Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

SAMM pelawa anak muda sertai JAMRAD

jamrad2013

SHAH ALAM,22 OGOS: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menganjurkan pertemuan besar-besaran anak muda radikal dari seluruh tanahair dalam satu Jamboree Anak Muda Radikal (JAMRAD 2013), dengan kerjasama dari aktivis mahasiswa SMM dan beberapa front anak muda.

Kenyataan media disertakan

Jamboree Anak Muda Radikal | JAMRAD SAMM | 31 Ogos – 1 September 2013

Buat pertama kali dalam sejarah, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menganjurkan pertemuan besar-besaran anak muda radikal dari seluruh tanahair dalam satu Jamboree Anak Muda Radikal (JAMRAD 2013), dengan kerjasama dari aktivis mahasiswa SMM dan beberapa front anak muda.

JAMRAD 2013 akan bermula pada 31 Ogos 2013 sempena hari ‘pembebasan’ negara dan berakhir 1 September 2013. Penyertaan adalah melalui jemputan yang kini sedang diperhebat dan ianya terbuka buat semua anak muda yang ‘bersetuju memilih RADIKALISMA sebagai jalan perjuangan’. Lokasi JAMRAD 2013 juga telah dimaklum melalui jemputan.

JAMRAD 2013 juga membuka ruang dan platform terbaik untuk penyertaan baru anak muda dalam meneruskan rantaian perjuangan mereka yang terdahulu. Diskusi, perbincangan dua hala, bersukan dan aksi lasak adalah antara aktiviti yang bakal mewarnai JAMRAD 2013.

Kepada anak muda yang sudah berdaftar melalui portal SAMM dan sedia untuk menyertai jamboree, sila rujuk semula portal yang beralamat www.anakmudamalaysia.com untuk maklumat lanjut. Maklumat mengenai JAMRAD 2013 juga boleh diakses di laman Facebook rasmi SAMM.

Akhir sekali, SAMM mengalu-alukan penyertaan semua khususnya dari front anak muda yang bersama dan bersekutu dalam pelbagai aksi untuk menyelamatkan negara ini. JAMRAD 2013 adalah permulaan yang bakal melahirkan anak muda yang cukup kental untuk berhadapan sebuah regim 60 tahun.- mza

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

SAMM: KPN hilang kewarasan untuk batal 1.7j lesen pemandu

edy noor redzuan SAMM 01

SAMM mengecam pengumuman cadangan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membatalkan seramai 1.7 juta pemandu yang di senarai hitam oleh polis trafik jika enggan membayar tunggakan saman lalu lintas.

Ikuti kenyataan media SAMM hari ini

Fiasco Pembatalan Lesen 1.7Juta Pemandu: Siapa Hero Seterusnya?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran kepada pihak berkuasa supaya tidak sesekali menduga kemarahan rakyat apabila seringkali menghadirkan cadangan yang tidak berperi-kemanusiaan.

Pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebentar tadi bahawa seramai 1.7 juta pemandu yang disenarai hitam oleh polis trafik supaya dibatalkan lesen memandu jika enggan bayar baki tertunggak saman lalu lintas, adalah keterlaluan dan umpama hilang kewarasan.

Cadangan ‘jahat’ ini dilihat lebih menjengkelkan dengan alasan kononnya tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika Aidilfitri lalu. Apakah kaitan antara tidak bayar saman dengan peningkatan jumlah kemalangan?

Jika KPN tidak berpuas hati dengan statistik kemalangan, sila buat kajian lebih terperinci punca kemalangan berlaku, sudah pasti bukan kerana pemandu tidak membayar saman. Namun pemikiran yang mungkin dipengaruhi oleh kedudukan kantung kewangan kerajaan maka lahirlah idea yang menafikan hak untuk rakyat memandu.

Apalah nasib rakyat Malaysia, dari menteri sampai ke polis, semuanya seolah berniat untuk menganiaya rakyat. Rakyat yang tersepit dengan kesempitan hidup tidak mampu untuk membayar saman, akhirnya dihukum lagi dengan pembatalan lesen memandu sekaligus bagaikan menghalang seorang ayah menghantar anak ke sekolah.

