Categories
NASIONAL

Kemudahan OKU di ibu negara akan ditambah – Khalid

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) di ibu negara akan ditambah dan dipertingkat bagi memastikan golongan itu dapat menjalankan urusan harian dengan lebih selesa dan selamat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kajian mengenai perkara itu akan dilakukan pihak kementerian dan agensi di bawahnya.

Beliau berkata, antara kemudahan untuk OKU yang akan ditambah ialah laluan khas atau tanjakan untuk memasuki bangunan, laluan pejalan kaki yang lebih mesra OKU terutama untuk yang berkerusi roda dan cacat penglihatan serta tandas untuk OKU.

“Ada beberapa tempat yang langsung tak ada kemudahan untuk golongan OKU, justeru kementerian menerusi pelbagai agensi di bawahnya akan melakukan tinjauan di sekitar ibu kota dan merangka pelan untuk pembinaan kemudahan OKU kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program OKU Sahabatku Fun Ride 2.0 anjuran Yayasan Prihatin Insan (YPI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi YPI, Ishak Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Sementara itu, Ishak berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM175,000 bagi projek kemudahan Van Mobiliti untuk golongan OKU yang akan membantu golongan itu menjimatkan kos pengangkutan mereka.

“Sasaran RM175,000 ini adalah jumlah kos untuk pembelian sebuah van Toyota Hiace berharga RM96,000, pemandu bergaji untuk setahun, insurans, penyelenggaraan van dan sebagainya.

“YPI akan menyediakan kemudahan ini di kawasan Lembah Klang untuk peringkat awal yang dijadual bermula Februari,” katanya.

Beliau berkata, YPI juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan van itu di kawasan bandar di seluruh negara dan untuk itu pihaknya mengalu-alukan pembabitan golongan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi sumbangan dalam bentuk kewangan atau pengurusan van mobiliti.

Sumbangan dana kepada golongan OKU itu boleh dibuat melalui akaun Maybank 564799106040 atau Bank CIMB Islamic 8602631618 atau menghubungi YPI di talian 013-3660599.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Papan Tanda: Semua pihak perlu akur titah Sultan

PUTRAJAYA, 20 NOV: Semua pihak perlu akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua papan tanda di Bandaraya Shah Alam diselaraskan kepada bahasa Melayu sementara semua papan tanda bahasa Cina ditanggalkan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, papan tanda dengan tulisan bahasa Melayu wajar dikekalkan dan rasional bagi memudahkan semua rakyat membaca.

“Bagaimanapun, keputusan berkaitan papan tanda berkenaan adalah di bawah bidang kuasa negeri,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya mengarahkan tindakan segera diambil bagi mengantikan semua papan tanda bahasa Cina ditukar ke bahasa Melayu.

Surat sama turut disisi kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Kandungan surat itu juga memaklumkan bahawa penukaran papan tanda itu hendaklah dilakukan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor, pada 11 Disember depan.

-Bernama

Categories
NASIONAL

Parkir bertingkat PPR dilaksana berperingkat

SHAH ALAM, 15 NOV: Projek pembinaan parkir bertingkat di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi mengatasi masalah kekurangan parkir untuk penghuni kediaman berkenaan.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, pelaksanaan projek itu merupakan antara projek yang dalam kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita akan lakukan (pembinaan parking bertingkat) secara berperingkat di lima atau enam lokasi PPR bagi memastikan setiap penduduk mempunyai ruang parkir masing-masing serta bagi menentukan laluan jalan raya dikosongkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘The Lost Food Project’ di PPR Kerinchi, semalam.

Mengulas lanjut berhubung keperluan pembinaan parkir bertingkat, Khalid berkata, dengan adanya kemudahan itu, tiada lagi isu jalan dipenuhi kenderaan dan ia penting ketika berlakunya kecemasan supaya polis dan bomba dapat masuk ke kawasan untuk memberikan bantuan segera.

Saya belum terima maklumat terkini Hospital Shah Alam -Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, sekali lagi beliau akan menulis surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan maklumat perkembangan terkini Hospital Shah Alam.

