Projek Jambatan runtuh Science Park 2 dijangka siap Feb 2017


Projek Jambatan Runtuh Science Park 2 di Cyberjaya dijangka siap pada 1 Februari 2017.

RM1.1 juta diperuntuk untuk kemudahan pelancongan Kuala Langat

Kuala Langat antara hotspot pelancongan Selangor. Kerajaan Negeri peruntukan RM1.1 juta untuk tingkatkan kemudahan

Bas Smart Selangor : 911,969 penumpang sejak Julai 2015.

Bas Smart Selangor : 911,969 penumpang direkodkan sejak dilancarkan di lima Pihak Berkuasa Tempatan pada 1 Julai 2015.

Suasana pelancaran Bersih 4.0

Suasana sekitar majlis pelancaran Bersih 4.0 di auditorium Dewan Sivik MBPJ semalam, 14 Ogos 2015

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gula punca kantin sekolah naik harga makanan dan minuman

Gula naikSHAH ALAM 31 OKT : Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima aduan beberapa kantin sekolah sekitar Lembah Klang menaikkan harga makanan dan minuman.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata pihaknya menerima aduan itu selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik subsidi gula sebanyak 34 sen.

Katanya, selain kantin sekolah, peniaga gerai turut menaikkan harga makanan dan minuman dengan bayaran dikenakan hampir sama dengan kopitiam.

“Kita ada terima banyak aduan berkenaan peniaga gerai dan kantin sekolah yang bertindak menaikkan harga makanan dan minuman di kedai premis mereka.

“Tiga anggaran minimum sehari aduan kenaikan harga yang diterima kami. Bagaimanapun, pengadu tidak memberikan maklumat terperinci dan menyebabkan kami tidak dapat membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Yahya berkata, terdapat empat sekolah yang menaikkan harga makanan dan minuman mengikut aduan yang diterima daripada ibu bapa pelajar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinngi membuat pemantauan dan tindakan terhadap kantin sekolah di seluruh negara supaya tidak menaikan harga makanan dengan sewenangnya.

“Harga makanan dan minuman tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana pihak pengusaha kantin terikat dengan perjanjian kontrak harga makanan, jadi pihak kerajaan perlu memantau masalah ini.

“Kita juga mahu kerajaan pusat membuka ebih banyak peluang dalam industri gula supaya tidak hanya memberikan peluang kepada syarikat duopoli bagi mewujudkan peluang persaingan harga pasaran gula.

Beliau turut menyarankan pengguna supaya membuat aduan kepada Biro Kepenggunaan PKR jika terdapat peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah-Sekolah, Hamzah Omar berkata, pihaknya akan memastikan pengusaha kantin tidak menaikkan harga makanan dan minuman disebabkan kenaikan harga gula sebanyak 34 sen kerana sudah termaktub dalam perjanjian kontrak bahawa mereka tidak boleh menaikkan harga sesuka hati. -NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mansuh subsidi hukuman berat kepada rakyat

Jom Shopping Deepavali anjuran DUN Gombak Setia 1

GOMBAK 31 OKT : Tindakan kerajaan pusat memansuhkan subsidi barangan keperluan rakyat pada pembentangan Bajet 2014 adalah satu ‘hukuman berat’ kepada rakyat sedangkan pentadbiran kerajaan tidak mengamalkan cara berhemah berbelanja sehingga menyebabkan berbilion wang rakyat.

Jom Shopping Deepavali anjuran DUN Gombak Setia 3

Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan, berkata golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terus dihimpit dengan kekangan ekonomi hasil daripada tindakan pemansuhan subsidi itu.

“Kita melihat ini sebagai satu bencana kepada rakyat apabila bajet baru-baru ini menarik beberapa subsidi barang keperluan rakyat seperti gula apatah lagi bila menjelang perayaan,” kata beliau kepada TV Selangor.

Hasbullah berkata, kerajaan pusat perlu mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah dan mencari jalan mengatasi defisit negara.

“Kerajaan perlu memikirkan langkah mencari alternatif lain untuk mengurangkan defisit dan kelemahan mereka dalam mentadbir.

“Tapi janganlah rakyat yang sudah sedia mengalami kenaikan harga barang ini dihukum lagi dalam bajet,” kata Hasbullah.

Hasbullah sebelum itu menemani peserta Jom Shopping Deepavali anjuran DUN Gombak Setia selain mengambil peluang beramah mesra dengan pengunjung lain di pusat membeli-belah Giant Batu Caves.

Seramai 300 orang peserta yang layak menerima baucar membeli belah sebanyak RM100.

