Categories
NASIONAL SELANGOR

RM300 Juta Geran Selangorku Boleh Diguna Tanpa Kelulusan DNS

SHAH ALAM, 19 NOV: Peruntukan RM300 juta bagi Geran Selangorku yang dilancarkan tahun lalu masih boleh dibelanjakan pada 2013 nanti kerana ia tidak termasuk dalam Belanjawan 2013 yang memerlukan kelulusan Dewan Negeri Selangor(DNS).

Geran untuk membiayai projek pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas itu juga merupakan satu peruntukan tetap yang boleh digunakan sehingga habis tanpa had jangkamasa tertentu.

Demikian menurut, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media di lobi Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri Selangor selepas pembentangan Belanjawan 2013 hari ini.

“Geran Selangorku adalah satu peruntukan tetap RM300 juta dan buat masa ini ia masih tidak habis digunakan lagi.

“Sekarang data terakhir yang saya terima hampir RM200 juta digunakan dan oleh sebab itu duit Geran Selangorku yang tidak habis digunakan boleh digunakan pada tahun 2013,” ujar beliau.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada 2011 lalu, Abdul Khalid menyatakan bahawa geran ini berasaskan sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar Selangor(MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk daripada syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula Canal City.

Selain itu, Geran Selangorku ini juga diuruskan tanpa campur tangan Menteri Besar dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah.

Categories
SELANGOR

UNISEL Catat Untung RM127 Juta Selepas Hutang Dipindahkan

 

SHAH ALAM 19 NOV : Tindakan Kerajaan Negeri mengambil alih liabiliti Unisel membolehkan universiti tersebut mencatat keuntungan sebanyak RM 127 juta pada tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tadi berkata kesemua hutang dan liabiliti berjumlah RM 150 juta itu dipindahkan ke Perbadanan Menteri Besar (MBI).

“Langkah tersebut membolehkan Unisel bebas daripada liabiliti dan bebanan bayaran hutang.

“Dengan ini juga, perbelanjaan Unisel akan berkurang di samping meningkatkan pendapatan,” jelas Abdul Khalid dalam sidang media selepas Sidang DNS.

Sebelum 2008, PIYSB-UNISEL mempunyai jumlah hutang sebanyak
RM 150 juta daripada pinjaman terbitan Bithaman Ajil Islamic Debt Securities (BaIDS) dengan Affin Investment Bank Berhad.

Justeru itu, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan UNISEL dan mengambil alih hutang tersebut.

Bayaran balik terbitan BaIDS telah mula dijelaskan pada tahun 2011 dan berakhir tahun 2022.

Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengeluarkan jumlah terhutang tersebut daripada Penyata Kewangan PIYSB bagi tahun 2011 oleh sebab bayaran balik pinjaman berjaya dilunaskan oleh Kerajaan Negeri melalui PIYSB.

Bagaimanapun, jumlah terhutang tersebut hanya boleh dikeluarkan daripada Penyata Kewangan PIYSB bagi tahun berakhir 31 Disember 2012.

Selepas penstrukturan hutang dilakukan UNISEL telah merekodkan keuntungan lebih RM 127 juta untuk tahun semasa.

Categories
SELANGOR

756 Ekor Lembu Diagih Seluruh Selangor

 

SHAH ALAM 23 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira 756 ekor lembu untuk diagihkan di seluruh negeri sempena Hari Raya Aidil Adha tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 389 ekor lembu disediakan untuk seluruh masjid-masjid di Selangor.

“Kerajaan negeri turut menyumbangkan lembu-lembu korban kepada badan-badan bukan kerajaan seperti PERKIM, ABIM, Hidayah Center, Brigade Amal Selangor, PANTAS, Anak Syarikat Negeri, PPR Lembaga Perumahan, JAIS dan penduduk Asal yang beragama Islam,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah (JAIS) di sini.

