Categories
NASIONAL

DAP tak ancam Melayu Islam

 

SHAH ALAM, 28 JUN : DAP tidak pernah mengancam masyarakat Melayu serta Islam di negara ini namun persepsi palsu atau negatif diwujudkan Umno-BN menerusi siaran media yang dikuasai mereka.

Laporan media berat sebelah inilah yang menjadi penyebab masyarakat Melayu Islam memandang serong terhadap DAP.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sentimen perkauman itu dimainkan Umno-BN sejak sekian lama bagi terus mengekalkan kuasa yang dipegang mereka sebagai kerajaan.

Bagaimanapun, DAP tidak mengancam kehidupan orang Melayu serta Islam di negara ini malah menghormati hak golongan itu sama sebagaimana orang Melayu dan Islam menghormati orang bukan Islam.

“Sebenarnya tidak timbul persoalan itu kerana macam mana DAP boleh ancam Islam, itu sesuatu yang tak mungkin tetapi itulah permainan persepsi dan mereka (Umno-BN) berjaya sehingga sesuatu yang tak mungkin berlaku boleh dicipta macam ia adalah satu ancaman yang benar-benar boleh berlaku.

“Kalau kita lihat dalam permainan persepsi ini bukan sahaja DAP anti Islam. Ia juga menakutkan orang bukan Islam. Betapa bahayanya ancaman Islam ke atas cara kehidupan orang bukan Islam. Persepsi yang dibentuk Umno-BN dalam suratkabar adalah PAS atau Islam itu mengancam atau menakutkan cara hidup orang bukan Islam dan hanya Umno-BN boleh melindunginya,” katanya dalam wacana “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam? anjuran Roketkini.com di sini malam tadi.

Wacana tersebut turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dengan Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan bertindak sebagai moderator.

Guan Eng berkata, permainan persepsi itu telah lama dimanipulasikan Umno-BN bagi meyakinkan rakyat bahawa hanya mereka yang terbaik dan layak diangkat sebagai kerajaan di negara ini.

“Kalau kita dituduh anti Islam di kalangan orang Islam, itu biasa. Kita juga dituduh anti Cina di kalangan orang Cina. Anda tak baca suratkabar Cina….. . Di kalangan orang India pula kita dikata anti India. Itulah permainan perkauman,” katanya.

Tambahnya, perubahan yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-12(2008) amat menakutkan Umno-BN dan permainan persepsi itu semakin hebat terhadap DAP serta PAS dan PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat yang berjaya mengugat kekuatannya.

Menurut Guan Eng, apa yang perlu dilakukan rakyat adalah melakukan perubahan terhadap kerajaan supaya kehidupan menjadi lebih baik kerana Umno-BN jelas telah bertindak sebaliknya ke atas rakyat.

“Kalau kita terperangkap dengan isu yang dimainkan oleh Umno-BN, saya rasa yang untung hanya mereka sahaja. Mereka telah berjaya menggunakan isu ini untuk mengalihkan perhatian (terhadap isu lain) selama lebih 50 tahun,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Isu Hudud Tidak Jejaskan Hubungan Erat PAS dan DAP

 

SHAH ALAM, 29 JUN : Isu hukum hudud sengaja diapi-apikan musuh politik PAS dan DAP bagi memecah-belahkan kesefahaman parti Pakatan Rakyat dan mengalihkan perhatian daripada masalah negara seperti rasuah dan salahguna kuasa.

Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng berkata polemik hukum hudud adalah perangkap yang dipasang parti Umno dan MCA bagi menjejaskan kerjasama rapat antara PAS dan DAP.

“Saya rasa isu lain pun penting macam isu rasuah. Jangan kita masuk dalam perangkap Umno-BN yang sering mengatakan pemipim DAP dan PAS tidak sependapat.

?Sungguhpun DAP dan PAS mermpunyai idealogi berbeza tetapi yang penting kita tak pernah mencederakan rakyat atau merosakkan negara. Itulah demokrasi dan dengan cara ini baru kita boleh dapat kebaikan,” katanya lagi dalam wacana “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam?”.

Kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, DAP sentiasa mengamalkan sikap terbuka bersama parti Pakatan berhubung pelbagai isu termasuk pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Beliau berkata, biarpun idealogi kedua-kedua parti itu berbeza, mereka sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama serta sering mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan sesuatu isu.

Dalam isu hukum hudud, beliau berkata, PAS menghormati pendirian DAP yang pada dasarnya tidak bersetuju dengan pelaksanaannya.