Jom Shopping Deepavali anjuran DUN Gombak Setia 2

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa UM gesa pentadbiran universiti umum tarikh pilihan raya kampus

Pilihanraya kampus

SHAH ALAM, 30 OKT : Mahasiswa Universiti Malaya (UM) masih menanti tarikh Pilihan Raya Kampus 2013-2014 (PRK 2013-2014) disaat hampir semua universiti awam di negara itu membentuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masing-masing.

Pengerusi Pro M UM, Abdul Muqit Muhammad berkata, setakat ini mereka hanya berkempen tanpa mengetahui bila tarikh penamaan calon dan pembuangan undi serta sistem pengundian PRK yang bakal digunakan.

Katanya, tarikh PRK bakal dilangsungkan hanya bergantung kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) Datuk Rohana Yusuf dan penangguhan ini menunjukkan rasa tidak yakin pihak pentadbiran.

Mengikut tarikh yang diberikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PRK UM sepatutnya diadakan pada 23 Oktober lalu, sama tarikh dengan hari pengundian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Keyakinan kami untuk menang cerah selepas berlaku tsunami di beberapa kampus seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kita yakin di UM juga kita mampu untuk tawan balik kampus.

“Dari sudut kampen penerimaan pelajar UM memang rata-rata menyokong kuat Pro-M,” katanya kepada TV Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang menggesa agar pihak pentadbiran Universiti Malaya mengumumkan segera tarikh pilihan raya kampus dengan segera.

“Hal Ehwal Pelajar kena umumkan segera, umumkan segera kerana para pelajar akan bercuti untuk pertengahan semester,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Pada PRK 2012-2013, Pro-M tewas kepada Pro-Aspirasi pada kerusi penentuan Majlis Tertinggi apabila calon tunggal kerusi Bebas mengambil keputusan menyokong Pro-Aspirasi sekaligus menjadikan kedudukan 22-21.

Sebelum ini, Pro-M UM mendedahkan mendedahkan wujud campur tangan Hal Ehwal Pelajar UM dan Umno dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UM.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemansuhan AES: Jangan kelirukan rakyat

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 23 OKT : Cadangan memansuhkan saman tertunggak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hanya menambahkan kekeliruan rakyat yang sudah sedia terbeban.

Idea Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu didakwa tidak adil kepada rakyat apabila bercadang membatalkan saman yang dikeluarkan sebelum 18 September lalu dan hanya mengurangkan kompaun daripada RM300 kepada RM150 selepas tarikh berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Zulhazmi Sharif, berkata kerajaan harus menunggu sehingga kajian menyeluruh berkenaan pelaksanaan AES oleh Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES selesai, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan.

“Cadangan terbabit adalah pra matang dan tidak adil. Hal ini kerana kajian menyeluruh berkenaan pelaksaan AES masih belum selesai dan tidak lengkap. Pengumuman itu hanya mahu menyedapkan hati rakyat yang sudah sedia terbeban dan keliru dengan pelaksanaan AES, sejak 22 September 2012,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hishamuddin berhubung terdapat beberapa pilihan lain akan diusulkan Kementerian Pengangkutan kepada kabinet bagi memberi keadilan dan kepentingan awam berkenaan isu saman AES bertarikh sebelum 18 September lalu.

Pada sidang Dewan Rakyat semalam, kementerian berkenaan menyatakan sebanyak 882,298 saman AES dikeluarkan dengan 91,457 daripada jumlah itu sudah dibayar membabitkan kutipan RM27.4 juta, sehingga 8 Oktober lalu.

Sehubungan itu, Zulhalmi berkata, semua saman yang dikeluarkan sejak 22 September lalu perlu dibatalkan dan keseluruhan pelaksanaannya dihentikan sehingga kajian oleh jawatankuasa berkenaan selesai, jika AES hendak dibatalkan.

“Apabila semua saman dibatalkan, maka jumlah bayaran kompaun dan denda yang sudah dibayar wajib dipulangkan kepada penerima saman. Sehingga kini, BN masih gagal memberikan maklum balas terhadap cabaran saya untuk membuktikan wujudnya sebaris ayat di dalam saman AES atau Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan saman dan kompaun wajib dibayar.

“Jika ada, saya akan bayar semua saman, tetapi kerajaan perlu membatalkan semua saman dan pulangkan wang yang sudah dikutip apabila terbukti apa yang didakwa ini benar,” katanya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Najib dan Taib perlu isytihar harta bukti Ketelusan dalam kepimpinan

Najib dan Taib

SHAH ALAM 18 OKT: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menegaskan tidak adil jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud tidak mengisytiharkan harta mereka dengan alasan sudah terlalu lama dalam politik.