Menurut Abdul Khalid, lembu-lembu itu disumbangkan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Turut menyumbang juga adalah Worldwide Holding Bhd (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Abdul Khalid berkata, kerajaan berharap disebalik penyerahan lembu-lembu korban itu dapat menimbulkan kesedaran kepada umat Islam agar lebih mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan memperbanyak ibadah korban.

“Umat Islam perlu mengorbankan gaya hidup yang mengutamakan kemewahan dan kesenangan duniawi semata-mata.

“Sebaliknya mengamalkan kehidupan yang sederhana dan berusaha mengelakkan pembaziran dan sikap boros,” kata Abdul Khalid.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mohon Perkenaan Sultan Adakan Sidang Khas DNS

SHAH ALAM, 3 OKT : Kerajaan Negeri berhasrat mengadakan sidang khas Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi membincangkan tiga perkara penting iaitu kertas putih hutang Talam Corporation Berhad, hasil pelaksanaan Selangorku Bersih dan isu penyusunan semula industri perkhidmatan air.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau mengemukakan hasrat tersebut kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memohon perkenan Baginda.

Sidang khas berkenaan adalah bagi membolehkan Kerajaan Negeri membentangkan ketiga-tiga isu itu secara terperinci di samping memberi peluang kepada rakyat Selangor mendapat maklumat dengan jelas dan tepat.

“Kertas putih Talam disiapkan dan saya akan bentang untuk menerangkan secara terperinci kaedah pengutipan hutang yang digunapakai serta transaksi yang dilakukan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang akhirnya mengutip kesemua hutang berjumlah RM392 juta.

“Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat meluluskan kertas putih ini yang akan diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor pada Isnin depan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini.

Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan membangkitkan laporan di bawah program Pendemokrasian yang menemui sejumlah 110,000 nama pengundi diragui dan gagal dikesan sehingga kini.

Katanya, nama-nama itu didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menerusi sidang khas itu, Kerajaan Negeri akan membentangkan usaha-usaha yang dilakukan untuk mengenalpasti kesemua nama yang meragukan itu dengan melibatkan ketua komuniti di kawasan berkenaan. Ahli dewan kerajaan mahupun pembangkang boleh beri cadangan untuk selesai masalah ini.

“Begitu juga dengan isu penyusunan semula perkhidmatan industri air yang berlanjutan kerana sikap berdolak dalih Kerajaan Pusat.

“Semua surat menyurat dan fail antara Kerajaan Negeri dan Pusat sejak 2008 akan dibentangkan sebagai bukti komitmen kita,” katanya lagi.

Beliau berkata, sekiranya hasrat tersebut mendapat perkenan Tuanku Sultan, Kerajaan Negeri menjangkakan akan mengadakan sidang khas itu dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Kerajaan Negeri Tidak Sekat BN Mohon Geran Selangorku

SHAH ALAM, 10 JUL : Kerajaan Negeri Selangor tidak menyekat permohonan pihak pembangkang (Umno-BN) sekiranya ingin menggunakan peruntukan Geran Selangorku di kawasan masing-masing bagi pembangunan infrastruktur.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, permohonan peruntukan itu tidak hanya terhad kepada Adun sahaja, tetapi turut terbuka kepada persatuan dan ketua kampung.

“Kerajaan Negeri tidak menyekat sebarang permohonan daripada mana-mana pihak. Malah, sejak ia dilancarkan, kita menerima banyak permohonan, tetapi keutamaan itu kebiasaannya diberikan kepada Adun berkenaan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mulut daripada Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (Paya Jaras-BN) berhubung penggunaan Geran Selangorku dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan projek di bawah peruntukan geran itu secara berkala bagi memastikan ia diurus secara telus.

“Kos yang kita buat tidak berikan keuntungan lumayan kepada kontraktor. Pemberian projek dibuat secara sebut harga dan dipantau pelaksanaannya. Kita akan buat semakan sekiranya berlaku keraguan.