“Hakikatnya bukan sahaja DAP tetapi juga orang bukan Islam termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak juga tidak bersetuju. Pemimpin PAS terima bahawa konsep hukum hudud tidak diterima oleh orang bukan Islam. Mereka memberikan keyakinan bahawa mereka tidak akan paksa.

“Apa yang penting kita sentiasa bersikap terbuka. Kalau setuju maka setuju lah dan kalau tak setuju jadi tak setuju dan kita kena terima keputusan itu,” kata Guan Eng.

Wacana anjuran Roketkini.com di sini tadi turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dengan dimoderatorkan Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Fitnah Utusan : Guan Eng Serah Gantirugi Ke Badan Amal

SHAH ALAM, 22 JUN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam saman fitnahnya terhadap Utusan Malaysia sebagai satu kemenangan untuk kebebasan akhbar di Malaysia.

Beliau juga akan mendermakan RM220,000 ganti rugi yang akan dibayar kepadanya oleh akhbar tersebut kepada badan amal dan kebajikan.

“Ini adalah kemenangan untuk kebebasan akhbar kerana di negara ini media dimonopoli oleh akhbar arus perdana yang pro Umno-BN.

“Mereka secara berterusan telah memfitnah saya dalam isu yang sama, tetapi tidak sekalipun diberikan hak untuk menjawab dalam isu yang mereka timbulkan.

“Kalau adapun, kenyataan saya akan diputar belit, jadi sebab itu kerajaan pusat harus membebaskan media-media kita dari cengkaman akta yang mengongkong kebebasan media.

“Ini kerana media telah dikongkong oleh Umno-BN,” kata Guan Eng ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini diperintah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membayar RM220,000 kepada Guan Eng atas kesalahan memfitnah.

Utusan Malaysia didapati memfitnah Guan Eng dalam laporannya pada 12 Mac 2008 bertajuk “Tiada lagi DEB” yang membawa maksud DAP akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru.

Akhbar itu diperintahkan agar membayar RM200,000 untuk kerugian atas kerosakan yang dilakukan akhbar itu dan RM20,000 untuk kos mahkamah.

Guan Eng mendakwa ucapannya jelas merujuk kepada pentadbirannya yang akan menghapuskan ‘kroni, rasuah dan ketidakcekapan’.

Terdahulu, pada Disember tahun lalu, mahkamah yang sama turut memerintahkan Utusan membayar gantirugi RM225,000 kepada Guan Eng kerana memfitnahnya dalam laporan yang bertajuk ‘Kebiadaban Guan Eng?.

Laporan tentang Setiausaha Agung DAP itu diterbitkan pada 20 Disember 2010.

“Syukur atas kemenangan ini, jadi saya akan dermakan kepada badan-badan amal kebajikan yang memerlukan apabila bayaran tersebut dijelaskan oleh Utusan,” katanya lagi.

 

Categories
NASIONAL

Guan Eng : Anwar Tetap Calon PM Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR,  11 JUN: Pakatan Rakyat kekal dengan pendirian untuk meletakkan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya menang dalam PRU-13 akan datang.

Penegasan yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekaligus menafikan kenyataan Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali yang mendakwa Guan Eng akan menjadi Perdana Menteri.

Jelas Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP, beliau secara peribadi tidak layak untuk menjawat jawatan berkenaan berbanding Anwar.

“Saya sudah katakan banyak kali bahawa Pakatan Rakyat hanya ada satu calon untuk Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Untuk saya sendiri secara peribadi, saya tidak berminat kerana saya tidak layak. Ada ramai yang lebih layak daripada saya. Saya akan tanya dia (Anwar) apa kuasa yang dia mahu serah kepada saya,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Baru baru ini Dr Hassan, seorang bekas exco Selangor, berkata Anwar akan melepaskan jawatan dalam tempoh tiga bulan selepas menang pilihan raya dan menamakan Guan Eng sebagai Perdana Menteri.

Dr Hassan, yang juga seorang bekas pemimpin Pas, dilucutkan keahlian dari parti itu pada Januari lepas kerana pendiriannya yang bertentangan dengan dasar parti itu.

