Categories
SELANGOR

Selangor Perkenal Inisiatif Premium Milik Tanah

SHAH ALAM 21 MAC : Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif program bayaran premium RM1,000 bagi pemberimilikan tanah dan program bayaran premium bagi tujuan melanjutkan tempoh pajakan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, program ini bertujuan bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor menentukan sendiri kaedah pembayaran premium mengikut kemampuan masing-masing.

“Bagaimanapun mereka masih perlu membayar caruman berasingan seperti parit yang tidak termasuk dalam premium RM1,000 itu.

“Dan sekiranya mereka menjual tanah untuk diberi milikan kepada orang lain, premium penuh akan dikenakan kecuali jika dipindah milik kepada waris, maka premium tidak perlu dibayar,” jelas Abdul Khalid menjawab soalan Adun Balakong, Yap Lum Chin di Sidang DUN pagi ini.

Nilaian tanah yang akan digunakan adalah berdasarkan nilaian yang dikemukakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Selangor.

Setakat ini, terdapat 356 orang penerima yang sudah lulus permohonan bayaran premium RM1,000 dengan 5 di Hulu Selangor, 136 di Hulu Langat, 89 di Kuala Selangor, 65 di Petaling, 3 di Sepang, 4 di Kuala Langat, 48 di Gombak serta 6 di Klang.

Categories
SELANGOR

Status Tanah Perkuburan Selangor Akan Di Perluas

SHAH ALAM 21 MAC : Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 24/2011 bersetuju dengan Keperluan Perkuburan Sehingga Tahun 2060 di Negeri Selangor sebagai perancangan untuk mengatasi isu tapak-tapak tanah perkuburan yang telah hampir penuh di negeri ini.

Menjawab soalan dari Adun Semenyih, Johan Abdul Aziz berkenaan isu tersebut, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan dianggarkan 12.45 ekar tanah perkuburan Islam yang masih belum dihuni di Mukim Semenyih.

“Ini berdasarkan kajian inventori Tanah Perkuburan Sehingga Disember 2010 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah/ Daerah,” ujar Abdul Khalid.

“Untuk Daerah Semenyih, kajian tersebut mendapati terdapat kekosongan 5 ekar di Tanah Perkuburan Islam Batu 18 yang masih belum beroperasi,

3.5 ekar kekosongan pula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Purun dengan 30 peratus telah digunakan, Tanah Perkuburan Islam Semenyih yang  berkeluasan 0.75 ekar dengan 75 peratus telah digunakan dan Tanah Perkuburan Islam Batu 3 dengan keluasan 3.2 ekar dengan 20 peratus digunakan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk melaksanakan program jangka masa panjang bagi konsep pembangunan Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) terutamanya bagi kawasan yang pesat membangun untuk mengatasi masalah tapak perkuburan yang hampir penuh.

Antara tapak cadangan perkuburan wilayah bersepadu yang telah dikenalpasti ialah Tanah Perkuburan Bersepadu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Mukin Hulu Semenyih yang berkeluasan 168.74 ekar (68.29 hek).

Categories
SELANGOR

Selangor Penyumbang Ekonomi Terbesar Malaysia

SHAH ALAM 21 MAC :Selangor menyumbang sekurang-kurangnya 22 peratus atau lebih 1/5 daripada ekonomi negara. Manakala negeri-negeri lain sekadar menyumbang kurang daripada 10 peratus.

Kenyataan tersebut dinyatakan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membuktikan kerajaan negeri lebihbersikap berdikari dan komitmen dalam membangunkan negeri.

Katanya, amalan tata kelola dan pengurusan yang berintegriti, Kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya mencatatkan simpanan tunai sebanyak RM1.9 billion sepanjang tahun 2011.

“Walaupun kita adalah negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, tetapi Kerajaan Pusat hanya mengembalikan dua peratus sahaja daripada jumlah sumbangan itu.

“Ini menyebabkan kita perlu untuk memiliki rezab simpanan tunai yang besar untuk berdikari membangunkan negeri tanpa perlu mencari sumber lain iaitu termasuk membuat pinjaman daripada Kerajaan Pusat,”jelas Abdul Khalid dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DNS) di sini hari ini.

