Categories
NASIONAL

NFC: PKR Akan Heret Ramai Pemimpin BN Ke Mahkamah

PETALING JAYA 7 MAC: Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato? Seri Shahrizat Jalil pada hari Jumaat ini, 9 Mac 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Menurut Zuraidah, beliau dan Rafizi telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan sekiranya tuntutan saman ini diteruskan juga oleh Dato? Seri Shahrizat Jalil, selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

“Antara lain, saya dan Saudara Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat di dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil sebagai saksi memberikan keterangan.

“Saya juga yakin bahawa apabila Dato? Seri Shahrizat Jalil dipanggil menjadi saksi dan disoalsiasat, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki oleh keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam.

” Itu menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau di dalam tuntutan saman.” kata beliau melalui kenyataan media yang di keluarkan petang ini.

Menurut Zuraidah, pihaknya yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, supaya kesemua pimpinan kanan Barisan Nasional dapat diheret untuk memberikan keterangan.

Categories
SELANGOR

PKPS Meningkat RM114j Berbanding RM8.3j Pada 2008


SHAH ALAM,6 MAC : Simpanan tetap Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah meningkat kepada RM114 juta pada tahun 2011 daripada RM8.3 juta pada 2008, hasil kecekapan pengurusan pentadbiran Pakatan bukan dari hasil penjualan tanah seperti didakwa sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan , Dr Yaakob Sapari mendedahkan PKPS mengalami kerugian jangkaan pendapatan  RM20 juta setahun ekoran penjualan ladang seluas 12,000 ekar di Miri, Sarawak oleh pentadbiran kerajaan BN terdahulu.

“Ladang tersebut telah dijual dengan harga yang murah iaitu RM8,082.00 seekar pada tahun 2007.Keputusan itu adalah keputusan yang silap, dan saya mengesyaki ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan dengan perkara ini. Kerajaan Negeri telah sedaya upaya untuk mempertahankan ladang ini dari terus dijual.

“Kami telah merujuk kes ini di mahkamah, tetapi keputusan mahkamah telah memihak kepada pembeli kerana dokumen jual-beli telah ditandatangan PKPS oleh Kerajaan Negeri terdahulu,” jelas Yaakob pada sidang media di sini.

Menurut Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sepatutnya menyalahkan BN kerana telah menjual ladang tersebut dengan harga yang murah.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Umno-BN Selangor mempersoalkan kenyataan itu dengan mendakwa peningkatan simpanan tetap PKPS ekoran penjualan tanahnya seluas 12,000 hektar di Sarawak kepada sebuah syarikat.

Noh mendakwa transaksi jual beli itu dimulakan zaman pemerintahan Umno-BN dan selesai pada tahun 2010 dengan nilai RM97 juta.

“Saya pernah membuat tinjauan pasaran, bahawa harga tanah yang dijual itu sekurang-kurangnya berharga RM145 juta tetapi ia dijual pada harga RM97 juta, kalau kita simpan tanah itu untuk sepuluh tahun lagi,hasil tanah itu akan terus meningkat, walaupun jika pada harga RM145 juta kerajaan negeri tidak akan menjualnya kerana kerajaan negeri tahu bagaimana untuk mengurus aset tanah tersebut,” ujar Yaakob.

Sementara itu, Yaakob menjelaskan PKPS mencatatkan peningkatan jualan sawit dari tahun ke tahun dengan memperolehi pendapatan sebanyak RM30.72 juta pada tahun 2011 walaupun pengeluaran buah sawit berkurang pada tahun 2011 kerana PKNS telah mengambil semula tanah mereka yang dipajak PKPS  di Tanjung Malim Selangor.

PKPS juga mencatatkan peningkatan keuntungan daripada hasil ladang kelapa sawit yang dicatatkan pada 2008 sebanyak RM10.30 juta kepada RM19.70 juta pada 2011.

” Tahun 2010 adalah tahun pertama PKPS mula mencatat keuntungan operasi. Keuntungan PKPS pada tahun terdahulu adalah dari keuntungan jualan tanah,” kata Yaakob.

Menurut beliau, PKPS memperolehi keuntungan operasi pada 2010 adalah sebanyak RM1.89 juta meningkat kepada RM8.10 juta pada 2011.

PKPA juga berjaya melaksanakan penjimatan perbelanjaannya sebanyak RM8.50 juta pada 2010 dan RM8.26 juta pada 2011.

PKPS  telah melaksanakan penjimatan dalam perbelanjaan mengurusnya antaranya kakitangan berlebihan di ibu pejabat di tempatkan di projek-projek, kakitangan PKPS diberi tugas ‘multi tasking,penyelenggaraan Wisma PKPS diurus sendiri,pembelian bahan dan bekalan pejabat dikurangkan dan kenderaan berlebihan dihapuskan.

