Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

SHAH ALAM, 14 MEI : Berlarutan sejak sekian lama tanpa pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.

Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.

Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.

“Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.

“Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.

Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.

“Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya. Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir,” katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pegawai Kerajaan Perlu Turun Sendiri Laksana Dasar Dan Program

KUALA LANGAT 11 MEI : Penjawat awam Selangor di bawah Pentadbiran Pakatan Rakyat harus mengurus dan terlibat secara langsung di dalam perlaksanaan dasar dan program kerajaan.

Seperti Menteri Besar dan barisan exco-nya yang sendiri turun membuka kaunter aduan di setiap daerah, penjawat awam sendiri harus memastikan setiap program dilaksanakan dan tidak hanya mengharap kepada kakitangan di bawah mereka.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata konsep yang ditanamkan kepada penjawat awam dan exco itu juga merupakan perbezaan diantara corak pemerintahan Umno-BN dan Pakatan.

Katanya, ahli pemimpin kerajaan negeri bukan sahaja perlu mengeluarkan perintah semata-mata tetapi juga perlu terlibat secara langsung dalam melaksanakan perintahannya.

Beliau berkata selepas Pakatan menerajui Selangor, pelbagai usaha dilakukan untuk membuat perubahan.

“Apa yang paling penting ialah bagaimana untuk membuat perubahan. Oleh itu, ianya berbeza dengan PR dan Umno-BN.

“Kerajaan sebelum ini hanya mentadbir. Bagi mengurus mereka menyerahkannya kepada rakyat. Kita tidak mahu penyelewengan berlaku.

?Bagi PR kita mahukan kedua-duanya supaya rakyat tahu mereka dijaga.

“Saya berharap semua penjawat awam dan exco menerima usaha baru ini kerana dalam masa yang sama kita akan meningkatkan simpanan tunai negeri,” katanya dalam ucapannya di Program Khas Terima Kasih Rakyat, Tanjung Sepat.

Di dalam program tersebut, Menteri Besar dan beberapa exco membuka kaunter aduan supaya penduduk Selangor boleh terus mengemukan masalah mereka kepada kerajaan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari.

Turut hadir Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Exco Pendidikan dan pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah turut kelihatan.

Categories
SELANGOR

Bantuan Pekerjaan Untuk Belia Masyarakat Ladang

Gambar Oleh Arif Ramly

BESTARI JAYA,1 MEI : Ketua Komuniti Masyarakat Ladang-ladang di negeri ini diseru agar mengemaskini data berkenaan belia masyarakat India yang tidak mempunyai pekerjaan agar pelan tindakan susulan dapat diambil bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ianya adalah bagi menempatkan belia-belia masyarakat India yang tidak mempunyai pekerjaan diberi latihan teknikal yang bersesuaian di institusi kemahiran yang ada.

“Kita mahu semua belia di kawasan ladang-ladang yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap akan diusahakan pembangunan kerjaya mereka.

” Mereka akan ditempatkan ke institusi kemahiran yang tertentu bagi meningkatkan tahap kemahiran mereka supaya mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik,” kata Abdul Khalid semasa Program Pesta Hari Pekerja bagi Pekerja-Pekerja Ladang di Daerah Kuala Selangor.

Program itu adalah anjuran Exco Pekerja Ladang Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Permatang.

Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan,Pekerja Ladang,Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin , Dr A. Xavier Jayakumar, dan Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri juga sudah melancarkan Program Mikrokredit Untuk Wanita-Wanita Ladang bagi membangunkan ekonomi keluarga  dengan mempunyai sumber pendapatan yang lebih baik.

“Tujuan program itu adalah untuk memberikan sokongan kewangan kepada keluarga wanita ladang bagi meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Menurut Abdul Khalid sejak Pakatan Rakyat mentadbir Selangor,sebanyak RM4 juta diperuntukkan kepada pembangunan Sekolah-Sekolah Tamil di mana hal itu tidak diberi perhatian oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

” Sudah lebih daripada RM16 juta telah diperuntukkan dan juga dalam kerajaan negeri sentiasa mencari jalan sekolah-sekolah Tamil yang berpotensi agar dapat diperbesarkan atau dibuat disatu kawasan yang lebih membangun dan sesuai,” katanya.

Dalam majlis itu juga seramai kira-kira 80 orang pekerja ladang warga emas daripada daerah Kuala Selangor diraikan dan beri penghargaan atas pengorbanan dan jasa mereka.

Sementara itu, Dr Xavier berkata masyarakat warga India khususnya pekerja ladang diseru agar meneruskan sokongan terhadap kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat yang membela kebajikan pekerja ladang di negeri ini.