“Kerajaan Negeri memberi kepercayaan kepada profesional seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PBT untuk jalankan tugas mereka dengan cara terbaik supaya duit amanah untuk kepetingan rakyat itu berjalan dengan baik,” ujarnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) berhubung peruntukan Geran Selangorku dalam Bajet 2013, Abdul Khalid menjelaskan ia bergantung kepada keuntungan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi pelaksanaan ?Geran Selangorku? melalui Bajet 2012 untuk faedah rakyat Selangor.

Peruntukan geran ini adalah berasaskan dana sumbangan dividen daripada GLC Negeri serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation.

Antara program yang dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima (RM10 juta), program memperkasakan wanita (RM30 juta), program keusahawanan muda (RM30 juta), pembinaan infrastruktur sukan (RM30 juta), program sokongan pendidikan (RM30 juta).

Selain itu, program dari kebajikan kepada pekerjaan (RM20 juta) dan program jangkaan kehidupan bandar (RM10 juta), infrastruktur (RM50 juta), program pembasmian rasuah dan penyelewengan (RM15 juta) dan program pengukukan demokrasi (RM5 juta).

Di samping itu, program pengukuhan budaya (RM3 juta), pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar (RM5 juta), program pejabat ke rakyat (RM10 juta), program penerangan maklumat negeri (RM10 juta), program peningkatan kualiti hidup rakyat (RM5 juta), program peningkatan kemahiran penjawat awam (RM5 juta) dan penggerak dan pembangunan luar bandar (RM22 juta)

Categories
SELANGOR

Faekah : Geran Selangorku Diurus Telus

SHAH ALAM 27 JUN : Kerajaan Selangor tidak pernah berselindung berkenaan punca dana Geran Selangorku berjumlah RM300 juta yang diperuntukkan untuk dimanfaatkan terus kepada rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika Belanjawan 2012 tahun lepas menyatakan geran ini berasaskan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Ia juga diperolehi daripada keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang lapuk Syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula projek Canal City.

“Jika dahulu keuntungan hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta para kroni BN, kali ini habuan kita agihkan terus kepada semua rakyat Selangor,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Faekah berkata, Geran Selangorku diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), jurutera dan jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang di lantik oleh Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh Adun, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Dakwaan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar.

“Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah,” katanya.

Sehingga kini menerusi Geran Selangorku, Kerajaan Negeri meluluskan sebanyak 362 projek yang berupa pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh Selangor termasuk di kawasan DUN di bawah BN.

“Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku ini dilaksanakan terbuka untuk semakan di Pejabat MBI.

“Md Zin atau mana-mana ahli Umno yang masih gagal memahaminya boleh melakukan lawatan ke MBI dan penerangan khusus boleh disediakan,” katanya.

Justeru tegas Faekah, beliau mencabar Ahli Parlimen dan Adun BN untuk mendedahkan butiran perbelanjaan peruntukan sejumlah RM2.71 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada Umno Selangor.

“Rakyat Selangor mahu tahu bagaimana wang sebesar itu dibelanjakan, apa projeknya, di mana dan berapa kos sebenar,” ujar Faekah.

Categories
SELANGOR

Perumahan Di Alam Perdana, Kg Berembang Akan Dapat Kunci 28 April

SHAH ALAM 18 APR : Selama empat tahun menerajui negeri ini, kewibawaan Kerajaan Pakatan menyempurnakan usaha-usaha pemulihan terhadap projek perumahan terbengkalai tidak dapat disangkal lagi.

Terbaru, Kerajaan Negeri akan mengadakan Majlis Penyerahan Kunci kepada seramai 1,116 pemilik rumah teres dan 2,500 pemilik rumah kos rendah di Alam Perdana  pada 28 April ini.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, rumah-rumah teres tersebut berjaya dipulihkan oleh Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) setelah terbengkalai sejak 2004 lagi.