Yaakob juga berkata beliau bersedia untuk memberikan ‘kelas khas’ kepada pimpinan BN untuk menjelaskan bagaimana keuntungan dan perolehan pendapatan PKPS terkini seraya membidas sikap Noh berhubung pengendalian dalam skandal Ladang Fidlot Negara.

“Kalau berani buat SELCAT untuk Shahrizat dalam skandal lembu , saya cabar, kalau berani Parlimen untuk menyiasat kes lembu itu dan dibuat secara langsung dan di Selangor telah dibuktikan dengan apa-apa kes disiasat secara terbuka melalui SELCAT.

“Saya rasa Menteri Pertanian ini tidak tahu mengenai pertanian, kalau Noh hendak, kita boleh adakan kelas, dan bersedia untuk menyediakan ceramah kepada beliau mengenai bidang pertanian,kerana tidak ada bukti apa yang Noh hasilkan, pertanian perlu diurus dengan sebaik mungkin,dan diurus oleh professional, ” jelas Yaakob.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR: Tawaran Debat Anwar-Najib Masih Terbuka

PETALING JAYA, 6 MAC: PKR sekali lagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan debat terbuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagimana dinyatakan didalam blog perdana menteri itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya kepada pihak media berkata tawaran untuk berdebat tersebut sentiasa terbuka.

“PKR mengambil maklum kesanggupan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dalam kerangka wacana demokrasi sebagaimana dinyatakan di dalam blognya.

“Justeru, kita berharap kesanggupan Najib ini benar-benar jujur kerana tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pada Januari 2011 untuk berdebat tentang kedudukan ekonomi, fakta-fakta yang terkandung di dalam Buku Jingga dan penyelewengan negara masih lagi terbuka.” jelas Saifuddin yang juga MP Machang.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang jawapan daripada Perdana Menteri tentang tawaran tersebut.

Katanya, Najib perlu menerima tawaran debat ini sesuai dengan semangat demokrasi yang diluahkannya, melainkanlah Najib tidak merasakan isu ekonomi, tawaran dasar Buku Jingga, tatakelola kerajaan yang baik, kenaikan kenaikan kos hidup dan penyelewengan negara merupakan isu-isu penting untuk dibahaskan.

Menurut Saifuddin, Najib turut meluahkan kebimbangannya tentang keupayaan lawannya di dalam perdebatan untuk bercakap

berdasarkan fakta dan mengawal emosi.

“Sebenarnya kebimbangan ini tidak patut wujud sekiranya beliau yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan yang tepat.

“Keputusan di tangan Najib sama ada beliau jujur mahu membolehkan rakyat Malaysia mendengar secara langsung dasar-dasar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat didebatkan dalam kerangka demokrasi dan membuat keputusan yang sewajarnya.” kata Saifuddin.

Categories
NASIONAL

PAS: Negara Kebajikan Ala-Umno Mufliskan Negara

SHAH ALAM, 5 MAR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa negara berkebajikan akan membawa rakyat tidak produktif dan menjadikan negara hilang daya saing dikecam Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, negara berkebajikan dalam manifesto yang dilancarkan Pas tidak akan menyebabkan negara ini bankrap sebaliknya kerakusan pemimpin Barisan Nasional (BN) mengkayakan diri sendiri dan kroni-kroni mampu menyebabkan negara bankrap.

“Kalau konsep Negara Berkebajikan dilaksanakan, negara ini akan semakin makmur dan rakyatnya semakin sejahtera.

“Tetapi yang boleh menyebabkan negara bankrap ialah pemimpin BN sekarang yang tamak, lebih utamakan kepentingan sendiri dan kroni-kroni.

“Menolak rasuah, pembaziran,kroni, ketirisan seperti yang dibuat oleh Umno-Bn juga merupakan sebahagian dari konsep negara berkebajikan,” demikian menurut Pesuruhajaya Pas Negeri Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim ketika dihubungi TVS hari ini, negara berkebajikan yang digariskan dalam gagasan yang dilancarkan oleh Pas sebelum ini akan membolehkan keadilan termasuk sumber kekayaan negara ini dapat diagihkan kepada semua.

“Tapi negara kebajikan Umno pula, rasuah berleluasa, kroni dan salah guna kuasa juga jadi amalan. Kalau inilah konsep negara kebajikan Umno memanglah negara akan muflis, produktiviti merosot dan rakyat akan menderita.

“Tetapi konsep negara berkebajikan yang kita bawakan dapat mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat.

“Melaksanakan konsep negara berkebajikan juga bermakna segala salahlaku seperti rasuah, ketirisan, pembaziran dan sebagainya akan dibendung ke tahap maksima supaya kekayaan negara tidak mengalir ke tempat yang salah,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggariskan tiga faktor yang menyebabkan dana negara dapat diuruskan secara efektif.