Jika semalam dapat disaksikan cadangan peminjam PTPTN disenarai dalam CCRIS dan Menteri Belia dan Sukan mendapat nama hasil dari kemelut ciptaan sendiri, kali ini menteri mana pula yang bakal menjuarai isu kononnya membela nasib pemandu yang punya saman ini?

Cukuplah bersandiwara, rakyat bukan bahan eksperimen untuk dicucuk-cucuk dengan cadangan yang menguji kesabaran. SAMM mendesak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang cadangan, kaji sebelum diumumkan.

SAMM berjanji jika cadangan ini dilaksanakan, SAMM akan menggerak mobilisasi besar mengajak semua pemandu yang mempunyai saman supaya mempertahankan hak untuk ‘hidup’ di tanahair ini. -MZA
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAMM teruskan demo bantah TPPA, 23 Ogos

demo tppa menuju kedutaan USSolidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang mengadakan bantahan awal terhadap perjanjian rahsia TPPA pada Julai lalu akan meneruskan siri keduanya pada Jumaat ini bersamaan 23 Ogos ini.

Ikuti kenyataan media yang di keluarkan SAMM hari ini

SAMM menyeru orang ramai khususnya warga kota menyertai satu lagi protes bantahan terhadap Perjanjian TPPA pada 23 Ogos ini di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat. Kemudian pada jam 2.30 petang, para demonstran akan berarak ke arah Kedutaan US untuk digegarkan oleh rakyat Malaysia yang cintakan tanahair.

Perjanjian TPPA yang telah dibincangkan secara rahsia selama ini, harus disekat kerana didapati bakal memberi kesan negetif yang besar terhadap rakyat dari pelbagai sudut termasuklah soal kedaulatan negara. Maka SAMM ambil tanggungjawab mobilisasi dan menggesa semua anak muda ayuh bersama dalam aksi kali ini, dan sebarkan maklumat berikut;

Himpunan Aman Bantah TPPA

Tarikh: 23 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa: 2.00pm (lepas solat)
Lokasi: Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak
Perarakan: Masjid Tabung Haji – Kedutaan US

SAMM mengalu-alukan penglibatan lebih banyak pihak dalam demonstrasi dan perarakan ini. Semua pihak harus bersatu memastikan negara diselamatkan dari cukong konglomerat bertaraf dunia yang memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat.

Tunjukkan kepada dunia satu signal penolakkan yang besar terhadap perjanjian yang menjadi ‘jerangkap samar’ kepada negara yang menyertai TPPA.

Rakyat bersatu tidak akan dikalahkan. Jumpa 23 Ogos di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak.

CHE’GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia

-mza

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAMM Lancar Tabung Kumpul Dana Bantu Aktivis Protes Penipuan PRU

Aktivis berbaring depan Parlimen

SHAH ALAM, 26 JULAI: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melancarkan tabung kutipan dana bagi membantu 33 aktivis yang terlibat dalam perhimpunan protes penipuan pilihan raya.

Wang tersebut bagi membayar jaminan yang dikenakan mahkamah terhadap mereka.

Menurut Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataannya kepada TV Selangor, SAMM sebelum ini dinasihatkan peguam mereka agar bersiap-sedia dengan wang sebanyak RM165,000 bagi bayaran ikat jamin tersebut.

“Berdasarkan makluman dari Pegawai Penyiasat (IO) kes berkenaan dari IPD Dang Wangi menyatakan 33 akan dituduh dibawah Akta Perhimpunan Aman kerana menyertai perhimpunan haram dan 17 orang dari mereka akan diberikan tuduhan tambahan iaitu akta 147 iaitu cubaan merusuh.

