Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pelajar matrikulasi dibenar pulang mulai 9 Okt, zon merah terkecuali

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sesi 2020/2021 dibenarkan untuk pulang bermalam pada cuti pertengahan Semester 1 bermula 9 Oktober ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), KPM Adzman Talib berkata kementerian membuat ketetapan agar semua pelajar Kolej Matrikulasi Kedah, Kelantan dan Johor dibenarkan untuk pulang bermalam pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Adzman yang juga Timbalan Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru berkata pelajar kolej matrikulasi di negeri lain pula dibenarkan pulang bermalam pada 10 hingga 18 Oktober.

“KPM juga ingin memaklumkan bahawa mulai 9 Oktober, ibu bapa dan waris dibenarkan memasuki premis kolej matrikulasi pada hujung minggu dan cuti umum untuk bertemu dengan pelajar tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran ini tidak terpakai untuk pelajar yang ingin pulang bermalam ke rumah mereka yang berada dalam kawasan zon merah.

“Ibu bapa serta waris yang berada di kawasan zon merah juga tidak dibenarkan untuk bertemu pelajar di kolej matrikulasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pelajar, ibu bapa dan waris perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu yang telah dikemas kini dan boleh dilihat melalui portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Sebelum ini, aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam bagi pelajar kolej matrikulasi tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Daftar pelajar baharu USIM secara dalam talian

SEREMBAN, 3 OKT: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menangguhkan kemasukan pelajar ke kampus itu secara fizikal atau bersemuka susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Naib Canselornya Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata justeru, pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 2020/2021 dalam semua peringkat pengajian dilakukan secara dalam talian sepenuhnya.

“Kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik tersebut dan pelajar sedia ada ke kampus juga ditangguhkan ke tarikh dimaklumkan kelak.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi pelajar baharu dan pelajar sedia ada pula dilaksanakan secara dalam talian pada tarikh dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi pelajar yang berada di kampus, mereka boleh kekal berada di kampus atau kolej kediaman sehingga pemakluman baharu dikeluarkan bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Jelasnya, sebarang program atau aktiviti yang melibatkan himpunan dalam kampus turut ditangguhkan pada tarikh diberitahu kemudian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

USIM tangguh kehadiran pelajar dari Sabah, PKPD, zon merah ke kampus

SEREMBAN, 1 OKT: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memutuskan, untuk menangguhkan sementara kehadiran semua pelajar dari Sabah termasuk pendaftaran pelajar baharu untuk hadir ke kampus, susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, penangguhan itu turut membabitkan pelajar dari kawasan zon merah dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“USIM telah disarankan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi, untuk menangguhkan kemasukan pelajar dari kawasan zon merah Covid-19 ke kampus.

“Memandangkan potensi risiko penularan wabak yang semakin meningkat, pihak pengurusan USIM juga membuat keputusan menangguhkan sementara kehadiran pelajar secara fizikal ke kampus, sehingga notis pemakluman baharu dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, proses pendaftaran serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi kumpulan pelajar yang terlibat dari kawasan zon merah dan Sabah dilaksanakan secara dalam talian.

Bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah dan Sabah, Mohamed Ridza berkata kemasukan ke kampus adalah kekal, mengikut takwim akademik ditetapkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: UiTM tangguh daftar pelajar di zon merah secara bersemuka

SHAH ALAM, 28 SEPT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama dari Sabah dan kawasan zon merah secara bersemuka bagi sesi pengajian yang dijadualkan bermula bulan depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata arahan yang sama turut dikeluarkan kepada pelajar dari Semenanjung yang akan mendaftar di kampus UiTM Sabah.

“Pelajar baharu dan lama boleh mendaftar secara dalam talian. Notis mengenai perkara tersebut akan dikeluarkan hari ini. Proses pembelajaran juga akan dijalankan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan peralatan pengajaran dan pembelajaran oleh Kedutaan China kepada UiTM di sini, hari ini.