“Dalam manifesto negara berkebajikan Pas, ada tiga perkara asas yang membolehkan ianya dilaksanakan secara efektif.

“Pertama, hubungan dengan tuhan kerana mampu mendekatkan pemimpin dengan tuhan sekaligus mengelakkan salahlaku.

“Kedua, Jaga kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan dengan cara ‘memberi pancing bukannya beri ikan’ sebab kalau kita beri ikan, lepas makan ikan tu, habislah.

“Tetapi kalau beri pancing, mereka boleh terus-menerus dapat ikan dengan menggunakan pancing itu.

“ketiga pula, sumber kekayaan negara tidak boleh berlegar di sekitar golongan tertentu sahaja seperti yang berlaku di kalangan pemimpin Umno-BN,” katanya lagi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut membidas media-media kawalan kerajaan yang sengaja membesarkan isu remeh dengan tujuan untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu lebih besar yang melemakan mereka.

“Media-media Umno-BN ini memang dah tandus isu sebab itulah mereka gemar bangkitkan isu-isu remeh untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar yang lebih besar mereka hadapi,” ujar Tuan Ibrahim kepada TVS.

 

 

Categories
SELANGOR

SELCAT: Kesal Dengan Tuduhan Tanpa Bukti

SHAH ALAM, 5 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) melahirkan kekesalan terhadap tindakan sesetengah pihak yang telah membuat kenyataan dan tuduhan terhadap penyelewengan dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), namun tidak tampil mengemukakan sebarang bukti.

Pengerusinya, Datuk Teng Chang Kim berkata, SELCAT sebagai jawatankuasa dewan hanya berkuasa untuk membuat siasatan berdasarkan bukti yang dikemukakan, tetapi tidak mempunyai kuasa untuk membuat rampasan, sitaan dan menangkap orang perseorangan bagi mendapatkan keterangan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak-pihak tertentu yang suka membuat tuduhan sama ada tehadap jabatan kerajaan mahupun anak-anak syarikat negeri Selangor untuk membentangkan bukti.

“Saya rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang telah membuat kenyataan dan tuduhan terhadap KSSB dan SELCAT, yang kononnya banyak bukti tetapi langsung tidak membantu pihak Selcat dalam pendengaran awam.

Kita memang mengalu-alukan bukti tersebut. Tanpa bukti tersebut, kita tidak dapat bergerak, sebaliknya hanya bergantung kepada bukti yang dibentangkan. Adalah lebih baik sekiranya kita mendapat laporan berhubung perkara berkenaan,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan pendengaran Awam Selcat pagi tadi.

Teng berkata, isu penyelewengan yang dibangkitkan terhadap KSSB ini tidak mempunyai laporan audit, sebaliknya hanya berdasarkan kepada laporan negatif oleh pihak tertentu.

Sementara bagi pendengaran awam ke atas Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan turut didengar pada hari berikutnya, ia bergantung kepada laporan audit yang disediakan.

Justeru jelasnya, tugas SELCAT akan menjadi lebih mudah kerana mendapat bantuan dan rujukan daripada laporan audit kedua-dua syarikat berkaitan (GLC) kerajaan Selangor tersebut.

Beliau dalam pada itu turut berharap supaya semua pihak dapat memahami dengan lebih mendalam lagi peranan sesebuah jawatankuasa dewan seperti Selcat yang hanya bertindak berdasarkan laporan atau bukti yang diterima.

“Ada menteri yang menuduh SELCAT ibarat mati hidup semula. Tapi sekurang-kurangnya Selcat hidup semula. Tapi menteri ini perlu tahu kalau di parlimen yang sudah bersidang lebih 50 tahun, jawatankuasanya seperti hidup segan mati tak mahu. Itu lagi teruk.

Tetapi dalam SELCAT kita dapat menjalankan beberapa pendengaran awam ke atas tuduhan-tuduhan terhadap jabatan kerajaan dan berdasarkan laporan audit kita berjaya mendedahkan penyelewengan dan kelemahan pentadbiran dalam kerajaan sama ada kelemahan itu berpunca daripada kerajaan dahulu atau sekarang tanpa perlu menyorokkan apa-apa,” tegasnya.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa terdapatnya kegiatan rasuah dengan pemberian permit perlombongan pasir dan mencabar kerajaan negeri untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Namun Noh tidak mengemukakan sebarang prosiding bagi membolehkan beliau memberi keterangan dalam sesi SELCAT.

 

 

Categories
SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Pandan Utama 2 Risau Dengan Syarat Baru Syabas

AMPANG  5 MAC: Penduduk Pangsapuri Pandan Utama 2 di sini risau akan bekalan air bangunan itu apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengenakan surat akuan dan aku janji kepada mereka.