 

Categories
NASIONAL

Guan Eng : CJMY Lebih Telus Dari Media Perdana

PULAU PINANG 21 MEI : Sesuatu berita itu seharusnya disampaikan dengan penuh profesionalisme dan integriti tanpa mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan, demikian ucap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika menghadiri Malam Gala Konferens CJMY (Kewartawanan Warganegara Malaysia) di sini baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan rasa senang hati dengan kewujudan Kewartawanan Warganegara yang dilihat lebih telus dalam menyampaikan berita yang kebanyakkannya sengaja diabaikan oleh media arus perdana.

“Sejak akhir 2008, Kewartawanan Warganegara di seluruh Malaysia tanpa mengenal penat lelah menyampaikan berita dari semua aspek termasuk cerita-cerita yang sentiasa diketepikan oleh media arus perdana selama ini.

“Secara tidak langsung, usaha ini memberi ruang dan peluang kepada penonton dan pembaca untuk melihat sisi lain sesuatu cerita atau berita, yang biasanya tidak hadir dalam laporan media arus perdana,” ucap Guan Eng yang turut bertindak melancarkan Portal Terbaru CJMY.

Dalam majlis yang sama juga, beliau mengutuk sekeras-kerasnya sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang disifatkannya memalukan Malaysia.

“Mereka tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelaku yang melakukan aksi memualkan di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan malah ketiadaaan sebarang tindakan seolah-olah merestui segala perbuatan yang tidak senonoh itu.

“Sedangkan Datuk Ambiga tidak melakukan sebarang jenayah, dia tidak meletupkan orang dengan C4, tidak menyalahgunakan dana rakyat membeli kondominium tetapi dia diperlakukan seolah-olah dia mengancam negara sehingga ingin dipenjarakan dan ingin dibuang negeri,” tegas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Mengulas lanjut, beliau berkata segala perbuatan tidak bermoral terhadap Ambiga hanya tindakan terdesak dan dengki Umno-BN ekoran kejayaan Bersih 3.0 mengumpulkan 300, 000 rakyat demi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

 

Categories
NASIONAL

Guan Eng : Pulau Pinang peruntuk 1.5 juta untuk wanita PR

SHAH ALAM 21 MEI : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengucapkan tahniah dan syabas atas komitmen Wanita PR yang diterajui Wanita DAP, Muslimat PAS dan Wanita PKR dalam memperjuangkan hak rakyat.

Ucapan itu disampaikan beliau dalam Majlis Konvensyen Wanita Pakatan Rakyat (PR) kali ke-2 yang bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Bandar Perda semalam.

“Syabas dan tahniah wanita PR yang berjaya membongkarkan kes NFC dan rasuah Menteri Wanita BN dan akibat kegagalan mewujudkan kepimpinan wanita cekap dan amanah oleh BN, maka pada hari ini mereka ketandusan pemimpin wanita sehingga jawatan Menteri Wanita di sandang oleh Perdana Menteri yang gender lelaki.

“Walaupun menghadapi dilema besar, BN masih tidak sedar dan masih berdegil melakukan anasir-anasir kotor dan keji dengan memanipulasikan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) demi kepentingan politik mereka,” tegas Guan Eng.

Beliau turut memberi kredit atas pilihan slogan ‘Bersama Bersihkan Malaysia’ yang diangkat sebagai tema konvensyen pada tahun ini dalam usaha menunjukkan keprihatinan wanita PR untuk menambah baik pilihanraya ke arah pilihanaraya yang bersih , bebas dan adil.

“Segala tuntutan rakyat mengenai kelemahan-kelemahan dan cadangan untuk penambahbaikan SPR harus dilaksanakan segera sebelum menjelang PRU 13.

“Tuntutan Bersih yang dipengerusikan oleh seorang wanita Datuk Ambiga Sreenevasan menunjukkan komitmen golongan wanita untuk pentadbiran negara dan mempertahankan hak rakyat,” ujar Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan pemberian dana sebanyak RM1.5 juta oleh Kerajaan Negeri untuk Penang Women Development Corporation(PWDC).

“PWDC ditubuhkan Wanita PR pada tahun ini khusus untuk berperanan melaksanakan agenda dan dasar-dasar demi pembangunan gender, keadilan gender dan sosial di peringkat negeri,” jelasnya.

Categories
NASIONAL

RM500 Untuk Tahfiz: Satu Lagi Bukti DAP Bukan Parti Anti-Islam, Melayu

SHAH ALAM, 11 MEI: Seorang wartawan bangsa Cina pernah bertanya kepada Lim Guan Eng, mengapa Kerajaan Pulau Pinang memberi RM500 kepada pelajar Maahad Tahfiz yang menghafal Al-Quran 30 Juz?