“Untuk terus menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri Selangor dalam agenda Selangorku untuk terus meningkatkan pembangunan ekonomi dan membasmi kemiskinan serta menaiktaraf kebajikan penduduk ladang yang tidak mampu dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Categories
SELANGOR

Keluarga Miskin, Pelajar Cemerlang Terima Bantuan Kerajaan Negeri

HULU SELANGOR 27 APR: Seramai 150 warga miskin terharu dan gembira dengan sumbangan hamper makanan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor di sini malam tadi.

Salah seorang penerima, Loo Yoo Thai, 73 berkata, kerajaan negeri sekarang dilihat lebih komited bekerja membela semua golongan tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Sememangnya golongan seperti kami gembira dengan kerajaan sekarang ini yang lebih berkebajikan.

“Bukan sekadar hari ini, malah kami menikmati pelbagai program lagi yang berterusan,” kata Yoo Thai yang hadir bersama anak dan cucunya.

Sementara itu, Mahaletchumy Samugam, 49 yang turut menerima sumbangan hamper makanan berpendapat kerajaan negeri yang memerintah sekarang harus dikekalkan.

“Dalam masa empat tahun kami sendiri dapat lihat banyak perubahan positif di Selangor.

“Saya sebagai rakyat Selangor berharap kerajaan negeri akan terus memerintah di masa akan datang bagi menjamin masa depan yang lebih terjamin untuk anak-anak kami,” ujar Mahaletchumy yang merupakan salah seorang daripada 150 warga miskin yang menerima sumbangan.

Dalam majlis yang sama juga, 100 orang pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan wang saguhati.

Mahaletchumy yang mewakili anaknya, Vishaalini Vasanthan, 18 yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ternyata bangga dan terharu dengan penghargaan yang diberikan.

“Jika ada tawaran, anak saya juga bakal menikmati Hadiah Anak Masuk Universiti sebanyak RM 1,000.

“Dengan ini,saya ingin mengambil kesempatan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sedikit sebanyak segala bantuan yang dihulurkan meringankan beban golongan berpendapatan kurang seperti kami,” sambung Mahaletchumy sambil menambah anaknya kini sedang bekerja sambilan sebelum menyambung pelajaran.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar, Penyelaras DUN Batang Kali, Khalid Jaafar serta ketua-ketua masyarakat.

Categories
SELANGOR

Pelajar Cemerlang SPM Sri Andalas Terima Hadiah

KLANG 25 APR: Seramai 166 pelajar DUN Sri Andalas yang mendapat keputusan cemerlang di dalam ujian Sijil Pelajaran Malaysia diraikan di dalam satu majlis ?high tea? awal bulan ini.

Pelajar dari empat buah sekolah tersebut menerima RM100 dan sijil pengharagaan daripada ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar atas pencapaian mereka mendapat 7A.

Majlis itu yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Jawa, Batu Satu di sini.

Seramai 63 dari 166 pelajar tersebut berasal dari SMK Agama Hishamuddin manakala selebihnya dari SMK Raja Mahadi (37), SMK Shahbandaraya (36, SMK Sri Andalas (21) dan SMK Kampung Jawa (3).

Enam pelajar yang menuntut di sekolah luar kawasan Sri Andalas tetapi yang menetap di DUN itu, turut menerima hadiah yang sama.

Turut hadir MP Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Klang, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Ketua-ketua kampung dan pemimpin setempat.

Categories
SELANGOR

Mulai Mei Depan Internet Percuma di Dun Dengkil

DENGKIL 16 APRIL : Dalam usaha menarik pelbagai golongan menjadi celik IT, Dewan Kampung Ampar Tenang kini menyediakan sebuah Pusat Teknologi Maklumat kepada semua lapisan masyarakat di kampung terbabit selain membantu meringankan beban penduduk.

Pusat Teknologi Maklumat itu akan dibuka Mei depan dan beroperasi Isnin hingga Jumaat pada sebelah malam bermula 7.30 malam hingga 9.30 malam dan pada Sabtu dan ahad bermula 1 tengah hari hingga 7 petang.

Penduduk boleh menggunakan kemudahan internet secara percuma di dewan itu.

Penyelaras Dun Dengkil, Borhan Aman Shah berkata penubuhan pusat itu hasil perbincangan bersama penduduk akhir tahun lalu bagi mengatasi masalah masyarakat.

Katanya, pihaknya memberi peruntukkan sebanyak RM15,000 bagi menyediakan peralatan untuk disediakan di pusat terbabit manakala selebihnya daripada Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kerajaan Prihatin, Xavier Jayakumar.