“MBI membelanjakan lebih RM187 juta untuk menyiapkan rumah teres ini termasuk kos pengambilan tanah untuk pembinaan tangki air, laluan bagi tangki air dan laluan utama ke taman perumahan.

“Antara usaha pemulihan termasuklah pecah sempadan, tukar syarat tanah dan pengeluaran hakmilik individu dan seterusnya memastikan pembeli terlibat memperolehi rumah tersebut sehingga Sijil Layak Menduduki dikeluarkan,” jelas Abdul Khalid dalam kenyataan medianya.

Dalam majlis yang sama juga, satu taklimat penerangan oleh Menteri Besar kepada 203 pembeli rumah teres dua tingkat juga akan diadakan.

“Rumah-rumah tersebut terpaksa dirobohkan kerana didapati ianya tidak selamat diduduki.

“Pembinaan semula rumah-rumah ini akan dilakukan anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB),” ujar beliau.

Selain itu, pada 21 Mei, giliran 694 pembeli pangsapuri Kampung Berembang di Ampang pula untuk menerima kunci rumah.

Kerajaan Negeri mengambil alih projek ini dengan melantik pemaju baharu dengan kos pembinaan RM29 juta setelah tiga tahun lewat disiapkan.

Categories
SELANGOR

Pelaburan Selangor Meningkat Dari RM8b Kepada RM35b

SHAH ALAM, 6 APR : Anak syarikat milik Menteri Besar Incorporated (MBI), Selangor State Investment Centre (SSIC) berjaya meningkatkan ekonomi dengan hasil pelaburan meningkat daripada 8 billion kepada 35 billion pada tahun 2011.

Nilai tersebut telah menjadikan Selangor sebagai negeri penyumbang pelaburan terbesar di Malaysia.

Sehubungan itu, SSIC ditugaskan untuk menarik pelabur untuk melabur di pelbagai sektor di Selangor seperti
sektor elektrik dan elektronik, getah, kayu, pengangkutan dan lain-lain sektor.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kebanyakan pelaburan di Selangor adalah untuk pelaburan eksport di serata dunia.

Abdul Khalid turut memberitahu, 80% daripada keluaran eksport negeri Selangor digunakan oleh serata dunia.

Malah, menurut beliau, pelaburan di Selangor telah sampai ke peringkat matang kerana pelaburan yang bertambah setiap tahun.

“Kerajaan Negeri pada tahun 2008 mempunyai simpanan tunai sebanyak 400 juta dan pada tahun 2011 direkodkan simpanan tunai kerajaan meningkat menjadi RM1.9 billion.” jelas Abdul Khalid.

Ini adalah hasil daripada sistem pelaburan yang dikendalikan oleh SSIC dan telah mendatangkan kejayaan buat rakyat dan Kerajaan Negeri,” ujar Abdul Khalid ketika memberi ucapan pembukaan sempena majlis minum petang bagi meraikan lawatan rasmi mantan Menteri Koperasi Indonesia di Hotel Concorde Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Abdul Khalid hadir bersama barisan Exco-Exco Selangor yang menggotai SSIC bagi meraikan lawatan rasmi mantan Menteri Koperasi Indonesia, Bapak Adi Sasono dan rombongan di majlis minum petang di Hotel Concorde Shah Alam.

Categories
SELANGOR

RM30,000 Bantu Adik Mawar Jalani Pembedahan

SHAH ALAM 28 MAC : Farid AlSuwad, 34, bapa kepada  adik Mawar Nur Farisya Alsuwad melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC)Selangor yang prihatin dengan nasib yang menimpanya sekeluarga.

Mawar,2, yang menghidap penyakit lumpuh otak, jantung berlubang dan injap jantung sempit memerlukan RM40,000 bagi membiayai kos pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagle Intan, Ampang 4 April depan.