Surat itu dilihat sebagai usaha menjadikan 600 penduduk ‘mangsa’ kepada pertelingkahan antara pemaju pangsapuri dan pihak Syabas.

Ia dikeluarkan pada 23 Februari lalu selepas perbincangan untuk menyambung semula bekalan air kepada bangunan itu.

Sebelum ini, penduduk bangunan itu terpaksa turun mengambil air dari tangki sementara yang disambung secara haram kepada paip Syabas kerana pemaju tidak menyiapkan tangki air yang tetap.

Apabila Syabas memotong bekalan air haram mereka, penduduk mendapatkan khidmat ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad.

Di dalam perbincangan antara Iskandar, Syabas dan Pemaju, Syabas bersetuju menyediakan meter pukal bagi menyambung bekalan air sementara dan pemaju di arah membina tangki air tetap.

Timbalan Pengerusi Penduduk, Jeffery Abdul Rahman, berkata penduduk beranggapan masalah pemotongan air itu sudah selesai tetapi secara tiba-tiba Syabas mengenakan surat akuan dan aku janji.

“Kami penduduk merasakan digunakan sebagai senjata bagi Syabas semata-mata mahu melengkapkan prosedur antara Syabas dan pemaju.

Mereka seolah-olah mahu melepaskan tangan dalam hal ini sekiranya pemaju tidak dapat menyelesaikan masalah ini,? kata Jeffery ketika ditemui Selangorkini.

Antara isi kandungan surat itu ialah Syabas berhak memotong meter pukal sementara jika pemaju gagal menyiapkan sistem bekalan air tetap. Syabas juga berhak memotong bekalan air jika pemaju tidak membayar bil air sementara.

Jeffery berkata penduduk sudah membuat keputusan tidak mahu menandatangani surat itu kerana bimbang bekalan air mereka akan terjejas jika pemaju gagal mematuhi syarat persetujuan.

“Kami juga sudah membawa masalah ini kepada Adun Chempaka, Iskandar Samad dan beliau menghantar wakil dan diatas nasihat wakilnya, kami tidak menandatangani surat itu kerana tidak perlu lagi perjanjian dengan pihak Syabas.

“Kami persatuan penduduk juga mahukan meter individu tanpa sebarang syarat dari mana-mana pihak kerana kami risau sekiranya pemaju tidak mematuhi janjinya, penduduk akan menanggung akibat apabila pemotongan air berulang kembali.

“Bagaimanapun kami menghargai sumbangan dan jasa Yb Iskandar yang bekerja keras untuk menyelesaikan masalah itu dan untuk Syabas, kami penduduk tidak boleh menerima cara dan strategi Syabas yang menuntut pembinaan tangki air itu tetapi menjadikan kami sebagai mangsa pertelingkahan mereka dan pemaju,” katanya.

Pangsapuri itu dibina semasa pentadbiran Umno-BN pada tahun 2005 dan disiapkan pada 2009. Penduduk mula menerima kunci pada tahun 2010.

Akan tetapi, pemaju berjaya mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF) untuk bangunan itu walaupun ia tidak menyiapkan tangki bekalan air untuk pangsapuri tersebut.

MB: Kerajaan Selangor Sebelum 2008 Dipenuhi Salahlaku

SHAH ALAM, 5 MAC: Polisi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor terdahulu yang diterajui oleh Barisan Nasional dipenuhi oleh tindakan salahlaku pemimpin-pemimpin parti politik terbabit.

“Polisi dan dasar Kerajaan Pusat yang turut diamalkan di Negeri Selangor sebelum 2008 dipenuhi dengan unsur-unsur rasuah, layanan berat sebelah dan perbuatan menyuap pihak-pihak yang berkepentingan,”kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dikeluarkan sekretariat akhbarnya semalam.

Khalid memberitahu, Kerajaan Negeri Selangor hari ini mempunyai pandangan yang berbeza dari kerajaan terdahulu bagi memastikan pembangunan yang tulen dan rancak.

“Kerajaan Negeri Selangor mempunyai pandangan yang berbeza mengenai unsur-unsur yang diperlukan untuk pembangunan tulen dan lebih rancak.

“Pertama sekali kita perlu memastikan bahawa ketelusan dan kebertanggungjawab menjadi teras kepada mana-mana perniagaan, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Perdana Menteri perlu mengubah budaya semua GLC dan menegaskan betapanya pentingnya mempratikkan amalan korporat yang baik. Kegagalan beliau mengambil tindakan ini hanya akan memburukkan lagi ketirisan ekonomi yang sudah berlaku selama beberapa dekad,” menurutnya lagi.

Khalid juga menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak untuk membangunkan negeri ini.

Selain itu beliau dalam kenyataannya itu berkata permintaan Perdana Menteri itu tidak membawa sebarang makna sekiranya beliau gagal membendung amalan tidak sihat yang menghalang pembangunan sebenar.