“Kami sentiasa berbincang dengan penduduk, kami mahu jadikan dewan ini sebagai pusat untuk pelbagai golongan berkumpul dan berbincang dalam masa yang sama dapat menambahkan ilmu pengetahuan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata penduduk boleh menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi dan setakat ini, pihaknya akan menyediakan 11 buah komputer serta dijangka akan bertambah pada masa akan datang.

Tambah Borhan, sebelah pusat itu juga terdapat sebuah mini perpustakaan yang juga akan dibuka bulan depan.

Sementara itu, Ketua Komuniti Kaum India Kampung terbabit, M.Sunmugam, 44, berkata dengan adanya pusat itu, penduduk khususnya pelajar sudah tidak perlu menghabiskan duit di cyber cafe.

“Selain meringankan beban, pelajar dapat meningkatkan minda dan kemahiran pelajar serta kebolehan menguasai IT dengan baik danberkesan akan dapat membantu mereka mengakses maklumat berkaitan dengan pelajaran secara cepat.

“Pembukaan pusat itu secara percuma, ia perlu dimanfaatkan bagi melahirkan lebih ramai pelajar daerah ini yang celik IT dan berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Borhan berkata, pembukaan pusat IT dan mini perpustakaan itu secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar berpeleseran dan menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

“Kami berharap penduduk di Kampung ini terutamanya pelajar dapat memanfaatkan kemudahan yang sudah disediakan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB: Ahli Majlis PBT Wajib Turun Padang

SHAH ALAM, 10 APR : Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor diwajibkan untuk terus aktif melakukan program turun padang dan meluangkan masa bersama masyarakat setempat.

Sehubungan itu, ahli Majlis dapat dijadikan penghubung untuk menyampaikan dan menyelesaikan urusan berkaitan penduduk, menerima maklum balas atau aduan terhadap mutu perkhidmatan yang disediakan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian di dalam ucapan perasmian sempena Persidangan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Selangor bagi penggal 2012/2013.

Katanya, ahli-ahli Majlis yang dilantik ini bertujuan untuk mengurangkan kelemahan dalam pentadbiran serta membanteras penyelewengan dan rasuah.

“Ahli-ahli yang dilantik diseru untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerana ini adalah amanah yang telah diberi kepada kita semua,” ujar Abdul Khalid.

Turut hadir di majlis ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi dan barisan Exco-Exco Selangor iaitu Yaakob Sapari, Ronnie Liu Tian Khiew, Xavier Jayakumar.

Menurut Abdul Khalid, ahli Majlis PBT merupakan platform untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang melancarkan zon bersih sejak 2009.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu pula menyatakan ahli-ahli majlis yang dilantik semula mempunyai banyak pengalaman dan pengajaran yang dipelajari untuk digunakan pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri lebih menekankan latar belakang calon-calon ahli majlis sebelum pelantikan dibuat agar penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatan ahli majlis PBT dapat ditingkatkan,” jelas Ronnie ketika memberi ucapan.

Sementara itu, bagi penggal 2012/2013 sebanyak 33 peratus ahli Majlis merupakan ahli-ahli yang baru dilantik.

Menurut Ronnie, ahli Majlis akan dinilai dari segi pencapaian mereka sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus bagi menentukan pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan.

Categories
SELANGOR

Bonus Selangorku Diperuntuk RM7.5juta

KLANG 08 APRIL : Bagi meneruskan usaha memberi bantuan menerusi pelbagai program kebajikan kepada rakyat negeri Selangor dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kerajaan negeri hari ini sekali lagi melancarkan program baru iaitu Jom Shopping ‘Bonus Selangorku’.

Inisiatif tambahan itu diberikan kepada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) berupa baucer membeli-belah bernilai RM100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak TAWAS.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program terbabit.

Katanya, bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diberikan kepada ahli-ahli TAWAS yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

” Insyaallah bantuan ini akan diteruskan untuk bayi-bayi yang lahir pada tahun-tahun seterusnya,” katanya selepas Majlis Pelancaran program terbabit di Econsave Kampung Jawa, Klang.

Hadir sama, MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Exco Pendidikan, pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Pentadbir Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Tambah Khalid, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir pada tahun 2008 supaya boleh mendaftar seterusnya mendapat manfaat itu.

“Oleh kerana publisiti yang meluas mengenai program TAWAS, ramai yang terlupa untuk mendaftar anak-anak, jadi kita memberi tempoh enam bulan hingga satu tahun sahaja bermula sekarang.