Ditanya mengenai istiadat konvokesyen UiTM yang dijadual berlangsung pada November ini, Mohd Azraai berkata pihaknya sedang berbincang mengenai perkara tersebut sama ada ia diteruskan seperti biasa atau secara kebiasaan baharu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

KPT mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit boleh dilakukan secara dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

Gemar santuni masyarakat, penuntut UPSI terima Anugerah Ikon Siswa Johor

JOHOR BAHRU, 27 SEPT: Dorongan rakan dan pihak universiti supaya menghadiri temu duga bagi Anugerah Ikon Siswa Johor 2020 (AISJ 2020) membawa tuah buat seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), apabila membolot dua anugerah, semalam.

Muhammad Nur Aiman Mohd, 22, menerima Anugerah Menteri Besar Johor – Ikon Siswa Johor serta Anugerah Siswa Johor Terbaik (Akademik) dan menerima hadiah wang tunai RM3,000, yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis anugerah berkenaan, pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu berkata beliau pada mulanya tidak berniat untuk menghadiri temu duga itu kerana berada di Pulau Pinang.

“Tetapi atas dorongan keluarga, rakan-rakan dan pengurusan UPSI, saya pergi juga temu duga berkenaan dan Alhamdulilah, saya memperolehi dua anugerah ini. Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada pihak pengurusan UPSI yang sentiasa menyokong para pelajarnya untuk melibatkan diri dalam pelbagai program,” katanya

Muhammad Nur Aiman dipilih berdasarkan kecenderungannya memberi khidmat menyantuni masyarakat menerusi program sukarelawan yang memberi manfaat kepada komuniti.

Sementara itu, Mazlan dalam ucapannya berkata penglibatan mahasiswa dalam persatuan membolehkan golongan itu menyumbangkan idea kreatif, inovatif dan sumber tenaga bagi menjayakan agenda pembangunan masyarakat.

“AISJ pula bukan sekadar menghargai usaha mahasiswa dalam pembangunan masyarakat tetapi dalam skop yang lebih luas, iaitu menjadi medan dalam melahirkan insan yang seimbang dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawan, inovasi dan keusahawanan atas penglibatan mereka bersama masyarakat setempat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: UPSI bangun pedagogi relevan dunia pendidikan

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Akibat penularan Covid-19 di seluruh negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mahu membangunkan pedagogi yang dihormati dan relevan tanpa mengira waktu serta suasana yang menjadi rujukan pelbagai pihak dalam dunia pendidikan.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata ia selari dengan sasaran UPSI menjadi “Universiti Nombor Satu Pendidikan“ menjelang 2022 berteraskan amalan strategi 3R iaitu ‘Refered’ (Dirujuk), ‘Relevant’ ( Relevan) dan ‘Respected’ (Dihormati).

“Apabila Covid-19 berlaku, sistem pembelajaran secara konvensional seperti bersemuka terpaksa dihentikan. Maka, pensyarah perlu berani, kreatif dan proaktif menampilkan teknik pembelajaran yang menjadi rujukan sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi sekali gus menjadi pencetus pedagogi di negara ini.

Kita juga mahu pedagogi dirujuk dan pendidikan awal kanak-kanak menjadi sumber inspirasi dalam membangunkan keusahawan dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya semasa Program “3R@UPSI: Pasca Covid-19 ” yang disiarkan secara dalam talian semalam.

Kata Dr Mohammad Shatar, perkara itu akan berjaya direalisasikan jika warga UPSI mengadaptasi dan mengaplikasikan amalan 3R itu secara holistik.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan staf dan mahasiswa UPSI untuk tidak mengamalkan elemen negatif seperti fitnah, dan tohmahan dalam media sosial.

Katanya, warga UPSI perlu bersatu dan komited bertindak mulai sekarang untuk kelangsungan masa depan dan kerelevanan UPSI dalam dunia pendidikan di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pelajar di Kota Setar laksana sesi belajar dalam talian

SUNGAI BESAR, 13 SEPT: Pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah Kota Setar, Kedah akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan di kawasan itu sejak Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata semua pentadbir sekolah dan guru diarahkan untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian sehingga sekolah kembali dibuka seperti biasa.

