Categories
NASIONAL SELANGOR

Sah DUN Damansara Ditandingi PKR

Nasir-DSC_4242

SHAH ALAM, 27 APRIL: Keputusan PAS beralah daripada menuntut kerusi DUN Kota Damansara disambut baik oleh calon PSM yang bertanding atas tiket PKR, Dr Mohd Nasir Hashim.

Beliau yakin keputusan itu merupakan perkembangan positif dalam usaha Pakatan Rakyat (PR) mempertahankan kerusi DUN Kota Damansara seterusnya menguasai Putrajaya.

Menurut Dr Nasir keputusan itu dimaklumkan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor Dr Abdul Rani Osman.

“Sekarang kita kena bergerak untuk jelaskan kepada orang ramai lebih-lebih lagi penyokong PR yang PAS sudah tarik diri supaya tak timbul kekeliruan” kata Dr Mohd Nasir ketika dihubungi.

Menurut Dr Nasir, selain mengharap bekas calon PAS, Ridzuan Ismail dapat menerima keputusan kepimpinan tertinggi, beliau berharap PSM dan PAS dapat terus berganding bahu mengekalkan Selangor di tangan PR.

“Biasanya PAS sentiasa terbuka menerima keputusan kepimpinan parti dan saya harap begitulah supaya kita dapat saling bantu membantu,” katanya lagi.

Sebelum ini pertembungan PKR dan PAS di kerusi DUN Kota Damansara dianggap mampu menjejaskan peluang PR mempertahankan kerusi DUN terlibat.

Dr Nasir akan dicabar Halimaton Saadiah Bohan(BN), Halmi Omar (bebas), Edros Abdullah (bebas) dan A Supayyah(bebas).

Categories
SELANGOR

Seminar Generasi Y – Salam Selangor

Episod 64

Sinopsis:

Seminar Generasi Y merupakan program pertama yang dimulakan sempena sambutan ambang tahun baru 2013 diikuti dengan Karnival Pendidikan Selangor dan kemuncaknya malam ambang tahun baru 2013.

Tetamu:
1.Prof Madya Abu Hassan Hasbullah (Pensyarah Jabatan Pengajian Media ,UM

2013-01-01 08.32.03

gen y

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Cadang Tabung Kemanusiaan Rakyat Syria Di Masjid Seluruh Selangor

al saubani mb 01

SHAH ALAM, 19 DIS : Kerajaan Negeri Selangor akan merangka perbincang segera bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi membenarkan semua masjid di Selangor membuka tabung ‘Kemanusiaan Rakyat Syria’ sebagai usaha meringankan bebanan umat Islam Syria.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan ini akan diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

Menurutnya, sebagai umat Islam, semua pihak terutama rakyat Selangor perlu peka dengan nasib yang menimpa umat Islam di negara lain.

“Hasilnya saya meminta Dr Rani berbincang dengan Jais supaya mengadakan kutipan-kutipan (derma) dilakukan di setiap masjid seluruh Selangor sebagai salah satu usaha megingatkan masyarakat Islam juga mempunyai tanggungjawab membantu saudara Islam kita di Syria,” katanya.

Ketua Kesatuan Ulama Syam, Sheikh Dr Muhammad Ali As Soubuni dan deligasi Syria hari ini mengadakan kunjungan ke Pejabat Menteri Besar bagi menceritakan keadaan sebenar yang sedang berlaku di Syria.

Pertemuan hampir sejam ini menyasikan Sheikh Muhammad Ali menyampaikan surat yang ditulis sendiri kepada Abdul Khalid turut ditemani oleh deligasi Palestin, Timbalan Pengarah Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pelajaran, Pengajian Tinggi, Ahmed Ayesh Al Najjar dan Ustaz Nazmi Karim selaku penterjemah.

Jelas Abdul Khalid lagi, dua perkara yang perlu diberikan perhatian adalah bagaimana membawa kembali keamanan kepada Syria.

Dalam pertemuan itu, Sheikh Muhammad Ali menceritakan kekejaman yang dirasai rakyat Syria dan menggesa masyarakat Islam memperjuangkan kebebasan sehingga Islam mencapai kemenangan.

“Kami mengajak semua rakyat menentan semua bentuk kezaliman. Ini tanggjawab rakyat terhadap pemerintah zalim.

“Kami tidak mendapat bantuan Jordan dan negara Arab lain yang sebangsa dengan kami. Kami yakin Allah akan bantu kemenangan.