Menurut Edy , orang ramai yang ingin menyumbang bagi bayaran ikat jamin 33 aktivis tersebut dan membantu gerakan SAMM, mereka boleh mendepositkan wang ke akaun Maybank 5550 4111 3224 atas nama Solidariti Anak Muda.

“Selepas menyumbang harap dapat sms ke  0126937908 atau email ke [email protected] bagi makluman pengesahan,” katanya lagi.

Pada 24 Jun lalu, lebih 50 aktivis dari pelbagai NGO mengadakan protes di hadapan Parlimen bagi mendesak pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan ekoran penipuan dan penyelewengan yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-13 berlangsung.

Dalam kejadian tersebut seramai 33 dari mereka ditahan termasuk beberapa aktivis golongan muda terkenal seperti Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.

Categories
NASIONAL

Gabungan NGO Gesa Kerajaan Dengar Pendapat Rakyat Sebelum Laksana TPPA

Laksana TPPA 01

KUALA LUMPUR, 19 JULAI : Badan Bertindak Bantah TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik), hari ini menuntut agar kerajaan mengadakan forum sebelum membuat keputusan menandatangani TPPA pada 1 Ogos nanti.

Tuntutan tersebut dibuat melalui memorandum yang diserahkan oleh enam wakil badan bertindak itu di pintu masuk Wisma Hasil Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat petang tadi.

Memorandum tersebut diterima wakil Timbalan Ketua Setiausaha Industri, Kementerian Perdagangan Industri Antarabangsa, Datuk Nik Rahmat Nik Taib.

Menurut beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai badan bertindak tersebut, forum tersebut perlu diadakan bagi membolehkan kerajaan mendengar pendapat rakyat terbanyak melalui 45 NGO dan enam badan gabungannya.

Laksana TPPA 02

Antara NGO tersebut, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Malaysia AIDS Council (MAC), Tamil Foundation Malaysia (TF), The KL & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCH), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan lain-lain.

Sebelum ini menurut Presiden MTUC, Khalid Atan, kerajaan sebelum ini bukan sahaja menyembunyikan butiran rundingan dari pengetahuan rakyat, malah turut menolak bagi mengadakan rundingan bersama MTUC dan NGO lain.

“Mereka kata ada menjemput MTUC hadir forum sebelum ini sebenarnya tipu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bertindak sendiri, tak pernah adakan forum seperti yang mereka katakan,” ujar Khalid.

Sementara itu, Naib Presiden, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Said Ibrahim Said Noh, TPPA mampu menyebabkan negara yang menandatanganinya kehilangan hak menjalankan polisi yang menjaga kepentingan rakyat masing-masing.

Menurut beliau, antara negara yang pernah mengalaminya termasuklah Kerajaan Ecuador yang terpaksa membayar saman kepada pelabur sebanyak USD 2.4 bilion dan Kanada yang terpaksa menarik pengharaman sejenis ubat yang memberik kesan negatif kepada rakyatnya.

“Kerajaan Kanada sebelum itu mengambil langkah ‘banned’ ubat tersebut kerana merbahaya untuk rakyat Kanada, tetapi terpaksa menarik semula selepas disaman pelabur Amerika melalui kerana mereka menandatangani perjanjian itu,” kata beliau.

Selain itu, Badan Bertindak Bantah TPPA Malaysia turut menggariskan TPPA bakal menghadkan akses kepada ilmu pengetahuan, mengamalkan polisi pro-industri yang tidak mesra alam sekitar, menafikan hak pekerja dan menjejaskan industri kecil dan sederhana.

Sebelum itu, dalam perhimpunan aman membantah TPPA hari ini, hampir 100 perserta demontrasi memulakan perarakkan dari Masjid Wilayah Persekutuan menuju ke Wisma Hasil Kuala Lumpur.

Perarakan yang berakhir kira-kira jam 3.40 petang itu berakhir tanpa kekecohan.

Laksana TPPA 03

Categories
NASIONAL SELANGOR

56 ADUN Selangor Secara Rasmi Angkat Sumpah Hari Ini – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 21062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Seramai 56 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 12 wakil daripada BN hari ini secara rasminya mengangkat sumpah sebelum bermulanya persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) sesi ke-13, Jumaat depan.