“Kerajaan Negeri Selangor sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk membangunkan lagi negeri ini.

“Bagaimanapun, permintaan Perdana Menteri itu tidak membawa sebarang makna jika beliau terus mengalakkan dan membenarkan berlakunya amalan-amalan korporat yang menghalang pembangunan sebenar, membantutkan persaingan dan menyuburkan amalan tidak sihat,” katanya lagi.

Dasar penswastaan yang dilaksanakan kerajaan pusat hari ini juga dilihat tidak memberi keuntungan kepada rakyat negara ini.

“Semakin jelas kepada rakyat Malaysia bahawa dasar penswastaan yang dilakukan Kerajaan Pusat hanya memberi keuntungan kepada syarikat swasta sedangkan rakyat menanggung kerugian.

“Kerajaan Pusat menggunakan wang pembayar cukai untuk menutup kegagalan penswastaan tanpa menghasilkan sebarang pembangunan seperti yang diharapkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Katanya kerajaan Negeri Selangor komited untuk melaksanakan pembaharuan terhadap dasar penswastaan untuk menghentikan agihan keuntungan tidak seimbang kepada kroni dengan melakukan penyusunan semula supaya rakyat menikmati faedah hasil penswastaan ini.

“Jika Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri benar-benar ikhlas dengan usaha ini, kita menantikan sokongan mereka terhadap pembaharuan ini,” katanya lagi.

 

Categories
NASIONAL

Khalid Samad: Hukum MP Sabak Bernam Tak Bererti Kehakiman Bebas

SHAH ALAM, 29 FEB : “Walaupun Datuk Abdul Rahman Bakri adalah Ahli Parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi dia masih lagi ikan kecil berbanding dengan yang lebih besar iaitu jerung-jerung yang masih lagi tetap bebas,” begitu komen Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Khalid berkata demikian apabila mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini yang mendapati Ahli Parlimen Sabak Bernam itu bersalah atas lapan tuduhan membuat tuntuan palsu berjumlah RM80,000.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, keputusan diumumkan itu berkemungkinan bermotifkan politik.

Katanya keputusan tersebut tidak melambangkan institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negara ini bebas kerana banyak lagi kes lain yang “dilepaskan” serta tidak disiasat.

Menurut Khalid, Umno-BN selaku kerajaan mungkin bertindak begitu bagi menggambarkan imejnya yang bersih dengan menjadikan Abdul Rahman sebagai “korban”.

“Ianya kemungkinan mempunyai motif politik di mana Datuk Abdul Rahman ini dijadikan sebagai korbanlah demi memperlihatkan imej Umno-BN itu.

“Ini di antara tindakan yang mungkin dilakukan untuk menunjukkan bahawa instituti kehakiman di negara ini bebas tetapi hakikatnya tidak.

“Masih banyak lagi kes-kes yang jelas tidak disiasat sampai ke akar umbi. Maka dengan ini, institusi kehakiman dan SPRM masih lagi tidak boleh dikatakan bebas dengan sepenuhnya,” katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan Abdul Rahman, 47, bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwa.

Abdul Rahman dituduh membuat lapan tuntutan palsu dengan nilai RM10,000 setiap satu yang berjumlah RM80,000 daripada peruntukan kawasannya berhubung majlis yang tidak pernah dijalankan.

Dia dituduh membuat tuntutan itu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ayer Tawar.

Categories
NASIONAL

Politik Gengster: Umno Harus Dipertangungjawabkan

SHAH ALAM 29 FEB : Umno disifatkan sebagai semakin terdesak apabila terpaksa membawa budaya politik tidak matang dengan menggunakan keganasan dan gangsterism bagi menggangu program Pakatan Rakyat bersama masyarakat.

Senario yang mengecewakan ini digambarkan oleh Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Redwan berhubung siri serangan ganas dibeberapa lokasi program Pakatan Rakyat bersama masyarakat yang turut mengancam keselamatan pemimpin tertinggi gagasan itu.

“Umno yang semakin lemah sedar mereka telah gagal untuk menggunakan otak bagi berhujah, lebih memalukan apabila (Perdana Menteri) Najib yang tidak berani berdebat, maka Umno menggunakan keganasan dan gangsterism mengganggu program pendidikan politik rakyat.

“Ditegaskan Umno lah yang bertanggungjawab atas keganasan yang berlaku. Ia merupakan keganasan terancang dan sememangnya menjadi strategi Umno mutaakhir ini,”jelas Edy Noor dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

Pada 20 Februari lalu, Ketua Umum PKR, Datuk  Seri Anwar Ibrahim menerima serangan fizikal ketika siri ceramahnya di Sembrong.