“Kita juga akan pergi ke hospital dan klinik bagi membantu anak-anak yang lahir supaya tidak ketinggalan dalam program ini,” katanya.

Setakat ini, jumlah yang mendaftar sebagai ahli TAWAS lebih 65 peratus berbanding 30 peratus semasa TAWAS diperkenalkan.

“Saya berasa berpuas hati kerana berjaya mengumpulkan wang simpanan negeri Selangor yang besar untuk digunakan oleh rakyat,” katanya.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

Categories
NASIONAL

Pertambahan 316,000 Pengundi Baru Di Selangor Diragui

SHAH ALAM,27 MAC : Pertambahan jumlah pengundi baru yang amat mendadak di Selangor untuk Suku Ketiga 2011 berjumlah  316,788 berbanding daftar pemilih induk 2008 mengejutkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor seraya menyeru pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi penjelasan secara professional berkenaan perkara itu segera.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata , trend pertambahan pengundi baru di Selangor ini menyamai apa yang berlaku di Terengganu apabila pentadbiran PAS ketika itu tumbang pada pilihanraya umum 2004 lepas.

” Jawapan pertambahan pengundi ini dijawab oleh Menteri yang bertanggungjawab semasa sidang sesi Parlimen baru-baru ini, persoalan kita ialah bagaimana pertambahan pengundi baru di Selangor boleh berlaku secara drastik,” kata Dr Xavier dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Adun-Adun Pakatan Rakyat Selangor di Dewan Annex Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

” Pakatan Rakyat merasa curiga dengan cara pendaftaran pengundi ini dilakukan, saya diberitahu ada 300 buah rumah yang setiap rumah mempunyai 100 pengundi untuk setiap rumah tersebut.

Jika Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dipindahkan tempat mengundi tanpa pengetahuan beliau, boleh bayangkan bagaimana dengan orang ramai yang dipindahkan nama tanpa pengetahuan,” kata beliau.

Dr Xavier turut mendedahkan kewujudan Kad Pengenalan Hijau yang mempunyai tarikh luput yang pernah digunakan semasa pilihanraya di Sarawak.

” Kad Pengenalan ini digunakan sebagai dokumen sah yang membenarkan pemegang untuk mengundi semasa pilihanraya di Sarawak, apakah perkara ini akan juga berlaku di Semenanjung Malaysia,ini persoalan yang perlu SPR jawab,” tegas beliau.

Sementara itu Adun Meru,Dr Rani Osman menggesa semua pihak mengambil serius isu pertambahan undi secara mendadak kerana dibimbangi wujudnya kemungkinan warga  asing menentukan masa depan negara dan bukannya pengundi warganegara Malaysia.

” Kalau kita lihat negara lain,suruhanjaya pilihanraya mereka diletakkan di bawah Parlimen,itu yang Pakatan Rakyat desak,tetapi sehingga sekarang SPR masih di bawah Jabatan Perdana Menteri,” kata Dr Rani.

Dr Rani juga berkata sewajarnya SPR melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik ketika berumur 21 tahun secara menolak dakwaan wujudnya pengundi-pengundi daripada luar.

“Kita merasa sedih dengan kejadian wujudnya pengundi dari luar, kerana masa depan negara ditentukan oleh orang-orang asing,dan kita tahu bagaimana Mykad diberi kepada bukan warganegara, jadi saya harap perkara ini dipandang serius, ” katanya.

Rekod Daftar Pemilih Terkini Suku Tahun Ketiga 2011 menunjukkan pertambahan pengundi baru di Sabak Bernam ialah 5,711, Sungai Besar 6,049 , Hulu Selangor 15,481, Tanjong Karang 4,307, Kuala Selangor 10,083, Selayang 16,189, Gombak 15,467, Ampang 9,467, Pandan 13,175, Hulu Langat 23,334, Serdang 23,748, Puchong 19,772, Kelana Jaya 13,714.

Manakala di Petaling Jaya Selatan berlaku pertambahan sebanyak 4,143, Petaling Jaya Utara 5,603, Subang 27,765, Shah Alam 15,417, Kapar 21,606, Klang 11,702, Kota Raja 22,256, Kuala Langat 17,172 dan di Sepang 14,627.

Categories
SELANGOR

Selangorkini Jadi Rujukan Pengundi Atas Pagar

SHAH ALAM 22 MAC : Mengikut kecerapan daripada kajian yang dilakukan, lebih daripada 70 peratus pengundi diatas pagar berpuas hati dan suka membaca akhbar Selangor Kini terbitan anak Syarikat Kerajaan Negeri, Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB).