‘Pendekar Ludah’ cemar Institusi Kesultanan Melayu

Tindakan sekumpulan individu meludah dan menghamburkan kata kesat kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad atas alasan ingin mempertahankan Institusi Kesultanan Melayu sebenarnya hanya mencemarkan institusi itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Kini jadi perdebatan hangat di Dewan Rakyat

selangorkiniKUALA LUMPUR 24 SEPT: Selangor Kini, akhbar milik Kerajaan Selangor menjadi perbahasan hangat sesi petang Dewan Rakyat antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Ia berikutan berlaku situasi tegang berlaku antara Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

“Selangor Kini adalah surat khabar kerajaan negeri untuk menjelaskan tindakan dan polisi kerajaan megeri.

“Sesuailah kerana kerajaan Selangor adalah Pakatan Rakyat. Mungkin Tanjong Karang berada dalam 2004, ingat (masih) kerajaan BN.

“Selangor Kini ceritakan apa yang dilakukan kerajaan Selangor (kepada rakyat). Tiada salah gunakan duit kerajaan untuk ceritakan program kerajaan,” kata Khalid.

Selangor Kini diterbitkan kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, CCSB Sdn Bhd dengan memberi tumpuan isu dan dasar pentadbiran kerajaan negeri dan masalah rakyat.

Ia berbeza dengan Suara Keadilan atau Harakah terbitan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang memfokus isu politik.

Selain itu, Khalid berkata, Pakatan mendesak kerajaan Pusat memberi lesen penerbitan akhbar dan stesen televisyen swasta bagi menerangkan kepada rakyat mengenai dasar pentadbiran negeri yang diperintah.

“Ini yang kita minta lesen akhbar (harian) dan televisyen (swasta) seperti TV3. Kita bukan minta kerajaan keluarkan Harakah, Suara Keadilan. Tidak mungkin,” katanya.

– FZL

Categories
SELANGOR

Krisis Mesir: Kerajaan Malaysia Tidak Wajar Diam Diri

khalid samad white pc 011

SHAH ALAM 2 OGOS : Malaysia perlu menyatakan pendirian berhubung pencerobohan tentera di Mesir yang menyebabkan kejatuhan Presiden Mohammed Morsi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan Malaysia tidak sewajarnya terus berdiam diri dalam perkara ini kerana pergolakan di negara itu kini mengorbankan ratusan nyawa rakyatnya.

Katanya, berdasarkan sokongan ditunjukkan adalah jelas rakyat negara itu mahu Dr Morsi dikembalikan sebagai Presiden Mesir.

“Kita meminta kerajaan Malaysia bagi memainkan peranannya dan menggunakan apa juga pengaruh yang ada untuk mempengaruhi kerajaan tentera Mesir untuk kembalikan negara itu kepada landasan demokrasi yang diasaskan semula oleh Dr Morsi.

“Apabila kerajaan Malaysia berdiam diri nampak seolah-olah kita boleh terima amalan rampasan kuasa itu dan akibat daripadanya ialah tekanan yang hebat dikenakan kepada umat Islam di Gaza, Palestin,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menurutnya, maklumat diperoleh yang boleh dipercayai ialah rampasan kuasa itu didalangi hasil campurtangan Israel dan Amerika Syarikat yang tidak mahu Mesir menikmati sistem demokrasi yang akan menyebabkan golongan Islamis untuk berkuasa.

Katanya, PAS telah menghantar seorang wakil, Dr Syed Azman ke Mesir dan kini bersama dengan penunjuk perasaan di negara tersebut.

“Ia adalah sebagai tanda sokongan PAS terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Status Hospital Shah Alam Bakal Diketahui Sebelum Sidang Parlimen

hospital shah alam sketch

SHAH ALAM 8 JUN : Perkembangan projek Hospital Shah Alam yang telah tergendala selama setahun dan akan menelan kos lebih setengah bilion untuk disiapkan, bakal diketahui sebelum sidang Dewan Rakyat bermula pada 24 Jun ini.

MP Shah Alam, Khalid Abdul Samad menjangkakan beliau akan melawat tapak projek itu di Seksyen 7 seteleh mendapat persetujuan daripada Jabatan Kerja Raya.

“Pihak kami telahpun hantar surat dan faks pada Februari lalu mengikut alamat dan nombor yang diberikan kontraktor utama (Gadang Engineering (M) Sdn Bhd), serta telah menerima pengesahan ianya telah sampai.

“Apapun, saya menyambut baik tawaran pihak JKR pusat dan berharap agar lawatan ini dapat diatur sebelum sidang parlimen diadakan kira-kira dua minggu lagi.

“Saya yakin tempoh masa itu sudah cukup buat pihak JKR mengatur lawatan sepertimana ditawarkan,” jelas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu apabila dihubungi.

