Categories
NASIONAL

Enggan kecam kezaliman di Mesir, Najib tunduk kepada kuasa besar

Mesir-2013

SHAH ALAM 17 OGOS: Tindakan kerajaan Umno BN yang membisu terhadap tragedi pembunuhan rakyat Mesir membuktikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, sebagai dayus dan penakut.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie, berkata Malaysia sepatutnya berani membuat kenyataan tegas dan keras mengutuk tindakan kudeta tentera Mesir yang mengorbankan lebih 3, 000 orang awam.

“Tindakan berdiam diri ini seolah-olah mengiya suara-suara yang menyatakan kerajaan Malaysia tunduk kepada kuasa besar dan merestui perbuatan kejam tentera Mesir.

“Di sebalik laungan Malaysia sebagai negara Islam, kesenyapan pemimpin negara dalam tragedi itu mencerminkan pemimpin negara ini, penakut dan pengecut.

“Sedangkan kenyataan mengutuk dan mengecam pun tidak berani dibuat, apatah lagi menghantar bantuan kepada saudara seagama di sana,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Sehingga kini, kerajaan Malaysia belum membuat kenyataan rasmi berhubung pendirian terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir.

Tentera Mesir merampas kuasa dan menahan Presiden Mohamad Morsi serta menyerang lokasi perhimpunan penyokong pro-demokrasi di Dataran Rabaah Adawiyah pada 14 Ogos lalu.

Sebelum ini, PAS, DAP dan PKR masing-masing membuat kenyataan lantang mengutuk dan mengecam tindakan ketenteraan Mesir terhadap orang awam
di negara Timur Tengah itu.

Kecewa dengan sikap kerajaan Persekutuan yang acuh tidak acuh, Shuhaimi menggesa kerajaan Negeri mengambil inisiatif bagi membantu rakyat Mesir.

– FZL

Categories
NASIONAL

Guna alasan teknikal, mahkamah ketepi video kecurangan PRU 13

istana kehakiman

SHAH ALAM, 16 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal berikutan Mahkamah Pilihan Raya mengetepi bukti kecurangan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) sekalipun dalam bentuk rakaman video.

Naib Presiden PKR, N Surendran kesal kerana petisyen bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh itu disertai bukti kukuh berbentuk rakaman video yang memaparkan perbuatan merasuah RM100 kepada kira-kira 24,000 pengundi.

“Memang kita kecewa dan tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah. Kita harap mahkamah tidak gunakan alasan teknikal untuk tolak petisyen. Kita tidak puas hati dan ia tidak selari dengan undang-undang.

“Petisyen tidak wajar ditolak atas sebab teknikal sehinggakan peguam pemohon membuat penyerahan, ia terus tidak diterima mahkamah, terlalu teknikal,” katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mahkamah semalam yang menolak petisyen yang difail PKR bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh dengan alasan teknikal yang dianggap remeh.

Ini berikutan dua petisyen yang difail calon kerusi itu, Madhi Hasan dan seorang pengundi parlimen itu, Azmi Sulaiman, ditolak dengan alasan tidak disertakan nama peguam.

Mahkamah Pilihan Raya Ipoh itu dikatakan hanya membenarkan pempetisyen atau peguamnya memfailkan petisyen berkenaan dan bukan firma guaman.

Pada PRU 13, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh majoriti 2,108 undi, mengalahkan Madhi bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh.

Surendran berkata, keputusan itu boleh menimbulkan tanggapan negatif kewibawaan institusi kehakiman yang sepatutnya bebas dalam mengendalikan petisyen pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, PKR akan meneruskan proses perundangan bagi petisyen Bagan Datoh dengan memfail rayuan.

“Kita akan meneruskan perjuangan membuktikan bahawa kemenangan PRU 13 dicuri oleh BN. Kita tidak akan berhenti berjuang membuktikan fakta itu kepada rakyat,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL

Hiburan, ‘cuci otak’ PLKN taktik BN elak pengundi muda sokong Pakatan

PLKN - HaramSHAH ALAM 16 OGOS: Faktor hiburan keterlaluan dan proses ‘cuci otak’ yang dibuat melalui peranan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara punca sebahagian pengundi muda Melayu, keberatan menyokong Pakatan Rakyat.