“Pihak sekolah diminta membantu pelajar yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian.

“Bagi menangani perkara ini, guru boleh menghantar lembaran kerja ke rumah pelajar, atau ibu bapa pelajar boleh mengambilnya di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bomba Komuniti Zon Selangor Utara, di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai arahan kerajaan supaya semua taska, sekolah swasta dan kerajaan termasuk lain-lain institusi pengajian rendah, menengah dan prauniversiti ditutup sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran bagi membendung penularan Covid-19.

Muslimin berkata sehingga kini siaran TV Pendidikan masih dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan malah sebanyak 800 slot baki siaran ‘home based learning’ atau pembelajaran di rumah belum disiarkan.

Sementara itu, beliau berkata kementerian menyelesaikan kira-kira 60 peratus masalah guru ‘duka lara’ sejak 2016 untuk dipindahkan ke sekolah yang berdekatan dengan keluarga.

Beliau berkata kementerian telah menetapkan beberapa kriteria untuk memastikan proses yang adil terhadap semua pihak yang memohon untuk berpindah.

“Bagi guru bujang, dia harus berkhidmat (sekurang-kurangnya) 90 bulan (di sesebuah sekolah), baru boleh mohon (untuk pindah). Guru ‘duka lara’ yang berkahwin, perlu 60 bulan. Merit berkaitan laporan doktor dan sebagainya juga akan diberi keutamaan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini Kelantan merupakan negeri yang mencatatkan permohonan tertinggi dengan kira-kira 5,000 permohonan berbanding kira-kira 100 permohonan untuk pindah keluar dari negeri itu manakala Johor antara negeri mencatatkan permohonan terendah.

“Jadi kita syorkan kalau nak balik ke Semenanjung (guru dari Sabah dan Sarawak), kita boleh beri peluang untuk “transit” seketika di Johor (sebelum mohon pindah ke negeri pilihan),” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Unisel anjur sambutan Hari Kebangsaan, peluang pelajar hayati merdeka

SHAH ALAM, 27 OGOS: Universiti Selangor (Unisel) menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan supaya pelajar generasi baharu dapat menghayati erti kemerdekaan.

Naib Canselornya berkata ia dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program Semangat Merdeka Unisel 2020 di kampusnya di sini Selasa lalu.

“Walaupun sudah 63 tahun merdeka, pengisian sambutan harus dilakukan dengan aktiviti bermanfaat termasuk pengisian membina peribadi insan. Malah, kita juga perlu sentiasa ingat tarikh keramat 31 Ogos iaitu bebasnya negara daripada penjajah,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar baharu kemasukan Ogos dan menasihatkan mereka mematuhi peraturan serta menumpukan perhatian kepada pelajaran untuk mencipta kecemerlangan.

“Semoga pelajar terus berdisiplin dan tidak mensia-siakan harapan ibu bapa untuk melihat mereka menjadi pelajar cemerlang satu hari nanti,” katanya.

Program diadakan dengan simbolik perasmian majlis iaitu acara memotong riben dan nyanyian lagu Jalur Gemilang oleh kakitangan dan pelajar di perkarangan tempat letak kereta kampus Shah Alam.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, wakil MBSA dan pengurusan tertinggi Unisel.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM tiada kaitan dengan UPSR, PT3 dalam talian

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) secara dalam talian seperti yang ditawarkan sebuah portal bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan perkara itu setelah pihaknya mendapati kedua-dua peperiksaan itu ditawarkan portal terbabit yang akan diadakan secara dalam talian pada bulan September dan Oktober.

KPM pada 15 April lepas mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun ini dibatalkan.

“KPM memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Untuk makluman, KPM telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat,” kata kementerian itu.

KPM menasihatkan agar orang ramai terutama ibu bapa kepada murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai peperiksaan yang dilaksanakan oleh kementerian.

-BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SAINS & INOVASI SELANGOR

Penyelidik UPM cipta dron gentian daun nanas, mesra alam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta dron daripada gentian daun nanas yang mampu mengelak litar pintas serta mudah diperbaiki.