Semalam, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengeluarkan kenyataan tidak menerima sebarang permohonan berhubung lawatan tapak yang ingin dilakukan Khalid, namun memaklumkan bersedia untuk mengatur lawatan tersebut.

Rabu lepas, Khalid mendakwa masih menunggu jawapan daripada JKR Pusat berhubung permohonannya Februari lalu untuk melawat tapak projek.

Ujarnya, lawatan itu perlu dilakukan beliau untuk mengetahui perkembangan projek yang beberapa tahun tergendala itu.

Pada Disember tahun lalu, Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor didakwa berkata kerja-kerja struktur hospital itu 98 peratus siap namun masih perlu menunggu kerja mekanikal dan kerja elektrik.

Shaziman berkata, kerja-kerja berkenaan dijangka siap pada Oktober 2013 dan hospital tersebut akan menyediakan 300 katil untuk kegunaan warga kawasan Shah Alam dan Subang.

Sebelum ini, ratusan ribu warga Shah Alam dan Subang terpaksa menuju ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang yang sudah sesak dengan warga kawsan Klang dan Banting.

Pembinaan Hospital Shah Alam pada awalnya membabitkan kos sebanyak RM 482.6 juta dan dijangka siap pada bulan April tahun lepas.

Bagaimanapun, ekoran penukaran kontraktor, hospital itu hanya dijangka siap pada Oktober tahun ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM 550.7 juta.

Jumlah tersebut adalah termasuk dengan pampasan berjumlah RM 139.9 juta yang dibayar kepada kontraktor lama.

 

Categories
SELANGOR

Khalid Samad : Kekalkan Harga Parkir Shah Alam Pada 40 sen

mbsa

SHAH ALAM 5 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diseru untuk mengekalkan kadar bayaran letak kereta pada 40 sen sejam kerana harga itu dapat memberikan keuntungan kepada pihak berkuasa tempatan disamping memberikan perkhidmatan dengan kos terendah.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, alasan MBSA untuk menaikkan kadar itu pada 60 sen kerana ia diperuntukkan di dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sejak 1998, tidak semestinya digunapakai.

“Ini pemikiran konservatif. Kita dari kerajaan Pakatan Rakyat mengharapkan pemikiran lebih kreatif.

“Sepatutnya kita berbangga kerana dapat mengekalkan kadar parkir yang rendah untuk dijadikan contoh dan diikuti bandaraya-bandaraya lain.

“Tak perlu kita naikkan semata-mata bandaraya lain sudah naikkan kadar parkir itu. Kita nak cuba memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Shah Alam dengan kos yang terendah,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Khalid berkata, MBSA difahamkan tidak mengalami kerugian sebaliknya mendapat kuntungan yang baik dengan kadar sediada.

Beliau berkata, di bawah pentadbiran kerajaan PR, kebebasan diberikan kepada PBT di dalam urus tadbir berbeza dengan zaman Umno-BN.

“Ahli Parlimen dan ADUN terkecuali dan tidak masuk campur dalam perkara ini. Kita ingin melihat bagaimana pegawai-pegawai kerajaan boleh menghayati dan menjiwai semangat kerajaan baru,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (MCMS), Zulkifli Nani mendakwa kenaikan kadar letak kereta itu dipercayai memberi keuntungan kepada pihak syarikat yang mendapat konsesi parkir daripada MBSA.

“Banyak cara lain bagi MBSA mendapatkan atau menaikkan hasil pendapatan dan kita berharap MBSA mengkaji perjanjian dibuat itu kerana kita yakin ianya berat sebelah,” dakwa bekas Ahli Majlis MBSA itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Menteri Kerjaraya Baru Diminta Perjelaskan Projek Hospital Shah Alam

hospital shah alam sketch

SHAH ALAM 4 JUN : Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Fadilah Yusof, diminta memberikan kerjasama dalam isu projek pembinaan Hospital Shah Alam yang sudah tertangguh lebih daripada tiga tahun demi kebaikan penduduk di bandaraya ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, sebagai wakil rakyat di bandaraya ini, sewajarnya beliau diberi hak untuk melihat dan mendapat laporan mengenai perkembangan projek berkenaan.

Menurut Khalid, diharapkan Fadilah bersikap lebih terbuka berbanding menteri yang lepas dan membenarkan pihaknya melawat tapak pembinaan untuk melihat perkembangan projek itu.