“Kami datang sini sebab rakyat Malaysia prihatin maka kami menceritakan keadaan di Syria,” katanya yang diterjemahkan oleh Ustaz Nazmi Karim.

Sehingga kini lebih 200,000 rakyat Syria menjadi mangsa kekjaman pemerintah yang rakus demi mempertahankan kuasa dan memesongkan umat Islam.

Sebagai rekod  Sheikh Muhammad Ali tidak dibenarkan masuk ke Syria sejak 35 tahun yang lalu dan sebagai ulama tafsir terkenal di dunia.

Categories
NASIONAL

Umno Didakwa Dalang MCA Keluar Kenyataan Hina Islam


SHAH ALAM, 24 OKT : Umno didakwa menjadi dalang kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan MCA yang menyerang sensitiviti masyarakat Islam berkenaan isu pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, kenyataan-kenyataan tersebut direka untuk mengalihkan pandangan rakyat berhubung isu rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional.

“Melalui kenyataan-kenyataan ini diharapkan ketegangan akan terhasil melalui mana Umno dan BN boleh mendakwa ianya adalah kerana sikap dan pandangan PAS yang kononnya ekstrem.

“Dengan itu mereka boleh memujuk masyarakat Tiong Hua untuk kembali memberi undi kepada BN,” kata Abdul Rani semasa sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Ujar beliau, semua pihak khususnya umat Islam disaran untuk bertenang dan tidak bertindak melalui reaksi emosi keterlaluan yang boleh mendatangkan konflik dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Sebaliknya tegas beliau, usaha perlu difokuskan ke arah menjatuhkan MCA dan Umno dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan datang.

“Apabila masyarakat Malaysia dibebaskan daripada dikongkong pemimpin-pemimpin BN yang sering mengadu domba rakyat.

“Maka akan terhasil sebuah negara yang benar-benar bersatu atas dasar saling hormat-menghormati dan pengiktirafan hak asasi setiap kaum dan bangsa,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu MP Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Adun Hulu Klang, Saari Sungip dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan.

Categories
SELANGOR

Selangor Tidak Pinggir Bekas Penagih


SHAH ALAM, 10 OGOS : Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) sentiasa berusaha memastikan rakyat Selangor mendapat peluang sama rata bagi memperbaiki diri dan mencipta kejayaan demi masa depan tanpa mengambil latar belakang individu itu.

Maka dengan itu, katanya, semua pihak akan dipastikan tidak terpinggir biarpun mereka itu pernah terlibat dalam jenayah seperti penagihan dadah.

“Pada asasnya kita mahu melihat semua pihak sama ada bagi mereka yang pernah terlibat dalam penagihan dadah atau golongan Orang Kena Perhati (OKP) ini mendapat peluang sama dan tidak dipinggirkan di Selangor.

“Kerajaan Selangor dan saya selaku Pengerusi Pemadam ingin menyatakan siapapun individu dalam masyarakat ini yang ingin mengecapi kehidupan di Selangor maka kita cuba memberikan atau membuka ruang yang sebanyak mungkin untuk tujuan itu.

“Apabila kita dari Pakatan diberi amanah dan mandat bagi mentadbir negeri, kita bukan sahaja mahu melihat Selangor maju dari segi ekonomi tetapi juga maju dalam mendidik anak bangsanya,” katanya.

Rodziah yang juga Exco Kebajikan, Hal Ehawal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Kepada OKP di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pemadam Selangor merangkap ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor, Faiz Fadzli.

Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri menerusi program Workfare akan menggerakkan individu terlibat dengan pengolahan bidang kebajikan kepada pencapaian yang membolehkan mereka berdikari dengan memperolehi pendapatan.

Sementara itu, Pemimpin Rakan Sebaya (PRS) dari Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) Hulu Langat, Abdul Rashid Loh Abdullah, 51, menyatakan kesyukuran kepada kini hidupnya berubah selepas bebas dari penagihan dadah.

Katanya, dengan peranan sebagai PRS beliau akan berusaha membantu ADK dan Pemadam dengan membimbing penagih dadah supaya kembali ke pangkal jalan dengan meninggalkan tabiat buruk itu.

“Saya kini gembira selepas tidak lagi terlibat dengan dadah dan dengan kehidupan baru ini saya berasa lebih bererti di samping keluara tambahan bagi menyambut Aidilfitri ini,” katanya yang mula menghidap dadah pada usia 26 tahun dan meninggalkannya pada 1997 lalu memeluk Islam.