Johari berkata, pengisytiharan itu perlu dilakukan memandangkan rakyat sudah mengetahui pendapatan ahli politik seperti Menteri Besar dan Ahli Parlimen terutama membabitkan Pakatan Rakyat.

Katanya, tidak menjadi masalah jika pemimpin politik mempunyai harta yang banyak dengan syarat mereka mampu menjelaskan kaedah perolehan harta terbabit.

“Pasti tidak adil jika mereka tidak mengisytiharkan harta yang dimiliki. Apa yang perlu ditakutkan jika dia ada RM50 juta dan boleh menjelaskan kepada umum dari mana dia dapat sumber itu.

“Keengganan pemimpin mengisytiharkan harta menyebabkan timbul prasangka bahawa mereka sedang menyembunyikan sesuatu. Saya rasa ketakutan untuk mengisyitiharkan harta mesti ada landasannya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Pensyarah Universiti Malaysia (UM), Muhammad Asri Mohd Ali, berkata adalah tidak adil bagi dua pemimpin berkenaan mengisytiharkan harta mereka kerana sudah lama berada di dalam politik.

Johari yang juga bekas mahasiswa UM turut melahirkan kekecewaan berhubung kenyataan berkenaan kerana pengisyitiharan harta adalah tindakan terbaik untuk mengenalpasti individu yang terbabit atau ingin menceburi arena politik tidak dikaitkan dengan rasuah.

“Seperti yang diketahui umum, pemimpin baru atau lama wajar mengisytiharkan harta mereka kerana kaedah ini mampu mengenalpasti individu berkenaan tidak terbabit dengan rasuah dan saya kira ini adalah tindakan paling baik. Kalau betul terbabit dengan perniagaan, pemimpin itu isytiharkan sahaja harta mereka tanpa perlu disorokkan.

“Sekiranya pemimpin mula mengisyitiharkan harta, dia mungkin boleh bergelar jutawan jika mempunyai harta yang banyak dan itu tidak menjadi isu di negara ini. Sebagai contoh, tidak akan timbul sebarang kesalahan jika Syed Mokhtar Al-Bukhary, Vincent Tan atau mana-mana pihak ingin menyertai politik dan mengisytiharkan harta mereka dengan jumlah yang banyak,” katanya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Ahli akademik: Kemenangan pemimpin terpalit skandal petanda Umno hidapi sindrom beku, jumud

Dr-Maszlee

SHAH ALAM, 13 OKT: Kemenangan pemimpin terpalit skandal dana awam dan politik wang dalam Pemilihan Umno 2013 menunjukkan ahli parti itu tidak menganggap perbuatan salahguna kuasa dan rasuah sebagai satu dosa, sebaliknya menganggapnya sebagai hak pemimpin mereka.

Menurut pengananalis politik, Dr Maszlee Malik, kemenangan pemimpin dari golongan itu sekaligus membuktikan Umno bukan sahaja masih takut hendak berubah, malah turut dilanda sindrom beku dan jumud.

“Masalahnya mereka tak anggap rasuah itu sebagai rasuah tetapi anggap sebagai hak pemimpin Umno dan mana-mana Menteri dan ini menyebabkan pemimpin terus bertindak sewenang-wenangnya.

“Mereka sudah selesa dalam keadaan ini, jadi mengapa mereka perlu berubah?” Soal pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu ketika dihubungi TV Selangor.

Dr Maszlee menambah, Umno turut berhadapan isu ketandusan pemimpin yang mampu menongkah arus yang mempunyai visi jelas dan berani bagi membawa Umno keluar dari acuan politik lapuk serta masalah rasuah.

“Pemilihan Umno ini tidak mempunyai sebarang signifikan, malah masih berada di takuk lama, tak nak berubah kerana takut berubah, ketandusan pemimpin yang mempunya visi yang jelas dan berani menongkah arus seperti pemimpin Umno dahulu sebab itu kita Umno dianggap masih menghidapi sindrom beku dan jumud,” kata beliau lagi.

Selain itu, Umno juga dikatakan gagal meletakkan wanita sebagai salah satu komponen penting bagi memperjuangkan isu kebajikkan rakyat dan wanita khususnya.

Ini berbeza dengan pendekatan parti lain yang berjaya meletakkan wanita sebagai salah seorang pemimpin tertinggi mereka sepertimana Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar sebagai Presiden dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Dalam Umno, wanita hanya disempitkan dalam Wanita Umno dan Puteri Umno sahaja, lain dalam parti politik lain yang wanitanya boleh sampai ke Naib Presiden.