Dalam kejadian itu, kenderaan milik Anwar mengalami kerosakan akibat diserang

Terbaru, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menerima nasib yang sama apabila dirinya diserang oleh seorang lelaki ketika sedang menyampaikan ceramah di Gambang, Pahang.

Kisah yang sama turut dihadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang turut diserang ala-samseng yang melibatkan pimpinan Umno dan Perkasa sehingga mencederakan wartawan di Padang Kota Lama.

Begitu juga dengan serangan bersifat perkauman dibeberapa tempat sejak kebelakangan ini seperti di Jalan Kebun, Klang dan Rantau, Negeri Sembilan.

Penglibatan pemimpin Umno dalam siri serangan ini dikuatkan lagi dengan pendedahan gambar.

Antaranya, Senator Md Nor Ezam dilihat bersama dengan ketua penyerang di Jalan kebun yang konon sedang diburu polis.

Begitu juga gambar Datuk Helmi Yahya bersama dengan antara kumpulan penyerang yang menyerang Lim Guan Eng baru minggu lepas juga disertai pimpinan utama Umno Pulau Pinang.

Mengulas lanjut siri serangan ganas yang disifatkan sebagai suatu yang dirancang, SAMM menzahirkan rasa kesal dengan sikap polis yang dilihat seperti diperkuda oleh pemerintah.

“Yakinlah polis punya rakaman, bukti yang cukup bagi mendakwa gangster ini tetapi mereka tidak mampu kerana umno melindungi gangster ini.

“Walaubagaimanapun rakyat perlu tenang kerana perkembangan ini merupakan perkembangan biasa bagi regim hujung usia seperti mana di mesir ketika di hujung usia pemerintahan, regim Husni Mubarak menggunakan pendekatan keganasan dan kekasaran untuk menghalang kebangkitan rakyat Mesir,”

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia seharusnya bangkit menolak regim Umno seterusnya mengekang politik ganas, samseng dan ugut-mengugut yang menjadi amalan Umno selama ini.

Categories
NASIONAL

Guan Eng Buat Laporan Polis Keganasan Umno, Perkasa

PULAU PINANG,29 FEB: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertindak membuat laporan polis ekoran keganasan,ugutan dan tindakan ala-samseng oleh Umno dan Perkasa ketika himpunan anti-Lynas di Pulau Pinang pada 26 Februari lalu.

Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Georgetown semalam. Berikut ialah petikan penuh laporan polis tersebut.

Hampir dua tahun lalu, Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah menubuhkan Sudut Pidato di Padang Kota Lama bukan sahaja untuk membenarkan kebebasan bersuara tetapi juga kebebasan selepas bersuara.

Sudut Pidato mendukung semangat “Pendapat anda mungkin berbeza dengan saya, tetapi saya akan mempertahankan hak anda untuk menyuarakannya.” Sudut Pidato adalah untuk kegunaan umum untuk menyuarakan pendapat tanpa ancaman atau ketakutan. Untuk sebab ini, Kerajaan Negeri jarang menganjurkan acara di Sudut Pidato.

Pada 26 Februari 2012, saya telah sampai pada pukul 6.30pm di Padang Kota Lama untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0, acara yang dianjurkan NGO Pulau Pinang Suaram untuk membantah pembinaan loji nadir bumi di Kuantan. Sebelum ketibaan saya, Ahli Exco kanan Pulau Pinang YB Chow Kon Yeow yang sudah sampai pada pukul 6pm telah memberitahu saya bahawa perhimpunan aman tersebut telah diganggu oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa.

YB Chow berkata bahawa seramai 1,000 orang hadir untuk membantah Lynas berbanding dengan 100 orang ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang menyokong Lynas. Beliau memberitahu saya bahawa ahli-ahli UMNO dan Perkasa sedang bertindak ganas.

Ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah menggunakan taktik keras seperti menolak dan mengasak untuk memaksa golongan anti-Lynas untuk beredar meninggalkan padang. Mujur, golongan anti-Lynas tidak bertindak balas terhadap keganasan ahli-ahli UMNO dan Perkasa. Mereka hanya duduk atas padang dan enggan beredar seperti yang diarahkan oleh UMNO dan Perkasa.

Saya telah berputus untuk meneruskan perjalanan ke acara Himpunan Hijau 2.0 dan telah sampai pada pukul 6.30pm dalam kereta rasmi PG1. Setibanya saya di situ, saya telah menjadi sasaran tingkah laku ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa. Mereka telah menggunakan bahasa kasar, makian dan carutan perkauman seperti “Cina Babi, Cina Pulau Pinang Bodoh, Babi Sokong Lim Guan Eng Ketua Menteri”.

Ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah melonjak ke hadapan dengan menunjukkan penumbuk terhadap saya, menggunakan carutan perkauman dan kata-kata ancaman seperti “you jaga”. Jika tidak kerana rakyat umum yang melindungi saya, saya percaya saya akan diserang.