Sebagai rekod, simpanan tunai Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2011 ialah RM1.9 billion iaitu peningkatan lebih 26 peratus berbanding di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang hanya merekodkan  kurang RM500 juta sebelum 2008.

“Walaupun begitu, tidak kesemua simpanan tetap itu boleh dibelanjakan memandangkan ia adalah juga sebahagian daripada Akaun Amanah Disatukan,”katanya.

Categories
SELANGOR

Dasar Penswastaan Pusat punca Selangor Tidak Cukup Air

SHAH ALAM, 21 MAC : Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini menyaksikan pendedahan kerajaan Pakatan Rakyat berhubung komisen yang diberikan kepada syarikat konsensi penswastaan air di Selangor  melebihi 75 peratus yang disifatkan sebagai satu rompakan kepada rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penswastaan yang dilakukan kerajaan negeri sebelum ini tidak mengambil kira keupayaan syarikat konsesi yang berkebolehan sehingga mengakibatkan masalah air sering berlaku.

Beliau juga berkata, kos yang dikendalikan selepas penswastaan juga adalah berlipat ganda daripada apa yang dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sebelum ini.

“Saya ingin tahu rasionalnya mengapa dalam hal air masih tidak mencukupi di Selangor, tetapi kita masih terpaksa meminta negeri Pahang menjual air kepada kita? Mengapa perlu membuat lubang di bawah gunung supaya dapat disalurkan kepada Langat 2 untuk dibuat loji pembersihan dengan kos RM8 bilion, sedangkan setengah daripada wang itu boleh digunakan untuk membersihkan air sungai?

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan membohongi rakyat Selangor. Kerajaan sepatutnya memberi peluang kepada rakyat supaya pengurusan air diberikan kepada kerajaan negeri seperti yang termaktub dlm undang-undang yang diluluskan pada tahun 2006,” tegasnya.

Menurut Khalid Selangor merupakan negari yang menerima hujan hampir 200 hari setahun serta sering dilanda limpahan air dan banjir. Maka tidak ada sebab mengapa air tidak mencukupi. Mengapa air banjir ini tidak diurus bagi menampung air dimasa tiada hujan.” ujar beliau yang juga Adun Ijok

Sementara itu, ketika ditanya tentang halangan pembinaan Loji Langat 2, Abdul Khalid menegaskan kerajaan negeri tidak pernah menentang

mahupun berdolak-dalik mengenai projek tersebut, tetapi ia mesti dijadikan sebahagian daripada proses pengambilalihan industri air.

Beliau berkata, masalah bekalan air adalah masalah perjanjian dalam penswastaan yang perlu diselesaikan bagi mengelakkan rakyat Selangor terus menerus menanggung akibatnya.

“Siapa yang berdolak dalik? kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan? Kita tidak halang kelakukan itu, tetapi kita nyatakan kalau hendak buat, kita perlu lakukan ia sebagai sebahagian daripada penyusunan air Selangor. Pada Januari 2008, keputusan kabinet mengatakan sebahagian daripada penyusunan air untuk Selangor adalah termasuk dalam pemilikan program Langat 2.

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan telah mengubah keputusan itu pada Mac 2008. Pada pendapat kita, kalau tidak berlaku penyusunan air, maknanya Langat 2 tidak perlu untuk kita,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menjelaskan, kerajaan negeri akan bekerja keras untuk memastikan rakyat Selangor mendapat bekalan air bersih.

Menurutnya, lebih 17 loji rawatan air yang dimiliki di negeri ini juga adalah mencukupi untuk digunakan sebagai air terawat.

“Kita akan memperkenalkan teknologi untuk menggunakan air dari takungan lombong jika perlu dengan mengaplikasikan teknik reverse osmosis. Selain itu, air laut juga boleh digunakan jika keadaan memerlukan. Kita juga akan membersihkan sungai supaya saliran air adalah mencukupi.