2. Polis masih mengekalkan klasifikasi perhimpunan ‘Black 505’ yang dijangka diadakan di ibu negara Sabtu ini sebagai haram kerana tidak mendapat kelulusan pemilik kawasan berkenaan.

3. Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin mengajak orang ramai berkampung di Padang Merbok selepas himpunan Black 505 Sabtu ini, sehingga hari angkat sumpah Parlimen Malaysia 24 Jun nanti.

4. Kebakaran hutan kecil tanah gambut di kawasan Kampung Johan Setia, Klang yang berlaku sejak dua minggu yang lalu berjaya dikawal oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Zon Klang.

5. Kos membaikpulih Pangsapuri Indah Ria di Seksyen 22 yang retak dan membahayakan nyawa 1,000 penghuninya bakal mencecah RM 20 juta kata Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Categories
NASIONAL

Chegu Bard Didakwa Bawah Akta Perhimpunan Aman Esok

blackout suara rakyat 505 01

PETALING JAYA 4 JUN : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya jam 9 pagi esok untuk didakwa di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Badrul Hisham menerima waran saman untuk hadir ke mahkamah daripada polis yang datang ke Bilik Media, Ibu Pejabat PKR di sini.

Beliau menerima waran itu pada kira-kira jam 1.40 petang dalam pertemuannya selama 10 minit dengan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Dipercayai Badrul Hisham akan didakwa berhubung penglibatannya dalam penganjuran Himpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 Mei.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM 10,000.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata beliau dituduh kerana gagal memaklumkan himpunan tersebut kepada pihak polis 10 hari lebih awal seperti disyaratkan dalam akta itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah dan peguamnya untuk menguruskan kes itu.

“Semalam sekumpulan polis datang ke rumah saya dan rumah mak saya, tetapi mereka tidak dapat menemui saya.

“Jadi bila saya tahu, saya sendiri menelefon polis untuk mengadakan pertemuan pada hari ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau menambah tindakan untuk beliau dihadapkan ke mahkamah itu merupakan satu penyalahan undang-undang.

Ia kerana undang-undang terbabit tidak dilaksanakan kepada program yang dianjurkan Umno-BN.

“Mengapa undang-undang ini tidak diaplikasikan kepada program-program pro BN?

“Saya boleh senaraikan beribu program Umno-BN tetapi tidak ada sebarang tindakan seperti ini diambil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan undang-undang di Malaysia sedang menuju mengikut kelas masyarakat.

“Ini dilihat orang biasa seperti saya yang tidak menyokong BN diambil tindakan dan pengikut BN boleh hidup bebas,” katanya.

Categories
NASIONAL

Himpunan Suara Rakyat 505 Akan Diteruskan Sekiranya Pemimpin Ditangkap

SAMM pc chegu bard badrul hisham 02

SHAH ALAM 23 MEI : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menegaskan Himpunan Suara Rakyat 505 akan tetap diteruskan sekiranya penggerak utamanya sendiri, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan polis.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan ketika dihubungi berkata perhimpunan rakyat tanpa mengira pangkat ini akan tetap berlangsung di padang timur di hadapan Amcorp Mall pada malam Sabtu ini.

“Perhimpunan yang dianjur oleh gabungan suara rakyat 505 akan tetap diteruskan walaupun ramai kepimpinan rakyat ditangkap.

?Himpunan ini adalah himpunan rakyat. Semua yang hadir tanpa pangkat tetapi sebagai rakyat menuntut demokrasi yang dirampas oleh rejim legasi penjajah untuk kekal berkuasa.”

Hari ini polis telah menahan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, aktivis Haris Ibrahim dan aktivis PAS, Tamrin Ghafar dalam operasi yang berlainan dipercayai berhubung perhimpunan Suara Rakyat 505 yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Eddy Noor berkata SAMM mengutuk keras perbuatan pihak berkuasa apabila sanggup menangkap mereka yang bersuara dan mengandaikan Malaysia seperti negara yang tidak merdeka.