“Pada 5 Februari lalu saya hantar surat pada syarikat kontraktor pembinaan dan jawapannya kelulusan perlu diminta daripada JKR Selangor, bila surat dihantar kepada JKR Selangor, dikatakan jawapan daripada JKR Pusat.

“Bila surat dihantar kepada JKR Pusat, tiada jawapan. Ini bukan nak bina pusat tentera atau pusat nuklear. Ini hospital, kenapa susah sangat untuk saya turun melihat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khalid mengharapkan Fadilah mempunyai satu dasar lebih terbuka mengenai perkara itu.

Tegasnya, pembinaan hospital itu adalah daripada wang rakyat dan bukannya wang Umno-BN.

“Hospital ini untuk rakyat dan sebagai wakil rakyat Shah Alam, saya minta supaya bagi kerjasama untuk pihak kontraktor bagi laporan mengenai perkembangan pembinaannya.?

Khalid mendakwa beliau difahamkan bahawa projek tersebut sekali lagi terlewat daripada tarikh siapnya pada Oktober tahun ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pangsapuri Indahria – Salam Selangor

Episod 84:

Sinopsis:

Hampir 300 orang penduduk Pangsapuri Indahria, Seksyen 22 Shah Alam, bimbang akan masalah keretakan premix di kawasan meletak kenderaan di dalam kawasan bangunan kediaman tersebut.
Sehubungan itu, satu majlis dialog diadakan penduduk Pangsapuri Indahria bersama ADUN Batu Tiga, YB Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Abdul Samad, wakil dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan wakil dari Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS).
Walaubagaimanapun wakil pihak pemaju iaitu SHANGHAI REALTY SDN BHD tidak hadir pada majlis ini.
Sekitar tahun 2009 berlaku keretakan yang pertama yang turut di maklumkan kepada pihak pemaju pangsapuri ini iaitu SHANGHAI REALTY (M) SDN BHD dan kerja-kerja pembaikpulih telah di buat. Namun, keretakan kali kedua di sedari sekali lagi pada penghujung tahun 2010 yang di lihat semakin teruk dan berkemungkinan mengancam struktur bangunan.
Rekahan pertama di sedari hanya dengan ukuran setengah inci.Tetapi sekarang ia menjangkau kepada 18 inci.

Tetamu :
YB Rodziah Ismail (ADUN Batu Tiga)
YB Khalid Abdul Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)

indahria

Categories
SELANGOR

Hujan Tak Halang Lebih 5,000 Berarak Maulidur Rasul di Selangor

 

malidur rasul 2013 hujan 05

SHAH ALAM, 24 JAN: Perarakan dalam sambutan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor disambut meriah dengan penyertaan 118 kontinjen yang berarak walaupun dalam keadaan hujan lebat pagi ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut serta di dalam perarakan itu yang disertai pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan anak syarikat Kerajaan Selangor.

Abdul Khalid yang mengetuai perarakkan tersebut dilihat menolak payung yang ditawarkan dan bersama-sama meredah hujan bersama 5,000 peserta lain.

Perarakan tersebut dimulakan seawal jam 8.20 pagi dari Stadium Mini Shah Alam menuju ke tapak sambutan majlis di Stadium Malawati.

Majlis sambutan yang turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Sultan Selangor itu, menamilkan pelbagai acara dan persembahan dari artis popular seperti Mawi dan kumpulan Rabbani.

Dalam sambutan bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu, Baginda Sultan berkenan menyampaikan lima Anugerah Khas Maulidur Rasul dan pemenang kontinjen perarakan terbaik dalam pelbagai kategori.

Penerima anugerah-anugerah tersebut terdiri daripada Datuk Abdul Aziz Andik Achok yang menerima Anugerah Umar Abdul Aziz, Tan Sri Datuk Ismail Adam (Anugerah Khalid Al-Walid) dan Dr Mohd Abd Wahab Yusof (Anugerah Imam Al-Ghazali).

Turut menerima anugerah dalam majlis tersebut Profesor Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin bagi Anugerah Saidatina Khadijah dan Nawarzir Ahmad Zuri bagi Anugerah Saidina Ali.

Turut hadir dalam majlis sambutan itu, Exco Kerajaan Negeri, Dr Yaakob Sapari, Dr Ahmad Yunus Hairi, Iskandar Abdul Samad, MP Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Negeri.

malidur rasul 2013 hujan 03 malidur rasul 2013 nyanyi 02 malidur rasul 2013 hujan 02