Ketua kumpulan penyelidik itu berkata dron itu boleh terbang sehingga 30 meter tinggi dan berada di udara selama 20 minit.

“Dron bahan semulajadi mempunyai kekuatan tinggi berdasarkan berat berbanding dron gentian sintetik serta lebih murah, ringan manakala bahan semulajadinya mudah diperolehi.

Dron daripada gentian daun nanas hasil inovasi penyelidik UPM mampu terbang sehingga 30 meter tinggi dan berada di udara selama 20 minit. Foto: UPM

“Biokomposit berpotensi gantikan bahan sedia ada dengan kelebihan seperti ringan dan mesra alam kerana faktor biodegradasi mudah terurai dan dilupus,” kata Prof Ir Ts Dr Mohamed Thariq dalam kenyataan media.

Beliau berkata idea mencipta dron gentian daun nanas tercetus semasa projek komuniti di Teluk Panglima Garang ketika didatangi ketua kampung meminta UPM membantu melupus daun nanas.

Dr Mohamed Thariq berkata 300 gram daun nanas boleh menghasilkan empat keping ‘plate’ pembuatan dron sekali gus memanfaatkan penggunaan bahan semulajadi itu.

Inovasi dron itu memenangi pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan tempatan.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Permulaan sesi sekolah Tahun 1 – 4 lancar, SOP dipatuhi

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Murid Tahun 1 hingga Tahun 4 mula menyambung sesi persekolahan mereka yang tertangguh kira-kira empat bulan akibat penularan wabak Covid-19 hari ini dan rata-rata ibu bapa dilihat menitikberatkan aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketika sibuk menguruskan anak-anak ke sekolah.

Tinjauan Bernama mendapati ibu bapa memang gembira kerana anak-anak mereka dapat meneruskan pembelajaran di sekolah, namun pada masa sama masih ada perasaan bimbang dan khuatir mengenai keselamatan anak-anak mereka daripada ancaman Covid-19.

Perdip Singh, 42, yang menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak awal pagi tadi berkata segala persiapan sekolah diatur seminggu awal dan dilakukan dengan teliti bermula dari rumah hingga ke pintu sekolah.

“Isnin baru-baru ini, sekolah ini ada kongsikan link video menerangkan SOP persekitaran sekolah dan kelas pelajar serta laluan yang sudah ditanda, saya dan anak menonton video berkenaan. Untuk itu, saya sentiasa nasihat anak supaya patuh SOP di mana sahaja dia berada.

“Sebelum bergerak dari rumah hari ini, saya pastikan dia dalam keadaan sihat dan bersedia untuk meneruskan fokus belajar di sekolah. Saya bekalkan pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman serta tentunya memberi bekal makanan dari rumah,” katanya.

Sependapat dengan Perdip, Nur Hidayah Abdul Majid, 38, yang mempunyai anak yang bersekolah di sekolah sama berkata dia akan meneruskan rutinnya menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah, demi keselamatan anaknya itu.

“Sebelum ini, saya memang menghantar dan mengambil anak di sekolah. Rutin ini akan saya teruskan tetapi ditambah dengan ‘extra cautious’ iaitu saya akan tiba lebih awal di sekolah untuk pastikan anak patuh SOP dan benar-benar selamat. Covid-19 ini bukan suatu perkara yang boleh kita main-main,” katanya.

Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim yang melawat Sekolah Kebangsaan Putrajaya 9 (1) pada pukul 7.30 pagi berpuas hati dengan pengendalian tatacara kehadiran dan proses pembelajaran di sekolah berkenaan dalam suasana kebiasaan baharu.