“Saya berani mengatakan negara kita ini seolah-olah berada dalam keadaan belum merdeka. Ketika mereka yang bersuara bercakap benar disumbatkan kepada lokap seterusnya didakwa di atas akta yang sepatutnya telah dimansuhkan.

?Ini bukti kegagalan Transformasi (Perdana Menteri) Najib (Razak). Ketika kerajaan yang ada ketika ini masih belum sah, juga tanpa sokongan majoriti.”

Menurut Edy Noor, penangkapan-penangkapan tersebut telah mengejutkan ramai pihak sekaligus menaikkan semangat aktivis, unit amal serta anggota pemuda untuk memastikan perhimpunan ini mengapai matlamatnya.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pesta 505 Bagi Mendedahkan Penipuan PRU ke-13

s

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Satu Pesta Suara Rakyat 505, ‘Himpunan Bantah Penipuan PRU13’ akan diadakan 25 Mei ini bagi mendedahkan bukti penipuan yang di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Jurucakap Suara Rakyat 505, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard, menegaskan pesta tersebut bagi mencari demokrasi yang digelapkan pada 5 Mei lalu.

Ia akan diadakan secara aman di Padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) depan Amcorp Mall di sini.

“Kami Suara Rakyat 505 tidak ada kena mengena dengan Malaysia Spring. Asas kita adalah demokrasi. Kita turun ke jalan untuk mencari demokrasi.

“Malaysia Spring adalah taktik perang saraf (psy-war) orang yang takut kepada suara kebangkitan rakyat,” katanya dalam sidang media di Dewan Himpunan Cina (KLCAH).

Badrul Hisham berkata himpunan tersebut tiada kaitan dengan ura-uara bahawa akan berlaku gerakan ‘Malaysian Spring’ bagi menggulingkan kerajaan persekutuan Umno-BN.

Jelas Badrul Hisham, Suara Rakyat 505 bakal disertai hampir 48 badan bukan kerajaan (NGO).

Himpunan tersebut mempunyai tiga teras utama iaitu mendesak supaya pengerusi dan ahli jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan atas kegagalan menguruskan PRU-13 secara telus.

SPR baru juga perlu ditubuhkan dibawah bidang kuasa Parlimen dan pemilihan jawatankuasa melalui persetujuan rakyat secara majoriti.

Teras kedua adalah mengadakan pilihan raya semula di kawasan yang terbukti berlaku penipuan pilihanraya tanpa mengira parti mana yang menang di situ sama ada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional.

Sementara teras ketiga adalah menyokong sepenuhnya penubuhan Tribunal Rakyat seperti yang dituntut Gabungan Bersih bagi mendedahkan segala bukti dan penyiasatan terhadap PRU-13 kepada umum.

Himpunan dengan tema pakaian hitam ini juga akan digerakkan di seluruh negara bagi menyebar bukti tentang penipuan yang berlaku pada 5 Mei.

Dalam pada itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut mengecam penahanan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim ekoran ucapan beliau pada program Perpaduan Malaysia, 13 Mei yang lalu.

“Sebagai penganjur, kami mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku.

“Kenyataan Adam pada malam itu perlu diambil dalam konteks yang betul dan bukan disalah ertikan,” ujar Chegubard lagi.

Categories
NASIONAL

Umno-BN Terus ‘Peralat’ Rakyat Luar Bandar

Ghafar Baba 04

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Datuk Thamrin Tun Ghafar Baba mendedahkan rahsia kemenangan Umno-BN yang terus memperalatkan rakyat luar bandar melalui ‘pemberian kenang budi’ agar mereka terus memberikan sokongan setiap kali pilihan raya.

Menurutnya, melalui pemberian ini masyarakat luar bandar akan terus dibiarkan hidup miskin dan mereka mengambil kesempatan di atas keadaan berkenaan.