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjawab: ?Orang Islam yang pegang kepada ajaran Islam mereka tidak akan makan rasuah.?

Malah Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui, DAP – parti yang dimomokan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam – memperuntukan lebih dana bagi program pembangunan Islam di negeri itu berbanding dengan pentadbiran Umno-BN yang sebelumnya.

Menurut MP Shah Alam Khalid Samad, Kerajaan Pakatan Pulau Pinang meningkatkan bajet pembangunan dan pentadbiran Islam ke RM 24 juta setahun berbanding RM 12 juta semasa di bawah Umno-BN.

“Ini bukanlah retorik atau percakapan tetapi berdasarkan amalan dan dasar-dasar yang dilaksanakan Lim Guan Eng di Pulau Pinang,? Khalid berkata di dalam wacana bertajuk ‘Melayu, Islam dan DAP’ yang diadakan diBangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Khalid menambah, kehadiran wakil rakyat DAP dalam majlis berbuka puasa, pemberian sumbangan kepada surau dan masjid, kehadiran dalam majlis rasmi yang diadakan di Masjid dan Surau turut membuktikan bahawa DAP bukan sebuah parti yang anti Melayu-Islam seperti yang digembar-gemburkan oleh media pro-Umno-BN.

Ini dikuatkan lagi dengan amalan pemimpin dan perwakilan parti yang menggunakan Bahasa Malaysia ketika memberikan ucapan dalam perhimpunan parti.

“Bermula 2005, 2006 semenjak Lim Guan Eng menjadi Setiausaha Agung mengambil alih barisan kepimpinan DAP, sudah banyak perubahan yang dilakukan,? kata Setiausaha Politik Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari.

“Kita telah memahatkan perlembagaan kita kepada perlembagaan Malaysia termasuklah artikel 153 antaranya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan raja-raja Melayu dan keistimewaan orang-orang bumiputra,? ujar Zairil, seorang panelis di dalam wacana tersebut.

Manakala panelis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik pula berkata persepsi yang ditanamkan oleh Umno-BN yang DAP anti-Melayu menyembunyikan hakikat bahawa parti komponen gagasan itu yang sebenarnya mengamalkan dasar perkauman.

Contohnya, MCA sendiri merupakan sebuah parti yang hanya membuka keahliannya ekslusif kepada masyarakat berbangsa Cina, manakala Umno dan MIC turut menghadkan keahlian parti mereka kepada orang Melayu dan India.

Sedangkan DAP merupakan sebuah parti yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Hujah ini disokong oleh Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan yang berpendapat DAP adalah sebuah parti yang lebih terkehadapan berbanding Umno, MCA dan MIC.

Menurutnya ketiga-tiga parti komponen utama BN itu masih lagi terperangkap dengan kepompong etnik berbanding memperjuangkan idealogi sosial demokrat yang dibawa oleh DAP.

Categories
NASIONAL

CCTV, Pasukan Ronda Turunkan Indeks Jenayah Pulau Pinang

SHAH ALAM 9 MEI : Usaha Kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memasang 58 Kamera Litar Tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berjaya menurunkan indeks jenayah di Pulau Pinang ke tahap yang paling rendah di Malaysia.

Kejayaan ini juga menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya yang selamat didiami.

“Kejayaan ini adalah berkat usaha dan kerjasama Kerajaan Negeri dengan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana kesemua CCTV dipasang di lokasi yang dikenalpasti oleh pihak polis sebagai kawasan kerap berlaku jenayah.

“Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk meletakkan 129 lagi unit CCTV tambahan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti oleh pihak polis di seluruh kawasan di bahagian pulau,” jelas Guan Eng.

Beliau turut memberitahu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sedang menguruskan pemasangan 18 buah CCTV tambahan melalui Private Finance Initiative.

Selain itu, Guan Eng berkata penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) oleh Kerajaan Negeri turut membantu pihak berkuasa dalam mencegah jenayah dan menjaga keselamatan awam.

“Usaha ini bermula pada tahun 2011 dan sehingga April 2012, sejumlah 114 PPS telah ditubuhkan.

“Kerajaan Negeri akan memastikan sasaran penubuhan enam PPS bagi setiap kawasan DUN tercapai menjelang akhir tahun 2012,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri melalui PBT turut mengambil inisiatif dengan meningkatkan voltan lampu daripada 70 kilowatt kepada 150 kilowatt.