Pengerusi Jingga 13, Fariz Musa, berkata rata-rata pengundi muda antara produk PLKN yang digunakan Umno BN untuk menabur propaganda dan fitnah terhadap Pakatan.

Menyifatkan ia sebagai antara punca peningkatan peratusan pengundi muda menyokong parti pemerintah, beliau berkata, dakyah sama juga disebar melalui pelbagai program kerajaan.

“Ia digunakan sebagai alat untuk melaksanakan propaganda dan persepsi negatif terhadap Pakatan,” katanya kepada TV Selangor dan tidak menolak kemungkinan, pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) juga sebagai faktor lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan kajian Merdeka Center yang menyatakan pengundi muda Melayu yang pertama kali mengundi, menyokong Umno BN.

Mengikut kajian itu, golongan muda menjadi kumpulan pengundi lebih besar dalam proses mengundi akan datang berbanding hampir dua pertiga, atau 64.7 peratus pengundi muda yang berdaftar tahun ini.

Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail pula menyalah media tempatan yang banyak menyogok golongan muda dengan hiburan keterlaluan bagi mengelakkan mereka menyokong Pakatang.

Bagaimanapun, beliau percaya, kelemahan pada PRU-13 lalu khususnya berkaitan sokongan anak muda Melayu diatasi pada pilihan raya akan datang apabila mekanisme tertentu dibuat.

“Kita akan beri corak baru untuk mencari formula menawan golongan pengundi muda,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

– FZL

Categories
NASIONAL

Nik Nazmi: Sekat Media Sosial Langkah Undur Ke Belakang

nik nazmi pc

SHAH ALAM 11 JUN: Sekatan media sosial yang dicadangkan sesetengah pihak untuk mencegah penyebaran fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara merupakan langkah ke belakang jika ia dilaksanakan kelak.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, media sosial merupakan realiti masa kini dan Kerajaan Pusat seharusnya memikirkan langkah lebih proaktif berbanding mengambil pendekatan menyekat media sosial seperti Facebook dan Twitter daripada terus digunakan.

Katanya, tindakan sedemikian hanyalah mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat kerana media sosial digunakan hampir setiap rakyat pelbagai peringkat umur di negara ini.

“Bagi saya ini merupakan langkah ke belakang, kerana pada saya, media sosial adalah satu realiti yang berlaku pada hari ini.

“Saya tidak menyatakan bahawa pengguna bebas berbuat apa sahaja, tetapi jika ada apa tindakan yang tidak sesuai, maka ambil tindakan di atas perlakuan tersebut, bukannya menyekat media sosial secara menyeluruh,” katanya kepada TVSelangor.

Sebelum ini, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) meminta kerajaan menyekat laman sosial Facebook seperti yang dilakukan di Iran dan China bagi membendung sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh menggugat keamanan negara.

Tindakan ini disebabkan ada segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan media sosial ini dengan komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

 

 

 

Categories
NASIONAL

Tempat Himpunan #Blackout 505, Polis, DBKL Berdolak- Dalik

Rafizi SACC PKR

SHAH ALAM, 7 JUN: Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli mendakwa polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba melengah-lengahkan Perhimpunan Aman #Blackout505 apabila mula berdolak-dalik berhubung kebenaran penggunaan Padang Merbok.

Sebaliknya menurut Rafizi, polis dan DBKL tidak mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan selaras dengan Akta Perhimpunan Aman dan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita berpendapat kita memenuhi keperluan memberi notis 10 hari kepada polis dan mengemukakan permohonan penggunaan padang kepada DBKL.

“Sebelum ini polis juga mengambil pendirian serupa, kena dapatkan kebenaran pemilik tempat dahulu, tetapi pada masa sama bila kita cuba dapatkan kebenaran daripada pemilik tempat.

“Pemilik tempat pula memberi alasan perlu mendapatkan kebenaran polis dahulu dan ini jadi permainan oleh badan-badan kerajaan ini yang menjaga harta awam untuk melengah-lengahkan dan menyukarkan perhimpunan,” kata Rafizi ketika dihubungi TV Selangor.

Bagaimanapun menurut Rafizi yang bertindak sebagai salah seorang sekretariat Pakatan Rakyat(PR), perhimpunan tersebut akan diteruskan pada 15 Jun ini seperti yang dirancang sebelumnya.