Begitu juga PRS dari ADK Petaling Jaya, Khairul Azmi Mohd Ghazali, 35, yang berharap akan kembali ke pangkuan keluarga di Bentong, Pahang selepas lima tahun tidak bersama menyambut Aidilfitri.

“Bila terlibat dengan dadah, hidup saya tak tentu arah dan tanpa pedoman. Dengan bimbingan semua pihak dan rakan-rakan, bila berjaya tinggalkan dadah saya rasa hidup saya lebih bermakna dan yakin pada diri sendiri,” katanya yang terlibat dengan dadah dalam tempoh kira-kira 15 tahun.

Bagi Mohamad Yusri Mohd Sani, 18, penglibatan dengan dadah berpunca akibat pengaulan dengan rakan-rakan dan tekanan dihadapi dalam kehidupan di usia muda.

“Saya terlibat dengan dadah lebih kurang lapan bulan tetapi saya rasa syukur kerana timbul kesedaran yang cepat untuk berubah. Dengan pemantauan pihak ADK, saya kini sudah berjaya tinggalkan tabiat buruk itu,” kata yang menjalani tempoh sebagai OKP selama enam bulan di ADK Petaling Jaya.

Categories
NASIONAL

MB: Pusat Tidak Agih Kekayaan Negeri Dengan Adil


SHAH ALAM, 12 JULAI : Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mengagihkan peruntukan secara adil terutamanya kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat sebaliknya memberikan peruntukan sesuka hati kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.

Ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rani Osman (Meru-Pas) dan Gan Pei Nei (Rawang -PKR), Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, biarpun Selangor menyumbangkan kutipan bayaran cukai tinggi kepada Kerajaan Persekutuan namun bayaran pulangan yang diterima semula adalah rendah dan tidak bebrpatutan.

“Lebih RM10 bilion dikutip daripada rakyat Selangor tetapi jumlah terimaan daripada Kerajaan Persekutuan, kita dapat hanya RM562 juta sahaja.

“Jika dilihat dari kajian Melaka mendapat peruntukan lebih sedikit dari segi peratus berbanding Selangor atau Perak. Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Kedah dan Langkawi mendapat peruntukan yang sangat tinggi,” katanya.

Bagi mengatasinya, beliau berkata, cadangan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah dibangkitkan di Parlimen tetapi belum mendapat maklumbalas.

Tambahnya, sewajarnya negeri yang memperolehi perolehan cukai yang tinggi mendapat bayaran pulangan yang tinggi mengikut keperluan bagi pembangunan negeri tersebut.

“Jadi negeri yang bayar banyak boleh dapat lebih mengikut keperluan dan negeri yang bagi sedikit mungkin dapat kurang. Maka tidak perlulah sesebuah negeri itu tertunggu dan terpaksa melobi.

“Yang Berhormat Batang Kali (Mohd Isa Abu Kasim – BN) pernah menyatakan Kerajaan Persekutuan buat ini buat itu tetapi peruntukan itu tidak dijelaskan dan yang kedua adalah negeri ini bersetuju dengan pembangunan yang maknanya pembangunan itu bergerak selari,” katanya.

Amalan perbincangan itu, katanya, melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah dilaksanakan di negara Australia dan Kanada bagi pengagihan ke negeri-negeri demi tujuan pembangunan secara adil dan saksama.

Categories
SELANGOR

PAS Selangor Sudah Siap Sedia Hadapi PRU-13

SHAH ALAM, 17 JUN : Kehadiran lebih 1,000 aktivis PAS pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Selangor jelas menggambarkan kesediaan parti itu mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Pilihan Raya, PAS Selangor sudah bersedia sepenuhnya, sementara negeri-negeri lain kini berada pada tahap lebih 90 peratus.

Beliau berkata, PAS perlu membuat persiapan sebaik sahaja PRU-13 diwar-warkan, ditambah keengganan Kerajaan Pusat mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal berbanding negara-negara luar.

“Oleh kerana kita tidak tahu tarikh, maka kita terpaksa bersiap sedia sebaik sahaja PRU-13 diwar-warkan akan berlangsung pada bila-bila masa.

“PAS sudah sedia sejak tahun lepas lagi, malah Selangor dan beberapa negeri lain juga sudah hampir selesai (jentera parti).

?Persediaan itu merangkumi Parlimen dan DUN,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad dan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli.

Himpunan itu merupakan kesinambungan daripada perhimpunan ijtima’ yang dilakukan sejak tahun 1980-an di setiap negeri dan kawasan terutamanya ketika menjelang PRU.