“Usaha ini bertujuan untuk menerangkan jalan-jalan raya di Pulau Pinang kerana keadaan yang gelap juga mampu mengundang jenayah,” akhiri beliau sambil menjelaskan penggantian tersebut akan dijalankan secara berfasa dan keutamaan diberi kepada lampu yang rosak.

Categories
SELANGOR

Guan Eng : Lebih 600 Usahawan Dapat Manfaat Skim mikrokredit PTSR

SHAH ALAM 8 MEI : Kerajaan Pulau Pinang telah mengeluarkan lebih RM2.3 juta bagi membantu peniaga-peniaga di bawah skim mikro kredit di bawah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR).

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, setakat April 2012, seramai 662 peminjam telah mendapat manfaat dari skim PTSR ini yang dikeluarkan menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan pula adalah sebanyak RM2,319,630.40,” ulas Guan Eng di dalam sesi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Adun Sungai Bakap, Makhtar Shapee.

Skim tersebut khusus untuk peniaga-peniaga yang mengusahakan perniagaan sayuran, ikan dan ayam proses sama ada di pasar malam atau pasar tani.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut membantu pengusaha kecil menerusi PDC dan SMART Centre dalam bentuk khidmat nasihat, kursus, bengkel, seminar dan latihan keusahawanan.

“Sehingga April 2012, seramai 1,463 orang usahawan telah dibantu bagi mempertingkatkan pengetahuan mereka.

“Usaha ini juga bagi mempersiapkan mereka untuk bergelar usahawan yang berdaya saing dan berdaya tahan dalam menjalankan sesuatu perniagaan,” jelas beliau lagi.

Guan Eng berkata Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan saranan daripada Makhtar bagi memperluaskan skim tersebut kepada pengusaha pertanian dan penternakan.

Categories
NASIONAL

Guan Eng Tidak Akan Jemput Lagi Media Umno

 

SHAH ALAM 4 MEI : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengeluarkan kenyataan untuk tidak menjemput mana-mana media milik Umno/BN ke sebarang majlis anjuran kerajaan negeri.

Tindakan itu juga menurut beliau sebagai langkah mempertahankan diri daripada menjadi mangsa siri fitnah dan putar-belit Umno/BN yang semakin menggila akhir-akhir ini.

“Kita percaya dalam kebebasan akhbar namun keengganan media Umno/BN mematuhi etika kewartawanan, apatah lagi memberikan saya peluang untuk menjawab atau membetulkan berita palsu memaksa saya untuk menolak apa-apa liputan berita mereka.

“Memang kita mahukan liputan berita tetapi jika liputan berita yang diberikan penuh dengan penipuan dan putar belit, rasanya lebih baik tiada liputan berita langsung,” ulas Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Mengulas lanjut, beliau turut mempertikaikan keengganan media Umno/BN untuk memohon maaf terhadapnya atas kesilapan laporan berita mereka berhubung dakwaan Perkasa bahawa beliau bertemu dengan pimpian parti PAP dari Singapura.

“Mereka sudah mengeluarkan kenyataan maaf kepada Datuk Seri Kalimullah dan Datuk Azman yang didakwa bersama saya berjumpa PAP namun tidak melakukan perkara yang sama terhadap saya walaupun atas permintaan peguam saya.

“Oleh itu, saya saya akan meneruskan saman saya di Mahkamah Tinggi terhadap Perkasa, New Straits Times Press dan Utusan Melayu (Bhd) terhadap fitnah dilemparkan,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sehubungan itu juga, beliau berkata Kerajaan Pulau Pinang bertegas untuk mengambil inisiatif menghalang media Umno/BN dari terus menyiarkan laporan palsu kepada rakyat.

“Saya tidak mempunyai sumber dan keupayaan untuk memfailkan tindakan mahkamah setiap kali media Umno/BN memfitnah dan memburukkan saya.

“Sehingga kini, sebagai contoh, News Straits Times masih terus memfitnah saya walau tidak dijemput membuat liputan, jadi bayangkan berapa banyak lagi tindakan mahkamah yang perlu difailkan jika saya menjemput mereka membuat liputan berita di majlis saya?” akhiri Guan Eng dalam kenyataan tersebut.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Baju Hitam, Riben Kuning Tanda Solidariti Untuk Wartawan

SHAH ALAM, 2 MEI :Sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 3 Mei ini, rakyat Malaysia diseru memakai baju hitam dan riben kuning sebagai tanda solidariti kepada warga media yang dikasari polis semasa perhimpunan BERSIH3.0 lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, orang awam harus berdiri dalam solidariti bersama pekerja media dan wartawan yang menjadi mangsa keganasan polis itu.