Tingkah laku yang ganas ini tidak menggambarkan budaya Melayu atau semangat Malaysia. Saya tidak faham kenapa mereka taksub sangat untuk menyokong Lynas yang merupakan syarikat Australia. Mereka mempunyai hak untuk menyokong Lynas tetapi ahli-ahli UMNO dan Perkasa tidak boleh menafikan hak orang lain untuk membantah Lynas.

Kemudian, saya telah menaiki pentas untuk memberi ucapan bersama YB Chow. Ucapan saya yang membantah Lynas telah diganggu berulang kali oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang berada kurang satu meter daripada saya.

Dalam ucapan saya, saya telah menekankan bahawa pembantahan terhadap loji Lynas bukan bersifat perkauman tetapi merupakan isu persekitaraan yang menjejaskan semua orang tidak kira agama atau bangsa. Pemprosesan nadir bumi mempunyai kesan radioaktif.

Keseriusan kesan-kesan ini terserlah apabila Lynas sendiri tidak boleh mendapat kelulusan daripada Kerajaan Australia untuk membina loji itu di Australia. Jika loji Lynas meletup, semua orang akan menderita – orang Cina akan menderita, orang Melayu akan menderita, orang India akan menderita, orang Kadazan akan menderita, orang Iban akan menderita. Kita tidak boleh mementingkan keuntungan daripada kesihatan.

Selepas ucapan saya, saya telah turun dari pentas untuk berjumpa golongan anti-Lynas. Terdapat banyak asakan dan tolak menolak yang berlaku, dengan bahasa kasar dan carutan perkauman serta ancaman ganas terhadap saya dan aksi menunjukkan penumbuk oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa. Saya tidak menyaksikan serangan ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa ke atas dua orang wartawan Kwong Wah Jit Poh, Chew Seng Tun dan Lee Hong Chun.

Namun demikian, saya terhutang budi kepada Chew yang diserang ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa kerana beliau telah menghalang mereka daripada menyerang saya. Lee terpaksa menerima 8 jahitan atas jarinya serta lebam di kepalanya. Saya percaya lebih ramai telah dipukul oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa.

Ini bukan kali pertama wartawan dicederakan oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang ganas. Dalam sebuah demonstrasi haram pada bulan Julai tahun lepas, dua orang wartawan telah dicederakan dalam demonstrasi yang dihadiri Senator UMNO Ezam Mohd Nor. Sampai sekarang, tiada tindakan telah diambil oleh pihak polis terhadap mereka yang telah menyerang dua orang wartawan itu.

Ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah meneruskan tindakan ganas terhadap saya dan telah mendekati hampir 1 meter daripada saya semasa saya memasuki kereta. Selepas saya memasuki kereta rasmi, mereka terus memukul kereta saya, meludah ke atasnya dan tidak membenarkan kereta saya untuk berlepas.

Sungguhpun begitu, orang ramai daripada golongan anti-Lynas tidak bertindak balas terhadap tindakan ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa.

Melihat tindakan ganas mereka, saya masih berasa terancam oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa walaupun sudah 2 hari selepas kejadian tersebut. Saya terkejut bahawa BN,

khususnya UMNO Pulau Pinang dan Gerakan (Dato’ Musa Sheikh Fadzir dan Dato’ Seri Teng Hock Nan) masih lagi menyokong tindakan ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa terhadap wartawan-wartawan Kwong Wah Jit Poh dan golongan anti-Lynas. Daripada meminta maaf atas tindakan ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa, BN pula ingin menyalahkan saya.

Adalah jelas bahawa kecederaan wartawan-wartawan tersebut tidak mencukupi untuk UMNO dan Gerakan untuk membezakan siapa penjahat dan siapa mangsa. Saya percaya bahawa komen-komen yang tidak bertanggungjawab oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Gerakan adalah bertujuan untuk mewajarkan tindakan ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang tidak boleh dimaafkan.

Apabila UMNO dan Gerakan tidak mahu mengutuk tindakan ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa terhadap wartawan-wartawan yang meliputi acara tersebut, keselamatan peribadi saya tidak dijamin. Seperti dua orang wartawan tersebut, jika saya diserang secara ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa, memang sayalah yang akan disalahkan sementara penyerang daripada UMNO dan Perkasa akan menjadi mangsa.

Demi keselamatan peribadi, saya dengan ini membuat laporan polis terhadap ancaman-ancaman ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa. Sekiranya apa-apa berlaku kepada saya, UMNO dan Perkasa harus bertanggungjawab penuh.

Adalah terpulang kepada pihak polis untuk menunjukkan bahawa mereka boleh menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih dengan bertindak bukan sahaja ke atas ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang telah menyerang dua orang wartawan tersebut, tetapi juga ke atas mereka yang telah mengancam saya.