Siri himpunan ini akan diteruskan di Stadium Kuala Selangor pada 15 Julai depan.

Sementara itu, Pas juga melancarkan TV Impian Selangor, iaitu satu perkhidmatan televisyen internet melalui teknologi e-coder. Siaran TV Impian Selangor memaparkan lima saluran yang boleh ditonton melalui e-coder mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Mendahului Umno-BN Dalam Menjaga Kebajikan dan Hak Pekerja

SHAH ALAM, 14 MEI : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) adalah pimpinan pertama yang mengamalkan dasar kebajikan pekerja yang lebih progresif, bukan Umno-BN.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata kebajikan terhadap pekerja bermula se-awal tahun 1990-an lagi di negeri Kelantan yang kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain.

Perubahan itu termasuk pemberian cuti rehat sebanyak dua hari setiap minggu kepada pekerja, cuti bersalin 60 hari kepada pekerja wanita dan cuti tujuh hari kepada suami yang isterinya melahirkan anak.
Malah dasar-dasar seperti ini pernah dikecam kuat oleh Umno-BN di bawah Perdana Menteri ke-empat Tun Dr Mahathir Mohamed pada masa ia perkenalkan.

“Umno-BN sebelum ini ada mendakwa bahawa cuti rehat dua hari yang diberikan kepada pekerja akan menyebabkan produktiviti menjadi rendah dan rakyat akan malas.

“Tetapi akhirnya mereka meniru kita dan terpaksa memberi cuti rehat selama dua hari kepada pekerja sebab kita dah laksanakan dulu.
?Tidak terkecuali, negeri Selangor juga turut memberi cuti 90 hari kepada wanita bersalin. Itu adalah bukti betapa kerajaan PR begitu prihatin terhadap hak pekerja,” ujarnya.

Mat Sabu berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Majlis Himpunan ?Pekerja : Menjulang Martabat Pekerja? di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Himpunan yang disertai lebih 3,000 orang itu turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan pimpinan kerajaan Selangor.

Turut kelihatan exco-exco Selangor Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail, Ronnie Liu Tian Khiew dan Dr Yaakop Sapari. Juga hadir MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid dan ADUN Meru Dr Rani Othman.

Pakatan di dalam dasar bersamanya pada 2010 telah berjanji untuk melaksanakan gaji minima di dalam semua sektor di negara, lebih awal dari dasar Umno-BN yang baru diumumkan beberapa minggu lalu.

Malah Kerajaan Selangor menetapkan kadar gaji minima pada RM1,500 sebulan untuk setiap anak syarikat di bawahnya.
Kadar itu adalah lebih tinggi daripada RM900 yang diumumkan oleh Umno-BN.

ends

Categories
NASIONAL

Pas Selangor Turun Menunjukkan Sokongan Pada Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 26 APR : Pas Selangor mengadakan lawatan ke perkhemahan aktivis mahasiswa yang telah berkampung lebih 12 hari di Dataran Merdeka sini bagi menyatakan sokongan terhadap kempen pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang hadir sambil ditemani beberapa penyokong menegaskan, pemansuhan PTPTN ini bukanlah isu politik Pakatan Rakyat.

Sebaliknya ia merupakan hak rakyat dan perkara ini turut diakui oleh beberapa ahli Umno-BN yang ditemui beliau sendiri.

“PTPTN ini bukan mengira parti. Orang Umno sendiri menyokong dan saya difahamkan mereka juga akan turun. Saya merasakan isu ini cukup universal dan saya mengharapkan ramai akan turun pada Sabtu ini,” katanya.

Apa yang penting katanya, penyokong perlu memastikan mereka tidak membawa peralatan yang boleh menimbulkan ancaman selain berhati-hati bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kita sudah menasihatkan mereka yang ingin hadir jangan membawa sebarang senjata atau peralatan yang boleh menimbulkan provokasi. Jika ada sebarang keganasan dan sebagainya, kita minta mereka rakam supaya boleh dijadikan bukti,” katanya.

Beliau turut meminta pihak Unit Amal mengawal keselamatan sebaiknya supaya keadaan mahasiswa yang berkumpul dan bermalam dapat diperhatikan bagi mengelakkan sebarang serangan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam majlis sama, Dr Rani menyerahkan sedikit sumbangan kepada pihak mahasiswa memandangkan sebelum ini tabung simpanan hasil sumbangan orang awam telah dirampas oleh Dataran Bandaraya Kuala Lumpur.