Terdahulu dalam isu sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad ketika mengesahkan penerimaan notis tersebut memberitahu TV Selangor, penganjur Perhimpunan Aman #Blackout505 gagal mematuhi syarat di bawah Seksyen 10C Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat kebenaran DBKL bagi menggunakan Padang Merbok.

Justeru, perhimpunan tersebut dianggap sebagai perhimpunan haram sekiranya diteruskan.

blackout suara rakyat 505 01

Categories
NASIONAL

Sokongan Melayu Terhadap PAS Meningkat

Sokongan Melayu Terhadap PAS Meningkat 01

SHAH ALAM, 11 MEI : Peningkatan sokongan kaum Melayu terhadap PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu dengan purata lebih 45 peratus membuktikan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu masih mendapat tempat di kalangan pengundi.

Purata sokongan yang diperolehi PAS daripada pengundi Melayu di Semenanjung itu berjaya menepis dakwaan Umno-BN berhubung ‘tsunami Cina’ yang mengaitkan isu perkauman.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan propaganda Umno-BN yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman nyata telah gagal dan tidak mempengaruhi rakyat.

Sokongan Melayu Terhadap PAS Meningkat Dr Mariah

Mengambil contoh di Selangor, katanya rakyat yang berada di bawah kepimpinan PR sejak lima tahun lalu tidak mengalami kerugian malah diberikan hak dan manfaat yang sama rata.

“Saya rasa di negeri Selangor, segala propaganda Umno-BN untuk menjadikan politik perkauman telah gagal.

“Apa yang kita mahu ialah kerajaan yang bersih seperti di Selangor di mana kita semua telah menikmati hasil daripada pemerintahan yang bersih.

“Sokongan masyarakat Melayu kini sudah semakin meningkat kerana propaganda Umno-BN telah memakan diri dan diketahui rakyat sebagai satu pembohongan,” katanya kepada TV Selangor.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata, kemenangan besar yang dicatatkan PR adalah atas dasar sokongan padu semua kaum terhadap gagasan itu yang mahukan perubahan.

Katanya, kebanyakan kerusi DUN yang dimenangi PAS dan PR membuktikan rakyat kini semakin bijak membuat pilihan dan menolak politik perkauman.

Sementara itu, Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berpendapat peningkatan undi PR bukanlah disebabkan tsunami Cina, tetapi ia datang daripada sokongan masyarakat bandar dan kampung tradisi.

“Memang Cina kita lihat sebahagian besarnya menyokong PR tetapi dalam masa sama kemenangan yang dikecapi adalah hasil sokongan golongan muda dan Melayu. Contohnya di DUN Sabak yang mendapat majoriti undi daripada kaum Melayu. Itu sahaja sudah jelas menangkis anggapan BN tentang tsunami Cina,” tegasnya.

Menteri Ada Kuasa Batal Perjanjian Konsesi Air

charles santiago

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan Pusat mempunyai kuasa mutlak untuk membatalkan perjanjian konsesi yang ditandantangani bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) seperti yang diminta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah dua kali menulis surat kepada Kerajaan Pusat bagi mendesak pembatalan perjanjian konsesi berkenaan namun ditolak.

Menurutnya, Seksyen 28 (1) didalam surat perjanjian konsesi menyatakan enam perkara yang boleh membawa kepada keperluan untuk membatalkan perjanjian konsesi.

Antara perkara tersebut adalah kerja-kerja yang diputuskan di dalam perjanjian tidak diikuti dan standard atau kualiti kerja, perkhidmatan tidak mematuhi peraturan perjanjian juga boleh dijadikan sebab untuk membatalkan perjanjian konsesi.

“Kalau kita baca perjanjian konsesi diantara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Syabas, Seksyen 28 (1) menyenaraikan enam sebab yang boleh digunakan oleh menteri menamatkan perjanjian,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Katanya, pembatalan ini boleh diputuskan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui memandangkan Kerajaan Selangor sudah bersedia untuk mengambilalih pengurusan air negeri.

Jelasnya, Peter Chin hanya ingin mengelirukan rakyat memandangkan Selangor kini ‘berdepan krisis air’ sejak dua minggu lalu.

Peter Chin dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan, bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah menghalang Kerajaan Negeri untuk mengambil alih syarikat konsesi air itu kerana Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang ekuiti dalam syarikat Syabas kecuali ‘golden share’ untuk membuat pemantauan.