Ghafar Baba 01“Malangnya pengundi-pengundi Melayu di luar bandar mereka adalah golongan miskin. Terpaksa menerima RM500, apabila terima, mereka rasa terhutang budi.

“Semasa saya lama di dalam Umno dahulu ini adalah rahsia kemenangan Umno.

“Umno-BN boleh terus berkuasa di atas kemiskinan rakyat di luar bandar,” katanya Himpunan 13 Mei Hari Bangsa Malaysia: Selamatkan Demokrasi.

Selain itu, modus operandi meniupkan sentimen perkauman masih diteruskan Umno-BN meskipun peristiwa hitam 13 Mei 1969 sudah 44 tahun berlalu oleh kerana ‘The Devils Is Still Around’.

130513_0500“Malam ini saya ingin ulang apa yang saya sebutkan di Gelang Patah dan saya bersedia berdepan tindakan.

“Sebenarnya peristiwa 13 Mei adalah dirancang oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan nak menaikkan Tun Razak,” katanya.

Thamrin menambah, Mahathir merupakan seorang yang pendendam kerana sejak beliau menjadi Perdana Menteri, Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan penentang utama.

Justeru, beliau mencadangkan agar satu Gerakan Anti Perkauman (GAP) ditubuhkan bagi membendung budaya perkauman yang cuba dihidupkan kembali oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“GAP turut akan libatkan penyertaan peguam. Mana-mana pimpinan yang mengeluarkan kenyataan perkauman akan diheret ke mahkamah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, satu himpunan satu juta rakyat akan diadakan dalam masa terdekat bagi menuntut hak demokrasi yang tercemar semasa PRU-13 yang lalu.

Sehubungan itu, rakyat diminta bersedia untuk sebarang informasi berhubung perkara berkenaan melalui notis yang akan disebarkan dalam tempoh lima hari ini.

Ghafar Baba 03Himpunan 13 Mei Hari Bangsa Malaysia: Selamatkan Demokrasi yang diadakan di Dewan Himpunan Cina (KLCAH) menyaksikan kehadiran hampir 500 penyokong demokrasi yang menuntut perubahan ekoran dakwaan terlalu banyak kecurangan semasa pembuangan undi 5 Mei lalu.

Dalam pada itu, Anak Bangsa Malaysia yang diwakili Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut membacakan Deklarasi 13 Mei hasil tulisan tangan sebelum diserahkan kepada Nurul Izzah Anwar.

Deklarasi berkenaan mengandungi empat perkara iaitu 13 Mei merupakan hari perpaduan rakyat malaysia, menolak keputusan PRU-13 yang kotor, menubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru dan mengadakan perarakan untuk buktikan kemarahan rakyat.

Turut hadir sama, Sasterawan Rakyat, Datuk A Samad Said yang mendeklamasikan sajak bertajuk ‘Ibu Segala Tipu’.

 

Categories
NASIONAL

Bekas DO Yang Dedahkan Projek IC, Rusuhan Di Sabah Hilang

projek ic sabah

SHAH ALAM 2 APRIL : Bekas Ketua Daerah Sandakan, Hassnar Ibrahim yang mendedahkan skandal projek Kad Pengenalan (IC) dan rusuhan di Sabah pada tahun 80-an, hilang tanpa dapat dikesan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), pengarah propaganda Edy Noor Reduan memaklumkan Hassnar dan isteri tidak dapat dikesan lebih dari 24 jam selepas menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur pada hari Ahad lalu.

Katanya, SAMM melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan Hassnar dan isteri akibat pendedahannya yang menyebut mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai dalang pemberian IC kepada warga asing di Sabah.

Sehubungan itu, satu laporan polis akan dibuat oleh SAMM di Balai Polis Jalan Pantai Baharu pada jam 5.30 petang ini.

Laporan sebelum ini menyebut Hassnar sebagai mendakwa Dr Mahathir adalah dalang ?projek IC? di Sabah yang diberikan kepada seramai 130,000 pendatang tanpa izin pada tahun 1985.