Categories
NASIONAL

Tee Keat, Perkasa Sokong Debat Anwar-Najib

SHAH ALAM, 29 FEB: Cadangan debat antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disokong sebulat suara oleh para panelis Wacana Sinar termasuk Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA), Ruslan Kassim ketika diajukan pertanyaan dalam isu terbabit.

Isu debat antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (Pakatan) dan Umno-BN itu timbul apabila ianya dicadangkan moderator wacana yang bertajuk ?Mengapa Undi Melayu Pecah?? Dr Maszlee Malik di sini.

“Saya rasa ianya dipersetujui oleh semua panelis bahawa menjelang pilihan raya tak kira Melayu, Tionghua, India dan lain-lain mahu buat keputusan yang baik.

“Kita perlu calon PM dari BN dan Pakatan untuk berdebat membincangkan hala tuju negara ke mana hendak dibawa negara ini, adakah panel kita setuju?,” soal Maszlee yang disambut dengan persetujuan para panelis.

Ruslan, tanpa mengulas panjang dalam isu debat Anwar-Najib, sekali lagi memberikan persetujuan menyokong debat itu diadakan apabila sekali lagi wartawan bertanyakan soalan sama kepada beliau.

Persetujuan para panelis wacana bagi memberikan sokongan terhadap cadangan debat Anwar-Najib itu diadakan juga mendapat tepukan gemuruh oleh wartawan dan orang ramai dalam sidang media itu.

Selain Ruslan, Wacana Sinar Siri ke-11 itu turut menampilkan MP Pandan dari Umno-BN, Datuk Seri Ong Tee Keat, MP Kuala Selangor dari Pas, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai ahli panel.

Mengulas isu sama, Tee Keat menganggap ianya satu cadangan yang relevan untuk membantu pengundi membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya yang akan datang.

“Ia memang satu cadangan yang tepat dan memang relevan. Memang kita harap-harapkan majlis sedemikian rupa dianjurkan, tetapi pada masa yang sama janganlah kita jadikan satu wadah berceramah,” kata beliau.

Sebelum ini, cabaran debat yang diajukan oleh Anwar kepada Najib tidak mendapat reaksi positif dari Najib.

Categories
NASIONAL

Perpecahan Undi Melayu Beri Manfaat Untuk Rakyat, Negara

SHAH ALAM, 29 FEB: Perpecahan undi Melayu yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu dianggap sebagai satu perkembangan yang sihat dalam politik negara.

Senario itu juga berlaku disebabkan masyarakat Melayu mulai sedar bahawa Umno tidak boleh diharapkan untuk membantu masyarakat kaum itu memajukan diri untuk bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Demikian menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam Wacana Sinar Siri Ke 11 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam hari ini.

Menurut beliau yang juga merupakan ahli jawatan kuasa PAS Pusat, pemikiran orang-orang Melayu sebelum alaf baru telah ditanam dengan mitos bahawa Umno merupakan satu-satunya parti yang berjuang untuk orang-orang Melayu.

“Hakikatnya undi Melayu telah berpecah semenjak pilihan raya pertama dahulu tetapi ianya tak ketara seperti sekarang kerana pada masa itu minda orang-orang Melayu telah ditanam dengan mitos bahawa hanya Umno yang perjuangkan nasib Melayu.

“Tetapi zaman sekarang adalah zaman pencerahan, Melayu sudah mula celik politik, semakin bijak, tahu bahawa Umno bukanlah parti yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Maka undi Melayu yang dahulu majoriti sokong Umno dengan cuma sedikit ke parti pembangkang, sekarang dah mula beralih sokongan mereka dalam PRU-12 lalu.

“Sekarang orang Melayu dah nampak dan jelas bahawa perpecahan undi itu adalah sesuatu yang positif dalam mematangkan politik orang-orang Melayu dan banyak beri manfaat kepada rakyat dan negara ini,” beritahu beliau,” katanya dalam siri wacana bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ itu.

Beliau juga menganggap perpecahan undi di kalangan orang Melayu tidak harus dijadikan isu oleh Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sebenarnya perpecahan undi orang Melayu ini tidak menimbulkan pertikaian akademik pun tetapi isu sebenarnya ialah mengapa undi Umno berlaku penguncupan.

“Lalu Umno jadikan isu ini sebagai satu senjata dengan memainkan politik ketakutan terhadap orang-orang Melayu agar terus menyokong Umno supaya Umno terus dapat berkuasa,” ujar Dr Dzulkefli lagi.

Selain Dr Dzulkefli wacana yang dihadiri kira-kira 500 orang itu turut menampilkan panelis Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat, Ketua Penerangan Pertubungan Peribumi Perkasa, Ruslan Kasim dan Pengerusi PKR negeri Johor, Datuk  Chua Jui Meng.