” Tetapi keadaan ini tidak lagi diperlukan ketika ini kerana sumber air masih mencukupi.” jelasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun Batang Kali Diperintah Keluar Dewan


SHAH ALAM 21 MAC : Adun Batang Kali (BN), Datuk Mohd Isa Abu Kasim diperintahkan keluar dewan oleh Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim selepas melanggar peraturan mesyuarat 44 (2).

Tindakan itu dilakukan Teng selepas Mohd Isa didapati beberapa kali bertindak mengganggu perbahasan ketika Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim membahaskan usul berhubung isu pasir yang disoalkan oleh Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun.

“Saya perintah bawah peraturan mesyuarat 44(2) disebabkan YB degil, saya perintahkan yang berhormat keluar daripada dewan selama dua jam,” kata Teng selepas Mohd Isa berkeras untuk meminta MB menjawab soalan berkenaan secara paksa.

Teng juga beberapa kali menegur Adun Batang Kali itu supaya berlaku sopan dalam dewan.

“Perangai tolong jaga dahulu, jaga perangai sendiri sebelum menegur orang,saya sudah berkali-kali melihat perangai Adun Batang Kali ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perbahasan sama, Abdul Khalid turut mempelawa semua Adun bagi melihat perjanjian MOU antara kontraktor Kumpulan Semesta Sdn Bhd bersama kerajaan negeri pada Isnin depan.

Beliau menegaskan, MOU berkenaan pelan deklarasi integriti itu nanti turut mengingatkan semua kontraktor supaya menjaga hak rakyat berhubung isu pasir.

Categories
SELANGOR

ADUN Seri Serdang Cetek Pengetahuan Tentang Hotel Bajet

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor tidak teragak untuk mengambil tindakan terhadap hotel bajet yang melanggar undang-undang, tetapi pada masa yang sama, pentabiran negeri faham yang hotel tersebut memenuhi permintaan pasaran.

Oleh itu Exco Selangor Ronnie Liu Tian Khiew berkata adalah tidak adil bagi mana-mana pihak untuk menuduh hotel bajet adalah sarang maksiat.

“Tidak adil kepada pengusaha hotel bajet yang melakukan aktiviti sihat di negeri ini jika ADUN Seri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman menyalahkan kesemua hotel bajet menjalankan aktiviti maksiat,” kata Ronnie yang menyandang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Ronnie berkata demikian di luar Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi manyangkal dakwaan yang diutarakan Mohamad Satim di dalam DNS hari ini.

Katanya, trend hotel bajet ini berlaku di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Perak dan negeri-negeri lain.

“Beliau kena faham, bukan semua orang mampu mendapatkan perkhidmatan hotel mewah. Banyak lagi golongan yang kurang berkemampuan terpaksa menginap di hotel bajet termasuk pelancong.

“Maksiat juga berlaku di pangsapuri, rumah, hotel mewah dan kondominium. Jadi ianya tidak adil kepada pengusaha hotel bajet kerana ada juga pengusaha hotel bajet yang menjalankan aktiviti sihat,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sudah menyediakan garis panduan kepada semua pengusaha hotel bajet.

“Mereka kena mengikut syarat-syarat yang sudah ditetapkan jika tidak lesen mereka akan digantung atau ditarik balik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“PBT atau pihak polis boleh menahan mereka dan membawa ke mahkamah, jadi ini isu penguatkuasaan, tak kan Adun Seri Serdang tidak faham,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hasil Pasir Pakatan RM19.9 Juta Lebih Dari BN Walaupun Jumlah Sikit

SHAH ALAM 20 MAC : Pendapatan Kerajaan Selangor menerusi hasil pasir era pemerintahan Pakatan Rakyat (Pakatan) adalah jauh lebih baik berbanding semasa ia diurus tadbir oleh Umno-Barisan Nasional (Umno-BN) walaupun jumlah pengeluaran hasil bumi itu jauh lebih kecil.

Sebelum ini, pembangkang sering memburukkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dengan melemparkan pelbagai dakwaan yang syarikat itu membolot industri pasir negeri.

Perkara ini dijelaskan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Syafiei sekaligus membuktikan tata kelola dan sistem yang di gunapakai kepimpinan Pakatan hari ini berfungsi dengan baik.