Guru Besar sekolah berkenaan, Norzah Mohd Kassim yang mengiringi lawatan Dr Habibah berkata pihak sekolah telah mengambil inisiatif dengan menyediakan kod bar untuk setiap murid bagi tujuan mencatatkan kehadiran dan suhu badan mereka.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Izmi Ismail berkata sebanyak 357,166 pelajar Tahun Satu hingga Empat kembali memulakan sesi pembelajaran di sekolah masing-masing hari ini melibatkan 17,429 kelas di 662 buah sekolah kebangsaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Siswazah bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Bilangan siswazah yang bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019 kepada 4.25 juta orang berdasarkan Statistik Siswazah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah siswazah yang bekerja itu, lelaki meliputi 49.8 peratus (2.11 juta orang) sementara perempuan merangkumi 50.2 peratus (2.13 juta orang).

“Melihat kepada kebolehpasaran siswazah mengikut sijil tertinggi yang diperoleh, didapati siswazah bekerja berkelulusan ijazah mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu 8.5 peratus berbanding siswazah berkelulusan diploma dengan 4.9 peratus.

“Dari aspek tahap kemahiran, kebanyakan siswazah bekerja dalam kategori mahir, iaitu sebanyak 73.3 peratus (3.11 juta orang), bersesuaian dengan kelayakan mereka sebagai siswazah, manakala siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir mewakili 25.6 peratus atau 1.09 juta orang pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi aktiviti ekonomi, 79.6 peratus siswazah tertumpu di sektor perkhidmatan merekodkan 3.38 juta orang dan diikuti oleh pembuatan (538,600 orang), pembinaan (226,100), pertanian (57,000) dan perlombongan dan pengkuarian (43,200).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran siswazah pada tahun lepas kekal 3.9 peratus dengan 170,300 penganggur siswazah, manakala siswazah yang aktif mencari pekerjaan merangkumi 74.8 peratus iaitu 127,400 orang.

“Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus menganggur bagi tempoh kurang daripada enam bulan manakala hanya 8.1 peratus menganggur bagi tempoh 12 bulan dan lebih,” katanya.

Beliau berkata jumlah siswazah di dalam negara adalah 5.29 juta orang merangkumi 21.3 peratus daripada populasi umur bekerja pada 2019 dan hampir 90 peratus daripada siswazah berada dalam tenaga buruh dengan kadar 83.5 peratus (4.4 juta orang).

“Walaupun majoriti siswazah adalah perempuan, kadar penyertaan tenaga buruh siswazah perempuan adalah lebih rendah (79.8 peratus) berbanding lelaki yang merekodkan kadar 87.7 peratus,” katanya.

Katanya, bagi siswazah luar tenaga buruh pula, ia meningkat 7.6 peratus kepada 869,800 orang, merangkumi 16.5 peratus daripada keseluruhan siswazah.

“Sumbangan peratusan terbesar luar tenaga buruh iaitu sebanyak 36.8 peratus adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga iaitu 319,900 orang…mereka ini dilihat sebagai kumpulan yang berpotensi untuk menyertai pasaran buruh.

“Di samping itu, mereka yang bersara atau lanjut usia meliputi 30.0 peratus (260,700 orang) diikuti dengan masih belajar atau program latihan iaitu 27.6 peratus (239,900 orang),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Survei Gaji & Upah 2019 yang dilaksanakan oleh DOSM mendapati bahawa penengah gaji dan upah bulanan siswazah dengan pekerjaan utama sepenuh masa adalah RM4,371 berbanding 2018 sebanyak RM3,936.

Katanya, siswazah bekerja dalam kategori mahir menerima RM5,175 manakala kategori separuh mahir menerima RM2,300.

Merumuskan berkenaan penemuan statistik siswazah, beliau menambah: “Berhubung jawatan kategori mahir yang perlu diisi oleh siswazah, Statistik Guna Tenaga Suku Tahunan melaporkan kadar kekosongan jawatan kategori mahir di pertubuhan formal sektor swasta pada 2019 adalah 2.3 peratus dengan 48,300 kekosongan jawatan.

“Ini jauh lebih rendah berbanding bilangan keluaran siswazah setahun iaitu dalam lingkungan 300,000 orang…sehubungan itu, antara laluan alternatif bagi menyokong kemasukan siswazah baharu ke dalam pasaran buruh dapat diterokai melalui bidang keusahawanan dengan memanfaatkan revolusi platform digital.”

-BERNAMA