Tiga anak syarikat Kerajaan Selangor menyumbang RM10,000 setiap seorang kepada keluarga Mawar. Mereka adalah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sumbangan itu disampaikan dalam bentuk cek oleh Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar dan Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Hadir sama Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

Menurut Farid, beliau terharu dengan bantuan yang diberi serta kesudian Puan Sri Salbiah hadir ke rumah untuk melihat keadaan anak saya.

“Terima Kasih banyak kerana memberikan saya peluang dan harapan kembali untuk melihat anak saya sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, sebelum ini beliau hampir berputus asa kerana tiada tempat mengadu dan bergerak berseorangan mendapatkan bantuan.

Adik Mawar pada awalnya dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain, malangnya, dua minggu kemudian dia sering menangis tanpa henti.

?Saya tidak tahu apa punca kepada penyakitnya, nak kata keturunan, tiada keturunan kami yang ada menghidap penyakit begitu.

?Lagipun, ketika scan jantina bayi dalam kandungan sebelum dilahirkan, Mawar didapati sihat dan tiada penyakit,? katanya.

Isterinya, Salbiah Ramli, 29, bekerja sebagai kakitangan kerajaan yang menyara keluarga kerana beliau terpaksa berhenti kerja ketika Mawar berumur tiga bulan kerana menjaga anaknya itu.

“Pengasuhnya tidak dapat menjaganya lagi kerana Mawar seringkali pengsan dan sesak nafas.

“Sejak dilahirkan hanya bergantung dengan susu dan nestum kerana mulut Mawar sakit dan akan menangis setiap kali kami menyuapnya nasi,” katanya.

Katanya, hampir setiap hari Mawar akan menangis, kaki tangannya bengkak dan mukanya kebiruan.

“Perkara itu sangat merisaukan kami sekeluarga,” katanya.

Penduduk Serah Memo Pada MBI

IPOH, 18 JAN – Penduduk dan peniaga Pasar Jelapang di Perak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keadaan bangunan pasar dan persekitarannya yang kotor menerusi memorandum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Memorandum yang mengandungi kira-kira 2,000 tandatangan itu mengharapkan tindakan segera diambil MBI bagi menangani masalah itu yang didakwa dihadapi sejak sekian lama.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sarasvathy berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk dan peniaga di pasar itu yang berharap MBI melakukan tindakan segera mengubahsuai bangunan pasar dan membersihkan kawasan persekitarannya.

Beliau berkata, pasar tersebut merupakan kawasan tumpuan penduduk berhampiran yang mengunjunginya saban hari untuk membeli barangan keperluan harian.

“Penduduk dan peniaga berharap Datuk Bandar Ipoh (Datuk Roshidi Hashim) mengambil kira masalah ini dan melakukan tindakan segera bagi mengatasinya. Premis pasar ini adalah kawasan dikunjungi orang ramai pada setiap hari terutama mereka dari kawasan berhampiran iaitu Taman Jati, Taman Meru, Taman Puncak Jelapang dan Kampung Jelapang.

“Berikutan itu satu memorandum dengan tandatangan orang ramai telah diserahkan kepada MBI bagi menyatakan perkara ini,” katanya dalam satu menyataan kepada TVSelangor hari ini.

Sarasvathy menjelaskan antara isu yang dikemukakan dalam memorandum itu adalah penyediaan jalan bertar di sekeliling pasar, paip air untuk setiap peniaga, masalah lantai berlubang dan lampu yang tidak mencukupi selain longkang pecah, masalah air bertakung dan bau busuk.

Menurutnya lagi, ia termasuk masalah troli sampah yang diletakkan di hadapan pasar yang perlu dialihkan ke kawasan lain serta zink pasar yang bocor.

“MBI perlu memberi perhatian terhadap masalah ini demi kepentingan penduduk dan peniaga di pasar Jelapang ini.

“Kita juga meminta Datuk Bandar Ipoh membuat tinjauan di kawasan ini bagi mendapat gambaran sebenar,” katanya.