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Sidang Dewan undangan Negeri hari ini bagi menjawab pertanyaan daripada ADUN Bangi, Shafie Abu Bakar berhubung sejauh mana penerimaan rakyat terhadap akhbar keluaran Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata daripada satu kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center, sambutan Akhbar SelangorKini pada Julai 2011 mendapati akhbar versi Bahasa Melayu itu meningkat dari semasa ke semasa.

“Peningkatan ini jelas berlaku setelah penambahbaikan dilakukan dari isi kandungannya.

“Selain itu SelangorKini juga meningkatkan pengeluarannya daripada sebulan sekali kepada seminggu sekali,”jelas Abdul Khalid.

Sebagai rekod, sekurang-kurangnya 82 peratus pembaca dari kalangan kaum India gemar dan berpuas hati dengan akhbar SelangorKini. Diikuti pembaca kaum Melayu 64 peratus dan kaum Cina 50 peratus. 

“Paling membanggakan berdasarkan kajian tersebut mendapati Selangorkini menjadi sebagai bahan rujukan kepada pengundi atas pagar terutamanya dikalangan generasi muda.” kata Khalid

Selain Selangor Kini, Kerajaan Negeri juga mengeluarkan akhbar versi Bahasa Inggeris, Selangor Times khusus untuk kumpulan sasaran pembaca di kawasan bandar (Lembah Klang).

Akhbar ini disebar luas secara percuma di seluruh stesen LRT serata Lembah Klang selain di tiga buah Pusat Membeli-belah.

Sambutan baik rakyat terhadap produk informasi Kerajaan Negeri ini, akhbar Selangor Indru turut dilancarkan khusus untuk penyebaran maklumat kepada kumpulan sasaran masyarakat India diserata Selangor.

Sebagai permulaan, Selangor Indru yang dipertanggungjawabkan dibawah Exco Selangor, Xavier Jayakumar, berjaya menerbitkan 50,000 naskah setiap bulan.

Categories
SELANGOR

Masalah Kesihatan, Banjir dan Kaum India perlukan Perhatian

SHAH ALAM 21 MAC : Susulan kesesakan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang yang merupakan hospital ketiga tersibuk di Malaysia perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam hari ini mengemukakan cadangan agar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar untuk mengadakan lawatan bagi memastikan segala masalah yang dihadapi dapat di beri perhatian.

“Saya sudah tiga kali melawat dan melihat keadaan di hospital tersebut dan diharap exco kesihatan juga perlu melakukan lawatan bagi melihat apa-apa penambah baik sekiranya perlu, jelas beliau.

Di samping itu, Manoharan turut menyeru agar satu langkah jangka masa panjang dapat diwujudkan bagi melahirkan generasi rakyat Selangor yang sihat dan sejahtera.

“Jika diteliti segala masalah ini semua berpunca daripada gaya hidup rakyat itu sendiri.

“Jadi, saya mohon agar pusat kesihatan dapat diwujudkan supaya dapat dikunjungi rakyat bagi memastikan mereka menjalani gaya hidup sihat,” ujar Manoharan.

Selain itu, Manoharan turut menyeru Kerajaan Negeri untuk segera menangani masalah banjir yang didakwa sering berlaku di setengah kawasan sekitar Klang.

“Saya minta pihak kerajaan memikirkan solusi terbaik bagi menangani masalah ini bagi memberi kehidupan yang selesa kepada rakyat,” kata Manoharan.

Beliau turut memberi cadangan agar Kerajaan Negeri dapat menawarkan tujuh peratus diskaun kepada rakyat miskin negeri ini dalam urusan pembelian harta atau rumah dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Saya juga ingin mencadangkan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukkan RM100 juta khusus untuk membantu golongan miskin bagi menjalankan perniagaan sendiri seterusnya membolehkan mereka bergerak maju seiring dengan kemajuan yang dicapai negeri ini,” ulas Manoharan sambil mengucapkan tahniah di atas kejayaan barisan Exco Negeri yang berjaya membangunkan Negeri Selangor ke tahap membanggakan.

Categories
SELANGOR

Kelab Rotary Klang Sambut Ulangtahun ke-50


SHAH ALAM,9 MAC : Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar bertanya khabar dan memberi buah tangan kepada pesakit Chan Kok Kuan 58, di pusat haemodialiysis Wisma Rotary, Klang. Dr Xavier melawat pusat haemodialiysis itu sempena merasmikan sambutan ulangtahun ke-50 Kelab Rotary Klang di Wisma Rotary pada Mac 8. Turut mengiringi Dr Xavier, presiden persatuan Rotary Klang, K Krishnan.