Beliau mendakwa Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Megat Junid Megat Ayob sendiri mengakui Dr Mahathir meluluskan projek tersebut dengan alasan untuk ?mengimbangi penduduk perbezaan bangsa dan agama di Sabah?.

Hassnar turut mengakui menandatangani puluhan ribu borang kosong bagi membolehkan pendaftaran IC, walaupun baru tiga hari dilantik menyandang jawatan berkenaan pada 1982.

Beliau menandatangani borang kosong HNR3 iaitu dokumen untuk pengesahan kelahiran bagi membolehkan seseorang mendapat kad pengenalan tanpa mengetahui nama dan butiran yang akan diisi.

Beliau percaya, ada 800,000 warga Filipina keturunan Sulu yang dijadikan warganegara Malaysia dengan sebahagiannya diberi kerakyatan melalui Projek IC.

Hassnar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1988 selama dua bulan, kemudian sebagai tahanan rumah selama dua tahun di Sandakan bermula 6 September 1998.

Selain itu, beliau turut mendakwa rusuhan tersebunyi yang berlaku pada tahun 1986 di Kota Kinabalu Sabah merupakan perancangan Dr Mahathir selepas kekalahan BN.

Rusuhan selama 48 hari itu mengakibatkan letupan bom, pembakaran masjid dan menyebabkan lima terbunuh.

Categories
NASIONAL

Gerakan Anak Muda Sedia ‘Tawan’ Kubu BN Dengan Himpunan Besar, Kutip 1 KM Tandatangan

gelombang tolak BN 01

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Gelombang Anak Muda Tolak Umno-BN (TOLAK) akan mengadakan jelajah ke kawasan parlimen yang dikuasai Umno-BN bagi membangkitkan kesedaran anak muda akan kepentingan menolak gagasan itu dalam pilihan raya nanti.

TOLAK yang disokong 26 NGO akan mengadakan Himpunan Mahasiswa dan Anak Muda, Ceramah Perdana dan mengumpulkan tandatangan sepanjang 1 Kilometer bagi membuktikan rakyat Malaysia menolak Umno-BN sebagai pentadbir kerajaan.

Antara NGO yang memberikan sokongan termasuklah Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Menurut Pengerusi TOLAK, Azan Safar, TOLAK akan mendedahkan kelemahan, kegagalan dan ketidakadilan yang dilakukan Umno-BN dan sekaligus memberikan tekanan kepada mereka di fasa terakhir sebelum PRU-13.

“Jelajah ini akan bermula pada 5 April di Perak ini dan hanya menggunakan pengangkutan awam dan berjalan kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain sebagai simbolik dan menzahirkan protes terhadap Umno-BN.

“Kain rentang berserta tandatangan rakyat Malaysia ini akan dibentangkan dalam acara kemuncak di Kuala Lumpur pada 13 April 2013 akan datang,” kata Azan dalam sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pagi tadi.

Acara lain yang turut diadakan termasuklah acara Pesta Anak Muda seperti ‘busking’ dan pertunjukkan wayang kulit.

Dalam sidang media sama, Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk A. Samad Said turut menyatakan sokongannya terhadap program jelajah tersebut dengan membacakan sebuah sajak bertajuk ‘Pemburu Bangsa”.

Selain A.Samad turut hadir dalam sidang media tersebut, Penolong Setiausaha ANAK, Fadhil Osman.

Tarikh jelajah itu adalah :

Perak – 5 April 2013 (Jumaat)
Pulau Pinang – 6 April (Sabtu)
Sarawak – 7 April 2013 (Ahad)
Terengganu – 8 April 2013 (Isnin)
Kelantan – 9 April 2013 (Selasa)
Pahang – 10 April 2013 (Rabu)
Johor – 11 April 2013 (Khamis)
Melaka – 12 April 2013 (Jumaat)
Kuala Lumpur (kemuncak) – 13 April 2013 (Sabtu)