“Pendapatan royalti 3 tahun dari tahun 2005-2007 zaman Umno-BN hanyalah sekitar RM12.51 juta berbanding zaman Pakatan untuk tempoh 3 tahun yang sama bermula tahun 2009-2011 berjumlah RM32.5 juta.

“Peningkatan pendapatan yang memecahkan rekod selama ini adalah natijah daripada pentadbiran telus yang baik, tentunya tanpa rasuah, tanpa kroni dan tanpa kolusi yang mana sebelum ini di rompak pimpinan terdahulu kini kembali ke tangan rakyat,”jelas Shuhaimi dalam sidang dewan hari ini.

Merujuk kepada rekod tersebut, Shuhaimi meminta pemimpin Umno-BN memperjelaskan jurang pendapatan pasir antara era Pakatan dan BN yang berjumlah RM19.9 juta. Ini berlaku sedangkan jumlah pengeluaran metrik tan pasir era BN dalam masa tiga tahun jauh lebih besar berbanding era Pakatan.

“Pengeluaran sejak 15 September 2008 ? Dec 2011 merekodkan jumlah kuantiti jualan sebanyak 15.909,396 mertik tan dan pendapatan sebelum cukai sebanyak RM 181.567,481 ringgit.

“Ia satu jumlah yang amat besar. Amat pelek, kenapa bukti ini enggan di terima oleh kepimpinan UMNO dan BN Selangor? Bahkan semakin suka memfitnah dan menjadi seperti ?ayam jantan yang berkokok kuat, tapi ekor bergelumang dengan najis??,”katanya.

Jesteru, Shuhaimi, yang juga seorang ahli pengarah KSSB, menyarankan agar kerajaan negeri memberi peluang kepada wakil BN untuk belajar di KSSB bagi memahami prinsip perakaunan dan kira-kira kunci kewangan.

Categories
SELANGOR

Petaling Jaya Diberi Fokus Pembangunan Semula Bandar

SHAH ALAM 20 MAC : Kawasan usang di dalam bandar Petaling Jaya seperti Seksyen 5 dan 8 akan dibangunkan semula bagi mencapai matlamat Pakej Rangsangan Ekonomi negeri yang bermula pada tahun 2009.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew, kawasan di dalam Petaling Jaya juga merangkumi Seksyen 51, 51A dan 52.

“Bagi Majlis Bandaraya Shah Alam kawasannya adalah Pekan Subang, Kampung Baru Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang dan Kampung Padang Jawa.

“Manakala kawasan Majlis Perbandaran Klang pula melibatkan Jalan Kem Pelabuhan Klang, Jalan Baru, Pusat Bandar Klang dan Kampung Pandan,” katanya yang menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan,
Haniza Mohamed Talha.

Bagi kawasan Majlis Perbandaran Kajang pula, kawasan yang terlibat adalah Pusat Bandar Kajang, Batu 11 Balakong dan Kampung Sungai Ramal.

Kawasan lain adalah Taman Sri Keramat AU, Kampung Pandan Dalam, Seri Kembangan dan Serdang Lama.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda pembangunan semula kediaman, yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2025.

Categories
SELANGOR

Tempoh Daftar Kilang Haram Dilanjutkan

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Pemutihan Kilang Haram sehingga 31 Disember depan.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Hitam, Ean Yong Hian Wah berkata tempoh itu dilanjutkan berikutan kejayaan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah kilang haram.

Ean Yong berkata sehingga Mei tahun lalu, sebanyak 1,021 lot tanah iaitu 45.48 peratus daripada jumlah 2,250 lot tanah pertanian telah mengemukakan permohonan tukar syarat tanah kepada Kerajaan Negeri.

“Pecahan permohonan tukar syarat tanah mengikut daerah pula, Petaling sebanyak 47.61 peratus, Klang 58.99 peratus, Gombak 70.45 peratus, Hulu Langat 29.34 peratus, Kuala Langat 41.15 peratus, Sepang sebanyak 38.64 peratus, Hulu Selangor 47.06 peratus dan Kuala Selangor sebanyak 50 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

Ean berkata sebanyak 857 permohonan telah diluluskan dan jumlah premium tambahan yang berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM112,261,194.34.