“Memang sah bahawa polis memukul para pekerja media apabila Perdana Menteri sendiri membisikkan maaf kepada wartawan The Sun, Radzi Razak yang dimasukkan ke dalam wad hospital selepas dipukul.

“Kami mengutuk hebat adegan-adegan ganas Sabtu lepas di perhimpunan BERSIH 3.0 di mana orang ramai termasuk pekerja media dan wartawan dipukul dan dicederakan oleh pegawai-pegawai polis,” kata Lim dalam kenyataan medianya.

Laporan menyebut, Radzi Razak yang dipukul oleh 15 pegawai polis, sementara seorang jurugambar Malay Mail ditumbuk oleh polis dan kameranya dipecahkan.

Seorang wartawan Malaysiakini pula ditahan dan peralatan kameranya dirampas.

Malah wartawan antarabangsa daripada Al-Jazeera pun tidak terkecuali, apabila ia dikasari semasa mengambil gambar polis sedang memukul peserta perhimpunan.

“Yang lebih teruknya, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein tergamak menyatakan bahawa tindakan untuk merampas peralatan kamera itu adalah ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) polis,” katanya.

Namun demikian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sendiri menyatakan bahawa tindakan merampas peralatan kamera itu bukanlah SOP polis, lantas bercanggah dengan Hishammuddin.Sekiranya Ketua Polis Negara betul, maka Hishammuddin harus meminta maaf kepada setiap wartawan yang  dipukul,” ujar beliau.

Tambah Lim, polis dan Kementerian Dalam Negeri harus juga memerintah agar siasatan dibuat untuk membawa pegawai-pegawai yang bersalah ke muka pengadilan.

Jika ini tidak dibuat dengan terbuka dan tanpa mengaburi kebenaran, maka beliau akan lagi merosakkan reputasi polis yang sudah terhakis

“Hanya siasatan yang terdiri daripada pakar antarabangsa boleh memberi laporan yang boleh dipercayai supaya kita boleh mengetahui kebenaran apa sebenarnya yang berlaku,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL

Guan Eng: Umno, MCA Biadap Pada Masyarakat Hindu

SHAH ALAM 25 APR : Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) yang bertindak merobohkan Kuil Sri Muniswarar yang berusia hampir 50 tahun di Terminal Kargo Pukal Prai (BCT).

Lebih mengecewakan, menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebelum ini Pengerusi PPSB, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya mengumumkan bahawa PPSB akan menanggung kos pembinaan semula kuil tersebut di kawasan seluas 6.1m x 6.1m di lokasi yang sama namun semuanya sekadar kata-kata manis sahaja.

“Sewaktu lawatan saya ke tapak berkenaan pada 23 April lalu, Pengurus Besar BCT, Abdul Halim Kader memberitahu beliau telah mendapat pengesahan daripada pejabat Dr. Hilmi bahawa kuil tidak akan dibina di situ.

“Jika ia benar, bilakah kuil itu akan dibina dan adakah ianya benar-benar akan dibina semula atau sekadar janji-janji kosong BN sempena Pilihanraya?,” soal Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Dr. Hilmi dan Pengerusi PPC, Datuk Seri Chua Soi Lek untuk meminta maaf khususnya kepada masyarakat Hindu atas pencabulan rumah ibadat itu.

“Tindakan perobohan ini boleh disifatkan sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan sangat mengecewakan.

“Lebih memburukkan keadaan lagi, tiada notis dikeluarkan atau sekurang-kurangnya ditampal di kuil bagi memaklumkan tentang perobohan tersebut.

“Kedua-dua individu yang bertanggungjawab atas tindakan ini juga gagal untuk tampil segera bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada pekerja-pekerja pelabuhan dan masyarakat Hindu,” jelas Guan Eng.

Jika tiada permohonan maaf dari kedua mereka dan tiada kuil didirikan sebelum pilihanraya, Guan Eng mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk campur tangan dalam hal berkenaan.

“Semua warga Pulau Pinang yang cintakan keamanan dan menghormati kebebasan beragama mengutuk keras tindakan tersebut. Maka perkara ini perlu dipandang berat dan diambil serius,” tegas Guan Eng melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.