Turut kelihatan beberapa petugas DBKL yang menunggu kawasan yang telah dipagar bagi menghalang mahasiswa mendirikan khemah selain kehadiran orang awam yang turut memberikan sokongan dan melihat sendiri suasana perkampungan.

Pihak mahasiswa juga memaklumkan, satu bas penyokong dari Kelantan akan tiba di Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan kepada perhimpunan Sabtu ini.

Suasana malam turut dihangatkan dengan kehadiran penulis lirik Awan Nano, Hasmi Hashim yang dijemput untuk memperkatakan mengenai pencerahan bagi meningkatkan semangat mahasiswa.

Beliau memuji semangat dan momentum luar biasa yang ditunjukkan oleh anak muda.

“Jiwa saya memang dekat dengan anak muda khususnya mahasiswa sebab mana-mana bangsa yang keluar daripada penindasan ada peranan mereka.Saya tidak pernah putus memberikan sokongan sejak 13 tahun lalu kepada mereka,” katanya.

Ujar beliau lagi, kesedaran orang ramai terutamanya anak muda semakin melebar dan keberanian yang ditonjolkan jelas menunjukkan  kebangkitan anak muda yang tidak gentar dengan sebarang halangan yang dihadapi.

Categories
NASIONAL

Protes Anti Lynas Berlangsung Secara Aman di Shah Alam

SHAH ALAM, 13 APR : Protes terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation berlangsung petang tadi di Dataran Bandaraya Shah Alam di sini sebagai sebahagian daripada himpunan anti-Lynas yang berlaku serentak di seluruh negara.

Himpunan yang di anjurkan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada beberapa pemimpin tempatan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Demonstrasi aman itu dimulakan dengan laungan ‘Henti Lynas, Hidup Rakyat’ oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau di sokong oleh individu dari 31 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bertindak Anti Nadir Bumi(Badar), Stop Lynas Coalition (SLC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (ABU) dan lain-lain.

Dalam ucapannya, Mat Sabu menegaskan projek tersebut hanya akan membawa kemusnahan, kesan buruk kepada alam sekitar sekaligus menyebabkan penderitaan.

Beliau berkata, projek nadir bumi itu juga hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu di samping merugikan rakyat.

“Ini bukan berkenaan kepentingan Umno-BN, tapi ia berkaitan hal kemanusiaan. Kita akan menentang projek ini secara berterusan kerana ia membawa kesan buruk dan berbahaya kepada rakyat,” katanya. 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula mendedahkan syarikat yang menjalakan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan pusat yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum projek bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sehingga kita membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga rakyat mati baru terbukti?

?Patutnya, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya. Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa iaitu pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan.

?Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selarnya.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Juga hadir Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Himpunan yang sama turut berlangsung di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan oleh itu diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Categories
SELANGOR

Forum Perdana Medan Dakwah Perkasa Ilmu Umat Islam

MERU,9 MAC : Forum Perdana Ehwal Islam merupakan medan yang sesuai untuk dakwah dan pengisian ilmu kepada masyarakat dalam usaha mewujudkan insan berilmu dan bertaqwa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri sentiasa berharap usaha pemantapan ilmu di kalangan umat Islam terus diperkasakan melalui program pengisiaan ilmu seperti Forum Perdana Ehwal Islam yang dianjurkan kerajaan negeri.

“Saya menyokong forum Perdana Ehwal Islam yang diadakan sejak 2008 untuk dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan dibantu pejabat-pejabat daerah.

?Ia merupakan keprihatinan oleh kerajaan Selangor bagi memartabatkan agama Islam dan masyarakat Islam di Selangor,” kata Abdul Khalid dalam ucapan perasmian Forum Perdana Ehwal Islam yang diadakan di Masjid Ass-Syariff di sini.

Abdul Khalid berkata program seperti ini merupakan wadah bagi umat Islam membincangkan permasalahan dan mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi masyarakat pada hari ini.

Program Forum Perdana Ehwal Islam dihadiri kira-kira lebih 700 penduduk di sekitar Meru.

Ahli panel ceramah terdiri daripada Alwi Parman dan Dr Zulkifli Al-Bakri.

Majlis Forum ini merupakan anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Pejabat DUN Meru, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pihak Masjid Ass Syarif.

Turut hadir Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Exco Selangor Yaakob Sapari.

Dalam forum perdana itu ahli panel membicarakan persoalan berkenaan cabaran rumah tangga masa kini.