” Bagi kilang haram yang tidak mengambil bahagian dalam program pemutihan itu, mereka boleh diambil tindakan dibawah Kanun Tanah Negara dan juga undang-undang kecil PBT masing-masing,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Selangor Memperhebatkan Program Wifi Percuma Di Luar Bandar

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor terus memperhebatkan Projek Penyediaan Perkhidmatan WiFi Percuma ke kawasan luar bandar sebagai lanjutan untuk memberi perkhidmatan tersebut di 4,000 lokasi seluruh Selangor.

Sekurang-kurangnya 18 lokasi luar bandar telah dikenal pasti bagi menyalurkan kemudahan ini. Antaranya Sekinchan, Bestari Jaya, Kajang, Meru, Sabak Bernam, Sungai Burong dan Permatang.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains dan Teknologi, Rodziah Ismail berkata kesemua lokasi luar bandar yang terpilih bagi lanjutan projek ini adalah berdasarkan kepada kriteria utamanya sebagai tempat tumpuan umum.

“Kesemua Projek WiFi ini dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2015.

“Kerajaan Negeri menganggarkan kos pemasangan WiFi adalah sebanyak RM10,000 hingga RM18,000 bagi satu lokasi kawasan

perkhidmatan WiFi dengan kapasiti talian utama (backhaul) sebanyak 4Mbps,” jelas Rodziah bagi menjawab soalan dari ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Sebelum ini, sebagai permulaan, Projek Penyediaan Perkhidmatan WiFi Percuma dimulakan pada April 2010 di sekitar Hulu Selangor dan Shah Alam.

Categories
SELANGOR

DUN Mac2012 : Batang Kali dan Sri Muda Bertikam Lidah Pasal Lombong


SHAH ALAM 20 MAC: Sesi Perbahasan Dewan Negeri Selangor pagi ini menjadi panas apabila ADUN Batang Kali Mohd Isa Abu Kasim mecelah ucapan ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei.

Mohd Isa, dari Barisan Nasional, mempersoalkan fakta yang diketengahkan Shuhaimi berhubung pendapatan Kerajaan Selangor daripada pengurusan galian pasir yang lebih cekap.

Apabila beliau tidak boleh menerima keterangan Shuhaimi, Mohd Isa sekali lagi cuba mencelah ucapan ADUN Sri Muda itu.

Gelagat Mohd Isa, yang semakin emosional, mendapat teguran daripada Timbalam Speaker Haniza Talha yang berkali-kali mengingatkan beliau agar memberi laluan kepada Shuhaimi.

Saksikan pertelingkahan tersebut di dalam video klip di atas.

Categories
SELANGOR

“Selangor Shines” Berjaya Menarik Lebih Pelancong

SHAH ALAM 20 MAC: Jumlah pelancong yang datang ke Selangor meningkat kepada 6.04 juta pada tahun 2011 berbanding 5.83 juta pada tahun 2010 selepas Kerajaan negeri melancarkan Tahun Melawat Selangor Selangor, “Selangor Shines”.

Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Yap Ee Wah, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata peningkatan itu merupakan satu rekod baru bagi Kerajaan Negeri berbanding kerajaan sebelum ini.

Katanya, pada suku tahun 2012, jumlah kedatangan pelancong pula sebanyak 1.87 juta.

“Sepuluh kawasan khas yang menjadi tumpuan pelancong antaranya Masjid Negeri, I-City, Sunway Lagoon dan Hutan Lipur Congkak,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini Kerajaan Negeri turut memberi peruntukkan khas melalui Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) kepada Sabak Bernam khususnya DUN Sekinchan.

“Dalam mesyuarat Exco Pelancongan baru-baru ini, kita mengesyorkan untuk menaiktaraf empat daerah yang menjadi tumpuan pelancongan antaranya Sekinchan dan Hulu Langat bagi kerja membaiki kawasan dan kemudahan.

“Kita juga akan mengindahkan kawasan Sekinchan sempena Bulan Melawat Sekinchan akan datang,” katanya ketika menjawab soalan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.