sebut langsung soal ketirisan. Dalam ketirisan sekali pun kita masih boleh hapuskan PTPTN.

“Kalau kerajaan sekarang yang banyak ketirisannya sekalipun, duit yang ada masih mampu tampung hutang PTPTN,? katanya lagi.

Sebelum itu Rafizi turut menjelaskan keuntungan yang diperolehi kerajaan dari Petronas wajar disalurkan dalam institusi pendidikan termasuk membayar balik hutang PTPTN yang ditanggung oleh pelajar lepasan universiti.

Menurut Rafizi, di kebanyakkan negara-negara lain, satu tabung khas  pendidikan diadakan untuk tujuan tersebut.

Hutang PTPTN yang ditanggung oleh kebanyakkan pelajar lepasan pengajian tinggi hari ini mula dianggap sebagai ‘badi’ bagi golongan tersebut apabila terpaksa menanggung dalam satu masa yang panjang.

Selain itu, bagi sesetengah bekas pelajar pula melabelkan hutang PTPTN sebagai ‘Along Berlesen’ apabila mereka dikenakan faedah hutang yang tinggi.

Ketika menyentuh perkara itu, Rafizi menganggap ianya sebagai kesan buruk apabila pinjaman tersebut dikomersialkan dan berorientasikan keuntungan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi: Pendidikan Percuma Tanggungjawab Kerajaan Pusat.

SHAH ALAM, 11 APR :Tanggungjawab terhadap dasar, penambahbaikan dan kaedah sistem pendidikan negara  merupakan tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Pusat dan bukan dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Justeru sebarang hala tuju dan mekanisma perlaksanaan sistem pendidikan negara ini termasuk pelbagai caj yang dikenakan kepada penjaga dan para pelajar ditentukan oleh Kementerian-kementerian berkenaan.

Manakala kerajaan-kerajaan negeri hanya melaksanakan apa yang telah ditetapkan oleh kementerian tersebut di atas dasar federalisme.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menegaskan, Kerajaan Pusat dibawah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang sepatutnya memikirkan cara terbaik untuk menaik taraf sistem pendidikan di negara ini.

Rafizi berkata, adalah tidak adil bagi Kerajaan Pusat untuk terus menekan Kerajaan Selangor untuk melaksanakan dasar pendidikan percuma kerana ini bukan dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Katanya, jika Selangor ingin melaksanakan pendidikan percuma, Kerajaan Pusat seharusnya berlaku adil dengan memberi agihan kewangan yang sepatutnya kepada Kerajaan Negeri.

“Jika dari sudut polimik politik, Kerajaan Pusat tidak boleh menuduh kenapa Selangor tidak memberikan pendidikan percuma kerana Kerajaan Pusat sendiri yang mengehadkan agihan kewangan kepada  Selangor,” jelas beliau ketika sesi rundingcara PTPTN dan masa depan pembiayaan pendidikan tinggi di Quality Hotel semalam.

Bagaimanapun, menurut Rafizi, soal pendidikan adalah lebih penting untuk dibincangkan berbanding soal politik kerana generasi muda kini terhimpit dengan bebanan hutang yang melampau akibat sistem yang digunapakai sekarang.

“Bagaimana Kerajaan Pusat boleh mengeluarkan bajet hampir 200 peratus yang melebihi belanjawan hanya untuk memberikan biasiswa pendidikan pada era 70 an dan kenapa sekarang tidak boleh?,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil bagi agihan kewangan yang telah disumbang Kerajaan Negeri kerana Selangor menyumbang hampir 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2011.

Malah, Kerajaan Selangor hanya mendapat hampir dua peratus agihan kewangan yang diberikan Kerajaan Pusat dan ini menunjukkan sikap Kerajaan Pusat yang ternyata berat sebelah.