Categories
NASIONAL

ABU: Peristiwa 13 Mei Tidak Akan Berulang

SHAH ALAM 5 DIS: Usaha Umno-BN menggunakan hasutan jahat seperti tragedi berdarah 13 Mei akan berulang kembali jika gagal memerintah Putrajaya menggambarkan betapa terdesaknya parti itu meraih kembali sokongan rakyat.

Pengasas gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim berkata, tragedi 13 Mei tidak akan berlaku seperti apa yang digambarkan Umno-BN kerana rakyat di negara ini semakin matang dan tidak hanya bergantung kepada satu saluran maklumat sahaja.

Katanya, Umno-BN tidak berubah dengan tradisinya mengeluarkan ucapan berbaur perkauman bagi menakutkan rakyat supaya memilih parti itu ketika Pilihan Raya Umum-13(PRU13) akan datang.

“Pada tahun 2009, isu kepala lembu..mereka (Umno-BN) nak lagakan Melayu dengan Hindu, Islam dengan bukan Islam,”dakwanya dalam temubual khas dengan TV Selangor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil bahawa tragedi 13 Mei akan terjadi sekiranya Umno gagal ke Putrajaya ketika Persidangan Agung Umno baru-baru ini.

Katanya, rakyat kini tidak hanya bergantung kepada saluran media yang dikawal sepenuhnya rejim Umno-BN tetapi menggunakan media alternatif seperti internet, blog dan laman sosial facebook dan twitter.

“Media Umno seperti TV3 dan Utusan hari-hari mainkan isu ini dengan tujuan menakutkan masyarakat di pedalaman kerana rakyat di bandar sudah tidak termakan dengan hasutan ini.

“Kita tengok hari itu, isu nama Allah digunakan penganut Kristian, lepas keputusan mahkamah..insiden kebakaran gereja..ada orang menuntut demo di masjid tapi tidak berjaya sebab apa…orang Melayu dah sedar bahawa ini agenda Umno ungkit perkara-perkara ini untuk memastikan hayatnya bertahan,” katanya yang juga seorang aktivis sosial.

Pengajaran Daripada Peristiwa Hijrah – Salam Selangor


Sinopsis : Rakaman ini telah disiarkan secara langsung dalam program Salam Selangor setiap Isnin hingga Jumaat jam 12.10 tengahari dalam slot Salam Agama. Bersama Y.Bhg Ustaz Shamsuda Mat Yusuf Guru Bacaan Al-Quran dan Pendakwah Bebas dalam mengupas pengajaran yang dapat kita ambil daripada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w.

Layari http://www.selangorkini.net

MB : Teliti Kelulusan Projek Kondo Batu Caves Sebelum Ambil Keputusan – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 16112012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 16 NOVEMBER 2012 :

1. Kerajaan Negeri Teliti Kelulusan Projek Kondo Batu Caves Sebelum Ambil Keputusan.
2. Pusat Bertindak Pindahkan Zainal Sebab Keluar Kenyataan Rugikan Umno-BN?
3. Selangor Sedia Bantu Penerima Saman AES Di Selangor.
4. MB Saksi PKNS Meterai CIP.

Merakyatkan Ekonomi Untuk Wanita


Sinopsis:
Setelah empat tahun pakatan rakyat menjadi kerajaan negeri, banyak program khusus untuk kaum wanita telah memperkenalkan.

Antara program yang disediakan untuk kaum hawa di Selangor adalah Skim Kesihatan Wanita, Skim Bantuan Pemberdayaan Ekonomi Ibu tunggal (PET SOHO-S), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA), Laman Dapur dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, kerajaan negeri Selangor akan sentiasa memastikan yang terbaik untuk mereka yang bergelar wanita kerana Kerajaan Negeri Selangor menjaga kebajikan anda kaum wanita hingga ke akhir hayat.

Layari http://www.selangorkini.net

MB Arah Pejabat Daerah Kenalpasti Mangsa Banjir – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 08112012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 8 NOVEMBER 2012 :

1. Pejabat Daerah Kenalpasti Mangsa Banjir
2. Kualiti Air Sungai-sungai Selangor Memuaskan
3. Kerajaan Negeri Tidak Pernah Tolak Permohonan Buka Kilang
4. Pelajar Berpeluang Rebut Hadiah RM20,000 Cipta Video Pendek Alam Sekitar

Layari http://www.selangorkini.net