“Wanita berkaliber pun kebanyakkannya memilih tidak bersama Umno atau kalau bersama Umno sekadar mengikut arus yang ada,” ujar Dr Maszlee lagi.

 

Categories
NASIONAL

Pusat disaran teladani Selangor iktiraf Ketua Pembangkang, Henti politikkan Parlimen

tian

SHAH ALAM, 13 OKT: Barisan Nasional (BN) yang berkuasa di peringkat persekutuan disaran menghormati Perlembagaan Persekutuan dengan berhenti mempolitikan Institusi Parlimen demi kepentingan politik mereka.

Antara tindakan yang dimaksudkan, termasuklah menafikan peruntukkan kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) dan enggan memberi keistimewaan yang sewajarnya kepada Ketua Pembangkang.

Sebaliknya menurut Naib Presiden PKR, Tian Chua, BN wajar mencontohi Kerajaan Selangor yang mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang negeri itu dengan memberi elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.

“Kerajaan Persekutuan haruslah mengambil pendekatan sama seperti mana Kerajaan Selangor bagi memastikan Ketua Pembangkang dan Wakil Rakyat PR menjalankan fungsi semak dan imbang dengan lebih berkesan lagi.

“Kami juga mewakili suara rakyat, berkhidmat untuk rakyat, dengan peruntukan dan faedah lain yang sewajarnya tentu banyak membantu kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat negara ini,” kata Ahli Parlimen Batu itu kepada TV Selangor.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menganggap langkah Kerajaan Negeri itu sebagai mendahului Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lain terutama di bawah pentadbiran BN.

“Di negeri lain masih ada yang tidak mempunyai jawatan Ketua Pembangkang secara rasmi, seperti Pahang contohnya dan bagi saya ini sesuatu yang malang untuk kemajuan demokrasi di negara kita, sedangkan mereka ini dipilih rakyat.

“Di pusat, ketua pembangkang tidak menikmati keistimewaan sewajarnya, hak kami untuk mendapat peruntukkan juga disekat.

“Ini tidak berlaku di negara maju atau negara yang sihat sistem demokrasinya, mereka memberikan pengiktirafan yang besar kepada pembangkang khususnya Ketua Pembangkang kerana kesedaran mereka menghormati pilihan rakyat,” ujar Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 9 Oktober lalu menimbangkan dan meluluskan keistimewaan tambahan untuk Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor yang dilaksanakan di bawah Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Negeri Ke-13 yang dijangka bersidang pada 19 November akan datang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

BN naikkan harga petrol selepas PRK DUN Sungai Limau?

ron95

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sekalipun tiada pengumuman kenaikan harga minyak yang heboh diperkata dalam media sosial, Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin ia tetap berlaku dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Yahya Mat Sahri, kenaikan harga bahan api itu sukar dielak berikutan faktor kelemahan pengurusan kewangan pemimpin dan amalan rasuah dalam kerajaan Umno BN itu.

“Ini disebabkan penyusutan nilai mata wang kita yang terpaksa ditampung, pendapatan dan perbelanjaan tak seimbang, perbelanjaan terlalu tinggi dan hutang negara juga terlalu tinggi dan rasuah tidak dibendung.

“Kerajaan terdesak mencari sumber kewangan dan akhirnya mereka letakkan beban kepada rakyat.

Kalau begini senanglah kerja kerajaan, tak cari penyelesaian lain. Asal ada masalah ekonomi, semua hadapkan kepada rakyat untuk dipikul,” katanya kepada TV Selangor.

Yahya tidak menolak kemungkinan kerajaan mengambil kira faktor pilihan raya kecil DUN Sungai Limau tidak lama lagi sebelum membuat keputusan menaikkan harga petrol.

Beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang memberi alasan kenaikan itu disebabkan kenaikan harga antarabangsa.

“Kata terpaksa naikkan sejajar harga pasaran antarabangsa tetapi sebenarnya pasaran minyak antarabangsa ketika ini turun. Kita sahaja yang menaikkan harga,” katanya.

Selain itu, katanya alasan kenaikan bagi membenteras penyeludupan petrol di sempadan juga tidak masuk akal berikutan masalah itu sudah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Ini bukan perkara baru, sudah berpuluh tahun dulu lagi. Kenapa sampai sekarang tidak dapat diatasi. Setiap kali timbul isu kenaikan harga minyak, mulalah timbulkan isu penyeludupan untuk jadikan alasan,” katanya.